Sejak awal tahun para pelajar ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam telah diberitahu melalui Whatsapp tentang majlis dalam poster yang mahu diadakan di institut kami 6 hingga 8 Februari 2019. Tajuknya "International Seminar on Contemporary Islamic Thought and Societal Reforms" boleh diterjemahkan sebagai "Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan". Barisan pembentang pun kelihatan menarik perhatian. Cuma tempoh masa diadakan itu adalah waktu cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina. Dan lagi ada yuran yang boleh 'menebuk' poket kami para pelajar. Nasib baik kemudian kami diberitahu ia percuma untuk pelajar ISTAC. Cuma kehadiran kami diwajibkan.
Tak mengapalah bagi mereka yang berkesempatan. Saya sendiri pun dah 3 kali balik kampung ke Muar sejak pertengahan bulan Disember tahun lepas sehingga pertengahan Januari lepas. Raya Cina ni terasa malas hendak 'berlumba' dengan kesesakan jalan raya yang biasa melanda musim perayaan. Anak-anak pun tiada masalah setakat bercuti di sekitar kawasan. Selepas menunaikan solat Zuhur di rumah saya pun bergegas untuk sesi pertama majlis yang bermula jam 2.30 petang.
Pembentang pertama Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar yang merupakan Sheikul Kulliyah ISTAC sedang membawa tajuk "Islah and Tajdid as the Twin Faces of Islamic Reform : Challenges for Islam in Multicultural Societies". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Islah dan Tajdid sebagai Dua Muka Kembar Pembaharuan Islam". Secara rata beliau bercakap tentang usaha-usaha mahu memartabatkan kembali Islam di mata dunia dalam konteks inclusivity iaitu dengan memasukkan agama-agama lain dan penganutnya dalam perbincangan untuk kebaikan bersama.
Faham saya perkataan Arab Islah dan Tajdid membawa maksud reform dan renewal dalam bahasa Inggeris. Reform ke dalam bahasa Melayu boleh membawa maksud pembaikan, pemulihan pun boleh. Jadi lebih elok diterjemahkan sahaja menjadi reformasi agar dapat meliputi makna-makna tersebut. Tajdid = renewal lebih mudah kerana membawa maksud jelas pembaharuan. Saya nyatakan ini kerana ada juga kamus menyebut reform sebagai pembaharuan sedangkan apabila dirujuk kepada perkataan Islah dan Tajdid jelas terdapat perbezaan.
Pembentang kedua, Mudassar Ahmed daripada Concordia Forum, London kemudian membawa tajuk "Islam and the Common Good : Ideals and Realities" - "Islam dan Kebaikan Bersama : Ideal dan Realiti". Beliau bercakap sebagai ahli golongan minoriti penganut agama Islam di United Kingdom pada kala fenomena Islamophobia iaitu rasa takut dan curiga terhadap Islam sedang kuat mencengkam dunia terutama di Barat.
Sesi kedua bermula sekitar jam 4.10 petang selepas rehat minum sekitar setengah jam. Pembentang pertama sesi, Profesor Madya Dr Imtiaz Yusuf daripada ISTAC membawa tajuk "Bridging between Tradition and Modernity in Thai Islam : The Role of Surin Pitsuwan" - "Menghubungkan Tradisi dan Kemodenan Thai Islam : Peranan Surin Pitsuwan". Beliau merujuk kepada tokoh politik Thailand beragama Islam yang katanya memainkan peranan sangat besar dalam mendamaikan penduduk Islam dengan majoriti orang Thai yang beragama Buddha. Imtiaz yang pernah mengajar di Thailand selama belasan tahun merujuk juga perkenalan peribadi beliau dengan tokoh tersebut.
Saya sendiri pertama kali mendengar nama Surin Pitsuwan semasa awal kelas di ISTAC September tahun lepas. Ada seorang pelajar perempuan yang berasal dari wilayah Setul atau Satun di selatan Thailand memberitahu mahu membuat tesis tentang sumbangan tokoh tersebut kepada dunia Islam. Daripada pembentangan tadi baru saya tahu Surin ini memang seorang tokoh besar. Dikatakan hampir-hampir sahaja beliau menjadi setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu menggantikan Kofi Annan (memegang jawatan tersebut 1997-2006) kalau tidak dihalang oleh kepentingan politik tertentu.
