Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, November 07, 2017

Jalan-jalan Ipoh : Melacak nostalgia tanah milik Melayu yang sudah terlepas tangan...

Ada sedikit perkongsian daripada hujung minggu lalu...


Sabtu 4 November 2017 saya dan keluarga menghadiri satu majlis perkahwinan di Kuala Kangsar.


Kami sampai malam sebelumnya lalu menginap di homestay berdekatan.


Petang itu bertolak pula ke Ipoh.


Bersama seorang kenalan baru yang ternyata ada hubungan persaudaraan dan keluarganya kami ingin menjejak satu tempat menarik di pinggir selatan bandar raya Ipoh.


Nak sampai ke tempat tersebut kena jalan kaki masuk kawasan bukit batu kapur kemudian masuk gua terowong.


Alhamdulillah akhirnya sampai juga...


Layan gambar beramai-ramai.


Layan gambar seorang diri pula. Nak tahu apakah tempatnya lihat artikel Visiting Tasik Cermin in Gunung Rapat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Lewat petang kami pergi ke satu taman perumahan berdekatan untuk melihat masjid lama yang telah dialihkan dari satu lokasi di tebing Sungai Perak...


Masjid ini telah disentuh banyak kali dalam tulisan-tulisan lama saya. Untuk makluman ia sudah lebih sebulan dibuka kembali setelah 20 tahun ditinggalkan. Lihat artikel Masjid Teluk Memali setelah siap di lokasi baru (Teluk Memali mosque after completion at new location) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Malam itu kami menginap di rumah kenalan baru di pinggir barat laut Ipoh. Esoknya tengah hari Ahad 5 Oktober kami masuk ke pusat bandar raya.


Kami mahu mencuba hidangan terkenal Ipoh yang dipanggil "nasi ganja".


Alhamdulillah dapat juga merasa setelah beratur dan menunggu buat beberapa lama.


Dari kedai makan dah dekat dengan Masjid Panglima Kinta. Kami pun singgah untuk bersolat dan bertemu seorang kenalan yang juga ada hubungan persaudaraan.


Selepas solat kenalan tersebut membawa kami melihat makam-makam Panglima Kinta dan kaum keluarganya di halaman masjid. Selepas itu kami keluar berjalan kaki untuk melihat bandar raya Ipoh.


Adapun masjid terletak dekat dengan sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kinta.


Saya pun mengambil beberapa gambar. Lihat Kinta river from Jalan Sultan Iskandar bridge, Ipoh.


Seberang jalan jambatan kami mengambil Jalan Laxamana...


Ia dinamakan sempena seorang moyang saudara saya Laksamana Hussain. Beliau yang bersemenda dengan keluarga Panglima Kinta pernah memiliki sebahagian besar tanah di pusat bandar raya Ipoh...





Ke hadapan sedikit setelah 650 meter berjalan kaki daripada jambatan tadi kelihatan jambatan lain menyeberangi Sungai Kinta. Lihat Kinta river from Jalan Sultan Idris bridge, Ipoh.


Kami meneruskan perjalanan menyeberangi jambatan.


Sampailah pada satu kawasan lapang yang katanya merupakan tapak masjid lama Ipoh sebelum Masjid Panglima Kinta didirikan tahun 1898.






Tentang masjid lama ini ada diceritakan dalam artikel Tentang masjid lama yang berasal dari Ipoh - Antara Bandar, Bandar Baru dan Bandar Tua. Kalau tak salah ia termasuk dalam jangkauan kawasan pendudukan Melayu awal Ipoh yang dibuka oleh Laksamana Hussain.


Perjalanan diteruskan untuk melihat beberapa tempat menarik dalam kawasan apa yang dikenali sebagai old town Ipoh - bandar lama Ipoh.


Bandar lama ini penuh dengan rumah-rumah kedai batu Cina berusia lebih 100 tahun. Asalnya  kawasan ini dan sekitar adalah milik orang Melayu sebelum terlepas ke tangan...


Apa nak buat? Sekarang hampir seluruh bandar raya Ipoh adalah milik orang Cina. Begitu juga halnya kebanyakan bandar-bandar di Malaysia. Apapun ini tidak bermakna kita tidak boleh menikmati suasana yang ada. Orang Cina sini cukup bijak untuk mewarna-warnikan bandar lama menjadi tarikan pelancongan ke Ipoh. Lihat On to colorful parts of old Ipoh.


Kembali ke Masjid Panglima Kinta untuk mengambil kereta baru saya mengambil gambar makam Laksamana Hussain dalam bangun makam di halaman masjid. Tercatat beliau meninggal dunia tahun 1917 iaitu tepat 100 tahun lalu. Difahamkan selepas itu banyak tanah beliau dijual oleh saudara mara kepada bangsa lain. Daripada itu terbitlah Ipoh yang kita lihat sekarang. Al-Fatihah...



Isnin, November 06, 2017

Biduanita Saloma - Ikon, Perintis & Fashionista Tanah Air

Salam 17 Safar. Selepas 5 hari mempersembahkan artikel ke-1,616 di blogspot ini iaitu Menjejak kembali sejarah sebenar keberadaan awal Melayu di Kuala Lumpur - Sampai masanya segala penemuan terkini diwacanakan, diambil tahu dan diguna pakai... baru boleh bergerak ataupun move on...


Tepat seminggu lepas isteri menunjukkan poster atas lalu memberitahu pihak Muzium Negara telah mengundang kami menghadiri majlis. Apabila boss di pejabatnya mendapat tahu ia adalah undangan muzium terus isteri diberikan cuti tanpa rekod. Isteri pun mengajak saya pergi bersama.


Sampai waktunya pagi Selasa 31 Oktober 2017 kami pun bergegas ke muzium. Sudah setengah tahun juga tidak menjejakkan kaki ke sana. Kali terakhir adalah untuk meraikan majlis persilatan bersama kawan-kawan seperjuangan. Lihat artikel lama Festival Dunia Seni Silat Melayu ke-8 di Muzium Negara - Salam sayu dari pengasas HIKMAH di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Majlis yang merupakan sebahagian daripada siri Bicara Muzium diadakan di auditorium. Kali terakhir saya menjejakkan kaki ke bahagian tersebut adalah ketika melaksanakan satu majlis ilmu anjuran sendiri penghujung tahun lepas . Lihat Sekitar acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara.


Kali ini saya ke satu majlis yang boleh dikatakan tidak melibatkan apa-apa bidang yang diminati.  Kalau isteri tu adalah juga minat sebab ini hal orang perempuan.





Ia adalah tentang biduanita Saloma sebagai ikon, perintis dan fashionista tanah air. Saya datang lebih pada menemani isteri selain menjaga hubungan baik yang telah dimetrai sekian lama dengan Jabatan Muzium Malaysia (JMM). Alang-alang dah datang biar mendapat manfaat daripada apa yang diperkatakan. Kami sampai ketika timbalan ketua pengarah JMM,  En. Mohamad Shawali bin Hj. Badi sedang menyampaikan ucapan bagi pihak ketua pengarah, Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim.


Beliau seterusnya merasmikan majlis. Turut bersama adalah ketua pengarah Arkib Negara atau wakil.





Selesai perasmian para panelis mengambil tempat Mereka ialah :-

1. Datin Paduka Juariah binti Radin Sudiro @ Julie Sudiro, seorang penyanyi terkenal sezaman dengan Saloma tahun 60an dan 70an.

2. Encik Mohd Noor bin Mohd Yusofe @ Cikgu Yusnor Ef, seorang guru yang turut menjadi pemuzik bersama seniman agung tanah air, arwah P. Ramlee, suami kepada Saloma.

3. Puan Siti Haslinda binti Abdul Hamid @ Shasha, seorang model/peragawati yang merupakan anak kepada arwah pelakon Mariani, kakak kepada Saloma.

4. Encik Salikin bin Sidek, pereka fesyen terkenal tanah air.

Moderator adalah Encik Azlan Mohamed Said seorang pengkaji dan penggiat seni dari Singapura.


Julie yang suka dipanggil sebagai Mama Julie telah berusia 72 tahun. Beliau membuka dengan tajuk "Hanya Jauhari yang Mengenal Manikam". Pernah bersama Saloma mengalami suka duka turun naik industri muzik dan filem yang pernah berpusat di Studio Jalan Ampas, Singapura tahun 60an beliau berkongsi beberapa cerita tentang zaman itu. Namun yang lekat dalam ingatan ketika menulis ini adalah apabila Julie menyebut artis-artis zaman mereka berhijrah ke Kuala Lumpur hampir penghujung dekad akibat kemelesetan Singapura. Ini menjadi asbab saya bertanya tentang itu pada sesi soal jawab.


Saya lebih banyak mengingati perkongsian peribadi dan kekeluargaan yang dibuat oleh Shasha. Dalam senarai rasmi atur cara beliau diletakkan sebagai panelis ketiga. Tetapi ini dialih ke nombor dua. Beliau membawa tajuk "Mama Yang Aku Kenali, Bukan Calang Tiada Ganti".

Shasha yang sudah berumur 64 tahun kalau tak salah memberitahu beza umurnya dengan ibu saudaranya Saloma cuma 10 tahun. Tetapi Saloma dan suaminya P. Ramlee bertanggungjawab membela beliau sejak kecil lalu beliau memanggil Saloma sebagai Mama. Shasha berkongsi dahulu cerita-cerita tentang hubungan ibu beliau Mariani (kelihatan pada layar) dengan adik kandungnya Saloma.  Menurut beliau Saloma lebih rapat dengan ibu mereka, Mariani dengan nenek. 

Saloma sering merasakan dirinya kurang cantik berbanding Mariani lalu berusaha lebih keras untuk mengecap populariti. Beliau sudah lama meminati P. Ramlee tetapi tidak endahkan. Setelah beberapa lama baru mendapat peluang untuk bersama. Apabila P. Ramlee meninggal dunia tahun 1973 Saloma menjadi orang yang agak murung sehingga beliau sendiri meninggal 10 tahun kemudian.

Di sini Shasha mengambil peluang untuk membetulkan satu persepsi salah yang mengatakan biduanita Saloma meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya seorang diri, tidak dipedulikan orang. Kata beliau ahli-ahli keluarga sentiasa mengambil giliran untuk menjaga seniwati tersebut sehingga ke akhir hayat. Saloma pernah keluar hospital buat beberapa hari apabila kelihatan sudah pulih daripada penyakit tetapi dimasukkan kembali apabila tenat lalu meninggal dunia.


Panelis seterusnya, Salikin disenaraikan sebagai yang keempat dan terakhir tetapi muncul sebagai yang ketiga. Beliau yang membawa tajuk  "Legasi Saloma, Impaknya Kepada Gaya dan Fesyen Masa Kini" menunjukkan beberapa slaid pakaian Saloma. Tetapi saya lihat masa yang diberikan sedikit sahaja. Mungkin kerana dua panelis awal telah menyentuh cara pemakaian dan gaya Saloma berdasarkan pemerhatian peribadi mereka pernah bersama. Sedangkan Salikin yang lebih muda setakat pernah melihat daripada majalah, surat khabar dan televisyen.


Panelis keempat dan terakhir tetapi disenaraikan sebagai kedua, Cikgu Yusnor turut berkongsi beberapa pengalaman peribadi bersama Saloma dan P. Ramlee. Kini berumur 80 tahun beliau membawa tajuk "Saloma, Gaya dan Lagu Berpisah Tiada". Menurut beliau Saloma memiliki disiplin kerja yang sangat tinggi. Selain menepati masa seniwati itu suka memperbaiki lagi hasil persembahan yang dirakamkan walaupun produser sendiri berkata tak perlu diulang lagi kerana sudah cukup baik...


Masuk sesi soal jawab rata-rata orang bertanya tentang fesyen dan gaya hidup Saloma.


Saya seorang sahaja yang bertanya tentang keadaan sosio-politik di Singapura melibatkan para pelakon Melayu dan studio sana. Ini kerana saya terkesan dengan kata-kata Mama Julie bahawa Saloma dan P. Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur kerana kemelesetan Singapura. Kemelesetan yang dimaksudkan bukanlah tentang ekonomi negara tetapi kemelesetan industri perfileman juga duit poket sendiri. Ini dikatakan berlaku kerana muncul televisyen hitam putih penghujung 60an menggantikan kepentingan wayang, Tetapi dipercayai ada faktor-faktor lain yang ada kena mengena dengan kemerdekaan Singapura daripada pemerintahan British melalui gabungan negeri-negeri yang membentuk Malaysia tahun 1963 diikuti keluarnya Singapura daripada Malaysia tahun 1965.


Bergambar bersama kawan-kawan selepas majlis...


Kebetulan di bahagian pameran sementara muzium ada pameran Saloma sebagai ikon fesyen. Dan hari itu adalah hari terakhir pameran. Saya dan isteri pun masuk melihatnya. Kelihatan dalam gambar isteri bersama Mama Julie. Lihat artikel Saloma fashion icon exhibition at the National Museumdi blogspot BERPETUALANG KE ACEH.