Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Disember 31, 2021

Pantai Timur penghujung 2021 - Merentas baki banjir dan tanah runtuh di tengah Pahang

Salam lewat petang Jumaat 31 Disember merangkap hari terakhir bagi tahun 2021. Pergi kita ke cerita hari ke-3 perjalanan ke Pantai Timur. Bersambung daripada artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa.



Awal pagi Isnin 20 Disember 2021. Kemunculan matahari di celah awan setelah beberapa hari asyik hujan memberikan harapan.



Hari menjadi semakin terang, tiada lagi tanda-tanda akan turun lagi hujan. Sekitar jam 1.30 petang saya dan keluarga pun keluar meninggalkan rumah kawan di Bukit Tinggi. Kawan yang memiliki rumah turut keluar sama kerana mahu kembali ke rumah utamanya di Petaling Jaya.



Kami mengambil jalan turun bukit yang terdekat dengan harapan tanah runtuh yang menghalang laluan semalam sudah dibersihkan oleh pihak berkenaan. Rujuk cerita dalam artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa.



Tengok-tengok tiada tanda pun berlaku sebarang usaha pembersihan. Cuma cuaca panas telah menyebabkan sebahagian tanah runtuh menjadi cukup keras lalu kawan pun meneruskan untuk menyeberang. Kelihatan kereta beliau di hadapan.




Cuma tinggal sedikit sahaja tanah runtuh perlu dilalui sebelum keretanya tersangkut dalam pasir selut. Saya pun keluar untuk menolong membersihkan tanah yang menghalang...



Setelah 5 minit berusaha kereta beliau pun  lepas. Beliau pun mengajak untuk mengambil laluan sama. Tetapi kereta Kenari kami kecil, tayarnya pun kecil dan kuasa kurang, tidak seperti kereta besar beliau. Adalah lebih selamat untuk berpatah balik lalu mengambil jalan jauh yang naik dahulu ke puncak kemudian turun dari bahagian lain bukit. Selepas kereta tersangkut petang Sabtu rasa serik takut terkena lagi. Sekali lagi rujuk cerita berkenaan dalam artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa.



Namun beliau terus memujuk untuk mencuba. Kami pun bersama-sama membersihkan bahagian tanah runtuh yang boleh menyebabkan kereta tersangkut. Oh. Sebetulnya gambar ini diambil jam 2.03 selepas kereta kami lepas. Namun kami menyambung usaha membersihkan tanah supaya kereta lain pula tidak mengalami masalah...



Walaupun kereta kecil kami sendiri dapat melepasi rintangan dengan sekali pergi, cuma ada sedikit tergelincir ke kiri dan ke kanan kami usahakan juga supaya lebih mudah bagi orang lain kalau mahu mencuba laluan sama.




Setelah cukup puas baru berhenti buat kerja. Kebetulan terdapat air terjun tercipta akibat tahan runtuh. Sambil kawan balik dahulu saya dan anak-anak pun layan.



Tu dia mandi air terjun tanah runtuh...



Selepas jam 2.39 petang kami pun menyambung perjalanan. Ternyata jalan ke timur sudah dibuka...




OK. Ketika menulis ayat ini sudah jam 7 lebih petang sedangkan saya dan keluarga harus ke Bangi untuk ke satu majlis Maulidur Rasul selepas ini. Oleh itu biar diringkas penceritaan. Kami mengambil laluan alternatif untuk sampai ke destinasi. Banyak bahagian jalan masih tinggal kesan banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat tak henti yang melanda separuh Semenanjung hari Jumaat dan Sabtu. Boleh dilihat kereta-kereta tersadai dan sebagainya akibat ditenggelami air...












Untuk lebih banyak gambar dan penerangan sila lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-









Ada pula bahagian yang kami perlu tunggu lama kerana masih dalam  proses pembersihan. Ada bahagian yang masih digenangi air lalu kami harus mencuba jalan lain. 




Lihat artikel-artikel berikut :-






Kami juga ada membuat video secara siaran langsung di Facebook menunjukkan keadaan di satu bahagian tanah runtuh. Lihat sini.




Halangan-halangan tersebut menyebabkan begitu banyak masa terbuang. Ketika singgah di masjid ini untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar sudah jam 6.15 petang. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Simpang Pelangai, Bentong, Pahang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sedangkan untuk ke mana-mana pun selepas itu harus turun lebih jauh lagi ke selatan masuk ke Negeri Sembilan.

Masih jauh lagi untuk sampai ke Temerloh apa lagi hendak ke Kuantan sedangkan tidak kelihatan jaminan laluan seterusnya boleh dilalui dengan mudah dan selamat. Isteri pun mencadangkan agar kami kembali sahaja ke Lembah Klang. Mungkin melalui Kuala Klawang ke Hulu Langat. Itupun ada kemungkinan laluan bermasalah. Atau turun ke Kuala Pilah kemudian ke Seremban. Itu mungkin lebih selamat.

Apakah anda sendiri akan buat dalam keadaan begini? Perjalanan masih jauh, anda sudah penat. Tiada jaminan jalan selamat dan boleh dilalui. Takut terhalang oleh banjir dan/atau tanah runtuh. Lagi pun memang Pantai Timur sedang musim tengkujuh. Fikir-fikirkan. Sekarang biarlah saya bersiap untuk ke majlis di Bangi. Apa-apapun untuk tengah malam ini biar diucapkan selamat tinggal tahun 2021 dan selamat datang tahun baru 2022.


Khamis, Disember 30, 2021

Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa

Masuk cerita hari ke-2 perjalanan ke Pantai Timur baru ini. Bersambung daripada artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Membuka secara tradisi di Sarang Art Hub.


Pagi Ahad 19 Disember 2021 sekitar jam 7.18. Pemandangan kelihatan begitu cantik dari rumah kawan di Bukit Tinggi Pahang. Terasa seperti mendapat 'hadiah' setelah bersusah payah meredah hujan lebat dari Tanjung Malim melalui jalan Batang Kali ke Genting Higlands lewat malam sebelumnya. Lihat artikel Fine views from Bukit Tinggi after heavy rain di blogspot BERPETUALANG KE ACEH



Cuma langit terus mendung kemudian ada hujan rintik-rintik. Beginilah keadaan ketika kami sedia untuk meninggalkan rumah kawan jam 1.51 petang.




Tidak disangka dan tak tahu pun bahawa sudah berlaku malapetaka di banyak tempat. Yang kami tahu laluan dari Tanjung Malim kemudian menaiki gunung kelihatan elok walau hujan lebat. Cuma ketika mendaki Bukit Tinggi sahaja ada 4-5 tempat pokok tumbang dan 2-3 tempat tanah runtuh. Paling teruk adalah seperti yang kelihatan dalam gambar. Halangan lain boleh dielakkan dengan memandu ke tepi...




Tanah runtuh yang ini tidak dapat dielakkan kerana melimpah sehingga ke seberang jalan. Pada malam sebelum itu kami berjaya melepasinya, begitu juga kawan pemilik rumah dengan satu kereta dan seorang kawan lain dengan satu kereta. Kami pun cuba lagi melepasi tanah runtuh.  Kali ini tak boleh. Keadaan lebih teruk berbanding semalam lalu tayar tersangkut dalam selut dan pasir. 

Adapun kereta mula tersangkut sebelum jam 2.10 petang. Gambar ini diambil pada 2.13 jam setelah mencuba beberapa kali untuk melepaskan tetapi tidak berjaya. Setakat kami anak beranak tak cukup tenaga dan tiada peralatan membantu. Kami pun menelefon kawan yang memiliki rumah bagi mendapat pertolongan. 




Gambar ini pula diambil jam 2.48 petang. Kami masih menunggu pertolongan sampai. Kebetulan ada papan tanda lambang tengkorak menandakan kawasan ini memang berbahaya. Kelihatan juga air terjun yang terbentuk akibat tanah runtuh. Sebelum ini tidak ada air terjun...




