Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Ogos 01, 2023

Teater "Kasa Rubiah" di MATIC - Siapakah Rubiah itu?

Pada penghujung artikel Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023 yang disiarkan semalam ada disebut bahawa saya menonton persembahan teater di Kuala Lumpur sebelum kembali ke rumah (pada hari Ahad malam Isnin 30 Julai) lalu insyaallah akan menulis satu artikel khas tentangnya. Sekarang biar dikongsikan cerita berkenaan menggunakan gambar-gambar yang diperolehi daripada Facebook pihak penganjur juga gambar-gambar yang diambil sendiri oleh isteri saya.




Ini adalah poster bagi persembahan tersebut. Saya mendapat tahu setelah terlihat ia keluar dalam wall FB, diletakkan oleh seorang rakan aktivis busana Melayu yang rupa-rupanya terlibat mengatur pakaian dalam persembahan. Ketika terlihat poster petang Jumaat 28 Julai 2023 saya sedang merancang mahu ke Raub bersama keluarga selepas menghantar seorang anak kembali masuk ke tahfiz di Janda Baik pada Sabtu 29 Julai iaitu selepas bercuti seminggu. Kami mahu menginap satu malam di sana. Saya pun mengajak isteri untuk melihat persembahan pada malam terakhir iaitu pada 30 Julai hari Ahad malam Isnin, dalam perjalanan kembali ke rumah di Rawang. Ia diadakan di MATIC (Malaysian Tourism Centre - Pusat Pelancongan Malaysia) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.



Isteri bersetuju lalu membuat persediaan. Dibawalah sepasang busana tradisional Melayu untuk saya dan beliau pakai ke teater. Kebetulan sepupu yang rumahnya menjadi tempat kami menginap mahu menghantar anak bongsunya kembali ke sekolah berasrama penuh di Kuala Kubu petang Ahad sedangkan negeri Pahang cuti pada hari Isnin (kerana hari keputeraan Sultan). Saya pun mengajak beliau membawa keluarga untuk melihat persembahan. Selepas itu boleh bermalam di rumah saya.



Sepupu menyatakan insyaallah. Namun komitmennya kelihatan 50-50. Sebaliknya saya dan isteri pula hampir membatalkan kehadiran akibat kepenatan dalam perjalanan kembali dari Raub. Hal mahu membatalkan disampaikan melalui WhatsApp kepada sepupu. Tetapi entah kenapa tak lepas-lepas pesanan. Apabila akhirnya dapat melepasi kesesakan di Lebuh Raya Karak lalu sampai ke sekitar Batu Caves jam 7 baru tersedar penggunaan data pada telefon telah ditutup secara tidak sengaja.




Seketika itu juga dibukan kembali penggunaan lalu pesanan pun sampai. Terus dijawab sepupu, kenapa tak jadi ke teater? Kami pun menelefon lalu mendapati sepupu bersemangat untuk pergi. Dengan itu kami sendiri pun menetapkan kembali fikiran untuk pergi walau dalam keadaan begitu penat. Takkan hendak biarkan beliau pergi bersama keluarga sahaja sedangkan kami yang mengajak tidak ke sana?




Dalam tempoh selepas melepasi kesesakan jalan raya itu hingga persembahan dijadualkan bermula jam 8 itu kami harus melakukan beberapa perkara. Antaranya mencari pakaian seragam bagi aktiviti kokurikulum anak juga mengisi perut yang sudah kelaparan. Disebabkan kesuntukan masa kami mengambil keputusan tidak memakai busana Melayu yang dibawa. Sebaliknya pakai baju sedia ada di tubuh badan sahaja. Cuma saya ada mandi di bilik air restoran mamak sementara menunggu makanan siap bagi menjimatkan masa.



Alhamdulillah kami sampai ke tempat persembahan pada masanya. Sepupu dan keluarga sedikit lewat. Ketika kami sampai sejurus sebelum jam 8 beliau baru berada ke sekitar Hutan Lipur Kanching di selatan Rawang. Alhamdulillah kedatangan dimudahkan dengan adanya tempat letak kereta percuma dalam kawasan MATIC. Persembahan pun percuma. Sudah lama saya tidak menonton teater.



Apa yang menarik perhatian untuk menonton adalah nama Rubiah yang dikaitkan dengan lagenda berkenaan di Kuala Selangor. Menurut ceritanya beliau adalah seorang gadis warak yang dipaksa oleh orang tua untuk berkahwin dengan orang yang tidak disukainya. Pada hari perkahwinan beliau menghilangkan diri lalu ibu bapanya terjumpa pakaiannya tersangkut pada pokok di sebuah pulau. Lihat artikel lama Kisah Keramat Anak Dara...

Lagenda merujuk pada nama sama turut terdapat di Perak. Lihat Jalan-jalan Perak sebelah barat : Persekitaran Lumut dan kombinasi nombor 55 sebagai petunjuk?. Malah di Aceh juga ada tempat dengan nama Rubiah itu. Lihat Misi HIKMAH Aceh 2017 - Kilometer Nol Indonesia, pantai Iboih dan makam Hamzah Fansuri
 


Siapakah Rubiah yang dimaksudkan? Apakah semuanya merujuk kepada orang yang sama? Teater ini menampilkan beliau sebagai puteri kepada seorang Sultan di Tanah Bugis. Kerajaan dinyatakan sebagai Sulawesi sahaja. Sedangkan menurut pengetahuan saya tidak ada kerajaan Bugis bernama Sulawesi. Sebaliknya ia nama sebuah pulau yang besar. Kerajaan-kerajaan suku kaum Bugis seperti Wajo, Bone dan Sopeng berpusat di bahagian barat daya pulau.

Dalam cerita ini Sultan Bugis mahukan puterinya Rubiah berkahwin dengan Sultan Aceh. Namun Sultan Aceh sendiri tidak bersedia untuk berkahwin, kalau tak salah pendengaran, kerana masih sedih akibat kematian permaisuri dahulu. Lalu Sultan Aceh menyarankan agar Rubiah dikahwinkan dengan Raja Pasai. Sultan Bugis yang ingin sangat bermenantukan Sultan Aceh dengan harapan anak yang bakal dilahirkan hasil perkahwinan itu iaitu cucu baginda dapat menjadi Sultan Aceh pun akur lalu membuat persediaan untuk menghantar puteri berkahwin dengan Raja Pasai. 

Namun Rubiah ada pilihan sendiri yang dikenali sejak kecil lagi, kalau tak salah pendengaran, seorang putera atau kerabat diraja Makassar namun tidaklah berada seperti halnya kebanyakan putera raja. Mereka membuat keputusan untuk melarikan diri lalu berkahwin namun dapat dijejak oleh Sultan Bugis dan orang-orangnya. Sang suami pun dibunuh sementara Rubiah dipaksa hantar dengan kapal untuk dikahwinkan dengan Raja Pasai.

Dalam perjalanan ke Pasai berlaku peristiwa kapal diserang lanun kemudian dilanda ribut lalu terlantar di Jugra, Selangor (lain lokasi daripada lagenda Rubiah yang dikatakan berlaku di Kuala Selangor). Alhamdulillah mereka selamat. Rubiah mengambil keputusan untuk menetap di Selangor tetapi menghantar orang untuk memaklumkan beliau terkorban, satu kepada Raja Pasai, satu kepada Sultan Bugis. Kepada ayahanda dan bondanya dihantar sepersalinan pakaian sang puteri. Sama ada ini yang memberikan nama "Kasa Rubiah" pada tajuk (kain kasa) atau kain yang menyebulungi anak, saya kurang tangkap. Untuk  pengetahuan semasa suaminya dibunuh Rubiah sedang berbadan dua. Beliau meninggal dunia selepas melahirkan anak.



Cerita disampaikan melalui 7 babak atau scenes. Antara pertukaran babak yang mengambil sedikit masa bagi pertukaran latar belakang pentas atau set diisi dengan coletah seorang pemudah cara/penglipur lara juga aktiviti-aktiviti seperti tarian tradisional dan sebagainya.









Yang sangat menarik perhatian bagi saya adalah bagaimana Rubiah dinyatakan sebagai seorang puteri Raja  Bugis (lagenda sekadar menyebut beliau daripada kalangan rakyat biasa) lalu dikaitkan dengan Sultan Aceh dan Raja Pasai. Malah hampir penghujung cerita dinyatakan, nanti anak Raja Bugis akan menjadi Sultan Aceh! Ah. Ini ada kaitan dengan nasab keluarga saya di Perak, keluarga Laksamana Raja Mahkota yang berasal daripada kerabat diraja Aceh-Bugis. Menyambung pula dengan Raja-raja Pasai. Masyaallah. Nampaknya ini sebabnya saya terpanggil untuk menonton.