Sebenarnya sesi kedua seminar ini sepatutnya dibuka oleh Profesor Dr Azra Azyumardi daripada Universiti Islam Negeri, Jakarta dengan tajuk "Sinergy between Islamic Thoughts and Societal Reforms in Contemporary Indonesia" - "Sinergi antara Pemikiran Islam dan Reformasi Kemasyarakatan Semasa di Indonesia". Sebaliknya beliau tidak dapat bersama lalu tempatnya digantikan oleh Profesor Dr Kamar Oniah Kamaruzaman daripada ISTAC.
Menurut atur cara Kamar sepatutnya membentang pada sesi ke-4 petang Khamis 7 Februari karang. Apapun beliau menjadi pembentang kedua sesi ke-2 dengan membawa tajuk "Societal Reforms of Tertiary Education : The Malaysian Case" - "Reformasi Kemasyarakatan dalam Pendidikan Tinggi : Kes Malaysia" sehari lebih awal.
Seminar ini secara keseluruhan dilancarkan pada waktu malam dengan syarahan dua orang tokoh terkenal dunia, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi ahli parlimen Port Dickson dan pensyarah Georgetown University (Amerika Syarikat) Profesor Dr John L. Esposito.
Terus terang cakap saya asalnya tidak berminat langsung untuk mendengar mereka bercakap. Walaupun tahu ada beberapa orang pensyarah di ISTAC mengangkat tinggi Anwar kerana terlibat atau pernah terlibat dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) saya ada rasa sangsi terhadap beliau. Saya sendiri pernah mengangkumi Anwar ketika kembali dari London tahun 1995. Saya termasuk antara ramai anak muda yang percaya inilah tokoh paling layak untuk mengangkat Malaysia lebih tinggi ke persada dunia selepas Dr Mahathir (ketika itu belum bergelar Tun).
Lalu saya menjadi antara orang paling keliru apabila tiba-tiba sahaja Anwar digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Ketika itu saya bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times lalu disuruh meliputi aktiviti-aktiviti beliau sejak hari-hari terakhir di kediaman rasmi TPM di Kuala Lumpur sehinggalah beliau bersyarah setiap hari di kediaman sendiri di Bukit Damansara (sebelum ditangkap).
Selepas beberapa lama mendengar cerita daripada pelbagai pihak dan menilai sendiri keadaan saya berpendapat beliau memang bersalah atas beberapa hal yang dilakukan ketika diberi peluang memangku jawatan Perdana Menteri. Pada saya beliau memang telah bersekongkol dengan Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Dr Mahathir. Untuk itu beliau telah menjalankan saranan IMF (International Monetary Fund) agar menaikkan kadar faedah bank negara (base lending rate) sambil memendekkan tempoh non-performing loans (saya lupa takrif-takrif tepat untuk perkara) yang menyebabkab banyak syarikat tempatan menjadi muflis.
Tentang Esposito pula saya pernah menyatakan pendirian tidak enak terhadap beliau selepas pertama kali mendengar syarahannya di ISTAC awal tahun lepas. Lihat
Syarahan "Muslim and the West" oleh John Esposito di ISTAC. Apabila dua nama ini disebut - Anwar dan Esposito - ada kawan-kawan aktivis saya dalam dunia kewangan Islam anti riba' dan anti perbankan yang terus menyatakan tidak mahu langsung mendengar kata-kata mereka. Namun di sini tidak perlulah dipanjangkan perkara. Cukuplah dikatakan atas dasar sayangkan ilmu biar kita dengar apa yang akan mereka katakan.
Majlis pelancaran dibuat dalam bentuk forum bertajuk "
Islam and Multiculturalism : The Need for Educational Reform" - "Islam dan Pelbagai Budaya - Keperluan untuk Reformasi Pembelajaran" dengan Anwar dan Esposito sebagai panelis. Tajuk ini sahaja sudah boleh membuat ramai rakan seperjuangan saya dalam dunia keMelayuan, kebudayaan dan persilatan jadi sangsi dan meluat. Ini disebabkan realiti keadaan negara sekarang yang seperti meminggirkan hak-hak orang Melayu dan Islam. Sebaliknya pihak-pihak yang kelihatan anti-Melayu dan anti-Islam semakin mendapat ruang. Kesangsian saya dalam hal ini ada dinyatakan dalam artikel
Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC? pada 8 hari lalu.
Saya bercakap sebagai seorang yang pernah teruk hanyut dalam dunia pemikiran keBaratan dan liberal sebelum menggamit kembali jati diri keMelayuan akibat panggilan 'hak keturunan' yang kadangkala datang dalam bentuk mistik bersifat pengalaman dzauq Tasawuf lagi spiritual. Namun atas nama dunia keintelektualan saya cekalkan hati juga untuk mendengar sambil Syeikhul Kulliyah ISTAC memberikan pengenalan. Sebetulnya kerisauan saya ada diluahkan pada sesi soal jawab siang hari. Saya menyebut tentang kes arwah Adib, petugas bomba berbangsa Melayu yang maut lebih sebulan lalu akibat luka-luka dalaman dipukul perusuh dalam kes pencerobohan Kuil Mariamman 26 November tahun lalu. Kelihatan pada kami orang Melayu seperti kes ini hendak dilupakan kerana menjaga hati kaum lain. Kelihatan pada kami kalau orang bukan Melayu nak buat apa pun boleh terlepas...
Nasib baik ada yang sudi menjawab dengan suara waras. Walaupun soalan disuarakan pada sesi pertama seminar, Kamar yang bercakap pada sesi kedua pula sudi menjawab walau tidak diulang tanya dengan menyatakan ini adalah soal mencari keadilan. Tidak ada kena mengena dengan kaum mahupun agama.
Idealismanya memang saya sendiri suka melihat segala macam dialog antara agama dan budaya diadakan. Tapi realiti zamannya kelihatan seperti orang Melayu semakin dibuat seperti melukut di tepi gantang.
Jadi apakah salah jika pihak yang mahu memperjuangkan keberadaan dan kelangsungan Melayu merasa sangsi terhadap dialog-dialog sebegini? Apakah orang seperti Anwar dan Esposito boleh menyelami dengan sebenar-benarnya hati nurani kami? Atau perasaan kami boleh dikorbankan begitu sahaja atas nama keharmonian antara budaya kaum yang disokong sifat 'keterbukaan' atas nama keintelektualan dan kecendekiawanan?
Di sini tidaklah ingin saya mengupas panjang lebar tentang apa yang diperkatakan mereka pada majlis malam. Ketika menulis ayat ini sudah jam 3.19 pagi. Saya sampai ke rumah setelah kembali daripada majlis tadi pun tengah malam sedangkan jam 11.30 pagi karang saya harus berada kembali di ISTAC lebih 40 km dari rumah saya untuk sesi seminar yang seterusnya.
Cukuplah dikatakan syarahan malam tadi boleh saya terima dengan hati terbuka dan lapang. Ada suatu macam janji oleh Anwar bahawa Islam dan Melayu akan dipertahankan sambil usaha-usaha dijalankan agar kita lebih saling mengenali antara agama dan budaya. Ada ketegasan daripada beliau bahawa kita akan menangani hal-hal ini menurut acuan kita sendiri, bukan menurut kehendak Barat.
Dan Esposito pula tidak kedengaran memperkecilkan kepimpinan negara-negara Islam seperti saya dengar dalam syarahan awal tahun lepas. Walaupun beliau masih memperjuangkan kepelbagaian budaya (multiculturalism) dan plurisma ia kedengaran lebih lunak sedia untuk menerima pendirian kukuh Islam dalam hal-hal yang tiada tolak ansurnya. Malah beliau dikatakan sentiasa membela Islam pada kala pihak lain sibuk di Amerika Syarikat sibuk membantai sehingga pernah dituduh telah menjadi seorang pro-teroris atau menyokong keganasan (yang dipalitkan kepada Islam). Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan