Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1, Buku 2 dan Buku 3.


Tuesday, February 19, 2008

Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan...

Setelah berjaya menyiapkan artikel-artikel bertajuk Tangkak, the textile town! dan
A quick trip up Gunung Ledang... dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH barulah saya dapat menyambung daripada cerita Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga ke Pagoh? . Cerita ini penting kerana ia bukan sahaja bakal menamatkan siri cerita-cerita "Segamat ke Muar" malah keseluruhan cerita-cerita Johor yang meliputi 8 daerah utama (mungkin 9, nanti kita bincang) di negeri selatan semenanjung ini.





Lihat gambar di atas ini... Kenapa begitu kabur? Kenapa pula gambar kabur ini diletakkan di sini? Untuk pengetahuan inilah Makam Panglima Mat Berani berhampiran Kuala Sungai Pagoh. Saya sampai di sini hampir waktu Maghrib... Eh... Rasanya sudah masuk pun waktu Maghrib.

Makam ini dihiasi batu nesan Aceh berkepak, sedikit serupa dengan batu nesan Aceh di makam Sultan Alauddin Riayat Shah tetapi lebih kecil. Saya tak tahu siapakah nama sebenar Mat Berani tetapi begitulah namanya dikenali. Apabila sampai, baru saya tahu Panglima Mat Berani adalah seorang pahlawan Melayu yang gugur setelah kejatuhan Kota Melaka tahun 1511 oleh Portugis... Gugur apabila tentera Portugis mengejar askar-askar Melayu yang berundur lalu berkubu di Muar, Sultan Ahmad di Bentayan dan ayahandanya Sultan Mahmud di Pagoh sekitar kawasan ini.

Makam Panglima Mat Berani ini terletak tidak jauh daripada Kuala Sungai Pagoh, kuala yang ada dipaparkan dalam gambar terakhir artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga ke Pagoh? . Untuk melihat kaitan semua ini, elok saya copy and paste satu sedutan daripada Internet... Hmm, nampaknya aturan dan ejaan perlu di edit sedikit. Tak pa...


Pagoh maksudnya 'bagus' mengikut Bahasa Melayu Tua. Ianya dibuka oleh Dato' Bendahara Wan Sulaiman dari Kota Tinggi pada tahun 1707. Anak Dato' Bendahara Wan Sulaiman bernama Dato' Bendahara Hassan (Tok San) menggantikannya. Penduduknya terdiri daripada orang Jawa, Minangkabau dan Bugis. Pagoh adalah asas penempatan kawasan hulu Muar dengan beberapa kesan sejarah silam yang menjadikan Sungai Muar sebagai penghubung utama dengan Empayar Kerajaan Melayu Melaka.

Pagoh merupakan satu-satunya tempat terpenting yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Empayar Melayu Melaka. Terletak di pinggir sungai terdapat sebuah kubu yang kini hanya terdapat kesan - kesannya sahaja. Kubu ini adalah kubu terakhir angkatan Melaka apabila diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Kubu ini terletak di Kuala Sungai Pagoh dan terdapat sebuah lagi kubu yang disebut Kubu Malini di satu kawasan tidak jauh dari kubu tersebut.

Terdapat sebuah perkuburan di kawasan ini yang dikenali dengan pusara Pahlawan Mat Berani, yang dikatakan salah seorang pahlawan Melayu dari negeri Pahang yang datang membantu angkatan Sultan Melaka bagi mempertahankan kawasan ini, tetapi telah kecundang dan telah dikuburkan di situ. Di tepi Sungai Pagoh kira - kira 2 kilometer dari Kuala Pagoh terdapat Makam Sultan Alauddin Riayat Shah (I), yang dimakamkan di dipinggir Sungai Pagoh bersama adindanya yang terkenal sebagai Al - Marhum Berdarah Putih.

Kedua - duanya mangkat di situ dan dimakamkan di tanah perkuburan kawasan masjid Jamek Kampung Raja. Sultan Alauddin adalah Sultan Merdeka yang memerintah Melaka 1477- 1488, merupakan salah seorang raja yang tegas menjalankan tugasnya dan baginda sendiri dikatakan berkawal menghapuskan perompak lanun yang mengganas di Melaka semasa pemerintahannya. Satu batu peringatan telah dibina oleh pihak Muzium Negara dan telah dirasmikan makam ini dalam satu upacara penuh khusyuk pada tahun 24 Disember 1971.


