Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...
Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.
Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...
Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-
Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.
Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...
Salah satu gambar dari lawatan kami ke Singapura 2 minggu lepas. Catatan di lantai hadapan menyebut dipercayai inilah makam Sultan Iskandar @ Parameswara yang membuka kerajaan Melaka...
Assalamualaikum para pembaca sekalian. Syukur Alhamdulillah, dengan Qudrat dan Iradat dari yang Maha Kuasa siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei" berjaya diselesaikan awal pagi tadi. Petangnya pula saya telah membuat satu artikel kompilasi yang meletakkan links untuk 72 artikel yang terbit akibat lawatan ke Brunei itu (lihat Tribute untuk lawatan tak dijangka ke Brunei bulan Ogos). Walhal seminggu lalu timbul rasa takut siri itu cuma akan siap lagi sebulan...
Adapun penceritaan sudah beberapa kali terganggu akibat hal-hal lain, antaranya perjalanan ke Perak hujung Ogos dan awal November (sudah dikumpulkan dalam artikel Menyelesaikan bab yang belum lagi selesai?) dan terbaru sekali, perjalanan ke Singapura 13-15 November. Tapi memikirkan akan berlaku sesuatu yang sangat bermakna Jumaat hari ini timbul tekad baru. Siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei" mesti disiapkan sebelum itu. Maka itu, sejak Sabtu lalu saya bertungkus-lumus untuk memastikan satu artikel siri dapat disiapkan setiap hari.
Perkiraan dan pembahagian penceritaan dibuat berdasarkan baki aktiviti perjalanan yang belum diceritakan ketika itu, aktiviti setelah bermalam di Labuan hari Rabu. Kebetulan artikel terakhir sebelum itu iaitu Salam Aidil Adha dari Pulau Singa? (ditulis malam Raya Haji) adalah yang ke 769 di blogspot ini. Lalu saya mendapati penulisan artikel satu setiap hari akan membawa kepada jumlah 775. Campur artikel kompilasi yang biasa dibuat setelah menyelesaikan mana-mana siri jadilah 776... bermakna artikel yang ditulis selepas itu akan menjadi yang ke 777, satu nombor yang cantik...
Ingat, menyiapkan siri bukanlah mudah. Oleh kerana penulisan kembara saya sering meliputi banyak tempat dan aspek, setiap artikel siri memerlukan beberapa artikel sokongan yang lain. Artikel sokongan digunakan untuk memecahkan penceritaan agar jadi lebih mudah dibaca lalu diletakkan di blogspots saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Percaya atau tidak, dalam tempoh seminggu ini saya telah menulis 37 buah artikel menggunakan sekitar 330 gambar semata-mata untuk baki siri "Perjalanan tak dijangka ke Brunei"!
Apapun sekarang semuanya sudah selesai. Lalu dapatlah dibuat artikel ini yang menjadi ke 777 di blogspot ini. Dan sekarang biar diberitahu apakah yang berlaku Jumaat hari ini. Sebenarnya saya ada menyebutnya pada penghujung artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Kesibukan hari terakhir, penutup siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei". Tapi tak mengapalah, biar diulangi, pada hari ini 26 November 2010 cukuplah umur saya 40.
Ya. Masuknya umur 40 adalah sesuatu yang sangat bermakna bagi sesiapa pun. Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul pada umur ini, penghuni syurga pula disebut semuanya berupa orang berumur 40. Ada disebut juga jika perangai kita tidak berubah baik apabila masuk ke tahap itu, maka kita akan terus menjadi buruk sehingga mati. Dalam dunia politik pula, seseorang tidak lagi dikira pemuda selepas 40...
Kalau mengikut kiraan Hijrah saya sudah masuk umur 40 pada 27 Ramadhan tahun lepas, 27 Ramadhan ini sudah berumur 41. Tapi hakikatnya dunia zaman sekarang dikira menurut kalendar Barat. Atas kenyataan ini saya pernah diberitahu akan berlaku perubahan tertentu dalam hidup apabila betul-betul masuk 40 tahun iaitu hari ini.