Gambar ini pula diambil pada jam 3.08. Kereta sudah berjaya dibebaskan dengan pertolongan kawan. Beliau turun dengan satu kereta bersama 3 orang pekerja dalam kereta lain. Mereka membawa sebatang cangkul dan sebatang penyodok lalu kami sama-sama mengalihkan pasir selut yang menyebabkan tayar kereta tersangkut. Selepas itu kami menolak kereta sambil isteri menekan minyak mengundur ke belakang. Lepas sahaja kereta semua orang menjerit "Horay!" kegembiraan.



Beginilah keadaan kereta selepas berjaya dibebaskan.




Kemudian baru teringat bahawa jalan di Bukit Tinggi ini berbentuk satu lingkaran besar. Ertinya boleh cuba turun bukit melalui jalan sama tetapi di bahagian lain bukit dengan mengelakkan tanah runtuh tadi. Tapi perlu naik dahulu ke kawasan Berjaya Hills Resort di puncak sebelum turun di bahagian yang berlawanan. Cuma tak pasti boleh lepas ke tidak, takut ada tanah runtuh lagi menghalang.

Nasib baik ada sejumlah pekerja Resort sedang membuat tinjaun lalu memberikan jaminan boleh turun bukit melalui jalan sebelah sana. Namun kami juga diberitahu jalan menuju ke Pantai Timur sedang bermasalah. Hujan lebat yang berpanjangan dari hari Jumaat sehingga melepasi hari Sabtu telah menyebabkan banyak kawasan banjir dan tanah runtuh teruk. Lalu susur keluar ke timur dari Bukit Tinggi sudah ditutup dengan blok-blok batu besar. Yang tetap terbuka adalah susur keluar ke barat untuk ke Lembah Klang.




Hal ini membuatkan isteri terasa elok dibatalkan sahaja perjalanan lalu kembali ke rumah. Saya jawab sabar dahulu. Elok tidur lagi satu malam di Bukit Tinggi kemudian lihat bagaimana keadaan keesokan hari. Oleh kerana kami tidak boleh berjalan jauh saya mengajak isteri membawa anak-anak makan angin di Resort dekat puncak. Kawan yang asalnya bercadang mahu kembali ke rumah utama beliau di Petaling Jaya  pula mengajak pergi ke pekan Bukit Tinggi yang terletak menghampir Janda Baik kerana mahu membeli bekalan makanan. Kami pun meletakkan kereta berdekatan Resort lalu naik kereta beliau.




Ketika itulah dapat melihat sendiri susur keluar dari Bukit Tinggi ke Bentong (menuju ke Pantai Timur) telah ditutup dengan blok-blok batu besar. Untuk pengetahuan nama Bukit Tinggi ada yang merujuk pada kawasan peranginan di atas bukit, ada merujuk pada pekan Bukit Tinggi di bawah kira-kira 5 km ke barat dari pintu masuk jalan ke kawasan peranginan. Masuk ke Lebuhraya Karak menuju ke pekan kelihatan kereta dari arah Kuala Lumpur berderet-deret tersangkut. Semasa gambar ini diambil jam 4.02 kenderaan sudah mula disuruh berpatah balik dengan membuat pusingan entah di mana, agak jauh ke arah timur dari jalan masuk ke kawasan peranginan, mungkin di Hutan Lipur Lentang.




Kami dapat bergerak lancar kerana mengambil arah berlawanan. Di pekan Bukit Tinggi saya menemui ramai pemandu yang terkandas tidak dapat meneruskan perjalanan ke arah Pantai Timur akibat banjir dan hujan runtuh. Ada yang baru berpatah balik di Lebuh Raya Karak, ada yang berpatah balik dari jalan lama Kuala Lumpur ke Bentong. Ada pula yang masuk setelah melihat kesesakan seperti ditunjukkan dalam gambar tadi. Antara mereka ada yang masih mengira-mengira mungkin masih ada jalan atau laluan alternatif ke Pantai Timur. Atau boleh tunggu barang sejam dua untuk keadaan cukup pulih lalu jalan dibuka?




