Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Ogos 16, 2024

Kepentingan sumber dalam pengkajian sejarah - Apa kata Arkib Negara?

Salam pagi Jumaat kedua bulan Safar 1446 Hijriah. Merujuk pada artikel Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos yang dipersembahkan Jumaat lalu Sehari sebelum diskusi buku berlangsung dapat tahu ada acara menarik dijadualkan berlangsung di Arkib Negara hari sama jam 8.30 pagi hingga 2 petang.  Memandangkan dari Arkib cuma 1.8 km ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) saya pun mengajak isteri ke sana.



Pagi Khamis 15 Ogos 2024. Selepas menghantar anak ke sekolah pagi kami pun meredah kesesakan jalan raya dari tol Bandar Sungai Buaya ke tol Jalan Duta lalu menuju ke Arkib. Untuk menemani, isteri telah mengambil cuti kerja. Anak pula telah diatur supaya boleh bersalin pakaian di suatu tempat berdekatan apabila hendak ke sekolah petang. Begitu juga apabila kembali petang nanti. Kerana besar kemungkinan kami sendiri selepas Maghrib baru sampai rumah.




Sepatutnya pagi itu ditumpukan sepenuHnya bagi mendapatkan rehat dan persediaan yang secukupnya bagi menjayakan diskusi buku di ISTAC. Selepas jam 12 boleh bergerak lalu tidak perlu menghadapi kesesakan jalan raya orang pergi kerja.




Tapi dah jenis orang sayang ilmu, saya ajak isteri keluar awal untuk ke Arkib Negara terlebih dahulu. Dan lagi, dari rumah ke Arkib kemudian ke ISTAC boleh kira sekali jalan. Lainlah kalau diadakan di tengah bandar raya seperti di Wisma Sejarah milik Persatuan Sejarah Malaysia atau Perpustakaan Negara. Memang tak terkejar le kalau majlis berakhir jam 2.




Oh. Tadi itu gambar Wisma Warisan tempat Arkib selalu mengadakan majlis seperti yang dihadiri sebelum ini. Tengok-tengok bertukar ke bangunan baru. Letaknya betul-betul di sebelah Mahkamah Tinggi.



Menarik apabila memikirkan baru ini mahkamah telah memuktamadkan keputusan bahawa tanah seluas lebih 160 hektar meliputi Arkib, Mahkamah Tinggi,Masjid Wilayah, Stadium Hoki Tun Razak, bangunan Integriti malah ISTAC itu sendiri harus diserahkan kembali kepada satu syarikat yang dinyatakan sebagai pemilik asal.




Ini bangunan baru majlis. Baru tahu ia sudah menjadi tempat beberapa majlis. Kami sahaja yang baru pertama kali sampai.




Sarapan dahulu. Gambar ini diambil jam 9.06. Majlis dinyatakan bermula 8.30 itu sebenarnya adalah bagi menunggu semua hadirin sampai termasuk masa untuk sarapan...




Saya masuk lewat sedikit ke dewan majlis kerana mahu menghabiskan sedikit bacaan Al-Quran. Ketika gambar ini diambil jam 9.30 sedang nyanyi lagu kebangsaan.




Ini diikuti bacaan Rukun Negara.



Tajuk majlis. Ia adalah yang ke-51 dalam siri Polemik Sejarah Malaysia. Siri diadakan secara bergilir di beberapa institusi milik atau terkait dengan kerajaan sekali hingga 2-3 kali setahun. Saya pernah hadir beberapa edisi, pertama kali di Arkib juga tetapi 13 tahun lalu. Lihat Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011.







Di sini tak perlulah diulas panjang tentang perjalanan majlis.







Saya masih kepenatan dan kurang rehat selain harus mengejar kuota bacaan Al-Quran harian.




Dan selepas ini, selewatnya esok hari Sabtu harus menyediakan satu artikel tentang diskusi buku di ISTAC. Sedangkan awal malam harus bergerak ke Muar kerana sudah berjanji hendak menjengok orang tua.




Tadi jam 8.30 hingga 10 pagi saya telah mengikuti satu majlis ilmu secara atas talian. Petang karang jam 3 mahu mengikut satu majlis atas talian lagi. Lalu kedua-dua dicadangkan mahu ditulis cerita tentangnya, selewatnya sebelum hari Isnin.




Cukuplah dinyatakan perkongsian sangat menarik.




Dapat juga  ilmu baru.



Masuk sesi soal jawab saya mengambil peluang untuk bertanya dan menyatakan sesuatu tentang  keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak, supaya tidak tenggelam kebenaran, supaya yang haq boleh mengatasi yang bathil. Boleh rujuk artikel Maklum balas rasmi terhadap pihak yang mendakwa berturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di media massa yang dipersembahkan Selasa 13 Ogos untuk hal berkenaan.




Seluruh perjalanan majlis ada direkod Arkib Negara lalu boleh ditonton dalam video ini. Untuk melihat saya bertanyakan soalan apa dan bagaimana boleh terus ke jam 3:27:03. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,535 di CATATAN SI MERAH SILU.


Rabu, Ogos 14, 2024

Orientalisme dan pergantungan modal di Eropah Timur : Mengaplikasikan teori Orientalisme Edward Said

Merujuk pada artikel Maklum balas rasmi terhadap pihak yang mendakwa berturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di media massa yang dipersembahkan sebelum Maghrib semalam. Adapun ia dipersembahkan dari sebuah kedai mamak hampir ke pinggir utara Kuala Lumpur, dalam perjalanan kembali dari satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.



Saya dimaklumkan tentang majlis oleh guru saya di ISTAC, Profesor Datuk Dr Osman Bakar tepat semingggu sebelum acara lalu memberikan komitmen untuk hadir. Ia diadakan di bahawa nama Kursi Al-Ghazali yang dipegang beliau. Pembicara adalah Profesor Madya Dr Rafal Smoczynski dari Poland. Tajuk majlis/bicara boleh diterjemahkan sebagai "Orientalisme dan Pergantungan Modal di Eropah Timur : Mengaplikasikan Teori Orientalisme Edward Said"



Dinyatakan pada poster bahawa bicara atau pembentangan bertujuan untuk menilai kesan-kesan transformasi politik Neoliberal yang berlaku di kawasan hampir pinggir Eropah Timur, dengan penekanan khusus pada pengambilalihan pemilikan hartanah oleh korporasi- korporasi Eropah Barat dan Amerika. Kesan luarannya pemilikan membawa kepada pengaliran keluar kapital atau modal dari kawasan tersebut ke negara-negara pusat Barat lalu memberi kesan buruk kepada rakyat Eropah Timur.




Dan lagi pembentangan bertujuan untuk menyiasat mekanisma diskursif (adus... 'berbuih-buih' juga rasa nak faham terma-terma akademik yang digunakan apatah lagi mahu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu) yang mana melaluinya berlaku proses keabsahan ideologi yang meliputi pengembangan modal memperkukuhkan ketidakseimbangan perkembangan antara Timur dan Barat Eropah. Dalam konteks ini akan dihujahkan bahawa golongan elit Eropah Timur telah mendapat peningkatan taraf sosial, selalu menjadi orang tengah antara pemilik  modal dengan penduduk tempatan. Mekanism ini dianalisa melalui perspektif Edwad Said tentang Orientalisme yang mana ia cenderung untuk mencambahkan ketidakseimbangan antara kawasan  pusat dengan kawasan hampir pinggir.



Nah.  Memang 'berbuih-buih' mendengar bahasa dan terma yang digunakan. Perlu pengetahuan akademik ilmu sosiologi, politik dan ekonomik yang kukuh selain bacaan yang meluas termasuk buku "Orientalism" (terbit 1978) tulisan intelektual Amerika kelahiran Palestin Edward Said.




Bahasa mudahnya begini. Rafal mahu membicarakan tentang interaksi sosioekonomi antara negara-negara Eropah Timur 'hampir pinggir' dengan 'pusat' yang berat sebelah. Maksud pinggir di sini adalah di luar dari pusat berupa negara-negara Eropah Barat yang kaya raya seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom. Eropah Timur sudah lama berada dalam blok Komunisma pimpinan Soviet Union (sekarang Russia) yang kurang makmur secara materialistik dan diperintah secara kuku besi. Sedangkan negara-negara Eropah Barat jauh lebih makmur di bawah sistem kapatilisma yang bergantung kepada industi dan para pemodal dan bersifat bebas.

Apabila Komunisma di Eropah jatuh penghujung tahun 1990an pemodal-pemodal dari Eropah Barat pun masuk melabur ke Eropah Timur. Bagi Rafal yang berasal dari Poland kesan kepada negara sendiri dibincangkan dan kesan serupa dilihat berlaku pada negara Czech dan Slovak. Walaupun berlaku peningkatan taraf hidup disebabkan kemajuan dan kemakmuran yang datang melalui pelaburan luar beliau melihat rakyat sebenarnya semakin tertindas kerana banyak hartanah jadi milik orang luar. Golong elit mereka pula seperti memberi jalan kerana mendapat keuntungan peribadi daripada pemodal. Lalu hal ini cuba dianalisa melalui kaedah Edward Said mengupas Orientalisme walaupun terma itu asalnya digunakan untuk menunjukkan bagaimana negara-negara Barat menangani negara-negara kurang maju di Afrika dan Asia terutama melalui penjajahan.

Kata Rafal negara-negara seperti Poland dilihat 'kurang Eropah' dan keterbelakang. Dalam keadaan inilah ia dieksploitasikan atau dipergunakan sama seperti nasib negara-negara Afrika dan Asia di tangan negara Barat. Begitulah lebih kurang.





Selasa, Ogos 13, 2024

Maklum balas rasmi terhadap pihak yang mendakwa berketurunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di media massa

Salam semua. Ini ada suatu perkara penting melibatkan maruah keluarga saya, keluarga besar tokoh pejuang Perak abad ke-19 Masihi, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan keabsahan anak cucu keturunan.


Sehari lalu saya ada meletakkan hantaran atas di Facebook. Ini kerana didapati telah keluar artikel dalam lawan sesawang agensi berita nasional Bernama Jumaat 9 Ogos 2024 menunjukkan ada pihak dengan berani dan penuh yakin mendakwa diri sebagai keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Mereka dikatakan berkembang dari Kampung Kepayang. Ipoh. Artikel sama dikutip akbar berbahasa Inggeris The New Straits Times Sabtu 10 Ogos, versi bahasa Melayu pula dipaparkan akhbar Berita Harian dan Harian Metro. Klik pautan berikut :-


1. Bernama 

2. The New Straits Times 

3. Berita Harian 

4. Harian Metro



Di sini biar disalin teks daripada laman sesawang Berita Harian tanpa menyertakan gambar.


-------------


KUALA LUMPUR: Meskipun ibu saya berasa sangsi apabila menerima satu pesanan WhatsApp mengenai seorang penyelidik genealogi yang cuba mencarinya dan adik-beradiknya di kampung halaman mereka di Tambun, Perak, dalam masa yang sama dia juga ingin tahu apa tujuan lelaki itu.

Penyelidik yang bernama Fazil Shuhaimi Talib itu juga mempunyai nama adik-beradik ibu juga nama ibunya dan lain-lain. Pesanan lelaki itu juga menyatakan bahawa mereka semua adalah keturunan seseorang yang ibu saya sendiri tidak pernah dengar namanya - Puteh Manjera bt Muhammad Amin. Rupanya Puteh Manjera itu adalah moyang ibu saya dan itulah sebabnya mengapa penyelidik itu mencari ibu saya dan adik-beradiknya.

Ibu saya boleh menjejak susur galurnya sehingga kepada neneknya sahaja tetapi tentang moyangnya, ia suatu misteri sehinggalah sekarang. Kalau difikirkan kembali, agak ganjil juga ibu saya tidak tahu menahu tentang moyangnya.

Selepas dapat pengesahan Fazil itu adalah seorang penyelidik yang sahih, ibu saya bersetuju untuk bertemu dengannya.

Fazil ini bekas jurutera, berusia 70 tahun dan kesempatan bertemu dengan ibu saya yang berumur 85 tahun seakan merungkai kisah misteri yang sedang diselidikinya. Ingatan ibu saya memanglah baik kerana dia masih boleh ingat setiap perkara yang memalukan, yang pernah saya buat. Makanya, dia tidak punya masalah untuk mengingati semua nama sepupunya serta anak-anak mereka, walau sejauh mana mereka tinggal.