Saya tak tahu apakah perubahan itu. Biar Allah sahaja menentukan menurut aturan Qada' dan Qadar Nya. Yang saya tahu masuknya umur saya 40 dapat diceritakan panjang lebar di artikel yang ke 777, setelah bersusah-payah harus menyiapkan sejumlah artikel lain. Pada mereka yang ada gila-gila nombor, suka membaca apa yang tersurat dan tersirat melalui tanda-tanda, ini adalah permulaan yang sangat baik...
OK. Sebelum bercerita lebih lanjut biar dibuat dahulu sesuatu. Gerak hati ini menyuruh meletakkan links artikel menurut aturan kedudukan tertentu ia ditulis di blogspot, aturan gandaan 111 kerana ada kaitan tersirat yang sangat berkait dengan apa yang berlaku hari ini... buat sampai yang ke 666 kerana dah tentu artikel yang ke 777 adalah yang anda sedang baca sekarang...
Hmm. Gerak hati menyuruh melanjutkan untuk blogspots saya yang lain. Untuk BERPETUALANG KE ACEH yang sudah memiliki 629 artikel senarai harus sampai ke 555...
OK. Saya perlu letakkan ini semua kerana ada petunjuk tersirat di sebalik aturan cerita yang terpilih. Tak perlulah dihuraikan maknanya. Cukuplah diletakkan sebagai rujukan untuk saya bila-bila.
Berbalik pada nombor 777 yang dirasakan lebih bermakna kerana artikel ke 777 ini ditulis pada hari lahir yang ke 40. Dahulu semasa membuat buku pertama iaitu "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006), saya dicadangkan agar meletakkan harga RM24.90 senaskah. Bila masuk buku kedua iaitu "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007) saya memilih untuk meletakkan harga yang sama iaitu RM24.90 walaupun kos penerbitan lebih tinggi. Alasannya, seperti buku pertama ia juga memiliki 304 mukasurat. Tetapi apabila masuk buku ketiga, "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit Nov 2007) kos penerbitan naik lagi. Selain kos percetakan itu sendiri naik bagi setiap helaian kertas dan dakwat, mukasurat turut ditambah untuk lebih isi.
Untuk menampung perubahan ini harga senaskah terpaksa dinaikkan. Saya pun memilih RM27.90 kerana selain menampung kos, ia memberi faktor 777. Bagaimana jadi 777? Campurkan harga tiap naskah buku (buku satu RM24.90 + buku dua RM24.90 + buku tiga RM27.90) jadilah ia RM77.70.
Itulah harga pasaran untuk satu set trilogi "Berpetualang ke Aceh". Nombor yang cantik selain menyenangkan menurut gerak rasa juga boleh dianggap sebagai 'mahar' untuk ilmu hidup yang disampaikan di sebalik penceritaan. Oleh kerana buku ketiga itulah yang melengkapkan faktor 777 maka sempena masuk umur 40 ini saya ingin membuat tawaran. Kepada sesiapa yang berminat memiliki "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" biarlah diberitahu anda boleh mendapatkan 2 naskah secara pos dengan harga RM33.30 sahaja campur kos pos... kalau tidak anda harus membayar lebih RM60...
Ada sebabnya saya memilih nombor ini. Salah satunya ia juga ada faktor gandaan 111. Kalau ada yang bertanya kenapa saya sanggup menawarkan 2 buku yang sama biar saya berterus-terang. Saya ada stok lebihan akibat satu pihak yang dahulu ada menyatakan ingin membeli secara pukal tetapi membatalkan niat. Tak payahlah disebut pihak mana. Cukup jika dikatakan ada kemungkin pembatalan ini berlaku akibat pertukaran peneraju selepas Pilihanraya Nasional 2008. Kemudian saya menghadapi masalah dengan pihak pengedar. Sejak itu saya terasa serik berurusan dengan mereka lalu lebih selesa menjual sendiri secara kecil-kecilan.
Ini menerangkan kenapa siri "Berpetualang ke Aceh" kini tidak ditemui lagi di kedai-kedai. Ada kemungkinan juga buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" menghadapi masalah kerana lebih banyak isi yang sensitif. Selain mengkritik realiti dunia politik dan keadaan semasa sambil membuka banyak tembelang Yahudi Zionist dalam perancangan mereka menakluki dunia ia mengandungi isi yang boleh menggusarkan pihak berkepentingan termasuk istana. Masalah inilah yang membuat saya tidak menyambung lagi siri "Berpetualang ke Aceh". Walhal sejak menerbitkan buku ketiga saya sudah 3 kali pergi Aceh selain menjelajah tempat lain lagi. Tentu ada lebih banyak isi yang boleh dikongsi.
Menghidupkan balik penjualan buku ketiga boleh membantu saya kembali bersemangat untuk menerbitkan buku baru. Kalau tidak saya cuma dapat menulis bagi pihak lain seperti buku "Rumah Azan" yang terbit tahun 2009 dan buku Ahlul Bait versi Inggeris tahun ini selain menyampaikan ilmu dan pengalaman secara percuma di blogspots. Oh. Mungkin ada yang terasa pelik kenapa saya harus membezakan buku penerbitan sendiri dengan buku yang ditulis untuk pihak lain. Bukankah sama sahaja kerana ia tetap ditulis oleh saya?
Sebenarnya kebiasaan dalam dunia penulisan adalah seorang penulis menulis sahaja cerita atau isi suatu buku kemudian boleh lepas tangan. Cerita atau isi lalu disunting oleh pihak lain, reka letak atau layout dibuat lagi pihak lain, kulit buku pun lain. Yang mengaturkan percetakan orang lain, begitu juga pengedaran, promosi dan jualan. Pendek kata ada banyak lagi aspek pembuatan buku yang mana penulis tidak langsung terlibat malah ramai yang tidak tahu.
Itulah yang menjadi kebiasaan lebih 90 peratus penulis. Cuma segelintir sahaja yang sanggup berbuat seperti saya, menanggung risiko mengeluarkan modal, segalanya dibuat sendiri kecuali percetakan (kena ada lesen lain dan kilang) dan pengedaran. Itupun saya tetap harus turun padang berurusan dengan pencetak membayar mereka secara tunai sebelum dapat memberi buku kepada pengedar untuk disampaikan ke kedai-kedai.
Ada masanya saya harus menghantar sendiri buku ke kedai-kedai. Sebagai seorang penulis yang idealistik lagi betul bendul, saya bukanlah berotak salesman atau ahli jualan. Saya berniaga pun untuk kesinambungan hidup agar dapat berkarya tanpa dipaksa menurut acuan sesiapa. Lalu saya sangat letih dengan segala macam kerenah putar belit alam yang ada. Kesulitan sering ditimbulkan peniaga yang tidak jujur, cuba mengelak payment, pandai bermuka-muka dan kuat bermain politik.
Segala ini sering membantutkan semangat. Moga-moga akan ada perubahan positif apabila penjualan buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" dapat digerakkan kembali. Kalau ada yang bertanya apa faedahnya membeli 2 buku yang sama selain dapat menolong saya, beginilah... selain menambah pengetahuan dengan satu buku anda boleh membuka mata dan minda orang lain dengan menghadiahkan lagi satu buku.
Banyak perkara yang diceritakan dalam buku kini telah diperbincangkan secara meluas di Internet kerana semakin ramai yang peka akan turutan peristiwa yang berlaku akhir zaman. Dengan menyebar buku melalui hadiah dan sebagainya, anda sebenarnya menolong menyemarakkan satu perjuangan yang jauh lebih besar dari saya. Dari segi perniagaan pula, anda boleh membeli 2 buah buku secara pos dengan harga RM33.30 tetapi menjual kembali pada harga pasaran RM27.90 senaskah. Kiralah. Anda boleh mendapat untung RM22.50 (RM27.90 x 2 - RM33.30) bagi setiap 2 buku. Ini bersamaan lebih 40 persen. Kiralah sendiri. Ia adalah lebih dari keuntungan biasa yang didapati kedai menjual buku.
Akhir kalam biar diulangi... anda boleh mendapatkan 2 naskah buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" secara pos dengan harga RM33.30 pada ketika harga pasaran adalah RM27.90 senaskah. Saya sebut tawaran terhad kerana sudah tentunya buku sebegitu padat dengan pengalaman dan ilmu tidak boleh terus dijual pada harga semurah itu. Tawaran dibuat cuma untuk belian pos. Kalau beli terus dari tangan saya pun takkan dapat punya...
Tentang caranya, baca di Cara-cara mendapatkan siri buku BKA dan DVD.... Anda boleh menghantar wang pos ke alamat yang diberi atau bank-in duit di akaun. Kalau tak boleh beri tepat RM33.30, agak-agak le sendiri berapa yang sesuai. Ingat. Penulisan dan penjualan buku adalah cara saya menanggung keluarga sambil menyatakan apa yang dipercayai dan diyakini tanpa perlu tunduk kepada tekanan pihak yang berkepentingan.
Berbanding kawan-kawan yang pernah belajar sama di universiti , kawan yang rata-rata sudah jadi orang-orang penting di organisasi masing-masing, taraf ekonomi saya boleh diibaratkan seperti pekerja pencuci tandas sahaja. Tapi saya gembira kerana itulah cara saya menyumbang kepada keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara! :]
p/s: Saya akan berehat dari membuat apa-apa artikel buat beberapa hari. Selepas ini Insyaallah akan dimulakan satu siri kecil... tentang perjalanan ke Singapura menaiki keretapi bersama anak dan isteri 2 minggu lalu. Selesai itu baru dibuat siri pengembaraan kami sekeluarga berkereta ke utara hingga ke Hatyai selain menjelajah banyak tempat di Kedah dan Perlis juga sedikit di Perak. Pengembaraan ini ada disebut secara ringkas dalam artikel Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai?.
Alhamdulillah, setelah lebih sebulan memerah tenaga dan fikiran bersengkang-mata di hadapan komputer baru saya dapat menyiapkan setiap artikel yang patut tentang perjalanan ke Brunei yang dibuat sejurus sebelum masuk bulan Ramadhan, awal bulan Ogos. Artikel-artikel induk yang membentuk siri yang dipanggil "Lawatan tak dijangka ke Brunei" itu sendiri cuma ada 13 ke semuanya dengan bahagian terakhir tamat ditulis jam 4 pagi tadi. Tetapi jika dicampur 3 artikel awal yang dibuat dua bulan setengah lalu berserta semua artikel sokongan di blogspotsBERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sedar tak sedar sudah ada 72 kesemuanya. Jadi biar dikumpulkan links untuk semua. Semoga ini dapat memudahkan pembacaan semula yang dapat memberikan petunjuk tersurat dan tersirat akan banyak perkara... :]
Assalamualaikum semua. Sudah 5 hari berturut-turut saya bertungkus-lumus membuat artikel untuk siri perjalanan ke Brunei ini yang mana setiap daripadanya memerlukan sejumlah artikel sokongan di blogspotsBERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Masuk Khamis dah hari ke 6. Selepas menyelesaikan beberapa urusan lain baru saya dapat memulakan proses dengan menyiapkan 6 lagi artikel sokongan di BERPETUALANG KE ACEH, 5 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Hampir tengah malam baru ia selesai. Baru dapat dimulakan artikel ini, artikel terakhir siri yang disasarkan dapat disiapkan sebelum masuk hari Jumaat sedangkan perenggan awal ini sendiri pun baru dapat ditulis hampir jam 1 malam.