Selesai membeli keperluan sekitar jam 5 kami menghala kembali  ke rumah kawan melalui laluan yang kurang bermasalah. Bukan tidak ada tanah runtuh dan pokok tumbang, cuma tidak teruk sampai menghalang. Ketika itu tidak ada lagi kesesakan malah tidak kelihatan pun kenderaan lain menuju ke timur. Didapati bahagian berkenaan di Lebuh Raya Karak sudah ditutup dengan blok-blok batu besar. Ada kon sepanjang jalan menunjukkan jalan dua lorong telah dijadikan satu lorong supaya kenderaan boleh berpatah  balik sebelum bahagian yang ditutup. 




Sampai ke tempat  meninggalkan kereta kami pun turun lalu membawa anak-anak ke Resort. Singgah dahulu di masjid yang kelihatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Di Resort hampir tidak kelihatan langsung pengunjung walau hujung minggu...










Jam 6.13 petang baru sampai kembali ke rumah kawan...




Selepas itu baru menonton berita lalu mendapat tahu betapa teruknya kesan hujan lebat di banyak tempat, hujan luar biasa sehingga dikatakan hujan sebulan turun dalam tempoh 2 hari. Baru juga mengikuti perkembangan melalui media sosial Facebook dan WhatsApp. Ternyata apa yang kami alami cuma sedikit sahaja Tuhan bagi rasa. Sedangkan di tempat-tempat lain ada kediaman dan kenderaan tenggelam, ada tanah runtuh jauh lebih teruk yang kesannya berpanjangan.


Selasa, Disember 28, 2021

Pantai Timur penghujung 2021 - Membuka secara tradisi di Sarang Art Hub

Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga baru sahaja 3 hari kembali daripada perjalanan ke Pantai Timur. Hampir-hampir sahaja perjalanan dibatalkan akibat masalah banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan banyak laluan ditutup atau berbahaya untuk dilalui akibat hujan lebat lebih 48 jam yang melanda banyak tempat di Semenanjung lebih seminggu lalu. Sekarang, selepas cukup surut penat bolehlah mula dikongsikan cerita.



Adapun sudah menjadi kebiasaan bagi saya dan isteri ke Pantai Timur hampir setiap penghujung tahun sejak lebih 10 tahun. Ini kerana dua anak isteri dengan bekas suami pernah duduk di Kelantan bersama bapa saudara mereka lalu kami pun ke sana apabila masuk cuti sekolah. Perjalanan ke Pantai Timur kali ini terasa wajib dibuat atas panggilan tertentu. Kali terakhir  ke sana adalah pada bulan April tahun 2019 dan panggilan kali ini juga terkait dengan perkara sama. Lihat artikel-artikel berikut :-









Asalnya kami bercadang untuk memulakan pada hari Ahad 19 Disember 2021. Tetapi ini dipercepatkan menjadi Sabtu 18 Disember supaya dapat menghadiri satu majlis di Tanjung Malim kemudian menuju ke Pantai Timur tanpa perlu kembali ke rumah.



Dari rumah di Sungai Buaya, Rawang adalah lebih dekat mengambil Lebuh Raya PLUS ke Tanjung Malim. Tetapi sengaja diambil jalan jauh melalui Serendah membawa ke Batang Kali kemudian ke Kuala Kubu Bahru supaya dapat singgah di tempat yang kelihatan ini, Alor Lempah di KKB. Kami pergi kerana anak-anak menuntut mahu mandi sungai setelah kali pertama dibawa ke sana pada hari Rabu 15 Disember. Ketika itu kami ke KKB kerana mahu membuat kad pengenalan anak. Selesai urusan timbul rasa untuk membawa mereka naik ke Bukit Fraser kemudian singgah di tempat ini. Tetapi ketika itu tidak membawa baju mandi mahupun apa-apa baju lebihan kerana tak terfikir pun hendak berjalan jauh mahupun mandi sungai ketika itu. Itupun yang anak-anak merasa tidak puas...




Oh. Kami keluar dari rumah pada jam 2.45 petang dalam keadaan hujan lebat tak henti-henti sejak hari Jumaat. Ketika sampai ke Alor Lempah yang merupakan tinggalan daripada empangan zaman British di Sungai Selangor pun hujan masih lebat lalu air sungai deras dan keroh. Kalau anak-anak mahu mandi insyaallah akan saya temankan juga di bahagian yang cukup selamat dan saya mampu jaga. Nasib baik mereka sendiri membatalkan setelah melihat keadaan lalu kami pun meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim melalui jalan lama.



