Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, November 25, 2023

Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik

Salam semua. Ada sedikit perkongsian harus dilepaskan sebelum masuk tarikh 26 November cuma beberapa jam sahaja lagi.



Semalam, hampir tengah hari Jumaat 24 November 2023 saya bergerak keluar untuk satu urusan di bandar raya Kuala Lumpur. Sesungguhnya agak jarang saya dapat meninggalkan kawasan rumah di Bandar Sungai Rawang sebelum solat Jumaat kerana perlu menghantar anak ke sekolah agama petang selepas solat selesai, sekarang ini sekitar jam 1.35 hingga 1.45 petang. Kali ini muncul kelapangan yang mana isteri dapat menguruskan anak lalu saya dapat keluar awal.




Pergilah makan tengah hari nasi beringin di medan selera dalam bangunan berdekatan tempat saya pernah bekerja sebagai wartawan iaitu ibu pejabat The New Straits Times Press (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar.




Terlihat bungkusan ini di meja hadapan tertarik untuk mengambil gambar. Ada tempahan 11 bungkus nasi beringin dari Parlimen. Ini harus dapat menunjukkan bagaimana hidangan istimewa ini cukup diminati ramai.




Selepas itu bergerak ke tempat saya menyambung pelajaran ke peringkat pascasiswazah iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.




Alhamdulillah cantik timing. Sebaik sahaja meletakkan kereta terdengar azan Zohor berkumandang menandakan tidak lama lagi akan bermula khutbah diikuti solat Jumaat.




Keadaan dalam masjid ISTAC.




Orang luar dibenarkan masuk bersolat.



Rupa-rupanya ada seminar sehari anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) berlangsung pagi hingga ke petang. Selepas solat saya pun menjenguk sebentar.




Sebetulnya tujuan utama saya ke keluar rumah kali ini adalah untuk mengikuti satu majlis ilmu di ISTAC. Tajuk dan pengisian adalah seperti kelihatan dalam poster. Sementara menunggu ia bermula jam 3 sempat ke pejabat akademik untuk memastikan sesuatu tentang pengajian saya di ISTAC. Ada satu pertanyaan timbul apabila melihat senarai para penerima ijazah pada majlis konvokesyen tahun ini (yang sebenarnya telah bermula tadi pagi Sabtu 25 November). 




Ia adalah tentang kedudukan saya sebagai graduan sarjana atau Master dalam bidang Malay World Studies (Pengajian Alam Melayu). Hal berkenaan ada dinyatakan dalam artikel Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat hampir 3 minggu lalu. Saya mahu tahu setakat mana uniknya kedudukan sebagai graduan bidang tersebut. Jawaban yang diterima membuatkan saya membuat perkongsian berikut di Facebook...



GRADUAN TERAKHIR MALAY WORLD STUDIES DARIPADA ISTAC
Salam petang Jumaat. Tadi baru confirm di pejabat akademik bahawa saya adalah graduan terakhir program pascasiswazah Malay World Studies (Pengajian Dunia Melayu) daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Untuk pengetahuan program ini mula diperkenalkan pada tahun 2017 tetapi dihentikan tahun 2019. Namun mereka yang sudah mendaftar dan diterima masuk tetap boleh meneruskan pengajian selepas itu hingga selesai.
Saya difahamkan ada belasan atau lebih sedikit 20 orang dahulu mendaftar masuk. Namun seorang demi seorang 'gugur' lalu tidak meneruskan pengajian. Akhirnya tinggal 2 orang sahaja lulus. Seorang menerima ijazah tahun lepas . Tinggallah saya untuk menerima ijazah pada hujung minggu ini. Alhamdulillah...
😎




Berbalik pada majlis ilmu yang menjadi asbab utama saya ke ISTAC. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Bagaimana Kita Tahu Apa Yang Kita Fikir Kita Tahu". Ia adalah ceramah ketiga (diadakan sebulan sekali pada petang Jumaat) atas nama Al-Ghazali Chair Philosophical Discourse (Perbincangan Falsafah Kursi A-Ghazali) bagi tahun 2023-2024. Saya telah menghadiri ceramah pertama, dibuat dalam bahasa Inggeris pada  29 September. Lihat Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia. Tetapi tidak berkelapangan untuk menghadiri yang kedua, dibuat dalam bahasa Melayu, diberi tajuk "Teori Evolusi Budaya" dan disampaikan oleh Dr Syafiq Faliq Alhan daripada Universiti Malaya, pada 27 Oktober.




Sebetulnya tajuk ceramah kali ini adalah semacam lanjutan pengisian daripada ceramah pertama. Kenapa perlu menimbulkan polemik "Bagaimana Kita Tahu Apa Yang Kita Fikir Kita Tahu"? Sebab boleh jadi apa yang kita tahu dan anggap benar itu sebenarnya palsu. Contoh mudah saya berdasarkan situasi dan sosiopolitik semasa dunia adalah ramai orang terutama di Barat sekarang merasakan diri mereka "tahu" bahawa para pejuang Palestin "adalah pengganas". Sedangkan ia sebenarnya propaganda anti-Islam yang dipacu oleh gerakan Zionis Israel. Sedangkan mereka itulah yang sebenarnya pengganas. Itu contoh mudah yang harus boleh difahami semua. Contoh kurang mudah adalah kita sebenarnya melihat suatu objek fizikal lalu membuat tanggapan tentangnya berdasarkan apa yang dapat dilihat oleh mata kita. Sebetulnya bagaimana kita boleh pasti apa yang dilihat dengan mata itu benar, bukan ilusi? Fikir sahaja silap mata...




Untuk menanggapi persoalan ini dibawalah dua orang pembentang dengan dua subtajuk pembentangan, Dr Burhanddun Al-Helmy membawa tajuk "Berbincang Teori Ilmu Pengetahuan : Sumber-sumber Primer dan Matematik" (terjemahan saya) dan John Wong membawa "Had-had Ilmu Pengetahuan : Adakah Mengejar Ilmu Pengetahuan itu Diingini? Adakah boleh Membawa Bencana pada Tamadun?"




Cuma sayang sampai masanya Burhanuddin tidak dapat datang kerana beliau dan seluruh ahli keluarga dijangkiti virus Covid lalu cuma John sahaja membentang. Moderator/pemuda cara iaitu Profesor Madya Dr Isham Pawan Ahmad daripada ISTAC menambah sedikit pandangan berdasarkan apa yang beliau faham tentang ilmu falsafah Plato berbanding Aristotle (kedua-duanya ilmuwan hebat Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi. Aristotle pernah menjadi murid Plato tetapi sungguh berlainan sudut pandang).




Secara rata apa yang disampaikan oleh John sama seperti telah ditulisnya dalam satu laman sesawang hampir 3 minggu lalu. Lihat Capturing My Reflections at the Malaysia Philosophy Society’s Thinkers Café: the Limits of Knowledge.  Bahkan beliau diundang bercakap pun akibat artikel tersebut juga beberapa artikel lain tulisan beliau tentang falsafah yang ada dikongsikan dalam grup WhatsApp "ISTAC Falsafah" yang mana saya ditarik menjadi salah satu anggota. 

Di sini tidak perlulah dihuraikan isi pembentangan dan perbincangan ya. Beliau telah menghuraikan dengan baik dalam artikel yang dipautkan. Malah, apabila muncul pelbagai lagi perspektif tentang ilmu pengetahuan hasil maklum balas dan perbincangan dalam ceramah beliau cepat-cepat menulis tentangnya. Lihat dan baca sendiri artikel Standing on the Shoulders of Giants: Takeaways from Giving a Talk at the International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IIUM) yang dipersembahkan sekitar jam 2 petang tadi.




Selesai ceramah saya berlegar-legar lagi di ISTAC barang sejam dua sebelum masuk ke pusat bandar raya. Singgahlah ke Pertama Complex kemudian ke Sogo. Dah lama tidak melepak di sebelah air terjun buatan dalam bangunan.




Ini pula di surau Kampung Chemperoh, Janda Baik ketika hendak solat Subuh berjemaah Sabtu 25 November iaitu pada awal pagi tadi.




Saya telah bermalam di surau kemudian berjalan-jalan melepak di tepi sungai.




Tujuan ke Janda Baik adalah untuk mengambil anak keluar bercuti dari ma'ahad tahfiz. Jadi alang-alang mahu ke ISTAC 40 km dari rumah terus berjalan-jalan ke beberapa tempat sebelum ke Janda Baik di negeri Pahang. Kalau ikutkan bukan masanya untuk bercuti balik rumah, kena tunggu hujung minggu awal bulan atau cuti tahunan pada pertengahan dan penghujung tahun. Tapi kali ini anak diberikan kebenaran atas sebab istimewa. 

Ini supaya dapat bersama ibunya melihat saya menerima ijazah daripada ISTAC dalam majlis konveksyen ke-39 UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang berlangsung 25-29 November. Saya punya sesi adalah pada esok pagi Ahad 26 November, satu tarikh yang sendiri sangat-sangat istimewa buat diri ini. Nanti akan dikongsikan cerita. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,454 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Selamat malam dan wassalam... :]


Rabu, November 22, 2023

Penyalahgunaan maklumat sejarah di media sosial - Bagaimana hendak menanganinya?

OK. Setelah masuk sedikit hal dunia pemikiran melalui artikel Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat hampir 3 minggu lalu diikuti hal perjalanan dan acara dalam artikel Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu pada 9 hari lalu dan Daripada bicara bab harta Laksamana ke bicara Pi Mai Tang Tu pada 3 hari lalu beralih kita ke satu topik menarik yang harus menjadi perhatian semua peminat sejarah. Untuk penceritaan biar digunakan gambar-gambar yang diambil daripada Facebook ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Semalam, selepas mengambil jubah di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak bagi majlis konveksyen yang akan berlangsung tidak lama lagi saya ke kampus ISTAC di Bukit Tunku untuk menghadiri majlis ilmu seperti tertera dalam poster atas.



Sampai masanya selepas jam 2.30 petang majlis pun bermula dengan guru dan penyelia tesis saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar memperkenalkan lalu memberi mukadimah tentang majlis. Beliau adalah pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC. Majlis diadakan atas nama dan tajaan Kursi.



Difahamkan sebelum majlis ini berlangsung topik berkenaan telah dipilih kerana sejumlah sejarawan melihat ada individu-individu bergelar Profesor daripada universiti-universiti terkemuka di Malaysia telah membuat dakwaan melampau tentang asal usul orang Melayu dan pencapaiannya. Apabila diwar-warkan melalui media sosial masyarakat umum menerima tanpa soal malah disebarkan merata sehingga menjadi kepercayaan dan diperkatakan ramai. Walhal apa yang dinyatakan belum terbukti benar secara ilmiah. Namun Osman sekadar mengulas ringkas tajuk secara umum sebelum menyebut nama-nama ahli panelis. Kata beliau terpulanglah kepada mereka untuk menangani tajuk penyalahgunaan maklumat sejarah itu. 




Panelis pertama Prof Dr Dato' Ahmad Murad Merican, juga daripada ISTAC memberikan sejarah ringkas Tanah Melayu dan peristiwa-peristiwa berkenaan seperti Perang Dunia Kedua yang dilihat membawa kepada wacana-wacana melibatkan sejarah di media sosial. Beliau melihat wacana sebegitu menjadi aktif dalam tempoh dua dekad kebelakangan.  




Menurut beliau perkara pokok yang menimbulkan reaksi ramai adalah tentang memaknai Malaysia, bagaimana sebenarnya sifat negara dan warganya. Dalam menyatakan ini beliau melihat ada sejarah dipalsukan demi kepentingan pihak tertentu. Bahkan beliau secara terus terang menyatakan ada buku sejarah peringkat sekolah menengah yang sebenarnya berdiri atas sejarah palsu.




Kelihatan dalam gambar ini saya bertanjak duduk di satu hujung memberikan perhatian penuh terhadap majlis. Selalunya saya rajin mengambil gambar untuk mengisi dan memandu artikel dalam blogspot. Tetapi sejak kamera digital kesayangan bermasalah dah jarang ambil gambar.




Panelis kedua Prof Dr Syed Muhammad Khairudin Aljunied daripada Universiti Malaya pula menjadikan apa yang sedang berlaku di Gaza sebagai contoh pemalsuan sejarah. Israel sebagai pihak berkepentingan menggunakan segala cara termasuk menggunakan media sosial untuk memberikan gambaran bahawa negara Palestin 'sebenarnya' tidak pernah wujud. Dengan itu bolehlah diabsahkan usaha untuk menghapuskan bangsa Arab Palestin dengan pelbagai cara.




