Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Ogos 19, 2022

Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part IV

Salam petang Jumaat 21 Muharram, Jumaat kedua bagi tahun baru 1444 Hijriah. Hari ini ingin dipersembahkan satu cerita yang merupakan kesinambungan bagi artikel-artikel berikut :-







Ia juga merupakan kesinambungan daripada cerita perjalanan ke Perak dan Pulau Pinang 7-11 Ogos 2022 seperti dihimpunkan dalam artikel Misi Keluarga Laksamana part III. Ini kerana perjalanan tersebut menyaksikan saya membuat kajian dokumentasi lama British di Perpustakaan Hamzah Sendut di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada hari Selasa dan Rabu 9-10 Ogos. Dan sebelum itu iaitu pada petang Isnin 8 Ogos saya telah membuat kajian serupa di perpustakaan Muzium Perak di Taiping. Ini ceritanya...




Pagi Rabu 17 Ogos 2022. Sekali lagi, buat kesekian kali dalam tempoh lebih dua bulan kebelakangan saya harus meninggalkan rumah untuk hal-hal melibatkan keluarga besar belah bapa saya, keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.




Sampai berdekatan satu tempat terasa hendak berhenti menikmati pemandangan sungai dan mendengar bunyi aliran air yang mendamaikan sambil menyambung proses pengkhataman Al-Quran bagi bulan Muharram. Pada ketika itu baru hendak masuk Surah Ar-Rum, surah ke-30 Al-Quran iaitu pada awal juzuk ke-21. Oh. Beberapa hari sebelum itu saya diberitahu oleh saudara ada kemungkinan harus menghadiri mesyuarat bersama ahli jawatankuasa masjid lama warisan keluarga di Batak Rabit pada malam 17 Ogos.

Adus. Penat tu. Baru 7-11 Ogos ke Perak dan Pulau Pinang membuat perjalanan lebih 1,000 km selain kepala penat menelaah sangat banyak dokumen, satu kerja yang sebenarnya sambung menyambung sejak lebih sebulan lebih kebelakangan seperti dinyatakan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British diikuti Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II dan Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part III. Di celah-celah itu ada membuat perjalanan ke Perak 24-26 Julai seperti diceritakan dalam Misi Keluarga Laksamana part II. Sebelum itu ada urusan berkenaan di Perak (lihat Day trip misi Teluk Intan 14 Jun 2022) diikuti hal melibatkan mahkamah lalu keluar bermusafir  27-29 Jun (lihat Kompilasi cerita "Misi keluarga Laksamana"). Yang disebut ini cuma hal-hal melibatkan keluarga Laksamana. Sedangkan terdapat banyak lagi urusan juga perjalanan lain dibuat dalam tempoh masa berkenaan.

Untuk hal melibatkan mahkamah (lihat apa sebenarnya ceritanya dalam Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah) saya dijadualkan perlu berada di Ipoh lagi pada 24 Ogos kemudian 19 September. Jadi bayangkan penatnya kalau perlu berada di Batak Rabit pada 17 Ogos sedangkan baru sahaja kembali dari perjalanan lebih 1,000 km meliputi Perak dan Pulau Pinang 7-11 Ogos. Itu penat berjalan campur penat mengkaji dokumentasi. Bagaimana pula penat menulis untuk berkongsi cerita semua ini dengan jujur? Bayangkan.




Nasib baik pada hari Isnin 16 Ogos mendapat panggilan dari pihak masjid bahawa tidak ada keperluan untuk saya ke sana. Cukup mesyuarat diadakan ringkas bersama AJK qariah. Dengan itu tidaklah perlu berada di Perak pada 17 Ogos. Lalu ditukar rancangan menjadi ke Perpustakaan Negara pula untuk menyambung lagi kajian terhadap dokumentasi-dokumentasi lama British.

Oh. Yang di tepi sungai tadi adalah di Hutan Lipur Kanching, Rawang. Kalau dalam perjalanan ke Teluk Intan ada beberapa tempat serupa boleh disinggahi. Terbaru yang saya tahu adalah di Ulu Slim. Lihat Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim.





Kali ini terus menuju pada bahagian buku-buku bacaan, bukan pada bahagian dokumentasi primer seperti Perak Government Gazette dan Perak Estimates atau koleksi surat menyurat pejabat British dalam koleksi C0273 dan sebagainya seperti dilakukan pada hari-hari sebelum itu di pelbagai tempat.




Tetapi jangan ingat buku-buku tidak mengandungi dokumentasi primer British. Ini kerana jurnal-jurnal tulisan pegawai kolonialis seperti J.W.W. Birch, Frank Swettenham, Leftenan Gabernor Anson, Major McNair dan sebagai boleh ditemui dalam bentuk buku. Selain itu adalah buku-buku dalam bentuk dokumentasi sekundar kerana dinyatakan jelas merujuk pada dokumen-dokumen primer seperti C0273 lalu dinyatakan dengan teliti nombor dokumen dalam sistem filing berkenaan dan tarikh-tarikhnya. Dan di bahagian buku juga terdapat tulisan-tulisan lama juga tulisan lebih baru tetapi merujuk pada zaman yang lama dalam koleksi besar jurnal berguna lagi berotoriti seperti JMBRAS, Journal of Malaysian Branch of Royal Asiatic Studies.




Lewat petang selepas perpustakaan tutup jam 5 baru keluar untuk menikmati mee Aceh di Chow Kit.




Dari situ boleh berjalan kaki sahaja ke masjid Kampung Baru untuk menunaikan solat Maghrib.







Selepas itu pergi ke Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad di hadapannya. 




Tengok-tengok persiapan sedang dibuat untuk menyambut Hari Kemerdekaan Negara 31 Ogos...




Sambung lagi berjalan melihat pertemuan aliran Sungai Klang dengan Sungai Gombak iaitu tempat asal yang memberikan nama Kuala Lumpur sebelum ke bahagian-bahagian lain bandar raya. Teringat ketika berumur 18-19 tahun, tahun 1988-1999 dahulu yang mana saya suka berjalan kaki tak kira siang mahupun malam merata seorang diri di KL. Walaupun ramai kawan juga ramai teman wanita boleh menemani ke mana-mana hakikatnya ada masa-masa tertentu saya lebih suka berjalan seorang diri. Bersama kawan dan teman wanita saya mungkin lebih santai, lebih banyak bersuka ria. Tetapi apabila berseorangan? Fikiran saya jadi lebih mendalam memikirkan pelbagai hal termasuk bab-bab keTuhanan.




Ini pula tempat saya menginap pada malam itu. 




Gambar diambil sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah awal pagi Khamis 18 Ogos 2022.




Saya telah bermalam di masjid ini di Jalan Pahang. Tepat 3 minggu sebelum itu saya telah bermalam di masjid lama berusia hampir seabad di sebelahnya. Lihat cerita berkenaan dalam artikel  Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II.




Sesungguhnya begitulah saya sejak 20 tahun lalu. Bersedia untuk bermalam di mana-mana masjid ketika keluar bermusafir. Kalau terasa penat boleh sahaja berhenti di mana-mana. Dapat setengah jam rehat  di suatu surau ataupun masjid pun jadi kemudian sambung perjalanan. Kalau penat lagi rehat di tempat lain pula...




Nasib baik isteri kesayangan sangat memahami. Dia tahu saya mahu memberikan tumpuan pada kajian. Kadangkala saya belum menyuarakan hasrat beliau pula mencadangkan lalu menyiapkan barang keperluan seperti pakaian malah selimut dan bantal. Ikutkan Perpustakaan Negara tidaklah jauh sangat, dalam 50 km dari rumah. Tapi ulang alik jadi 100 km juga selain perlu menempuh kesesakan jalan raya lalu membuang tenaga dan masa.

Maka isteri sedia faham kalau sekali keluar terus dibuat kajian selama dua hari berturut-turut, tidurlah mana-mana di luar yang mudah buat saya. Selain menjimatkan masa dan jarak perjalanan (dua hari pergi balik dah jadi 200 km) saya memang suka beriktikaf di masjid. Ada suatu macam ketenangan yang susah hendak digambarkan apabila keluar bermusafir seorang diri. Bahasa mudahnya, saya selalu masuk dalam keadaan syahid iaitu 'menyaksikan' apabila keluar mengembara. Mereka yang faham faham le apa maksudnya.




Oh. Tadi tu gambar selepas berehat di sebuah masjid dekat Tasik Titiwangsa. Selepas itu singgah sebentar di tasik. Selain berehat sebentar kerana sudah bangun jam 5 saya perlu menunggu perpustakaan dibuka pada jam 10 pagi. Ketika gambar ini diambil sudah tepat jam 9.39...




Gambar ini pula diambil pada jam 9.49, selepas meletakkan kereta dalam kawasan perpustakaan.




Gambar ini diambil pada jam 9.54. Belum jam 10 tapi sudah dibenarkan masuk alhamdulillah. Terus menuju ke bahagian sama seperti hari sebelumnya.

 


Kali ini bawa sleeping bag sekali supaya dapat masuk separuh badan. Bukan apa. Sejuk wooo air cond bila dah duduk lama dalam perpustakaan. Dan saya sedang berpuasa sunat hari Khamis, jadi kurang pembakaran lalu kurang haba dalam badan. Di sudut berkenaan  'berkampung' sehingga ke petang. Sambil mengkaji buat rujukan silang atau cross reference menggunakan komputer riba juga menaip maklumat tambahan.




Satu perkara yang disedari sepanjang rajin mengkaji dokumentasi British dalam lebih sebulan kebelakangan itu adalah betapa telitinya pihak penjajah (yang disebut cuma sekadar penaung oleh sesetengah orang disebab perjanjian-perjanjian tertulis begitu walhal hakikatnya perbuatannya tetap menjajah) dalam merekodkan peristiwa, nama-nama orang, nama-nama tempat, belanjawan untuk itu dan ini dan sebagainya. Saya telah melihat dokumen-dokumen primer asli  berumur seawal 150 tahun berserta dokumen-dokumen sekunder yang merujuk pada dokumen-dokumen primer daripada pertengahan abad ke-17 dan sebagainya lalu melihat para pegawai Belanda juga sama teliti. Yang tinggal nampaknya adalah apakah kita sendiri memiliki koleksi rekod mereka yang lengkap. Jelas pada saya tidak kerana ada 'rongak' tahun-tahun yang tiada rekod.

Pun begitu kita tidak boleh mengharapkan mereka untuk merekodkan semua perkara. Ini kerana ada yang mungkin dianggap penting oleh kita tetapi tidak bagi mereka. Untuk perkara-perkara yang direkodkan pula kita harus juga tahu menapis mana yang boleh diambil terus kerana bersifat objektif, mana yang harus ditapis kembali melalui sudut pandang kita sebagai orang Melayu kerana ada yang jelas bias keBaratannya akibat memandang kita orang Timur sebagai tidak bertamadun. Misalnya mengatakan orang Melayu dahulukala tidak berpelajaran. Padahal ramai yang berpelajaran tetapi menurut pengajian Melayu Islam tradisional, bukan pengajian acuan Barat. Atau mengatakan ramai buta huruf. Tetapi sebenarnya cuma tahu membaca tulisan Jawi, tidak tulisan Rumi.

Apapun secara rata saya kagum melihat bagaimana rajinnya pegawai-pegawai Barat menulis dan merekodkan pemerhatian dan pengalaman. Dan mereka-mereka ini ramai yang memiliki rekod perkhidmatan cemerlang. Pernah berkhidmat di lain-lain bahagian dalam Empayar British seperti di Afrika dan India, ada latihan ketenteraan, banyak pengalaman berurusan dengan orang tempatan, biasa lasak keluar masuk hutan menghadap binatang buas bagai. Kalau di Tanah Melayu ni sampai jampi serapah kita pun dikajinya. Diberitakan, selain tahu selok belok bahasa orang Melayu sampai ke pantun dan syair ada yang sebetulnya turut belajar silat dan mengambil ilmu kebal. Memang bukan calang-calang.




Dalam pencarian kali ini saya menemukan sesuatu yang sangat memberangsangkan melibatkan nombor 13 dalam kedudukan Laksamana di negeri Perak. Saya pun memberitahu ahli keluarga terdekat melalui WhatsApp, ahli keluarga keturunan Laksamana yang selama ini paling rajin ke sana ke mari untuk mencari kebenaran yang sudah lama tersembunyi. Tengok-tengok jam telefon pintar saya menunjukkan waktu 13:13. Seolah-olah mengesahkan perkara yang melibatkan nombor 13 itu selain terkait pula dengan kesukaan terhadap nombor 131 yang pada saya melambangkan home sweet home atau rumahku syurgaku. Lihat artikel lama Punca kesukaan pada nombor 131 - Hal rumah yang membuka sedikit luka lama juga Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

Cuma di sini tidaklah dapat dikongsikan apakah perkara memberangsangkan melibatkan nombor 13 itu. Ini kerana saya tahu ada pihak-pihak tertentu sedang memantau penulisan-penulisan saya terutama yang melibatkan keluarga Laksamana. Saya tahu ada pihak sedang mencari cacat cela untuk menjatuhkan jalur atau cabang belah saya iaitu daripada waris keturunan Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin.

Sambil itu ada pula pihak mahu menumpang penat lelah kajian saya untuk mengenengahkan diri mereka sebagai champion. Kononnya mahu membela keluarga Arshad padahal sebenarnya mahu menaikkan jalur lain yang pihak kami sendiri semakin lama semakin sangsi apakah benar keturunanan Laksamana? Atau sebenarnya keturunan anak tiri, mungkin anak angkat malah mungkin sekadar keturunan penjaga seperti nurse lelaki Laksamana pada zaman lanjut usia. Tetapi anak cucunya pula kemudian mengaku sebagai keturunan lalu dapat menyelitkan nama ke dalam salasilah yang dibuat seperti mana halnya ada pihak cuba melakukan 2-3 tahun kebelakangan tetapi kami dapat menyedari lalu menyanggahnya.

Oh. Melihat bagaimana gigihnya para pegawai British membuat catatan peristiwa dan perjalanan sambil rajin juga turun ke padang masuk ke tempat-tempat pendalaman sama ada dengan menaiki bot, naik gajah atau berjalan kaki sehingga turun naik gunung, bukan sekadar pandai bercakap dalam Internet menggunakan maklumat-maklumat ciplak seperti dilakukan ramai orang sekarang timbul pertanyaan dalam fikiran apakah datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad dan bapanya Laksamana Muhammad Amin tidak membuat catatan tentang perjalanan-perjalanan dan tindakan mereka di Perak? Atau di mana sahaja mereka berada, misalnya ketika Laksamana berada dalam buangan di Pulau Seychelles dari tahun 1877 sebelum dialihkan ke Singapura tahun 1891 di mana beliau meninggal dunia tahun 1904? Saya fikir harus ada. Cuma mungkin sudah hilang atau dirosakkan. Kalau tidak bagaimana boleh ada anak cucu keturunan seperti saya yang boleh menjadi wartawan walaupun merupakan seorang lulusan universiti luar negara dalam bidang matematik? Yang sehingga kini umur hendak masuk 52 tahun  pun masih rajin mengembara ke sana ke mari lalu mencatat tentangnya walaupun tidak semua dapat dikongsikan atas sebab-sebab tertentu termasuk kerahsiaan ilmu dan maklumat?

Yang saya dapat tahu melalui kajian-kajian kebelakangan ini baik Arshad mahupun Muhammad Amin adalah orang yang bijak pandai dan kuat penghayatan agama Islam selain tinggi ilmu kepahlawanan dan berani orangnya. Selain itu  mereka adalah orang yang rajin membaca. Sehingga ada catatan Barat memberitahu naskah Hikayat Shamsul Bahrin yang katanya ada kena mengena dengan kerajaan Beruas lama yang berada dalam edaran zaman sekarang sebenarnya adalah salinan daripada naskah tulisan tangan simpanan Arshad. Cukup.


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Boleh saya bertanya kepada encik Merahsilu, adakah kerabat Di Raja Perlis mempunyai kaitan dengan kerajaan Perlak ? Kerana dikatakan sultan Perlis dan kerabatnya berketurunan nabi Muhammad SAW

Tanpa Nama berkata...

Satu lagi, baru saya tahu bahawa Sharifah Hanim yang menjadi watak cikgu Norkiah dalam filem masam masam manis adalah kerabat diraja Perlis. Bukankah Sharifah merujuk kepada wanita dari keturunan Rasulullah SAW?

Tanpa Nama berkata...

Sebab itu bila saya melihat rupa paras cikgu Norkiah memang agak lain dari wajah melayu yang biasa saya lihat... Ada iras rupa Arab