Salam Jumaat. Masih lagi berkenaan Hang Tuah. Biar diselesaikan sebagai satu siri gerak. Untuk pengetahuan artikel ini dapat mengaitkan sejumlah artikel yang ditulis dalam tempoh kurang seminggu kebelakangan.
Lima hari lepas saya mendapat
e-mail daripada Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) mengundang datang ke majlis terbaru di ibu pejabat mereka iaitu Wisma Sejarah di Kuala Lumpur. Seingat saya kali terakhir bertandang ke majlis ilmu situ adalah ketika saya sendiri diminta berkongsi sedikit pengetahuan dalam pengkajian sejarah. Lihat artikel
Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah yang ditulis Februari 2014.
Memandangkan saya sudah lama tidak bertandang dan subjek yang ditonjolkan memang menarik, pagi tadi 4 Disember 2015 saya pun bergegas ke tempat acara. Terus kelihatan nama Hang Tuah menonjol merata...
Nampaknya sejak kebelakangan ini cerita-cerita berkenaan pahlawan besar Melayu ini kembali menarik perhatian. Akhir sekali ia 'hangat di pasaran' adalah ketika seorang profesor bukan Melayu mempersoalkan kewujudan Hang Tuah sebagai mitos, sekitar awal 2012. Maka muncullah beberapa polemik dan wacana susulan. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-
Selepas itu saya lihat isu itu surut buat beberapa waktu. Ia naik kembali beberapa hari kebelakangan disebabkan terbit buku baru bertajuk "Hang Tuah : Catatan Okinawa" yang katanya dapat membuktikan kewujudan nyata Hang Tuah menurut kriteria yang dihendaki dalam kajian akademik sejarah. Lihat artikel-artikel berikut yang saya tulis dalam tempoh kurang seminggu :-
Wacana hari ini mengenengahkan penulis-penulis buku tersebut. Mereka ialah Prof Emeritus Dr. Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin, kedua-duanya daripada Universiti Putera Malaysia (UPM).
Terus terang cakap. Sebelum keluar buku itu saya tidak pernah mengenali siapakah mereka. Cuma saya pernah mendengar nama Prof Hashim sebagai salah seorang yang mahu diwawancara untuk satu projek dokumentari tentang Melaka yang mana saya turut diwawancara selain menyumbang bahan asas dan latar belakang cerita (bukan Daulah Melayu ya). Lihat artikel
Diwawancara di rumah untuk satu projek dokumentari tentang Melaka yang ditulis kurang 2 bulan lalu.
Saya lebih pelik apabila diberitahu beliau berkhidmat dengan UPM. Itulah kali pertama saya mendengar institusi pengajian tinggi yang dahulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia ini memiliki cendekiawan yang boleh dirujuk dalam bidang sejarah. Bila melihat namanya terpampang sebagai penulis buku kemudian membaca isinya baru saya sedar kenapa beliau harus diwawancara. Ditakdirkan pula, 3 hari lalu saya harus membuat penggambaran Daulah Melayu di UPM lalu mendapat tahu beberapa perkara baru...
Rupa-rupanya UPM telah bergerak aktif sekurang-kurangnya sejak 2 tahun lalu untuk mendalami sejarah Melayu. Walaupun tidak memiliki jabatan sejarah, institusi ini memiliki tenaga fikir yang cukup berwibawa lagi bersemangat tinggi. Cuma mereka bergerak atas nama Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Lihat artikel
Menggamit warisan Daulah Melayu di UPM
Pembentangan oleh Prof Hashim. Saya lihat apa yang dibentangkan agak sama dengan apa yang sudah saya baca dalam buku. Jadi tak perlulah dipanjangkan. Di atas adalah terjemahan untuk salah satu surat dalam rekod kerajaan Ryukyu yang katanya diutus oleh Hang Tuah kepada raja Ryukyu. Rujuk artikel
Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa"
Masuk pembentangan kedua, oleh seorang lagi penulis yang terlibat sama menghasilkan buku tersebut iaitu Dr. Rohaidah. Beliau menambah dengan menerangkan serba sedikit sejarah kerajaan Ryukyu, bagaimana ia terlibat dalam perdagangan dengan Melaka, apakah hubungannya dengan Dinasti Ming di Cina. Dan bagaimana ia kemudian boleh menjadi sebahagian daripada negara Jepun.
OK. Saya sudah terlupa apakah yang diceritakan ketika slaid ini ditunjukkan. Yang ingat, selain memperkenalkan sejarah Ryukyu beliau menceritakan bagaimana pihaknya telah berhubung dengan badan berkenaan di Okinawa, Jepun untuk mendapatkan salinan surat-menyurat yang patut. Kata Rohaidah beliau fasih bahasa Jepun dan orang Jepun pula mudah dihubungi dan bekerjasama. Selain itu beliau fasih bahasa Arab dan Parsi. Kemahiran bertutur pelbagai bahasa amat membantu kerja-kerja mencari bukti kewujudan Hang Tuah melalui rekod di tempat-tempat lain.
Satu gambar close up. Dari kiri, Rohaidah dan Hashim diikuti pemudahcara/moderator iaitu Dr. Bazrul Bahaman dari UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris).
Slaid menunjukkan sebilah keris lok 9 yang ditemui di kepulauan Ryukyu. Ini sudah disebut dalam buku. Ketika ini saya masih duduk di barisan paling belakang lalu perlu zoom in kamera. Hasilnya tidak memuaskan.
Saya pun beralih ke barisan yang lebih dekat ke hadapan.
