Pagi 31 Disember 2010. Setelah bermalam sekali lagi di rumah Cikgu Najib di Kutan kami pun keluar berjalan-jalan.
Seperti disebut dalam artikel sebelum ini Cikgu Najib sudah menyelesaikan hal-hal tertunda berkenaan kerjanya di Istana Kelantan lalu bersedia untuk membawa saya jalan ke Patani. Tetapi orang yang akan membawa kami menaiki kereta berplet Thailand pula sedang membetulkan kereta. Maka kami pun membuat keputusan untuk keluar berjalan-jalan. Bila dah selesai masalah kereta nanti Cikgu Najib akan membuat panggilan.
Peluang inipun digunakan untuk ke makam Tok Selehor. Rujuk balik artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Menyusuri Sungai Golok hingga ke Rantau Panjang yang dibuat lebih sebulan lalu. Telah diberitahu bagaimana pada malam di Rantau Panjang baru saya menyedari dengan tidak sengaja telah terbawa sekali kunci untuk masuk ke lubang tempat suluk Tok Selehor...
Apa yang berlaku ialah ketika mahu memulangkan kunci selepas masuk ke lubang suluk (lihat Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Makam Tok Janggut, Kampung Laut dan masuk lubang kubur di makam Tok Selehor), saya terserah kunci rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Nasib baik kunci itu masih ada di tangan pemegang kunci makam. Kiranya kami bertukar kembali kunci masing-masing... :]
Selepas melihat kawasan pendalaman Tumpat kami kembali ke arah Kota Bahru untuk ke pekan Wakaf Bahru.
Kami mahu mencari jalan masuk ke kawasan kampung Dusun Langgar.
Difahamkan kawasan ini pernah termasuk di dalam Kota Kubang Labu, pusat pemerintahan Kelantan sebelum ia dialihkan ke Kota Bahru tahun 1770an Masihi gitu.
Kami mahu mencari makam seorang bangsawan yang boleh dikatakan perantaraan antara pemerintahan Raja-raja Jembal dengan kesultanan moden Kelantan. Nasib baik ada juga orang tua yang tahu tentangnya lalu menunjukkan arah ke sebuah surau. Katanya makam tersebut ada berdekatan surau.
Tetapi dia tidak memberitahu lokasi tepat makam itu. Saya pun bertafakur sebentar meminta diberikan petunjuk. Seketika itu juga terasa pusaran angin agak kencang menggegarkan pohon-pohon di belakang. Lalu saya dapat melihat semacam bentuk bangunan...
Nampaknya makam yang dicari terletak di dalam belukar belakang surau.
Saya pun melangkah masuk ke dalam...
Alhamdulillah ternyata memang ada makam. Saya pun memanggil isteri masuk sekali. Anak-anak pula sibuk bermain di padang berdekatan.
Inilah makam Long Sulaiman, anakanda kepada Tuan Besar Long Baha yang ceritanya ada disebut di dalam artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Menyusuri jejak Raja-raja Jembal dengan lebih teliti. Saya pasti kerana ada gambar dan petunjuk dalam buku "Panduan ke tempat-tempat bersejarah Kelantan" karangan Abdul Halim Nasir dan terbitan Jabatan Muzium 1979. Untuk pengetahuan Long Baha adalah keturunan Raja-raja Patani dan Champa (Kembayat Negara) yang berkahwin dengan Raja Pah, puteri Raja Sakti II (cucu Raja Sakti I) dari Dinasti Raja-raja Jembal lalu diberi pemerintahan ke atas Kelantan zaman itu yang berpusat di sekitar Kota Jembal (Kedai Lalat) dan Pengkalan Datu. Long Sulaiman adalah anakanda yang dibawa sama dari Patani (bukan dari Raja Pah tetapi isteri terdahulu). Baginda diberi pemerintahan atas wilayah sebelah barat dengan berpusat di Kota Kubang Labu.
Namun Long Sulaiman dibunuh 1756 akibat perebutan takhta. Apapun kemangkatan baginda dapat dibela anakandanya Long Yunus 9 tahun kemudian dengan pertolongan sahabat baiknya Long Ghaffar, putera diraja kerajaan Reman (di utara Perak). Long Yunus pun menaiki takhta 1765. Keturunannya memerintah Kelantan sehingga kini, maka baginda disebut sebagai pengasas kesultanan moden Kelantan.
Di atas kelihatan kami sedang menyeberang Sungai Kelantan untuk ke bandaraya Kota Bahru. Lihat artikel A quick look of the Kelantan river from the Kota Bahru bridge di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Kiranya kami menyeberang dari Kota Kubang Labu di barat sungai masuk ke Kota Bahru di timur sungai. Long Yunus adalah orang yang bertanggungjawab mengalihkan pemerintahan ke bandaraya yang menjadi ibunegeri Kelantan sekarang.
Oh. Terlupa hendak beritahu. Hari itu adalah hari Jumaat, cuti awam di Kelantan. Maka jalan di bandaraya agak lengang.
Peluang inipun diambil untuk melihat bandaraya dengan santai. Lihat A more relaxed look at Kota Bahru. Lagipun saya perlu menurunkan anak-anak dan isteri yang mahu membeli kain untuk pakaian sekolah sebelum bergegas ke masjid untuk solat Jumaat.
Selepas meletakkan kereta di jauh sikit dari masjid untuk mengelakkan kesesakan di sekitar saya berjalan kaki. Sempat juga mengambil gambar tempat-tempat menarik berdekatan masjid. Lihat artikel Bank Kerapu dan Muzium Islam (Islamic museum of) Kelantan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Kemudian baru masuk ke masjid. Itupun sempat lagi keluar balik untuk berjalan-jalan lagi melihat persekitaran apabila mendapati kutbah baru dimulakan. Lihat Friday prayers at the Muhammadi mosque.
Selepas solat saya mengambil lagi gambar tempat-tempat menarik. Lihat artikel-artikel berikut...
Istana Jahar (Jahar palace)
Istana Balai Besar (The grand palace)
Bank Pitis
Dalam dok sibuk ambik gambo tu le isteri dan anak-anak muncul di kawasan lapang berdekatan istana dan masjid yang menjadi satu mercu tanda kebanggaan rakyat Kota Bahru. Apalagi... ambik gambo diaorang le pulak...
Perjalanan diteruskan dengan mengambil laluan terdekat menyusur Sungai Kelantan.
Menurut petunjuk dari buku tentang tempat-tempat bersejarah Kelantan, tempat yang mahu dicari seterusnya masih terletak di dalam kawasan bandaraya tetapi di tepian sungai.
Dan lagi, menurut buku ia berdekatan rumah-rumah rakit.
OK. Saya tak pasti jika saya ada menyebut tentang pengalaman deja vu iaitu merasa telah sampai di sesuatu tempat walaupun kali pertama melihatnya dalam siri "Menjejak kegemilangan lama di Pantai Timur" ini. Hmm. Biar disemak sebentar.
Ah. Dalam artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Sekitar Tumpat ke Pengkalan Kubor yang dibuat lebih sebulan lalu ada. Itupun amat ringkas. Nampaknya saya cuma menyebut di situ sahaja setakat ini. Biar dicopy and paste perenggan berkaitan...
Saya tak ingat jika bangunan yang kelihatan ini sudah ada ketika itu. Dan kalau ada pun saya tak pasti jika ada singgah ke situ. Tetapi saya terasa seperti sudah melihat segalanya sepertimana sejak memulakan perjalanan ke Pantai Timur ini pada pagi hari Krismas tiap-tiap hari saya mengalami deja vu... terasa pernah sampai ke sesuatu tempat dan melihatnya dari pelbagai sudut sedangkan hakikatnya saya tidak pernah pun sampai sebelum itu.
Ya. Tiap-tiap hari saya mengalami deja vu dalam perjalanan ini hingga dah rasa tak terkata dah. Tak larat nak bercerita. Tapi saya terasa nak sebut lagi apabila melihat bangunan yang ditemui berdekatan makam seterusnya yang mahu dicari, makam yang terletak di kanan bangunan ini.
Kalau ikutkan saya tak berkenan pun nak ziarah makam ini kerana cerita kurang enak yang terkait dengannya. Biarlah diberitahu inilah makam Long Deraman yang pernah membunuh Long Sulaiman kerana berebut kuasa untuk memerintah Kelantan ketika berpusat di Kota Kubang Labu. Buku "Panduan ke tempat-tempat bersejarah Kelantan" menyebut Long Deraman sebagai menantu Long Sulaiman. Semalam pula saya telah menamatkan buku "Raja Campa & Dinasti Jembal dalam Patani Besar" karangan Haji Abdul Halim Bashah cetakan pertama 1994 lalu mendapati Long Sulaiman dan Long Deraman adalah saudara sepupu.
Makam Long Deraman di kanan dan isterinya di kiri. Lihat Makam (Tomb of) Long Deraman. Tersebut dalam sejarah, selepas Long Deraman yang merupakan raja di Legeh, sebuah kerajaan kecil dalam Patani yang kemudian memisahkan diri membunuh Long Sulaiman, baginda menyerahkan kuasa memerintah di Kota Kubang Labu kepada iparnya Long Pandak. Dalam buku "Raja Campa & Dinasti Jembal" salasilah menunjukkan Long Pandak juga adalah sepupu kepada Long Deraman dan Long Sulaiman. Kemudian atas sebab yang tidak dinyatakan Long Pandak telah membunuh isterinya yang merupakan adinda Long Deraman. Long Deraman pun membalas dengan membunuh Long Pandak lalu menyerahkan pemerintahan kepada seorang lagi sepupu mereka iaitu Long Muhammad.
Sejarah kemudian menyebut anakanda Long Sulaiman iaitu Long Yunus yang terbuang selepas ayahandanya dibunuh kembali pada tahun 1765 dengan membawa sahabat baiknya Long Ghafar, putera kerajaan Reman (di utara Perak) dan satu angkatan gabungan untuk mengalahkan dan menghapuskan Long Deraman dan Long Muhammad. Long Yunus kemudian menaiki takhta Kelantan lalu disebut sebagai pengasas kesultanan Kelantan moden. Kelihatan dari cerita-cerita ini Long Deraman begitu jahat dan atas sebab itulah awalnya saya tidak berkenan hendak ke sana. Namun gerak dari Allah membawa jua untuk menziarahi lalu timbul rasa sayu. Hati ini mengatakan beliau bukanlah sejahat yang disangka. Ada lain-lain perkara berlaku yang kita tidak tahu mengakibatkan pertelagahan yang terjadi.
Saya tidak tahu apakah sebenarnya yang berlaku di Kota Kubang Labu ketika itu. Yang saya tahu, menurut buku "Raja Campa & Dinasti Jembal" permainan politik seorang ratu yang menguasai Patani Besar (bukan Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Unggu dan Ratu Kuning yang amat terkenal itu), sebuah kerajaan gabungan yang pernah menguasai Singgora dan Pathalung di utara hingga Terengganu di selatan telah menyebabkan anak-anak raja di Kelantan juga di Patani bergaduh sesama mereka. Dengan itu saya tinggalkan persoalan ini. Untuk artikel akan datang Insyaallah akan dipaparkan sekali sebuah makam lama yang dipercayai sesetengah pihak sebagai milik Chik Siti Wan Kembang, ratu perempuan terkenal Kelantan.