Takpa. Sekurang-kurangnya saya sudah mencuba. Sasaran tamat sebelum Jumaat dibuat kerana ada satu peristiwa penting yang mahu dihebahkan nanti. Nanti... dalam artikel lain ya, mungkin dibuat selepas solat Jumaat. Sekarang biar artikel ini dimulakan dengan langkah kanan (macam le artikel lain dimulakan dengan langkah kiri). Bismillah... :]
OK. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 13 dalam siri "Lawatan tak dijangka ke Brunei". Semalam, selepas menyiapkan artikel ke 12 iaitu Lawatan tak dijangka ke Brunei - Ke negara ini 3 kali dalam tempoh seminggu! , saya tergerak untuk refresh page blogspot saya yang berbahasa Inggeris iaitu BERPETUALANG KE ACEH lalu mendapati kaunter di bawah menunjukkan nombor di atas. Saya pun terus save dengan niat untuk dijadikan gambar permulaan artikel ini. Walaupun nombor menunjukkan blogspot itu cuma pernah dikunjungi orang 91,319 kali, takda le banyak mana saya sukakannya kerana ada faktor 131, nombor home sweet home saya. Lihat artikel lama Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131.... Semoga ia menandakan akan muncul lebih banyak kebahagian bagi kami seisi keluarga.
Ahad 8 haribulan Ogos 2010, kami dijadualkan kembali ke Semenanjung petang nanti. Sedikit masa yang masih ada harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Seperti biasa kami sarapan pagi dahulu sambil menunggu orang mengambil.
Beginilah kawasan tempat kami menginap... tempatnya sebuah rumah kedai di latar-belakang gambar. Oh, sepanjang bercerita tentang perjalanan di Brunei ini saya lupa hendak beritahu kami sudah beberapa kali makan nasi ayam penyet kerana sedap dan mudah didapati. Selain itu kami juga selalu makan nasi 'katok', kiranya makanan unik di Brunei dan paling murah... boleh didapati di mana-mana dengan harga cuma 1 Brunei Dollar sepinggan, kira-kira RM2.40.
Ya, nasi 'katok', sebenarnya nasi biasa dengan lauk ayam goreng dan sambal adalah pilihan murah ibarat nasi lemak bungkus ikan bilis di Malaysia... tetapi lebih enak dan harganya tetap walaupun di restoran sedikit mewah. Kalau tak salah ingatan ia dipanggil nasi 'katok' kerana dahulu dijaja keliling kampung di mana orang yang menjualnya akan mengetuk (katok le tu, takda kena-mengena dengan binatang katak ya) pintu dari rumah ke rumah.
Kami sarapan nasi 'katok' sahaja pagi Ahad. Melihat belum lagi muncul orang untuk mengambil, saya mengambil peluang untuk melawat masjid berdekatan...
Masjid ini terletak di seberang jalan penghujung kedai-kedai tadi. Seingat saya inilah masjid pertama yang saya nampak di Brunei kerana sebaik sahaja sampai Ahad seminggu lalu kami dibawa ke kawasan ini yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang. Sejak itu saya menyimpan niat harus singgah walaupun sebentar. Kesibukan aktiviti hari demi hari menyebabkan seminggu kemudian baru dapat menjejakkan kaki. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Serusop.
Ketika sibuk mengambil gambar dalam masjid saya mendapat panggilan telefon dari isteri memberitahu bahawa anak sulung Hajah Sopiah iaitu Sobrina sudah sampai untuk membawa kami berjalan. Saya pun bergegas kembali ke kedai makan. Kami masuk ke dalam kereta dan terus dibawa ke Bandar Seri Begawan.
Hmm. Biar kita masuk sekali lagi bab makanan sementara ada peluang. Saya lupa hendak beritahu bahawa Hajah Sopiah pernah membawa kami menikmati sejenis makanan tradisional yang dipanggil amboyat di sebuah restoran. Ia seperti bubur sagu pekat, digulung-gulung pada hujung penyepit buluh sebelum ditelan, dilawankan dengan lauk-pauk sepertimana kita makan nasi tetapi ada tambahan kuahnya yang tersendiri. Beliau membawa kami apabila diberitahu saya ingin merasa masakan tradisional Brunei yang tidak ada di tempat lain. Kemudian baru saya tahu di Sarawak juga terdapat amboyat. Tapi kita mesti ingat, Sarawak dahulu adalah sebahagian dari Brunei. Rujuk balik apa yang diperkatakan dalam artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sampai ke bumi kenyalang, cukup semua 13 negeri dijejaki....
