Merujuk pada artikel Musafir ilmu dan buku yang dipersembahkan pada 14 Jun. Artikel-artikel yang dikompilasikan di dalamnya merujuk pada aktiviti-aktiviti yang berlaku dari 25 Mei hingga 4 Jun sedangkan artikel-artikel itu sendiri ditulis lalu dikongsikan dari 26 Mei hingga 11 Jun. Dalam tempoh masa itu ada banyak lagi aktiviti dilakukan tetapi tidak dikongsikan cerita. Cukuplah disebut satu sahaja. Pada 10 Jun saya pergi lagi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk mengikuti majlis ilmu.
Cuma tidak seperti kebiasaan majlis-majlis ilmu di ISTAC yang ini adalah tertutup lalu untuk mereka yang diundang sahaja. Mungkin kerana subjeknya, tentang bagaimana tokoh pemikir Barat, almarhum Martin Lings (beliau telah memeluk Islam malah adalah penulis sebuah buku sangat laris tentang Nabi Muhammad SAW) melihat terdapatnya ajaran-ajaran berbentuk Sufi/Tasawuf di sebalik tulisan skrip drama pujangga Barat terkenal zaman silam, William Shakespear. Hal sebegini susah untuk diterima oleh mereka yang berfikiran sempit namun mengganggap diri mereka sangat berilmu. Dalam kalangan mereka ini ada yang menganggap diri sebagai rujukan yang patut bagi masyarakat. Namun apabila diselidiki lebih mendalam, rupa-rupanya mereka cuma orang biasa-biasa yang tahu sedikit ilmu. Itupun mahu dijual untuk kesenangan dunia, tetapi mewar-warkan diri sebagai pejuang keilmuan Islam belaka konon.
Sebetulnya fikiran saya sedang terganggu kerana belum menyiapkan lagi satu penulisan ilmiah yang diharapkan dapat dihantar kepada pihak berkenaan selewatnya pada 25 Jun iaitu pada Selasa hadapan. Ini disebabkan pelbagai kesibukan diselang-selikan rasa penat amat juga kurang sihat. Sedangkan untuk menyiapkan penulisan perlukan ketekunan tinggi meneliti dan mena'akul bacaan serta perkara-perkara berkenaan. Ini adalah satu perkara yang terasa amat susah hendak dibuat dalam keadaan sekarang.
Buat masa ini belum nampak bilakah dapat memberikan ketekunan yang diperlukan. Sedangkan hari-hari berikutnya memerlukan saya membuat pelbagai perkara, antaranya pergi mengambil anak di Janda Baik, pergi ke kampung isteri di Tanjung Sepat untuk majlis perkahwinan anak buah kemudian ke Ipoh untuk kes mahkamah melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah. Untuk menangani rasa 'terbelenggu' ini biar dilepaskan cerita sekitar sambutan Hari Raya Aidil Adha yang berlangsung siang semalam. Semoga akan ditemukan di 'celah-celah' komitmen akan datang itu rasa dan kelapangan bagi menyiapkan tulisan ilmiah tersebut sempat pada waktunya.
Petang Sabtu 15 Jun 2024. Saya bergerak membawa isteri dan anak bongsu untuk kembali ke kampung ibu bapa saya di Muar.
Sama seperti orang Melayu Islam yang lain kami juga mahu menyambut perayaan Aidil Adha atau Hari Raya Haji di kampung. Bahkan ramai pun, terutama mereka yang berasal dari Pantai Timur, telah bertolak lebih awal.
Gambar ini pula diambil pada pagi Ahad 16 Jun di hadapan sebuah kedai di Muar. Ketika itu saya sedang menunggu isteri membeli belah di pasar. Dibacalah beberapa muka surat Al-Quran bagi mengejar matlamat khatam 30 juz pada setiap bulan Islam.
Kedai kopi kegemaran di Muar. Tapi tak boleh mengopi lagi. Sebab sedang berpuasa hari Arafah. Rugi tak buat wooo...
Pusing-pusing sat di bandar dan sekeliling.
Singgah di masjid jamek Muar.
Meminta ditunjukkan jalan yang kurus, err... lulus, errr... lurus. Hehe... :]
Lewat petang lepak tepi Sungai Muar berdekatan rumah ibu bapa di Kampung Temiang.
Pagi Isnin 17 Jun bersamaan 10 Zulhijjrah 1445 Hijriah, membawa anak bongsu untuk bersolat sunat Aidil Adha di masjid jamek Muar.
Masjid ini meninggalkan banyak kenangan manis.
Dahulu zaman kanak-kanak saya selalu memanjat turun naik ikut tiang-tiang yang kelihatan. Sekarang dah tak larat nak buat...
Suasana dalam masjid ketika orang bertakbir. Oh. Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Haji Aidiladha kepada semua pembaca yang dimuliakan.
Selepas menghabiskan masa bersama keluarga besar di rumah ibu bapa, selepas adik-adik kembali menetap di Melaka dan Johor Bahru kembali bersama keluarga masing-masing, baru saya keluar lagi. Kali ini membawa isteri sekali. Baru le mengopi di kedai kegemaran.
Kemudian berjalan-jalan lagi pusing Muar. Isteri suruh berposing ambil gambar di beberapa tempat. Yang ni ada terasa macam gergasi. Macam Ultraman pun ada daaa...
Hmm. Seingat saya semasa ambil gambar ni muka sedang senyum. Camana boleh keluar serius aaa...
Lewat malam baru kami sendiri bergerak untuk kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya.
Tanpa dirancang timbul rasa untuk masuk ke pusat bandar raya Melaka lalu melihat tinggalan-tinggalan sejarah di Bandar Hilir.
Naik ke Bukit Melaka, dahulunya dikenali sebagai Bukit Saint Paul.
Dahulu saya naik itu seorang diri malam-malam, isteri menunggu dalam kereta sementara anak nyenyak tidur. Kali ini mereka semua ikut naik sekali. Lihat artikel
Going up Bukit Melaka di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Tak puas melihat suasana berwarna warni malam di pusat bandar raya ambil jalan mana entah lalu tepi Sungai Melaka.
Apabila sampai kembali ke rumah dekat jam 5 pagi Selasa 18 Jun didapati saya telah memandu sejauh 573 km. Ini adalah kurang 100 km berbanding perjalanan yang dilakukan seminggu lebih sebelum itu. Rujuk kembali artikel kompilasi
Musafir ilmu dan buku. Selepas ini kena memandu beratus kilometer lagi dalam tempoh beberapa hari akan datang. Semoga dapatlah juga siap penulisan ilmiah yang diharapkan. Doakan saya ya.
p/s: Dah dekat sebulan rasanya saya sakit tekak nak batuk kurang sihat. Dugaan. Oh. Ini adalah artikel ke-2,511 di CATATAN SI MERAH SILU. Teringat tahun Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis tahun 1511.
Dan lagi isteri ada membuat rakaman video secara langsung ketika kami berjalan-jalan di Melaka. Boleh lihat melalui pautan-pautan ini :-