Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Oktober 18, 2018

Wacana Ilmu : Perkembangan dalam Pemeribumian Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu di ISTAC

OK. Ini ada perkongsian ilmu daripada satu acara semalam...


Sekitar seminggu lalu muncul poster atas di media sosial untuk mempromosikan satu majlis ilmu terbaru di ISTAC, (Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu). Di sini saya ingin membuat satu pembetulan. Sudah beberapa kali saya berkongsikan cerita-cerita tentang majlis-majlis ilmu juga aktiviti berkenaan di ISTAC tetapi menyebutnya sebagai Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu. Sebenarnya saya terkeliru dengan nama lama ISTAC iaitu singkatan bagi perkataaan bahasa Inggeris International Institute of Islamic Thought and Civilisation. Dalam bahasa Melayu ia berbunyi Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.

Sebagai satu institusi antarabangsa pasca-siswazah terkemuka di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bahasa pengantar pengajian juga acara-acara adalah di dalam bahasa Inggeris. Tetapi sejak komponen pengajian dunia Melayu dijunjung tinggi sehingga dimasukkan menjadi sebahagian nama baru institusi (walau singkatan ISTAC dikekalkan) iaitu bermula penghujung tahun lepas majlis-majlis dalam bahasa Melayu dibenarkan diadakan di sana. Sebagai contoh lihat Majlis Baca Puisi di ISTAC yang diadakan 3 minggu lalu. 


Majlis terbaru yang dilangsungkan pagi Rabu semalam 17 Oktober 2018 bertujuan untuk mengangkat kajian keilmuan berasaskan matematik dan sains dalam bahasa Melayu. Maka syarahan dibuat dalam bahasa Melayu. Poster iklan berbahasa Inggeris diedarkan di media sosial tetapi pada masa yang sama poster berbahasa Melayu diedarkan juga. Tajuk majlis adalah "Wacana Ilmu : Perkembangan dalam Pemeribumian Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu"


Pembentang Professor Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain ialah seorang pakar matematik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Harus diberitahu tidak ramai anak Melayu dapat mencapai kefahaman tinggi dalam bidang matematik seperti beliau.Secara rata subjek yang memerlukan kuasa penaakulan tinggi ini diketahui kurang digemari oleh orang Melayu. Tetapi ini bukan bermakna fikiran kita keterbelakang berbanding orang Cina misalnya yang katanya lebih selesa dengan ilmu-ilmu melibatkan kira-kira. 

Sehingga dikatakan sebab itu mereka maju dalam bidang perniagaan lalu memegang lebih 70% kek ekonomi Malaysia walhal jumlah mereka cuma sekitar 20% penduduk negara berbanding orang Melayu yang jumlahnya 60% tetapi pemegangan ekonominya tidak sampai 20%. Yang sebenarnya orang Melayu pun asalnya pandai ilmu-ilmu sebegini. Tetapi sejarah penjajahan oleh kuasa-kuasa Barat ke atas Alam Melayu telah menyaksikan kita menjadi keterbelakang hingga hilang punca.


Cendekiawan seperti Shaharir dan kumpulan pemikir yang berjuang atas landasan sama sedang berusaha keras untuk memperbetulkan kepincangan ini. Untuk itu mereka harus gigih menggali kembali khazanah dunia fikir orang Melayu yang sudah lama dilupakan. Dunia fikir ini memerlukan kita menjunjung tinggi kembali bahasa Melayu sebagai wadah ilmu tinggi. Sebab itu syarahan diadakan dalam bahasa Melayu walaupun Shaharir boleh sahaja bersyarah dalam bahasa Inggeris yang lancar. 

Di sini saya rasa elok disebut bahawa tokoh pejuang bahasa Melayu terkenal, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang merupakan salah seorang pensyarah saya di ISTAC bertanggungjawab mengangkat bahasa Melayu sebagai satu bahasa pengantar di ISTAC. Hinggakan pelajar kini dibenarkan menghasilkan tesis dalam bahasa itu selain bahasa Inggeris juga bahasa Arab. Beliaulah yang membawa Shaharir untuk syarahan. Awang pun memulakan majlis dengan memperkenalkan pakar matematik tersebut.