Panelis ketiga, Dr Shazwan Mokhtar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia melihat pelbagai wacana yang muncul tentang sejarah di media sosial adalah sesuatu yang bagus kerana menunjukkan ramai ingin ambil tahu tentang identiti diri dan kebenaran. Namun perlu dipantau apakah maklumat yang dikongsikan itu benar atau tidak? Kalau benar pula, apakah ia disampaikan dengan tujuan yang benar, atau diselewengkan, untuk mencari populariti misalnya?




Panelis keempat Dato' Dr Qassim Ahmad, mantan profesor di Universiti Sains Malaysia membawa persoalan kelayakan untuk membicarakan sejarah. Jika dalam bidang kedoktoran dan undang-undang misalnya harus ada kelulusan yang setimpal bagi melayakkan seorang itu menjadi perawat atau peguam bagaimana pula dalam bidang sejarah?




Selesai pusingan pertama perkongsian daripada para panelis Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Adam yang merupakan seorang hadirin terkenal dalam bidang sejarah diminta memberikan pandangan. Hasil itu dan perbincangan berikutnya banyak perkara telah dikongsikan dalam majlis. Antaranya, persoalan mitos lawan kebenaran, makna negara bangsa dan kesan definisinya terhadap Alam Melayu dan pensejarahannya. Saya sendiri mengambil peluang untuk berkongsi pemerhatian sejak aktif menulis di blogspot juga media sosial sejak tahun 2006. Saya melihat pelbagai wacana termasuk penyalahgunaan maklumat muncul akibat dua faktor besar. 

Satu adalah apabila pihak-pihak tertentu mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti dinyatakan dalam perlembagaan. Atas alasan orang Melayu (kononnya) juga adalah pendatang seperti halnya orang Cina dan India di Malaysia. Kedua adalah berkenaan kisah-kisah akhir zaman seperti dinyatakan dalam hadis-hadis tertentu. Misalnya tentang kedatangan panji-panji hitam dari Timur. Ada melihat yang akan membawa panji-panji hitam itu adalah orang Melayu. Lalu muncullah pelbagai pendapat berkenaan sehingga ada yang menyalahgunakan maklumat sejarah. Untuk penerangan lanjut sila ikuti sendiri rakaman video di bawah...




Ahad, November 19, 2023

Daripada bicara bab harta Laksamana ke bicara Pi Mai Tang Tu

Salam semua. Baru ini saya telah membuat satu lagi perjalanan di Perak bagi mengikuti lagi perbicaraan di mahkamah syariah Ipoh melibatkan hal harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Ini ceritanya, dipadatkan dalam satu artikel sahaja.



Perjalanan bermula selepas Maghrib hari Selasa malam Rabu 14 November 2023. Selepas singgah makan malam di Slim River saya meneruskan perjalanan ke arah Ipoh sebelum beriktikaf lalu bermalam di masjid yang kelihatan. Gambar ini disambil pagi Khamis 15 November selepas Subuh. Masjid yang terletak di Kampung Gunung Mesah Hilir ini sudah beberapa kali dijadikan tempat rehat dan persinggahan dalam perjalanan pergi balik Ipoh.



Dari situ masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan melalui Tol Gopeng.




Sampai di Ipoh bersarapan di kedai makan sebelah stadium...







Saya ke sana kerana kedudukannya agak dekat dengan pejabat utama JPJ (Jabatan Pengangkut Jalan) negeri Perak. Selepas makan, singgah di surau berdekatan (lihat artikel Madrasah al-Islamiah, Kampung Simee, Ipoh dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)) kemudian ke JPJ membayar satu saman. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Kenapa kena rajin menulis? yang ditulis hampir 2 bulan lalu.




Masuk jam 10 baru sampai ke mahkamah syariah.




Satu perkara menarik dalam perbicaraan kali ini. Peguam lawan kelihatan begitu goyang sehingga banyak kali tersasul lantaran line of questioning atau aliran soal jawab yang nampaknya dirancang bersama anak guam beliau dibantah lalu harus dibuat soalan-soalan lain. Sehingga setelah beberapa lama asyik termanggu dan tersasul cakap hakim memberikan masa rehat supaya dapat mengembalikan rentak.