Rohaidah mula menunjukkan jangkauan kajian akan datang. Baru kita keluar daripada lingkungan apa yang rata-rata sudah diceritakan dalam buku. Menurut beliau selain di Okinawa (yang merupakan sebahagian daripada kepulauan Ryukyu) ada bukti-bukti berkenaan di Kyushu iaitu pulau paling selatan dalam rangkaian utama tanah yang membentuk negara Jepun. Ini akan diperhalusi nanti.
Selepas itu beliau menunjukkan India sebagai lokasi bagi mencari lagi bukti. India atau benua Hindi memang disebut sebagai salah satu tempat Hang Tuah pernah menetap lama malah berkhidmat dengan rajanya. Hikayat Hang Tuah secara khusus menyebut HT pernah berkhidmat di kerajaan Vijayanagar. Rohaida pun menunjukkan satu episod daripada siri dokumentari berkenaan Vijayanagar di mana perdana menteri pertama India, Jawaharlal Nehru (hidup 1889-1964) ada bertindak sebagai hos. Ditunjukkan satu bahagian di mana seorang pelakon memperkenalkan diri sebagai Hang Tuah,, Cuma ia lakonan orang yang terang berupa India, tidak menggambarkan rupa paras kebiasaan orang Melayu...
Lebih menarik lagi adalah jangkauan ke Turki, Sepanyol dan Portugal. Rohaidah memberitahu sudah melihat catatan Turki yang menyatakan Sultan Alauddin Riayat Syah Melaka (memerintah 1477-1488 menurut kiraan lama, 1449-1481 menurut kiraan baru berdasarkan kitab Sulalatus Salatin naskah Raja Bongsu) telah berkahwin dengan puteri kepada Sultan Muhammad al-Fatih yang memerintah kerajaan Uthmaniyah Turki 1444-1446, kemudian 1451-1481. Sedangkan menurut catatan Alfonso di Albuquerque pula Sultan Alauddin muncul hasil perkahwinan ayahandanya Sultan Mansur Syah dengan puteri kepada Hang Tuah! Ini ada ditunjukkan dalam buku.
Daripada seorang bekas anak murid Rohaidah di Portugal dia mendapat tahu ada catatan di sana, dalam bahasa tempatan menyebut nama Tuah. Cuma dia belum melihatnya sendiri lalu hal ini perlu diperhalusi lagi.
Paling mengujakan bagi saya adalah apabila Rohaidah menyebut, pujangga terkenal Barat iaitu Leonardo da Vinci (ingat lukisan Mona Lisa?) pernah datang ke Melaka bersama tentera Sepanyol. Yang saya tahu tentera Sepanyol datang lewat sedikit ke Alam Melayu berbanding Potugis (yang pertama kali menyerang Kota Melaka tahun 1509 sebelum dapat menaklukinya tahun 1511). Itupun mereka datang daripada arah bertentangan, ke barat menyeberang Lautan Atlantik kemudian Lautan Pasifik untuk menakluki wilayah yang kemudian dikenali sebagai Filipina (orang Sepanyol yang beri nama tu) diikuti Brunei (tetapi dapat dihalau keluar). Kata beliau ini ada dalam catatan di Sepanyol.
Saya pula masih mencongak-congak dalam fikiran bila masa pula tentera Sepanyol datang ke Melaka, bila masa Da Vinci yang merupakan orang Itali boleh terlibat sama. Kemudian saya teringat tentang pelayar terkenal Barat iaitu Christopher Columbus, orang yang dicatatkan sebagai bertanggungjawab menemukan benua Amerika tahun 1492. Bukankah beliau seorang rakyat Itali, tapi dapat mengembara jauh dengan armada kapal dan sokongan kerajaan Sepanyol?
Kebetulan sejak sebulan kebelakangan saya dan isteri rajin menonton sebuah siri cerita bertajuk"Da Vinci's Demons" di TV Astro. Saya lama tahu Da Vinci seorang pencipta yang hebat selain pandai melukis. Tetapi melalui cerita itu, baru saya tahu beliau juga terlibat dalam peperangan termasuk melawan tentera Turki Uthmaniyah. Kebetulan episod sudah masuk cerita kota Otranto yang terletak dalam wilayah kerajaan Naples di selatan Itali diserang lalu ditakluki Turki. Diceritakan Da Vinci terlibat dalam penentangan sedangkan Otranto diketahui dalam sejarah rasmi ditakluki tahun 1480-1481, sesuai dengan zaman penghujung kegemilangan Melaka.
Selepas pembentangan, seorang ahli PESAWAD (Persatuan Sejarah Kampung Duyung di Melaka) memberitahu beliau telah lama menyatakan Da Vinci pernah datang ke Melaka. Beliau percaya pencipta Itali ini malah telah menghafal reka letak Kota Melaka dan tempat-tempat penting untuk mencari kelemahan lalu melukisnya agar dapat diterobosi pihak penjajah yang pro-Kristian dan anti-Islam. Melihat apa dipaparkan dalam siri "Da Vinci's Demons" saya rasa kemungkinan ini berlaku adalah amat tinggi. Apa lagi saya sudah lama membaca bahawa Da Vinci adalah ketua pergerakan Illuminati (pro Yahudi Zionis yang menyembah syaitan di balik tabir) pada zaman itu.
Saya rasa cukuplah bercerita. Sudah sampai masa untuk saya mengalih perhatian kembali pada satu usaha penulisan buku yang mahu diterbitkan insyaallah bulan Mac tahun hadapan...