Selepas beberapa lama Shaharir memulakan kata-kata. Satu nota yang merangkumi isi syarahan disampaikan kepada hadirin. Satu buku tulisan beliau tentang perkara berkenaan turut diedarkan untuk siapa yang mahu membeli. Tetapi jumlahnya terhad. Ketika saya masuk ke ruang syarahan kesemuanya sudah bertuan. Cukuplah nota untuk membantu saya berkongsikan cerita ya.


Shaharir memulakan dengan menyatakan peri pentingnya kita menelaah ilmu bangsa kita dalam bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu. Jangan semata-mata menterjemahkan ilmu daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ini kerana setiap kata-kata memiliki nilai maknanya tersendiri. Menurut beliau ada kata-kata Melayu yang kelihatan secara zahir sebagai sama sahaja makna dengan da suatu perkataan bahasa Inggeris. Tetapi bila dikaji lebih teliti ia membawa makna lebih besar dan mendalam.

Misalnya perkataan "Pemperibumian" yang menjadi perkataan pertama dalam tajuk syarahan. Ia adalah terjemahan daripada perkataan "Indigenisation". Pada beliau indigenisation membawa makna menyesuaikan ilmu moden dengan ilmu atau pemahaman tempatan. Sedangkan pemperibumian turut membawa makna membongkar ilmu-ilmu lama dan mengkritik ilmu berkenaan.


Beliau memberikan beberapa contoh bagaimana penggunaan bahasa sendiri boleh meluaskan skop nilai, faham dan penerangan. Misalnya kata "I" untuk merujuk kepada diri. Kelihatannya dalam bahasa Inggeris ada satu sahaja perkataan itu untuk merujuk kepada suatu individu. Tetapi dalam bahasa Melayu ada perkataan "saya", "aku", "hamba". Setiap satu boleh membawa konotasi atau nilai berbeza walau tetap merujuk kepada individu yang sama.

Itu berkenaan bahasa. Shaharir memberitahu sebagai seorang pakar matematik beliau turut melihat implikasi nilai dan kira-kira di sebalik suatu kata-kata. Misalnya perkataan Melayu "bunga" dahulu sering digunakan untuk merujuk kepada "interest" (bahasa Inggeris), kedua-keduanya bermakna riba' iaitu bayaran tambahan yang dikenakan bagi pinjaman bank. Bila unsur riba' yang jelas haram dalam agama Islam dipersoalkan maka ditukar pula menjadi "faedah". Maka wujud konsep "pinjam ada faedah" dan "pinjaman tanpa faedah". Sedangkan ia tetap merujuk kepada riba'.

Bila dipersoalkan lagi maka diperkenalkan pula perbankan Islam dan segala macam termanya yang dikatakan menepati syarak. Tetapi sebagai seorang ahli matematik beliau melihat pada kira-kiranya. Hasilnya jumlah akhir yang perlu dibayar untuk membuat pinjaman bank Islam sama sahaja dengan pinjaman bank konvensyional malam boleh jadi lebih. Maka hakikatnya penindasan berupa riba' tetap berjalan walau atas nama lain untuk menghalalkan.


OK.Saya dah lupa pada peringkat mana syarahan disebut perkara-perkara atas tadi sebelum saya mengambil gambarb buku-buku tulisan saya ini seperti kelihatan di atas. Yang ingat, Shaharir sedang mengatakan ilmuwan kita tidak ada menerbitkan sesuatu yang baru bagi mencabar dominasi dunia pemikiran Barat. Yang ada kebanyakannya pemikiran kitar semula yang diberikan kritikan atau ulasan kalau tidak pun sekadar menterjemahkan lalu diaplikasikan dalam sudut keperluan tempatan. Pada saya Shaharir menyatakan ini dalam nada kecewa tetapi ada sedikit angkuh - itu apa yang saya rasa. Saya lihat kritikan Shaharir itu seperti berpunca daripada hakikat tidak ramai orang Melayu dapat menekuni ilmu matematik tinggi yang boleh dikatakan latar belakang kekuatan semua ilmu sains tulen. Terasa ia seperti kritikan terhadap cendekiawan Melayu yang kurang kefahaman sains, yang ramai adalah dalam bidang sastera dan kemanusiaan yang mana kita faham, pada zaman sekolah menengah dahulu ia biasa diisi oleh mereka yang dikira ketinggalan dalam sains.

Ketika itulah saya terasa harus keluar sebentar untuk mengambil buku-buku yang ada dalam kereta. Saya mengambilnya untuk menunjukkan ada orang seperti saya sedang berusaha mencabar alam pemikiran Barat dengan satu kajian yang memiliki asas matematik walaupun dalam bidang yang lebih mendekati sastera. Hal ini dipanjangkan ketika masuk sesi soal jawab. Mungkin ini kelihatan angkuh tetapi saya harus menegaskan kepada hadirin yang juga terdiri daripada pelajar-pelajar pasca-siswazah dan pensyarah/kakitangan daripada universiti-universiti lain. Saya sebut diri sebagai graduan matematik dari Universiti College of London lalu menyatakan ia tersenarai sebagai salah satu daripada 10 universiti terbaik di dunia.

Ini adalah fakta yang boleh disemak dengan mudah di Internet. Ia menunjukkan saya termasuk dalam golongan yang terpilih, bukan tercicir ilmu sains. Tetapi setelah beberapa lama saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Malay World atau Dunia Melayu semata-mata untuk mengangkat kajian yang boleh memartabatkan lagi orang Melayu. Saya tegaskan ini sambil menunjukkan pada keadaan diri sebagai satu-satunya hadirin berbusana Melayu tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Saya nyatakan entah buat kesekian berapa kali entah seperti pernah dinyatakan di majlis-majlis ilmu lain bahawa pakaian sebegini bukan untuk orang yang tahu bersilat sahaja, bukan kekampungan dan ketinggalan. Ia sebenarnya melambangkan semangat tinggi peradaban lama orang Melayu lalu patut juga dipakai para cendekiawan.


Saya adalah peserta pertama bersuara semasa sesi soal jawab kemudian baru yang lain masuk. Menarik apabila ruang soal jawab atau berkongsi pendirian/pengetahuan/dapatan diberikan kepada seorang ustaz di belakang lalu Shaharir terus memberitahu itu adalah gurunya dalam mencari maklumat-maklumat berkenaan dalam pengajian Islam. Ustaz tersebut memberitahu kepada hadirin, kalau mahu melihat cari lama dan tradisi orang Melayu mengaji lalu menggapai dunia pemikiran tinggi kajilah cara belajar di sekolah pondok. Di situ sudah ada contoh mantap yang ditinggalkan daripada tradisi keilmuan tinggi Islam zaman berzaman. Jangan anggap orang masuk sekolah pondok kerana ketinggalan, tidak mampu mencapai dunia pemikiran sekolah biasa yang berasaskan pemikiran Barat. Sebaliknya ada yang pandai dan berjaya di sekolah kebangsaan biasa tetapi bertukar ke sekolah pondok kerana pilihan.


Penulisan artikel ini dimulakan sambil saya menunggu kelas Research Methodology  (sistem kaedah membuat kajian) bermula jam 5 petang. Saya datang awal hari ini ke ISTAC kerana ada kursus penggunanan program bantuan kajian dan pembuatan tesis berlangsung pagi hingga tengah hari tadi. Sementara menunggu kelas petang saya ada banyak masa apa lagi hari ini Khamis saya berpuasa sunat. Tetapi badan pula kurang sedap,terasa lenguh dan bisa- bisa sedangkan kepala begitu berat.

Kalau ikut pada itu mahu sahaja dicari sudut tersorok di mana-mana untuk tidur rehat Tetapi rasa macam tergantung pula - saya masih ada satu buku sedang dibaca, Historical Fact and Fiction untuk dihabiskan, ada buku kecil dihadiahkan oleh Awang Sariyan semalam mahu juga dikhatamkan juga beberapa bacaan melibatkan sejarah kerajaan Uthmaniyah bermula daripada zaman Seljuk yang terkait dengan Kekhalifan Abbasiyah. Badan dan kepala begitu penat sedangkan banyak perkara perlu dibuat. Akhirnya saya membuat keputusan, untuk membantu diri menjadi lebih lega biar dibuat artikel ini.


Tentang apa yang dialami setelah kembali menjadi pelajar sila rujuk artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC yang dipersembahkan Isnin lalu. Alhamdulillah penulisan dapat dikeluarkan mengalir laju kerana itulah cara saya menulis, lebih pada berbentuk luahan agar lepas suatu perkara yang terasa membebankan di dada. Bebanan ilmu itu adalah selain harus menelaah dan memahami suatu perkara ia harus disampaikan. Cuma jangan pula jadi seperti mengalungkan rantai ke leher babi, Semua perkara ada tempat dan ahlinya. Berkongsi pun harus menurut had-hadnya.

Untuk blogspot ini saya menulis kepada umum. Walau ada ilmu yang boleh tahan tinggi, saya cuba merendahkan cara penyampaian atau disebut Awang Sariyan dalam kelas petang semalam sebagai "memasyaratkan" ilmu. Itu tanggungjawab saya sebagai seorang pemikir dan seorang yang diberi sedikit kelebihan untuk memahami perkara-perkara yang sulit buat orang awam. Saya cuba jadikan ia semudah mungkin supaya lebih ramai dapat memahami perkara.


Atas dasar itu saya menulis tanpa melupakan dalam kalangan pembaca ada yang ingin mengetahui lebih mendalam dan mampu menggapainya. Kalau larat dan ada gerak ilham saya panjangkan suatu perkara, kalau tidak saya cerita ringkas kerana sebagai manusia saya pun ada turun naik mood juga. Sesungguhnya saya bukanlah meja pertanyaan lalu semua persoalan saya wajib jawab sehingga memuaskan hati orang yang bertanya. Saya menulis secara percuma atas dasar tanggungjawab sambil membuat luahan. Kalau tidak saya juga yang tidak lena tidur nanti kerana ada perkara patut dilepaskan tetapi belum dilakukan lagi.


Atas sebab-sebab tersebut ketika baru menulis beberapa perenggan artikel ini saya terasa elok diambil gambar setiap muka surat daripada nota syarahan Shaharir. Anda boleh baca dengan jelas apabila dibuka pada saiz besar dalam Windows lain. Selamat menelaah... :]





Oh. Baru teringat . Syarahan ini ada dibuat siaran langsung atau live melalui Facebook. Anda boleh mengikuti rakamannya di sini. Semoga berfaedah buat semua... 




2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Boleh tuan buatkan satu penulisan berkenaan makam sahabah diBarus Sumatera. Rasenya tamadun Melayu Islam bermula disitu, juga berkenaan tragedi 1946 pemansuhan kesultanan Melayu yg beri kesan kelangsungan wajah kesultanan semenanjung Melaka kita.

Radzi Sapiee berkata...

Tentang tragedi 1946 ramai orang dah tulis. Malah pernah viral satu artikel berkenaan di Facebook dan WhatsApp. Kalau tentang makam di Barus tu saya lebih berminat.Tapi kena tunggu sampai muncul peluang dan kelapangan saya menjejakkan kaki ke sana. Sekarang belum lagi dapat...