Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Jun 17, 2010

Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung

Merujuk pada artikel Makam-makam di Jugra dan apa yang ada di sekitar Jeram yang dibuat seminggu lepas. Pada akhir artikel ada disebut selepas meninggalkan pantai di Jeram saya telah mengambil satu simpang ke kanan kerana menyangkakan sebuah bukit yang kelihatan jauh di hadapan adalah Bukit Jeram. Beberapa hari kemudian saya terlihat sebuah peta Selangor yang agak penuh butiran lalu terlihat kedudukan sebenar Bukit Jeram. Rupa-rupanya ia masih berdekatan pantai, bukan di pendalaman...


Siang tadi selepas Zuhur saya keluar bersama isteri untuk mencari bukit ini...


Melihat pada jalan yang diambil dan kedudukan di peta dalam ingatan, rasanya bukit yang kelihatan di latar-belakang adalah Bukit Jeram...


Alhamdulillah, kali ini telahan saya tepat.

 
Satu perkara yang menarik. Sebelum sampai ke sini, kami ada singgah di Bukit Rotan yang terletak di jalan Kuala Lumpur ke Kuala Selangor sejurus sebelum simpang tiga di Asam Jawa. Walaupun sudah mengambil jalan itu entah berapa kali, baru kali ini kami tergerak untuk masuk ke dalam melihat Bukit Rotan. Keluar dari kawasan bukit tiba-tiba saya tergerak bertanyakan isteri apakah terdapat mana-mana masjid bernama Nurul Izzati.

Masuk ke Bukit Jeram saya ingin mencari jalan naik ke puncak. Tiba-tiba terlihat tadika bernama Nurul Izzati di kaki bukit dan di sebelahnya kelihatan jalan dan anak tangga naik ke atas! Saya pun keluar kereta untuk memastikan... memang ada jalan. Apalagi kami pun mula memanjat.


Ini adalah pemandangan dari pertengahan bukit.

  Ini pula di puncak...

 
Apakah yang istimewa tentang Bukit Jeram? Pihak Muzium Selangor menyenaraikannya sebagai salah satu dari sedikit tempat yang paling bersejarah dalam negeri itu.

  Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang menyebut di sinilah Paduka Mimat anakanda kepada Sultan Mansur Shah Melaka dengan Puteri Hang Li Po dari China pernah bersemayam lebih 400 tahun lalu! Katanya istana baginda pernah terletak di puncak bukit. Yang pasti boleh kelihatan peninggalan bangunan. Lihat artikel A climb up the hill called Bukit Jeram di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

  Saya cuba melihat Bukit Jeram dari setiap sudut sambil mengambil jalan mengelilinginya... Di satu bahagian lain kaki bukit terdapat sebuah tanah perkuburan Islam...

  Saya tidak pasti jika ada makam lama namun tertarik dengan sebuah makam dengan sebatang batu nesan...

  Kemudian kami naik ke Bukit Melawati di Kuala Selangor lalu masuk ke muzium yang ada di puncak. Kata orang di tapak muzium ini pernah terletak istana awal kerajaan Selangor iaitu semasa Sultan pertama hingga ketiga Selangor memerintah pertengahan abad ke 18 hingga awal abad ke 19.

  Di muzium itu saya menyemak kembali maklumat dengan kedudukan bukit-bukit bersejarah yang ada di dalam daerah Kuala Selangor termasuk Bukit Jeram. Rupa-rupanya Jeram pernah menjadi satu pelabuhan penting dahulukala. Di bukit itu beberapa kerabat diraja pernah mendirikan pusat. Ia juga pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. 

Adapun dalam beberapa bukit bersejarah yang tersenarai cuma tinggal lagi satu bukit sahaja yang saya tidak tahu lokasinya. Ia adalah Bukit Hospital dan menurut maklumat muzium di sini terdapat makam seorang pemimpin wanita Bugis yang pernah menjadi Yang Dipertuan Selangor sebelum muncul Raja Lumu ibni Daeng Chelak yang dinobatkan secara rasmi sebagai Sultan Salehuddin, Sultan pertama Selangor pertengahan abad ke 17. Alhamdulillah, ketika baru hendak memulakan pencarian Bukit Hospital, isteri saya ternampak sebuah tanah tinggi yang memenuhi ciri-ciri yang diceritakan di muzium. Kami pun memanjat bukit... ternyata memang ada kesan peninggalan hospital lama yang telah runtuh. Lihat The hill called Bukit Hospital in Kuala Selangor.