Gambar atas ini diambil di surau mahkamah ketika waktu rehat. Sekembalinya masuk untuk menyambung perbicaraan kelihatan peguam lawan lebih teratur namun sebenarnya masih tidak mendapat rentak. Beliau lebih banyak terdiam panjang sebelum mengeluarkan soalan. Mungkin balasan kerana beliau dan anak guam sebelum ini, sebelum berlaku sesi soal balas terhadap responden yang merupakan anak guam beliau 2-3 bulan kebelakangan, kelihatan sangat yakin menguasai perbicaraan sehingga ada masanya seperti mengejek pihak kami.




Selepas perbicaraan layan nasi ganja di tengah bandar raya Ipoh.




Keluar melalui jalan lama utama ke arah selatan ada kesesakan lalu lintas teruk hingga ke Gopeng.







Perjalanan diteruskan ke Kampar kemudian membelok menghala ke Teluk Intan. Di Air Kuning ambil satu jalan mengikut panduan Googe  Map yang kemudian membawa ke satu laluan pendalaman melalui ladang kelapa sawit dan kampung-kampung.



Lalulah jambatan ini yang menyeberangi Sungai Batang Padang, sungai yang turun dari kawasan pergunungan Cameron Highlands melalui bandar Tapah kemudian masuk ke Sungai Bidor yang seterusnya masuk ke Sungai Perak di Durian Sebatang/Kuala Bidor. Lihat artikel  Batang Padang river near Tapah Road di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Tujuannya mahu ke perpustakaan desa di Tapah Road bagi menyumbangkan 5 naskah buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" yang terbit Jun 2019. Kiranya menyambung usaha berkenaan daripada perjalanan-perjalanan ke Perak dan tempat-tempat lain sebelum ini. Rujuk cerita dalam artikel-artikel berikut :-






Setelah itu singgah di masjid sana. Lihat Masjid (Mosque of) Tapah Road. Apabila meneruskan perjalanan ke arah Teluk Intan tercari-cari di manakah surau dua tingkat di mana saya pernah menginap satu malam setelah sampai dengan kereta api dari Tanjung Malim ke Tapah Road. Ketika itu penghujung tahun 2003 saya baru pertama kali hendak ke Aceh. Selepas melawat anak dengan bekas isteri di Kepong lalu  memberikan sedikit duit belanja saya menaiki kereta api KTM Komuter ke Rawang. 

Ketika itu tidak ada lagi Komuter ke Tanjung Malim. Lalu dari Rawang saya naik bas ke Kuala Kubu kemudian menyambung ke Tanjung Malim. Memang destinasi saya malam itu hampir 20 tahun lalu hendak ke Teluk Intan. Sampai di Tanjung Malim sudah malam, nasib baik ada kereta api ke Tapah Road. 

Fikirnya hendak hitch hike ke Teluk Intan tetapi sampai pun sudah jam 1 pagi. Hal ini ada diceritakan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Selepas bermalam di Teluk Intan bergerak ke Lumut sehingga ke Pulau Pinang. Dari sana naik feri ke Medan. Kemudian baru ke Aceh melalui jalan darat.


Surau dua tingkat dekat Tapah Road menjadi penginapan sebelum boleh mendapatkan bas ke Teluk Intan pada pagi hari. Oh. Dalam perjalanan pada 15 November 2023 itu tidak kelihatan langsung surau berkenaan. Apapun, perjalanan diteruskan sambil mencari perpustakaan untuk membuat sumbangan buku. Seperti halnya sebelum ini kedudukan perpustakaan dicari melalui Google Map. Namun seperti berlaku beberapa kali apa yang ditanda dalam perisian sebagai lokasi perpustakaan rupa-rupanya cuma hutan belukar, kali ini menghala ke Chenderong Balai.




Mungkin disebabkan Allah SWT mahu saya lalu di jambatan yang menyeberang satu bahagian Sungai Padang menghilir sedikit dari Tapah Road. Kalau tidak kerana mencari perpustakaan 'alam bunian' itu saya akan terus ke Langkap lalu tidak mengambil laluan berkenaan. Lihat  Batang Padang river near Chenderong Balai.




Sampai ke pekan Langkap berlaku perkara hampir serupa.




