Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Februari 04, 2012

Rekod Dinasti Ming tidak boleh menafikan kewujudan Hang Tuah

Assalamualaikum. Bersambung cerita daripada La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis. Dari segi tema pula ini boleh dianggap kesinambungan daripada artikel Hang Tuah dan percubaan memperkecilkan sejarah orang Melayu yang dibuat 16 hari lalu. Mari... :]



Selepas selesai bercakap hal Bugis saya berjalan-jalan di tapak ekspo buku 1 Malaysia yang terus berlangsung sehingga hari Isnin di PWTC. Sampai di sebuah gerai terlihat buku di atas ini. Allah! Ini sumber baik dan agak komprehensif tentang Dinasti Ming yang dicatatkan memerintah Cina 1368-1644 Masihi. Dinasti ini terbit sebagai reaksi daripada usaha menghalau penjajah kerana sebelum itu negara mereka diperintah Dinasti Yuan (1271-1368) yang diasaskan Kublai Khan, cucu Ghengiz Khan dari padang rumput Mongolia yang berjaya menakluki Cina.

Adapun saya tertarik melihat buku ini kerana difahamkan salah satu alasan seorang profesor kangkung menafikan kewujudan pahlawan besar Melayu, Hang Tuah ialah kerana namanya tidak disebut di dalam rekod-rekod Dinasti Ming. Begitu juga halnya Puteri Hang Li Po yang dikatakan berkahwin dengan Sultan Mansur Shah Melaka. Diakui cerita Hang Tuah ada yang melanggar logik akal lantaran terlalu tinggi ilmu persilatannya zahir dan batin sehingga kelihatan seperti dongeng. Kemudian ada percanggahan fakta. Ada yang diceritakan dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang tidak sama dengan apa yang terdapat di dalam Hikayat Hang Tuah yang penulisnya tidak diketahui siapa.

Kitab Sejarah Melayu sendiri ada perbezaan cerita antara versi. Saya tidak ingat apa yang dikatakan versi Shellabear yang pernah menjadi rujukan utama saya ketika mula menulis siri novel "Berpetualang ke Aceh" 8 tahun yang lepas, versi yang telah dirumikan lalu menjadi teks sastera tingkatan 6 tahun 70-80an kalau tak salah ingatan. Sejak setahun dua kebelakangan pula ramai membincangkan versi Raffles Malay 18 yang lebih teliti peristiwa dan catatan tempoh pemerintahan raja-rajanya, kini lebih dikenali sebagai versi Raja Bongsu. Versi yang telah dirumikan lalu diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2009 inilah yang digunakan untuk membuat kira-kira baru bahawa kerajaan Melayu Melaka itu didirikan tahun 1262 Masihi bukan 1400an.

Namun versi ini tidak menyebut langsung nama Hang Tuah sebagai antara ahli rombongan Melaka yang pergi ke negeri Cina kemudian membawa balik seorang anak Raja Cina untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur. Nama yang disebut mengetuai rombongan lalu mengadakan muslihat agar dapat melihat wajah Raja Cina (dalam buku tidak disebut sebagai maharaja yang wajahnya dilarang daripada ditatap orang ramai) adalah Tun Perpatih Putih, bukannya Hang Tuah! Nama Puteri Hang Li Po juga tiada. Sebaliknya muncul perdana menteri Cina bernama Li Po yang menjadi perantaraan antara rombongan Melaka dengan Raja Cina dan puteri raja yang dibawa ke Melaka pula dipanggil Puteri Hang Liu.

Adapun cerita-cerita tentang kehebatan Hang Tuah bersilat sehingga melangkaui logik akal bukanlah alasan untuk menolak kewujudannya. Bagi mereka yang sudah bergelumang jauh dengan ilmu persilatan batin dan perubatan apalagi telah melangkah ke alam misteri Tasawuf, tiada apa yang mustahil tentang cerita-cerita kehebatan sebegitu. Bagi yang tetap tidak boleh menerima kita boleh memberikan ruang dengan mengatakan cerita memang 'ditokok-tambah' untuk menambah perisa. Tetapi janganlah sehingga menafikan kewujudan seseorang. Alangkan cerita-cerita dongeng melampau di Barat malah di Cina pun dipercayai banyak dibuat berdasarkan watak yang benar-benar pernah hidup.

Kembali pada hal profesor kangkung menyebut Hang Tuah tidak wujud dalam rekod Dinasti Ming. Rekod dinasti itu disebut sebagai rujukan silang kerana tempoh kewujudan kerajaan Melayu Melaka yang masih dikira ramai sebagai 1400an-1511 (tahun Kota Melaka tumbang ke tangan Portugis) boleh dipadankan dengan tempoh kewujudan Dinasti Ming 1368-1644. Kalau diambil Melaka mula wujud 1262 mungkin agak rumit sedikit kerana rujukan silang harus dibuat dengan rekod Dinasti Song (960-1279) dan Dinasti Yuan (1279-1368) sekali. Salah satu sebab nama Hang Tuah tidak wujud dalam rekod Dinasti Ming adalah mungkin kerana beliau tidak pergi ke Cina ketika terjadi peristiwa puteri raja Cina dibawa balik ke Melaka... yang pergi adalah Tun Perpatih Putih yang saya tidak tahu siapa.

Mungkin ada yang menyoal... kalau ia pun Hang Tuah tak pergi takkanlah namanya tidak pernah disebut langsung dalam rekod Dinasti Ming yang berdiri selama hampir 300 tahun ya tak? Kalau benar Melaka kerajaan besar sehingga menerima penghormatan Cina dan Hang Tuah pahlawan utamanya, mesti wujud dalam rekod sana sekurang-kurangnya dalam bentuk gelaran, atau sebutan nama lain tapi tetap membayangkan orang yang sama. Gerak hati saya menyebut masalah sebenar adalah rekod Dinasti tidak lengkap. Atas sebab-sebab tertentu ada cerita yang dihilangkan, ada yang diputar-belit.

Alangkah gembiranya saya apabila terlihat buku tentang Dinasti Ming yang kelihatan agak komprehensif petang Jumaat. Namun saya tiada wang untuk membelinya. Tak pula saya tanya harga tapi agak-agaklah. Terbitan Universiti Malaya, kulit keras diliputi bahan seperti plastik, kertas cantik, dua buah buku sebenarnya... jilid 1 dan 2 masing-masing setebal 3 inci gitu. Tentu mahal bukan? Apa yang saya boleh buat adalah cuba menelaah buku seketika itu juga. Tetapi bagaimana mahu mencari bahagian yang boleh menyokong telahan saya bahawa rekod Dinasti Ming memang tidak lengkap. Bagaimana mahu dicari dalam masa terhad sedangkan buku begitu tebal dan banyak maklumat?



Dalam senyap saya memohon pertolongan Ilahi lalu mula membelek-belek jilid 1 buku. Dengan kuasa Allah tak sampai setengah minit terjumpa bahagian berkaitan. Saya pun mengambil gambar. Tapi baru tadi tersedar nombor mukasurat tidak kelihatan. Kalau tak salah ingatan ini adalah mukasurat 46. Buka dalam windows baru. Baca dan teliti sendiri.




