Awal pagi 30 Mei 2010, fajar baru sahaja menyingsing...









Sebenarnya hari sebelumnya kami sampai lewat seminit dua sahaja selepas ia tutup 5 petang. Terpaksalah menunggu hari ini untuk melihat penyu... isteri dan anak belum pernah sampai sedangkan saya pernah masuk, kalau tak salah ingatan 2 kali. Itulah yang menjadi asbab kami bermalam di Teluk Senangin yang terletak cukup dekat. Kalau tidak, tentu kami bermalam di Lumut kalau tidak pun terus ke Pulau Pangkor. Lihat video klip. Untuk gambar-gambar lihat Pasir Panjang turtle sanctuary.














Saya tak ingat bila ia berlaku, yang pasti sebelum 2008. Saya mendapat mimpi menunjukkan sungai besar yang kelihatan seperti Sungai Muar. Bezanya dalam mimpi, ke bahagian muara sungai ada bukit-bukit sedangkan keadaan sebenar di Muar hanyalah tanah rata. Tenyata Sungai Dinding lebih menepati ciri-ciri dalam mimpi lalu saya berjalan kaki meredah hutan dari Teluk Batik ke Teluk Rubiah semata-mata untuk mencari sebuah bukit yang menepati mimpi.
Cukuplah cerita tentang mimpi. Bukit yang dicari memang terdapat di Teluk Rubiah. Untuk gambar sekitar teluk lihat artikel The gulf called Teluk Rubiah. Tanpa dirancang, artikel ini muncul menjadi artikel ke 550 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH... sedangkan sebuah gambar yang digunakan memiliki filename P5300550.


