Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mei 20, 2007

Nostalgia BKA I: Susah-payah "Mencari Diri dan Erti"

Seminggu ini saya jadi begitu sibuk mengatur berbagai perkara berkaitan buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II. Jika minggu sebelum itu, saya sentiasa berada dalam keadaan blank dan bodoh hilang punca, samada termenung memandang dinding atau terlalu banyak tidur dalam keadaan kesihatan terganggu akibat tekanan jiwa kerana belum mendapat ilham bagaimana hendak menangani masalah penyimpanan buku (syarikat percetakan yang digunakan kali ini tidak menyediakan ruang penyimpanan) serta hal berkaitan, sejak buku itu siap dicetak Isnin lepas, tiba-tiba muncul semangat baru berserta tenaga tembahan diiringi pelbagai idea bagaimana untuk mempromosi dan mewar-warkan BKA II serta cara-cara menangani masalah logistik lain.
Hari-hari seterusnya menyaksikan masa siang digunakan sepenuhnya untuk berjumpa mana-mana pihak yang patut, mengangkut buku ke beberapa tempat selain menyelesaikan beberapa perkara. Ambil contoh hari Jumaat lepas... Pagi itu saya telah pergi ke bahagian tertentu Perpustakaan Negara di Wisma Selborn berhampiran Jalan Semarak untuk membuat penyerahan wajib 5 naskah buku selain menyemak penambahan digit dalam nombor ISBN buku. Dalam perjalanan itu, tergerak pula untuk menjenguk Ketua Pengarah Perpustakaan Negara di bangunan utama. Ada cerita tertentu berlaku di sana, tetapi biarlah ia menjadi rahsia...
Selepas selesai semua ini, saya ke bangunan Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin untuk mengatur supaya mendapat ulasan buku dalam akhbar mereka... Sebelum bersolat Jumaat, sempat singgah ke rumah seorang bapa saudara yang telah memberikan pembiayaan awal membuat percetakan buku (ketika membuat BKA I) di Bukit Damansara, bapa saudara yang kebetulan baru kembali daripada menunaikan umrah lalu saya serahkan senaskah buku sebagai hadiah. Petang itu, pergi pula ke Batu Caves untuk mengambil sejumlah naskah BKA I di pusat percetakan yang dahulu lalu dibawa ke pusat rawatan kecantikan Seri Harum @ Aroma Kasturi di Bandar Tasik Selatan, premis kedua yang ada menjual BKA II (selepas kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit).
Kira, sudah beberapa lokasi yang saya pergi hari itu? Wisma Selborn di Jalan Semarak, bangunan utama Perpustakaan Negara yang berhampiran, Utusan Malaysia di Jalan Chan Sow Lin, rumah bapa saudara di Bukit Damansara, pusat percetakan untuk BKA I di Batu Caves dan Seri Harum di Bandar Tasik Selatan... 6 tempat di pelbagai lokasi, cukup empat arah utara, timur, selatan dan barat Kuala Lumpur.
Memang penat bergerak dan menyelesaikan pelbagai perkara dalam waktu yang terhimpit sehingga terkejar-kejar. Di Wisma Selborn sahaja perlu pergi ke tiga bahagian perpustakaan di tingkat-tingkat bangunan yang berlainan untuk menyelesaikan apa yang patut. Belum dikira penat mengangkut hampir 300 naskah buku keseorangan masuk kereta kemudian diangkat masuk lif untuk ke Seri Harum di tingkat 2. Itupun nasib baik ada kereta milik seorang kenalan yang sudi menolong... Saya sendiri tidak memiliki apa-apa kenderaan, kalau tak lagi lah teruk.
Oh... Saya dah terlajak menceritakan penat-jerih membuat kerja selepas percetakan BKA II(sebelum percetakan pun banyak kerja, menulis, membuat rekaan kulit dan sebagainya, mencari ilham...) sedangkan tajuk posting ini ialah Nostalgia BKA I: Susah-payah "Mencari Diri dan Erti"... Sebab tajuk penuh novel itu ialah "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti".
Sebenarnya saya ingin meluahkan betapa siksanya ketika mula-mula mengeluarkan buku itu dahulu tapi rasanya cukuplah dengan mengenengahkan beberapa perkara... Biar dimulakan dengan ulasan buku yang pertama sekali, di buat oleh Berita Harian. Ini dia, diambil daripada simpanan library on-line Berita Harian kerana keratan akhbarnya sudah lama hilang.

Publication :BH

Edition :

Date : 29/06/2006

Page Number : 11

Headline : Salasilah Sultan Melayu

Words : 231

Byline :


Column Name : Dunia buku

Text :

BERPETUALANG Ke Aceh: Mencari Diri dan Erti karya Radzi Sapiee membawa pembaca menerokai keagungan sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan ada hubungan rapat dengan Kesultanan Perak. Radzi menggabungkan fakta dengan fantasi melalui perjalanan hidup Muhammad Al-Aminul Rashid yang melakukan kembara ke beberapa wilayah Nusantara dalam percubaan mengenal erti kehidupan dan diri.
Lokasi pertama sasaran Rashid ialah negeri kelahiran ayahnya, Perak, tempat bermulanya kisah Keramat Kuala Bidor, makam individu yang dikatakan tulus dan tidak pernah meremehkan setiap ujian Allah kepadanya.
Pencarian Rashid itu, memaksanya meneroka puncak Gunung Nuang, penempatan makhluk halus tetapi pemuda terbabit tersesat di tengah hutan dan terpaksa melalui beberapa peristiwa yang menemukannya dengan kebesaran Pencipta Alam Semesta.
Kegelapan malam diredah dengan penuh tawakal dan Rashid hanya berpandukan cahaya seakan-akan api dari puntung rokok untuk mencari jalan keluar serta berkat keyakinan kepada Allah, Rashid dan Nur, teman sekerjanya, berjaya keluar.
Rashid semakin teruja dengan kisah Raja Pasai dan Perlak, susur galur keturunan kesultanan Perak dan rasa ingin tahunya mengheret Rashid mengembara lebih jauh melalui alam mimpi.
Pembaca buku ini akan dapat melihat kajian mendalam pengarang berhubung fakta lewat karyanya ini dan mereka yang selesa dengan novel sejarah serta sufi pasti mendapati Radzi tidak mengecewakan mereka.
Perdebatan Rashid bersama rakannya, Nasri, mengenai keturunan Sultan Mansur Syah dan tiga lagi sultan Melaka dalam novel terbitan WasilahMerah Silu Enterprise setebal 299 halaman ini memungkinkan pembaca mengetahui nasab kesultanan Melayu. (END)

...............

Terus terang saya katakan, saya kurang puas dengan ulasan yang diberikan. Ruang yang diberikan terlalu kecil, mungkin kerana buku ini tidak menepati ciri-ciri novel popular di pasaran sedangkan saya harus menunggu hampir sebulan untuk melihat ulasan ini keluar setelah menyerahkan senaskah buku untuk tatapan mereka.
Saya akui memang banyak kelemahan dalam BKA I, maklumlah ia adalah buku pertama saya malah ia adalah penulisan pertama saya di dalam Bahasa Melayu! (Selain karangan yang dibuat untuk subjek Bahasa Malaysia di sekolah). Maklumlah, saya bekas pelajar yang menuntut dalam jurusan Mathematics di universiti di England kemudian kembali ke tanah-air lalu menjadi seorang wartawan untuk sebuah akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di ibu-kota...
Satu perkara yang pernah disentuh adalah kelemahan dalam rekabentuk kulit buku dan saya tidak menafikannya... Sekali lihat, ramai orang menyangkakan ia adalah sebuah buku agama disebabkan rupa kulitnya malah pertama kali diletak di Pustaka Minerva di Jalan Tuanku Abdul Rahman, saya dapati BKA I berada di celah buku-buku agama. Nasib baik saya menegur: "Inikan novel, kenapa diletakkan di ruangan buku-buku agama?"
Ketika itu, saya baru hendak membuat survey, di manakah buku ini telah muncul, maklumlah, buku pertama saya baru keluar di pasaran... Rasanya tiada siapa yang sedar saya adalah penulis buku kerana saya berjalan memakai baju buruk hampir seperti seorang pengemis jalanan rupanya.
Perkara lain yang ditegur adalah terlalu banyak font tulisan yang digunakan menyebabkan sesetengah orang jadi keliru sementara graphics yang diletakkan di setiap sudut mukasurat tertentu, juga design eksperimen (mengikut ilham kepala gila saya ketika itu) yang diletakkan dalam bab "Legenda Merah Silu: Kemunculan Sultan Malikus Salih" (kononnya untuk mendapatkan feel tertentu seolah-olah sedang membaca novel "Lord of the Rings") mengacau proses pembacaan. Ini kerana saya membuat salah dugaan tidak mengambil-kira bahawa graphics yang keluar di atas kertas (berbanding dengan yang di dalam komputer) akan menjadi lebih gelap.
Kesalahan yang serupa juga dibuat dengan tidak sengaja dalam memilih rupa-bentuk kulit. Rupa-rupanya warna kuning yang dipilih kelihatan lebih cair di atas kertas berbanding di dalam komputer. Dan apabila dilihat kembali, warna kuning seperti yang tertera di dalam komputer pun tidak cukup menarik. Mungkin saya patut memilih warna kuning kejinggaan seperti warna diraja Perak?
Sepatutnya, saya membuat pemeriksaan awal tetapi pada ketika itu saya tidak terfikir semua ini kerana jiwa saya sudah terlalu sarat dengan bebanan kerja dan perasaan. Bayangkan, jadi penganggur semenjak tahun 2001 berkelana ke sana ke mari mencari jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu fikiran sehingga keluarga sendiri pun sudah memandang saya tidak betul... Bayangkan perasaan berbuat semua ini setelah berpisah dengan anak dan isteri kerana perceraian dan tidak seiring jalan, dalam keadaan duit simpanan sudah kering kesemuanya sedangkan jiwa pula tidak keharuan dan selalu kesepian. Bayangkan mula menulis dengan segala masalah ini mengganggu kelancaran pemikiran, sejak 2004 selepas kembali daripada perkelanaan ke Aceh kemudian tahun 2006 barulah hasil penulisan itu dapat diungkap dan diolah-balik sehingga menjadi buku yang layak masuk ke pasaran.
Ambil sahaja masalah kulit buku sebagai renungan... Rekabentuk asal berwarna hitam tetapi pada hari saya ingin menyerahkan check untuk memulakan percetakan (setelah berjaya mendapatkan sokongan pembiayaan seorang bapa saudara), baru pihak pencetak menegur, warna hitam itu kurang sesuai. Saya pula tidak mahu menunggu lama lagi untuk membuat apa-apa perubahan atau pembetulan kerana terasa sudah begitu lama sengsara menanggung segala macam beban cuba menyiapkan buku. Maka on the spot, dalam bilik pejabat pencetak, saya membuat perubahan warna kulit buku lalu memilih warna kuning...
Memang saya gopoh ketika itu. Saya mahu melepaskan segala beban perasaan secepat mungkin... Saya mahu menyerahkan check dan terus memulakan percetakan. Saya serah sahaja pada Allah, apa yang bakal terjadi. Maka hasilnya adalah sebuah buku yang sangat disenangi sesetengah pihak terutama mereka yang sedang dalam pencarian makna hidup mereka sendiri sementara pihak lain pula terus melihat kelemahan rupabentuk buku dan lay-out serta font yang digunakan. Mungkin itulah yang menyebabkan ulasan dalam Berita Harian itu begitu pendek? (pada pandangan saya ya, mungkin pandang orang lain mengatakan ulasan yang diberi sudah cukup bagus...)
Rasa tidak puas-hati terhadap ulasan Berita Harian mendorong saya untuk cuba menghubungi pihak Utusan Malaysia pula selepas itu... Alhamdulillah, ulasan yang diberi lebih panjang dan menarik. Ini dia, sekali lagi, diambil daripada dalam komputer kerana keratan akhbarnya juga sudah hilang:

Kembara ke Aceh mencari asal diri

Judul : Berpetualang ke Aceh
Penulis : Radzi SapieeHarga : RM24.90
ISBN : 983-42031-0-1
Penerbit : Wasilah Merah Silu Enterprise
Pengulas : AZLINARIAH ABDULLAH

BUNYI judulnya agak keras sedikit, malah tiada elemen yang menggambarkan ia adalah genre novel, yang kebiasaannya bertemakan rindu serta kasih sayang. Tetapi jika ia sifatnya ialah novel pengembaraan, maka judul Berpetualang ke Aceh barangkali sangat kena pada tempatnya.
Apa cerita sebenar di sebalik novel ini? Penulisnya, Radzi Sapiee ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, ia sebuah novel unik yang mengisahkan pengembaraan mengenali asal usul diri, dengan menyusuri 1,200 tahun kaitan bumi Serambi Mekah (Aceh) dengan Nusantara dunia Islam.
‘‘Malah jika diteliti dan dibaca keseluruhan isi kandungan novel ini, ia juga memberitahu makna Melayu dan perjuangan akhir zaman,’’ kata Radzi, seorang bekas wartawan.
Menerangkan lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, sebelum novel ini ditulis, beliau banyak didatangi mimpi termasuk mengenai peristiwa 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS) , tsunami 26 Disember 2004 di Aceh.
Apabila ia benar-benar berlaku (ini kerana kedua-dua mimpi itu terjadi sebelumnya), kata Radzi, ia seolah-olah ‘deejavu’ selain memaksanya mencari makna di sebalik mimpi-mimpi berkenaan.
Justeru dalam pengembaraan yang memakan masa lebih dua tahun itu, ada berlaku pemberontakan dalam jiwa untuk mencari siapa diri yang sebenar.
‘‘Itulah sebabnya juga judul novel ini diberikan ‘Berpetualang ke Aceh’ bukannya Mengembara, Berkelana atau Menjejaki Aceh.
‘‘Maksud berpetualang itu juga mempunyai erti yang baik, maksud yang menjurus ke arah perjuangan menegakkan yang hak,’’ jelas beliau.
Watak yang digunakan dalam novel ini ialah diri penulis itu sendiri, tetapi dibawa oleh individu yang dinamakannya sebagai Rasyid. Watak lain dalam novel ini ialah pemuda bernama Asri, rakan kepada Rasyid. Tetapi watak Asri itu hanya ada di babak pertama dan kemudiannya tidak muncul di bab-bab seterusnya.
Seperti pengembaraan ‘Cuti-Cuti Malaysia’, perjalanan Rasyid diutarakan dengan begitu santai dan bersahaja oleh penulis novel ini.
Ini termasuk bagaimana kaitan kejadian tsunami boleh membawa Rasyid mengembara ke Aceh, mencari dan memahami erti diri yang sejati.
‘‘Hampir sahaja setiap hari persoalan mengapa banyak malapetaka berlaku kepada umat Islam bermain-main di fikiran. Jawapan kepada pergelutan jiwa ini yang dicari oleh Rasyid.’’
Dalam hal ini, Rasyid seolah-olah cuba menyelongkar kepentingan sejarah, yang menurut hematnya banyak telah dipadamkan.
Rasyid percaya bahawa sejarah bumi Aceh dan perjuangan adalah sejarah perjuangan Islam dan bangsa Melayu sendiri.
‘‘Di dalam novel ini saya cuba sentuh bagaimana perasaan Rasyid bergolak dan marah kerana masyarakat hari ini tidak menyedari tentangnya (perjuangan Aceh dan Islam) disebabkan permainan licik penjajah yang berjaya melaga-lagakan kesultanan-kesultanan dahulu demi mengekalkan serta meluaskan kekuasaan mereka di rantau ini, juga memadamkan syiar Islam dari muka bumi.
‘‘Nah, sekarang dapat difahami mengapa novel ini saling berkaitan mimpi, sejarah, kemarahan dan mencari diri,’’ kata Radzi lagi.
Istimewanya novel ini, ia membawa membaca meneliti sejarah lama, yang barangkali sebahagian besar generasi hari ini tidak mengetahuinya.
Penulis novel ini banyak membuat kajian mengenai sejarah sebelum menulis novel pengembaraan setebal 300 halaman ini.
Ia membawa pembaca mengetahui mengenai Kesultanan Perak, Legenda Merah Silu, cerita Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani, kemunculan Sultan Malikus Salih dan Samudera-Pasai.
Kesemuanya diceritakan dengan panjang lebar menerusi pengembaraan Rasyid, yang pada akhirnya dia sendiri tidak tahu sampai bila mahu terus berpetualang.
Ditanya satu soalan, Radzi berharap novel pertamanya ini dapat diterima oleh semua pihak,bukan sahaja mereka yang meminati sejarah tetapi juga khalayak yang cenderung kepada genre novel.
Katanya, beliau maklum dengan perkembangan terkini dimana novel remaja semakin membanjiri pasaran, yang disifatkan sebagai sesuatu yang membanggakan.

..........................

Apapun, berbagai kelemahan yang melanda buku BKA I telah berjaya diatasi dalam membuat BKA II. Cetakannya ternyata lebih cantik, tiada lagi masalah graphics yang menganggu proses pembacaan... Jumlah font juga telah dikurangkan lalu isi buku kelihatan lebih teratur dan menyenangkan mata... Dan paling utama, design kulit buku kali ini jauh lebih menarik sehingga seorang rakan yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia lukisan dan art terus terpesona melihatnya. 'Ulasan' ringkas daripadanya: "Cover yang ini memang class!".
Rasanya cukuplah luahan ini. Diharap pembaca faham akan penat-jerih menerbitkan siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Maka itu harap faham juga kenapa posting kebelakangan ini lebih bersifat promosi. Ternyata ia perlu untuk memastikan segala usaha yang dibuat selama ini berbaloi lebih-lebih lagi apabila menjadi penulis dan penerbit solo seperti saya yang dibelenggu pelbagai rintangan dan masalah.
Oh... Di sini, saya tergerak sekali lagi untuk mengucapkan terima-kasih kepada pihak Perpustakaan Negara yang memungkinkan saya terus berkarya. Nak tahu cerita berkaitan, boleh klik di sini... Susah-payah satu perjuangan. Sekian!

Tiada ulasan: