Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Februari 22, 2008

Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama...

Assalamualaikum semua. Dalam keghairahan mahu menutup cerita-cerita Johor secepat yang mungkin, saya terlupa hendak menyertakan satu bab perjalanan yang dibuat pada hari terakhir di bandar Muar setelah kembali dari Segamat. Rasanya cerita ini juga penting kerana ia ada menyentuh sejarah lama Muar yang mengaitkan ia dengan satu bangsa yang kita mungkin tidak pernah mendengar lagi zaman sekarang iaitu bangsa Bugis Kembayat...

Adapun posting yang dibuat sebelum ini iaitu Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... sudah tepat apabila ia menggulung pengembaraan kembali Segamat ke Muar dengan cerita yang terkeluar selepas berjumpa dengan seorang guru yang telah bersara. Tetapi kemudiannya saya menyebut pula akan perjalanan ke Gunung Ledang (lihat A quick trip up Gunung Ledang... ) dan Tangkak (lihat Tangkak, the textile town! ) lalu cuba menggulung terus cerita-cerita pengembaraan keliling Johor sedangkan ada perjalanan di Muar yang berkait dengan kisah Bugis Kembayat yang patut dikemukakan terlebih dahulu kerana perjalanan ini dibuat sejurus sebelum melangkah ke Gunung Ledang. Ini dia...


Di atas adalah gambar persimpangan Jalan Abdul Rahman/ Jalan Junid yang terletak sekitar 100 meter daripada rumah lama saya di Muar. Kereta-kereta yang kelihatan itu mahu keluar daripada Jalan Junid menghala ke bandar...



Ini pula adalah bulatan yang membawa kepada Jalan Abdul Rahman dan Jalan Khalidi, lebih kurang 1 km selatan daripada simpang tadi. Kedua-dua gambar di atas ini diambil daripada sebuah posting yang dibuat sekitar 2 bulan lalu bertajuk Tempat jatuh lagi dikenang... . Kerana dalam perjalanan berkaitan Bugis Kembayat yang dibuat sejurus sebelum menaiki Gunung Ledang lebih sebulan lalu, saya tidak mengambil apa-apa gambar sehinggalah sudah hampir ke Parit Jawa...

Kenapa saya sertakan gambar-gambar ini? Kerana ia berkaitan nama satu watak lama di Muar yang dikenali sebagai Orang Kaya Junid dan orang ini pula membawa satu keturunan yang dikenali sebagai Raja-raja Bugis Chempa atau Bugis Kembayat... Ceritanya begini...

Adapun pada pagi sebelum menaiki Gunung Ledang iaitu pada 7 Januari 2008, adik saya mahu menghantar saya ke stesyen bas... Dalam perjalanan itu tiba-tiba saya mendapat rasa yang kuat untuk berjalan masuk ke Jalan Khalidi (pada arah jam 12 dalam gambar atas) lalu bertemu dengan Jalan Junid.

Di simpang Jalan Junid/ Jalan Khalidi itu anda boleh masuk ke kanan menghala ke Sekolah Dumpar Tinggi lalu jalan itu membelok sebelum menegak melepasi Sekolah Rendah Perempuan Sultan Abu Bakar (SAB) lalu sampai ke simpang Jalan Abdul Rahman/ Jalan Junid yang dipaparkan dalam gambar pertama. Atau masuk ke kiri melepasi Sekolah Maahad lalu sampai jalan yang saya sudah lupa namanya tetapi boleh sampai ke stadium.

Saya memilih untuk ke kiri kerana sudah begitu lama tidak lalu jalan sebelah sana... Teringat zaman sekolah rendah lebih 25 tahun lalu menaiki van juga bas pergi/balik ke sekolah, van dan bas yang sering lalu di jalan ini untuk mengambil beberapa orang murid yang naik kenderaan yang sama. Hmm, kalau tak salah ingatan, pemandu van itu dikenali ramai sebagai Pak Man Kuyu sementara pemandu bas yang agak rock orangnya ala-ala band boy kumpulan Sweet Charity ini dikenali sebagai Mizad, rasanya dua-dua dah arwah dah...

Tapi jika dahulu, saya melalui jalan itu setakat sampai ke simpang menghala ke stadium, kali ini saya berjalan terus menghala ke selatan... Tak sangka rupa-rupanya Jalan Junid itu begitu panjang... Panjangnya mungkin sampai 10km dan selama ini saya tidak pernah lalu di sini sedangkan saya dilahirkan, membesar dan menetap di Muar daripada tahun 1970 sehingga 1987, Masyaallah... Tak sangka jua, lama selepas meninggalkan Muar, baru saya tahu siapakah dia Orang Kaya Junid yang namanya dijadikan nama jalan itu...