Hal ini membuat saya mencari penulis skrip lalu bertanya di manakah beliau mendapat cerita. Adakah  daripada sumber yang boleh dipercayai lalu diambil secara asli? Atau ada ditokok tambah seperti halnya biasa dilakukan ramai penggiat filem atas nama creative license (hak untuk menjadi kreatif, bermain-main dengan imaginasi sendiri) sehingga  boleh lari jauh daripada kebenaran sejarah? Jawab beliau ia diambil daripada seseorang (saya dapat meneka siapa, lalu kemudian mendapati memang betul orangnya, seorang yang aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor). Ini membuatkan saya menghadiahkan senaskah buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai kepada penulis skrip.

Gambar ini diambil selepas tamat persembahan. Isteri meletakkannya di Facebook lalu mendapati pihak penganjur memberikan komen meminta agar diberikan maklum balas bagi memperbaiki persembahan. Isteri pula menjawab nanti akan diceritakan dalam blogspot ini iaitu CATATAN SI MERAH SILU. Ini menyebabkan saya yang asalnya mahu menyebut sepintas lalu sahaja cerita tentang teater dalam artikel Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023 bertukar fikiran lalu membuat perkongsian panjang lebar.



Kami diajak bersama pihak penganjur dan produksi untuk kudapan bersama. Saya diberitahu Rubiah bukan nama sebenar watak tetapi nama yang digunakan untuk menyembunyikan suatu identiti rahsia.



Terkeluarlah berbagai cerita berkenaan termasuk bagaimana dalam sejarah sebenar memang ada keturunan Raja Bugis diangkat menaiki takhta Aceh lalu menjadi Sultan-sultannya dari tahun 1727 hingga 1904. Lihat artikel lama Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh?. Saya memberitahu, menurut kajian saya, daripada mereka inilah terbit keluarga Laksamana Raja Mahkota yang muncul di Perak 300 tahun lalu, keluarga belah bapa saya. Nasab keturunan ke atas sampai kepada Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai hampir 800 tahun lalu dan baginda berasal daripada keturunan bangsawan Parsi dan Arab.



Hujung minggu hadapan pula akan ada cerita sambungan iaitu berkenaan apa terjadi kepada anak yang dilahirkan Rubiah. Saya, sepupu dan keluarga berazam untuk hadir pada malam pertama persembahan Jumaat malam Sabtu 4 Ogos apa lagi cerita kelihatan terkait dengan nasab keturunan kami. Insyaallah busana tradisional Melayu yang tidak jadi dipakai untuk teater "Kasa Rubiah" akan dipakai pada malam itu. 

Oh. Tentang maklum balas bagi memperbaiki persembahan. Secara rata saya melihat ia berjaya. Permainan lampu dan cahaya, muzik secara langsung yang mengiringi dan penggunaan set semuanya bagus. Dalam kalangan yang membawa vokal menyanyi saya kira boleh tahan. Malah ada yang membawa persembahan antara wabak yang suaranya kedengaran seperti setanding dengan penyanyi profesional.

Namun kadangkala timbul gangguan dengungan audio. Itu masalah teknikal di luar kawalan pelakon. Dialog yang disampaikan pelakon lalu dipancarkan ke sistem pembesar suara secara wireless pula beberapa kali tidak kedengaran sebelum dinaikkan volume. Ada yang kedengaran seperti masalah teknikal ada yang mungkin disebabkan pelakon mungkin tidak melontarkan suara pada volume yang sepadan dengan situasi dialog. Semua ini boleh diperbetulkan oleh mereka yang menjaga audio. Ada yang boleh dibetulkan sendiri oleh pelakon.

Daripada segi pembawakan skrip kelihatan beberapa kali ada pelakon seperti terlupa dialog namun cepat memperbetulkan. Ada juga seperti berulang, entah memang dalam skrip atau akibat terlupa itu. Ada satu ketika Sultan Bugis membahasakan diri sebagai patik kepada pembesar namun nasib baik cepat membetulkan menjadi beta. Pun begitu, memandangkan pementasan dibuat oleh pelajar sekolah dan guru juga bakal guru ia boleh dikatakan cukup bagus untuk mewarnai persada teater tanah air.


Isnin, Julai 31, 2023

Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023

Salam pagi Isnin 31 Julai 2023 bersamaan 13 Muharram 1445 Hijriah. Kali terakhir saya ada berkongsi cerita tentang perjalanan adalah apabila mempersembahkan artikel Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak pada 8 Jun. Selepas itu tidak menulis apa-apa di blogspot sehinggalah muncul artikel Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad pada 19 Julai bersamaan 1 Muharram 1445 Hijriah. Padahal terdapat sejumlah perjalanan kecil dibuat dalam tempoh masa hampir sebulan setengah itu. 

Adapun antara sebab utama saya rajin menulis (bila ada mood dan tidak malas le) adalah kerana ia menjadi terapi diri juga suatu macam diari. Walaupun tidak semua perkara mahu atau boleh dikongsikan, apabila selalu menulis dapatlah ingat yang telah dilakukan buat suatu waktu walau tidak menyebut tentangnya di blogspot. Baru-baru ini apabila terlihat dalam koleksi gambar bulanan yang disimpan di laptop saya jadi tertanya-tertanya kenapa boleh berada di Janda Baik pada hari Isnin 5 Jun. Sedangkan kebiasaannya sejak 2 tahun kebelakangan saya cuma akan ke sana pada hari Sabtu. Bagi mengambil  seorang anak yang belajar di tahfiz keluar bercuti sehingga hari Ahad, itupun sebulan sekali.


Disebabkan tidak ada berkongsi apa-apa cerita tentangnya atau apa-apa cerita lain yang boleh dikaitkan saya jadi terlupa. Rupa-rupanya sudah berlaku beberapa hari cuti khas yang asalnya tiada dalam jadual. Setelah lebih sejam dua memikirkan perkara sambil membelek beberapa lagi gambar baru teringat bahawa sebelum iaitu pada 31 Mei saya telah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung 28 Mei hingga 4 Jun. Malamnya bertolak ke Janda Baik lalu bermalam. Pagi Khamis 1 Jun ambil anak kemudian bawa beliau ke Pesta Buku. Malam itu kembali ke rumah berehat sebentar sebelum kami sekeluarga ke Perak bagi membuat perjalanan seperti diceritakan dalam artikel Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak.


Kembali dari Perak sekitar jam 2 atau 3 petang Sabtu 3 Jun saya mahu ke Pesta Buku lagi. Namun didapati gazebo di rumah roboh, nampaknya akibat gegaran daripada letupan batu bagi satu projek industri baru berdekatan rumah. Lalu saya mengambil masa untuk mendirikan kembali gazebo. Esoknya Ahad, hari terakhir Pesta Buku baru ke sana lagi. 

Petang Isnin 5 Jun bertolak ke Janda Baik kerana anak masuk kembali ke tahfiz. Itu yang ada ambil sekeping dua gambar. Tidur di sana iaitu di rumah bapa angkat, penulis buku politik terkenal Syed Hussein Al-Attas @ Pak Habib. Barulah padan kembali dengan ingatan bahawa pada pagi Selasa sebelum meninggalkan Janda Baik saya ada menghadiahkan kepada beliau senaskah buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai.




Hal tersebut menyedarkan kepada betapa pentingnya ada dibuat catatan. Walau tidak semua harus atau boleh dikongsikan sekurang-kurangnya jangan jarang sangat membuat cerita seperti apa yang berlaku 2 bulan kebelakangan. Sekurang-kurangnya seminggu sekali harus dikongsikan sesuatu. Misalnya sekali Isnin ini, seterusnya Isnin depan. Dengan cara itu lebih mudah untuk ingat apa yang berlaku antara 2 Isnin itu walaupun tidak diceritakan kecuali sedikit yang dilakukan.




Sekadar bagi mengingatkan perkara-perkara penting yang boleh dikira berlaku sejak awal Jun tetapi tidak dinyatakan sebelum ini di blogspot. Gambar pertama artikel ini diambil ketika satu perhimpunan keluarga belah ibu yang diadakan di Semenyih pada hari Sabtu 17 Jun. Sudah amat lama keluarga kami tidak berkumpul begitu lalu ada yang menggunakan alasan biar diadakan satu untuk menyambut seorang sepupu kami yang bersuamikan orang putih Amerika kembali bercuti sempena Hari Raya Haji. Gambar kedua pula diambil selepas selesai pengkebumian seorang saudara belah bapa di Kota Damansara pagi Selasa 20 Jun. Alfatihah bagi almarhum Che Din bin Laksamana Hamidi bin Laksamana Razali bin Laksamana Ali Wasi bin Laksamana Orang Kaya Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.



Gambar ketiga pula diambil di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada petang Selasa 27 Jun. Malam itu selepas Maghrib saya berjaya menghabiskan pembetulan tesis di ISTAC. Hal perlu membuat pembetulan ini ada dikongsikan pada awal artikel Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad. Setelah menyerahkan tesis yang selesai dibetulkan kepada penyelia saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar barulah fikiran cukup lega untuk kembali memikirkan hal-hal buku.

Esoknya Rabu 28 Jun malam Khamis saya dan keluar bergerak ke rumah ibu bapa di Muar. Ketika itu sudah masuk malam Raya Aidil Adha 10 Zulhijjah 1444 Hijriah lalu kami menyambutnya siang Khamis 29 Jun di rumah. Gambar keempat dan gambar kelima (di atas) ini diambil di Masjid Jamek Muar tengah hari Jumaat 30 Jun. Saya dan dua orang anak lelaki telah menunaikan solat Jumaat di sana.




Pada hari Sabtu 8 Julai kami ke Jalan Kebun ke Klang untuk menghadiri satu majlis di rumah saudara belah isteri. 




Selepas itu terus ke kampung isteri di Tanjung Sepat. Esoknya Ahad 9 Julai pergi kenduri kahwin di dua tempat berdekatan.




Ketika itulah dapat tahu ada sebuah tokong atau kuil Buddha Cina telah berdiri sejak setahun dua lalu di sekitar. Kami pun pergi lalu jadilah gambar-gambar atas.




Sabtu seterusnya 15 Julai datang bertandang  satu pasangan, suami kerabat diraja Negeri Sembilan, isteri kerabat diraja Perak untuk bercerita tentang hal-hal perjuangan akhir zaman.




Yang isteri adalah pangkat anak saudara kepada seorang kawan lama saya zaman kolej. Beliau membawa setelah pasangan tersebut mendapat tahu kami berkawan baik hingga sekarang.




Esoknya petang Ahad 16 Julai pergi ke majlis housewarming pelukis terkenal Dato' Sharifah Fatimah Syed Zubir. Tengok-tengok seorang kawan lama saya semasa belajar di London tahun 1990an ada sekali. Rupa-rupanya mereka sepupu, keturunan pejuang Kedah zaman Perang Musuh Bisik 1821-1842 iaitu Tunku Kudin. Beliau ini berdarah Sayyid marga Shahabuddin campur kerabat diraja Kedah.




Hadir sama adalah Pemegang Mohor Raja-raja Melayu, Tan Sri Syed Daniel yang turut bersaudara dengan mereka. Ramai mengenali beliau sebagai orang yang mengisytiharkan tarikh bermula puasa bulan Ramadhan juga tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi setiap tahun. Rupa-rupanya Syed Daniel cam muka saya, mungkin disebabkan cara berpakaian dan kami pernah berjumpa 2-3 kali dalam majlis-majlis ilmu. Menariknya beliau ini ada darah kerabat diraja Aceh daripada Dinasti Sayyid (yang memerintah Aceh tahun 1699-1727).





Adapun ketika housewarming itu Sharifah Fatimah yang kami panggil sebagai akak (kerana begitulah dia memperkenalkan diri kepada isteri saya, dan beliau memang kakak sepupu kawan lama saya) telah menunjukkan buku sejarah dan salasilah keluarga Wan Kedah yang dimiliki. Beliau ada kaitan dengan keluarga besar tersebut, begitu juga saya kerana datuk kepada datuk, Orang Kaya Arsyad bin Laksamana Muhammad Amin beribukan Wan Long Sa'adiah binti Perdana Menteri Kedah Wan Mat Saman bin Laksamana Paduka Raja (Kedah) Wan Ismail. Apabila saya menyatakan, perlu ambil masa untuk membaca betul-betul dan mengkaji buku beliau yang rupa-rupanya sudah lama tahu tentang penulisan saya menyarankan agar dibawa buku kembali ke rumah. Petang itu juga saya ambil gambar setiap muka surat menggunakan kamera digital lalu menjadikan ia sebagai buku PDF. 

Selepas itu baru baca setiap muka surat dengan teliti. Hasilnya, petang Rabu 19 Julai bersamaan permulaan tahun baru Islam 1 Muharram 1445 Hijriah dapat dipulangkan buku seperti ditunjukkan dalam gambar atas. Oh. Tengah hari sebelumnya iaitu Selasa 18 Julai bersamaan hari terakhir tahun 1444 Hijriah saya dan keluarga telah bergegas ke Felda Jelai berdekatan Gemas kerana kakak isteri baru kematian suami. Tidurlah di sana sebelum bergerak kembali ke rumah sendiri. 

