OK. Kini dah masuk awal pagi Jumaat ya. Lewat petang Rabu saya pergi ke gedung Tesco yang terletak berdekatan Istana Kayangan di Shah Alam (bandaraya ini memiliki dua buah Tesco). Ada kedai buku besar milik orang Melayu yang baru dibuka 19 hari sahaja ketika itu...
Adapun buku "Jejak keluarga Yakin" baru sahaja keluar dari kilang sekitar 2 minggu lalu tetapi sudah ramai bertanya bagaimana mahu mendapatkannya. Asalnya saya bercadang cuma mahu membuat jualan terus tetapi memikirkan ada permintaan dari pelbagai arah maka saya terpaksa juga berurusan dengan pengedar buku dan pihak kedai. Dengan ini biar dimaklumkan buku boleh didapati di kedai Books etc. di Tesco yang dimaksudkan. Melalui pengedar, buku ini juga telah ditempah rangkaian kedai MPH. Anda boleh bertanya di kaunter jika ia ada di MPH berdekatan.
Ada juga yang bertanya mengenai pembelian secara pos. Maka setelah menyemak di Poslaju saya menetapkan harga buku campur pos di Semenanjung adalah RM140, untuk Sabah dan Sarawak RM145. Ya. Ini memang agak mahal, maklumlah harga buku itu sendiri adalah RM125 senaskah. Tetapi jika anda memegang buku dan merasakan sendiri kualiti persembahan dan isi, dari kertas mahal gabungan gambar hitam putih dan berwarna dengan isi yang mencangkupi pelbagai hal, nescaya anda akan mendapati ia adalah harga yang sedikit untuk pengetahuan yang boleh diperolehi dari buku mewah berkulit keras yang boleh dijadikan koleksi sepanjang zaman.
OK. Adapun saya bergegas ke Shah Alam itu setelah menghadiri satu bengkel penerbitan buku atas jemputan DBP atau Dewan Bahasa Pustaka.
Alhamdulillah. Banyak ilmu berguna diperolehi. Banyak juga hal dalaman industri yang diperdengarkan samada enak atau tidak. Untuk makluman ini adalah artikel ke 919 di blogspot ini. Hmm... teringat pula tarikh habis kursus petang Rabu iaitu 19/10/11 (ada faktor 191... lihat artikel lama 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?)) di mana pada petangnya saya meletakkan sendiri sejumlah buku "Jejak keluarga Yakin" di kedai diikuti siri "Berpetualang ke Aceh". :]