Ikut petunjuk Google Map harus ada perpustakaan awam dalam lingkungan gambar ini.




Bila melihat lebih dekat memang ada. Cuma ia nampaknya lebih pada komuniti orang Cina lalu tidak sesuai dibuat sumbangan buku berbahasa Melayu.




Nasib baik perpustakaan seterusnya ditunjukkan Google Map iaitu di Chikus wujud nyata dan sesuai bagi sumbangan. Oh. Sebelum itu singgah di sebuah surau, selepas menyumbang ke masjid dekat situ. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Kampung Attaduri, Langkap diikuti Masjid (Mosque of) Chikus.




Perjalanan diteruskan menghala ke Teluk Intan. Singgah dahulu menziarahi makam Keramat Kuala Bidor dekat Kampung Bahagia. Ini sama seperti dilakukan ketika pertama kali hendak ke Aceh hampir 20 tahun lalu. Cuma dahulu saya perlu berjalan kaki dekat 2 km dari jalan besar ke makam, sekarang naik kereta.




Alhamdulillah, walaupun sampai di makam selepas jam 4.40 petang kemudian mengambil masa untuk bertafakur masih sempat sampai ke perpustakaan awam Teluk Intan sebelum jam 5. Dapatlah dibuat sumbangan buku lalu boleh dikira lengkap rancangan hari itu.




Seterusnya singgah minum petang di sebuah warung di Durian Sebatang. Sempat menulis lalu mempersembahkan artikel Pembentangan HIKMAH Sarang - Tentang Sharifah Fatimah dan lukisan-lukisan beliau di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Untuk makluman, ia adalah kesinambungan bagi usaha yang dinyatakan dalam artikel Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu pada hari Isnin 6 hari lalu.



Ziarah pula ke makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah I (bertakhta 1851-1857) dekat-dekat situ. Untuk makluman makam dan sejumlah besar tanah di sekelilingnya dahulu adalah milik keluarga. Durian Sebatang adalah pusat pentadbiran Laksamana pada abad ke-19 Masihi.




Selepas itu hingga lewat malam saya banyak berlegar-legar di bandar Teluk Intan.




Gambar di tepian Sungai Perak ini diambil pagi Khamis 16 November.




Saya telah bermalam di masjid warisan keluarga di Batak Rabit.




Dekat waktu Zuhur baru meninggalkan kawasan di mana pernah terdapat sebuah kota milik keluarga yang diduduki Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah II (1874-1877).




Pergi ke UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim...




Ada satu wacana tentang drama sitkom diadakan sempena pesta buku. Lihat Stopping by at UPSI book fair 2023.


Barulah tahu bagaimana siri drama sitkom ("komedi situasi") pertama di Malaysia iaitu "Syy" bermula tahun 1983 berdasarkan situasi sebenar sebuah kampung Melayu di pinggir bandar raya Kuala Lumpur dekat loji penapisan najis. Kemudian siri bertukar nama menjadi "Kampung Seri Wangi", setelah itu menjadi "Pi Mai Pi Mai Tang Tu". Selesai majlis sempat menulis dan mempersembahkan artikel Pembentangan HIKMAH Sarang - Alam Melayu dan jangkauan yang diperkecilkan Barat dalam dewan.

Saya sampai ke rumah selepas masuk waktu Isyak. Esoknya petang Jumaat 17 November ditulis dan dipersembahkan artikel sambungan Pembentangan HIKMAH Sarang - Tentang ketokohan dan perjuangan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Dengan itu lengkaplah segala penceritaan yang perlu melibatkan acara berkenaan yang dianjurkan di Tanjung Malim pada hari Sabtu 8 hari lalu seperti dinyatakan dalam artikel Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu. Dapatlah melengkapkan kompilasi bagi artikel Acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub, Tanjung Malim 11 November 2023 lalu dipersembahkan tengah hari tadi.



Sebagai mengakhiri artikel ini biar diberitahu bahawa ketika perbicaraan melibatkan harta Laksamana kali ini berlaku iaitu pada pagi hingga tengah hari Rabu 15 November berlangsung juga satu wacana ilmu yang kelihatan sangat menarik di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana harus berada di Ipoh harus saya pergi ke majlis. Nasib baik ada rakaman boleh dilihat di sini.