Alhamdullillah petang itu sempat berjumpa Kak Fatimah seperti dijanjikan sebaik sahaja selesai menelaah buku. Saya tak suka simpan barang orang lama-lama apa lagi dokumen sebegini penting yang mengandungi banyak maklumat tentang keluarga. Pada hari itu juga dapat menyiarkan artikel Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad, selepas lebih sebulan tidak mengemaskini blogspot.




Petang Jumaat 21 Julai bergerak ke Janda Baik lalu bermalam sebelum mengambil anak yang diberikan cuti seminggu bermula pagi Sabtu 22 Julai.



Selasa 25 Julai singgah di beberapa tempat di Lembah Klang bagi urusan buku Laksamana termasuk di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya di mana saya singgah di sebuah surau kayu yang menarik. Lihat artikel Surau di sebelah Jabatan Sejarah (Praying hall besides the History Department), Universiti Malaya dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) 




Petang Rabu 26 Julai bergerak bersama keluarga ke Ipoh kerana ada lagi perbicaraan di mahkamah melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah. Rujuk cerita-cerita berkenaan dalam artikel Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama. Singgahlah di tempat penanaman gaharu di Gopeng yang mana saya sendiri pertama kali menjengok ke dalam pada bulan puasa lalu. Lihat Iktikaf hujung Ramadhan 2023 - Dari mahkamah ke Batak Rabit.




Malam itu kami menginap di sebuah hotel di tengah bandar raya Ipoh bersebelahan Sungai Kinta. Letaknya sangat dekat dengan Masjid Panglima Kinta lalu saya bersolat Subuh pagi Khamis 27 Julai di sana.




Selepas itu berjalan kaki menghilir Sungai Kinta hingga sampai ke Masjid Paloh lalu menziarahi makam-makam di sana termasuk milik sutradara terkenal, almarhum Mamat Khalid (meninggal 2021) yang ada darah keturunan Panglima Kinta. Terlihat jambatan kecil menarik ini. Lihat artikel  Kinta river from the Treacher bridge, Ipoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Dalam perjalanan kembali ke hotel melalui persisiran utara sungai terlihat sebuah pokok besar yang membuat terasa tertarik untuk memanjat lalu duduk di satu pangkal.




Punyalah selesa hampir-hampir tertidur atas pokok. Siap boleh buat solat Isyra' (dalam keadaan duduk), sempat pula mengaji 3 muka surat Al Quran.




Tengok sahajalah bagaimana rupa pangkal itu. Kalau dekat rumah sendiri tentu dah buat rumah pokok.




Selepas selesai perbicaraan mahkamah jumpa pula orang mahu membeli buku. Selepas itu singgah di beberapa tempat juga atas urusan buku.




Lalu di Batu Gajah teringat bahawa ada Galeri Lat (pelukis kartun terkenal) baru dibuka 8 Julai lalu. Kami pun ke sana. Lihat artikel Galeri Rumah Lat (Lat house gallery), Batu Gajah diikuti Replika rumah Lat (Lat house replica).




Sehinggalah membawa ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit, Teluk Intan. Ada wartawan menemu bual tentang buku. Oh. Malam itu malam Jumaat sudah masuk tarikh 10 Muharram iaitu Hari Asyura lalu kami beriktikaf di masjid. Selepas solat Maghrib baru meninggalkannya. 




Petang Sabtu 29 Julai harus menghantar anak kembali ke tahfiz di Janda Baik. Sempatlah berjalan-jalan melihat pemandangan di beberapa bahagian tanah tinggi yang kini sudah menjadi destinasi pelancongan terkenal...




Perjalanan diteruskan ke Raub, kampung bapa saya setelah beliau dan keluarga berhijrah dari Batak Rabit penghujung tahun 1950an, lalu bermalam di rumah seorang sepupu di atas bukit. Lihat Views from the hill at Taman Amalina Lestari, Raub.




Kali terakhir kami ke Raub adalah hampir setahun lalu. Lihat Perjalanan kecil pusing Pahang - Pulau Tawar, Kota Gelanggi dan legasi Mat Kilau. Seperti biasa kami mencari hidangan istimewa gulai asam rong. Ini kami pada tengah hari Ahad 30 Julai kami...



Malam itu pula menonton persembahan teater di Kuala Lumpur sebelum kembali ke rumah. Insyaallah saya akan menulis satu artikel khas tentangnya. :]