Minggu lepas saya tergerak untuk kembali ke kampung ibu di Muar kemudian pergi menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Johor Bahru... Sempat singgah di Batu Pahat untuk menziarahi saudara-mara di sana sebelum kembali berehat beberapa hari di Muar. Setelah itu saya "terpanggil" untuk pergi ke Pulau Besar di Melaka dan keesokannya ada kenalan menawarkan diri untuk membawa berjalan ke beberapa tempat menarik di Melaka termasuk Perigi Hang Tuah, Masjid lama Duyung, Masjid Kampung Hulu dan makam Sheikh Shamsuddin Pasai di Kampung Ketek.
Adapun saya baru sahaja 2 hari kembali daripada Pantai Timur. Pada penghujung minggu lepas, saya telah pergi ke Kuantan untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu yang sama (majlis pihak lelaki pula) dan merancang untuk ke Janda Baik, Bentong selepas itu. Tetapi sepupu saya pula mengajak menemani dia dan isteri pergi melawat rumah kakaknya di Kertih, Terengganu. Tanpa dirancang, 2 hari kemudian sampai pula ke Kuala Terengganu.
Kalau ikutkan, sepupu ini mahu saya mengikutinya berjalan sampai ke Kelantan pula. Dalam pada itu, dia ada rancangan untuk membawa isterinya berbulan-madu ke Pulau Redang. Kalau begitu, apakah saya perlu menunggu di KT atau turut ke pulau itu sekali? Saya pula yang jadi serba salah kerana seorang kawan memerlukan saya kembali ke Kuala Lumpur pada hari Khamis pula.
Akhirnya hari Rabu malam Khamis saya pun membuat keputusan mengambil bas jam 10 malam untuk kembali ke KL. Biarlah sepupu itu pandai-pandai belajar menangani hidup perkahwinan dengan sendiri. Takkan semuanya perlu ditunjukkan ya tidak?
Apapun, baru hari ini saya tergerak untuk menambah sesuatu di dalam blogspot saya, setelah melihat signal wi-fi Internet yang ditumpang daripada jiran sebelah ternyata terang tanpa gangguan. Gerak hati inipun menyuruh supaya meletakkan beberapa gambar yang diambil di Kedah, ketika perjalanan ke Utara yang dilakukan 2 bulan lalu...
Hmm... Banyak sebenarnya gambar yang saya ada, menunggu masa sahaja untuk dikongsi bersama. Buat masa ini biarlah dikongsi beberapa gambar yang diambil sekitar makam diraja Kedah di Langgar, Alor Setar ya...
Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa posting kali ini ada tanda persoalan pada penghujung tajuknya? Jawab saya, sebab sebelum memulakan penulisan ini, saya pun tak tahu gambar mana hendak diletak. Setelah menulis separuh jalan, barulah timbul gerak untuk meletakkan gambar-gambar berkenaan makam diraja Kedah di Langgar.
Lagi satu, semasa di Langgar lah saya mengalami perasaan deja vu paling lama sepanjang ingatan dalam hidup ini... Dalam perjalanan masuk daripada jalan besar ke makam, saya dapat merasakan apa yang berlaku dan pemandangan yang terlihat adalah sama dengan satu mimpi yang pernah berlaku lebih 10 tahun lalu... Sama kesemuanya dalam tempoh 15 minit, tidak ada lebih, tidak ada kurang! Pelik bukan?
OK... Tanpa membuang masa, tataplah gambar-gambar di bawah... Silakan!
---------------------------------------------------------
Beberapa rumah tradisional Melayu di Langgar
-------------------------------------------------------
Lorong masuk ke kawasan makam diraja Kedah
-------------------------------------------------------
Makam diraja dilihat daripada luar
Masjid lama berdekatan makam diraja. Gerak hati saya menyuruh solat Zuhur dan jamak Asar di masjid ini dan berehat sebentar sebelum ke makam.
Papan maklumat (sebenarnya batu) mengenai makam diraja Langgar di dalam kawasan kompleks permakaman. Kawasan ini terbuka kepada pelawat waktu siang.
-------------------------------------------------------
Pintu gerbang bagi kawasan dalam kompleks yang mengandungi makam. Mengikut ceritanya, pintu itu cuma dibuka kepada pelawat pada Hari Raya Aidilfitri, Aidil Adha dan Hari Keputeraan Sultan Kedah. Selain itu, cuma kerabat diraja terdekat dan mereka yang diperkenankan sahaja boleh masuk ke dalam.
Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, kunci pintu gerbang sudah terbuka ketika saya sampai sedangkan di sekeliling tidak kelihatan walau pun seorang manusia kecuali saya sahaja!