Sekarang biar saya pecahkan kepada 3 bahagian dan terjemahkan sehampir asal yang boleh dengan penekanan diberikan pada ayat-ayat yang digariskan...



1. Keadaan penyelidikan masa kini
Sehingga agak baru-baru ini Dinasti Ming (1368-1644) adalah satu daripada zaman yang paling tidak dipedulikan dalam pengajian sejarah Cina. Terdapat pelbagai sebab ketidakpedulian ini. Sarjana Cina di bawah Dinasti Qing (1644-1911) sangat keberatan untuk berurusan dengan sejarah zaman sebelumnya. Para pemerintah Manchu, kerana asing di China, adalah begitu sensitif terhadap para sarjana yang simpati terhadap pemberontakan regim telah jatuh yang melawan orang Manchu gasar dan oleh itu berlawanan dengan, atau sekurang-kurangnya kritikal terhadap dinasti yang memerintah. Penyiasatan yang terkenal jahat oleh pemerintah Qian-long (1736-1795) adalah secara utamanya ditujukan dengan ganas terhadap kumpulan sarjana ini. Oleh itu,kebanyakan sejarawan abad ke lapan belas dan sembilan belas, memilih untuk berada di pihak selamat, mengalih tumpuan pada zaman-zaman lebih awal dan mengelakkan Dinasti Ming yang problematik. Zaman pemerintahan Ming beransur-ansur dianggap sebagai kabur dan zaman kemelesetan yang tidak menimbulkan minat yang daripada mana tidak ada nilai boleh didapati. Sikap ini masih berleluasa di kalangan sarjana Cina selepas revolusi 1911, ketika mana tiada kesan buruk politik harus ditakuti oleh mereka yang mengkritik rejim Manchu, dan ini sangatlah mempengaruhi sarjana Jepun dan Barat.



Apa yang disebut di sini adalah sudah berapa lama pengkajian sejarah Dinasti Ming tidak dipedulikan. Ini disebabkan selepas menjatuhkan Ming, Dinasti Qing yang didirikan oleh orang-orang Manchu yang berasal dari luar Cina tidak suka sarjana menunjukkan simpati terhadap dinasti musuhnya dan saki-baki perjuangan mereka. Keadaan begitu teruk sehingga seorang pemerintah Qing yang bernama Qian-long menjalankan siasatan secara ganas untuk menakut-nakutkan kumpulan sarjana yang mungkin bersimpati dengan Ming. Akibatnya sejarawan abad ke 18 dan 19 mengelakkan bercerita tentang Dinasti Ming untuk selamat malah begitulah keadaan selepas revolusi 1911 di mana Dinasti Qing dan kerajaan orang Manchu akhirnya dijatuhkan.

Logiknya selepas itu sarjana dan sejarawan tidak patut lagi takut untuk berbincang tentang Dinasti Ming tetapi realitinya tidak begitu. Realitinya, selepas Dinasti Qing dijatuhkan pergerakan demokrasi republikan pimpinan Sut Yat Sen, tidak lama kemudian naik pemerintahan komunis yang lebih membencikan pemerintahan beraja. Bayangkan sejak Dinasti Ming jatuh 1644 hingga abad ke 20, selama 300 tahun atau lebih dinasti ini dilupakan dan dianggap tiada nilai, tidak pernah mencapai apa-apa yang mahu dibanggakan. Dalam keadaan begitu agak-agaklah sendiri betapa banyak kisah yang sudah hilang...

Apakah tidak mungkin nama Hang Tuah, cerita tentang betapa rapatnya Melaka dengan Cina, kisah Puteri Hang Li Po yang disebut kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu sebagai Puteri Hang Liu termasuk fakta yang hilang? Sikap mengabaikan sejarah Dinasti Ming ini kemudian ditiru oleh sejarawan Jepun dan Barat. Maknanya apa? Maknanya sejarawan Jepun dan Barat turut mengabaikan sejarah sebenar Ming. Mereka mengambil sumber daripada orang yang menolak sejarah Ming. Maka mana mungkin mereka ada rekod yang bebas daripada pengaruh pihak berkepentingan?





Zaman Ming, kelihatan dari segala segi, tidak menghasilkan pencapaian yang nyata seperti tamadun Cina pada zaman-zaman lebih awal, dan maka itu ia kelihatan tidak menawarkan tarikan apa-apa untuk kajian. Kuasa politik Ming tidak boleh dibandingkan dengan apa yang dimiliki Han (206 Sebelum Masihi - 220 Selepas Masihi) and Dinasti-dinasti Tang (618-907) dan wilayah empayar Ming jauh lebih kecil daripada yang dimiliki Yuan (1279-1368) and Dinasti-dinasti Qing. Dari segi pencapaian kebudayaan pula, Ming tidak boleh berbangga dengan hasil pemikiran falsafah yang asli sepertimana zaman sebelum Tang, atau pencapaian dalam bidang puisi dan seni seperti Tang dan Song (960-1129), atau dalam bidang ilmu bahasa seperti Qing.



Nah. Zaman Ming diperkecilkan begitu sekali sehingga ia betul-betul kelihatan tidak memiliki apa-apa. Walhal kita sekarang tahu, pada zaman Minglah angkatan laut terbesar Cina lama wujud... dipimpin Laksamana Cheng Ho yang kini sudah diketahui dan diakui ISLAM! Malah dipercayai beliau sebenarnya adalah seorang Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW yang keluarganya masuk ke Cina dari arah Bukhara.

Armada Cheng Ho dikatakan terdiri daripada 300 kapal pelbagai saiz yang mana kapal-kapal besarnya beberapa kali lebih besar daripada kapal terbesar Barat. Angkatannya terdiri daripada 30,000 orang dan mereka melakukan 7 misi besar pelayaran termasuk untuk menunaikan haji di Mekah. Angkatan ini turun singgah di banyak pusat pemerintahan Islam terutama Melaka dan kerajaan Samudera Pasai tanpa berusaha pun untuk menundukkan mana-mana kerajaan. Ini tidak lain adalah misi dakwah dan silaturrahim antara Muslim yang menunjukkan besar kemungkinan DINASTI MING ITU ADALAH KERAJAAN ISLAM!

Apakah ini yang cuba dipadam dari sejarah sehingga Dinasti Ming dipandang begitu hina dan sejarahnya dikaburkan selama 300 tahun atau lebih? Bukankah apabila Dinasti Qing berjaya menjatuhkan Dinasti Ming, mereka terus mengamalkan dasar tertutup yang mengharamkan rakyat Cina berhubung dengan dunia luar? Apakah yang ditakuti mereka? Atau siapakah yang sebenarnya menggerakkan Dinasti Qing hingga berjaya menutup syiar Islam Dinasti Ming? APAKAH MUNGKIN ADA AJEN ZIONIS BERGERAK MENURUT JADUAL DAJJAL?






Sebab ketiga yang tidak menggalakkan sebahagian sarjana teliti daripada berurusan dengan zaman Ming juga berkenaan dengan yang pertama, dan boleh, mungkin, dapat diperhalusi dari segi kompleksiti dan melimpahnya bahan sejarah berkaitan zaman itu. Oleh kerana penulis Ming lebih berminat terhadap sejarah mereka sendiri, mungkin terdapat lebih banyak bahan berkenaan sejarah Ming berbanding mana-mana zaman Cina yang lampau, kecuali di kemudian abad ke sembilan belas dan awal dua puluh. Tetapi disebabkan penyiasatan sastera abad ke lapan belas, kebanyakan buku yang berurusan dengan sejarah Ming ditulis semasa zaman Ming dan awal Qing telah dimusnahkan, dan banyak hasil kerja lain yang dapat melepaskan diri dari kemusnahan wujud hari ini dalam satu atau sedikit naskah. Oleh itu seorang sarjana yang teliti boleh hilang semangat daripada mengkaji satu zaman tertentu atau menangani sesuatu masalah jika dia tahu ada terdapat bahan penting tentang subjeknya yang wujud tetapi tidak boleh dicapai olehnya....




Untuk perenggan terakhir ini saya terjemahkan setakat sampai barisan merah terakhir ya. Di sini dikatakan sarjana boleh hilang minat untuk mengkaji akibat terlalu banyak bahan! Pelik kedengaran bunyinya tetapi terlalu banyak bahan boleh menyebabkan sesuatu itu menjadi lebih kompleks dan rumit. Namun disebabkan usaha siasat abad ke 18 yang bertindak ganas terhadap para sarjana yang simpati terhadap Dinasti Ming, banyak buku YANG DITULIS TENTANG ZAMAN MING PADA ZAMAN MING dan awal Qing (berbanding buku yang ditulis 300 tahun kemudian yang isinya mungkin tersasar jauh daripada kebenaran) telah dimusnahkan. Mana yang selamat pula tinggal satu atau sedikit sahaja naskah yang entah disimpan di mana, disembunyikan di mana (untuk apa? untuk menutup kebenaran yang saya percaya boleh menunjukkan KEISLAMAN DINASTI MING). Ini boleh menyebabkan sarjana yang teliti hilang minat kerana bahan (walaupun asalnya begitu banyak) tidak dapat diperolehi (kerana hilang atau disorokkan).

Dua ayat terakhir perenggan menyebut halangan-halangan ini sedikit demi sedikit dapat diatasi. Namun setelah 300 tahun atau lebih sejarah sebenar digelapkan, buku-buku dimusnahkan, setakat mana rekod yang diperolehi sekarang cukup lengkap untuk menerangkan realiti sejarah dan keadaan sebenar? Jawab saya, sebanyak mana pun rekod diperolehi dan dikaji kembali sehingga dapat dijadikan dua jilid buku bersaiz hampir kertas A4 yang bila digabungkan menjadi setebal 6 inci atau lebih, belum tentu ia dapat menjawab segala persoalan. Masih ada perkara yang digelapkan atau diputar-belit langsung untuk menutup kebenaran apalagi dalam keadaan akhir zaman di mana cahaya syumul Islam semakin galak cuba dihilangkan...

Dalam keadaan ini saya dengan penuh yakin menyatakan -Sesungguhnya REKOD DINASTI MING TIDAK BOLEH MENAFIKAN KEWUJUDAN HANG TUAH, penafian yang dibuat untuk menjatuhkan kepentingan kerajaan-kerajaan lama kita terutama Melaka dalam rangka kerja untuk melemahkan jatidiri orang Melayu. Ia adalah penafian yang kalau berjaya ditegakkan benang basahnya akan menyebabkan kurikulum sejarah wajib lulus untuk SPM bermula 2013 ditulis oleh tangan-tangan jahat yang galak mahu menafikan keunggulan Islam dan hak kita orang Melayu terhadap tanah tumpah darah kita ini. Cukup.


p/s: Hari Sabtu 4 Februari saya pergi lagi ke ekspo lalu singgah ke tempat buku tentang Ming ini. Baru saya tahu harganya adalah RM450! Boleh dapat diskaun 20% menjadi RM360. Tengahari Ahad 5 Februari pula saya menyunting dan memperbaiki sedikit artikel ini. Harap maklum. :]





La Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis

Cerita Bugis lagi. Bersambung dari Kota-kota Bugis di Kuala Linggi dan Lukut.



Semalam Jumaat pagi saya pergi lagi ke PWTC untuk menghadiri persidangan buku antarabangsa yang diadakan bersama Ekspo Buku 1 Malaysia.



Asalnya saya cuma mahu berlegar di sekitar kawasan rumah di Bandar Tasik Puteri. Tetapi apabila datang pada hari pertama persidangan dan ekspo Rabu 1 Februari saya tertinggal kamera lalu tidak dapat merakamkan beberapa perkara...



Perkara pertama, sebaik sahaja meletakkan kereta di Hentian Putra, sebelah PWTC saya mendapati meter bawah menunjukkan nombor 333.3 (km). Seolah ada kesinambungan 'restu' daripada Ilahi kerana artikel terakhir ditulis di blogspot ketika itu bertajuk Kembara Johor-Riau - 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat empayar. Kemudian apabila masuk ke dewan untuk persidangan saya dapati satu suasana kontras yang agak menarik - pembentangan tajuk melibatkan kedaulatan orang Melayu melalu etnik atau suku Bugis sedangkan dewan begitu terserlah merahnya kerana masih ada 'tinggalan' dari sambutan Tahun Baru Cina 2 minggu lepas.



Tapi itu cerita Rabu di mana saya datang semata-mata untuk mendengar pembentangan bertajuk "Pengaruh naskah La Galigo dalam pembentukan jatidiri orang Bugis menuju minda kelas pertama" oleh Profesor Dr. Nurhayati Rahman dari Fakulti Sastera, Universiti Hassanuddin di Makassar, Sulawesi Selatan. Untuk pengetahuan La Galigo adalah sebuah epik sastera Bugis yang dipercayai menceritakan ketamadunan Bugis abad ke 7 hingga ke 13/14 Masihi. Ditulis dalam aksara tempatan yang dipanggil Lontara, ia telah diiktiraf dunia sebagai teks sastera terbesar dan terpanjang kerana mengandungi tidak kurang 300,000 bait cerita. Sedangkan kitab yang diakui terbesar dan terpanjang sebelum itu, Mahabaratha daripada India Purba mengandungi 150,000.



La Galigo menceritakan keberadaan beberapa kerajaan awal Bugis serta tokoh-tokoh mitos seperti La Sawerigading yang jatuh cinta kepada adik kembarnya yang lama terpisah lalu disuruh mencari jodoh serupa jauh di perantauan. Dari segi isi ia turut mengatasi Ramayana yang seperti Mahabaratha sangat terkenal mewakili pemikiran Hindu awal, ceritanya yang mengandungi pelbagai mesej kemanusiaan boleh menenggelamkan kisah percintaan hebat Rama dan Sita dalam Ramayana. Turut dikalahkan adalah Iliad oleh pujangga besar Yunani (bukan Yunan China tetapi Greece ya) bernama Homer. Itupun menurut Dr Nurhayati, ada sarjana menyebut La Galigo yang berjaya ditemui setakat ini cuma 1/3 sahaja daripada keseluruhan karya yang mungkin telah hilang atau berteraburan entah di mana.

Barat begitu menghargai La Galigo sebagai epik besar sehingga mereka rupa-rupanya telah mementaskan adaptasi teater ke serata dunia sejak tahun 2004 lagi. Klik sini. Bagi masyarakat Bugis pula ceritanya mengandungi nilai-nilai murni yang boleh diangkat sebagai contoh untuk menjadi manusia unggul apalagi dalam perantauan. Klik sini. Maka itu Dr Nurhayati mengaitkan pengaruh La Galigo dalam pembentukan jatidiri orang Bugis menuju apa yang dipanggil minda kelas pertama.



Petang selepas habis pembentangan Dr Nurhayati memberitahu bahawa satu naskah La Galigo yang dibawa dari Sulawesi akan dipamerkan esoknya Khamis. Tetapi saya ada hal lain lalu tidak dapat datang. Maka itu semalam pagi Jumaat saya muncul dengan anggapan ia akan terus dipamerkan hingga ekspo tamat hari Isnin. Rupa-rupanya saya tersilap. Akibat kekangan ruang ia cuma dapat dipamerkan Khamis itu sahaja...



Namun kedatangan saya ke PWTC tetap langkah kanan. Saya masuk ke dewan dengan niat sekadar mahu mengisi masa sebelum melihat buku-buku di ekspo... kerana tajuk kertas pagi itu "Dari karya menjadi kaya" oleh motivator terkenal Dr H.M. Tuah Iskandar Al-Haj bukanlah minat saya, "not my cup of tea" kata orang Inggeris. Rupa-rupanya ada pembentang dari Sulawesi Selatan menyambung cerita tentang La Galigo sedangkan ini tidak ada dalam program asal. Ia diikuti pembentangan rakan setempat tentang senibina rumah masyarakat sana.

Oh, biar diberitahu orang Sulawesi terbahagi kepada 4 suku besar - Bugis, Makassar, Toraja dan Mandar. Bugis dan Makassar hampir serupa budaya dan bahasanya sehingga kita yang tidak mengetahui hakikat sebenar sering menyerkap jarang kedua-duanya sebagai Bugis belaka. Maka itu apabila merujuk tentang diri mereka kepada orang luar, dua suku kaum ini menggunakan terma Bugis-Makassar untuk meliputi keduanya. Namun mereka tidaklah marah jika kita memanggil semua sebagai Bugis sahaja.

Apapun jika hari Rabu saya mengambil peluang untuk bertanya sedikit sebanyak tentang La Galigo, siang tadi pula (kerana pembentangan berlanjutan sehingga ke tengahari) saya tergerak untuk bertanya tentang apa itu Daeng. Bagi kita di Malaysia, Daeng dianggap merujuk kepada keturunan bangsawan terutama raja-raja Bugis. Tetapi tahun lepas saya diberitahu bahawa di Sulawesi Selatan sendiri Daeng digunakan untuk merujuk kepada orang kebanyakan.

Saya teringat bagaimana di Aceh gelaran Teungku diberi kepada mana-mana pemuka agama tanpa mengira asal-usul keturunan. Sedangkan di Malaysia gelaran berbunyi sama iaitu Tengku khusus untuk keturunan raja. Atas perbezaan yang tidak diketahui ramai ini kita boleh tertipu. Datang seorang hamba Allah menyebut dirinya Tengku lalu kita menyangkakan dia tentu kerabat diraja. Sedangkan dia cuma Teungku umum yang memakai gelaran mengikut cara Aceh.

Apabila terdengar sahaja nama Daeng pula, orang Malaysia cenderung untuk mengaitkannya dengan Daeng Lima Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi. Mereka adalah anak-anak raja Bugis yang banyak mencorakkan suasana sosio-politik kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu sejak abad ke 18 Masihi sehingga ada di antara mereka dan anak cucu menjadi raja-raja, antaranya kerabat Sultan Selangor hingga sekarang. Bagi kebanyakan orang, nama Daeng adalah lambang kebesaran keturunan Bugis dan setiap yang bernama Daeng itu harus dapat dihubungkan nasabnya dengan salah satu Daeng Lima Bersaudara yang dikira sebagai raja-raja tertinggi dari Tanah Bugis. Kemudian baru saya tahu Lima Daeng Bersaudara yang sering disebut sebagai adik-beradik belaka, anak-anak kepada Daeng Rilaga ibni La Madusalat itu sebenarnya bukanlah adik-beradik dalam erti kata sebenar. Mereka memang bersaudara tetapi sepupu atau dua pupu, beripai duai.

Saya ditunjukkan salasilah sebesar permaidani yang boleh memenuhi suku ruang tamu rumah sederhana besar. Dalamnya disenarai dan diaturkan hubungkait nama raja-raja dan bangsawan Bugis-Makassar dari zaman awal yang diceritakan dalam kitab La Galigo membawa ke zaman sekarang. Baru saya faham struktur kebangsawanan yang ada raja atasan, raja bawahan dan bangsawan-bangsawan lain. Baru saya tahu kerajaan Luwuk yang disebut sebagai asal-usul Lima Daeng Bersaudara itu sudah jadi kerajaan kecil apabila Lima Daeng Bersaudara muncul...jajahan-jajahan takluknya ditelan kerajaan-kerajaan Bugis lain seperti Bone dan Wajo.

Dalam rangka kerja yang lebih besar Daeng Lima Bersaudara bertaraf bangsawan menengah kerana ada bangsawan dan raja-raja yang lebih tinggi kedudukannya. Kalau di dalam kerajaan-kerajaan suku Bugis seperti Bone, Soppeng dan Wajo mereka dipanggil Arung, kalau di kerajaan Makassar seperti Gowa dan Tallo pula dipanggil Karaeng. Daeng Lima Bersaudara dikatakan bergelar Opu iatu warisan gelaran diraja daripada Luwu sedangkan kerajaan itu tidak segah dulu ketika itu. Cuma namanya tetap dipandang tinggi sebagai kerajaan awal Sulawesi Selatan yang turut mencakupi tengah pulau hingga ke tenggara. Dan memang semua bangsawan baik belah Bugis mahupun Makassar boleh ditelusuri leluhurnya sampai ke Luwu.

Yang menjadi masalah adalah apabila orang memberitahu di Tanah Bugis sendiri panggilan Daeng boleh digunakan untuk sesiapa sahaja sehingga tidak menunjukkan taraf kebangsawanan langsung. Namun saya dapati ada individu yang ternyata memang raja besar dalam sejarah memakai gelaran Daeng. Misalnya Arung Palakka yang pernah menjadi raja terbesar Bone memakai nama La Tenritata Arung Palakka Daeng Serang. Raja besar Gowa yang dikatakan pertama kali memeluk Islam adalah Sultan Alauddin Daeng Manrabia. Jadi bagaimanakan sebenarnya kedudukan Daeng di kacamata orang Bugis dan Makassar?



Alhamdulillah semalam sebelum solat Jumaat saya mendapat jawaban. Awalnya tidak ada gelaran Daeng di Sulawesi Selatan kata seorang pembentang dari sana. Yang ada gelaran La untuk lelaki dan We untuk perempuan seperti diceritakan dalam La Galigo. Umumnya mana-mana lelaki boleh dipanggil La, mana-mana perempuan We. Tetapi La Galigo sendiri menceritakan tentang perjalanan dan asal-usul bangsawan. Maka jadilah dua itu panggilan bangsawan.

Kemudian muncul panggilan Daeng yang dia pun tak pasti bila bermula. Boleh diperkirakan ini muncul abad ke 16 atau 17 Masihi di mana Daeng memang merujuk kepada golongan bangsawan yang dihormati sahaja. Masuk zaman moden pula Daeng merujuk pada mana-mana orang yang lebih tua. Tetapi itu di Tanah Bugis kata pembentang. Kalau di Makassar pembawa beca malah anak kecil yang tidak diketahui asal-usul pun boleh dipanggil Daeng kerana ia tidak langsung merujuk pada pangkat baik dari segi kebangsawanan mahupun umur tetapi sekadar panggilan. Yang penting kita sendiri kenal kepada siapa ia merujuk. Maka Dr Nurhayati mengingatkan sekali lagi... untuk Lima Daeng Bersaudara, panggilannya adalah Opu Daeng yang menunjukkan taraf diraja.



Oh. Keluar dari dewan saya terserempak beberapa orang wakil dari Sulawesi Selatan sedang membelek-belek naskah La Galigo yang dibawa. Memang kalau boleh mereka mahu ia dipamerkan lebih lama jika tidak kerana kekangan ruang. Nasib baiklah saya terjumpa mereka lalu dapat mengambil gambar. Di atas ini pula adalah satu antara beberapa kepingan papirus yang menunjukkan watak-watak Mesir purba. Ia lah yang mula mengambi ruang pameran semalam.

Menariknya semasa ditunjukkan kepingan-kepingan ini beberapa pekerja yang sedang menyediakannya untuk pameran memberitahu ia papirus asal daripada beribu tahun lalu. Saya pun menjadi teruja namun pelik melihat kondisinya yang langsung tidak pudar dan menunjukkan apa-apa unsur dimakan waktu. Kata pekerja-pekerja itu, mungkin ini akibat teknologi lama tetapi berkesan yang dimiliki Mesir purba. "Kalau tak percaya baca nota yang disertakan," kata seorang daripada mereka.

Saya pun membaca nota. Rupa-rupanya ia dalam bahasa Inggeris yang kurang difahami mereka. Nota memberitahu papirus yang ada itu dibuat menurut keadaan kimia serupa dengan yang asal. Ah! Patutlah tiada kesan dimakan usia. Rupa-rupanya ia memang barang baru yang cuba meniru barang purba asal. Agaknya sama halnya dengan nama Daeng yang boleh digunakan secara umum untuk sesiapa sahaja tidak mengira kedudukan dan usia di Makassar atau untuk orang yang lebih tua di Tanah Bugis. Berapa ramaikah yang tahu menilai makna kebangsawanan yang dimiliki seorang Daeng sebenar? Oh. Ini adalah artikel ke 949 di blogspot ini.




Kota-kota Bugis di Kuala Linggi dan Lukut

Keluar lagi daripada penceritaan perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November 2011 dan perjalanan selatan 10-18 Disember yang turut membawa ke Pulau Bentan, Riau. Kita pergi ke satu perjalanan kecil yang dibuat dalam masa lebih dekat.




Dua minggu lalu selepas puas bercuti Tahun Baru Cina di kampung saya di Muar, kami anak beranak mengambil jalan tepian pantai Melaka naik ke utara lalu masuk ke tempat yang dipanggil Fort Supai di Kuala Linggi.



Kami sudah beberapa kali sampai ke sini. Yang menarik kali ini tidak ada lagi pintu pagar besi yang menghalang kereta daripada masuk ke kawasan.


Kereta boleh dibawa hingga ke tepian kuala sungai...


Inilah kuala Sungai Linggi, jalan masuk utama ke Negeri Sembilan dahulukala.




Adapun Fort Supai itu merujuk pada kota di Bukit Supai.


Ia juga dikenali sebagai Kota Kuala Linggi.



Nama Fort Supai timbul daripada perkataan Inggeris "Fort" yang bermakna kota sedangkan Supai merujuk kepada askar-askar sepoy dari India yang pernah dibawa masuk oleh Belanda.




Maklumat menyebut kota ini dibina sebagai tanda perdamaian orang Bugis dengan Belanda. Orang Bugis pernah menguasai Linggi dan kawasan ini merupakan salah satu kubu kuat mereka. Sebelum lima anak raja Bugis yang terkenal sebagai Lima Daeng Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi terlibat dengan kekuasaan dan politik Empayar Johor-Riau-Lingga mereka pernah berpusat di sini. Sejarah Linggi menyebut kehadiran mereka pernah menyebabkan Johor merasa terancam lalu cuba menyerang beberapa kali tetapi gagal.




Apabila Lima Daeng Bersaudara menolong keluarga bendahara yang menaiki takhta empayar mengalahkan Raja Kecil, satu jawatan dipanggil Yang Dipertuan Muda Riau diberi sebagai pegangan mereka turun temurun. Walaupun berpusat di Riau mereka sering berulang-alik ke Linggi. Menurut ceritanya Daeng Kemboja pernah menetap lama di Linggi apabila kedudukannya sebagai Yang Dipertuan Muda Riau ke-3 serta kekuasaan Bugis terhadap Empayar Johor-Riau-Lingga menyebabkan orang dengki. Kemudian penggantinya yang menjadi Yang Dipertuan Muda Riau ke-4, tokoh besar pemimpin dan pahlawan Bugis, Raja Haji ibni Daeng Chelak gugur ketika menyerang Belanda di Melaka 1784. Keadaan inilah yang menyebabkan beberapa kedudukan Bugis menjadi korban.



Sebetulnya saya tidak berapa tahu sejarah Linggi. Tapi kalau tak salah kota di Kuala Linggi ini diserahkan kepada Belanda setelah kekalahan Raja Haji. Beberapa tahun lepas saya diberitahu di sudut utara kota terdapat sebuah makam lama. Saya tidak tahu ia milik siapa. Diharap ada pembaca dapat memberitahu atau memberikan petunjuk.



Oh. Kota Kuala Linggi @ Kota Bukit Supai terletak di dalam negeri Melaka. Sungai Linggi merupakan sempadan semulajadi antara Melaka dan Negeri Sembilan. Seterusnya kami menyeberang sungai menghala ke Port Dickson sebelum membelok ke Lukut di mana terdapat sebuah lagi kota orang Bugis.



Saya pernah sampai 2 atau 3 kali sebelum ini. Tetapi inilah kali pertama saya mencuba jalan belakang untuk naik terus ke puncak bukit dan masuk ke kawasan kota!




Kami sampai sekitar 6.30 petang. Saya membawa kereta ke atas untuk memudahkan isteri yang hampir 9 bulan mengandungkan anak.


Kalau dari hadapan kami perlu menaiki tangga agak jauh juga.



OK. Kota Lukut dibuka oleh seorang bangsawan Bugis daripada Riau yang bernama Raja Jumaat ibni Raja Jaafar.



Ayahandanya Raja Jaafar adalah anakanda kepada Yang Dipertuan Muda Riau ke-5 iaitu Raja Ali ibni Daeng Kemboja. Nah. Kan dah ada hubungan dengan kota di Kuala Linggi? Kerana Raja Jumaat yang membuka Kota Lukut adalah cicit kepada Daeng Kemboja yang pernah bersemayam di Linggi.



Namun kami naik ke atas dua minggu lepas kerana saya mahu mencari makam seorang kerabat diraja Bugis yang lebih awal.



Beliau adalah Raja Busu Hassan ibni Raja Nala ibni Sultan Salehuddin (Sultan pertama Selangor) ibni Daeng Chelak, orang yang katanya membuka perusahaan perlombongan bijih timah di Lukut.



Adapun Sultan Salehuddin dan Raja Haji (yang mangkat di Melaka) adalah adik beradik. Ayahanda Raja Busu Hassan iaitu Raja Nala pula adinda kepada Sultan kedua Selangor, Sultan Ibrahim ibni Sultan Salehuddin. Raja Ali yang menggantikan Raja Haji sebagai Yang Dipertuan Muda Riau adalah adik ipar Sultan Ibrahim sedangkan Raja Jumaat yang membuka Kota Lukut adalah cucu kepada Raja Ali. Maka Raja Jumaat berpangkat anak saudara kepada Raja Busu. Nak tengok lagi gambar-gambar sekitar kota lihat artikel Kota (Fort of) Lukut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Oh. Sebenarnya baru sebentar tadi saya tahu Kota Lukut dibuka oleh Raja Jumaat. Selama ini saya beranggapan ia dibuka oleh Raja Busu Hassan. Cerita menyebut Raja Busu yang menguasai perusahaan perlombongan telah mengenakan cukai begitu tinggi sehingga menyebabkan orang-orang Cina yang menjadi pelombong marah. Akibatnya Raja Busu dan keluarganya dibunuh, kediaman mereka dibakar. Saya menyangkakan ia berlaku di atas bukit. Maka fikir saya makam Raja Busu pun harus di atas juga.

Apapun saya tidak tahu dan tidak dapat memastikan di manakah makam Raja Busu. Namun tak mustahil beliau pernah duduk di atas bukit... cuma semasa itu belum didirikan kota. Difahamkan Raja Jumaat mendirikan kota kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Seterusnya kami turun ke pekan kecil Lukut untuk menziarahi makam diraja.



Kelihatan dalan gambar makam Raja Jumaat. Lihat Makam diraja (Royal tombs of) Lukut. Di luar tembok pula kelihatan sebuah makam lain yang agak terserlah. Timbul juga teka-teki. Apakah ini makam Raja Busu yang dicari? Lihat Sebuah makam terserlah di Lukut (An outstanding tomb in Lukut).



Isnin, Januari 30, 2012

Kembara Johor-Riau - 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat empayar

Dalam artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Mengenang 3 malam di Langsa, tempat pertama kali bertapak di Aceh yang dibuat hari Khamis baru ini saya ada menyebut ia seolah ada kesinambungan dengan artikel akan datang yang akan dibuat dalam tempoh beberapa hari.. kerana ada faktor 333 dalam artikel itu. Selepas Khamis, ada selang 3 hari... Jumaat, Sabtu, Ahad sebelum masuk hari ini Isnin... ada faktor 1-3-1 (Khamis untuk artikel tersebut diikuti 3 hari 'kosong' dan sekarang hari ini untuk artikel ini). Sekarang sampailah masa untuk kesinambungan tersebut. Masuk kita kembali pada giliran penceritaan perjalanan ke selatan 10-18 Disember 2011... bersambung daripada Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu...


Pada akhir artikel Kembara Johor-Riau : Melihat nasib Melayu di Geylang Serai dan Jalan Ampas sebelum berkejar ke Riau yang dibuat setelah masuk tahun baru 2012 saya ada menyebut...


Kami sampai malam setelah 3 jam perjalanan. Terus disambut seorang kenalan Facebook bernama Raja Syukri yang merupakan warga tempatan. Setelah mendapat penginapan murah beliau membawa kami ke rumah pemangku adat Riau. Rupa-rupanya ada acara menarik lagi bersejarah menunggu dan kami dijemput hadir. Sehingga rancangan untuk menginap 2 malam dipanjangkan lagi satu malam...



Apa yang ditulis itu merujuk pada malam Isnin 12 Disember. Esoknya Selasa 13 Disember, sekembalinya kami daripada berjalan melawat makam-makam di Pulau Penyengat (lihat Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat), kenalan bernama Raja Syukri itu memberi kami kad di atas. Ia adalah jemputan untuk majlis sambutan 333 tahun Riau menjadi pusat kerajaan Johor, Riau dan Pahang, dari pemangku adat yang bernama H. Huzrin Hood. Beliaulah yang memaklumkan kepada kami tentang majlis tersebut ketika bertemu malam sebelumnya. Malah Raja Syukri yang merupakan anak jati Pulau Bentan pun baru diberitahu dan dijemput.


Maka pagi Khamis 15 Disember kami pun pergi lagi ke Hulu Riau, kali ini dengan menaiki teksi.


Tetapi kami pergi ke bahagian lain daerah itu. Dalam perjalanan hari Rabu 14 Disember seperti diceritakan pada artikel Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu kami ada lalu di seberang sungai yang kelihatan.


Perhatikan bagaimana tanah merah di sekitar agak 'lain macam' warna.


Baru saya tahu kenapa. Kata Raja Syukri, kawasan ini banyak logam bauksit yang sering digunakan untuk membuat aluminium. Ini mengingatkan saya pada Teluk Ramunia di daerah Kota Tinggi, Johor. Di sana juga banyak bauksit dan sering kelihatan tanah serupa. Teringat belajar geografi di sekolah tahun 80an lalu ada disebut Teluk Ramunia sebagai tempat utama mengambil bauksit. Lebih 15 tahun kemudian baru saya sampai ke situ, tahun 2009 membawa isteri dengan anak yang baru lahir. Lihat artikel lama Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih. Ada sekali gambar tanah yang mengandungi bauksit...


Apapun kami ke sini bukan untuk mencari bauksit...


Kami datang kerana di sinilah diadakan majlis sambutan 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat kerajaan yang sering disebut dalam buku sejarah sebagai Empayar Johor-Riau-Lingga.


Disebabkan kawasan ini pernah menjadi pusat empayar besar yang mewarisi jajahan takluk keSultanan Melaka (selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511), ia memiliki banyak kesan sejarah yang bernilai. Walaupun penemuan bauksit (difahamkan baru berlaku setahun kebelakangan gitu) boleh melonjakkan ekonomi setempat harapnya janganlah sampai menghancurkan kesan-kesan sejarah yang sangat penting untuk kedaulatan orang Melayu.


Tapak bersebelahan makam Sultan Ibrahim (memerintah empayar 1677-1685) dipilih sebagai pentas. Mengikut ceritanya sultan ini memindahkan pusat pemerintahan daripada kawasan sekitar Sungai Johor di Semenanjung Tanah Melayu ke Hulu Riau yang terletak di Pulau Bentan. Ini berlaku tahun 1678, dalam rangka kerja menghadapi ancaman kerajaan Jambi. Johor dan Jambi ketika itu sedang berperang lalu sebuah kota pun didirikan berdekatan. Nanti kita lihat tinggalan kota....


Kelihatan di sini kami sedang berehat di belakang pentas. Ada sedikit masalah... alat janakuasa muda-alih atau genset (generator set) yang diperlukan untuk melancarkan acara tidak dapat dihidupkan.



Kalau ikutkan kami harus menunggu majlis berjalan sebelum boleh masuk melihat makam. Tetapi disebabkan kelewatan kerana masalah genset apa salahnya kami melihat dahulu? Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Ibrahim, Hulu Riau di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Di sekitar ini terdapat banyak lagi makam lama. Lihat Makam-makam berdekatan makam Sultan Ibrahim (Tombs nearby the tomb of Sultan Ibrahim).


Setelah beberapa lama genset dapat dihidupkan tetapi buat sementara sahaja. Nak tak nak acara harus diteruskan juga bermula dengan doa pembukaan diikuti kata-kata aluan.



Kemudian baru acara rasmi ziarah makam.


Oh. Ketika jemputan terhormat melawat makam saya sedang sibuk merakamkan melalui video full HD (High definition). Kemudian baru mengambil gambar menggunakan kamera.


Kelihatan di tengah Raja Syukri menyiram air ke makam diapit dua jemputan lain.


Giliran anak kecil kami Al-Rasyid pula menjunjung kasih.


Acara disambung kembali dengan ucapan. Siap ada syair sekali. Sayangnya pembesar suara tidak dapat digunakan kerana genset tak hidup. Sambil itu saya memikirkan betapa acara mengenang 333 tahun Hulu Riau ini membawa banyak makna dalam sejarah Melayu.


Bergambar beramai-ramai. Mereka yang pernah membaca kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu mesti tahu bagaimana Pulau Bentan pernah menjadi tempat menetap anak raja yang bernama Sang Nila Utama, sebelum baginda berpindah ke Pulau Temasek lalu menamakan ia sebagai Singapura. Sang Nila Utama yang memakai nama Seri Teri Buana kemudian digantikan anakandanya Paduka Seri Pikrama diikuti cucunya Seri Rana Wira Kerma. Cicitnya Dasia Raja kemudian menaiki takhta sebagai Paduka Seri Maharaja. Anakanda Seri Maharaja iaitu Raja Iskandar Zulkarnain seterusnya memerintah Singapura. Bagindalah yang dikenali Barat sebagai Parameswara, orang yang kemudian membuka kerajaan lama Melaka.


Saya pula mengambil peluang untuk bergambar bersama Rasyid di hadapan makam. Pada zaman kegemilangan Melaka pula Bentan terkenal sebagai tempat Laksamana Hang Tuah membesar. Namun sejak Sang Nila Utama membuka Singapura ia belum pernah menjadi pusat kerajaan dan empayar sehinggalah Sultan Ibrahim berpindah ke Hulu Riau yang terletak ke tengah Pulau Bentan. Sekarang biar ditambah, sultan ini ialah ayahanda kepada Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang ceritanya sangat terkenal di kalangan orang Melayu, sultan yang menurut ceritanya sangat zalim sehingga sanggup membelah perut seorang wanita yang sedang sarat mengandung semata-mata untuk melihat jika benar anak di dalam perut menjadi punca wanita tersebut mengidam buah nangka.

Apa yang berlaku boleh dibaca daripada banyak sumber lain. Tak perlulah dipanjangkan di sini ya. Sultan Mahmud akhirnya mangkat ditikam ketika sedang dijulang atau diangkat ke masjid. Orang yang menikamnya adalah Laksamana Megat Seri Rama, suami kepada wanita tersebut. Menariknya beliau juga dikenali sebagai Laksaman Bentan kerana dikatakan berasal dari Pulau Bentan.



Selesai acara kami naik ke puncak bukit berdekatan. Di sini terdapat tinggalan kota yang katanya dibina oleh Sultan Ibrahim. Katanya ia dipanggil Kota Tinggi, sama namanya dengan kota yang pernah diduduki anakandanya Sultan Mahmud di hulu Sungai Johor. Lihat artikel Tapak (Site of) Kota Tinggi, Riau. Terdapat juga sejumlah makam termasuk 3 yang terselah. Lihat Makam-makam terserlah di Kota Tinggi, Riau (Outstanding tombs at Kota Tinggi, Riau).


OK. Saya rasa masyarakat secara umum tidak mengenali malah tidak pernah dengar pun nama Sultan Ibrahim yang membuka Kota Tinggi sini. Saya pun baru pertama kali tahu tentang kota ini maka yakinlah saya sultan ini memang orang yang dimaksudkan sebagai Marhum Kota Tinggi, disebut dalam satu dokumen lama sejarah yang dikenali sebagai Salasilah Muar. Biar saya cuba hurai berdasarkan ingatan secara spontan ya. Kalau ada kesilapan sila beri teguran.

Salasilah Muar menyebut tentang seorang bernama Sayyid Abdullah, juga disebut Sayyid Al-Idrus yang menetap di Aceh berkahwin dengan anak Sultan Aceh lalu mendapat anak yang bernama Sayyid Zainal Abidin. Sayyid Zainal Abidin ini berkahwin dengan samada anak atau cucu kepada Bendahara Johor Tun Sri Lanang lalu anaknya pergi ke Johor berkahwin dengan seorang perempuan dari keluarga Orang Kaya Dharma yang berketurunan Bugis Champa. Dari perkahwinan ini muncul 3 orang anak, yang tua dikenali sebagai Dato' Pasir Diraya Sayyid Jaafar, yang tengah menjadi Bendahara Padang Saujana Tun Habib Abdul Majid, yang kecil Puteri Bakal diambil Marhum Kota Tinggi menjadi isterinya. Dipercayai Marhum Kota Tinggi inilah Sultan Ibrahim dan baginda pun mengurniakan negeri Muar (ketika itu ia memang negeri dan meliputi daerah Segamat) kepada Sayyid Jaafar sebagai hadiah maskahwin untuk diperintah beliau dan anak cucunya.

Dari Sayyid Jaafarlah muncul Raja-raja Temenggung yang memerintah Muar. Selepas Sultan Ibrahim mangkat, anakandanya Sultan Mahmud menaiki takhta. Sejarah di pihak Johor menyebut Sultan Mahmud mangkat ditikam tahun 1699 tanpa meninggalkan zuriat sebagai pengganti. Ketika itu Bendahara Tun Abdul Majid sudah 2 tahun meninggal dunia lalu digantikan anakandanya Bendahara Tun Abdul Jalil.


Berbincang di hadapan kota bersama orang-orang daripada jabatan kebudayaan dan pelancongan Tanjung Pinang. Adapun mengikut ceritanya disebabkan Sultan Mahmud mangkat tanpa meninggalkan zuriat, bendahara pun menaiki takhta Empayar Johor-Riau-Lingga sebagai Sultan Abdul Jalil Riayat Shah, juga dikenali sebagai Sultan Abdul Jalil IV kerana sudah ada 3 orang sultan sebelumnya memakai nama itu. Tetapi pihak lain pula berkata Sultan Mahmud ada meninggalkan anak lelaki yang kemudian dibawa lari ke wilayah Minangkabau di Sumatera. Itulah Raja Kecil yang datang ke Johor menuntut takhta lalu dapat naik sambil menurunkan Tun Abdul Jalil kembali menjadi bendahara. Seterusnya terjadi berbagai konflik yang saya tak mahu panjangkan disini. Cukuplah menyebut sebab itu muncul Daeng Lima Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi mengalahkan Raja Kecil lalu merajakan seorang anakanda Tun Abdul Jalil menjadi Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.


Sultan Sulaiman dan anak keturunannya kemudian terus bertakhta hinggalah ke zaman Singapura diambil oleh Inggeris selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memecah Empayar Johor-Riau-Lingga menjadi dua... bahagian ke utara Singapura bakal membentuk Malaysia, bahagian ke selatan bakal menjadi Indonesia. Adapun Sultan Sulaiman ini memiliki seorang abang yang menjadi bendahara. Dari keturunan abang ini muncullah bendahara-bendahara yang memegang Pahang lalu menjadi sultan hingga sekarang juga temenggung-temenggung yang memegang Johor lalu kemudian menjadi sultannya. Seorang bapa saudara Sultan Sulaiman, adik beradik pada Bendahara @ bekas Sultan Abdul Jalil pula menjadi Sultan Terengganu yang pertama. Keturunannya terus memerintah hingga kini. Di atas adalah gambar di jeti Tanjung Pinang ketika mahu mengambil feri kembali ke Johor jam 5 petang.



Baik Sultan Sulaiman dan anak cucunya mahupun kaum kerabat Sultan Terengganu, Johor dan Pahang semuanya berasal dari keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang adiknya Puteri Bakal dikahwini Sultan Ibrahim. Oleh kerana bendahara ini pernah berkhidmat dengan Sultan Ibrahim sebelum membantu Sultan Mahmud, tentunya beliau sendiri pernah meluangkan masa di Kota Tinggi Riau bukan? Kelihatan dalam gambar Pulau Penyengat yang pernah diserahkan Sultan Mahmud III, seorang anak cucu Sultan Sulaiman kepada kaum kerabat diraja Bugis. Rujuk balik artikel Kembara Johor-Riau - Dari Tanjung Pinang ke Pulau Penyengat.


Sambil kami meninggalkan Tanjung Pinang dan Pulau Bentan saya terfikir bagaimana banyak perkara yang berlaku masa lalu boleh menimbulkan konflik jika cuma dilihat daripada sudut pandang pihak tertentu sahaja. Misalnya saya difahamkan Sultan Ibrahim berjaya menangani ancaman kerajaan Jambi dengan kebijaksanaan orang kanannya Laksamana Tun Abdul Jamil. Tetapi ada pihak lain melihat dia 'melanggar' adat pula apabila pengaruhnya dan keluarga lebih besar daripada bendahara sedangkan ketika itu Tun Abdul Jamillah yang banyak berjasa untuk memastikan empayar dapat terus berdiri dengan selamat. Apabila keturunan bendahara dapat menaiki takhta selepas Sultan Mahmud mangkat dijulang, mereka yang pro bendahara memuji-mujinya sebagai langkah tepat kerana katanya bendahara itu keturunan Rasulullah SAW, memang patutlah ia menjadi raja. Tetapi pihak lain pula mengatakan keluarga bendahara berkomplot untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup mempergunakan Laksamana Bentan untuk membunuh Sultan Mahmud. Dalam keadaan itulah Raja Kecil terpaksa dilarikan daripada istana katanya... semuanya kerana perebutan kuasa.


Masuk ke zaman keturunan bendahara dapat memperkukuhkan kedudukan apabila Sultan Sulaiman mendapat pertolongan Daeng Lima Bersaudara pula ada pihak mempersoalkan kekuasaan keturunan diraja Bugis yang diberi jawatan turun-temurun Yang Dipertuan Muda Riau, berpusat di Pulau Bentan. Ia adalah jawatan kedua paling berkuasa dalam empayar tetapi secara efektifnya Yang Dipertuan sering lebih berkuasa daripada sultan. Keadaan ini meresahkan mereka yang pro bendahara. Sekali lagi ia dikatakan 'melanggar' adat.

Pada saya orang Bugis boleh berkata begini. Kalau tidak kerana pertolongan Daeng Lima Bersaudara dan kaum kerabat mereka, tidak akan dapat keturunan bendahara ini terus beraja. Malah tidak mustahil mereka akan terus terpinggir dan kedudukan mereka terus digantikan dengan orang lain. Dari segi 'melanggar' adat pula, kedudukan sebagai Yam Dipertuan sebenarnya tidak tertakluk di bawah bendahara. Ini disebabkan struktur pemerintahan telah berubah atas setia janji selepas Sultan Sulaiman dapat menaiki takhta dengan pertolongan lima daeng itu. Malah sultan yang meminta mereka menetap di Pulau Bentan kerana takut Raja Kecil datang mengancam lagi. Tapi tak pa le. Tak payah la dipanjangkan perbezaan pendapat. Sebaliknya bagi kita anak cucu yang sudah berbaur darah keturunan dari pelbagai arah menjadi Melayu yang dikenali sekarang biarlah dicari titik pertemuan dan permuafakatan pendapat sahaja. Di atas adalah gambar ketika kami sampai di jeti Stulang Laut, Johor hampir waktu Mahgrib.


Dari Stulang Laut kami terus bergegas ke Kota Tinggi, Johor. Tu dia... siang di Kota Tinggi, Riau, malam di Kota Tinggi, Johor. Terasa begitu bersemangat, moga-moga perjalanan yang dibuat ini dapat menimbulkan satu macam sambungan antara kedua-dua tempat yang pernah dipisahkan oleh Inggeris dan Belanda menjadi tempat terasing dalam negara Malaysia dan Indonesia. Semoga langkah yang kami bawa ini timbul mengambil makna yang mungkin tidak kami sedari lagi apakah kepentingannya sehinggalah sampai masa untuk Islam kembali betul-betul bermartabat bermula dari Timur. :]