Selepas berhenti sebentar menziarahi Makam Panglima Mat Berani, kami pun mula bergerak untuk menghala ke Muar. Sebenarnya, saudara Khairul dari Segamat mengikut saya ke Muar kerana ingin menziarahi Kota Buruk, sebuah kota yang menurut ceritanya telah didirikan Parameswara di Muar sebelum baginda membuka Melaka... Baca artikel The legendary Kota Buruk (ruined fort) of Muar... yang dibuat hujung tahun lepas. Itulah kali pertama saya sampai di sana, 2-3 hari setelah menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga di Kampung Temiang, berdekatan Bukit Treh...

Berbalik pada perjalanan Segamat ke Muar... Pagi itu Khairul seolah telah menjangkakan kami akan sampai (jika sampai...) ke Kota Buruk pada waktu malam. Sebabnya, kami cuma dapat meninggalkan Segamat selepas makam tengahari akibat kawan-kawannya mahu lama bersoal-jawab dengan saya. Dan Khairul sudah pun diberitahu, kami perlu singgah ke beberapa tempat sebelum pergi ke Kota Buruk.

Bayangkan, kami sampai ke Makam Panglima Mat Berani pun sudah waktu Maghrib, bagaimana pula ke Kota Buruk yang terletak lagi 20km menghala ke bandar Muar? Bagaimana sedangkan gerak hati saya menyatakan ada beberapa tempat lagi yang perlu disinggahi walau tak pasti di mana...

Tak jauh selepas meninggalkan Makam Mat Berani, tiba-tiba saya rasa terpanggil melihat sebuah bukit. Terus saya keluar daripada kereta seraya menyuruh Khairul menunggu... Terus meredah sebuah kawasan ladang lalu memanjat bukit sehingga melepasi tiang eletrik yang terpapar di dalam gambar di atas...

Di atas sana, saya dapat melihat puncak bukit yang tidak berapa tinggi sekitar 100 meter daripada tempat saya berdiri... Kelihatan juga sebuah rumah batu 2 tingkat. Ait??? Betulkah apa yang saya lihat ini? Apakah ia cuma bayangan atau rumah orang bunian. Kelihatan ia seperti rumah yang agak moden. Mahu sahaja saya melangkah melihat lebih dekat jika tidak memikirkan hari semakin gelap... Susah nanti hendak kembali ke kereta kerana tidak membawa lampu picit. Dan Khairul pula sudah lama menunggu...

Oh... Kenapa saya paparkan 2 gambar di atas yang tidak cukup terang? Kerana mahu memberitahu, apa yang berlaku seterusnya boleh dikatakan dalam keadaan gelap belaka...

Setelah kembali ke kereta, kami singgah di sebuah masjid berdekatan. Di situ, melalui seorang jemaah baru saya dapat tahu bahawa bukit yang saya naiki itu dipanggil Bukit Setaki. Dan memang di atas itu ada rumah orang, rumah pengurus ladang...

"Bukit Setaki?" ajuk Khairul yang sangat teruja. Baru dia tahu inilah Bukit Setaki kerana pernah membaca tentangnya di dalam sebuah buku tentang sejarah Muar yang turut dibawa bersama... Dinamakan Setaki sempena nama seorang pengurus ladang berbangsa Inggeris zaman penjajah iaitu S. Tacky.

Rupa-rupanya memang patutlah Khairul ikut sama... Bukan sekadar memudahkan saya berjalan kerana dia memiliki kereta, rupanya orang Melayu yang pernah membuka kawasan ini dahulukala adalah saudara maranya, kalau tak salah ingatan dipanggil Tok San... Namanya ada disebut dalam cerita tentang Pagoh yang dipetik di atas.

Hmm... Eloklah Khairul ikut sama. Dia pun rajin menziarahi makam tetapi di belah Johor. Ini kerana menurutnya, bapanya berasal daripada keturunan Bendahara Pahang yang mana satu cabangnya muncul menjadi Sultan-sultan Pahang hingga sekarang. Ibunya pula daripada keturunan Sultan Ali (cuba baca Makam (tomb of) Baginda Ali ) yang kekuasaannya ke atas Johor kemudian diambil Temenggung Abu Bakar.

Masing-masing bermoyangkan Bendahara Tun Habib Abdul Majid (lihat Makam (tomb of ) Bendahara Tun Habab ). Tun Habib adalah adinda kepada Sayyid Jaafar yang membawa kepada keturunan Raja-raja Temenggung Muar (lihat Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu,... ) lalu terkaitlah dia dengan beberapa makam dan tempat yang diziarahi sepanjang perjalanan ini...

Daripada masjid, kami naik ke puncak Bukit Setaki. Di sebalik kegelapan malam yang diterangi sedikit dengan lampu kuning rumah yang penghuninya mungkin tidak menyedari kehadiran kami, saya deja vu lagi... Segala yang kelihatan daripada rupa rumah, suasana sekeliling sehingga ke kambing-kambing bertanduk pusing yang duduk di bangsal pernah saya lihat dalam mimpi atau bayangan bertahun lalu.

Allah, seketika itu juga saya dapat merasakan bukit ini pernah menjadi kubu kuat orang Melayu dahulukala. Yang pasti kedudukannya sangat strategik kerana ia adalah satu-satunya bukit yang saya lihat dekat dengan Kuala Sungai Pagoh lalu boleh digunakan untuk memantau pergerakan turun naik keluar masuk Sungai Muar... Lebih penting lagi dalam keadaan Portugis sedang mengejar ketumbukan askar Melayu pimpinan Sultan Mahmud yang berkubu di Pagoh!

Hmm... Nak cerita banyak takut panjang sangat pula. Cukuplah dikatakan kami kemudian sampai dan singgah di Panchor untuk membeli 2 set lampu picit sebagai persediaan untuk memasuki Kota Buruk. Oh, lupa hendak beritahu... Kebetulan malam itu malam Juma'at.

Daripada Panchor, Khairul mahu terus Kota Buruk. Saya ingatkan ada jalan short-cut tapi akhirnya tersilap jalan hingga menyeberangi Sungai Muar lalu berlegar-legar di Gerisik... Akhirnya terpaksa mengalah dan ikut jalan yang biasa diketahui orang... Perlu turun ke selatan ke simpang jalan menghala timur ke Pagoh, barat ke Bukit Pasir...

Ketika itulah saya dapat "panggilan" untuk masuk ke kawasan kuari sebelum Bukit Pasir. Semuanya kerana untuk mendapatkan kepastian tentang beberapa bukit yang pernah dilihat dalam mimpi... Sila baca The hill I saw in a recent dream? untuk memahaminya... Nyaris kami tersangkut dalam gelap-gelita (kecuali kehadiran lampu kereta) apabila kereta Khairul tersilap reverse lalu tayar tersangkut ke dalam lekukan tanah merah.

Selesai itu barulah kami masuk ke Kota Buruk, kalau tak salah ingat sekitar jam 11 malam. Malas hendak memanjangkan cerita lagi... Baca Kota Buruk (the ruined fort) in Muar... dan bayangkan membuat ziarah termasuk ke makam lama di tempat sebegitu jauh di dalam estet kelapa sawit pada jam 11 malam Jumaat yang gelap-gelita, setakat ada cahaya lampu picit sahaja...

Akhirnya tercapailah impian Khairul untuk ke Kota Buruk. Malam itu kami bermalam di rumah seorang bekas guru, kenalan Khairul yang berumur 60an... Orang tua ini amat meminati sejarah dan katanya biasa berhubung dengan pihak-pihak ghaib... Yang pasti, dia memiliki banyak koleksi bahan bacaan sejarah yang susah didapati di tempat lain selain menyimpan koleksi senjata-senjata lama seperti keris, pedang Arab dan rencong. Dan koleksi wang dinar lama yang dimiliki, tidak kurang 20 keping sama dengan apa yang saya pernah lihat terpapar di Internet... Dinar lama yang telah dikatalogkan, termasuk daripada zaman keSultanan Samudera-Pasai lebih 700 tahun lalu!

Orang tua itu menguji saya... "Lihat apa yang terdapat di bawah rumah ini..." Saya jawab saya tidak tahu menilik ataupun scan... Orang tua itu menyuruh juga. "Beritahu sahaja apa yang terpancar di hati"... Saya jawab saya lihat berpeti-peti kotak harta karun tertanam dengan di dalamnya terdapat pinggan-mangkuk emas juga tembaga merah. Orang tua itu tersenyum lalu mengiyakan. Lalu banyaklah perbualan kami malam itu di mana saya "dipaksa" menceritakan perihal senjata-senjata lama yang disimpannya... Cukuplah ini menutup cerita perjalanan Segamat ke Muar ya...


Lihat peta di atas ini untuk mendapatkan gambaran liku-liku perjalanan kami dalam satu hari dan malam itu... Elok juga ditelaah balik dengan membaca cerita Dari Segamat kembali ke Muar... Peristiwa Bukit Kepong... dan Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga... sekali lagi diikuti cerita yang ini...

Oh... Rasanya saya harus memberitahu. Tulisan ini dibuat untuk menutup semua cerita-cerita Johor yang dibuat kebelakangan ini, cerita berdasarkan perjalanan mengharungi 8 daerah utama negeri iaitu Muar diikuti Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Segamat. Lalu perjalanan kembali ke Muar boleh dikatakan sebagai penutup perjalanan melawan arah jam ini.

Dalam perjalanan, ada seseorang mengingatkan agar turut melawat Gunung Ledang. Katanya mungkin ada "talian" dengan bukit yang saya mimpikan hujung tahun lepas, mimpi yang ada terkeluar nama Tanjung Olak sehingga saya cuba mencarinya 2-3 hari selepas Aidil Adha dan cuba memastikan lagi dalam perjalanan Segamat kembali ke Muar ini.

Maka itu saya memutuskan untuk ke Gunung Ledang selepas puas berehat di rumah keluarga di Kampung Temiang. Lalu saya juga bermalam di Tangkak dan mungkin kedua-kedua perjalanan ini harus diambil kira, barulah lengkap cerita-cerita Johor. Ini kerana mungkin Tangkak sudah berdiri sendiri sebagai daerah yang terpecah daripada Muar. Mungkin tidak... Saya tak pasti tapi itulah yang disebut orang.

Untuk memastikannya, saya membuat sedikit kajian ringkas melalui google. Ternyata Tangkak sudah memiliki Majlis Daerah sendiri. Tetapi apakah ia sudah betul-betul berdiri sebagai daerah sendiri? Tadi saya masuk ke laman web kerajaan Johor dan mendapati laman yang diperuntukkan untuk Majlis Daerah Tangkak ternyata kosong. Dan saya tidak dapat menemui siapakah Pegawai Daerah Tangkak, apakah sudah ada atau masih bernaung di bawah Pegawai Daerah Muar? Mungkin pemecahan ini masih baru dan belum diwartakan sepenuhnya.

Jika telah diwartakan, maka jadilah Tangkak daerah ke 9 Johor. Apa hendak dihairankan? Suatu masa dahulu, Segamat juga terletak di dalam daerah (atau negeri?) Muar... Sebab itu Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman menyebut pemerintahan mereka ke atas kerajaan Kuala Bandar Muar sedangkan orang Segamat turut mengakui kedua ini sebagai watak legenda yang pernah berkuasa ke atas daerah mereka... Sebab itu juga Raja Temenggung Muar ada dimakamkan dan pernah berkuasa ke atas Segamat.

Perjalanan ke Gunung Ledang dan Tangkak nampaknya perlu untuk melengkapkan cerita-cerita Johor samada ia sudah diwartakan sebagai daerah ke 9 di Johor atau tidak... Atau ia masih daerah kecil merangkap daerah bawahan Muar. Apapun, ia nampaknya tetap perlu dijejaki. Mana mungkin mengaku berjalan seluruh Johor tanpa menziarahi gunungnya yang paling terkenal, gunung penuh legenda sehingga kekuasaan mistiknya dikatakan meliputi seluruh Tanah Melayu atau bumi Nusantara ini?

Maka itu saya telah siap-sediakan cerita-cerita berkenaan di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Jangan lupa baca A quick trip up Gunung Ledang... dan Tangkak, the textile town! untuk melengkap cerita-cerita Johor dan mendapatkan kefahaman yang tersurat dan tersirat di dalamnya... Hmm... Elok saya letak sedikit gambar berkenaan supaya lebih menarik untuk pembaca...


Untuk melihat lebih banyak gambar-gambar di Gunung Ledang, sila klik A quick trip up Gunung Ledang...


Untuk melihat keadaan Tangkak yang kini sudah memiliki Majlis Daerah sendiri, sila klik Tangkak, the textile town! Semasa bermalam di Tangkak lah saya rasa terpanggil untuk membuat posting bertajuk http://merahsilu.blogspot.com/2008/01/salam-daripada-tangkak-ledang.html , setelah mendengar aduan serta melihat sendiri bagaimana chatbox yang disediakan di blogspot ini telah dijadikan medan kecaman dan memaki-hamun oleh mereka-mereka yang kurang kesedaran...

Apapun, berbalik pada persoalan samada Tangkak sudah "merdeka" daripada Muar. Peta-peta Johor yang sempat saya lihat tidak menunjukkan Tangkak sebagai daerah sendiri. Mungkin belum lagi... Lihat peta di bawah yang saya diambil daripada Wikipedia, peta yang ternyata digunakan beberapa laman web lain di Malaysia juga.


Lihat peta ini dan bayangkan pergerakan pengembaraan saya menaiki pengangkutan awam, berjalan kaki juga menumpang kenderaan orang... Daripada Muar ke Batu Pahat ke Pontian ke Johor Bahru ke Kota Tinggi ke Mersing ke Kluang ke Segamat lalu kembali ke Muar... Selepas itu baru ke Gunung Ledang dan Tangkak kemudian masuk ke Melaka lalu tamatlah perjalanan Johor...

Perjalanan ini asalya sekadar untuk kembali menyambut Hari Raya Aidil Adha di Muar kemudian mungkin ke Kluang sahaja (itupun kalau pergi) untuk bertemu rakan daripada KL yang sering berulang-alik bekerja di Kluang... Ke Kluang juga kerana berhasrat untuk menziarahi sekolah lama saya, Sekolah Menengah Sains Kluang... Hmm... Sila juga jenguk kembali Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... Sebaliknya buat pertama kalinya di Muar saya pergi melawat Kota Buruk yang ternyata tidak begitu jauh daripada kampung saya... Sempat juga buat pertama kali menaiki Gunung Banang, pergi ke Pantai Minyak Beku melihat punca nama Batu Pahat kemudian bermalam di rumah Habib Ali, seorang Sayid yang disebut orang bertaraf Wali, setaraf dengan Almarhum Habib Nuh yang dimakamkan di Singapura!

Di Pontian, saya sempat menziarahi Muzium Bugis lalu mendapat kepastian secara zahir dan batin akan kaitan seorang anak Raja Bugis yang pernah "bermain-main" di Kota Buruk dengan keluarga sebelah ibu di Kampung Temiang. Di Johor Bahru saya menyusuri sedikit nostalgia lama sebelum ke Kota Tinggi lalu buat pertama kali menziarahi makam raja-raja daripada keturunan keSultanan Melaka di sana... Raja-raja yang selama ini saya tidak ambil peduli kerana dirasakan tidak ada kena-mengena... Disebabkan terlalu mengutamakan cabang keturunan Sultan Melaka yang beraja di Perak, yang banyak terkait dengan darah diraja Aceh.

Saya berehat menikmati udara laut di Mersing sebelum menyusuri nostalgia membesar di Kluang. Lalu ke Segamat di mana bermulalah proses penyambungan kembali wasilah diri ke darah keturunan Sayid lama belah sana yang kebanyakannya tidak lagi memakai nama Sayid... Ada pula kaitan tertentu dengan cerita Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman lalu berkait juga dengan anak-anak Raja Bugis seperti Daeng Lima Bersaudara, Daeng Parani, Daeng Kemasi, Daeng Merewah, Daeng Menambun dan Daeng Chelak.

