Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 05, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Silaturrahim Daruddunia-Pedir, khususan Teungku Chik di Reubee Daeng Mansur...

Salam malam Jumaat. Masa untuk bercerita hari ke-5 perjalanan di Aceh 13-19 Feb. Bersambung daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam raja-raja dari Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa makam lama.


Pagi Selasa 17 Februari 2015. Saya dan Agam keluar lagi berjalan-jalan. Turut bersama kali ini adalah Muammar juga Ustaz Mujib dan keluarga menaiki kereta keluar dari Banda Aceh menghala ke selatan. Kami mahu ke Pidie, sekitar 110 km ke tenggara Banda Aceh menyahut undangan daripada kawan-kawan di sana. 


Sambil berjalan saya membaca sebuah buku tentang sejarah Aceh yang dibawa oleh Muammar. Oh. Mujib memanggil perjalanan ini sebagai "Silaturrahim Daruddunya-Pedir". Daruddunya merujuk kepada istana utama Kesultanan Aceh di Banda Aceh dahulukala. Kiranya kami mewakili legasi istana kesultanan melawat Pidie yang suatu masa dahulu merupakan kerajaan tersendiri bernama Pedir, sebelum dimasukkan ke dalam Aceh Darussalam.






Kami masuk ke satu kawasan pendalaman.



Tengok-tengok saya dibawa ke sebuah kilang kayu. Di sebelahnya terdapat makam seorang Sultan Aceh yang sudah lama mahu diziarahi tetapi tidak terfikir pula untuk bertanya di manakah ia, yang saya tahu ia memang terletak dalam kawasan pendalaman ke selatan. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Alauddin Mahmud Shah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Seterusnya kami ke masjid lama Indrapuri.


Selepas bersolat di dalam masjid sempat berposing dengan gaya ala-ala Ultraman/patung dewa Murugan di Batu Caves... :]


Kami masuk jalan kampung ke kawasan pendalaman lagi untuk menziarahi makam Teungku Chik di Tiro, makam Panglima Polem dan makam Sheikh Fairuz al-Baghdadi. Lihat artikel Visiting prominent tombs in rural Aceh Besar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selepas itu baru masuk jalan besar ke Pidie.



Menariknya, dalam perjalanan ini baru saya dapat melihat Gunung Seulawah yang menjadi satu macam ikon kerana selalunya boleh kelihatan tersergam indah daripada Banda Aceh . Tetapi sejak sampai ke Aceh dalam perjalanan ke-7 ini gunung tidak kelihatan akibat langit agak berjerebu. Dah masuk kawasan pendalaman sekitar makam Teungku Chik di Tiro baru ia kelihatan, itupun separuh, kerana puncak gunung asyik diliputi awan.



Pekan Saree di lereng Gunung Seulawah...


Turun daripada lereng iaitu di Padang Tiji kami masuk ke jalan kampung lagi.





Setelah beberapa lama sampailah ke rumah Ajeer, seorang kawan kami di Pidie. Di sini kami disambut dengan pelbagai juadah tempatan untuk mengisi perut yang kelaparan.


Selepas itu kami diiringi beberapa orang kawan lain dari Pidie pergi ke kawasan pendalaman bernama Reubee untuk melihat beberapa rumah tradisional lama.


Yang ini milik seorang bangsawan yang pernah menjadi raja daerah sini. Lihat Rumah (House of) Teungku Raja Husin, Reubee.


Selepas itu kami masuk ke rumah peninggalan seorang bangsawan lain yang berkaitan. Lihat Sebuah lagi rumah bangsawan di Reubee (Another house of noble in Reubee).



Namun paling utama bagi saya sendiri adalah ziarah ke makam seorang ulamak besar bernama Daeng Mansur yang hidup 400 tahun lalu.


Daripada beliaulah berpunca raja-raja Aceh berketurunan Bugis. Makam ini pertama kali saya sampai pada tarikh yang cantik iaitu 11.11.11. Lihat artikel lama Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh


Keadaan di luar makam selepas selesai kami berziarah. Orang kampung seronok melihat orang luar datang.


Seterusnya kami pergi melawat rumah yang pernah menjadi tempat kediaman Daeng Mansur. Lihat Rumah (House of) Teungku Chik di Reubee.


Kami berkesempatan melihat pinggan yang dikatakan tinggalan beliau. Selain itu ada tongkat milik beliau tetapi kami dilarang mengambil gambar...



Selasa, Mac 03, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam raja-raja dari Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa makam lama



Pagi Isnin 16 Februari 2015. Agam membawa saya keluar dengan motosikal lagi.


Kali ini kami bergerak dari rumah Agam. Saya telah bermalam di sana dan tidak jauh daripada situ terdapat beberapa kawasan pemakaman lama.


Kami mulakan dengan ziarah ke makam ini. Katanya seorang raja tak pun anak raja daripada Semenanjung Tanah Melayu yang mangkat di Aceh. Lihat Makam (Tomb of) Raja Raden.


Ini diikuti ziarah ke makam yang kata Agam milik datuk kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang terkenal itu.




Masih berdekatan adalah kawasan makam dengan batu-batu nesan besar ini. Di sini kami disapa oleh pemilik tanah yang duduk di rumah sebelah. Rupa-rupanya beliau adalah salah seorang cucu Sultan Muhammad Daud, sultan terakhir Aceh (diturunkan daripada takhta oleh Belanda 1903).


Seperti Raja Raden makam di sini pun katanya milik seorang raja/kerabat daripada Semenanjung yang mangkat di Aceh. Lihat Makam (Tomb of) Raja Reubah.. Menurut pemilik tanah yang merupakan cucu Sultan Aceh itu, baginda dikenali sebagai Raja Reubah kerana mangkat setelah jatuh rebah daripada gajah yang ditunggang sekembali daripada satu tempat perkelahan.


Kami menghala ke pusat kota Banda Aceh lalu singgah di sebuah kedai antik.











Tengah hari kami ke restoran ini untuk berjumpa kawan-kawan lain anak tempatan.


Rupa-rupanya mereka merancang untuk mengadakan satu majlis ilmu hari Rabu mengambil kesempatan atas kehadiran saya di Aceh sehingga Khamis.


Selepas Zohor Agam membawa ke sebuah makam tidak jauh dari Masjid Baiturrahman.


Terletak di belakang sebuah bangunan kedai ia milik raja berketurunan Sayid daripada Mekah yang pernah memerintah Aceh 300 tahun lalu.


Saya rasa raja ini mungkin ada kaitan dengan keturunan Sayid keluarga Jamalulail yang memerintah Perlis. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Jamalul Alam.


Berdekatan juga dengan Masjid Baiturrahman tetapi ke arah lain adalah makam seorang Sultan Aceh yang pernah memerintah 100 tahun lebih awal. Lihat Rupa baru makam Saidil Mukamil (New look of the tomb of Saidil Mukamil.


Kami kemudian menziarahi makam seorang ulamak di pinggir kota.





Selepas itu kami keluar lebih jauh ke arah timur memotong melalui satu jalan berdekatan laut. Kelihatan satu tinggalan daripada zaman Aceh berperang dengan Belanda, peperangan yang bermula tahun 1873.





Kami pergi ke Baitussalam di mana terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi...



Dalam kawasan sebuah universiti terdapat satu kawasan makam lama di mana seorang kerabat diraja Selangor mungkin telah disemadikan tahun 1795. Lihat Makam Raja Muda Selangor di Aceh? (Tomb of regent of Selangor in Aceh?).


Perjalanan diteruskan ke kawasan pendalaman kira-kira 12 km ke selatan Banda Aceh.



Dalam kawasan sekolah pondok yang kelihatan terdapat sejumlah makam lama termasuk sebuah makam yang katanya milik seorang ulamak dari Kelantan. Lihat artikel Makam-makam lama di (Old tombs at) Dayah Darul Muta'allimin dan Makam (Tomb of) Teungku Chik di Peusa.


Kami bersolat Asar berjemaah dalam kawasan sekolah. Lihat Surau di (Small praying hall at) Dayah Darul Muta'allimin.


Kembali ke Banda Aceh singgah minum kopi Ulee Kareng yang terkenal enak.


Di sekitar ini kami sempat menziarahi sebuah masjid lama dan dua lagi kawasan makam. Lihat artikel-artikel berikut :-



Makam-makam lama (Old tombs at) Lambhuk


Isnin, Mac 02, 2015

Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 di DBP

Sedikit cerita daripada siang Sabtu baru ini...


Pagi itu, 28 Februari 2015 saya telah bergegas ke DBP atau Dewan Bahasa Pustaka.


Ada acara dipanggil Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 - "Menjejaki Kegemilangan Tamadun Melayu" anjuran satu kumpulan NGO anak-anak muda bernama GPTD (Grup Penjejak Tamadun Dunia) dengan kerjasama beberapa pihak.


Saya sampai jam 10.15 pagi sedangkan acara sudah bermula jam 9 dengan pembentangan ilmu menyusul tidak lama selepas itu. Kebiasaan pada acara sebegini yang saya sudah pergi begitu banyak kali, ada pembukaan rasmi dengan pelbagai pihak memberikan ucapan itu ini, gimik itu ini  memakan masa sekurang-kurangnya setengah jam kalau tidak sejam. Biasanya kalau sampai lambat sekitar jam 10, acara sedang break atau berehat untuk sarapan pagi, selepas itu baru bermula pembentangan ilmu. Ternyata saya sudah tersilap perkiraan lalu terlepas hampir sejam syarahan. 


Nasib baik sebelum ini saya sudah beberapa kali mendengar syarahan daripada pembentang yang kelihatan. Beliau adalah Puan Zaharah Sulaiman daripada Ikatan Arkeologi Malaysia membawa tajuk : "Jejak Asal Usul Melayu Menurut Kajian Arkeologi & DNA". Tajuk serupa malah pernah dibentangkan dalam satu majlis HIKMAH anjuran pihak saya. Lihat artikel HIKMAH Merdeka Raya - Dari DNA Melayu ke pencarian makna besar kemerdekaan lama di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat juga Video sekitar HIKMAH VI - Sambutan Merdeka Raya. Cuma nampaknya beliau telah menambah beberapa bahan baru yang lebih menjelaskan keadaan.


Namun saya sudah cukup biasa mendengar pembentangan serupa daripada beliau dan mereka yang seangkatan. Saya tahu dan kenal beberapa orang cendekiawan yang membantu pengisian Zaharah. Nampaknya pembentangan kali ini telah mengambil kira beberapa persoalan yang antaranya pernah dilontarkan saya sendiri dalam majlis-majlis terdahulu. Kenyataan beliau yang saya dengar paling baru adalah para sejarawan sudah sepakat bahawa Bahasa Melayu bermula 14,000 tahun lalu. Sila tegur kalau saya tersilap dengar.


Tamat pembentangan Zaharah sekitar 10.50 pagi naik seorang wakil GPTD berkongsi pengalaman dalam satu misi kumpulan.


Beliau yang duduk di Pulau Cocos (lihat kiri atas peta) buat beberapa lama bercerita tentang kewujudan masyarakat orang Melayu yang sudah beranak-pinak beberapa generasi di sana tetapi masih mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu di samping Bahasa Inggeris (kerana Cocos berada di bawah kekuasaan Australia).


Pembentang seterusnya Profesor Madya Dr Mat Rofa Ismail daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa tajuk seperti kelihatan pada gambar. Syarahannya belum pernah saya dengar sebelum ini kalau tak salah ingatan. Tetapi antara mereka yang tersenarai sebagai pembentang, saya paling ingin mendengar apakan yang mahu diperkatakan beliau. Ini kerana beberapa hari lalu saya diberitahu beliau ada menulis buku bertajuk "Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki". 

Saya diberitahu buku itu mengandungi banyak hal tentang hubungan Melayu-Turki zaman dahulukala yang Dr Mat Rofa lihat sendiri ketika berada di sana. Saya tertarik kerana telah menyertai satu kumpulan penyelidik untuk mengumpulkan bahan-bahan sesuai seraya membentuk isi sebuah siri dokumentari 26 episod tentang kehebatan tamadun Melayu dan Istanbul di Turki adalah antara beberapa destinasi luar negara yang insyaallah akan dijejaki...


Satu perkara menarik adalah kefasihan beliau membaca dan bertutur dalam Bahasa Arab. Nampaknya beliau juga memiliki pengetahuan ilmu matematik yang tinggi.


Saya agak terkesan (dan juga rasa sedikit malu) apabila beliau menyatakan orang belajar matematik seharusnya tahu Bahasa Arab kerana ia bahasa sumber ilmu pelbagai bidang terutama Matematik sebelum dunia Barat naik mengambil alih puncak kesarjanaan. Dahulu zaman budak-budak saya memang ada belajar Bahasa Arab. Tetapi saya selalu main-main, tidak mengambil berat.



Senarai universiti tertua dalam tamadun Islam ditunjukkan.



Carta penyebaran agama Islam...


Lihat pula bilakah universiti terawal dalam dunia Barat muncul. Kata Dr Mat Rofa, sebenarnya mereka mengikut acuan universiti-universiti Islam terutama daripada tamadun Islam Andalusia yang pernah menguasai Semenanjung Iberia, tanah besar di mana terletaknya negara Portugal (tempat orang Portugis) dan Sepanyol sekarang.


Tradisi kesarjanaan universiti-universiti Islam ini malah mempengaruhi cara berpakaian para sarjana Barat. Lihat bagaimana muka Barat di kiri gambar memakai satu macam serban, boleh dipadankan dengan cara pemakaian pemikir Islam di kanan (saya lupa apakah nama-nama mereka).


Lihat juga bagaimana cendekiawan terkenal berbangsa Jerman iaitu Gauss memakai tutup kepala. Saya boleh ingat nama Gauss kerana sudah terang tertera pada stem... :]


Tradisi pakaian kesarjanaan Islam inilah yang dibawa ke universiti terkemuka Barat seperti Oxford lalu masih diamalkan hingga sekarang. Lihatlah jubah juga topi yang dipakai untuk majlis tamat pengajian (graduation)...


Daripada Timur Tengah ilmu dibawa ke Barat. Begitu juga daripada Timur Tengah para ulamak Melayu membawa tradisi keilmuan Islam termasuk ilmu falak.


Tamat pembentangan Dr Mat Rofa sekitar 12 tengah hari, sampai giliran ahli GPTD yang ditugaskan mengkaji keadaan orang Melayu Champa di Cambodia berkongsi pengalaman. Turut bersama dua orang Melayu Champa yang didatangkan daripada sana untuk menceritakan keadaan.


Pembentang ketiga, Dato' Dr Siddiq Fadzil, pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan membawa tajuk "Pendekatan Ulama' Melayu Menangani Konflik Adat dan Syariat". Beliau memberikan beberapa contoh di mana ulamak Melayu dapat membuat ijtihad untuk menangani masalah feqah yang kelihatannya tidak pernah atau belum pernah muncul di Tanah Arab, Antaranya masalah tanah pusaka adat selepas pemegang amanah meninggal dunia. Apakah harus difaraidkan mengikut Islam sedangkan faraid itu hanya boleh berlaku kalau tanah tersebut memang milik si mati seorang, bukan milik keluarga apalagi satu suku. Apa pula terjadi kepada harta sepencarian kalau satu pasangan suami isteri kedua-duanya bekerja lalu salah seorang mati?


Selepas rehat makan tengah hari dan solat Zohor, Datuk Dr Awang Sariyan, ketua pengarah DBP mengambil pentas dengan tajuk "Keantarabangsaan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu". Sebagai pejuang Bahasa Melayu yang diakui ramai penggiat, kelihatan banyak telah dilakukan atau cuba dilakukan beliau melalui DBP. Dr Awang mahu Bahasa Melayu diangkat dalam kerangka konteks Melayu sebagai Mahawangsa iaitu bangsa yang besar.



Sekitar jam 3.25 naik ahli GPTD yang ditugaskan untuk melihat dan mengkaji keadaan dan kehidupan komuniti orang Melayu di Cape Town iaitu di Afrika Selatan. Tetapi kumpulan beliau belum berkesempatan lagi pergi ke sana. Maka itu dikemukakan kajian awal mereka di Makassar iaitu di Sulawesi Selatan kerana di sanalah berasal seorang tokoh besar ulamak abad ke-17 bernama Sheikh Yusuf yang kemudian dibuang Belanda ke Afrika Selatan lalu menjadi ikon masyarakat Melayu sana.


Pembentang terakhir Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membawa tajuk "Menelusuri Kekuatan Tamadun Melayu, Persediaan Mengharung Cabaran Abad ke-21". Beliau yang memiliki latar belakang pengajian Matematik yang agak serupa dengan saya, graduan daripada United Kingdom membuka bicara dengan memperkatakan kajian cendekiawan-cendekiawan besar Barat seperti Hegel terhadap tamadun di tempat mereka. Ini adalah langkah untuk mengangkat ketamadunan atau peradaban suatu negara ke peringkat lebih tinggi sambil mengelak masalah-masalah yang boleh membantutkan perkembangan dan kemajuan. 

Atas premis itu Dr. Alinor mengajak para pengkaji tempatan untuk lebih meneliti isi di sebalik batu-batu bersurat, manuskrip dan lain-lain sumber maklumat. Maklumat harus dapat diterjemahkan sehingga dapat diperlihatkan bagaimana misalnya urusniaga dijalankan di pelabuhan Melaka semasa zaman kegemilangannya lebih 500 tahun lalu. Bagaimana para pedagang daripada pelbagai kerajaan dan peradaban dari merata dunia dapat bersetuju dengan kadar pertukaran wang dan nilai jual beli barangan di pelabuhan? Seterusnya bagaimana pengetahuan seperti itu boleh dimanfaatkan untuk menangani keadaan dunia sekarang?


Acara ditutup sekitar jam 4.45 oleh Presiden GPTD, saudara Muhammad Suhail Ahmad. Beliau menyatakan 11 resolusi yang dapat dirumuskan melalui perkongsian ilmu para pembentang untuk diambil tindakan demi mengangkat ketamadunan Melayu ke atas persada yang lebih tinggi.