Kata mereka tasik ini ada kena-mengena dengan cerita Lancang Kuning yang menurut sesetengah riwayat menjadi asal-usul pemakaian Adat Perpatih yang mengutamakan kaum perempuan sebagai pemegang pusaka keluarga. Kalau tak salah ingatan, seorang perempuan mengandung rela mengorbankan diri dengan berbaring di hadapan lancang atau kapal diraja yang entah kenapa tersangkut setelah dibina, tidak dapat dilancarkan masuk ke dalam air. Kemudian raja mendapat syarat, lancang itu cuma boleh dilancarkan jika digelongsorkan ke atas perut perempuan mengandung. Syarat ini pun dilakukan sehingga perempuan itu terkorban. Pengorban tersebut menyebabkan raja mengisytiharkan keutamaan pusaka harus diberikan kepada orang perempuan sehingga jadilah Adat Perpatih yang kita kenali sekarang.
Menurut mereka di tasik ini ada pintu untuk masuk ke alam bawah bumi yang kalau tak salah ingatan dipanggil Bumi Dipa. Alam bawah tanah dengan penduduknya yang tersendiri ini ada disebut dalam buku-buku sastera lama terutama yang bersifat keHinduan apalagi dikatakan di dalamnya terdapat banyak lembu putih, binatang yang memang sering dikaitkan dengan Hindu. Mendengarkan ini, hati saya cepat sahaja mahu menolak. Saya tidak ingin lebih tahu kerana merasakan ia bercanggah dengan amalan peribadi. Tetapi apabila difikirkan balik bertahun kemudian, mungkin di sebalik ini ada satu rahsia yang boleh dijadikan kekuatan perjuangan bangsa Melayu di akhir zaman. Walaupun saya tidak suka bersahabat dengan jin dan bunian, adalah menjadi satu kesombongan jika saya menolak hakikat bahawa mereka juga ada tempat dan peranan dalam perancangan Allah Ta'ala.
Sesungguhnya alam-alam ghaib, baik alam bunian mahupun alam jin, kayangan dan bawah tanah bukan semata-mata konsep agama Hindu. Ia ada disebut dalam banyak peradaban di seluruh dunia kerana merupakan realiti zaman lampau bumi kita. Sesungguhnya perhubungan manusia dengan alam-alam ini adalah satu perkara biasa ketika itu. Pemahaman tentangnya dapat menerangkan beberapa perkara yang digelapkan dalam sejarah, perkara yang tidak akan dapat dirungkai sampai bila-bila jika kita mengukur segalanya menurut logik akal pemahaman zaman sekarang.
Misalnya kalau mengikut akal dan pemahaman popular berdalilkan ilmu sains yang mendakwa tamadun zaman dahulu lebih mundur daripada sekarang, piramid di Mesir dijangka mengambil masa berpuluh tahun untuk dibina, itupun dengan tenaga kerah beribu orang hamba yang dipaksa. Tapi kalau kita faham realiti sebenar keadaan dahulukala di mana perhubungan dengan alam ghaib adalah perkara biasa, tidaklah menghairankan jika sebuah piramid dapat dibina dalam tempoh sehari sahaja. Lihat kisah orang alim zaman Nabi Sulaiman yang dapat mengalihkan singgahsana Ratu Balqis dari Saba beribu batu ke Baitul Muqaddis dalam sekelip mata. Kalau tidak ada orang alim sebegitu pun, tidak susah untuk mendapatkan pertolongan jin yang dapat membuat perkara yang sama tetapi mungkin memakan masa beberapa saat lebih panjang.
Adapun perhubungan dengan alam ghaib yang begitu senang dicapai kebanyakan manusia dahulukala terputus dengan kelahiran junjungan besar kita Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Alam kayangan pula runtuh, ada yang kata hilang. Namun disebut juga, ketika kita bersiap-sedia untuk menghadapi perang akhir zaman yang semakin hari semakin hampir, begitu juga keadaan makhluk-makhluk di alam lain yang turut akan berpuak dan berpihak. Alam-alam ini bukan tidak relevan langsung, cuma kita sahaja yang tak nampak. Malah difahamkan, salah satu taktik paling besar pihak Yahudi Zionis untuk menakluki dunia adalah dengan membuka pintu alam ghaib untuk membenarkan segala macam syaitan dan jin jahat menerobos masuk menyerang secara fizikal di alam kita!
Berbalik kepada tasik di kaki bukit luar Teluk Rubiah. Dikatakan Bumi Dipa yang boleh dimasuki melalui satu pintu bawah air di tasik juga ada kaitan dengan kerajaan Beruas dan Gangganegara. Dari Bumi Dipa, seseorang boleh berjalan kaki jauh di bawah tanah lalu keluar di tapak kerajaan lama Gelanggayu di Johor, kerajaan yang pusatnya disebut oleh Bendahara Tun Sri Lanang dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu sebagai memiliki kota berbatu hitam. Kitab tersebut ada menyebut Raja Suran yang menjadi moyang Sultan-sultan Melaka pernah turun ke dalam laut lalu terjumpa sebuah kerajaan dan berkahwin dengan puteri di sana. Puteri inilah yang melahirkan 3 orang anak yang kemudian muncul di Bukit Siguntang, salah satunya Sang Sapurba yang mengahwini puteri kepada Demang Lebar Daun sehingga terbit Sang Nila Utama yang merajai Temasik atau Singapura.
Sesetengah pihak menerangkan, kerajaan bawah laut itu bukanlah bermakna ia kerajaan alam ikan duyung atau rakyatnya duduk berbasahan di dalam air. Sebaliknya ia satu kerajaan 'kering' seperti kita tetapi di Bumi Dipa, alam bawah tanah yang juga boleh dimasuki melalui pintu dalam laut. Dalam artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara ada disebut betapa selepas keluar daripada laut Raja Suran telah membuat sebuah batu bersurat lalu ada pihak menyebut itulah Batu Bersurat Beruas yang kini sudah hilang entah ke mana. Gambar tasik di atas pula memiliki filename P5300555... ada kombinasi nombor 55 seperti yang terdapat pada gambar dalam masjid Lumut juga artikel dan gambar mengenai Teluk Rubiah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Apakah ini semua satu petunjuk?

Tiada ulasan:
Catat Ulasan