Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Oktober 30, 2013

Hari kedua Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Membawa gerakan kedaulatan ke peringkat yang lebih tinggi

Bersambung dari Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu. Penulisan mula dibuat 31 Oktober Khamis malam Jumaat jam 8.11.


Esoknya pagi Rabu saya datang ke seminar lagi. Kali ini seorang diri setelah menghantar isteri ke tempat kerja.


Ia adalah hari kedua dan terakhir seminar. Seperti pada semalamnya saya datang lewat lagi.


Sesi pembentangan pagi yang merupakan sesi ke-3 keseluruhan sedang berlangsung. Berikut adalah aturan pembentang dan tajuk :-


1) Dr. Hj Harun Mat Piah - "Sulalatus Salatin : Testamen Keperkasaan Nasionalisme Melayu"

2) Dr. Zubir Idris - "Sulalatus Salatin : Satu Bacaan Etnosentrisme"

3) Dr. Shahruddin Maaruf - "Susunan di Bawah Kerajaan Melayu Lama"

4) Dato' Raslin Abu Bakar - "Sulalatus Salatin : Karya Agung Melayu di Institusi Simpanan Dunia" 



Namun itu aturan yang tertera dalam buku cenderamata. Ketika sesi berlangsung Dato' Raslin yang merupakan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara tidak dapat datang lalu menghantar seorang wakil perempuan. Sesi juga memiliki tambahan seorang pembentang, Puan Halimah Hassan yang sepatutnya membentang semalam tapi mengalihkannya ke hari kedua. Gambar ini diambil ketika beliau (hujung kanan)  membentangkan kertas bertajuk "Undang-undang Melayu Tradisional dalam Sulalatus Salatin".


Ini pula dari sesi tengah hari merangkap sesi ke-4 keseluruhan yang bermula jam 11. Senarai pembentangannya adalah seperti berikut :-


1) Dr. Cheah Boon Kheng dan Profesor Madya Dr. Peter Borschberg - "Raja Bongsu, Penulis dan Penaung Sejarah Melayu/Sulalatus Salatin : Peranan dan Nasib Malang Seorang Putera Johor (1571-1623)"

2) Profesor Madya Dr. Noriah Taslim - "Sulalatus Salatin Sebagai Buku Tradisi : Wibawa dan Kemungkinan"

3) Profesor Madya Dr. Jelani Harun - "Pengaruh Sejarah Melayu dalam Kesultanan Negeri Perak: Suatu Penelitian Sumber dan Fasa Baharu Magna Carta Melayu"

4) Dato' Zainal Abidin Borhan - Adat Istiadat dalam Sulalat Al-Salatin


Adapun semasa rehat sarapan pagi Dr. Cheah yang membuka sesi (hujung kanan) ada datang duduk semeja bersama saya dan rakan-rakan yang berbusana. Beliau tertarik dengan penampilan kami. Begitu juga halnya Prof Borschberg seorang sarjana Barat (tidak duduk di atas pentas) yang turut mengisi kertas kerja tetapi membiarkan Dr. Cheah membentangkannya. Menariknya sarjana dari Switzerland ini selesa berbaju batik.

Borschbeg yang menetap di Pulau Batam, Indonesia sejak 20 tahun lalu berulang-alik ke Singapura sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengajar di universiti kebangsaan sana. Katanya cuma 30 minit naik bot. Lalu beliau dapat memahami hati budi orang Melayu terutama di Riau dan bagaimana pandangan mereka terhadap pemerintahan Indonesia yang berpusat di Jakarta. Beliau juga dapat memahami reaksi kami berbusana sebagai menunjukkan identiti bangsa di kala ramai orang bukan Melayu mempersoalkan hak kami seraya menuntut yang bukan-bukan. Dr. Cheah lebih banyak mendengar perbualan. 


Kertas kerja mereka lebih menumpukan pada suasana sekitar SS dikarang. Selain menambah beberapa perkara tentang penulisan buku mereka membuat penumpuan pada Raja Bongsu, seorang kerabat diraja yang menaiki takhta Empayar Johor-Riau-Lingga 1615. Semasa menjadi Raja di Hilir Johor, juga dikenali sebagai Raja Seberang baginda telah mengarahkan Bendahara (ketika itu Tun Sri Lanang) agar mengarang sebuah kitab yang mengandungi cerita sejarah raja-raja. Itulah kitab yang diberi nama Sulalatus Salatin, diperkirakan mula ditulis 1612 di Johor kemudian disambung penulisannya di Aceh, selepas TSL dan sejumlah kerabat diraja termasuk sultan ditawan ke sana.


Ini pula dari pembentang ketiga, Prof. Jelani yang memilih untuk melihat kaitan isi SS dengan kitab-kitab Melayu lain. Saya tertarik apabila beliau memberitahu pernah melihat sebuah naskah kitab Misa Melayu yang memulakan salasilah raja-raja Perak menggunakan maklumat serupa dalam SS. Untuk makluman kitab ini umumnya ditulis oleh seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Chulan, atas perintah Sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Zulkarnain (memerintah 1754 - 1765).

Untuk makluman, sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Syah I (memerintah 1528-1549) adalah anakanda Sultan Mahmud Syah Melaka. Namun kitab Misa Melayu yang diketahui ramai cuma memulakan salasilah raja-raja Perak dari sultannya yang ke-10, Sultan Muzaffar Syah II (memerintah 1728-1754). Baru saya tahu ada versi tersimpan di England yang bercerita tentang raja-raja terdahulu.


Sebelum sesi kami sempat berbual-bual sedikit di ruang legar. Rupa-rupanya Prof. Jelani pernah bersekolah di Teluk Intan. Beliau teruja apabila saya memberitahu bapa saya berasal dari sana dan kami berketurunan terus Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah 1877, akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch 1875. Terus beliau berkata, menurut apa yang beliau dengar Laksamana Muhammad Amin itu orangnya sangat dekat penampilannya dengan Hang Tuah.

Saya sendiri baru pertama kali mendengar ini. Yang saya pernah dengar Muhammad Amin adalah orang terakhir memegang Keris Taming Sari sebelum ia dirampas British, disimpan di England beberapa lama kemudian dimohon kembali oleh seorang Sultan Perak zaman moden lalu dimasukkan sebagai salah satu pakaian pertabalan raja. Hari sebelumnya kami memang ada berbual tentang Perak. Ketika itu beliau menyebut sebagai berasal dari Bagan Datoh. 

Saya sempat memperkenalkan beliau kepada pengarah filem Mamat Khalid lalu meminta beliau turut menolong membentuk pengisian nanti. Rujuk Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu. Ketika itulah saya mendapat kepastian, ada seorang lagi cendekiawan bernama Jelani iaitu Prof Ahmad Jelani. Prof lagi satu itu katanya pakar dalam kajian kapal-kapal lama Melayu. Kami memerlukan beliau untuk mengesahkan rupa bentuk kapal besar yang boleh dipakai dalam filem. 


Pada pembentangan Prof. Jelani Harun turut mengenengahkan sejumlah isi yang diambil dari buku tulisan Raja Muda Perak sekarang, Raja Dr. Nazrin. Waad iaitu perjanjian antara anak raja yang dikenali sebagai Sang Sapurba dengan pemerintah Palembang sebelumnya, Demang Lebar Daun seperti tertulis dalam SS disamakan dengan perjanjian Magna Carta yang terkenal dalam sejarah bangsa Inggeris.


Kiri, kelihatan pembentang terakhir sesi tengah hari Dato' Zainal bercerita tentang adat istiadat Melayu. Beliau banyak memberikan contoh dari amalan masyarakat di Negeri Sembilan di mana ibunya berasal, dalam lingkungan Adat Perpatih yang dikatakan melebihkan orang perempuan. Sedangkan bapanya adalah orang Bugis dari pesisir...


Untuk sesi petang merangkap sesi kelima acara cuma ada dua orang pembentang seperti berikut :-


1) Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Haji Ismail - "Melestarikan Maklumat dalam Sejarah Melayu 

2) Profesor Emeritus Dato' Dr. Asmah Haji Omar - Geolingustik dan Migrasi: Gambaran dalam Sulalatus Salatin"


Adapun ketika soal jawab selepas sesi pagi saya ada bertanyakan panel pembentang apakah yang mereka dapat lihat sebagai definisi orang Melayu menurut kitab SS memandangkan raja-raja Melayu itu dikatakan berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain di Macedonia, Eropah yang beranak-pinak di benua Hindi sebelum datang ke Tanah Melayu. Prof. Rahman menjawab ini dalam pembentangan menggunakan satu perenggan dari SS yang ramai orang terlepas pandang. Iaitu apabila disebut nama pengarang (atau penyusun menurut sesetengah orang), Tun Muhammad (nama Tun Sri Lanang, disebut sebagai Tun Mahmud oleh Prof. Rahman) itu keturunan baginda Mani Purindan, bangsa Melayu. Sedangkan pada bab asal-usul Mani Purindan dalam kitab yang sama, baginda dikatakan berasal dari benua Hindi. Nah... seorang yang terang-terang datang dari benua Hindi boleh dipanggil Melayu. Ini menunjukkan bagaimana takrif Melayu itu lebih pada budaya... mana-mana bangsa boleh menjadi orang Melayu asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu.


Pembentang terakhir Prof. Asmah pula mengambil pendekatan linguistik untuk menerangkan keadaan. Seingat saya inilah kali pertama menghadiri acara di mana beliau ada membentang. Saya rasa sedikit pujian harus diberikan pada Prof Emeritus ini. Menurut buku cenderamata, beliau lahir tahun 1940, lalu harus berumur 73 tahun. Kalau tak salah ini menjadikan beliau pembentang paling tua dalam seminar. Namun rupa paras beliau saya lihat menyerupai wanita berumur 50an...


Sesi soal jawab dibuka dengan sahabat saya, Puan Suzana Othman, penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu" hampir sahaja menerpa untuk menyatakan pandangan. Beliau berkongsi kajian beliau bahawa Mani Purindan memiliki nama lain yang melambangkan kaitan dengan budaya Parsi, bukan orang Keling dari Hindi. Selepas beliau saya juga mengemukakan pandangan - satu tentang asal usul Hang Tuah dalam kitab SS versi A. Samad Ahmad yang menyebutnya sebagai Daeng Mempawah dari Tanah Bugis, dikaitkan dengan lawatan saya dan keluarga ke Tanah Bugis 5 bulan lalu,. Kedua adalah tentang cerita Raja Suran (disebut SS versi Raffles 18 @ versi Raja Bongsu sebagai Raja Culan) masuk ke dalam laut lalu terjumpa kerajaan bawah bumi. Kemudian baru saya bertanyakan soalan apakah panel setuju Raja Suran ini sama dengan Raja Rajendra Chola dari selatan Hindi yang diketahui menyerang Tanah Melayu tahun 1025 tak pun seorang cucu Rajendra Chola, Kulotunga Chola yang memerintah 1070-1120...


Selepas beberapa lama majlis pun ditutup oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan. Dalam ucapannya beliau menyenaraikan beberapa resolusi hasil perbincangan seminar. Saya dapati cadangan saya turut dimasukkan dalam resolusi iaitu agar diatur lawatan tempat atau site visit ke tempat-tempat bersejarah yang disebut dalam kitab SS. Namun saya terlupa bila cadangan dibuat kerana ada bertanyakan soalan dan memberikan pandangan selepas setiap kali sesi kecuali pada hari Selasa akibat sakit perut keluar dewan.


Ini adalah gambar di ruang legar selepas acara tamat.


Rasanya sedikit sebanyak kami berjaya memberikan kesan atau impak kepada para hadirin apabila datang berbusana begini lalu mengikuti acara dari mula hingga tamat. Walaupun pada awalnya ramai menyangkakan kami datang untuk membuat persembahan silat, tak pun menghias majlis atau menjaja pakaian beragam, saya percaya kami dapat menunjukkan kehadiran sebagai anak-anak muda yang ingin mendaulatkan kembali Melayu dan Islam melalui cara yang berhemat lagi berhikmah. Ini ditunjukkan melalui kehadiran yang bukan tahu berdiri tercongok sahaja tetapi rajin berinteraksi di kalangan peserta dan cendekiawan.


Sebagai seorang wartawan pula saya memang sudah biasa bertanyakan soalan pada majlis-majlis, begitu juga atas kapasiti sebagai penulis bebas. Kini, dengan berbusana begini, juga sebagai presiden dan pengasas HIKMAH saya sengaja menonjolkan diri di majlis-majlis terutama yang dihadiri ramai cendekiawan untuk memenuhi misi. Ketika soal jawab sesi terakhir saya sengaja menerangkan diri sebagai seorang graduan matematik dari London yang kemudian terpanggil untuk mencari salasilah keluarga lalu mencari keMelayuan dirinya sekali. Tujuannya agar umum nampak, yang memakai busana bukan disebabkan berfikir kekampungan tetapi disebabkan kesedaran yang timbul setelah puas melihat gelagat dunia baik dalam negara mahupun di luar.

Bukan untuk membesarkan diri tapi saya pasti para cendekiawan tanah air terutama sahabat baik saya Prof. Abdullah Zakaria yang membentang hari Selasa boleh nampak taraf keintelektualan yang dimiliki. Apa yang ingin ditekankan adalah ada juga lain-lain kawan busana yang juga berfikiran sama tinggi kalau tidak pun lebih pandai lalu bukanlah kolot apabila memilih untuk menonjolkan pemakaian sebegini di majlis-majlis Kepada kawan-kawan lain yang sama-sama berjuang lalu terbaca ini saya sarankan. Selalu-selalulah mendekati majlis ilmu terutama di universiti dan jabatan-jabatan seperti muzium dan arkib dengan berbusana. Ini adalah usaha untuk menarik para peneraju jabatan untuk turut berbusana sama sehingga ia menjadi kebanggaan semua, bukan sekadar watak olok-olokan atau badut berwarna-warni yang hanya layak membuat persembahan silat, tarian atau mengiringi pengantin kalau tak pun menambah 'cawangan'. Sekian... :]


Selasa, Oktober 29, 2013

Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu

Salam. Adapun gambar-gambar di bawah telah dimasukkan Selasa malam Rabu. Petang Khamis iaitu 2 hari selepas acara baru saya ada kelapangan untuk bercerita. Mari...


Selasa 29 Oktober saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghadiri satu seminar keMelayuan...


Ia adalah Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin. Acara berlangsung dua hari dan Selasa adalah hari pertama. Untuk pengetahuan Sulalatus Salatin adalah kitab lama yang banyak menceritakan asal-usul raja-raja Melayu dan kerajaan-kerajaan berkaitan. Ia juga dikenali sebagai kitab "Sejarah Melayu".


Acara ini telah diberitahu kepada saya oleh seorang rakan melalui Facebook sejak sebulan lalu kalau tak salah ingatan. Apabila hampir sampai tarikhnya saya pun mengulang kembali pengumuman sambil menambah rencah mengajak kawan-kawan datang sama memakai busana tradisional Melayu.




Kami sampai ketika Profesor Emeritus Datuk Wira Dr. Muhammad Yusoff Hashim sedang memberikan ucaptama bertajuk "Magnum Opus Melayu, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Yang Tak Lapuk Dek Hujan dan Yang Tak Lekang Dek Panas." Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) ini memang selalu membuka majlis-majlis sebegini. Kali terakhir saya berjumpa beliau adalah semasa majlis di pejabat Ketua Menteri Melaka awal bulan. Lihat artikel Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH dan Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Dari asal membawa ke usul.


Selepas itu adalah rehat sarapan pagi. Kami yang berbusana diminta oleh jurugambar dan pemberita agar tampil ke hadapan bergambar bersama para tetamu terhormat dan pembuka majlis. Kelihatan suasana selepas bergambar...


Rata-rata nama yang tersenarai untuk membentang sepanjang acara adalah nama-nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi sekurang-kurangnya di kalangan mereka yang terlibat dalam dunia akademik. Majlis diteruskan selepas sarapan dengan sesi pembentangan pagi. Senarai pembentang dan tajuk adalah seperti berikut :-


1) SN (Sasterawan Negara) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh - "Raut Halus Genius  Sulalat Al-Salatin"

2) Puan Halimah Hassan - "Undang-undang Melayu Tradisional dalam Sulalatus Salatin"

3) Profesor Madya Arbak Othman - "Deskripsi Historiografi yang Indah dalam Sulalatus Salatin"

4) Profesor Madya Dr. Arba'ie Sujud - "Seni Berbahasa dalam Sulalatus Salatin"



Namun atas sebab tertentu, pembentang kedua iaitu Puan Halimah menangguhkan kertas kerja kepada hari esok. Maka sesi pagi secara rata lebih berbentuk perbincangan tentang sastera dan keindahan penggunaan bahasa. Kelihatan Prof. Muhammad Salleh (kanan) membentang dengan pengerusi sesi Dr Haji Harun Mat Piah di kiri.


Bergambar ketika rehat makan tengah hari. Kelihatan 3 dari kiri adalah pengarah filem Mamat Khalid yang cukup terkenal dengan filem-filem seperti "Lang Buana", "Hantu Kak Limah Balik Rumah" dan "Zombi Kampung Pisang". Beliau rupanya telah lama menyimpan hajat untuk membuat satu filem epik yang mengenengahkan kehebatan sebenar tamadun Melayu. Lalu beliau telah menghubungi saya untuk berbincang tentangnya.


Kami telah mengadakan satu pertemuan sebelum cuti Hari Raya Haji. Ketika itulah saya memberitahu bahawa DBP akan mengadakan seminar kitab Sulalatus Salatin lalu mengajak beliau turut serta.


Namun ketika itu saya belum pasti apakah beliau betul-betul serius untuk melakukannya. Dua hari sebelum acara beliau menghubungi saya untuk mengingatkan tentang pertemuan di sana. Lalu saya dapati beliau sudah ada bersama peserta lebih awal dari saya yang sampai semasa ucaptama.


Adapun semasa berhubung 2 hari sebelum acara saya sempat membuat satu cadangan. Saya mahu menggunakan sesi berkumpulan semasa acara ke-7 HIKMAH yang akan dilangsungkan di Mini Malaysia, Melaka 30 Nov untuk mencari pengisian filem. Lihat artikel Acara ke-7 HIKMAH dan "To The Point"di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Cuma syaratnya Mamat Khalid harus memberikan komitmen untuk hadir.

Beliau bersetuju lalu saya pun membuat pengumuman berkaitan di FB, pengumuman yang beliau ulangi di wall sendiri. Saya menyebut Mamat Khalid akan ke HIKMAH-7 di mana acara berkumpulan akan diadakan untuk mendapat pengisian yang patut untuk filem. Niat saya adalah untuk mendapatkan penyertaan seramai mungkin pejuang kedaulatan Melayu agar dapat membentuk isi yang dapat menggambarkan ketinggian sebenar hati budi/peradaban/ketamadunan Melayu, isi yang patut diangkat hingga ke peringkat dunia.

Dengan itu juga saya mengumumkan agar sama-sama kita berjumpa lebih awal di seminar Sulalatus Salatin agar dapat berkenal-kenalan dan saya sendiri akan datang berbusana. Hasilnya seperti kelihatan dalam gambar dan akan saya ulas lebih lanjut kemudian.


Beberapa teks berkaitan yang dipamerkan. Pada saya tidak lengkap bercerita tentang tamadun Melayu jika tidak pernah membaca dan cuba memahami isi yang terdapat di dalam kitab Sulalatus Salatin.


Sebetulnya untuk hari pertama ini saya lebih berminat dengan pembentangan waktu petang iaitu selepas rehat tengah hari. Ia merupakan sesi kedua untuk keseluruhan acara. Senarainya :-


1) Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali - "Sulalatus Salatin : Menelaah Kearifan Sejarah Seorang Pujangga Melayu"

2) Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam - "Menyorot Teks Sulalatus Salatin Tahun 1798: Tersilapkah Kita Membaca Sejarah Melayu Selama Ini?"

3) Profesor Dr. Nor Hashimah Haji Jalaludin - "Perihal Keintelektualan Melayu Menerusi Korpus Sulalatus Salatin"

4) Dr. Awang Azman Awang Pawi - "Sumptuary dan Pembentukan Karya Agung Melayu"



Prof. Abdullah Zakaria membentang tanpa menggunakan slaid. Beliau adalah antara ahli akademik yang paling rapat dengan saya, sering dijadikan rujukan untuk memastikan kesahihan suatu penemuan sejarah sekurang-kurangnya dari sudut yang boleh diterima oleh para sarjana. Prof. Abdullah membuka dengan sedikit pujian-pujian tentang kearifan dalam teks tanpa menyatakan siapakah pujangga yang dimaksudkan pada tajuk. Selepas itu barulah beliau membina hujah untuk menekankan bahawa pujangga itu haruslah Bendahara Johor Tun Sri Lanang, untuk menyanggah beberapa pendapat yang menyatakan pengarang kitab Sulalatus Salatin adalah orang lain, antaranya seorang pembesar yang lebih bawah kedudukan bernama Tun Bambang.


Prof Ahmad Adam pula mahu menonjolkan satu versi SS yang agak baru ditemui, tentunya lebih baru dari versi-versi yang dikenali ramai seperti versi Shellabear, Raffles 18 @ Raja Bongsu dan A. Samad. Ahmad. Saya sebenarnya pernah mengikuti pembentangan beliau tentang versi tersebut, dipanggil versi Krusenstern di Universiti Malaya 2 tahun lalu. Secara peribadi banyak perkara yang saya tidak setuju berkenaan versi tersebut lalu berpendapat, walaupun ia harus diterima sebagai khazanah penambahan sejarah, tidaklah ia harus diangkat sebegitu tinggi untuk menolak sejarah sedia ada. Lihat Sepetang di Universiti Malaya.


Namun tempoh pembentangan yang terhad (setiap sarjana diberi masa 30 minit sahaja), menyebabkan beliau tidak dapat mengulas lebih dalam tentang versi Krusenstern itu. Sebaliknya masa lebih banyak digunakan untuk membina mukadimah tafsiran kata berdasarkan kajian terbaru beliau tentang ejaan Jawi yang digunakan sambil bersandarkan pengetahuan bahasa purba seperti Sanskrit juga tulisan Kawi. Ternyata ia adalah pembentangan yang sangat menarik lalu memberikan dimensi baru dalam menafsirkan cerita-cerita di dalam SS. Namun secara peribadi saya sedikit sangsi apabila banyak tafsiran beliau membawa pada rujukan kosakata Jawa lama. Banyak kata-kata dalam kitab diberi tafsiran baru yang lebih keJawaan. Apakah kerana beliau berdarah Jawa?


Gambar dari sesi soal jawab selepas tamat sesi petang. Adapun Prof Ahmad Adam dalam pembentangannya banyak menyatakan orang ini tersilap orang itu tersilap menafsirkan SS kerana kurang teliti beberapa perkara. Beliau terus terang menujukan kritikan itu antaranya kepada Prof Muhammad Salleh yang bertanggungjawab membuat transliterasi SS versi Raffles 18 menjadi buku berwarna biru bertajuk "Sulalat al-Salatin ya'ni Perteturan Segala Raja-raja (Sejarah Melayu)" terbitan DBP dan Yayasan Karyawan 2009. Lalu Prof Muhammad yang kalau tak salah saya berdarah Jawa juga bangkit semasa soal jawab untuk menjawab tuduhan.

Keadaan sedikit tegang namun menarik menggambarkan pertembungan hujah golongan cendekiawan yang jarang dapat dilihat oleh awam. Oh, saya terlepas penghujung sesi pembentangan petang kerana sakit perut lalu diberitahu pembentangan terakhir iaitu oleh Dr Awang Azman sangat menarik kerana membandingkan keadaan di istana Melayu seperti dinyatakan pada SS itu sebenarnya serupa dengan keadaan di istana-istana lain di dunia, misalnya semasa zaman Tudor di England. Menariknya, yang memberitahu ini adalah saudara Mamat Khalid, ketika dalam perjalanan menghantar saya kembali ke rumah (saya pergi bersama isteri tetapi beliau harus kembali awal membawa kereta ke pejabat). 

Dalam perjalanan itu saya dapati Mamat adalah seorang yang meminati dan amat menghargai ilmu pengetahuan. Sebelum itu kami sempat berbincang lama bersama beberapa aktivis kedaulatan Melayu yang lain. Sepanjang acara saya sempat mengenalkan beliau kepada beberapa orang cendekiawan yang kemudian menyatakan sudi membantu untuk mensahihkan isi filem epik Melayu yang dicadang. Antara yang berbual lama dengan kami adalah Prof Abdullah Zakaria. Semoga Mamat yang merupakan anak jati Perak, memiliki salasilah keturunan tertentu yang ada juga darah perjuangan Melayu dan Islam dapat membawa filem epik tersebut ke paras yang cukup membanggakan demi mendaulatkan bangsa Melayu di kaca mata orang lain juga hingga ke peringkat dunia. Amin.


Ahad, Oktober 27, 2013

Panggilan Jugra Sultan Abdul Samad

OK. Selepas selesai membuat artikel Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama' semalam saya dan keluarga harus bersiap untuk ke Banting, Kuala Selangor kerana mahu menghadiri majlis pertunangan anak buah. Maka fikir alang-alang dah ke sana elok juga pergi menziarahi makam Sultan Abdul Samad di Bukit Jugra...


Hampir tengah hari kami pun keluar. Isteri memandu kerana saya agak penat tak sempat tidur akibat membuat artikel-artikel dari lewat malam hingga ke pagi juga banyak berfikir membuat formula matematik berkenaan dan menyemak kesahihannya berkali-kali. Selalunya kalau menghala ke arah Banting (kampung isteri di Tanjung Sepat terletak 40 km perjalanan selepas Banting) kami akan mengambil jalan belakang dari Bukit Rimau, Shah Alam memotong ke Jenjarom. Tapi isteri yang sudah arif selok-balik jalan boleh sampai 2 kali terlepas simpang lalu membawa kami menuju ke Teluk Panglima Garang.


Melihat ini saya pun mengambil alih memandu. Ketika itu, walaupun tetap tak dapat tidur lagi saya rasa dah dapat cukup rehat bersandar di kerusi belakang. Rancangan asal kami, selepas ke majlis baru ke makam. Tapi bila dah sampai ke Teluk Panglima Garang dahulu akan jumpa bulatan ke Pulau Carey dalam perjalanan ke Banting dan dari situ ada jalan yang boleh mengelakkan Banting menuju ke makam.


Jalan ini menyeberangi Sungai Langat lebih ke hilir dari Banting. Untuk pengetahuan, untuk ke bandar Banting dari arah utara kita perlu naik jambatan menyeberangi Sungai Langat juga. Tu dia kelihatan Bukit Jugra di mana terdapatnya makam. Sebenarnya sebelum keluar dalam hati saya ada terlintas mahu mengambil jalan ini ke Jugra. Tapi ia tidak dizahirkan kerana isteri masa itu terfikir mahu berkejar ke majlis pertunangan. 


Siapa tahu isteri boleh terlepas simpang sehingga 2 kali? Setelah beberapa lama sampai ke jalan masuk makam yang menaiki bukit...




Bangunan makam. Rasanya dah lebih setahun kami tak singgah. Bila balik kampung pun kami setakat melewati simpang...




Sampai ke sisi makam timbul gerak untuk mengeluarkan keris yang diberi nama Kanzul Hikmah. Keris ini pertama kali saya pakai ke majlis ketika HIKMAH III di Lumut 27 Januari lepas.




Ini pula masjid besar di Banting. Saya singgah sebentar bersolat setelah sampai ke rumah anak buah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) At-Taqwa, Banting di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kembali ke majlis pertunangan.


Seterusnya kami singgah sebentar di bandar Banting. Ada pertemuan dengan kawan-kawan dari kumpulan Hulubalang Melayu, Kuala Langat tentang satu majlis keMelayuan yang akan diadakan di Mini Malaysia, Melaka penghujung November nanti, majlis yang pihak kami panggil sebagai HIKMAH VII. Lihat artikel Acara ke-7 HIKMAH dan "To The Point" di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika meninggalkan Banting kelihatan laluan masuk ke bandar ditutup.


Ingatkan apa. Rupanya ada lori terbabas di jambatan. Usaha sedang dilakukan untuk menariknya keluar dan polis harus menutup laluan agar tidak dimasuki kenderaan lain.