  Berbalik pada pemimpin wanita yang disebut dalam muzium. Biar dicopy and paste maklumat dari laman rasmi daerah... http://mdks.gov.my/

Sebelum Daeng Chelak, anak raja Bugis lima bersaudara dari Pulau Sebilis itu datang ke Selangor, di Kuala Selangor telah memang ada didiami oleh manusia diketuai oleh seorang perempuan yang adil dari kaum Bugis yang bernama Upu Chendera Burung. Sifat seorang pemerintah yang bertimbangrasa inilah yang mempengaruhi hati penduduk asli di situ, hinggakan mereka bersumpah tidak akan melantik ketua yang lain kecuali dari keturunan Bugis. Faktur inilah yang menyebabkan kedatangan Raja Lumu ke Selangor telah diterima baik oleh penduduk tempatan. Apabila meninggalnya ketua mereka, lalu dikebumikan di atas sebuah bukit. Mengikut ceritanya bukit itu ialah Bukit Hospital yang berhampiran dengan Majlis Daerah Kuala Selangor sekarang ini (1979). Di sisi pusara Upu Chendera Burung ini terdapat sebuah kolam air tawar dan sepohon bunga Tanjung.

Adapun nama Upu Chendera Burung ini seakan-akan ada persamaan dengan Opu Tanderi Buring, orang yang dikatakan adalah ayahanda kepada 5 Daeng bersaudara terkenal, Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak (ayahanda kepada Sultan pertama Selangor) dan Daeng Kemasi. Apakah mungkin mereka orang yang sama? Tapi Upu Chendera Burung dikatakan seorang wanita sedangkan Opu Tanderi Buring dikatakan lelaki...

Namun persoalan terus berlegar bahawa mereka mungkin orang yang sama tetapi disalah-faham identitinya. Apakah sejarah rasmi berkenaan bangsa Bugis yang banyak diambil dari kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji yang berketurunan Daeng Chelak itu yang tersilap menyatakan Opu Tanderi Buring sebagai seorang lelaki? Ini tidak mustahil kerana menurut sumber lain seperti Lontara Sukuna Wajo yang pernah ditunjukkan kepada saya oleh seorang waris dari Sabah, Daeng 5 bersaudara yang amat terkenal itu bukannya adik-beradik tetapi telah dianggap begitu sejak sekian lama. Saudara ini pernah menunjukkan sebuah salasilah sebesar 5 x 10 kaki gitu yang menyertakan nama dan gelaran setiap raja dan bangsawan Bugis yang diketahui sejak 1,200 tahun lalu gitu. 

Salasilah ini bukan sahaja mengandungi banyak maklumat yang bercanggah dengan apa yang umum biasa dengar di Malaysia malah menyatakan kedudukan Daeng 5 bersaudara sebagai bangsawan kelas menengah berkedudukan di bawah seorang raja besar Bugis yang menyembunyikan identiti sebenarnya apabila berhijrah ke Perak dalam rangka-kerja melawan penjajahan Belanda. Dilihat dari sudut lain pula apakah pihak muzium yang tersilap maklumat menyangkakan bahawa Upu Chendera Burung adalah perempuan? Sebelum kita bercakap lebih lanjut, biar disebut pada satu hujung lereng Bukit Hospital terdapat seorang bangsa Cina yang bekerja membuat dan menjual batu nesan yang dibuat dari batu sungai dan bukit.

  Yang menarik dia membuat batu nesan untuk orang Islam! Malah menurutnya seorang kaum kerabat keluarga Yang di Pertuan Agung dahulu iaitu Raja Perlis yang berketurunan Nabi Muhammad SAW dari jurai keluarga Jamalulail pernah menempa batu nesan daripadanya...

  Isteri saya pula begitu teruja. Ini kerana sejak 2-3 bulan kebelakangan ini dia sibuk mahu mencari batu nesan yang dipahat dari sungai tetapi tidak ditemui kerana kekurangan pakar (malah katanya sudah tiada di sekitar Selangor). Batu sebegini bukan boleh main pahat sembarangan... kalau tak kena ia akan pecah rosak begitu sahaja.

Allah! Padahal perjalanan kami ke Janda Baik baru-baru ini (lihat Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab) juga dibuat untuk mencari batu-batu sungai demi memenuhi wasiat almarhum ayahanda isteri yang berpesan agar pusaranya ditanda dengan batu sungai, kalau boleh dipahat seperti yang terdapat pada pusara almarhumah ibunda isteri. Siapa sangka di kaki Bukit Hospital ini kami boleh berjumpa dengan seorang tukang yang mahir?

Malah isteri saya menyebut bahawa memangpun selama ini ada orang memberitahu di Kuala Selangor terdapat tukang yang mampu memahat batu sungai dengan baik tetapi katanya sudah meninggal dunia! Tersenyum lebar apek ini apabila disebut tukang yang ada di situ sudah meninggal. "Ini, saya masih ada lagi di sini! Saya membuat kerja turun-temurun sejak datuk saya datang dari Cina..." Kata apek ini lagi dia telah membuat kerja memahat batu nesan sejak 30 tahun lalu! Ait? Saya teringat kata-kata seorang teman yang baru balik dari Pulau Jawa. Katanya penjaga Masjid Demak yang mengamanahkannya agar berbuat sesuatu di pusat Kuala Lumpur (lihat Ke pusat asal Kuala Lumpur... lagi misi bulan Rejab?), telah menjaga masjid itu selama 30 tahun. Hmm... macam ada kaitan je...


Nampaknya selain mahir memahat batu nesan orang Melayu dan Islam beliau juga banyak tahu tentang cerita-cerita lama Kuala Selangor. Katanya dia sering didatangi mereka yang sibuk mencari harta karun melalui jalan ghaib, antaranya bomoh dan kerabat diraja. Lantas dia bertanya jika saya ada darah Raja Bugis. Apapun saya tidak berminat mahu mencari harta karun mahupun senjata lama atau apa-apa bentuk geliga yang boleh memberikan kekayaan mahupun kuasa. Saya cuma mahu menziarahi makam lama di Bukit Hospital seperti dinyatakan di muzium dan dia pun menerangkan arah...

 

Cuma katanya jalan masuk ke makam yang ada agak bersemak dan jauh kerana perlu mengelilingi bukit dan mungkin ada ular sawa. Tak apa, kami sudi mengambil risiko kerana mahu menziarahi makam. Selain mahu berziarah sebagai orang Islam, saya mengharapkan agar akan dapat ilham yang akan membukakan lebih banyak cerita yang tersembunyi. Alhamdulillah sebuah makam yang terserlah dapat ditemui. Apakah ini makam Upu Chendera Burung yang disebut di muzium atas Bukit Melawati? Yang pasti tidak kelihatan apa-apa makam lain di sekeliling Bukit Hospital.

Tentang pemilik makam, apek pembuat batu nesan tadi menyebut ia adalah milik seorang panglima lelaki. Namun ikatan kain kuning pada batu nesan menandakan panglima ini berdarah raja. Malah 5 Daeng bersaudara itu sendiri asalnya para panglima berdarah raja yang kemudian dapat menaiki takhta. Kata apek itu lagi dia pernah bertemu dengan roh panglima. Orangnya garang, banyak bercerita tentang raja-raja tetapi beliau sendiri bukan seorang raja. Apek itu juga berkata dia pernah terserempak ular berkepala 5 jelmaan Panglima Hitam, seorang panglima yang pernah mengiringi Sultan-sultan Selangor yang bersemayam di Bukit Melawati (makamnya ada di atas sana dalam kawasan pemakaman diraja).

Saya pun tak tahu nak kata. Ada kemungkinan yang ditemuinya itu cuma jin mahupun Qarin atau kembar manusia di alam jin. Tapi tetap ada maklumat yang berguna asal sahaja dapat ditapis dengan penggunaan matahati... Oh. Biar dimaklumkan, sepanjang naik Bukit Hospital dari satu sudut merentasi ke puncak sehingga ke lereng sebelah lain bertemu apek membuat batu nesan melihat kedainya yang begitu ringkas sampailah saya dan isteri lalu jalan belakang untuk ke makam saya asyik deja vu

Apek ada menyebut bahawa di puncak Bukit Hospital pernah terdapat istana kecil penempatan awal kerabat diraja Bugis sebelum keSultanan Selangor muncul secara rasmi dengan nobat dan pengiktirafan dari Sultan Perak pertengahan abad ke 17. Untuk melihat gambar-gambar makam lihat posting selepas ini di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Dengan ini lepaslah luahan dari gerak hati saya buat masa ini... Alhamdulillah! :]



Ke pusat asal Kuala Lumpur... lagi misi bulan Rejab?

OK. Merujuk pada artikel Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab. Kami sekeluarga kembali ke rumah petang Isnin. Pagi Selasa pula saya mendapat tahu seorang teman baru sahaja kembali dari Pulau Jawa dengan membawa satu amanah dari penjaga Masjid Demak, masjid lama yang dibina para wali sekitar 500 tahun lalu...

Teman ini ingin berjumpa dengan saya lalu saya pun membawa isteri sekali...


Dia mahu saya membawanya ke pusat Kuala Lumpur. Pada mulanya saya terfikirkan KLCC... namapun Kuala Lumpur City Centre atau Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Namun saya teringatkan satu tempat yang lebih utama...

Agak-agak anda di manakah tempat ini?


Pandangan ke arah yang berlawanan. Kalau tak tahu juga di mana kira susah le...



Dalam pada itu saya teringat betapa lebih 20 tahun lalu saya selalu ke sini duduk termenung memikirkan kehidupan. Allah! Sejak itu saya tidak pernah menjejakkan kaki lagi di sini...




Untuk pengetahuan inilah tempat pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang. Sungai Gombak (kanan) mengalir masuk ke dalam Sungai Kelang dan disebabkan kualanya yang berlumpurlah tempat ini mendapat nama Kuala Lumpur!

Adapun penjaga Masjid Demak itu mahukan teman saya itu berbuat suatu dengan harapan barakah para Wali Songo atau Wali Sembilan yang mendirikan kerajaan dan Masjid Demak dapat mengalir ke bandaraya ini. Atas asbab ini saya pula menjejakkan kaki pusat asal Kuala Lumpur setelah sekian lama. Nampaknya ini juga termasuk misi untuk bulan Rejab setelah kembali menyambung silaturrahim di Janda Baik dan melawat 'istana' lama...



Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab

Hmm... entah kenapa saya masih tidak dapat meluahkan cerita tentang perjalanan menaiki keretapi ke utara yang dibuat hingga masuk ke Hatyai, Thailand lebih 3 minggu lalu. Kalau siap itu saya bercadang mahu melepaskan cerita perjalanan ke Perak yang turut meliputi tempat-tempat di Bernam, Selangor selain Lumut, Beruas dan sekitar Pantai Remis, Perak. Perjalanan itu boleh dikira kesinambungan dari perjalanan menziarahi kesemua makam Sultan dan tokoh-tokoh utama di sepanjang aliran Sungai Perak yang dibuat 6 minggu lebih awal.

Kalau cerita perjalanan Perak itu selesai, saya bercadang untuk akhirnya melepaskan cerita perjalanan pertama saya dan isteri ke Aceh membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid penghujung Januari 2010. Ketika itu Al-Rasyid berumur lebih sedikit dari 3 bulan. Namun atas sebab-sebab tertentu ia masih belum dapat dilepaskan hingga kini. Sebaliknya perjalanan seterusnya ke Aceh untuk menyambut Maulidur Rasul penghujung Februari pula telah selesa menjadi artikel...

Kali ini saya bertekad, sebaik sahaja selesai cerita perjalanan keretapi hingga ke Hatyai, saya akan meluahkan cerita perjalanan kesinambungan ke Perak diikuti perjalanan pertama kali ke Aceh dengan membawa Al-Rasyid. Namun untuk dapat membuat cerita perjalanan Hatyai itu nampaknya saya harus melepaskan beberapa cerita kecil dahulu. Mari! :]


Ketibaan bulan Rejab baru ini sangat diharapkan agar dapat memberikan kekuatan dalaman yang dapat menjadikan saya seorang manusia yang lebih elok. Lalu sejak minggu lepas saya sudah berkira-kira di manakah saya patut berada apabila ia masuk kerana adakalanya lokasi sangat membantu dalam kita cuba menginsafi dan memperbaiki diri. Sepertimana sebuah perpustakaan menyediakan suasana yang lebih baik untuk menyerap bahan bacaan berbanding duduk membaca di tepi jalanraya sibuk, begitu juga lokasi boleh mempengaruhi jiwa. Lalu petang Ahad saya tergerak membawa anak dan isteri naik ke Kampung Janda Baik dan sebaik sahaja melepasi pintu gerbangnya yang berbentuk gading, timbul rasa untuk terus singgah ke sebuah rumah lama di satu ceruk.


Rasanya rumah ini telah beberapa kali diperkatakan di blogspot ini tetapi biarlah saya bercerita lagi seolah-olah kali pertama memperkenalkannya. Rumah lama ini asalnya berada di sekitar Gunung Semanggol, Perak. Ia telah dibeli oleh seorang kerabat diraja terdekat lalu dipindahkan ke sini sejak sekitar 10 tahun lalu. Kerabat diraja itu bertujuan untuk menjadikannya tempat berzikir untuk satu tariqat. Namun entah kenapa ia dapat dimanfaatkan cuma beberapa kali sahaja. Selain itu rumah lama yang kata sesetengah orang sebuah istana hinggap ini sering dibiarkan hingga rosak dan bersemak.

Sejak melihat rumah ini sekitar tahun 2002 gitu saya seolah-olah jatuh hati. Sejak itu saya sering singgah seorang diri dan pernah beberapa kali bermalam di sini walaupun pada awalnya tidak terdapat bekalan elektrik langsung. Dahulu ada juga penjaga tetap untuk memastikan ia agak kemas tetapi sejak 3 tahun kebelakangan kalau tak salah ingatan ia seolah dilupakan. Kali terakhir saya datang penghujung Februari iaitu sebelum menyambut Maulidur Rasul di Aceh perkarangannya dipenuhi semak lebih tinggi dari pinggang sementara keadaan dalamnya kelihatan tunggang-langgang tak terjaga.


Alhamdulillah, dalam lawatan terbaru hari Ahad segala semak-samun sudah diterangkan sedangkan isi rumah juga telah dicuci dan dalam proses pembersihan yang lebih berkesan...



Saya sangat bersyukur melihat perkembangan terbaru ini lalu turut menunaikan solat Tahiyatul Masjid di ruang hadapan yang hampir menyerupai mihrab.




Oh. Kami datang ketika hujan renyai-renyai. Adapun lewat petang itu baru kami ada membaca suratkhabar lalu baru menyedari bahawa tarikh Islam hari itu seperti yang tertera pada suratkhabar adalah 30 Jamadil Akhir, bukan 1 Rejab. Namun kami difahamkan, di Arab Saudi dan negara-negara yang mengikuti perkiraan falaknya Ahad sudah masuk 1 Rejab.

Apapun, kami pergi ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab dan apabila masuk Maghrib rasmilah bahawa di Malaysia juga sudah masuk bulan ini yang dikatakan bulan Allah. Untuk makluman, ia adalah bulan yang baik untuk menyediakan diri untuk menghadapi bulan Sya'aban yang dikatakan bulan Muhammad diikuti bulan Ramadhan yang dikatakan bulan ummat. Bagi manusia lemah dan dhaif seperti saya yang mungkin tidak mampu berlaku baik setiap masa setiap detik sepanjang tahun, jangkamasa ini adalah yang terbaik untuk memperbaiki diri. Bulan Rejab ibarat bulan menanam di mana hasilnya dapat dituai setelah cukup berpuasa bulan Ramadhan, Insyaallah! :]





Oh, petang itu juga kami sempat masuk ke rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib atau Syed Hussein Al-Attas. Saya sudah lama tidak berjumpa beliau, salah satu sebabnya kerana saya masih menyimpan rasa marah atas apa yang telah berlaku antara kami beberapa tahun dahulu. Namun kata orang batu yang keras pun boleh lekuk kalau terus-menerus ditimpa air. Setelah beberapa lama baru perasaan marah jadi reda tetapi itupun ada sisa-sisanya.

Awal bulan Mac saya tergerak meluahkan segala yang terbuku. Melalui artikel bertajuk Jalan-jalan anak-beranak : "International port" Janda Baik sebagai pelengkap? baru saya betul-betul rasa ia berjaya dilepaskan dan saya sedia menerima kembali Pak Habib sebagai orang yang dipanggil Abah selain bapa kandung sendiri...



Adapun sejak minggu lepas ada timbul rasa dalam diri untuk berjumpa ayah angkat saya ini dan memohon maaf atas apa-apa kesilapan mahupun kata-kata yang lalu. Alhamdulillah petang Ahad sebelum masuk bulan Rejab di Malaysia (ingat, di Arab Saudi dan beberapa negara lain Rejab sudah bermula lebih setengah hari awal) saya dapat berjumpa Pak Habib di rumahnya di Janda Baik sedangkan belum tentu pun kami boleh berjumpa kerana saya main datang sahaja... dan Pak Habib bukan selalu ada kerana rumah ini cuma rumah hinggap. Dan dia juga selalu keluar ke merata tempat.

Malam itu setelah bermalam di surau, saya membawa anak dan isteri berjalan-jalan menghala ke hulu Sungai Chemperoh. Di satu bahagian masih berdiri sebatang pokok kelapa gading yang membawa kenangan tersendiri...




Saya teringat 4 tahun lalu cuba menjolok 2 biji kelapa dari pokok ini untuk dijadikan ubat buat mengubati seorang gadis yang nyaris-nyaris menjadi isteri saya. Entah kenapa gadis itu jadi kerasukan sedangkan keluarganya sendiri hilang punca lalu bercadang untuk membawanya masuk ke wad sakit jiwa. Saya pula yang bersusah-payah mencari orang yang boleh tolong mengubat sambil menyediakan bahan-bahannya kemudian menjalankan apa yang patut. Namun akhirnya saya pula difitnah lalu dituduh menyihirkannya. Lihat apa yang telah diluahkan setahun lalu dalam artikel Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya....