Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Disember 22, 2011

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Kerajaan Haru Deli Tua dan legenda Puteri Hijau

Assalamualaikum. Hari ini Khamis malam Jumaat kiranya sudah 2 minggu saya meninggalkan penceritaan siri Jejak "Berpetualang ke Aceh". Dalam artikel Diperkenalkan : Kembara Johor-Riau yang dibuat 3 hari lalu telah disebut dalam tempoh tersebut kami ada membuat perjalanan jauh baru yang mana penceritaannya akan dimulakan dalam masa terdekat. Sekarang kita teruskan siri ini...



OK. Dalam artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula ada disebut tentang Meriam Puntung yang terdapat di perkarangan Istana Maimon. Adapun cerita Meriam Puntung ini berkait dengan watak legenda lama bernama Puteri Hijau yang mana tempatnya dikatakan ada berdekatan Medan. Biar saya copy and paste bahagian berkaitan dari buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006). Dari mukasurat 174-175.


Menurut ceritanya, suatu masa dahulu di hulu Sungai Deli, terdapat sebuah kampung bernama Siberaya. Di situ lahirlah Puteri Hijau yang amat cantik bersama saudara-saudara kembarnya seekor naga dan sebuah meriam (? Jangan tanya...). Masalahnya, naga itu kuat makan. Sampai satu ketika, rakyat Siberaya tidak sanggup lagi menyediakan makanannya.
Puteri Hijau dan saudara-saudaranya pun membuat keputusan untuk berpindah ke hilir dan menetap di Deli Tua. Rakyat di situ menerima kedatangan mereka dengan baik lalu membangunkan sebuah kota yang teguh. Puteri itu meningkat dewasa dan menjadi semakin cantik. Berita kecantikannya tersebar ke merata ceruk rantau sampailah ke Aceh. Raja Aceh pun menghantar rombongan meminang tetapi pinangannya ditolak. Baginda murka lalu mengarahkan bala tenteranya menyerang Deli Tua.
Tetapi bukan senang hendak menembusi benteng pertahanan kota itu yang teguh. Orang Aceh terpaksa bermain akal dengan menembakkan ribuan wang emas ke dalam kota. Askar Deli Tua pula menjadi leka memungut wang emas lalu meninggalkan kawalan yang sepatutnya.
Kota itupun dengan mudah dikuasai tentera Aceh. Tinggallah pertahanan terakhir Deli Tua iaitu sang meriam, saudara kembar Puteri Hijau.
Demi menyelamatkan keadaan, meriam itu telah ditembakkan terus-menerus sehingga menjadi terlalu panas lalu terputus dua. Muncungnya tercampak ke kampung Sukanalu dan sisanya itulah yang tinggal lalu diabadikan di dalam bangunan seperti bangsal di halaman Istana Maimon.
Melihatkan ini, saudaranya sang naga pun menaikkan Puteri Hijau ke atas punggungnya dan menyelamatkan diri melalui sebuah terusan, memasuki Sungai Deli langsung ke Selat Melaka. Begitulah al kisahnya...



Ketika pertama kali sampai ke Medan lebih 7 tahun lalu saya tidak sempat menjejaki tempat yang menjadi lokasi penceritaan kisah legenda Puteri Hijau ini iaitu di Deli Tua. Saya tidak tahu kedudukannya di mana dan semasa itu lebih sibuk hendak mencari jalan untuk masuk ke Aceh yang sedang darurat dilanda perang antara puak pemisah dengan tentera kerajaan pusat Indonesia. Untuk perjalanan terbaru yang dibuat lebih sebulan lepas saya lebih bersedia apalagi setelah dapat melihat Meriam Puntung hari sebelumnya (dulu tak dapat langsung). Maka itu pada pagi Isnin 7 November 2011 saya membawa anak dan isteri menaiki kenderaan awam ke sana.



Deli Tua terletak ke selatan pinggir bandaraya Medan. Ia adalah sebuah pekan kecil yang pada pemerhatian saya kurang diperhatikan warga bandaraya itu kecuali mereka yang memang duduk di sekitar.



Tidak kurang 3 orang Medan yang ditanya tentang Deli Tua mengaku takut hendak menjejakkan kaki di sana. Katanya di situ banyak orang Batak yang suka mengugut dan merompak orang.



Saya tidak tahu jika sejauh mana dakwaan mereka benar. Ada yang sampai berkata orang jahat yang ada di Medan rata-rata berketurunan Batak berbanding penduduk Melayu yang lebih aman. Dan lagi orang Batak ini suka bermain ilmu hitam.

Ya... sebaik sahaja sampai di Medan melalui Lapangan Terbang Polonia Rabu 2 November saya diberitahu para pemandu teksi bahawa di Medan banyak perompak. Walaupun saya tahu ia percubaan untuk menakut-nakutkan saya dan keluarga agar terus mengambil khidmat teksi untuk bergerak ke mana-mana, saya tahu dakwaan mereka bukan jauh menyimpang dari kebenaran. Cuma saya sudah biasa berkelana seorang diri merata-rata. Insyaallah tahulah saya menjaga diri dan keluarga.


Anak kecil kami Al-Rasyid dalam masjid sini. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) As-Syakirin, Deli Tua di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sebenarnya dakwaan bahawa ada orang Batak suka mengugut ini dapat kami lihat sendiri tidak lama selepas sampai ke Deli Tua. Sebaik sahaja mendengar perbualan kami dengan seorang pemandu becak (beca bermotor) membincangkan cara dan harga untuk sampai ke tempat Puteri Hijau seorang berbangsa Batak terus datang memberi amaran agar kami tidak mengambil gambar, sambil diperhatikan seorang rakannya. Katanya kawasan Puteri Hijau adalah tempat yang keramat. Saya cuma memandang tepat pada matanya dengan cara tertentu. Saya dapat baca permainan di sebalik amaran itu.

Setelah beberapa lama dipandang begitu baru nada kasarnya menjadi lembut. Katanya dia cuma mahu mengingatkan sahaja kerana takut saya diapa-apakan... kerana kawasan Puteri Hijau terletak di pendalaman yang dikuasi orang Batak. Ah... kan itu sebenarnya ancaman tersirat? Kalau saya takut entah-entah terus dimintanya duit. Walhal beberapa hari sebelum itu kami anak beranak sudah pun menginap di kawasan kuat orang Batak iaitu di Berastagi dan Pulau Samosir di tengah Danau Toba. Kami siap pusing satu pulau lagi dengan menaiki motosikal, satu perbuatan yang orang di situ pun cuma beberapa orang sahaja pernah melakukannya. Rujuk kembali artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Cabaran pusing pulau. Cuma dalam artikel itu saya tidak menceritakan bagaimana ada berlaku satu peraduan halus secara batin apabila ada orang Batak tidak puas hati kerana saya tidak bersetuju dengan bayaran yang dipinta selepas memberikan penerangan tentang objek-objek sejarah dan budaya Batak kebanggaannya.

Hmm... terasa hendak berkongsi bahagian berkaitan dari buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal". Dari mukasurat 83-85... berkenaan menangani percubaan membuat kacau oleh orang berniat jahat yang ditemui dalam perjalanan...


Pergaulan Rasyid dengan orang-orang di Pengkalan Brandan terutama pengunjung tetap masjid agak mesra walaupun baru sahaja berkenalan. Tidak seperti di Medan di mana dia terasa was-was untuk bergaul dengan penduduk tempatan (kecuali Kak Dewi, abang Arman, adiknya Apin dan keluarga), pemuda itu terasa begitu selesa dengan mereka seolah-olah sudah lama berkenal-mesra. Mungkin kerana orang-orang ini ahli masjid? Maka mereka dengan senang hati menerima kehadiran tetamu sebangsa dan seagama dari seberang itu? Sebagai orang Islam, apalagi pengunjung tetap masjid, mereka mestilah menghormati tetamu, apalagi yang sama-sama Islam dan Melayu... Kalau ikut adat orang lama pun, harus diajak bertamu selama tiga hari. Atau mungkin juga orang di sini lebih mesra disebabkan keadaan dan gaya hidup mereka yang lebih santai? Sedangkan Medan yang pembangunannya pesat, harga barang mahal berserta suasana metropolitan mementingkan diri sendiri menyebabkan penduduknya lebih banyak memikirkan duit dan untung-rugi daripada kebajikan masyarakat...
Apapun, kalau difikirkan balik, manusia bergaya samseng yang ditemui Rasyid di Medan adalah orang jalanan yang mungkin “berpengkalan” di tempat-tempat tertentu sahaja. Cuma pemuda itu sahaja tidak tahu kawasan mana yang “panas”, kawasan manakah yang lebih selamat… Sepertimana jika seseorang itu sampai ke Kuala Lumpur dan kebetulan lalu di kawasan yang banyak kutu rayap, banyak muka gangster dan “kaki pau”, mungkin di sebahagian hentian bas Puduraya, mungkin di beberapa ceruk sekitar Central Market atau lorong-lorong sempit di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit. Jika dia kelihatan seperti orang luar, orang yang baru sampai ke kota dan tidak tahu selok-belok tempatan, kemungkinan besar orang itu akan dikacau, diacah-acah dan diuji samada timbul rasa cuak, takut ataupun tidak. Kalau agak-agak boleh “dimakan”, kemungkinan besar dia akan kena “pau”, kena bagi duit untuk menyelamatkan diri... Kalau tidak pun kena buli seperti disuruh buat ketuk-ketampi kerana orang-orang jalanan seperti ini selalunya memang kaki buli, sahaja seronok tengok orang gelabah, terpaksa menurut cakap dan titah perintah mereka.
Rasyid faham gelagat orang-orang sebegini kerana dia sendiri pernah dibuli dan digertak semasa umur belasan tahun di sekolah asrama oleh pelajar senior. Ada pula pelajar mengaku mengenali kaki pukul di luar supaya digeruni ramai. Sampai satu masa, pemuda itu juga mula bergaul dan berkawan dengan gangster dan mula lali dengan gelagat mereka.
Orang-orang jalanan selalunya cukup bangga kalau dapat jadi gangster, atau ada hubungan dengan gangster... Suka ‘diiktiraf’ sebagai kaki pukul, lebih seronok lagi jika diketahui “ngam” dengan gangster-gangster besar yang terlibat dengan jenayah berat seperti merompak, mengedar dadah malah membunuh! Maka itu ramai di antara mereka ingin tunjuk handal, tunjuk besar kepala di hadapan khalayak ramai seolah-olah dunia ini berada di dalam genggaman mereka. Gangster yang terasa ada class atau taraf, ada gaya dan citarasa pula sering tunjuk lagak di kelab-kelab malam, kemudian sahaja cari alasan untuk bergaduh tunjuk kuat pada semua orang…
Sepanjang pengalaman Rasyid merantau ke sana ke mari, pernah bertembung dengan samseng-samseng kulit putih juga kulit hitam di England yang cuba menggugut tetapi menarik diri apabila terpandang matanya mula kelihatan merah semacam, mereka yang betul-betul handal jarang menonjolkan diri kerana tidak suka membuang masa dengan perkara remeh-temeh dan tidak mahu dikenali pihak berkuasa… Selalunya orang yang betul-betul handal dalam dunia underground, dunia gelap bawah tanah lebih “pandai makan pandailah simpan.” Kalau boleh jejak tindakan mereka tidak mahu dikesan, senyap tetapi dapat mencapai matlamat... Ibarat ninja mencantas mangsa, ibarat assasin, pembunuh upahan yang tanpa disedari pihak lawan telah berjaya memasuki kawasan yang dikawal ketat, menjalankan tugas kemudian keluar tanpa dapat dihidu kehadiran.
Kebanyakan mereka yang menjalankan aktiviti tidak sihat di jalanan adalah jenis “kurang handal”... Bolehlah bersilat sedikit-sebanyak, bertinju atau “bertomoi”, tahu kick-boxing dan sebagainya, kira handallah juga pada kebanyakan orang tetapi bukan sebenar-benarnya handal. Mereka ini sering bersikap seperti lalang yang sentiasa mahu menegak, tidak faham resmi padi yang semakin tunduk semakin berisi. Lalu ramai yang suka menjadi jaguh di kawasan sendiri, dengan dikelilingi rakan-rakan “sealiran” yang sedia membantu jika apa-apa terjadi. Bila disuruh mengembara seorang diri cari pengalaman di tempat orang mulalah kecut perut mencari alasan…
Sebab itu wujud istilah gangster kampung yang lagaknya tidak ubah seperti Sarip Dol, samseng Kampung Dusun dalam cerita P. Ramlee, “Seniman Bujang Lapok”. Orang seperti ini paling pantang tengok orang luar masuk kampungnya. Mesti hendak dicuba, kalau dapat hendak dibulinya sepuas hati. Hendak tunjuk kejantananlah konon, tunjuk terror. Kawan-kawan pun boleh tumpang gelak dan dia pula terasa dirinya gah, hebat...
Semasa mula sampai di Masjid Raya Pengkalan Brandan tadi ada juga orang yang cuba menggertak Rasyid dengan menegurnya secara kasar dan biadab... Lalu bertanya kenapa pemuda itu boleh sampai ke daerah itu dengan nada memerintah, seolah-olah dia sedang bercakap dengan seorang budak hingusan dan mentah, ada hati hendak menguji keberaniannya.
Mula-mula anak Malaysia ini menjawab dengan elok kerana tidak mahu menimbulkan apa-apa ketegangan, setakat memberitahu bahawa dia cuma mengikut gerak hati lalu sampai ke Pengkalan Brandan, setelah tidak dibenarkan masuk ke Aceh pagi tadi... Tidak ada rancangan pun hendak ke tempat ini, tidak pernah terfikir pun wilayah ini wujud di mukabumi... Cuma Takdir sahaja menentukan dia boleh sampai ke sini...
Kemudian orang itu bertanya pula jika Rasyid ada membawa banyak duit, masih dengan nada biadab dan memerintah. Apabila ditanya balik kenapa, katanya kerana setahunya, orang Malaysia kaya-raya belaka. Adakah patut bertanya begini? Apa punya adat? Adat Sarip Dol agaknya.
Rasyid mula terasa marah tetapi cuba menyembunyikan keadaannya. Lalu menjawab dengan nada yang tegas tetapi terkawal. “Kalau saya banyak duit, tentu saya tidak akan sampai ke sini. Buat apa pergi ke Pengkalan Brandan? Ini bukan tempat pelancongan. Kalau saya banyak duit tentulah saya sudah pergi ke Danau Toba. Atau mana-mana tempat orang biasa pergi. Apa ada di sini sampai saya perlu menjejakkan kaki?”
Mendengarkan jawaban yang “separuh kurang ajar” ini, orang itu terus terdiam. Mata Rasyid pula merenungnya tajam, tidak berkelip langsung! Tetapi tidak pula terlalu tajam seperti mahu memukul orang. Setakat hendak menghantar “message” jangan cuba-cuba hendak membuli...
Akhirnya orang itu tidak berani bertentang mata lagi lalu kepalanya tertunduk ke bawah. Selepas itu barulah dia bercakap dengan lembut. Rasyid sedia menyambut dan mereka pun mula berbaik-baik. Pemuda ini datang bukannya hendak mencari musuh apalagi hendak mencari gaduh. Tetapi kalau orang hendak juga mencari pasal, dia tidak boleh memberi peluang. Nanti tidak habis-habis diganggu! Jangan sampai dia tidak ada pilihan… Alangkan tikus kecil yang tersepit pun akan menerkam menggigit balik walaupun pihak yang menghimpit itu sebesar gajah inikan lagi anak muda berdarah Aceh yang tahu sedikit-sebanyak ilmu berperang.



Kawasan Ratu Hijau ini memang terletak di pendalaman. Adapun pemandu becak yang merupakan seorang pemuda berdarah Jawa tetapi melanjutkan pelajaran di Medan sebelum bernikah dengan gadis tempatan (dia asalnya seorang pegawai bank yang memiliki ijazah, baru 3 bulan gitu menyara hidup dengan memandu becak selepas tempat kerjanya menghadapi masalah, selepas pegawai atasannya membawa lari sejumlah wang yang agak besar lalu dia turut menjadi sasaran siasatan polis) sendiri tidak pernah masuk ke kawasan ini. Lalu apabila dia bertanya penduduk pendalaman dan saya lihat jawaban lambat diterima saya sendiri turun ke bawah untuk menyambung...

Kepada sekumpulan orang Batak yang ditemui mengerjakan bendang, orang yang mulanya agak ragu tujuan kami masuk ke kawasan mereka saya terangkan secara elok bahawa saya ingin mencari jejak leluhur. Walaupun Puteri Hijau adalah watak kebanggaan orang Batak saya percaya baginda lebih kuat berdarah Arab. Saya tahu kerajaan lama yang disebut Deli Tua itu sebenarnya bernama Haru, sebuah kerajaan besar yang 700 tahun lalu pernah diperintah oleh Sultan Malikul Mansur cucu kepada Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai (kini sebahagian daripada Aceh). Biar diletakkan sedikit bahagian berkaitan dari buku "Membela syiar yang asal"... mukasurat 142.


Kitab Sejarah Melayu menyebut Haru pernah menjadi sebuah negeri besar yang setaraf dengan Melaka dan Pasai... Kerana cuma “raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan Raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.” Semasa itu, awal zaman kegemilangan Melaka, sekitar awal abad ke 15 Masihi, Haru merupakan sebuah kerajaan yang hebat lagi kuat dengan sempadan utaranya di Temiang, melepasi sempadan Aceh-Sumatera Utara sekarang dan sempadan selatannya beratus kilometer jauh ke Rokan, sekarang ini di dalam wilayah Riau. Tetapi kitab itu tidak menyatakan Haru setaraf dengan Melaka dan Pasai kerana keluasan wilayah dan jajahan takluknya. Sebaliknya ia mendapat penghormatan itu kerana kebesaran raja serta ketinggian daulatnya. Siapakah Raja Haru ini sehingga boleh menjadi setaraf dengan Raja Melaka dan Pasai?



Semasa menulis buku tersebut lebih 4 tahun lalu saya tidak tahu Sultan Malikul Mansur pernah memerintah Haru. Namun saya memang sedang mencari jejak sirah kehidupan baginda lalu mendapat gerak hati selain mimpi bahawa baginda pernah berkerajaan di situ... setelah dibuang dari Samudera-Pasai akibat peristiwa tertentu (Rujuk bab bertajuk "Malikul Mansur : Pewaris yang disisihkan" dalam buku "Membela syiar yang asal". Lebih setahun kemudian baru saya mendapat tahu dari satu sumber sejarah Batak bahawa memang betul Haru pernah berajakan Sultan Malikul Mansur. Apabila perkara ini disebut pada orang Batak yang mengerjakan bendang mereka menerima kehadiran kami lalu menunjukkan jalan.



Namun apabila berjalan ke hadapan lagi kami ditahan 2 orang Batak. Sekali lagi berlaku sayembara secara halus yang zahirnya disulami pertengkaran bab fakta-fakta sejarah. Kalaulah tidak ada perlindungan dari Allah tidak mustahil kami boleh dirompak. Tetapi disebabkan Allah menakdirkan saya boleh terus berdiri tanpa dihinggapi rasa lemah, takut atau hilang semangat satu titik pertemuan damai pun dapat dicapai lalu seorang Batak yang paling lantang membawa kami berjalan kaki ke tempat permandian Puteri Hijau seperti kelihatan dalam gambar-gambar di atas.



Pada mulanya kami memang dilarang mengambil gambar. Tetapi apabila sudah sampai dan suasana lebih tenang, saya meminta kebenaran sekali lagi dan larangan pun diangkat. Dapatlah kami merakamkan sedikit keadaan termasuk dengan perakam video HD (High definition). Malah saya dan anak sempat mandi manda dan minum air segar yang keluar sebelum ditunjukkan satu lagi pancuran, katanya milik panglima kepada tuan puteri.



Ini pula anak dan isteri menaiki kenderaan awam kembali ke Medan. Sempat singgah di sebuah masjid yang agak cantik sebelum menyambung kenderaan untuk ke satu lokasi lain di pinggir timur bandaraya. Lihat Masjid (Mosque of) Tarbiyah, Sitirejo III.




Lokasi ini adalah sebuah lagi masjid yang pernah menjadi tempat saya bermalam ketika di Medan lebih 7 tahun lalu. Lihat Masjid (Mosque of) Nurul Iman, Timbang Deli. Apa yang berlaku adalah selepas dihalau keluar dari Aceh (rujuk buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?") saya pergi menginap lagi ke Pengkalan Brandan. Tetapi dihalau pula oleh pihak tentera yang curiga, kerana mungkin beranggapan saya ada terlibat dengan puak pejuang pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) lalu kembali lagi ke Medan (kali ketiga dalam tempoh 2-3 minggu gitu).

Hmm... terasa hendak letak bahagian berkaitan dari buku "Sirih pulang ke gagang?". Panjang jugak... mukasurat 128-132...


Memang keadaan berubah begitu drastik hari itu. Tidak cukup dengan ‘ditendang’ keluar pihak imigresyen, sempadan Sumatera Utara-Aceh pula menyaksikan Rasyid dimarahi pihak tentera yang pernah melarangnya masuk 10 hari lalu. Nampaknya mereka masih ingat rupa-parasnya. Lalu dia diberi amaran keras jangan cuba-cuba lagi hendak masuk ke Aceh!
“Kalau tidak…” seorang askar berpangkat sarjan tidak menghabiskan ayat sebaliknya mengangkat mesingan tinggi dengan gaya mahu memukul orang. Faham-faham sahajalah, Askar-askar lain melihat sahaja...
Rasyid tidak berputus asa. Mungkin apa yang berlaku itu setakat satu setback sahaja, satu halangan sementara untuk menduga kesungguhan dan keyakinan pemuda itu terhadap Qada’ dan Qadar. Dia terus pergi ke Pengkalan Brandan, bandar kecil tempatnya berteduh ketika pertama kali dihalau daripada memasuki Aceh. Kali ini, anak Malaysia itu tidak mahu menumpang tidur mana-mana rumah kawan ataupun kenalan kerana hendak bermunajat di masjid memohon petunjuk akan gerak seterusnya.
Kebetulan di Masjid Raya Pengkalan Brandan, terdapat dua orang pengemis daripada Aceh menumpang sama. Tidak disangka, kehadiran mereka juga kehadiran pemuda itu menyebabkan satu operasi tentera akan dilancarkan! Pada malam kedua Rasyid bermunajat, dua buah trak tentera dengan lebih 20 askar bersenjata telah datang ke masjid. Dengan keras seperti menyerbu markas penjahat mereka terus mengangkut pengemis-pengemis ini serta dua tiga orang lain lalu membawa mereka pergi...
Ketika itu, Rasyid sedang minum kopi bersama kawan-kawan di warung seberang jalan. Terus dia teringat, siang tadi Pak Lurah iaitu penghulu kawasan ada memberitahu pihak tentera akan datang ke masjid untuk mencarinya. Pemuda lurus bendul ini mahu menyerahkan diri kerana tidak mahu orang lain ditangkap tetapi kawan-kawannya menahan,,,
“Jangan pergi!” kata seorang kawan sambil menarik baju anak muda yang sedang cuba bangun meninggalkan meja. “Teruk kamu nanti... Ada orang mengesyaki kamu ini orang GAM (Gerakan Aceh Merdeka)”
Kata seorang kawan lain, jika tidak disabit sebagai anggota GAM pun Rasyid boleh dituduh sebagai seorang penyokong dari luar. Ceritanya masuk ke Aceh sudah diketahui ramai... Maka pemuda ini boleh dianggap berani masuk ke wilayah darurat itu kerana ada kaitan. Selepas tentera beredar, baru dia kembali ke masjid. Tengok-tengok beg galas yang mengandungi paspot antarabangsa serta barang keperluannya pula sudah hilang!
Rasyid termenung panjang. Rasa-rasanya beg itu telah diangkut pihak tentera. Nampaknya, dia tidak ada pilihan kecuali pergi ke pejabat mereka untuk menuntut barang. Kebetulan Pak Lurah masih berada di sekitar masjid, dia pun meminta orang tua itu membawanya ke sana...
Markas tentera yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Pengkalan Brandan terletak sekitar 2km dari Masjid Raya. Pak Lurah membawa Rasyid masuk lalu memperkenalkannya. Kelihatan beg galas pemuda itu sudah digeledah... Barangan seperti paspot antarabangsa, surat dari Kedutaan Malaysia dan telefon bimbit yang telah ditutup suisnya sejak berada di Indonesia telah diatur di atas meja seorang pegawai...
Dua orang pengemis dari Aceh yang diangkut tadi sedang duduk di sebalik pintu yang terbuka di sebuah bilik bersebelahan sementara tiga orang anak muda yang turut ditahan duduk di kerusi yang disediakan. Mengelilingi mereka adalah tidak kurang daripada 10 orang askar termasuk polis tentera juga mata-mata, dua daripadanya bersenjatakan mesingan...
“Itu barangan saya pak,” Rasyid membuka kata-kata sambil menuding jari ke arah barangan miliknya. “Saya tinggalkan di masjid tadi.”
“Hmm…” pegawai yang duduk di meja, nampaknya chief interrogator yang akan menjalankan soal-siasat menganggukkan kepala. “Ke mana kamu tadi semasa kami datang ke masjid?” dia bertanya pula.
Pemuda itu menjawab tenang: “Saya ada di warung bersebelahan... Sedang minum kopi dan makan bersama kawan-kawan.”
“Kamu orang Malaysia ya?” pegawai itu menunjuk paspot di meja.
“Ya pak!” Rasyid mengaku. Tiada apa yang perlu diselindungkan...
“Buat apa kamu ke sini?”
“Saya ingin menziarahi kampung halaman nenek-moyang saya pak. Mereka berasal dari Aceh,” jawabnya jujur.
Pegawai itu memberikan isyarat supaya Rasyid mengambil tempat duduk. Pemuda itu dengan selamba memilih kerusi di sebelah orang itu… Melihat caranya yang tidak menunjukkan sebarang rasa takut, seorang askar berpangkat lance corporal menyergah dengan mesingan yang diangkat tinggi, siap dengan gaya seperti hendak memukul kepala dengan laras.
“Kenapa orang Malaysia begitu senang hendak masuk ke sini tetapi orang Indonesia mahu ke sana begitu susah?,” dia menengking. “Kenapa kamu pula boleh masuk dengan mudah sedangkan kami banyak ditanya, banyak syarat-syaratnya? Dipandang pula seperti pendatang bangsat?”
Rasyid merenung mukanya dengan mata yang sedikit ditajamkan.... Gayanya seperti hendak melawan tetapi bukan mencari gaduh. Dia dapat merasakan orang ini ada hati hendak menguji keberaniannya. Lalu dengan tutur kata tenang tetapi tegas tanpa teragak-agak dia menjawab: “Apa kena-mengenanya dengan saya? Itu polisi pemerintah bukan polisi saya!”
Lance corporal itu tidak puas hati. Mesingan tadi diletakkan kembali di sisi tetapi mukanya masih merah padam. Chief interrogator memberikan isyarat supaya askar itu berundur ke belakang kemudian melemparkan beberapa soalan kepada pemuda itu... Antaranya, sudah berapa lama di Indonesia? Masuk ikut mana? Sudah sampai ke mana? Bagaimana boleh sampai ke Pengkalan Brandan sedangkan ia bukannya sebuah destinasi pelancongan? Siapakah yang dikenali di sini? Kerja apa di Malaysia…
Rasyid menjawab dengan jujur menggunakan tutur-kata yang terkawal. Dia sedar, setiap tentera, polis dan mata-mata yang berada di bilik itu (ada lima atau enam lagi di luar) sedang menganalisa setiap gerak-gerinya.... Cuba mencari tanda-tanda percubaan menipu melalui perubahan nada, juga gerak badan atau body language. Pemuda yang memiliki banyak pengalaman mengembara ke merata ceruk rantau, pernah beberapa kali cuba disantau orang itu dapat merasakan mereka juga cuba meniliknya secara batin.... Ini adalah perkara biasa di kalangan mereka yang pernah mendalami ilmu persilatan sampai ke peringkat pengajian ilmu ghaib ataupun batin dan merupakan salah satu skil atau kebolehan utama yang dimiliki mereka yang terlibat dalam dunia mata-mata atau dunia intelligence.
Tanyalah polis SB (Special Branch) yang selalu menyamar sebagai orang biasa untuk memantau keadaan sesuatu kawasan. Mereka mungkin tidak akan mengaku berbuat perkara sebegini tetapi kita boleh melihat sendiri dengan sedikit kepekaan... Biasanya, apabila seseorang cuba menilik kita, dia akan memandang kita penuh perhatian sambil jari tangannya kelihatan seperti berzikir memetik tasbih. Mereka mungkin SB atau orang yang mengamalkan ilmu ‘scanning’ atau menilik manusia secara batin.
Orang sebegini biasanya suka memakai cincin dengan batu berbagai jenis yang dikatakan memiliki pelbagai khasiat. Selalunya mereka akan cepat-cepat memandang ke tempat lain apabila menyedari kita sudah tahu mereka sedang menilik kita... Iaitu dengan memandang tepat ke mukanya penuh yakin tanpa berkelip mata. Rasyid sudah biasa melihat orang cuba meniliki peribadinya sehingga mula terasa lucu pula melihat ia berlaku!
Ada masanya Rasyid senyum dan tertawa kecil melihat keadaan dirinya sedang disoalsiasat, sekejap oleh chief interrogator di sebelah, sekejap oleh dua tiga pegawai di hadapan. Sesekali askar-askar berpangkat rendah yang berdiri jauh sedikit ke pintu cuba menunjukkan belang. Mereka cuba menyergah dengan soalan-soalan yang disuarakan secara kasar walaupun tidak sekasar askar yang cuba menggertak awal tadi. Anak muda itu tetap tidak menunjukkan tanda-tanda takut mahupun gementar. Sebaliknya mereka pula kelihatan pelik tertanya-tanya melihat pembawakan anak muda itu. Siapakah orang ini sebenarnya? Kenapa dia begitu berani?
Setelah berterus terang tujuan utamanya berada di Pengkalan Brandan adalah untuk ke Aceh demi melawat makam Sultan Malikus Salih lalu menceritakan sedikit kaitan peribadi (mereka asyik bertanya kenapa mesti ke makam itu), askar-askar ini mula kelihatan sedikit takut. Ini kerana nama pengasas kerajaan Samudera-Pasai itu masih bergema sebagai seorang Sultan yang sangat tinggi daulat dan keramatnya dalam jiwa sesetengah rakyat Indonesia yang kebanyakkannya sangat mempercayai hal-hal kebatinan. Rasyid dapat merasakan walaupun askar-askar ini lebih ramai, kuat malah siap bersenjata pula, mereka takut tersilap pukul atau buli orang... Takut juga dengan tulah dan balasan yang boleh datang…
Pengemis dua orang yang berada di situ kurang bernasib baik... Senang-senang sahaja boleh dimaki-hamun, diherdik malah diterajang di dada! Mereka disuruh berdiri dan berjalan walaupun kedua-duanya tempang. Askar-askar ini tidak percaya mereka betul-betul cacat walaupun seorang kakinya ternyata lembik dan bengkok ke dalam, seorang lagi mungkin menghidap penyakit polio, paha dan betisnya kecil sebelah.
Kata chief interrogator, ramai orang GAM menyamar sebagai pengemis menagih wang di kota-kota luar Aceh untuk menampung perbelanjaan GAM. Ada pula menjadi cacat akibat berperang dengan tentera Indonesia...
Daripada isyarat dan mimik muka yang diberikan dua orang pengemis ini, Rasyid dapat merasakan mereka sedikit lega dengan kehadirannya. Mereka tahu pemuda ini simpati terhadap rakyat Aceh berdasarkan cerita-ceritanya kepada kawan-kawan di Masjid Raya Pengkalan Brandan. Askar bermisai tebal seperti tanduk kerbau dengan perut buncit yang sering memaki-hamun dan memukul mereka kelihatan sedikit segan untuk bertindak lebih ganas di hadapan Rasyid. Mungkin kerana dia seorang rakyat Malaysia dan ada mengaku pernah bekerja sebagai wartawan?
Pihak tentera terus cuba mengaitkan Rasyid dengan GAM. Setelah tidak berjaya mendapatkan apa-apa bentuk akuan, mereka cuba menuduhnya sebagai seorang ahli puak pemisah yang telah merampas paspot antarabangsa Malaysia daripada seorang pemilik lain pula! Kedudukannya sebagai warganegara Malaysia pun dipersoalkan lalu mereka menguji dakwaan itu dengan bertanyakan lokasi Bangunan Felda di Kuala Lumpur. Pemuda itu menjawab, Jalan Ampang. Terus seorang askar menggertak, mengatakan jawaban itu salah. Menurutnya, Bangunan Felda terletak di Jalan Tun Razak maka ini adalah ‘bukti’ Rasyid bukan orang Malaysia...
Anak kelahiran Muar, Johor itu mula naik darah. Inipun mahu dijadikan alasan untuk memerangkapnya sebagai anggota GAM? Dia pasti jawabannya tepat tetapi orang ini pula masih hendak bermain teka-teki,,,
“Mana boleh!” Rasyid memotong dengan nada keras. “Saya selalu lalu-lalang di Ampang. Bangunan Felda memang terletak di Jalan Ampang, sebelum sampai pusat membeli-belah Ampang Point.”
Askar ini cuba menegakkan benang basah.... Sempatlah bertekak dua tiga minit sambil diperhatikan askar-askar lain. Rupa-rupanya Bangunan Felda yang dimaksudkan adalah Wisma Peladang di Jalan Semarak!
Chief interrogator pula sibuk membelek sekumpulan foto muka orang yang dikenalpasti sebagai anggota GAM sambil memadankannya dengan mereka yang ditahan. Sampai pada satu foto yang rupanya agak mirip dengan salah seorang pengemis tadi,dia pun mengangguk-anggukkan kepala memberi isyarat kepada askar lain. Pengemis itu sedar dirinya sedang diteliti lalu memandang muka Rasyid ... Pemuda itu pula menganggukkan kepala, memberikan isyarat kepada pengemis yang mukanya memang telah dikenal pasti. Air mukanya berubah seketika sebelum kembali tenang seolah-olah pasrah menerima takdir yang bakal menimpa.
Dipendekkan cerita, kedua-dua pengemis ditahan sementara tiga anak muda yang turut diangkut di masjid tadi dilepaskan kerana mereka sekadar kutu rayau. Rasyid turut dilepaskan dan semua barangannya dipulangkan... Tetapi dia tidak dibenarkan tidur lagi di Masjid Raya Pengkalan Brandan atau mana-mana tempat awam di pekan itu sedangkan jam sudah melepasi 1.30 pagi. Mana sempat menumpang rumah kawan ataupun kenalan?

Oh. Bab masjid pula saya cuma bercerita sedikit sahaja dalam buku. Ketika itu saya sudah membuat keputusan mahu ke satu tempat yang dipanggil Batubara atau Batu Bahara. Dari mukasurat 178...


Pagi Khamis 22 Januari 2004 bersamaan 29 Zulkaedah 1424. Setelah menunaikan solat Subuh di masjid Pasar Lebar yang terletak 8km ke selatan Pengkalan Brandan, Rasyid menaiki van pengangkutan awam ke Medan... Sempat singgah di Kota Maksum untuk mencari Apin, anak muda sebaya yang pernah membawanya berjalan-jalan sekitar kota kedua terbesar di Indonesia itu lebih 2 minggu lalu tetapi dia pula outstation untuk melawat abangnya di Langsa, Aceh.... Pemuda ini terus ke selatan Medan. Destinasi seterusnya Batubara demi memenuhi pesanan Nenek...
Memandangkan sudah hampir Maghrib, anak Malaysia ini singgah di masjid raya berdekatan di Timbang Deli lalu menumpang tidur bilik imam muda masjid yang umurnya belum sampai 25 tahun. Ada juga beberapa cerita menarik semasa di sana... Salah satunya, perjumpaan dengan seorang pemuda tempatan dengan umur sebaya dan muka saling tak tumpah seperti almarhum adik Rasyid yang meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya penghujung 2002. Pemuda ini begitu berminat dengan dunia Tasawuf, maka banyaklah perkara yang diperbualkan lebih-lebih lagi kerana gaya dan cara percakapannya memang serupa dengan almarhum adik...
Dipendekkan cerita, selepas solat Subuh dan bersarapan pagi, pemuda itu mendapatkan bas ke Batubara, sekitar 200km ke selatan Medan. Cuma bas ini sebenarnya menghala ke Tanjung Balai 30km lagi ke selatan. Maka dia terpaksa turun di simpang tiga lalu menunggu kenderaan lain.
Setelah menaiki sebuah van sejauh 10km, baru anak muda ini sampai ke bandar yang jika dicari dalam mana-mana peta sekarang ada dipanggil sebagai Tanjung Tiram. Tidak ada lagi nama Batubara walaupun penduduk tempatan sangat berbangga dengan nama itu. Apakah nama Batubara yang dahulu terkenal dengan orang-orang gagah berani dan sarat dengan ilmu zahir dan batin, dunia dan akhirat cuba dihilangkan daripada catatan rasmi> Apakah kerana ada suatu cerita atau sejarah lama yang ingin digelapkan?


Puas mengecap nostalgia di masjid Timbang Deli kami kembali ke sekitar Masjid Raya Al-Manshun di mana terletaknya hotel penginapan kami. Oleh kerana ia sangat dekat dengan satu kawasan bernama Kota Maksum di mana saya pernah menumpang rumah seorang yang baru dikenali ketika pertama kali sampai ke Medan lebih 7 tahun lalu saya pun membawa anak dan isteri mencari rumah itu. Singgah pula di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of Al-Manar), Kota Maksum.

Agar ceritanya lebih terang biar diambil bahagian berkaitan dari buku "Mencari diri dan erti" mukasurat 169-171...


Perjalanan feri Pulau Pinang ke Belawan, pelabuhan terdekat ke Medan, Sumatera tidaklah selicin yang disangkakan. Menurut brochure yang diberi, perjalanan ini sepatutnya memakan masa tidak lebih empat jam menaiki feri jenis bot laju. Maka Rasyid sudah berkira-kira akan makan tengahari di Medan kerana ia berlepas jam 9 pagi. Sebaliknya dia sampai setelah matahari terbenam, lewat lebih 7 jam dari yang dijadualkan.
Pada mulanya, feri itu bergerak lancar meninggalkan jeti Georgetown. Tidak ada apa-apa masalah, semuanya nampak OK belaka sambil ia meluncur laju di bawah Jambatan Pulau Pinang lalu melepasi selat kecil yang memisahkan Pulau Jerejak dengan kawasan Bayan Lepas, terus membelok menghala ke barat. Tetapi apabila sampai di perairan Balik Pulau, tidak pasal-pasal pula kemudinya patah, tersangkut pukat nelayan.
Memandangkan mereka sudah hampir ke perairan lepas, pemandu feri dan anak kapal cuba meneruskan perjalanan menggunakan tayar yang diikat sebagai pelampung untuk mengimbangi arah. Dua orang anak kapal memegang sambil mengawal tali yang diikat sementara seorang lagi bertindak sebagai perantaraan untuk memberitahu pemandu di hadapan hala yang patut dituju dalam mencari perseimbangan arah.
Rupa-rupanya percubaan ini tidak berhasil. Bukan senang mengawal feri besar dengan lebih 100 orang penumpang melawan arus yang sentiasa berubah dengan kemudi yang patah. Selepas lebih dua jam berpusing-pusing di perairan Balik Pulau, mereka terpaksa berpatah balik ke jeti Georgetown. Makan tengahari yang hendak dinikmati di Medan pun bertukar menjadi sesi makan nasi bungkus atas jeti sementara menunggu feri gantian.
Apapun, tetap ada hikmah di sebalik kejadian ini. Kelewatan yang tidak dirancang telah mengenalkan Rasyid dengan Kak Dewi, seorang warga Medan yang baru selesai melancong ke Malaysia dan Singapura bersama tiga orang anak gadisnya. Lalu dengan pertolongannya, dia dapat melepasi pemeriksaan kastam dan imigresyen dengan mudah, diberi pula keizinan berada di Indonesia sehingga 60 hari tanpa banyak cerita!
Sebelum itu ramai orang memberitahu bukan mudah melepasi kastam dan imigresyen Indonesia tanpa menghulurkan “buah tangan”, apalagi mendapatkan kebenaran menetap begitu lama tanpa alamat yang hendak dituju. Pemuda itu tidak mengenali sesiapa di sana, tidak pernah sampai ke Indonesia, tidak cukup belanja untuk penginapan jika ingin berjalan lama. Walaupun dia sudah biasa tidur bersepah, boleh menumpang mana-mana masjid dan surau, apakah hendak dijawab jika kastam dan imigresyen bertanya di manakah dia akan menginap? Tentu banyak cerita nanti... Silap-silap Rasyid boleh ditahan, dipaksa pula bermalam di Belawan.
Nasib baik ada Kak Dewi. Kepadanyalah anak muda ini berterus-terang hendak ke Sumatera menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk Istana Maimon, istana kesultanan Deli yang menjadi kebanggaan penduduk Medan. Kebetulan pula wanita cantik berumur sekitar 40an ini mempunyai adik ipar yang tinggal tidak jauh dari istana. Lalu dia berjanji akan menyuruh adik iparnya membawa pemuda itu ke sana nanti.
Kalau mengikut rancangan asal, semua penumpang feri sepatutnya menaiki bas yang disediakan ke Medan, dalam 20 kilometer perjalanan. Tetapi kelewatan itu menyebabkan adik ipar Kak Dewi datang sendiri menjemput di pelabuhan untuk memastikan mereka selamat pulang. Kastam dan imigresyen pula tidak banyak bertanya apabila Kak Dewi menyebut Rasyid bersamanya. Ada pula adik iparnya, si Apin menggunakan nama seorang saudara yang bekerja sebagai pegawai kastam. Maka anak muda itupun selamat sampai ke Medan dengan selesa, dapat pula tidur nyaman di sebuah bungalow sederhana mewah di Pulau Berayan...
Memang Tuhan ingin menolong Rasyid. Keluarga Kak Dewi bukan sahaja melayannya mesra malah mahu menghulurkan pertolongan untuk memastikan rancangannya ke Aceh berjalan lancar. Suami Kak Dewi, Abang Arman memberitahu bukan senang hendak masuk ke Aceh... Kecuali rakyat Aceh yang memiliki kad pengenalan berbeza, setiap warga Indonesia yang ingin masuk ke sana pun perlu mempunyai alasan yang kukuh seperti menziarahi saudara-mara atau ada urusan rasmi dan perniagaan. Itupun perlu menyediakan bukti seperti nombor telefon orang yang ingin dihubungi, jika pihak tentera yang menjaga sempadan meminta.
“Aceh sedang diperintah tentera, sudah bertahun diisytiharkan darurat,” katanya. “Setahu saya, kalau bukan warga Indonesia amat sulit sekali hendak ke masuk sana. Perlu mendapatkan keizinan bertulis daripada pihak pemerintah di Jakarta. Lagipun keadaan sangat bahaya sekarang. Hari-hari ada orang mati kerana pertempuran demi pertempuran antara GAM dengan TNI. Baru-baru ini, ada wartawan mati kena tembak!”
Memang benar Aceh sedang bermasalah. Berita televisyen tidak henti-henti memaparkan konflik di wilayah itu termasuk laporan tentang pertempuran-pertempuran yang mengorbankan nyawa. Tetapi Rasyid tetap nekad mahu ke sana kerana pasti bumi Serambi Mekah itu menyimpan jawaban kepada beberapa persoalan yang sudah lama bermain di fikirannya. Walaupun niatnya itu nampak seperti hendak mencari maut, Abang Arman dapat memahami apabila pemuda itu mengaku dia mahu melawat kampung halaman nenek-moyangnya serta menziarahi makam-makam lama sambil cuba mencari saudara-mara dan menyambung kembali silaturrahim. Katanya, dia sendiri sudah dua tiga kali berulang-alik ke Semenanjung, mencari saudara-mara di Pulau Pinang dan Kedah.
“Ada nenek-moyang saya pernah bertapak dan beranak-pinak di sana,” kata suami Kak Dewi yang mengaku mempunyai titisan darah KeSultanan Deli, dari cabang yang menjadi Raja-raja Serdang. “Cuma saya tidak pasti di manakah keturunan yang ditinggalkannya berada sekarang. Ibu saya cuma beritahu, mereka ini keturunan Bidan Susu Lanjut.”
Bidan Susu Lanjut? Macam pernah dengar ini. Tetapi di mana ya? Lama selepas pertemuan itu, baru Rasyid teringat, orang yang disebut ini tersenarai sebagai salah seorang daripada 300 lebih pemilik makam di Semenanjung Malaysia yang diketahui memakai batu nesan Aceh menandakan hubung-kaitnya dengan bangsawan bumi Serambi Mekah.
Esoknya Rasyid mengekori Apin ke rumahnya di Kota Maksum menaiki van panjang, pengangkutan awam utama di Medan. Rupa-rupanya, rumah adik Abang Arman ini terletak 1 kilometer sahaja dari Istana Maimon.
Selepas berehat sebentar makan tengah hari di rumah menikmati masakan tempatan ibunya yang mengusahakan sebuah kedai makanan berdekatan, pemuda rugged berambut panjang dengan rupa paras seperti pelakon Apek Senario inipun memulakan ‘tugas’ sebagai tour guide. Destinasi pertama mereka, masjid lama kebanggaan keSultanan Deli, Masjid Raya Al Mansun, dalam perjalanan ke Istana Maimon.



Alhamdulillah kami dapat menemui rumahnya, dapat berjumpa ibu Apin dan seorang anak saudaranya. Kami dimaklumkan Apin sudah berkeluarga tetapi kini menetap dan bekerja di Bengkalis, abangnya Abang Arman dan isteri Kak Dewi pula menetap dan bekerja di Bandung dengan seorang anak mereka yang pernah saya temui dahulu muda remaja sudah menjadi doktor!

Oh. Dalam mukasurat 186-187 buku pertama saya ada diceritakan begini...


Dari Istana Maimon, Rasyid terus kembali ke rumah Apin untuk berehat selepas sehari-suntuk berjalan kaki merata tempat termasuk menziarahi makam diraja keSultanan Deli di sisi Masjid Raya Al Mansun. Lalu terserempak pula dengan bapa saudara Apin yang sedang duduk di rumah bersebelahan, seronok menghisap rokok di serambi rumah...
Pakcik berumur sekitar 50an ini pernah bekerja sebagai kelasi kapal. Sudah berbagai-bagai tempat dia merantau dan menetap termasuk negeri-negeri di Malaysia. Tahu berbagai adat dan beraneka ragam manusia pelbagai kaum. Maka Apin pun menceritakan rancangan perjalanan kawan yang baru dikenalinya, tentang bagaimana anak muda itu boleh terserempak dengan Kak Dewi dalam feri dan bagaimana dia beriya-iya sangat hendak ke Aceh. Mendengarkan ini, pakcik yang pandai berbahasa Melayu dengan loghat orang Malaysia itupun menggeleng-gelengkan kepala.
“Ish... Ish... Ish... Buat apa kamu hendak ke sana?” dia menegur. “Bukankah wilayah itu sedang darurat? Kamu hendak matikah, ingin sangat mencari maut? Apalah yang hendak dikejarkan sangat di Aceh?”
Rasyid terasa sedikit terkilan. Belum apa-apa lagi sudah kena ‘sembur’. Tetapi dia mengawal perasaan seraya menguntumkan senyuman...
“Tidak pakcik, saya bukannya mahu mencari maut atau hendak buat kerja sia-sia.” jawab pemuda itu jujur. “Saya cuma teringin sangat hendak melawat kampung halaman asal nenek moyang saya di sana.”
“Baik jangan pergilah!” pakcik itu menegur lagi, kasar. “Buat susah aje mahu cari jalan ke sana. Sekarang ni orang luar tidak dibenarkan langsung masuk ke Aceh. Kamu tak dengar ke cerita hari itu ada orang Amerika kena culik? Baru-baru ini ada wartawan dari Jakarta mati ditembak, keluar dalam berita. Hari-hari ada orang mati. Kamu tidak takut matikah? Baik kamu balik dahulu ke Malaysia. Atau pergi berjalan ke tempat lain seperti Danau Toba atau daerah Minang. Tunggu darurat reda baru masuk Aceh.”
Rasyid terdiam berfikir sejenak. Perlukah menurut nasihat ini setelah lebih setahun menyimpan harapan untuk ke Aceh demi mendapatkan jawaban kepada beberapa persoalan yang sudah lama menghantui jiwanya? Perlukah dia mengubah haluan dan pergi ke tempat lain lalu menyia-yiakan duit simpanannya yang terakhir hasil jualan saham yang asalnya bernilai lebih RM20,000 tetapi telah susut-nilai menjadi RM1,000? Perlukan dia duduk termangu entah di mana pula sementara menunggu bumi Serambi Mekah itu aman? Tidak. Tentu tidak...
“Tak boleh pakcik. Saya mesti pergi juga!” anak muda ini menjawab. “Sudah lama saya kempunan hendak ke sana. Kalau tidak, serupalah saya ini dah mati. Lebih elok saya terkorban dalam perjalanan daripada duduk di mana-mana tanpa cuba menjejakkan kaki ke sana. Sekurang-kurangnya saya mesti berusaha, selagi hayat di kandung badan...”
Pakcik itupun senyap melihat hamba Allah di hadapannya berdegil tidak mahu mengalah. Lama dia memandang muka anak Malaysia itu, seolah-olah cuba meniliknya pula.. Cuba menduga apakah motif sebenar anak muda itu beriya-iya sangat mahu ke Aceh, cuba membaca isihatinya melalui riak muka dan body language, bahasa tubuh-badan.
Kalau ikut perkiraan akal biasa, mana ada manusia yang sanggup melangkah masuk ke zon perang, ketika ramai orang kalau boleh hendak lari meninggalkan segala kesengsaraan. Kecuali dia memang penduduk tempatan yang terpaksa bertahan walaupun bila-bila masa sahaja boleh terkorban, terkena peluru sesat atau diserang orang... Lain daripada itu, cuma para wartawan, askar atau mata-mata sahaja yang sanggup masuk ke Aceh sekarang. Boleh percayakah anak muda ini cuma mahu menziarahi kampung halaman nenek-moyangnya? Betulkah nenek-moyangnya berasal dari Aceh atau dia cuba mereka-reka cerita untuk menutup tujuan sebenarnya?
Kemudian baru dia bertanya. “Siapa nama kamu?”
“Rasyid” jawab pemuda itu pendek.
“Huh,” dia mengeluh seperti tidak senang. “Nama pun bukan nama Nabi-Nabi. Besok kalau masuk ke sana bukan askar sahaja keroyok kamu... Silap haribulan orang Aceh pun pukul kamu juga! Entah siapa, datang dari mana... Dikatanya kamu mata-mata. Bukankah susah kamu nanti?”
Mendengarkan ini, Rasyid pun terus memberitahu. “Itu nama singkatan sahaja. Memanglah tidak ada nama Nabi... Nama penuh saya Muhammad Al Aminul Rasyid bin Muhammad Ali Wasi!”
“Muhammad?” kata pakcik itu seperti mengajuk.
“Ya! Muhammad...” anak muda itu menyahut memberi kepastian.
Dia pula terdiam seolah-olah mengira-ngira keadaan. Setelah termenung beberapa detik, pakcik itupun tersenyum lalu bersuara: “Hmm... kalau Muhammad, Insya’allah ada jalan.”
Rasyid dan Apin saling pandang-memandang pelik...
“Kalau begitu tak mengapalah. Awak cuba dahululah Encik Muhammad. Moga-moga hajat awak terkabul nanti,” pakcik itu menutup bicara.


Alhamdulillah dalam pertemuan terbaru yang berlaku lebih sebulan lalu pakcik yang dimaksudkan turut hadir (cuma tidak diletakkan gambar). Berbual panjang juga kami sambil ketawa ria. Kali ini dia tidak menyoal lagi kedatangan saya. Dia tahu saya sudah melepasi banyak ujian, halangan dan cabaran apabila berjaya masuk ke Aceh dalam perang lebih 7 tahun kemudian dapat pula muncul di rumah kakak iparnya (ibu Apin) pada hari Isnin malam Selasa 7 November 2011. Hehe. Kelakar pula apabila memikirkan pertemuan kembali yang banyak berlaku dengan pandangan penuh makna. Yakinlah dia akan kaitan saya dengan Aceh sehingga Allah melindungi dan memberikan jalan selamat walaupun penuh ranjau dan duri. Rupa-rupanya dia sendiri berasal dari satu wilayah Aceh tetapi sudah dimasukkan ke dalam wilayah lain selepas tahun 1940an. Tahulah dia saya bukan anak-anak yang bercakap kosong sebaliknya seorang pencari kepastian dan kebenaran yang memiliki wawasan dan arah perjuangan tertentu.

Untuk artikel akan datang dalam siri ini pembaca akan dibawa melihat Masjid Azizi di Tanjung Pura di mana terdapat makan raja-raja Langkat juga makam sasterawan besar Melayu berdarah raja yang bernama Tengku Amir Hamzah. Turut akan dipaparkan adalah Kampung Besilam atau Babussalam, pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah Kholidiah yang terkenal ke seantero Sumatera malah hingga ke Malaysia dan makam pengasasnya, seorang waliyullah yang dikenali sebagai Sheikh Abdul Wahah Rokan. Tunggu... :]



p/s: Setelah kembali ke Medan dari Deli Tua baru saya mendapat tahu kawasan Puteri Hijau di mana terdapat benteng pertahanan pusat kerajaannya itu sebenarnya adalah tanah milik kesultanan Deli, saya sudah lupa samada bertaraf pajak atau wakaf. Kiranya orang-orang Batak yang duduk di situ adalah orang yang menumpang, bukan pun pemilik tanah, tidak ada sebab dan hak untuk berlagak menghalang orang dari masuk ke dalam. Tapi tak mengapalah. Apabila diberitahu tentang sikap kasar orang Batak yang seperti mencabar mahu mengugut ada yang membela... "Mereka ini luarannya saja kasar tapi hatinya baik". Cuma tu le. Memang saya dapati ramai orang mereka suka menguji-uji ilmu kebatinan. Sebab itu apabila ditanya siapakah nama mereka, mereka tidak berani memberi nama sebenar, cuma sebut nama marga sahaja. Kerana dalam permainan ilmu batin ni apabila tahu nama sebenar senanglah roh seseorang itu diseru dan dikalahkan. Tapi pada kami yang tidak niat buruk ini tiada masalah. Allah tetap melindungi orang yang benar. Tak perlu sembunyikan nama...

Kepada orang-orang Batak yang terlalu membanggakan kekuatan ilmu mereka dan warisan raja-raja mereka, saya cuma tanya ini sahaja. Anda ada ramai raja kan? Lain kawasan lain raja. Dari Batak Karo ke Batak Simalungun ke Batak Toba. Pulau Samosir di Danau Toba sahaja sudah ada berapa raja yang sebenarnya pada kami cuma bertaraf penghulu sahaja. Tapi semua raja-raja anda harus tunduk pada satu raja Batak iaitu Raja Sisingamangaraja kan? Soalan seterusnya Sisingamangaraja tunduk pada raja mana? Dan raja itu pula tunduk kepada raja mana? Cukup.



Isnin, Disember 19, 2011

Diperkenalkan : Kembara Johor-Riau


Alhamdulillah, kembali kita bertemu di ruang perkongsian pengalaman dan buah fikiran ini. Sukacita dimaklumkan saya, isteri dan anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid baru sahaja kembali awal pagi tadi... dari satu pengembaraan lebih seminggu di mana saya harus lagi memandu kereta sejauh lebih 1,600 km. Pengembaraan yang dimulakan dengan bermalam di Melaka kemudian Muar ini dibuat mengelilingi negeri Johor apabila kami kemudian turun ke Batu Pahat seterusnya Pontian sebelum masuk ke Singapura melalui Tuas. Selepas menginap satu malam di negara republik pulau itu kami masuk ke Johor Bahru melalui Woodlands... kemudian berkejar ke Stulang Laut untuk mendapatkan feri ke Tanjung Pinang di Pulau Bentan, Indonesia.

Syukur alhamdulillah, di sana kami berpeluang menziarahi makam ramai watak-watak utama sejarah berkaitan. Untuk pengetahuan Pulau Bentan yang termasuk di dalam kepulauan Riau, sebahagian daripada Empayar Johor-Riau-Lingga yang merupakan warisan empayar Melaka pernah menjadi tempat Sang Nila Utama membesar sebelum membuka kerajaan Singapura, katanya sekitar 1,000 tahun lalu. Menurut sesetengah sumber seperti Hikayat Hang Tuah pula ia pernah menjadi tempat pahlawan Melayu tersohor Hang Tuah menimba ilmu dan mengenal liku-liku kehidupan sebelum berkhidmat dengan Sultan Melaka pertengahan abad ke 15 Masihi. Selepas kejatuhan kota Melaka tahun 1511 ia menjadi tempat penting Sultan-sultan Empayar Johor-Riau-Lingga berlindung dan bermastautin. Penghujung abad ke 17 dan seterusnya ia pernah dijadikan pusat pemerintahan Sultan sedangkan mulai awal abad ke 18 ia menjadi pusat pentadbiran Yang dipertuan Muda Riau, anak cucu raja-raja Bugis yang menjadi orang kedua paling berkuasa dalam empayar selepas Sultan.

Kami berpeluang menziarahi makam ramai kerabat diraja Bugis terutama nama-nama besar seperti Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Raja Haji. Kami juga dijemput menghadiri majlis memperingati 333 tahun Riau dijadikan pusat pemerintahan empayar, majlis yang diadakan di hadapan makam Sultan Ibrahim, ayahanda kepada Sultan Mahmud mangkat dijulang (yang terkenal akibat peristiwa ditikam mati oleh Laksamana Bentan atau Megat Seri Rama tahun 1699). Ah. Tentu Bentan turut terkenal akibat nama laksamana yang berasal dari pulau itu. Maka ini selepas 3 hari 3 malam di Bentan kami menyambung ziarah ke Kota Tinggi di mana terdapat makam laksamana tersebut serta makam Sultan Mahmud.

Dipendekkan cerita kami turut menjejak sejarah di sekitar Tanjung Belungkor iaitu di kuala Sungai Johor juga di Kota Tinggi, Kota Johor Lama dan Sayong Pinang yang terletak berdekatan Bandar Tenggara menghampiri bandar Kluang. Perjalanan turut membawa ke Tanjung Sedili, Mersing dan Endau sebelum memasuki Pahang lalu ke Rompin, Bandar Muadzam Shah, Bera dan Temerloh. Dengan ini diumumkan satu siri baru yang dipanggil "Kembara Johor-Riau" akan dimulakan di blogspot ini. Penceritaan akan diselang-selikan dengan siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" yang masih berjalan sekarang (cuma agak lambat dikemas-kinikan) seperti mana lebih setahun lalu siri "Petualang Al-Rasyid ke Aceh" pernah diselang-selikan dengan siri "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar". Lihat Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh dan Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula... . Tunggu... :]