Bagi kami yang lain, kemunculan Fazil ini bukan sahaja membawa maklumat tentang buyut dan saudara perempuannya, ia juga menggambarkan betapa dekatnya hubungan kami, mungkin kepada pembunuhan Residen British James WW Birch, satu detik sejarah penting dalam zaman kolonial di Malaysia.

"Untuk katakan kita ni keturunan dari salah seorang yang membunuh Birch, boleh tahan juga," kata Maya, sepupu saya.

Ketika penyelidikan Fazil mungkin menjawab beberapa persoalan tentang keluarga kami, ia mencetuskan lebih banyak soalan. Bagaimana kami langsung tidak tahu tentang kaitan kami dengan Laksamana Muhammad Amin?

KEM PEMBERONTAK

Kisah ini, yang lepas dan sekarang, berpusat di Kg Kepayang, sebuah kampung di Fair Park, Ipoh. Meskipun hampir dengan pusat bandar, ia agak terpinggir sehinggalah baru-baru ini.

Profesor Madya Kehormat Ahmad Jelani Halimi, Pengerusi Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak memberitahu saya bahawa kampung itu dipinggirkan kerana sejarahnya.

"British menganggap Kg Kepayang sebagai kampung pemberontak dan disenaraihitamkan," katanya, lalu memberikan sebab-sebabnya.

Kg Kepayang adalah di mana Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah, Sultan Perak ke-25 dan pemberontak-pemberontak yang lain, termasuk Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, mencari perlindungan daripada tentera British sewaktu Perang Perak pada tahun 1875. Di pihak Kepayang, ia juga kubu kuat Panglima Kinta. Datuk Panglima Kinta Ngah Jabor, yang juga seorang panglima pada masa itu, adalah salah seorang yang bersubahat dalam pembunuhan Birch dan dia juga paman buyut Fazil.

Ketika itu, Sultan Ismail sudah digulingkan di bawah Perjanjian Pangkor dengan British pada tahun1874, yang menoktahkan perebutan tahta dengan melantik Sultan Abdullah Muhammad Shah II sebagai pengganti.

Perjanjian itu signikan daripada segi sejarah kerana ia memberi ruang penguasaan British ke atas raja-raja Melayu dengan perlantikan seorang Residen British yang ditugaskan untuk mentadbir dan menasihati sultan. Perak merupakan negeri pertama jatuh untuk memberi laluan kepada pemerintahan British di negeri-negeri Melayu.

Menurut Ahmad Jelani, meskipun meminta bantuan British untuk mendapatkan semula tahta negeri Perak, Sultan Abdullah kemudiannya menyesal menandatangani Perjanjian Pangkor, dan berasa diri baginda diperbodohkan oleh British.

Sultan Abdullah terutamanya berduka kerana baginda perlu mendengar kata James WW Birch, yang kebanyakan pakar sejarah bersetuju tidak mempunyai langsung sikap berdiplomasi. Ketika Birch melaksanakan dasar baik atau buruk, dia lakukannya secara kurang ajar, tanpa langsung berunding dengan raja-raja.

"Dia membuat provokasi. Orang Melayu pun tak terima bahawa pengutipan cukai tu mesti kepada dia. Dia hantar notis semua cukai ke pemungut cukai. Pembesar-pembesar tak dibenarkan," kata Ahmad Jelani, dengan menambah, tindakan itu bermakna pembesar-pembesar kehilangan pendapatan mereka dengan sekelip mata.

Beliau berkata, satu lagi sebab mengapa pembesar Melayu membenci Birch ialah dia membebaskan hamba, yakni mereka yang dijual untuk bekerja sebagai cara membalas hutang mereka. Khabar-khabar angin turut tersebar bahawa Birch juga membebaskan ramai wanita yang menjadi "gundik pembesar," yang menjadikan pembesar-pembesar itu semakin benci kepadanya.

"Memanglah bagus (membebaskan orang yang menjadi hamba kerana hutang), tetapi bukan cara yang dia buat. Dalam pada dia melakukan sesuatu yang baik, bukan secara mendesak," katanya.

Ada hamba yang tidak gembira dibebaskan kerana mereka tidak lagi mudah mendapat pakaian, makanan dan tempat tinggal.

Tidak lama kemudian Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin – yang Fazil katakan adalah 'cakawari' saya – Lela Pandak Lam, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar, Syahbandar Uda Maamor, Dato Panglima Kinta Ngah Jabor dan pembesar lain mengadakan mesyuarat untuk merancang membunuh Birch.

Selepas pembunuhan Birch pada tahun 1875 oleh Lela Pandak Lam dan yang lain, Sultan Ismail memberi mereka perlindungan. Mereka dan yang bersubahat melarikan diri ke Kg Kepayang, mencari perlindungan sementara daripada abang tiri Lela Pandak Lam iaitu Ngah Jabor, sebelum bertolak ke Siam. Tentera British dan sekutunya yang menjejak mereka berjaya menawa mereka.

Lela Pandak Lam dan pembantunya Sepuntum dibicarakan dan didapati bersalah kerana membunuh dan digantung sehingga mati pada tahun 1877. Datuk Panglima Kinta Ngah Jabor dilucutkan jawatan Panglima Kinta dan dikenakan buangan ke Johor, meskipun dia dilaporkan secara diam-diam kembali semula ke Ipoh sedekad kemudian dan menggunakan nama lain, demikian menurut penyelidikan. Pasak Kepayang juga kehilangan pangkat itu, yang sebelum ini diberi secara bergilir dalam kalangan sepupu-sepupu mereka di Paloh.

Pakar sejarah tidak pasti sama ada pihak British mempunyai peranan dalam menyingkirkan waris keturunan Ngah Jabor daripada barisan pengganti.

Mengenai Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Ngah Ibrahim dan Uda Maamor , mereka dikenakan buangan ke kepulauan Seychelles. Laksamana membawa bersama isteri pertamanya, Toh Puan Fatimah. Kedua-dua anak perempuan mereka, Ngah Teresah dan Puteh Manjera, sudah berkahwin ketika itu dan tinggal di Kg Kepayang. Isteri-isteri Laksamana yang lain serta anak-anak mereka tidak mengikutinya.

Sehingga kini memang tidak banyak maklumat mengenai Laksamana Muhammad Amin dan apa yang dilakukannya.

Sekutu Pengarah Institut Kajian Tuah Profesor Madya (Bersara) Mohd Samsudin memberitahu Bernama, Laksamana pada dasarnya dikenali kerana siapa yang dia kenali dan kepada siapa dia berkhidmat.

"Dia berada dalam kumpulan itu tetapi sama ada dia ada menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu, tidak ada dokumen mengenainya, kecuali ia dalam kenyataan yang dirakam oleh saksi. Bagaimana besar peranannya, tiada siapa yang tahu," katanya.

MENCARI JAWAPAN

Itu adalah antara cabaran dalam membuat penyelidikan ke atas sejarah Melayu. Sebelum dan pada tahun-tahun awal kependudukan British, orang Melayu jarang membuat sebarang penulisan, dan lebih gemar menurunkan sejarah komuniti menerusi tradisi percakapan.

Ditambah dengan kekacauan yang berlaku pada masa itu, sebarang hubungan dengan musuh pihak British yang dikenakan perintah buangan, sudah tentunya baik sahaja dipendamkan.

Meskipun tiada rekod pihak British mengenakan tindakan ke atas keluarga atau saudara-mara mereka yang terlibat dengan pembunuhan Birch, Mohd Samsudin berkata, terdapat kecenderungan untuk sanak saudara atau sekutu mereka yang dikenakan buangan, untuk mendiamkan diri.

Sebagai contoh, terdapat sepucuk surat meminta pihak British untuk membayar kos perjalanan pulang Toh Puan Fatimah dan anak saudara lelakinya ke negeri-negeri Melayu selepas 20 tahun tinggal di Seychelles, tetapi tiada lagi selepas itu.

"Itu ketika pemerintahan British di Perak. Bagi sesetengah orang, mereka menukar nama mereka (atau menggunakan nama gelaran). Itulah salah satu masalah penyelidikan salasilah," kata Mohd Samsudin, yang juga timbalan pengerusi majlis eksekutif PSM.

Bagaimanapun, kesemuanya ini tidak mematahkan semangat Fazil, yang penyelidikannya bermula dengan kata-kata seorang orang makcik di Kg Kepayang sekitar 15 tahun lepas.

"Dia kata, ada dua orang anak Orang Besar Ipoh yang kahwin dengan orang Kepayang. Dia bagi nama: Teh Manjera dengan Ngah Teresah, " beliau memberitahu saya sewaktu kunjungan ke Kg Kepayang.

"Itu yang membuatkan hati saya berdetik, kisah itu menarik dan saya perlu menggali maklumat mengenainya."

Wanita tua itu sudah pun meninggal dunia.

Fazil, yang juga presiden Persatuan Keluarga Kulop Kinta (PK3), berkata, dia pernah mendengar nama-nama berkenaan tetapi tidak tahu Ngah Teresa adalah moyangnya, yang berkahwin dengan anak lelaki Datuk Panglima Kinta Ngah Jabor, atau adik perempuannya Puteh Manjera. Dia juga tidak tahu mereka adalah anak perempuan Laksamana Muhammad Amin sehingga dia menjumpai geran tanah yang diwartakan pada tahun 1914, yang memperuntukkan sebidang tanah untuk Masjid (tua) Kepayang.

Nama penuh mereka tercatat di atas geran itu. Itu pun, dia masih berasa sangsi.

"Kerana banyak sangat nama Muhammad Amin, nama itu nama biasa," katanya.

Beliau kemudiannya menjadi yakin sebaik sahaja dia membandingkan keturunan dua orang saudara perempuannya dengan rekod genealogi keluarga yang lain, seperti Toh Puan Fatimah, isteri pertama Laksamana dan juga keluarga Panglima Kinta, di samping dokumen arkib seperti hak milik hartanah. Dia juga menemu bual seramai mungkin orang tua yang boleh dicari, yang masih mengingati nama saudara mara dan memberi dia maklumat untuk pergi ke beberapa kampung di Ipoh. Memang sukar baginya kerana ramai orang tua yang sudah meninggal dunia atau berpindah ke tempat lain.

Meskipun dia tidak memperolehi sebarang bukti konkrit keibubapaan saudara perempuannya - tidak ada sijil perkahwinan atau sijil kelahiran pada masa itu - semakin dalam pencariannya, dia tetap bertemu dengan kumpulan orang atau keluarga yang sama. Dengan mengambil kira keluarga cenderung berkahwin antara satu sama lain, kata Fazil, pada akhirnya terlalu banyak kebetulan yang tidak boleh diketepikan.

Kemungkinan itu yang terbaik baginya, kerana rekod nenek moyang kebiasaannya hanya untuk keluarga diraja.

Usahanya ternyata berbaloi apabila Mohd Samsudin juga membuat kesimpulan yang serupa. Kerajaan Negeri Perak menyenaraikan Ngah Teresah dan Puteh Manjera sebagai anak perempuan Laksamana Muhammad Amin daripada isteri pertamanya dalam edisi 2022 "Susur Galur Keturunan Orang Besar Empat dan Orang Besar Lapan."

Dapatan ini diwartakan pada bulan Mac tahun ini.

BERSATU SEMULA

Apabila Fazil berjaya menjejak ibu saya, dia mahukan bukti yang kami mempunyai pertalian darah. Dia ada menemui dokumen hak milik tanah, yang Puteh Manjera mewasiatkan kepada anak perempuan sulungnya Mik Hakiah bt Gapar. Ramai daripada keturunannya masih tinggal di tanah itu di Kg Kepayang.

Ibu saya memberikannya banyak juga maklumat. Ibu saya masih ingat Mik Hakiah, iaitu nenek saudaranya, dan dua pupunya.

"Selepas ibu saya meninggal dunia, ibu pergi ke sana semasa cuti sekolah," ibu beritahu saya. Sewaktu kunjungan ke Ipoh baru-baru ini, ibu sempat menziarahi rakan sepermainannya semasa kecil, yang sudah lama tidak bertemu.

"Ingat lagi tak? " ibu bertanya.

Pada usia 88 tahun dan berkerusi roda selepas serangan angin ahmar, sepupunya, yang mesra dengan panggilan Mambi, dengan lemah mengangkat kepalanya dan tersenyum.

"Ingat," kata lelaki itu. - BERNAMA




Adapun keluarga saya terperanjat besar apabila mendapat tahu tentang isi artikel. Ini kerana kami sudah lama tahu tentang dakwaan dan tidak mahu mengiktiraf selagi belum ditemukan bukti yang tidak boleh disangkal, bukan sekadar spekulasi yang menyambung cerita dengan cerita untuk kelihatan sahih dan harus dipercayai. Dan lagi ada perkara tertentu di sebalik apa yang sekadar dapat dilihat di hadapan mata. Kami pun mula berbincang bagaimana untuk memberikan maklum balas. Ketika itulah terfikir ada baiknya dikeluarkan kenyataan media.

Kenyataan pun disediakan oleh saya sebagai bekas wartawan, setelah berunding dengan ahli keluarga. Walaupun ada beberapa saudara menyatakan elok tunggu lebih lama, dapatkan nasihat peguam dan sebagainya saya menyatakan kami perlu bertindak pantas. Disebabkan sebelum ini selalu lambat bertindak dan tidak dapat membuat keputusan sebulat suaralah orang jadi berani sehingga keluar artikel sebegini rupa selain lain-lain tindakan. Oleh itu saya telah mendapatkan kebenaran daripada pengerusi jawatan kuasa bertindak kami untuk meneruskan lalu disokong ramai lagi saudara mara. 

Ya. Kami ada jawatan kuasa bertindak keluarga. Ia terbentuk 5 tahun lalu untuk menangani satu kes di mahkamah bagi mendapatkan bahagian faraid harta Laksamana Muhammad Amin. Lihat Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan. Kenyataan media dibuat dalam Word sebelum dijadikan PDF. Malam tadi saya telah menyampaikan melalui WhatsApp kepada seorang wartawan. Beliau memberitahu telah memanjangkan kepada Bernama.

Pun begitu kami harus bersedia dengan kemungkinan ia tidak akan dilayan lalu maklum balas kami tidak dipaparkan. Ini kerana ada pihak-pihak di luar sana yang tidak mahu sudut pandang kami diketahui ramai, ada antara mereka memiliki kuasa untuk menghalang. Oleh itu ada baiknya kenyataan media ini turut disebarkan kepada awam. Berikut adalah kenyataan seperti disampaikan kepada wartawan. Biar dipaparkan di sini dalam format gambar...














Pada muka surat terakhir ada dinyatakan bahawa turut disertakan sekali satu bab kecil daripada buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" (terbit Mei 2023). Ini adalah untuk membantu penelitian. Oleh itu biar dikongsikan sekali di sini dalam format gambar...













































Kenyataan media dalam bahasa Inggeris telah diletakkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lihat Media statement regarding claim of ancestry from Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Sekitar jam 11.11 pagi tadi pula telah menghantar kenyataan dalam kedua-dua bahasa juga fail sokongan kepada Group Editor NST, Farrah Naz Karim melalui Facebook. Beliau merupakan junior ketika saya masih berkhidmat di NST 1996-2001. Selepas itu timbul rasa untuk menghantar melalui pesanan dalam laman FB Bernama (bahagian Fokus) diikuti NST, Berita Harian dan Harian Metro. Harapan kami perkara ini diberikan perhatian sewajarnya dan maklum balas kami mendapat tempat untuk dipaparkan supaya umum tahu hal sebenar. Sekian.



Isnin, Ogos 12, 2024

Perasmian Hari Tanjak di Pavilion Damansara Heights

Artikel ini sudah diletakkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) pagi tadi. Tapi gerak hati menyuruh agar ia disalin lalu turut dipaparkan di CATATAN SI MERAH SILU. Untuk sambungannya lihat Perasmian Hari Tanjak di Pavilion Damansara Heights.



Petang Sabtu 10 Ogos 2024 buat pertama kali saya pergi ke kompleks membelah Pavillion Damansara Heights.



Sebelum ini cuma pernah ke Pavillion di Bukit Bintang, pusat membeli belah pertama atas nama itu. Kali ini pergi ke yang Damansara Heights kerana ada majlis melibatkan dunia busana tradisional Melayu dan persilatan.




Sejak pagi Isnin 5 Ogos ruang legar utama kompleks untuk program Hari Tanjak.



Ia adalah yang kedua anjuran PERNILAM, Persatuan Penggiat Seni Alam Melayu.




Petang itu bermula jam 2.45 ada perasmian program...













Gimik perasmian meliputi bacaan puisi, nyanyian dan persembahan silat.