Semakin jauh kami berjalan Jalan Junid akhirnya menjadi semakin sempit sehingga tinggal sebesar lorong bertar di tengah kampung... Rupa-rupanya Jalan Junid ini panjangnya sampai ke Parit Jawa! Selama ini saya ingat cuma Jalan Abdul Rahman dan Jalan Temenggung Ahmad sahaja yang sampai ke Parit Jawa, masing-masing selari dengan Jalan Junid. Cuma Jalan Junid yang paling dekat ke garisan pantai menghadap Selat Melaka di sebelah barat dengan Jalan Abdul Rahman di tengah, Jalan Temenggung Ahmad sedikit ke pendalaman...

Sebelum sampai ke Parit Jawa, penghujung Jalan Junid itu membawa ke satu simpang menghala ke laut di mana kelihatan sungai (juga kualanya) di gambar atas ini...




Berdekatan sungai tadi, terdapat pula sebuah kuil Cina... Ah, saya deja vu lagi!




Ini pula pekan Parit Jawa... Kelihatan sedikit di latar-belakang gambar adalah lereng Bukit Mor, satu-satunya bukit yang terdapat di situ, boleh kelihatan nyata daripada bandar Muar terutama daripada bangunan yang sedikit tinggi.

Adapun kawasan daripada bandar Muar sehingga ke Parit Jawa ini agak landai tanpa ada sedikit pun tanah tinggi di antara. Beberapa tahun lalu, setelah mula berminat mengkaji sejarah berkaitan Melayu, baru saya tahu kawasan sepanjang 10km (mungkin lebih) dan selebar sekitar 5km ini dahulu dikenali sebagai Padang. Sekarang, orang lebih mengenali nama tempat-tempatnya yang bermula dengan perkataan Parit, contohnya Parit Khadi, Parit Jamil, Parit Bakar dan sebagainya.

Oh... Sebelum terlupa... Mungkin maklumat ini berguna kepada mereka yang berminat terutama ahli-ahli silat. Di salah satu Parit yang terdapat antara bandar Muar dengan Parit Jawa ini terdapat Makam Panglima Lidah Hitam. Adapun Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Tuanku Zahiruddin, dikatakan berasal daripada Pagar Ruyung adalah pengasas Silat Lintau.

Menurut satu cerita, panglima inilah yang membelah batu besar di puncak bukit tertinggi di Pulau Besar, Melaka, batu yang dikenali sebagai Batu Belah... Ketika orang lain menunjukkan kehandalan ilmu persilatan batin dengan membelah batu-batu besar menggunakan tangan mahu pun jari, Panglima Lidah Hitam pula membelah batu yang terbesar menggunakan lidahnya sahaja... Itulah ceritanya, entah betul entah tidak...




Ini adalah sebahagian daripada pekan kecil di kaki Bukit Mor sekitar 3km daripada pekan Parit Jawa yang jauh lebih besar. Saja je saya letak gambar ini memandangkan demam Pilihanraya ke 12 telah pun bermula walaupun saya bukanlah penyokong DAP malah penyokong apa-apa parti politik.

Mungkin kerana lambang roket itu mengingatkan saya akan angkasawan pertama Malaysia Sheikh Muszaphar (betul ke ejaan ni?...) yang telah merasa naik ke angkasa lepas dengan roket Russia yang berlepas daripada tempat pelancaran roket di Baikonur, Kazakhstan lalu dapat menginap beberapa hari di ISS (International Space Station) atau pengkalan angkasa antarabangsa hasil kerjasama beberapa buah negara... Apakah roket DAP itu sama dengan roket Russia? Atau mungkin ideologi DAP itu ada persamaan dengan ideologi komunis Russia? Hehe!




Akhirnya, inilah Bukit Mor yang memiliki sejarah uniknya yang tersendiri. Sekian lama sejak kecil, apabila melalui Parit Jawa dan terlihat bukit ini, saya sering terasa ada yang begitu istimewa tentangnya... Dari segi fizikal, mungkin ia begitu menonjol kerana kawasan sekitar jejari 10km daripada pusat bandar Muar boleh dikatakan rata belaka kecuali Bukit Treh yang terletak 5km ke timur dan bukit ini di selatan. Tetapi saya dapat merasakan ia ada menyimpan rahsianya yang tersendiri.

Kalau tak salah ingatan, kali pertama saya sampai ke Bukit Mor ini adalah sekitar 10 tahun lalu dengan menaiki motosikal besar. Tetapi cuma 3 atau 4 tahun lalu baru saya tahu betapa pentingnya ia dalam kedudukan sejarah lama Muar.

Adapun diceritakan, pada suatu zaman yang lampau paras air di Muar ini lebih tinggi sehingga garisan pantai terletak lebih jauh ke pendalaman berbanding sekarang... Satu zaman lampau di mana dikatakan telah berlaku satu cerita yang hampir serupa dengan kisah Si Tanggang yang derhaka, kisah yang menyaksikan seorang anak dagang menjadi kaya lalu lupa asal-usul di sumpah ibunya sendiri lalu kapal mewah yang dinaikinya terbalik kemudian menjadi batu...

Menurut ceritanya, kapal yang menjadi batu itulah yang muncul menjadi Bukit Treh. Ketika disumpah, kapal itu sedang berlabuh di luar pantai. Bukit Treh sendiri terletak sekitar 5km daripada pusat bandar Muar, atau 6-7km daripada Kuala Sungai Muar dan Selat Melaka. Maka bayangkanlah di manakah terletaknya garisan pantai ketika zaman yang dimaksudkan ini... Rasanya jauh sebelum kemunculan keSultanan Melaka yang dikatakan didirikan Parameswara sekitar tahun 1400 Masihi. Untuk melihat gambar-gambar Bukit Treh, sila klik Pictures in Muar 3 ...

Pada zaman yang dimaksudkan, Bukit Mor dikatakan adalah sebuah pulau. Lalu ada cerita legenda menyebut pada zaman itu telah datang satu rombongan raja atau anak raja yang membawa diri daripada kerajaan Kembayat Negara (katanya di belah Indo China) lalu membuka negeri baru di Bukit Mor!

Yang lebih menarik, mereka dikenali sebagai orang-orang Bugis Kembayat... Ait... Camana ni? Setahu saya, orang Bugis itu berasal daripada Pulau Sulawesi di timur Pulau Borneo sedangkan Kembayat pula di Indo China, jauh ke utara menghampiri China! Lebih menarik lagi, kalau tak salah ingatan, saya pertama kali mendengar nama Bugis Kembayat ketika membaca Hikayat Malim Deman. Haah... Confirm daripada Hikayat Malim Deman. Tadi saya sempat buat google search lalu terpampanglah sebuah sajak daripada hikayat itu, sajak yang menceritakan perihal pakaian kebesaran Malim Deman...


Seluar intan di karang
Karangan Husin dan Hasan:
Tidak dapat zaman sekarang.
Nantikan angin bergilir musim:
Bajunya beledu tengkok kuning,
Kain cindai berambut kuning,
Selempang kain Bugis Kembayat:
Kerisnya jalak jantan,
Berkerawang dipangkalnya,
Dihujung: Subhanallah,
Tengkolok kumpuh pelangi,
Bukan pelangi zaman ini,
Pelangi zaman dahulu,
Tiap sudut ada hikmat,
Salah piah dalin buruh,
Sipedih, tikam tak kena,
Alimunan berhati munan,
Awang lebih, Sipalit gila,
Asyik sekampung bandung sekota,
Bukan buatan orang sini,
Buatan orang di udara,



Hmm... Baru teringat. Bekas guru yang saya temui setelah selesai perjalanan daripada Segamat ke Muar ada menyebut, kawasan rumahnya itu pernah terletak di tepian pantai pada satu zaman dahulu... Sedangkan rumahnya itu terletak sekitar 5km tenggara daripada Kuala Sungai Muar. Apabila saya bertanya, apakah ini berlaku pada zaman Malim Dewa dan Malim Deman? Dia tersenyum lalu mengangguk-anggukkan kepala. Hmm...

Saya cuba melihat Bukit Mor daripada sudut lain di sebelah barat-daya. Ternyata lereng sebelah sana dipenuhi kubur-kubur Cina... Bagaimana pula kesan peninggalan daripada zaman Malim Dewa? Apakah ia memang betul-betul wujud atau sekadar cerita hikayat belaka?

Apapun, itu mungkin berlaku pada suatu zaman yang berada di luar kefahaman kita. Maka cuba kita lihat pula cerita-cerita dalam keadaan zaman di mana tercatat peristiwa-peristiwa yang diakui sejarahwan seperti terpapar dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Sri Lanang.

Menurut Sejarah Melayu, pada zaman Sultan Mansur Shah memerintah atau sekitar (pertengahan abad ke 15 Masihi), muncul seorang anak raja daripada Kembayat dan pengikutnya membawa diri dan berlindung di Melaka atas sebab tertentu. Kalau tak salah ingatan, namanya Shah Pauli ke Pau Gelang begitu... Apapun menurut pihak lain, anak raja ini ada kena-mengena dengan keturunan diraja Bugis Kembayat yang berkerajaan di Bukit Mor.

Dalam zaman yang lebih dekat pula, memang nyata ada keturunan raja-raja Bugis Kembayat yang pernah bersemayam di Bukit Mor. Cuba lihat sedikit fakta yang saya copy and paste daripada Internet ini...

Orangkaya Junid, telah mentadbir Padang Muar selama 28 tahun dari tahun 1862 hingga 1890. Orangkaya Junid adalah berasal dari keturunan kerabat Raja Chempa Bugis iaitu Daeng Ahmad atau nama timang-timangan Wak Minah. Selepas Raja Bugis mangkat, baginda meninggalkan dua orang putera. Putera pertama Daeng Seriok (Seriwa Raja) dan putra kedua bernama Daeng Indera Perma. Nenek Orangkaya Junid bernama Tok Manis adalah anak perempuan kepada Orangkaya Ali.

Adapun inilah dia Orang Kaya Junid yang namanya diabadikan pada Jalan Junid yang disebut tadi. Salasilah beliau ialah begini... Orang Kaya Junid bin Penghulu Haji Ibrahim bin Tok Manis bin Orang Kaya Ali bin Orang Kaya Fatah bin Orang Kaya Ma'amun bin Orang Kaya Tok Nil bin Daeng Seriwa raja (katanya pernah menjadi Bendahara Melaka!) bin Daeng Ahmad @ Wak Minah, Raja Chempa Bugis di Bukit Mor, Muar.

Nampak sudah kaitan perjalanan yang dibuat melalui Jalan Junid sehingga ke penghujung lalu masuk ke Parit Jawa kemudian Bukit Mor? Apapun, tentang apa itu Bugis Kembayat, saya buka kepada para pembaca untuk mengkaji dan memberikan pendapat. Sila! :]



Dari Bukit Mor, saya dan adik saya menuju kembali ke Muar melalui jalan yang membawa ke Bakri. Lalu di sebuah estet hampir ke pekan Bakri (di Batu 6 Jalan Bakri), terlihat sebuah rumah tinggal di estet ini dan di tepi jalan bertarikh 1934...


Hampir ke bandar Muar melalui Jalan Bakri, saya tergerak untuk masuk ke sebuah jalan yang menghubungkan ke Jalan Temenggung Ahmad lalu singgah berhenti di tepian jalan untuk melihat bangunan sekolah lama saya...

Adapun bangunan-bangunan ini dahulu menempatkan 2 buah sekolah rendah iaitu Sekolah Ismail 1 dan Sekolah Ismail 2... Dua buah sekolah ini bergilir waktu persekolahannya... Jika Ismail 1 sebelah pagi pada satu tahun itu, maka Ismail 2 sebelah petang. Masuk tahun depan, Ismail 1 pula petang, Ismail 2 pula pagi. Begitulah seterusnya...

Kini, bangunan-bangunan dalam gambar di atas ini adalah untuk kegunaan Sekolah Ismail 1 sepenuhnya. Sekolah Ismail 2 telah beralih ke kawasan sebelah yang dahulunya (kalau tak salah ingatan) adalah Sekolah Agama Parit Khadi...


Inilah dia Sekolah Ismail 2 sekarang. Saya setakat melihat sambil mengenangkan sedikit nostalgia lama sekolah rendah tahun 1977-1982 dahulu...

Hmm... Nak cerita ke tidak. Ah, lepaskan sahajalah apa yang terbuku...

Adapun semasa perjalanan Johor ini malah sepanjang pengembaraan dalam tempoh setahun ini, saya sering "ditemani" suara 2 orang teman wanita... Pertama adalah gadis yang dipanggil sebagai Nur dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Seorang lagi, gadis yang saya mula kenali setelah selesai perjalanan 2 bulan meliputi Pantai Timur, Selatan dan Utara pada hujung Februari tahun lepas. Gadis yang boleh dipanggil sebagai Nur kedua ini boleh diibaratkan sebagai pengganti kepada Mas, gadis kesayangan lama yang ceritanya ada saya luahkan dalam siri buku saya.

Mereka ini selalu menghubungi saya bertanyakan khabar. Ada masanya mereka mengadukan resah-gelisah masalah mereka sendiri dan saya pula terpaksa memasang telinga lalu cuba memberikan kata-kata yang boleh meredhakan keadaan... Walaupun ketika itu saya sendiri sedang menghadapi masalah dan/atau sedang sibuk mengembara. Kadang-kadang saya tersepit antara melayan mereka berdua. Masing-masing sedar akan kewujudan pihak yang lagi satu, lalu ada masanya ini menjadi punca perselisihan, ada masanya mereka boleh menerima...

Hendak dijadikan cerita, ketika saya sedang mengambil gambar sekolah lama di atas ini, Nur pertama membuat panggilan lalu mengadukan khabarnya... Tidak payah lah dipanjangkan ya, hubungan kami memang complicated disertai masalah keluarga...

Sebenarnya, Nur setakat mahu mengadu akan keadaannya ketika itu. Dalam pada itu, saya pula sedang kepenatan selain cuba concentrate pada kerja merekod pengembaraan ke lensa kamera. Dalam sedikit kekalutan antara memberi perhatian kepada orang yang tersayang dengan perhatian terhadap perjalanan yang penting untuk diri sendiri, Nur telah menceritakan satu perkara yang membuat saya marah. Sepatutnya saya tidak begitu marah tapi dalam keadaan semasa, itulah yang berlaku. Hasilnya, sampai sekarang kami tidak berhubung, sudah hampir 2 bulan tidak bertukar khabar berita.

Bukan saya tidak mahu menghubungi Nur. Sebagai insan yang sudah lebih 12 tahun dikenali dan sering berkongsi susah-senang, sudah tentu saya merindukan khabar berita daripadanya. Cuma mungkin saya tidak mahu mendengar lagi masalah sama yang belum selesai, masalah yang sering membawa saya saling berganti rasa antara simpati dan sakit hati... Mungkin juga lebih elok kami membuat hal sendiri masing-masing sehingga selesai segala masalah yang mengganggu perhubungan? Itulah kali terakhir kami bercakap, di hadapan sekolah lama saya pada hari saya ingin meninggalkan bandar Muar. Sementara kali terakhir mendapat sms daripadanya adalah ketika berada di Gunung Ledang petang itu juga...

Rasanya, selama kami saling mengenali semenjak tahun 1995, inilah paling lama kami tidak saling menghubungi... Selain selepas saya berkahwin hujung tahun 1999 di mana hubungan kami putus langsung sehingga tahun 2002, satu tahun penuh ujian yang akhirnya membawa saya berpisah dengan isteri, juga anak yang masih kecil.

Nur kedua pula muncul dalam keadaan saya amat keletihan selepas selesai mengembara 2 bulan dan hubungan saya dengan Nur pertama sedikit renggang akibat permainan pihak berkepentingan. Lalu dia banyak menyokong saya di dalam susah dan senang dan sampai satu masa pula sokongan yang diterima kedua-dua Nur boleh kata sama rata.

Kini dengan Nur pertama sudah lama tidak berhubung sedangkan saya sudah mendapat isyarat untuk merenggangkan sedikit hubungan dengan Nur kedua kerana hubungan kami juga ada halangan dan masalahnya yang tersendiri... Perlu direnggangkan bukan kerana kasih sayang berkurangan tetapi kerana itulah keadaan yang perlu ditempoh atas perjalanan hidup ini. Semoga akan terbit sesuatu yang lebih indah dan bermakna apabila sampai masanya nanti!

Selepas kali terakhir melihat anak perempuan saya minggu lepas (kini memasuki umur 6 tahun), saya telah bermalam di rumah seorang bapa saudara. Di sana, bapa saudara ini telah bertanya apakah saya pernah terfikir mahu kembali dengan bekas isteri? Saya jawab ya, kerana selalu merindui anak saya... Kalau semata-mata kerana bekas isteri, rasanya mungkin tidak... Terlalu banyak perkara yang tidak dapat kami kongsi lalu sering sahaja berbalah dan berselisih pendapat. Cuma sejak setahun kebelakanganlah saya terasa sejuk hati sikit... Sejak 2-3 bulan kebelakangan pula, anak yang jarang saya temui menunjukkan kemesraan yang sering membuat saya terasa cair, gembira yang amat sangat bercampur menangis dalam hati... Disebabkan anaklah hati ini terfikir untuk kembali dengan isteri. Tetapi bagaimana pula dengan teman lain yang rasanya lebih senang berkongsi rasa suka-duka dengan saya?

Ibu saudara saya pula geleng kepala kerana dia tahu tentang perhubungan saya dengan wanita-wanita lain... Bagaimana ini? Mana satu, dengan Nur pertama, Nur kedua atau kembali dengan bekas isteri? Atau akan ada orang lain nanti? Allah, saya pun tak mampu menjawabnya... Mungkin kelihatan seperti saya ini tamak dan ramai pacar. Saya cuma boleh memberitahu, ini kira jauh lebih baik daripada dahulu di mana saya memang seorang kaki perempuan. Kini saya cuma ada 3 orang mereka ini dalam hati ini. Dan tidak seperti dahulu di mana saya memiliki ramai teman wanita kerana sukakan perhatian dan dikagumi ramai, sekarang saya memang benar-benar sayangkan mereka...

Sekarang apa yang saya mampu buat adalah melaksanakan kerja-kerja yang saya telah digerakkan untuk melaksanakannya satu demi satu. Teringat semasa perjalanan keliling Johor, saya ada terfikir bila dan bagaimana hendak mendapatkan wang bayaran buku yang telah saya bekalkan kepada beberapa buah kedai buku. Terus terang cakap, saya cukup lemah dalam bab menuntut bayaran... Sedangkan segala hal berkaitan pembuatan buku, penulisan sehingga ke penerbitan, pemasaran dan pengiklanan pun dah cukup penat dibuat seorang diri, ini nak minta lagi duit bayaran yang selalunya liat untuk didapatkan. Nasib baik selama ini Nur kedua banyak juga menolong dalam hal buku...

Tetapi dengan kuasa Allah, selesai perjalanan Johor dan sekitar seminggu kemudian diikuti perjalanan ke Kedah seterusnya Perak yang telah selesai lebih 2 minggu lalu, tiba-tiba sahaja perkara ini jadi senang. Tanpa dirancang, saya telah singgah di kedai-kedai berkenaan dan tanpa dipinta mereka sedia terus membuat bayaran yang tertunggak.

Rasanya begitu juga soal jodoh dan rumah-tangga saya yang akan datang. Jangan pecah kepala sangat memikirkan apakah yang akan terjadi, bagaimanakah penyelesaiannya nanti. Selama ini saya telah mengembara jauh menghadapi pelbagai cabaran seorang diri atas sifat tawakal yang kental serta kepercayaan akan Qada' dan Qadar dan perancangan Allah, maka itu saya harus percaya Dia juga telah menyediakan apa yang patut dalam soal jodoh dan hal-hal berkaitan.

Sekarang tumpukan pada gerakan di hadapan mata... Menulis dan meluahkan perkara ini di blogspot juga termasuk antara gerakan di hadapan mata. Selepas ini, saya harus mengembara ke Pantai Timur lalu menutup terus siri pengembaraan yang mesti dibuat setelah selesai menyajikan trilogi siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Kemudian terserahlah pada Allah untuk mengatur segalanya...

Untuk Nur pertama, Nur kedua malah bekas isteri juga, kalau terbaca luahan kata-kata ini maka meminjam cara cakap penyanyi Indon, saksikanlah: "Aku sayang kamu!"... Sesungguhnya tiada niat lagi hati ini untuk mengundang sesiapa lagi dalam hidup ini kecuali kamu bertiga... Sekian... Eh, tidak...


Hampir terlupa. Sebelum membuat perjalanan melalui Jalan Junid ke Parit Jawa seterusnya ke Bukit Mor tadi, saya telah pergi naik ke atas bangunan Umno Pagoh yang pernah menjadi bangunan tertinggi di Muar, kini nombor dua. Mari lihat sedikit gambar-gambar Muar yang diambil daripada atasnya... Sila klik Views from on top of Muar town...

Selesai semua ini, barulah saya ke Gunung Ledang dan Tangkak seperti yang terpapar dalam cerita-cerita A quick trip up Gunung Ledang... dan Tangkak, the textile town! . Maka itu setelah siap cerita ini berserta cerita tentang perjalan ke Gunung Ledang dan Tangkak, barulah cerita-cerita Johor ini lengkap lalu boleh digulung dengan beberapa perenggan akhir seperti yang sedia terpapar dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... .

OK... Insyaallah bila ada kelapangan dalam masa terdekat, saya akan menceritakan pula apa yang berlaku setelah meninggalkan Tangkak... Masuk Melaka kemudian melalui pekan Lubuk Cina seterusnya Linggi ke Negeri Sembilan untuk melihat sebuah makam dan batu-batu hidup di Pengkalan Kempas sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Kemudian barulah boleh dipaparkan cerita-cerita pengembaraan ke Kedah dan Perak menurut aturan yang sepatutnya.

Dan ini mungkin dibuat selari dengan pengembaraan baru ke Pantai Timur yang bakal bermula tidak lama lagi, dalam musim kempen Pilihanaraya Malaysia ke 12 ini. Insyaallah akan saya atur kesemuanya sebaik mungkin lalu dibahagi-bahagikan untuk ketiga-tiga blogspot saya iaitu BERPETUALANG KE ACEH , SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan CATATAN SI MERAH SILU ini. Sekian! :]

p/s: Baru teringat nak bagitahu... Umum mengetahui Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn berbesan (ke berbiras? Saya pun tak pasti perkataan yang tepat)... Apapun Tun Razak beristerikan Tun Rahah, Tun Hussein dengan Tun Suhaila. Tun Rahah dan Tun Suhaila adalah anak kepada Tan Sri Mohammad Noah dan Tan Sri ini adalah cucu kepada Orang Kaya Junid yang diceritakan di sini!

Seorang lagi ahli keluarga berkenaan yang dikenali ramai ialah Tun Dr Ismail (yang namanya diabadikan pada Taman Tun di KL), cuma cabangnya lain. Jika Orang Kaya Junid adalah daripada keturunan Daeng Seriok bin Daeng Ahmad, maka Tun Dr Ismail pula daripada anak cucu Daeng Indera Perma iaitu adinda (atau kekanda? Terlupa pula... Rasanya adinda) Daeng Seriok. Itu aje...

20 ulasan:

Unknown berkata...

Fuh.. hemmm

ke3-3nya? ya ke3-3nya..
kosongnya kan ada 4 sih haha

Tanpa Nama berkata...

nur..nur..nur...

mcm ku kenal je sama NUR yg kedua..

Radzi Sapiee berkata...

Hehe! Tak tau le nak kata... Kalau ikut keadaan hidup saya sekarang yang belum habis nak berjalan mengembara merayap sana-sini, 1 pun tak mampu betul2 jaga. Tapi tak tahu le besok Tuhan dah atur camana. Insyaallah ada jalan kot, hehe! :]

syahir berkata...

akm bang m.s, bila baca artikel ini ada rasa terkejut sedikit kerana ayah ngah saya pernah kata atuk berketurunan bugis daripada yunan. mula2 bila fikir setahu saya bugis cuma ada di sulawewsi, jadi saya anggap mungkin ayanh ngah saya tersilap cakap. kemudian pada tahun yang lain dapat cerita atuk ada tanah di campa. tu pulak dah masuk kemboja. entah lah bang.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam... Agaknya kena bukak rahsia cerita kerajaan Kembayat Negara baru boleh faham ni... Abag pun tengah cari lagi, baru dapat sikit. Ia berkaitan kerajaan Islam yang orang kata dongeng cerita Syair Siti Zubaidah pada pada abang memang ada... Sempadannya sampai ke negeri China dan disebut ketika itu Yunan memang negara Islam... Malah Raja Kembayat Negara turut berkawan dengan Raja Portugal yang dikatakan Islam. Pelik juga sebab kita selalu dengar Portugis tu Kristian... Lalu kita terlupa, dahulu Portugal dan Sepanyol tu Islam, sejak zaman Tariq bin Ziad. Tapi sejak tahun 1492 yang dibanggakan Barat sebagai tahun Christopher Columbus "menemui" Amerika, Sepanyo Islam dan sekitarnya jatuh sepenuhnya ke tangan tentera Kristian... Lalu hilangnya satu bukti kegemilangan Islam yang mungkin juga menjawab dan membuka rahsia rangkaian kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu lama!

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Rasanya saudara MS kena ambil ketiga-tiganya...

keturunan lempur berkata...

saya zulkifli salah seorang cucu penghulu pagoh hj mohammad b. hj abdul hadi
1. adakah hj mohamad bersangkut paut dengan dato bendahara wan sulaiman
2. di manakan kubur wan sulaiman dan keturunannya hingga ke hj abdul hadi
3. di manakah maklumat atau buku mengenai mereka boleh diperolehi

Radzi Sapiee berkata...

Hmm... Saya sebenarnya tak tahu dan tak kenal siapa mereka tetapi hati mengatakan ada kena mengena. Itu saja...

Tanpa Nama berkata...

Jika ada kesempatan, silalah ke www.rajamenangis.blogspot , satu-satunya blog sejarah Tanah Melayu yang menarik.

Selain itu, Sdr dengan mudah juga boleh menghantar emel kepada pengelola RajaMenangis disana. Selamat mencuba dan salam aidilfitri.

Tanpa Nama berkata...

Inilah pautan yang lengkap:


www.rajamenangis.blogspot.com

www.rajamenangis.com

eM berkata...

As salam MS. Saya akui keturunan Orang kaya Junid memang dihormati hebat2 dan handal. Yang saya pasti..kebanyakkannya adalah pejuang..Alhamdulillah pernah mengenali beberapa orang dari keturunan mereka.

Tanpa Nama berkata...

Catatan yang bagus dan terima kasih. Saya baru bertemu dengan Cikgu Mohd Khamis di Parit Sakai minggu lepas untuk mengenali salasilah keluarga. Cerita Tuan ada menyentuhnya juga. - Wassalam dari cicit HjArshat bin DatokHasan (HjArshat ialah anak tunggal dari perkahwinan antara DatokHasan dengan TokManis sebelum bercerai dan TokManis kemudian berkahwinan dengan Penghulu Ibrahim)

Tanpa Nama berkata...

1.salam saudara.Pernah ke Pt Keroma Jalan Junid ke pantai?Lokasi pusara Orang Kaya Junid berada disitu.Lokasinya dikawasan dusun durian penduduk kampung.

2.Mengikut sejarah lisan,dikawasan antara Pt Keroma Laut dan Pt Sakai Laut terdapat seorang Raja yang pernah memerintah di situ.Kalau tak salah gelarannya Raja Sinai.Penduduk kampung telah menamakan parit di kawasan bekas kota tersebut dengan nama Parit Sinai.

Tanpa Nama berkata...

Salam. Mungkin ini dapat menjawab isu bugis chempa, sulawesi dsb.

Petikan dari http://psmkawasanlipis.blogspot.my/2013/05/panglima-ibrahim-penghulu-padang-baharu.html

[1] Zainal Abidin Ishak (2003), Salasilah Raja Cempa Bugis-Kembayat – Padang Muar 1459, Penerbit : Koleksi Peribadi. Raja Cempa Asal bernama Pi Ling Ling. Setelah memeluk Agama Islam, Baginda menggunakan nama Islam HABIB ABDUL RAHMAN. Habib Abdul Rahman mempunya 2 orang putera : Daeng Seriok@Shah Indera Berma, dan Daeng Wajuk@Shah Indera Purma, serta seorang puteri : Puteri Cempa. Setelah Kerajaan Cempa musnah (1450M) Daeng Seriok, Daeng Wajuk dan Puteri Cempa, serta bangsawan-bangsawan Kerajaan Cempa telah lari menyelamatkan diri ke beberapa tempat seperti Sulawesi, dan Semenanjung Tanah Melayu (Bukit Mor – Muar dan Melaka). Daeng Seriok yang bergelar Orang Kaya Bendahara Padang (1456-1477M) memerintah Bukit Mor (Padang Lama). Daeng Wajuk ke Palembang tetapi gagal memperoleh kedudukan politik, manakala Puteri Cempa menjadi isteri kedua Raja Majapahit – melahirkan seorang putera, Raden Fatah, dan kemudiannya Raden Yunos yang menjadi Raja Demak.

En.Madah berkata...

assalamualaikum,saya sedang mencari keturunan saya kemungkinan keturunan orang kaya ali bin said, jikalau ada yg mengetauhi, mohon whatapps saya 010-7026974 ,untuk saya mencari salahsilah saya, terima kasih.

pacmad berkata...

Assalamualaikum....

Maaf lari tajuk skit..sape tahu sejarah tempat parking kereta bersebelahan dgn Trader Hotel dan Bangunan Sultan Abu Bakar tu..sungai sebelah tu dgr cite name die dl Sungai Paku. Betul ke..? menurut cerita org2 lame kg sy (Kg Tanjung Gading Laut) Sg Paku tu dulu tempat pengakalan kapal pengawal laut (kalo zmn skng ni mcm polis marin kot). Tugas pengawal2 ni adalah menjaga perairan laut dari serangan lanun..dan menurut ceritanye lg salah seorg dr panglima ke ketue ke tk pasti kat situ name die Perang. (Panglima Perang kot)..salah sorg anak die namenye saleh..kuburnye kalo tk silap di Parit Karang. Anak kpd Saleh ni Muhammad (dgr cite seorg pawing & berbini 4). Kuburnye die masjid Tg Gading Darat kat area Flyover U-Turn tu..

Kalo sape2 tau psl keturunan ni blh share cite tak atau ade sape2 yg nk cube kaji sejarah diorg ni ke kan..dgr cite tk kurang hebat jugak sejarah keturunan ni..org bugis jgk dgr citenye..

Note : Kalo sape2 ade pergi masjid Tg Gading boleh tgk ade satu kubur yg besar & siap dgn bertiang batu dan bumbumg batu..tu la kubur Muhammad bin salleh.

Art berkata...

Bismillah. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad s.a.w.... Cerita diatas sedikit sebyk mmg benar tentang sejarah daeng ahmad dan daeng pabitah hasil kajian saya berkenaan keluarga. Mmg setahu saya arwah nenek sepupu dgn tun dr ismail, tun awang, dan beberapa org besar muar.

FruitCakeSpecial berkata...

Hai .. saya nak bercakap sedikit tentang bukit mor .. kerana baru2 ini ada satu pertemuan di bukit trsebut .. wsp no .. 01139368825

Ina jamal berkata...

As salam...trgerak hati ni nak tenggok gambar² lama tmpt tinggal saya...Jalan Junid.....dan terbaca pula artikel ini....saya pun baru tahu sejarah kampung saya .. terima kasih bnyk² tuan

#rumah lama saya brhadapan dgn lorong kenangan&kelab hantu
#sekolah saya..SKDM sek keb dumpar muar

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Sama2. Saya pun dah lama tak jengok artikel ini. Awal pagi ini tergerak untuk membacanya kembali disebabkan ingin membalas komen Ina Jamal.

Tak sangka saya ada meluahkan cerita mengenai 3 orang wanita dalam hidup saya ketika itu. Artikel ditulis pada bulan Februari 2008. Pada hujung tahun tersebut saya bernikah dengan salah seorang daripada 3 wanita yang disebut itu namun masih berhubung dengan seorang lagi mereka, awal tahun 2020 baru berhenti berhubung. Alhamdulillah, hidup kami suami isteri bahagia dan telah dikurniakan 2 orang anak laki2 bersama. Cukuplah itu kerana kami ada 3 orang lagi anak bersama pasangan lama masing2... :]