Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, October 30, 2008

Projek buku masjid - perjalanan selatan 3

Assalamualaikum sekali lagi. Alhamdulillah, tadi saya sempat membuat 2 lagi artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sekarang biarlah disambung cerita daripada artikel Projek buku masjid - perjalanan selatan 2 ya. Mari! :]


OK. Pada akhir Projek buku masjid - perjalanan selatan 2 ada disebut bahawa selesai menziarahi sebuah masjid di Umbai di mana terdapat makam Sultan Ali @ Baginda Ali, saya dan jurukamera Shamsul Yunos pun berkejar masuk ke Pulau Besar, Melaka. Alhamdulillah, kami sampai pulau sekitar jam 9, terus menuju ke surau untuk bersolat sebelum menziarahi makam wali Allah, Sultanul Ariffin Sheikh Ismail di sebelah surau.

Lewat malam baru kami menuju ke rumah (atau pondok) tempat saya sering bermalam apabila sampai di pulau ini. Kali ini saya, juga Shamsul yang baru kali pertama sampai bermalam di sebuah pondok lain berdekatan milik orang yang sama. Sila lihat artikel Pondok rehat di (resting hut in) Pulau Besar, Melaka... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) semalam.

Kalau ikutkan, mahu sahaja saya berehat lebih lama lagi di sana tetapi memandangkan ada kerja yang belum selesai lagi di Muar, kami harus juga keluar dari pulau sebelum petang. Itupun kami nyaris-nyaris tersangkut di pulau. Sila baca cerita Pulau Besar, Melaka again... After almost getting stucked there! yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.


Apapun, kami sempat sampai ke Muar sebelum jam 2 petang. Sepatutnya kami keluar lebih awal kerana cadangnya mahu menikmati nasi beringin 'asal', satu hidangan tempatan di stesyen bas Muar... Maka harus sampai sebelum ke sana sebelum tengah hari kerana nasi beringin adalah hidangan pagi yang mungkin ada saki-bakinya sebelum masuk waktu tengah hari.

Sebaliknya akibat kepenatan, kami masih lagi terbaring pada jam 10.30 pagi di sekitar pondok sedangkan bot atau feri seterusnya cuma datang jam 12.30 pagi, itupun ada sedikit pertukaran masa seperti disebut dalam artikel Pulau Besar, Melaka again... After almost getting stucked there! Maka kami terlepas nasi beringin 'asal' yang dimaksudkan.

Oh... Kenapa saya sebut nasi beringin 'asal'? Kerana nasi beringin adalah satu hidangan orang Muar tetapi mungkin dihidangkan sedikit berbeza bergantung pada sesiapa yang memasaknya. Untuk pengetahuan, di perkarangan pejabat akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur terdapat sebuah gerai nasi beringin yang sangat laris sejak sekurang-kurangnya 15 tahun lalu! Lalu nasi beringin itu menjadi bualan ramai orang dan memang ia pun sedap. Cuma bagi saya yang dilahirkan dan dibesarkan di Muar, rasanya tidak sama dengan nasi beringin 'asal; yang saya kenali di Muar!

Pada saya, rasa nasi beringin 'asal' ialah seperti yang saya rasa di sebuah kedai sejak kecil lagi. Walaupun kedainya sudah beralih tempat dan rasanya tidak seenak dahulu yang saya ingat, tetapi saya kenal ciri-ciri rasanya (yang entah kenapa cukup susah untuk saya nyatakan dalam tulisan tetapi tetap dikenali melalui rasa). Dan Shamsul yang memang sukakan rasa nasi beringin di Bangsar sudah lama teringin merasa nasi beringin 'sebenar' di Muar.

Sayang sekali, nasi beringin 'asal' yang dimaksudkan sudah habis semuanya apabila kami sampai. Begitu juga telur pindang yang cukup sesuai dimakan bersama nasi beringin itu, dan menurut Shamsul, dia sekeluarga (8 beranak woo, ada 6 orang anak termasuk kembar tiga!) amat sukakan telur pindang!

Maka kami terpaksa makan nasi beringin di kedai sebelah yang rasanya sedikit lain. Walaupun ia juga boleh tahan sedap, pada saya ia tidak menggambarkan rasa nasi beringin yang 'asal'. Apapun, kemudian kami pergi ke masjid jamek Muar. Di atas adalah gambar menara masjid diambil dari bukaan di atas kolam utama mengambil wudhuk...



Adapun masjid ini terletak di tepian Sungai Muar hampir ke kuala...


Lihat rekabentuknya yang menarik. Cuma kelihatan ia telah dicat baru dan mungkin kelihatan sedikit 'semacam'.

Masjid jamek Muar ini sangat bermakna dalam hidup saya. Di sinilah saya banyak menghabiskan zaman kanak-kanak samada ketika bersolat jemaah mahupun ketika bermain-main memanjat keliling masjid. Malah saya ingat, di hadapan masjid ini jugalah kanak-kanak dan pemuda sekitar generasi saya sering berlatih (juga bermain) silat termasuk permainan batin Nasrul Haq, boleh pula dilawankan dengan Kuda Kepang dan sebagainya... macam-macam! :]





Saya bertanya pada Shamsul, apa pendapatnya tentang rekabentuk masjid ini. Jawab Shamsul ringkas: "Confused (Keliru!)"

Ya, saya menyambut. Memang ada sedikit kekeliruan. Walaupun senibinanya tetap menarik, tetapi ada kelihatan unsur-unsur kekeliruan dari segi mentaliti dan identiti. Dan ini dikuatkan lagi dengan pernyataan di hadapan masjid itu sendiri yang menyebut ia dipengaruhi senibina Inggeris. Kenapa pula saya kata keliru apabila dikaitkan dengan Inggeris? Saya rasa tak perlulah dipanjangkan sangat, takut ada pihak yang sensitif dan akan melenting nanti. Cukuplah disebut yang di bawah ini...

Awal sebelum itu, Shamsul ada bertanya kenapa saya memilih masjid jamek Muar ini untuk diketengahkan dalam projek buku mengenai masjid-masjid di Malaysia ini. Jawab saya, saya cuma menurut konsep penceritaan latar-belakang sejarah yang ingin diketengahkan... adapun masjid jamek Muar ini melambangkan satu era sejurus selepas naik-naiknya Raja-raja Melayu yang disokong Inggeris.

Dalam kes ini ia berlaku selepas kejatuhan empayar Johor-Riau-Lingga yang dipecah-belahkan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (yang boleh dikaitkan dengan Masjid Tengkera di Melaka di mana terdapat makam Sultan Hussin yang memerintah empayar ketika itu). Demi memecah-belahkan lagi jajahan takluknya agar dapat dipengaruhi Inggeris, para pembesar Melayu digalakkan mendapatkan autonomi untuk memerintah jajahan takluk sendiri. Dalam keadaan itulah muncul Bendahara Wan Ahmad mengisytiharkan diri sebagai Sultan Pahang juga Temenggung Abu Bakar diisytiharkan sebagai Maharaja Johor membawa kepadaSultan-sultan dan kerabat diraja Johor kini.

Pernah tengok gambar Raja-raja Melayu zaman itu (penghujung abad ke 19 hingga awal abad ke 20 Masihi) memakai baju-baju kebesaran Inggeris? Rasanya itu sudah cukup menerangkan makna 'keliru' yang dinisbahkan Shamsul pada masjid jamek Muar. Cukuplah tentang itu!






Adapun perjalanan hari sebelum itu telah menyebabkan bukan sahaja tubuh-badan kami kehilangan tenaga, peralatan yang dibawa termasuk kamera, flash (Shamsul menggunakan 3 set flash) juga komputer laptop, tak lupa juga telefon bimbit kehilangan tenaga. Nasib baik di masjid ini ada power-point yang boleh digunakan. Maka kesempatan ini digunakan untuk mengecas bateri mana yang patut sedangkan kami sempat 'tumbang' sebentar merehatkan badan sebelum menyambung kerja.

Di sini juga saya menyambung sedikit penulisan untuk projek buku yang telah dimulakan awal pagi Sabtu di Masjid Kampung Hulu. Hasilnya, masuk waktu Asar baru kami bergerak meninggalkan masjid ini sedangkan ada lagi masjid di Muar yang perlu diziarahi untuk kerja. Allah!






Oh... Kami juga perlu menziarahi rumah ibu bapa saya sebelum menyambung kerja di masjid seterusnya. Kebetulan juga tadi di masjid jamek Muar, kami tidak sempat mengecas video kamera yang turut dibawa Shamsul... Maka di rumah ibu bapa sayalah baru kami dapat mengecasnya.

Jam 6 petang, baru kami bersedia untuk berlepas ke destinasi seterusnya di Pagoh, sekitar 30km dari rumah ibu-bapa saya. Sampai di Bukit Pasir, dalam 10km perjalanan begitu, saya mendapat panggilan telefon dari ibu... katanya beg saya yang mengandungi komputer laptop juga paspot antarabangsa dan beberapa barangan lain tertinggal di rumah. Dah, terpaksalah berpatah balik...

Sampai di kawasan bukit-bukit menghampiri Pagoh di mana terdapat sebuah ladang rempah besar, video kamera yang digunakan untuk merekod sedikit cerita perjalanan pula buat hal. Shamsul cuba membetulkannya tetapi tidak berjaya sedangkan langit semakin gelap menandakan masuk waktu Maghrib. Akhirnya kami sampai ke masjid seterusnya ketika orang sedang bersolat Maghrib...








Inilah dia Masjid Jamek Sultan Alauddin Riayat Shah I di Kampung Raja, Pagoh. Di perkarangan masjid ini terdapat satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah 1477-1488).

Hmm... Mungkin ada hikmahnya berlaku pelbagai perkara yang melambatkan perjalanan hari itu, Ahad... dari kepenatan di Pulau Besar yang menyebabkan kami keluar lewat dicampur bot yang tidak mengikut jadual, kepenatan lagi di masjid jamek Muar ditambah beg yang tertinggal lalu video kamera rosak. Kalau katakan kami masih ada masa tadi, tentu saya akan menyuruh Shamsul bergegas ke sebuah lagi masjid iaitu masjid lama Olak Sepam (lihat artikel Masjid lama (old mosque of) Olak Sepam, Pagoh, Muar ) sekitar 2-3km ke utara lagi sebaik sahaja selesai mengambil gambar di Masjid Sultan Alauddin. Sebaliknya keadaan seolah 'memaksa' kami untuk menutup pengembaraan ke selatan dalam kerangka projek buku masjid ini di hadapan makam Sultan Alauddin!







Kalau menurut rancangan asal yang dibuat minggu lepas, perjalanan ke selatan ini sepatutnya ditamatkan di Singapura, samada di Masjid Sultan di Kampung Gelam yang berkait dengan raja-raja terakhir empayar Johor-Riau-Lingga, Masjid Ba' Alawi yang berkait dengan kabilah Ba'Alawi keturunan anak cucu Nabi dari belah Hadramaut atau Masjid Teluk Belanga yang berkait dengan keluarga Temenggung Johor yang kini menjadi Raja-raja Johor. Atau mungkin juga di makam Habib Nuh, seorang ulamak terkenal keturunan Nabi lagi bertaraf wali. Dalam rancangan itu, kami juga sepatutnya melawat masjid jamek Johor Bahru yang memiliki ciri-ciri serupa dengan masjid jamek Muar, juga Masjid Bentara Luar di Batu Pahat.

Beberapa hari kemudian, saya mendapat pembentangan belanjawan untuk projek yang turut mencadangkan agar jumlah masjid yang diliputi diturunkan kepada 20 sedangkan dalam rancangan asal saya terdapat sekitar 50 masjid agar dapat membuat penceritaan yang mantap! Lalu saya mengambil jalan tengah mahu mengenengahkan mungkin sekitar 36 masjid... Maka sejurus sebelum bergerak ke selatan ini, saya asyik terfikir, perlukah kami bergerak sehingga ke Singapura sedangkan perjalanan bermula dari Negeri Sembilan masuk ke Melaka hingga ke Muar sahaja bakal mengenengahkan 13 buah masjid... belum dikira perjalanan ke Pantai Timur, utara dan juga mungkin sekitar Lembah Kelang yang akan dibuat nanti.

Alhamdulillah, persoalan ini terjawab dalam perjalanan ke Seremban apabila Shamsul baru tersedar yang dia terlupa membawa paspot antarabangsa. Dengan ini kami tidak perlu memakan masa menghabiskan minyak dan sebagainya untuk ke Singapura jadi apa perlu sampai ke Johor Bahru sedangkan ciri-ciri masjid di sana boleh diketengahkan melalui masjid jamek Muar juga?

Dengan itu juga timbul keputusan bahawa perjalanan ke selatan ini paling jauh sampai ke Muar sahaja. Ini membolehkan kami turut membuat keputusan untuk bermalam satu malam di Pulau Besar lalu surau di sebelah makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail yang sebelum ini tiada dalam rancangan turut dapat diketengahkan dalam projek buku kami. Dan kemudian hari Ahad pula, keadaan membawa kami untuk menamatkan perjalanan dan penceritaan belah selatan di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Shah pula!

Sebagai akhir artikel ini, renungkanlah kata-kata yang terdapat pada papan-tanda di sebelah makam Sultan Alauddin ini, kata-kata yang saya minta Shamsul supaya ambil gambar dengan terang kerana ia perlu diketengahkan. Untuk makluman, kami sampai waktu gelap. Jika tidak kerana saya pernah sampai ke sini beberapa kali (Shamsul kali pertama sampai), mustahil kami dapat menyedari kewujudan kata-kata keramat penuh makna ini tertera di hadapan makam...

Adapun kata-kata ini terdapat pada ukiran batu nesan Sultan Alauddin yang termasuk dalam kategori batu nesan Aceh. Ia ditulis dalam bentuk seni khat berbahasa Arab lalu terjemahannya berbunyi begini...

Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
Inilah kubur yang cemerlang Almarhum Sultan yang suci
Sultan Alauddin ibni Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah
Rahmat dan kesejahteraan Allah barang terlimpah ke atas roh mu
wahai wali Allah yang terpilih

Peh... lega! Sekarang, barulah saya dapat menyambung kembali penulisan untuk projek buku berdasarkan perjalanan yang telah berlalu. Sekian, selamat malam! :]




p/s: Baru teringat. Sila jenguk juga artikel-artikel yang baru dibuat tentang kewujudan kerajaan lama di tengah-tengah Putrajaya seperti pernah dipaparkan dalam berita malam di TV3 beberapa bulan lalu. Sila lihat artikel In Putrajaya, to look for the seat of an ancient kingdom di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Tapak kerajaan lama di Putrajaya? (Site of an old kingdom in Putrajaya?) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


4 comments:

Tan Lela Putera said...

MS
Walaupun majalah tu belum keluar, tp moleklah kiranya dapat reserve senaskah untuk saya

Cicit Riau Bayan Putih
Tg Rambai

Radzi Sapiee said...

Bukan majalah tapi coffe-table book, buku mewah saiz besar dengan banyak gambar-gambar cantik. Harganya kemungkinan sekitar RM100 senaskah... Bukan terbitan saya tetapi pihak lain...

Syed Azaharul said...

RM100 senaskah??

Pergh...saya amat meminati buku encik tapi saya hanyalh pelajar sekolah menengah, takkanla sampai RM100...

RM50 takpe lagi..RM100 ??
agak mahal harganya bagi saya..

Radzi Sapiee said...

Maaf saudara. Ia memang mahal, RM108 senaskah!
Ia bukan terbitan saya tetapi terbitan syarikat lain. Memang ia buku mewah yang bergambar dan saiz besar, memang disasarkan kepada golongan berduit dan syarikat korporat. Kos untuk percetakaan pun agak mahal inikan dicampur kos penerbitan, penyelidikan dan sebagainya...