Jam 4.26 gitu sampailah ke tempat tujuan di Tanjung Malim iaitu Sarang Art Hub. 




Ada majlis dipanggil Anjung Tradisi 3.0.




Ia merupakan edisi ketiga majlis berbusana tradisional Melayu atas nama Anjung Tradisi. Acara ini tercetus lebih 4 tahun lalu akibat satu rancangan berkenaan antara saya dengan penyelenggara tempat, sutradara filem terkenal Mamat Khalid. Lihat artikel Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diikuti Anjung Tradisi 2018 di Sarang Art Hub - Mengomel sikit tentang keMelayuanlah pulak....




Sayangnya Mamat meninggal dunia secara mengejut, katanya akibat masalah jantung 2 bulan lalu. Balunya ada memberitahu hampir sahaja hendak menutup tempat (dahulunya rumah rehat Tanjung Malim) kalau tidak kerana ramai yang memujuk agar ia terus dibuka kerana mereka sukakan suasananya.




Kami sendiri datang untuk menunjukkan sokongan terhadap arwah dan keluarga yang sudah dikenali sejak tahun 2013 lagi. Jam 6 lebih bermulalah sesi tahlil untuk arwah... saya minta agar dipanjangkan niat pahalanya bagi semua pejuang Melayu. Kelihatan dalam gambar berbaju oren anak sulung arwah, Amen Khalid. Beliaulah kini yang menggalas tugas sebagai ketua keluarga juga menjaga Sarang Art Hub malah menyambung kerja-kerja bapanya sebagai sutradara, sekurang-kurangnya bagi filem-filem yang masih dalam pembikinan...









Malam selepas jam 8 diadakan pula sesi rasmi penutup majlis. Hadir sebagai VVIP adalah Orang Besar Jajahan bagi daerah Muaalim, Dato' Ir. Dr. Safry Kamal. Saya pula telah diminta duduk di sebelah beliau sepanjang sesi. Mungkin kerana menghormati perhubungan saya dengan arwah Mamat Khalid juga reputasi dalam kalangan aktivis busana tradisional Melayu juga para pesilat.




Persembahan silat khas pun diadakan para tetamu kehormat. Gambar tadi dan seterusnya diambil daripada tempat duduk saya di sebelah VVIP yang juga merupakan pemegang gelaran Toh Paduka Setia, seorang daripada Orang Besar 16 negeri Perak.









Isteri ada mengambil gambar saya bersama VVIP. Kelihatan paling kiri pula adalah Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Mohd Zahuri Khairani.




Selepas itu kami duduk makan malam di meja tetamu khas. Sambil itu diadakan persembahan silat daripada beberapa kumpulan untuk tatapan umum. Sempatlah saya bercerita panjang lebar dengan VVIP tentang hal ehwal pentadbiran negeri Perak, dapat juga bersoreh tentang asal usul keturunan. Beliau memberitahu berasal daripada keturunan Long Ja'afar sedangkan isterinya pula saudara dekat dengan pemegang gelaran Laksamana Raja Mahkota Perak yang meninggal dunia hampir setahun lalu. Nah, Rupa-rupanya ada kaitan keluarga juga dengan saya...

Oh. Isteri saya ada membuat sejumlah rakaman video sekitar majlis secara langsung ke Facebook. Boleh tonton di Video 1 dan Video 2.


Pembetulan : Pada awal artikel ada disebut bahawa perjalanan ke Pantai Timur ini dibuat atas panggilan tertentu dan kali terakhir kami ke sana adalah pada bulan April 2019. Bila disemak kembali hal rupa-rupanya kami ada ke Pantai Timur lagi pada penghujung tahun 2019. Ketika itu dalam rangka perjalanan ke Krabi di pantai barat selatan Thailand lalu kembali melalui Pantai Timur Malaysia. Lihat artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Kota Bahru dan laluan Pantai Timur diikuti Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Menutup gerak di Terengganu.