1. Hari pertama Rabu 28 Ogos
Banda Aceh - Meulaboh (238 km)
- Menginap di masjid raya yang merupakan satu-satunya bangunan tidak diranapkan Tsunami 26 Disember 2006. Menggantikan rancangan asal Banda Aceh - Tapak Tuan (434 km)
2. Hari kedua Khamis 29 Ogos
Meulaboh - Barus (484 km)
- Persinggahan akan dibuat di Labuhan Haji diikuti Tapak Tuan kemudian makam Sheikh Hamzah Fansuri di Singkil. Bermalam Jumaat di sebuah masjid di Barus (belum dapat ilham yang mana)
3. Hari ketiga Jumaat 30 Ogos
Barus - Deli Tua (dekat Medan, 326 km)
- Persinggahan akan dibuat di Kompleks Makam Mahligai Barus di mana dikatakan terdapat makam pendakwah Islam dengan tarikh meninggal dunia 43 Hijriah (sekitar 664 Masihi). Akan masuk ke Pulau Samosir di Danau Toba sebelum naik ke Berastagi kemudian bermalam di Masjid as-Syakirin, Deli Tua
4. Hari keempat Sabtu 31 Ogos
Deli Tua - Makam Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Syah, Perlak (265 km)
Singgah ke Medan untuk lawatan ke Istana Maimoon dan masjid lama Manshun, singgah ke Masjid Azizi di Tanjung Pura, Langkat lalu masuk ke Kampung Besilam (pusat Tariqat Naqsyabandiah-Khalidiah di bawah almarhum Sheikh Abdul Wahab), lalu di Pengkalan Brandan diikuti Temiang dan Langsa. Kalau ada kesempatan masa masuk ke Pengkalan Susu untuk melihat Teluk Haru, Pulau Kampai dan Pulau Sembilan (tambah 25 km pergi balik simpang).
Ini adalah laluan yang diceritakan dalam siri trilogi novel "Berpetulang ke Aceh" tulisan dan terbitan saya 2006-2007. Bermalam 1 Muharram 1441 Hijriah di kompleks makam Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Syah yang merajai Kesultanan Perlak bermula 1 Muharram 224 Hijriah lebih 1,000 tahun lalu.
5. Hari kelima Ahad 1 September 2019 bersamaan siang 1 Muharram 1441 Hijriah
Makam Sultan Abdul Aziz - Makam Sultan Malikus Saleh di Geudong, Lhokseumawe (130 km)
Dibuat persinggahan ke makam Ratu Nurul Aqla sebelum ke makam Sultan Malikus Saleh di mana acara ke-21 HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam) bermula selewatnya jam 10 pagi insyaallah. Boleh jadi bermalam di sekolah pondok berdekatan, boleh jadi teruskan perjalanan menghala ke Banda Aceh bergantung pada gerak dan keadaan,
6. Hari keenam Isnin 2 September
Menuju ke Banda Aceh.
Harus ada persinggahan ke makam Tun Sri Lanang di Semerlanga dan makam Daeng Mansur selepas Sigli di Pidie (Pedir). Boleh jadi bermalam di Banda Aceh, boleh jadi di satu lokasi sebelum itu.
7. Hari ketujuh Selasa 3 September
Acara ke-21 HIKMAH disambung di Banda Aceh.
Masa akan ditetapkan selewatnya waktu malam. Acara HIKMAH kali ini dikira berlangsung daripada 1 hingga 3 September, dari makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Banda Aceh (284 km). Bermalam di Banda Aceh.
8. Hari kelapan Rabu 4 September
Santai di Banda Aceh sebelum kembali ke Malaysia dengan penerbangan jam 4 petang
Namun apa yang berlaku sebenarnya pada Rabu 28 Ogos adalah penerbangan mengalami kelewatan sehingga jam 6 lebih petang waktu tempatan baru kami sampai ke Banda Aceh, tinggal setengah jam lebih sahaja sebelum masuk waktu Maghrib. Ini menyebabkan berlaku lagi perubahan dalam rancangan. Namun laluan keseluruhan yang telah difikirkan sejak sekian lama tetap dapat ditempohi. Cuma ada bahagian yang terpaksa dilewatkan ada yang dipercepatkan bergantung pada hari dan keadaan.
Misalnya kalau ikut rancangan asal kami cuma akan menginap 2 malam sahaja di pantai barat Aceh. Tetapi keadaan memaksa kami menginap 3 malam. Sebagai gantinya rancangan untuk bermalam di Deli Tua dekat Medan Jumaat 30 Ogos malam Sabtu harus dibatalkan lalu kami bergerak terus ke Perlak. Itupun sampai ke sana selepas Subuh pagi Ahad 1 September bersamaan 1 Muharram. Tak sempat tidur di sana seperti dirancang dan dimahukan kerana harus berkejar ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh lagi 2 jam perjalanan bagi melaksanakan acara ke-21 HIKMAH.
Namun 'perkejaran' itu mengembalikan kami pada rancangan asal di mana ada ruang dan masa untuk bermalam di sekitar kompleks makam Ahad malam Isnin. Menginaplah kami di sebuah pondok sebelah kompleks yang baru didirikan beberapa bulan lalu sebagai asas bagi sebuah dayah atau sekolah pondok baru.
Esoknya tengah hari Isnin 2 September kami pun mengorak langkah untuk ke Banda Aceh di mana acara ke-21 HIKMAH akan dilanjutkan. Namun disebabkan satu persinggahan tidak dirancang diikuti beberapa hal kami sampai tengah malam. Sedangkan pagi Selasa 3 September jam 9 harus menjalankan acara di satu muzium swasta...
Selepas itu kami pergi menjejak beberapa tempat bersejarah dan menarik di sekitar Banda Aceh. Peta ini melakarkan laluan dalam dan sekitar bandar yang diambil sejak sampai tengah malam sehingga lewat hari Selasa lalu kami berehat.
Peta ini pula melakarkan jejak kami pada hari terakhir perjalanan iaitu Rabu 4 September sebelum kembali ke Malaysia dengan pesawat jam 4.10 petang. Berdasarkan lakaran jumlah jarak kami berjalan 8 hari 7 malam adalah 1,715 km + 40.6 km + 85.4 km = 1841 km. Tetapi itu bukan sepenuhnya terperinci kerana ada perjalanan pusing bandar atau kawasan yang tidak dimasukkan ke dalam lakaran. Kalau dimasukkan kami harus sudah berjalan 1850 km. Tunggu huraian ceritanya apabila saya terasa lebih bertenaga dan lapang... :]