OK. Cerita ini berlaku di Negeri Sembilan tetapi sangat bersinambungan dengan cerita-cerita di Perak seperti dipaparkan dalam Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - The compilation. Teringat pula bagaimana istana hinggap Sultan Perak di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur terletak sebelah menyelah dengan istana hinggap Yamtuan Negeri Sembilan...
Ini adalah komplek pejabat dan jualan syarikat Wanija di Senawang, selatan Seremban.
OK. Saya tak tahu kenapa gambar-gambar tadi keluar dalam bentuk retro. Sedangkan seingat saya ia diambil dalam keadaan biasa auto dan itulah yang terpapar pada skrin kamera.
Apapun, ibu Wan Ikmal ini adalah anak kepada Laksamana Razali yang merupakan sepupu kepada datuk saya iaitu bapa kepada bapa, Mohamed Arshad bin Muhammad Wahi bin Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Bapa beliau pula berketurunan Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim melalui isterinya Toh Puan Halimah binti Laksamana Muhammad Amin. Jadi memang ada darah keluarga Laksamana baik belah ibu mahupun bapa.
Sementara itu almarhum abangnya pernah memegang jawatan Menteri Paduka Tuan Perak sebelum meninggal dunia sekitar 20 tahun lepas lalu digantikan oleh Menteri Paduka Tuan sekarang yang berpangkat bapa saudara.
Selain itu kami mahu menentukan hala tuju seterusnya, apakah tindakan susulan yang terbaik harus dilakukan dan bagaimana. Menariknya sambil mesyuarat berjalan sambil itu berlaku majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-17 di Istana Negara.
Alhamdulillah kali ini saya tidak perlu memandu jauh untuk menyertai mesyuarat. Saudara dua pupu, Huzaireen yang datang dari Alor Setar mengambil di rumah di Bandar Sungai Buaya, selepas terlebih dahulu mengambil seorang saudara di Permatang Pauh kemudian di Bukit Mertajam pada petang Sabtu.
Sebelum ke Senawang selepas Subuh pagi Ahad kami berehat di pangsapuri milik salah seorang saudara tersebut di Shah Alam. Hampir sampai ke Seremban seorang saudara dari Pontian menelefon untuk memberitahu hampir sampai ke bandar dengan menaiki bas lalu meminta agar mengambilnya di terminal.
Maka kami sampai ke tempat mesyuarat berlima dalam satu kereta sebelum bertemu ramai lagi saudara mara, beberapa orang dari Pantai Timur.
Di sini cukuplah dinyatakan mesyuarat kami terasa sangat bernas dan memuaskan.
Ini kerana selain mendapat banyak maklum balas positif daripada keluarga kami dibantu oleh seorang pegawai kerajaan daripada satu jabatan tertentu.
Beliau memberikan penerangan tentang apakah itu Wasiat Wajibah seperti diputuskan oleh mahkamah (rujuk balik
Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Akhirnya, keputusan kes faraid harta Laksamana) dan bagaimana jabatan boleh membantu memudahkan proses seterusnya. Ini sangat memberikan pencerahan dalam menetapkan hala tuju. Sambil itu saudara mara yang datang semuanya mesra, tidak ada yang angin-angin jadi baran tak pedulikan orang seperti pernah berlaku beberapa kali dalam pertemuan lalu. Terasa sungguh ada kerapatan darah daging sama membuatkan saya merasa begitu cergas walaupun mesyuarat memakan waktu sehingga lewat petang sedangkan saya kurang rehat.