Sebenarnya sejak kembali ke Muar untuk Aidil Adha lagi saya sering terfikir akan kaitan lama keluarga Ahlul Bait anak cucu Rasulullah SAW di sebelah Muar dengan yang di Perak dan Aceh, kaitan yang tersirat melalui cerita dalam Hikayat Malim Dewa di mana Tuanku Gombang Malim Dewa dikatakan membawa diri daripada Aceh lalu membuka negeri di Muar. Kebetulan pula saya ada terdengar tentang satu cerita yang tidak dapat disahihkan tetapi rasanya sangat berkait... Tentang seseorang bernama Sultan Muhammad Al-Kamil yang meninggalkan Bandar Khalifah di Perlak (dalam Aceh sekarang) abad ke 13 Masihi lalu berkerajaan di Muar.

Semasa bermalam di rumah bekas guru setelah selesai perjalanan Muar ke Segamat, saya ada menyebut tentang hasrat mencari kaitan pengembaraan di Johor ini dengan cerita Malim Dewa dan Malim Deman. Lalu terpacul perkataan "Sultan Muhammad Al-Kamil" daripada mulutnya... Hati saya pula mula berkata Sultan Muhammad Al-Kamil ini juga ada kena mengena dengan Terengganu... Ini mungkin menjawab persoalan kenapa seperti di Terengganu, rumah-rumah Melayu tradisional di Muar juga ada memakai ukiran batang kayu di sudut atas bumbung yang dikenali sebagai buah potong...

Kemudian, baru saya terbaca, mengikut sumber-sumber kajian kerajaan lama Batak, Sultan Malikul Mansur iaitu cucu Sultan Malikus Salih (pengasas kerajaan Samudera-Pasai) pernah merajai kerajaan Aru Barumun yang dibanggai orang-orang Batak dan berkahwin dengan anak Sultan Muhammad Al-Kamil. Tetapi ini bukan bermakna Malikul Mansur juga Malikus Salih adalah keturunan Batak seperti yang cuba diperjuangkan sesetengah pihak... Tidak, mereka cuma merajai beberapa golongan orang Batak seperti mana Yang di Pertuan Agung sekarang yang berasal daripada keturunan Tun Habib Abdul Majid, seorang berdarah Rasulullah SAW adalah juga raja bagi semua orang-orang Asli seluruh Malaysia.

Beginilah... Tak semestinya rakyat yang diperintah dengan raja atau bangsawan sesuatu negeri itu sama keturunannya. Saya bagi contoh terdekat, ibu mertua makcik di Ampang tempat saya menumpang... Katanya keturunan Mandailing, bukan calang-calang Mandailing... Datuknya adalah Datuk Setia Raja yang mendirikan Rumah Kuning di Batu Gajah.

Kata orang, Mandailing adalah orang-orang Batak yang masuk Islam... Dan orang-orang Batak sering digambarkan sebagai berwajah seperti orang Asli, Negrito dan sebagainya sedangkan muka ibu mertua ini yang saya panggil opah (sudah meninggal dunia hampir setengah tahun lalu) adalah putih bersih dengan ciri-ciri muka perempuan Arab.

Orang Batak juga sering dikatakan suka makan orang... Tak pa... Mungkin ia fitnah sepertimana orang Bugis dituduh lanun belaka sedangkan mereka berbuat begitu kerana selalu menyerang kapal-kapal Inggeris dan Belanda yang pernah memporak-porandakan tanah-air mereka. Tak pa.. Apa yang saya nak bagitahu adalah betapa jauhnya opah saya itu dengan sifat-sifat yang selalu digambarkan sebagai sifat orang Batak... Batak yang masuk Islam jadi Mandailing.

Soalan ini terjawab apabila saya melihat sendiri salasilah keluarga opah... Datuk Setia Raja di Perak membawa kepada Bendahara apa entah, saya lupa tetapi pernah berperang di Selangor abad ke 19 Masihi... Membawa pula kepada beberapa nenek-moyang di Sumatera yang sesetengahnya ada memakai nama raja disertai nama-nama berbunyi pelik yang mungkin memang nama-nama Batak.

Apa yang memeranjatkan adalah nama yang teratas... Menurut salasilah itu, mereka semua sebenarnya berasal daripada Saidina Ali Karamallahuwajha... Cuma daripada isteri yang lain iaitu bukan Saiditina Fatimah binti Rasulullah SAW. Jadi apakah Ali itu Batak ataupun Arab? Fahamkan betul-betul penerangan saya ini yang membawa kepada satu cabang keturunan bangsawan yang dikaitkan dengan Batak, setelah ia dikaji sehingga 1,400 tahun dahulu..

Suami opah pula adalah anak kepada seorang pahlawan Melayu terkenal di Perak iaitu Ngah Jabor. Ngah Jabor yang juga adik-beradik susuan Sultan Idris yang membuka Bukit Chandan diketahui berasal daripada keluarga Maharajalela yang dikatakan Bugis...

Ngah Jabor dikatakan hilang setelah selamat daripada hukuman gantung dan buang negeri yang dikenakan terhadap para pejuang Melayu yang disabitkan atas kesalahan membunuh J.W.W. Birch tahun 1875. Dalam masa itu, muncul satu watak pemimpin perang melawan penjajahan Inggeris yang dikenali sebagai Imam Perang Jabarumun atau Jabaranum, katanya orang Mandailing...

Ada sumber keluarga menyebut, Imam Jabarumun itu adalah Ngah Jabor dalam penyamaran. Maka apakah beliau itu orang Batak masuk Islam jadi Mandailing ataupun orang Bugis? Atau persoalan ini tidak begitu penting jika kita menyusur lebih jauh beberapa generasi ke atas lalu menyedari akan identiti nenek-moyang sebenar yang berasal daripada Tanah Arab?

Ah... Sudah banyak sangat pula saya menulis mengikut gerak hati. Cukuplah saya kata cerita-cerita Johor dan kaitan dengan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman ini boleh ditutup dengan satu nama... Sultan Muhammad Al-Kamil...

Selebihnya, kajilah siapa itu keluarga Al-Kamil yang pernah datang ke Tanah Melayu sejak lebih 1,000 tahun lalu... Fikirkan nama ini... Abdullah bin Hassan Al-Muthanna bin Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW. Hassan Al-Muthanna telah berkahwin dengan sepupunya iaitu puteri kepada Saidina Hussein, adinda Saidina Hassan. Lalu bercantumlah kembali darah Rasulullah SAW menjadi darah Abdullah, juga dikenali sebagai Abdullah Al-Kamil...

Abdullah meninggalkan banyak keturunan, antaranya Muhammad Nafs Az-Zakiyah atau Muhammad bin Abdullah yang juga dikenali sebagai Al-Mahdi semasa zaman peralihan keKhalifan Bani Umaiyah beralih ke Bani Abbasiyah. Daripada cabang Muhammad juga seorang adik (atau abang? saya tak pasti) muncullah para pemerintah di Maghribi sampai sekarang juga wali-wali besar seperti Sheikh Abul Hassan as-Shadzili, pengasas Tariqat Shadziliyah dan Sayid Ahmad bin Idris, pengasas Tariqat Ahmadiyah. Daripada seorang adik-beradik lain iaitu Imam Musa Al-Jaun muncul pula cabang yang membawa kepada Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, juga satu cabang yang mewujudkan Sharif-sharif Mekah, cabang yang seterusnya membawa kepada keSultanan Brunei sampailah sekarang.

Keluarga anak cucu Abdullah Al-Kamil adalah besar, sangatlah besar... Sangat besar sehingga ramai yang tidak tahu mereka memiliki darah yang berkait walaupun sekarang mungkin dikenali sebagai orang Aceh, Bugis, malah Mandailing yang dikatakan keturunan Batak makan orang tapi masuk Islam. Sekian! :]

p/s: Peh... Lega dah settle cerita ni. Penat woo...

Ya Allah ya Tuhanku, saksikanlah... Hambamu ini telah cuba menjalankan amanah sebaik mungkin walaupun diri ini sendiri begitu lemah dan masih bergelumang dengan dosa. Selamats!

2 comments:

masri said...

fuhh bro....
sy dpt merasakan keletihannya walaupun tidak sama.
dahi saya masih berkerut-kerut selepas membaca dan sehingga saya menulis komen ini pun ia masih lagi berkerut-kerut..
fuh..

Anonymous said...

alhamdulillah dengan penat lelah tuan menjelajahi serata pelusuk di dalam mencari erti dan pengertian diri....telah menemukan salasilah keluarga saya jua.....maka terjawab sudah dan terbuktilah apa yang berbuku dihati bahawa darah daging mengalir kini adalah dari titisan yang tidak di sangka sangka.....masyaAllah....