Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Januari 31, 2013

Dialog pengkisahan Istana Bandar Kuala Langat

Hari ni tarikhnya cantik... 31/1/13. Ketika ini pula dah malam Jumaat. Biar dikongsikan satu cerita... letak gambo dulu ya. OK. 

------------------- (setelah beberapa lama) ------------------

Oh... pagi Jumaat 1 Februari 2013 baru larat nak sambung cerita. Setelah tidur melepaskan penat lelah yang amat sangat, entah kenapa le agaknya. Mungkin sisa-sisa kesan satu usaha ketika HIKMAH III di Lumut.


Pagi Khamis 31 Januari 2013 saya bergegas ke Hotel Grand Bluewave di Shah Alam.


Masuk sahaja ke lobi kelihatan anak-anak berbaju cantik tradisional ini sedang turun tunggu. Ah. Saya baru terlepas majlis pembukaan ke?


Saya sampai sekitar 10.25. Nampaknya sudah terlewat setengah jam.


Namun tidaklah terlewat sangat kerana majlis pembukaan masih berjalan...







Oh. Majlis dinamakan "Dialog pengkisahan Istana Bandar Kuala Langat".




Dirasmikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ia dihadiri ramai kerabat diraja Selangor diikuti para peminat sejarah.




Majlis yang diadakan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), pihak yang bertanggungjawab menyelenggara muzium di negeri ini juga dihadiri beberapa orang kerabat diraja Perak terutama yang turut memiliki titisan darah diraja Selangor. Ada juga dari cabang diraja lain tetapi bersaudara, misalnya mereka yang dari keturunan kerabat diraja Lukut, anak cucu Raja Jumaat yang berketurunan Daeng Parani. Atau anak cucu Daeng Chelak tapi dari jurai di luar Selangor...


Rehat sebentar sarapan 10.45. Bolehlah melihat sedikit pameran di luar.


















Jam 11.30 majlis disambung dengan sesi pembentangan. Moderatornya Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Tan Sri Dato' Paduka Raja Haji Wan Mahmood bin Pa' Wan Teh (duduk di tengah). Pembentang pertama, Profesor Datuk Dr Abdullah Zakaria bin Ghazali (kanan) membentang tanpa teks dan slaid dari kerusi. Pakar sejarah dari Universiti Malaya ini memberikan mukadimah kesultanan Selangor apabila menceritakan beberapa nama watak awal pemimpin sebelum kesultanan Selangor dimulakan oleh Raja Lumu ibni Chelak kemudian menyentuh beberapa fasa kesultanan terutama yang melibatkan pertikaian dalam pemilihan sultan dan raja muda.


Pembentang kedua, Cikgu Mohamad Ali bin Alimin membawa kembali pembentangan kepada tajuk apabila menceritakan beberapa keistimewaan Istana Bandar dan kawasan sekelilingnya yang dinamakan Bandar Temasya, kawasan yang terletak di Jugra, Kuala Langat. Tentunya beliau bercerita panjang lebar tentang sultan yang bertakhta dan mendirikan istana tersebut, Sultan Alaeddin Sulaiman Shah ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Samad. Sultan Alaeddin diketahui sebagai seorang yang warak, tinggi ilmu agama dan sangat merendah diri.


Ini pula adalah gambar sesi petang. 


Selain pembentang sesi pagi dan moderator, naik ke pentas adalah tiga orang keturunan Sultan Alaeddin. Dua dari kiri adalah Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat Raja Dato' Haji Uzair bin Tengku Zainon Rashid bin Sultan Alaeddin. Dua dari kanan adalah Leftenan Tengku Aman, anakanda kepada Tengku Sri Asmara di-Raja, Tengku Akram Shah ibni Sultan Alaeddin. Empat dari kiri adalah anakanda sultan yang masih hidup, Tengku Mahmud Shah. Kalau tak salah pendengaran saya beliau sudah berumur 83 tahun. Ini bermakna beliau lahir samada tahun 1930 atau 1929. Sultan Alaeddin pula mangkat 1938.

Saya diberitahu Sultan Alaeddin memiliki ramai isteri dan gundik, Anak-anaknya ada tidak kurang 40 orang! Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah berpangkat cicit. Baginda adalah anakanda kepada sultan sebelumnya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Sultan Hishamuddin Alam Shah ibni Sultan Alaeddin.

Sesi petang merupakan sesi dialog di mana sejarah keluarga diperkatakan, minat sultan, aspek-aspek kesenian, keagamaan, sosial dan budaya sekitar Istana Bandar dibuka untuk perkongsian. Sambil itu pendapat dipinta daripada kerabat diraja lain juga para pengkaji dan peminat sejarah yang ada. Rupa-rupanya acara "Dialog pengkisahan Istana Bandar Kuala Langat" ini adalah satu fact-finding mission, misi mencari fakta. Untuk makluman, Istana Bandar sudah dibaik-pulih untuk dijadikan musium dan pihak yang bertanggungjawab mahu mendapatkan sebanyak mungkin maklum balas yang mungkin terutama dari ahli keluarga sultan untuk memilih barangan yang patut dipamerkan.




Rabu, Januari 30, 2013

HIKMAH III, PESAWAD, Laksamana Muhammad Amin dan Keramat Kuala Bidor

Assalamualaikum. Selepas membuat artikel HIKMAH III - Bersedia untuk memacu kebangkitan ummah yang merupakan perkongsian daripada blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) 3 hari lalu baru tadi siang tadi saya betul-betul dapat menceritakan apa yang berlaku semasa acara di blogspot itu. Lihat artikel-artikel ini :-






Sekarang mahu diceritakan satu hal tertentu yang turut  berlaku...




Ketika sibuk mewar-warkan HIKMAH III lebih dua minggu lalu saya ada menyebut pihak kami sedang cuba mendapatkan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Laksamana Muhammad Amin untuk memeriahkan acara. Untuk menyokong permohonan saya meminta pihak penganjur  di Perak menyebut bahawa presiden dan pengasas HIKMAH iaitu saya adalah keturunan Laksamana tersebut. Nama penuh saya pun dinyatakan sebagai Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Turut dinyatakan bagaimana moyang saya ini pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan benua Afrika tahun 1877 kerana dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch 1875.

Muhammad Amin yang kemudian dipindahkan ke bawah pemerhatian British di Singapura meninggal dunia di sana. Pada 9 September 2006 baru jenazah beliau dapat dibawa kembali ke Perak, menaiki KD Laksamana Muhammad Amin ke Lumut, tempat HIKMAH III diadakan Ahad lalu, kemudian dibawa ke kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan, Kuala Kangsar untuk dimakamkan kembali di sana. Perkara ini ada dikongsikan secara terbuka di Facebook lalu mendapat perhatian seorang hamba Allah. Beliau menyatakan bahawa ada cerita yang tidak diketahui ramai. Di kala umum diberitahu proses pengembalian laksamana diuruskan oleh kerajaan negeri Perak, dia mendakwa ini tidak akan berlaku jika kedudukan makam di Singapura tidak dapat dikesan oleh beberapa orang individu yang merupakan ahli PESAWAD, Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong, Melaka. Saya pun menyuruh beliau menyampaikan salam kepada pihak PESAWAD. Tidak lama kemudian saya dihubungi mereka yang menyatakan sangat berminat untuk menghadiri HIKMAH III.



Mereka meminta saya membuat surat jemputan rasmi agar dapat menggunakan kemudahan kerajaan negeri Melaka untuk ke Lumut. Tidak lama kemudian saya diberitahu mereka telah mendapat kelulusan Ketua Menteri untuk menggunakan bas kerajaan. Sayangnya ini ditarik-balik beberapa hari kemudian atas sebab tertentu. Namun mereka tetap muncul, kalau tak salah lebih 10 orang, 3 daripadanya adalah ahli yang menetap di Singapura.



Ketika rehat makan tengah hari dan waktu Zuhur baru kami berpeluang untuk bertemu lama dan bercerita panjang. Ketika itulah mereka memberitahu bagaimana pihak mereka telah berusaha  bersungguh-sungguh mengesan makam tetapi akhirnya dipinggirkan oleh kerajaan negeri Perak. Menurut mereka, hasil penat lelah mereka dilupakan setelah urusan memindahkan jenazah sampai ke peringkat tinggi. Seorang ahli dari Singapura yang memperkenalkan diri sebagai Ustaz Razali menunjukkan gambar-gambar makam asal di sana.



Petang itu, setelah pihak PESAWAD meninggalkan majlis untuk mengejar urusan lain, seorang sahabat yang dikira adik kepada saya dan isteri, saudara Zahamri Nizar menghadiahkan senaskah buku bertajuk "Travelog Seychelles" tulisan Talib Samat. Kata Zam, buku terbitan tahun 2012 yang dicetak kali kedua tahun 2013 itu mengandungi cerita tentang moyang saya, Laksamana Muhammad Amin. Malamnya saya pun mencari muka surat berkaitan. Ternyata ada satu bab khas tentang Laksamana. Sila buka gambar-gambar dalam windows baru untuk bacaan lebih jelas dan terang.




Pada perenggan atas muka surat 54 didapati ada kenyataan yang menyokong dakwaan yang dibuat Ustaz Razali dan PESAWAD pada tengah hari itu.  Lihat potongan gambar di atas. Nama Ustaz Razali tertera bersama dua orang lagi warga Singapura yang terlibat dalam pencarian, dua orang yang turut datang ke HIKMAH III untuk berjumpa saya. Walaupun nama PESAWAD tidak disebut dalam buku, perkataan bahawa "kawan-kawannya di Melaka" menolong sama harus merujuk kepada PESAWAD.

Semalam saya pun menghubungi pengerusi PESAWAD, Tuan Khalid Hussin untuk memberitahu tentang buku. Menyedari bahawa peranan mereka membawa kembali jenazah moyang saya telah dilupakan sejak sekian lama saya berjanji akan mengenengahkannya di blogspot saya dalam masa terdekat.




Adapun kenyataan dalam buku ini bukan dibuat sembarangan orang tetapi oleh Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Muda Laksamana Raja Mahkota Mohd. Khairi Ahmad Tazalli. Menurut salasilah keluarga laksamana beliau yang sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu adalah saudara dua pupu ayah saya. Ini menunjukkan walaupun peranan PESAWAD serta ahli mereka dari Singapura dilupakan oleh kerajaan negeri, keluarga saya sendiri tidak melupakannya...




Pada perenggan atas muka surat 56, ada disebut bagaimana tiga orang dari Singapura itu dibawa bertemu Raja Muda Perak untuk mendapatkan perkenan istana dalam usaha untuk mengembalikan jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak. Maka tidak dapat dinafikan apa yang mereka ceritakan kepada saya di Lumut adalah benar...




Alang-alang sudah berkongsi cerita tentang Laksamana biar ditunjukkan sampai selesai satu bab.












Walaupun peranan sebenar Laksamana Muhammad Amin dalam menentang penjajahan British di Perak sangatlah besar, cerita tentang beliau jarang disebut panjang lebar dalam apa-apa penulisan yang pernah dilihat sebelum ini... kecuali mungkin penulisan saya sendiri. Maka alangkah bangganya apabila mendapati satu lagi bab ditulis tentang beliau, kali ini mengaitkan dengan seorang leluhur utama kami yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.




Alangkah senangnya hati apabila mendapati cerita tentang watak keramat ini rupa-rupanya pernah dilakonkan semula dalam siaran "Jelajah Lagenda" di TV1. Ia muncul di kaca televisyen pertengahan tahun 2011. Tetapi saya tidak menyedarinya.




Melalui perenggan awal di muka surat 270 didapati buku penulisan saya merupakan salah satu rujukan.




Saya tahu kisah Keramat Kuala Bidor yang merupakan satu watak besar di Perak kurang diketahui generasi sekarang. Alangkah gembiranya apabila mendapati penulis buku ini, Talib Samat sangat berminat untuk menggali cerita tentangnya.




Walaupun kemudian Talib menyebut cerita tentang Keramat Kuala Bidor beliau dapati dari seorang pembentang kertas kerja, pembacaan lebih teliti menunjukkan cerita tersebut ditiru hampir 100 peratus daripada buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti".












Seperti bab khas tentang Laksamana Muhammad Amin biar bab ini turut disajikan sehingga selesai. Sekarang bandingkan tulisan dalam buku "Travelog Seychelles" itu dengan bahagian berkaitan pada buku saya. Lihatlah dengan teliti nescaya anda akan mendapati memang ia ditiru hampir bulat-bulat daripada buku saya. Tetapi saya tiada masalah tentang ini. Pada saya melihat cerita tentang para leluhur menarik minat orang ramai adalah perkara yang cukup menggembirakan. Saya tidak peduli sangat tentang hak cipta.



















Untuk lain-lain cerita tentang Laksamana Muhammad Amin rujuk artikel-artikel berikut : -

Ahad, Januari 27, 2013

HIKMAH III - Bersedia untuk memacu kebangkitan ummah


----------

Salam Maulidur Rasul. Cerita dari siang tadi sebagai persediaan untuk acara siang karang...


Tadi pagi jam 10 saya dan keluarga sampai ke masjid lama pekan Kuala Selangor lalu memasang banner HIKMAH di hadapan masjid. Tujuannya adalah supaya siapa yang mahu mengikuti konvoi saya ke Lumut untuk menghadiri acara HIKMAH III Ahad 27 Januari 2013 tahu saya sudah sedia menunggu.


Perkara tentang konvoi ini telah diumumkan di Facebook. Sebenarnya saya berbuat begitu kerana ada kawan yang mahu turut serta ke Lumut tidak tahu jalan. Apabila difikirkan balik alang-alang perlu menunggu kawan tersebut elok juga dibuat jemputan terbuka kepada semua. Tengok-tengok kawan itu akhirnya memilih untuk mengambil jalan lain. Namun tetap ada beberapa kenalan yang mengikuti konvoi.


Sebelum ini saya cuma perlu meletakkan kereta Kenari hitam di mana-mana tempat yang dicadangkan untuk pertemuan dan ia sudah cukup sebagai pengenalan. Ini kerana ramai juga mereka yang mengenali saya malah para pembaca penulisan saya di blogspots dan FB boleh cam kereta tersebut lantaran selalu digunakan untuk mengembara lalu ditunjukkan dalam gambar-gambar apabila berkongsi cerita. Kali ini kereta tersebut tidak dapat digunakan kerana ada masalah dan masih dalam bengkel. Saya terpaksa meminjam kereta orang untuk ke Lumut.


Kami singgah sebentar di masjid lama Batak Rabit, Teluk Intan. Saya mengambil peluang untuk menziarahi makam kaum keluarga.


Kemudian baru ke Lumut.


Masuk ke Marina Island, pulau buatan di perairan menghadap Pulau Pangkor.


Di situlah terletak dewan yang akan digunakan untuk HIKMAH III 8 pagi hingga 6 petang.


Malamnya baru saya melihat persiapan di dalam.


Ternyata acara ketiga HIKMAH di mana Persatuan Pencak Silat Daerah Manjung (PESADA) bertindak sebagai penganjur memang mahu diadakan secara besar-besaran dan berdarjat.


Ah. Saya bercakap seolah-olah tidak tahu HIKMAH mahu diangkat sebegitu rupa. Sebenarnya kali ini saya lebih banyak lepas tangan lantaran sudah kepenatan menjayakan acara HIKMAH I di Shah Alam 4 November 2012 dan HIKMAH II di Melaka 25 Nov (dianjurkan bersama MAGMA Melaka, persatuan guru-guru seni bela diri sana). Pihak PESADA yang banyak bertungkus-lumus mahu menjayakan HIKMAH III.


Semoga acara ini dan HIKMAH itu sendiri dapat mencapai matlamat penyatuan tanpa mengira latar belakang demi kebangkitan umat Melayu Islam dalam menghadapai cabaran getir akan datang akhir zaman. Sila lihat artikel-artikel berikut untuk sedikit latar belakang...