Sobrina membawa kami ke sebuah pasar yang dipanggil Tamu Kianggeh.
Letaknya berdekatan pusat bandar. Semasa menyeberangi jambatan masuk ke pasar terlihat pula tanah perkuburan di lereng bukit.
Puas melihat pasar kami bergerak ke bahagian lain Bandar Seri Begawan.
Sepertimana pertama-kali lalu di bahagian ini hari Isnin, entah kenapa saya terasa seperti berada di Monaco, negara kaya kecil yang pernah dilawati semasa bergerak dari Itali ke Peranchis, dalam rangka pengembaraan pusing Eropah seorang diri secara hitchike yang dibuat 15 tahun lalu.
Tempat yang dituju terletak ke hadapan lagi. Dari tempat kami meletak kereta boleh kelihatan keindahan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang kubahnya dibuat dari emas.
Kami ke sini untuk menaiki bot merentasi Sungai Brunei melihat Kampung Ayer, sebuah penempatan besar tradisional Melayu yang terletak di atas air. Sobrina yang mengaturnya kerana sudah berjanji akan membawa kami ke sini...
Lihat video klip ini. Seronok kan! :]
Walaupun kelihatan penat Al-Rasyid tidak meragam. Lihat pula klip di bawah...
Bukan saja ada kampung, kedai, balairaya dan sekolah, di situ juga ada galeri muzium moden atas air.
Kami pun berlabuh di jeti yang ada...
Sobrina sendiri pertama kali sampai ke galeri. Katanya kali terakhir ke Kampung Ayer ia belum dibuka. Banyak yang boleh dipelajari tentang sejarah tempat ini malah sejarah Brunei (lihat Galeri kebudayaan dan pelancongan Kampong Ayer (Kampong Ayer cultural and tourism gallery)). Al-Rasyid pula seronok berlatih berjalan. Ketika itu baru nak masuk umur 10 bulan, baru bertatih jatuh bangun duduk gitu...
Kami menaiki menara di sebelah galeri untuk melihat persekitaran. Lihat artikel Views from the tower at Kampung Ayer. Dari atas kami boleh nampak pemandu bot yang menguruskan hal lain datang kembali untuk mengambil kami. Dia membawa kami ke tempat ini pula.
Ia adalah sebuah muzium persendirian yang katanya ada mempamirkan barangan berunsur mistik. Menariknya nama Kampung Saba mengingatkan pada kerajaan purba Saba yang pernah diterajui Ratu Balqis.
Yang lain menunggu je sementara saya melihat musium yang ternyata tutup. Kalau dibuka tentu mereka akan naik mengekori..
Puas melihat Kampung Ayer saya teringin melihat lagi pasar yang kami pergi tadi iaitu Tamu Kianggeh tetapi dengan bot.
Bot meluncur laju untuk masuk ke Sungai Kianggeh... perlu lalu di bawah jambatan.
Allah! Rapat betul dengan kepala.
Bila dah lepas memang terasa best! Sobrina mula mengambil gambar, saya juga begitu. Lihat Tamu Kianggeh from the boat.
Setelah berlegar-legar di sekitar perjalanan kembali ke Sungai Brunei pun dimulakan.
Ketika itulah saya terlihat sebuah panggung wayang awam, katanya satu-satunya yang ada di seluruh Brunei.
Jika mahu kami boleh turun di Tamu Kianggeh. Tetapi kami harus berpatah-balik untuk mengambil kereta...
Seterusnya Sobrina membawa kami melawat galeri atau muzium yang dipanggil Bangunan Alat Kebesaran Diraja.
