---------------------------
Dalam bahasa Melayu: Cerita rakyat Perak mengisahkan bagaimana moyang pertama keluarga Laksamana sekarang adalah seorang nelayan dari Pasai yang bersama isterinya duduk di Sungai Perak, begitu miskin sehingga mereka cuma mempunyai sepasang kain untuk dikongsi bersama, dan apabila seorang keluar rumah, yang lagi seorang terpaksa duduk di dalam kelambu nyamuk. (kemudian Windstedt terus menyambung cerita tentang bagaimana ikan dalam bubu nelayan ini selalu hilang dicuri orang). Beberapa kali ikan-ikan ini dikeluarkan dari bubunya sehingga pada satu hari, dengan menyorok di bawah daun calladium (seperti daun keladi) di dalam air, beliau mendapat tahu bahawa pencuri itu adalah seekor jin berpakaian seperti seorang Haji lalu menangkapnya. "Lepaskan aku," kata jin itu. "Dan aku akan memberi apa sahaja yang menjadi idaman hati kamu." Nelayan itupun meminta supaya dikeluarkan daripada kemiskinan, maka jin itu meludah ke dalam mulutnya dan berjanji yang dia akan menjadi pembesar paling berkuasa di Perak dan anak cucunya akan hidup makmur selama tujuh keturunan. Dia ini dipanggil Tok Kuala Bidor.
Almarhum Nenek pernah menyebut cerita serupa lalu menyatakannya sebagai versi serong asal usul Keramat Kuala Bidor yang dicipta sesetengah kerabat diraja untuk merendahkan martabat keluarga Laksamana.
"Kenapa pula nenek moyang Laksamana yang sangat kuat amalan agamanya, zuhud lagi berketurunan baik-baik boleh bersubahat dengan jin malah memakan ludahan jin semata-mata untuk keluar daripada kemiskinan?" kata Nenek. "Mereka lebih rela jatuh papa, lari jauh dari istana, hidup terbuang dan melarat di negeri orang, daripada berebut takhta dan menumpahkan darah rakyat jelata yang tidak berdosa!"
Pada Rasyid pula, cerita itu telah mencampur-adukkan kisah Keramat Kuala Bidor yang hidup sekitar 1,000 tahun lalu dengan kisah Nakhoda Hitam yang turut dikenali sebagai Tok Kuala Bidor abad ke 18 Masihi. Apapun, biarlah bab ini diakhiri dengan salam ampun dan maaf jika ada tersentuh apa-apa perkara yang menyinggung mana-mana pihak, Salam silaturahim untuk menyambung kembali pertalian sebagai umat Islam... Apa-apa yang diperselisihkan dahulu seperti pergaduhan antara kerabat diraja lama, biarkanlah ia berlalu... Itu semua perkara lama yang diceritakan kembali sekadar untuk menyatakan yang hak dan untuk diambil iktibar. Daripada bergaduh berebut takhta sampai rakyat-jelata yang tidak berdosa menjadi mangsa, lebih baik baca Surah Ali Imran, ayat ke 26:
Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan,
Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki
dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki.
Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki
dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki.
Di tangan Engkau lah segala kebajikan.
Nota kaki: Cerita ini ditulis 2004. Lama selepas itu, September 2006, Rasyid terjumpa sebuah salasilah menyatakan Nakhoda Hitam dan Daeng Selili memang adik-beradik! Malah ibu mereka, Ratu Sedinding ibni Pajung Luwuk adalah sepupu kepada Daeng lima bersaudara, Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Kemasi, Daeng Menambun dan Daeng Chelak.
Ternyata gerak hati pemuda itu tentang hubungan sebenar Laksamana pertama Perak dengan Maharajalela pertama itu memang benar. Cuma pengesahannya hanya dapat diterima setelah berlaku suatu peristiwa bersejarah penuh makna yang melibatkan keluarga... Peristiwa pengembalian jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang dibawa kembali ke Perak untuk ditanam di makam diraja Bukit Chandan 9 september 2006.
Untuk makluman, Laksamana Muhammad Amin turut dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah 1877 akibat dikatakan terlibat dengan peristiwa pembunuhan Residen British pertama ke Perak, J.W.W. Birch 1875. Beliau meninggal dunia di Singapura lalu disemadikan di sana kerana dilarang British daripada kembali ke Perak.