Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, December 03, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Deja vu Gunung Stong dan misteri 313...

Sementara hari ini masih 3 haribulan Disember, biarlah siri penceritaan "Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan" disambung kembali... setelah lebih 2 minggu kita tidak bercerita tentangnya. Rujuk pada artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sampai masa untuk pulang... yang dibuat seminggu sebelum perayaan Aidil Adha...

Sebelum itu biar diberi satu mukadimah tentang apa yang berlaku hari Rabu semalam. Tengahari saya dan isteri telah berkejar ke Pejabat Pendaftar Syarikat di kompleks membeli-belah The Mall untuk mendapatkan butiran maklumat sebuah syarikat demi menyelesaikan satu masalah dengan pihak Mara akibat masalah sikap tidak ambil peduli pemilik sebenar syarikat, dahulunya rakan kongsi isteri. Saya pun disuruh pergi ke tingkat 13 blok pejabat di mana saya perlu membayar RM13 untuk mendapatkan butiran yang diperlukan.

Seterusnya kami berkejar ke ibu pejabat Mara untuk memberikan butiran tersebut kepada seorang pegawai. Oleh kerana pegawai ini akan berada di luar pejabat bermula waktu makan saya pun menurunkan isteri di hadapan Kompleks Pertama agar dia dapat mengejar pegawai sementara saya keluar mencari tempat letak kereta. Lalu berlaku sesuatu perkara yang agak pelik, perkara yang mungkin memberikan satu petunjuk tentang arah gerak ilham yang perlu saya ikuti seterusnya.

Ketika berhenti di hadapan kompleks sementara menunggu isteri yang turut mengusung bayi keluar dari kereta, tiba-tiba sebuah motosikal meluru ke arah pintu pemandu. Ini berlaku akibat tongkat motosikal yang baru diletakkan di kaki lima luar kompleks tergelincir keluar dari kedudukan stabil. Motosikal itu pula boleh tegak meluru melanggar pintu sedangkan saya tidak sempat berbuat apa-apa. Pada masa yang sama kelihatan penunggang motosikal dan pembonceng baru sahaja menghampiri pintu masuk kompleks! Dah pintu kereta bercalar dan sedikit kemek.

Kemudian baru saya tersedar nombor plet motosikal ialah 3130. Hmm... sambil saya menulis perenggan ini terus ke blogspot, keluar pula perkataan "Draft autosaved at 11: 33 PM" ... ada juga faktor kombinasi 313. Rasanya ramai yang tahu betapa nombor 313 itu disebut sebagai jumlah keseluruhan Rasul yang dihantar ke muka bumi dari zaman Nabi Adam hingga akhir zaman juga jumlah wali-wali bertaraf tertentu. Selain itu 313 juga menjadi jumlah ahli Perang Badar pada zaman Nabi Muhammad SAW juga jumlah tentera Thalut menentang Jhalut semasa zaman Nabi Daud AS.

Saya terus memikirkan apakah hikmah di sebalik semua ini sehingga lewat malam semalam. Ketika membuka blogspot dan melihat chatbox, isteri saya tergerak untuk memberikan tindak balas terhadap komen seorang pembaca berkenaan sebuah makam lama di Hulu Terengganu. Saya pula tergerak menukar siaran televisyen lalu terkeluar segmen berita tentang rancangan kerajaan Malaysia untuk menafsirkan kembali tarikh kedatangan Islam ke Semenanjung berdasarkan Batu Bersurat Terengganu yang dikatakan ditulis pada tahun 1303 Masihi. Allah! Sangat berkait ini... makam lama di Hulu Terengganu dengan batu bersurat. Dan lagi tahun 1303 merupakan satu kombinasi nombor 3130 (nombor motosikal yang melanggar kereta saya)... tetapi dengan nombor 3 di hadapan dialihkan pula ke belakang!

Melihat ini, terus saya tergerak untuk membuat search menggunakan fasiliti yang terdapat di kiri atas blogspot, dengan menaip nombor 313. Lalu terbentanglah sejumlah artikel-artikel lama yang ada menyebut nombor 313 di dalamnya dan saya mendapati secara keseluruhannya nombor ini telah digunakan sebanyak 33 kali dalam artikel-artikel saya (tentunya tidak termasuk artikel ini). Ah... berulang-ulang lagi kombinasi nombor yang melibatkan angka-angka asas 1 dan 3.

Seterusnya saya tersedar bahawa artikel ke 313 dalam blogspot ini merupakan satu mukadimah tentang apa yang terdapat di Gunung Stong, Hulu Kelantan. Lihat sendiri artikel bertajuk Apa ada di Gunung Stong? yang dibuat Mei tahun lepas berdasarkan penghujung bahagian ketiga pengembaraan keliling Semenanjung sempena selesainya saya menyajikan ketiga-tiga buku dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh"... (bahagian pertama pengembaraan adalah ke selatan, bahagian kedua ke utara, lihat sidebar kanan blogspot bahagian bawah). Kebetulan siri "Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan" ini sudah masuk ke bahagian yang melibatkan Gunung Stong. Anda akan dapati 'kebetulan' ini tidak terhenti setakat di situ. Ikutilah cerita ini dengan teliti...


Dalam artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sampai masa untuk pulang... saya ada menyebut bahawa anak-anak telah dipulangkan ke rumah bapa saudara mereka di Kota Bahru, Kelantan. Lalu kami sendiri memulakan perjalanan kembali ke Lembah Klang. Jalan yang diambil melalui pinggiran bandar Pasir Mas menghala ke Tanah Merah. Kelihatan kami menghampiri persimpangan ke Danau Tok Uban...


Seterusnya kelihatan Bukit Panau, satu lagi tempat yang dikaitkan dengan banyak perkara mistik juga perjuangan akhir zaman dan perjalanan para wali, baik yang ghaib mahupun yang boleh kelihatan. Kisah-kisah berkenaan Danau Tok Uban dan Bukit Panau telah dinukilkan dalam blogspots saya berdasarkan lawatan sendiri ke tempat-tempat ini. Cari sendirilah ya. Oh, sebagai peringatan, ini adalah artikel ke 600 di blogspot ini!



Kami pun masuk ke bandar Tanah Merah...



Destinasi seterusnya adalah Jeli, daerah Kelantan yang terletak bersempadan dengan utara Perak. Hujan mula rintik-rintik...




Adapun kami pergi ke Jeli untuk mengambil jalan ke Dabong...






Jalan ke selatan ini pertama-kali saya lalui dalam pengembaraan solo dengan motosikal besar penghujung tahun 1997 kalau tak salah...



Saya tak pasti jika setelah itu saya pernah melaluinya lagi. Hujan pula mula menjadi lebat tetapi perjalanan tetap diteruskan....




Oh. Ketika itu 31 Ogos 2009, hari ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke 52... ada nombor 1 dan 3 lagi! Walaupun cuaca kurang baik, saya harus meneruskan perjalanan kerana esoknya 1 September isteri saya harus kembali bekerja. Kami meninggalkan Kota Bahru tadi pun rasanya sudah jam 4 petang. Perjalanan kembali masih jauh sedangkan saya berhajat untuk melihat pemandangan persekitaran siang hari selagi dapat...


Satu pemandangan yang ingin sangat dilihat adalah gunung-gunung di sekitar Dabong. Kali terakhir saya di sini adalah awal tahun lepas, sampai dengan kereta api sebelum mengambil teksi ke kaki Gunung Stong. Kali pertama pula dalam perjalanan solo menaiki motosikal besar seperti disebut tadi...


Perjalanan kali ini lebih istimewa kerana menaiki kereta sendiri bersama isteri. Lalu saya dapat melihat satu pemandangan yang tidak pernah dilihat sebelumnya. Dapatkah anda melihatnya dalam gambar ini?


Tu dia... perhatikan betul-betul. Saya sudah tandakan. Dapatkah anda melihat sebuah air terjun yang terletak tinggi berhampiran puncak gunung?

Saya tak pasti apakah ini Gunung Stong. Yang pasti ia dalam kelompok bukit dan tanah tinggi yang puncak-puncaknya membentuk 3 buah gunung terkenal di Hulu Kelantan iaitu Gunung Stong, Gunung Ayam dan paling istimewa sekali Gunung Cinta Wangsa.

Ah... nombor 3 lagi... gunung 3 serangkai nampaknya... teringat pula pantun tentang Gunung Daik yang bercabang 3...


OK. Ini adalah Air Terjun Jelawang di Gunung Stong. Ah... baru teringat. Pertama kali saya mengambil jalan dari Jeli ke Dabong sehingga boleh terlihat air terjun yang menakjubkan ini harus berlaku pada tahun 1998 atau kemudian... kerana perjalanan bermotosikal besar solo yang dibuat penghujung 1997 tidak mengambil jalan ini. Sebaliknya setelah memasuki Kelantan dari Perak melalui Jeli saya menghala ke Rantau Panjang di mana bermulanya bulan Ramadhan sebelum terus ke Tumpat, Pengkalan Kubur dan Kota Bahru lalu ke Terengganu.

Saya sudah terlupa dalam perjalanan yang mana satukah sebenarnya saya pertama kali sampai ke sini. Yang ingat, tanpa dirancang saya telah membawa motosikal besar menyusuri Sungai Perak lalu terus ke Grik dan Tasik Banding sampai ke Jeli. Di situ saya terbayang-bayang satu jalan dalam peta yang menunjukkan kita boleh terus ke Gua Musang melalui Dabong tanpa perlu melalui Kuala Krai. Ketika menghampiri Dabong saya terlihat air terjun ini lalu terus tergerak untuk tidur di chalet kaki gunung di mana esoknya saya memanjat seorang diri hingga ke gigi air...


Kelihatan dalam gambar simpang masuk ke jalan menuju Gua Musang. Kalau jalan terus anda akan sampai ke pekan Dabong, sekitar 6 km lagi kalau tak salah perkiraan...


Masuk sahaja ke simpang saya berhenti sebentar untuk melihat lagi air terjun. Teringat betapa saya harus mendaki dalam setengah jam untuk sampai ke gigi air. Rupa-rupanya air terjun ini terletak pada ketinggian lebih 1,000 kaki dari paras laut! Sedangkan saya mendaki setakat memakai seluar pendek dan membawa sekeping tuala kerana tidak menyangka ia begitu tinggi...

Teringat bagaimana pada malam itu saya adalah satu-satunya pengunjung yang menyewa di chalet. Dah lah chalet di kaki gunung ini terletak di dalam hutan, bilik saya tidur dalam 300 meter dari ruang menyambut tetamu yang cuma dijaga seorang pekerja, malam itu pula black-out!

Ketika itu saya diberi tahu, air terjun di Gunung Stong ini adalah yang tertinggi di Asia Tenggara. Kemudian baru terbaca terdapat air terjun lain yang lebih tinggi di Malaysia, di Pahang kalau tak salah ingatan. Tapi saya tak pasti samada ini betul atau tidak kerana belum pernah lagi sampai ke air terjun lain yang dimaksudkan.

Apapun, air terjun di Gunung Stong ini sendiri sudah cukup tinggi, memang lebih tinggi daripada berpuluh air terjun yang pernah saya jejaki seluruh Semenanjung. Sekarang bandingkan air terjun dalam gambar sebelum ini yang terletak berhampiran puncak gunung. Sedangkan setahu saya, baik Gunung Stong mahupun Gunung Ayam dan Gunung Cinta Wangsa yang rendah sedikit tetapi turut membentuk persekitaran ini masing-masing mencecah ketinggian hampir 5,000 kaki!


Semasa berhenti di tepian jalan masuk ke simpang menghala ke Gua Musang, baru saya tersedar meter kereta sudah masuk nombor 313! Allah... ingat tak apa yang disebut dalam mukadimah artikel ini di atas tadi? Tentang kejadian siang Rabu di mana sebuah motosikal bernombor 3130 melanggar pintu kereta saya? Tentang sebelum itu kena naik tingkat 13 pejabat dan kena membayar RM13 untuk mendapatkan butiran syarikat? Bagaimana tentang fakta bahawa nombor 313 telah digunakan 33 kali dalam artikel-artikel sebelum ini di blogspot. Bagaimana pula dengan artikel tahun lepas bertajuk Apa ada di Gunung Stong? yang ternyata merupakan artikel yang ke 313 di sini?


Ya. Apakah yang ada di Gunung Stong sehingga terjadi segala kebetulan ini? Yang pasti terdapat sebuah air terjun tinggi yang menggamit imaginasi. Lebih penting lagi adalah apa yang terdapat di gunung-gunung sekitar yang serangkai dengannya, gunung-gunung yang boleh dicapai melalui jalan sama yang mula berpecah di sekitar gigi air Air Terjun Jelawang yang terletak pada ketinggian 1,000 kaki dari paras laut. Tadi awal saya ada menyebut paling istimewa sekali antara 3 gunung serangkai di sini ialah Gunung Cinta Wangsa. Kerana apa? Kerana menurut ceritanya inilah tempat bersemayam terakhir watak legenda perempuan terkenal yang bernama Cik Siti Wan Kembang!

Oh. Ada cerita menyebut Cik Siti Wan Kembang hidup sezaman dengan Puteri Saadong iaitu sekitar tahun 1500an Masihi. Satu cerita lebih hebat yang mengaitkan Cik Siti Wan Kembang dengan empayar lama Chermin yang kemungkinan besar pernah berpusat di sekitar Danau Tok Uban (ketika ia masih sebuah tanah datar dengan kota besar) juga Bukit Panau yang katanya menjadi tempat pertapaan para wali yang diketuai watak besar Ahlul Bait bernama Sayyid Hussein Jamadil Kubra menyebut raja perempuan Kelantan ini hidup sezaman dengannya. Ketika itu juga Sharif Muhammad Al-Baghdadi, ulamak merangkap raja dahulukala yang katanya menulis Batu Bersurat Terengganu 1303 Masihi masih hidup lagi.


Sambil menyusuri jalan Dabong ke Gua Musang, saya memerhatikan lagi kelompok gunung berdekatan air terjun. Allah! Saya deja vu panjang... nyata sungguh jalan yang diambil dengan pemandangan gunung-ganang dari pelbagai sudut serupa dalam satu mimpi yang dialami lebih kurang 2-3 tahun lalu.


Mungkin ada yang akan berkata saya deja vu dan mendapat mimpi itu kerana pernah mengambil jalan yang sama dengan menunggang motosikal besar dahulu...


Ya memang benar saya pernah melalui jalan ini dahulu, pada satu ketika yang saya tak pasti tetapi seharusnya pada tahun 1998 atau kemudian. Tetapi ketika itu jalan Dabong ke Gua Musang itu sudah rosak teruk, katanya akibat bertahun-tahun aktiviti pembalakan. Kalau nak tahu, beginilah rupa jalan sepanjang itu. Gambar dari Internet ini menunjukkan kawasan lain tetapi memang begini lebih kurang keadaan jalan Dabong ke Gua Musang dahulu, tidak dicampur turun naik bukit, selekoh dan sebagainya...

Saya masih ingat lagi beberapa kali tersangkut dalam selut tebal sehingga harus mencari kayu, dedaun dan rumput lalu disendalkan di bawah tayar untuk mendapatkan cengkaman keluar daripada selut. Saya masih ingat bertemu babi hutan dan katak besar, ditimpa hujan lebat dan harus meredah banjir yang nasib baik kurang sekaki dalam. Saya teringat jatuh tergelincir beberapa kali lalu dihempap motosikal besar yang beratnya hampir 200 kg. Dan saya masih ingat perjalanan yang meredah jarak sekitar 60-65 km itu bermula jam 3 petang... tapi 9 malam baru saya dapat sampai ke Gua Musang dengan badan dan motosikal disaluti lumpur hingga ke kepala!

Dalam keadaan itu, mustahil saya dapat melihat pergunungan sekitar dengan sudut-sudut yang ditunjukkan seperti dalam mimpi di mana keadaan perjalanan jauh lebih mudah dan lancar seperti dialami dalam perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan itu. Satu perkara lagi, itulah kali pertama saya deja vu dalam perjalanan itu. Mungkin akibat apa yang terdapat di Gunung Stong dan sekitarnya?



p/s:
Lupa nak beritahu. Nombor 313 di meter kereta yang kelihatan ketika berhenti di persimpangan masuk menghala ke Gua Musang untuk melihat lagi air terjun di Gunung Stong itu sebenarnya menandakan ketika itu kami telah berjalan sejauh 1313 km sejak meninggalkan Kuala Lumpur. Ini kerana meter telah direset kepada kosong sejurus selepas meninggalkan pejabat isteri petang Khamis untuk memulakan perjalanan. Maka ia turut terkait dengan nombor 131 yang sering saya kaitkan sebagai nombor home sweet home.

Isteri saya juga mengingatkan, semasa dia keluar memandu kereta tengahari tadi, kali pertama dia memandu sejak melahirkan anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid 13 Oktober 2009, dia mendapati meter kereta menunjukkan nombor 33. Untuk makluman, kali terakhir meter ini direset kepada kosong adalah semasa keluar dari rumah untuk memulakan perjalanan ke selatan seminggu sebelum Aidil Adha. Selamat malam.



Ralat (dibuat 9 November 2010):
Apabila diperiksa gambar satelit di Google Earth ternyata gigi air terjun di Gunung Stong itu sebenarnya terletak pada ketinggian hampir 1,600 kaki dari paras laut. Sebuah website pula menunjukkan gunung itu sendiri tingginya 4,664 kaki, Gunung Ayam lebih tinggi iaitu 4,934 kaki. Gunung Chinta Wangsa sedikit rendah pada 3,886 kaki. Yang pasti ketiga-tiganya membentuk satu kelompok yang tersendiri.


5 comments:

zaim zaiman said...

menarik...

zaim zaiman said...
This comment has been removed by the author.
mountdweller said...

Banyak lagi perkara manarik yang akan ditepuhi sekiranya anda mendaki sehingga ke Puncak Stong.

gigaslave said...

sebuah perjalanan yang panjang dan hebat. teringin nak jejaki puncak Gunung Cinta Wangsa (Kerajaan Cik Siti Wan Kembang). Ada maklumat?

-XteraByte- said...

salam bro bleh kasi contact tak saya nak pergi gunung cinta wangsa