Seperti disebut pada nama, di dalamnya terdapat banyak barangan kebesaran diraja termasuk perkakas pertabalan.
Ketika saya sedang leka mengambil gambar, Al-Rasyid terlepas dari tangan ibunya. Dia mula menyeludup masuk untuk melihat usungan yang pernah digunakan oleh Sultan Hassanal Bolkiah ketika pertabalan. Nasib baik sempat ditegah kami...
Saya pula lebih tertarik pada satu barangan yang dipanggil Tongkat Ajai. Melihat namanya terbetikdalam hati: "Agaknya sebab itu pasangan penyanyi Nurul dan Ajai boleh bercerai. Sebab tongkat Ajai tertinggal di Brunei, heh!".
Kami kembali ke tempat penginapan untuk bersiap sebelum turun makan. Hmm... sekali lagi, kami samada makan nasi ayam penyet atau nasi katok...
Kemudian baru Sobrina menghantar ke lapangan terbang.
Sampailah masa untuk pulang.
Hajah Sopiah yang sedang sibuk menguruskan kerja dan rumahtangga sempat menjenguk sebentar bersama seorang lagi anak iaitu Mariam. Selepas bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal baru kami melangkah ke dalam.
Al-Rasyid bermain-main sementara menunggu masuk kapalterbang.
Selamat tinggal Brunei. Lihatlah gambar-gambar di luar tingkap sepanjang penerbangan di The flight return from Brunei.
Ini ada sedikit video klip pemandangan Gunung Ledang dilihat dari dalam kapalterbang. Biarlah saya mengambil peluang sekali lagi untuk mengucapkan sebanyak-banyak terimakasih kepada Hajah Sopiah kerana sudi menaja kedatangan kami ke Brunei dan menyediakan kemudahan juga kepada ahli keluarga yang sudi melayan membawa kami ke sana ke mari. Di harap Hajah sekeluarga juga mendapat faedah dari pertemuan ini.
Biar diberitahu anaknya Sobrina yang kini sedang menyambung pengajian di England bertanggungjawab menulis artikel suratkhabar yang mengenengahkan pendapat saya tentang kaitan Sultan Brunei dengan Ahlul Bait anak cucu Nabi. Beliau adalah seorang wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The Brunei Times yang masih lagi menulis apabila kembali ke kampung halamannya. Lihat artikel 'Buah tangan' dari Brunei yang dibuat Jumaat 13 Ogos 2010, 5 hari sekembalinya saya, isteri dan anak dari Brunei. Menariknya pagi itulah Al-Rasyid betul-betul dapat berjalan, bermula dari ruang tamu hingga ke dapur!
Cukuplah... dah jam 4 pagi baru siap artikel ini. Bukan dapat duit pun tapi saya puas... puas kerana berjaya menyelesaikan siri di ketika umur saya masuk 40 tahun hari ini. :]
Setelah melihat Laut China Selatan dari satu kawasan persisiran pantai saya pun bersedia untuk kembali ke Brunei.
Cukuplah berada beberapa jam di bandaraya kedua Sarawak ini. Anak-anak Hajah Sopiah dan sepupu mereka sudah puas membeli-belah sedangkan bagi saya, isteri dan anak apa yang kami lihat dan buat sudah cukup untuk menyatakan kami sudah menjejakkan kaki di bumi kenyalang.
Selepas menyelesaikan satu lagi urusan di pinggir bandaraya kami terus bergegas ke sempadan.
Terus-terang saya terasa begitu teruja untuk melepasi pos immigresyen...
Bukan apa. Dengan selesainya urusan paspot maka terbuktilah kami anak-beranak sudah masuk ke Brunei 3 kali dalam tempoh seminggu. Lebih menarik lagi kami sudah masuk melalui ketiga-tiga cara yang boleh diterima logik akal iaitu jalan udara (penerbangan dari KLIA hari Ahad), jalan laut (feri dari Labuan hari Khamis) dan kini jalan darat dari Sarawak. Dari segi ini boleh dikira lengkaplah cara kami melihat apa yang ada di Brunei.
Saya sebut 3 cara logik akal kerana di luar logik pula mungkin ada yang berkata... eleh... apa nak heran? Lainlah kalau sampai ke Brunei melalui jalan bawah tanah, dari angkasa lepas atau 'meloncat' antara 2 tempat ala film Hollwood Jump... tiba-tiba boleh muncul begitu sahaja. Kalau boleh tentu saya dah buat. Tapi apa nak buat ilmu saya rendah lagi tak berdaulat. Orang biasa macam saya mana boleh menandingi kehebatan orang-orang 'mutlak' atau 'hak' yang mampu berjalan atas air dan selut tanpa tenggelam... boleh keluar masuk alam jin dan bunian sesuka hati malah naik ke langit ketujuh dan lebih atas lalu boleh melihat roh para wali, nabi dan entah apa lagi... :]
Seperti di kawasan lain berdekatan pantai yang telah diziarahi sebelum ini (Muara, Lumut, Seria dan Miri) saya juga ingin melihat Laut China Selatan. Walaupun tidak banyak beza kerana ia laut yang sama, dan mukabumi sepanjang tempat-tempat yang disebut termasuk di Kuala Belait juga serupa iaitu mendatar sahaja tidak sah bagi saya jika tidak melihat dengan mata kepala sendiri keadaan di setiap tempat. Lihat South China Sea from Kuala Belait.
Kemudian baru kami kembali ke Seria melalui jalan persisiran pantai di mana kami dapat melihat perubahan secara berperingkat keadaan sekitar yang berkaitan industri minyak. Lihat The coastal road from Kuala Belait to Seria.
Menariknya seperti di Bandar Seri Begawan saya juga dapat melihat beberapa buah rumah atau bangunan yang memakai bentuk bumbung Minangkabau. Apakah kaitannya dengan Brunei?
Kami kembali ke rumah ibubapa Hajah Sopiah untuk berehat dan bersiap. Mariam dan Jep keluar dengan kereta lain untuk menghantar sepupu mereka kembali ke rumah berdekatan lalu tidak lagi kelihatan. Petang sikit setelah mengucap selamat tinggal kepada isi rumah, pemandu pun menghantar saya anak-beranak kembali ke Bandar Seri Begawan.
Kami sampai selepas Maghrib. Sambil itu saya cuba memikirkan apakah kaitan Brunei dengan Minangkabau. Diakui memang ada orang dari sana pernah datang dahulukala untuk menetap di sini termasuk ahli keluarga diraja. Tetapi lebih menarik lagi, pada Batu Tarsilah iaitu batu yang tersurat salasilah raja-raja Brunei ada disebut begini...
...Negeri Brunei yang turun temurun yang mengambil Pusaka Nobat Nakara dan Ganta Alam dari Minangkabau...
OK. Biar diberitahu walaupun sejarah rasmi menyebut Syarif Ali berasal dari keturunan cucu sulung Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Hassan dari jalur keturunan yang merajai Mekah iaitu Syarif Mekah, ada pihak lain percaya baginda sebenarnya adalah keturunan langsung Sultanul Awliya iaitu Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Memang Sheikh Abdul Qadir juga adalah keturunan Saidina Hassan tapi dari cabang yang lain. Memikirkan ini saya teringat bahawa di bahagian tengah Pulau Sumatera iaitu di satu tempat yang dipanggil Batu Hampar, tempat yang turut dikaitkan dengan Alam Minangkabau terdapat makam seorang penting yang katanya bernama Syarif Ali.
Adapun Syarif Ali di Batu Hampar itu katanya adalah keturunan terdekat Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan berkembar Samudera dan Pasai hampir 800 tahun lalu. Tetapi apabila mengaitkan semua ini dengan kaitan rahsia yang saya tahu wujud antara Sultan Malikus Salih dengan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, terbetik di hati. Apakah Syarif Ali di Batu Hampar itu memang sama orangnya dengan Syarif Ali yang datang ke Brunei? :]