Salam semua. Salam awal pagi Khamis 14 Syaaban. Kurang 15 jam daripada sekarang iaitu apabila masuk waktu Maghrib lewat petang nanti kita akan memasuki tarikh 15 Syaaban, hari Nisfu Syaaban. Menurut gerak penceritaan yang muncul dalam tempoh sebulan setengah kebelakangan sampailah masa untuk berkongsi hal dan rasa seperti berikut...
Kurang sebulan lepas iaitu pada jam 1.43 pagi Rabu 19 April timbul rasa untuk menukar gambar seperti kelihatan di atas. Timbul juga rasa agar pertukaran gambar dinyatakan dalam satu artikel lalu draf
blogger dibuat malam itu juga dengan gambar lama dan gambar baru diletakkan dalam draf. Cuma sebelum artikel dapat dipersembahkan terasa wajib menyelesaikan dahulu perkongsian cerita beberapa aktiviti yang dijangka akan dilakukan (sekarang sudah dilakukan) sehingga tamat bulan April. Pada 21 April pula saya menulis artikel bertajuk
Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? untuk berkongsi sedikit luahan dan rasa tidak puas hati akibat beberapa perkara yang berlaku sepanjang menganjurkan acara demi acara HIKMAH penghujung 2012 hingga perjalanan terbaru di Aceh 16-23 Mac.
Rasa tidak puas hati serupa tetapi melibatkan dunia penulisan dan kajian sejarah dijangka mahu diluahkan apabila sampai masa untuk menulis artikel ini. Malam ini sampai masa untuk menambah teks selain gambar pada draf tetapi hati telah berubah. Jika dahulu terasa perlu dilampiaskan rasa tidak puas hati, antaranya dengan cara memaparkan satu dua perkara dalam rekod
chat Facebook yang boleh mendedahkan keaiban orang tertentu, apa yang berlaku dalam tempoh seminggu dua kemudian menyebabkan saya merasa tidak perlu meneruskan niat buruk itu. Pedulikanlah jika ada pihak masih terus mahu memburuk-burukkan atau memperkecilkan sumbangan saya kepada masyarakat. Pengiktirafan yang diterima seperti pada majlis silat di Muzium Negara awal bulan lalu (lihat artikel
Festival Dunia Seni Silat Melayu ke-8 di Muzium Negara - Salam sayu dari pengasas HIKMAH di
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) juga di majlis Maulud dan Hol di Kedah 2 minggu selepas itu (lihat
Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Sampai masa untuk menutup cerita) menunjukkan orang-orang matang, lagi berwibawa dan berkedudukan di dunia nyata tahu menghargai kewujudan saya. Cuma orang-orang kerdil
keyboard warriors tetapi terasa besar sahaja yang suka menafikan lantaran tidak puas hati selalu ditegur supaya sedar hakikat sebenar diri.
Sebaliknya terasa lebih elok dikongsikan sejarah penglibatan saya dalam dunia penulisan dan apa yang mahu diketengahkan atau diperjuangkan ketika itu. Biar disampaikan secara point form menurut turutan tahun atau kronologi...
1996-2001 : Bersama akhbar The New Straits Times
Penglibatan saya dalam dunia penulisan bermula secara rasmi apabila menyertai kumpulan akhbar The New Strais Times sebagai wartawan sekitar bulan Oktober tahun 1996. Sebelum itu saya cuma pernah menulis surat kepada keluarga juga teman-teman wanita selain menulis karangan di sekolah. Penyertaan berlaku secara tidak dirancang apabila tersesat jalan ketika hendak kembali daripada temu duga untuk menjadi broker komoditi. Semenjak berlaku beberapa hal bersifat mistik dan spiritual tahun 1991-1995 iaitu sepanjang berada di London untuk mendapatkan ijazah dalam bidang matematik di University College of London, salah satu menara gading terbaik di dunia saya yang pernah bercita-cita untuk menjadi saintis dan ahli matematik terkemuka telah hilang arah.
Saya pergi menghadiri temuduga broker kerana dah tak tahu lagi kerjaya apa mahu dipilih setelah hilang keyakinan terhadap sains. Ketika tersesat dalam perjalanan hendak kembali daripada temu duga terlihat papan tanda besar The New Straits Times yang menghiasi bangunan besar pejabat lalu tergerak untuk ke sana. Saya sekadar mahu bertanya apakah ada kekosongan untuk bekerja sebagai wartawan. Setelah mengambil satu sesi ujian saya pun diterima masuk.
Dipendekkan cerita asalnya saya sekadar mencuba sambil mengisi masa, sambil itu mahu memikirkan apakah kerjaya yang lebih sesuai. Lama kelamaan seronok pula menulis membuat laporan juga rencana sambil menghadiri majlis demi majlis, sering kali bersama para menteri, ahli korporat dan tokoh-tokoh serta personaliti terkenal negara.
2002-2005 : Bersama penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas
Penghujung tahun 2001 menyaksikan saya ditendang keluar dengan notis 24 jam akibat permainan politik pejabat. Tidak cukup itu saya dilarang daripada menjejakkan kaki waima di halaman pejabat The New Straits Times selagi mana orang tertentu menerajui syarikat. Berikutnya berlaku beberapa perkara termasuk kematian berturut-turut tiga orang anggota rapat keluarga menyebabkan saya semakin hilang arah. Tekanan yang meningkat menyebabkan saya bercerai dengan isteri lalu meninggalkan rumah dan anak kami yang masih kecil penghujung 2002.
Ketika itu saya sudah berkenalan dengan penulis buku politk terkenal Syed Hussein al-Attas @ Pak Habib @ S.H.Alattas. Sebelum bercerai pun sudah selalu menginap di pejabat beliau di Kuala Lumpur sambil menolong menyunting buku-buku tulisan beliau. Selain itu saya juga selalu menginap di rumah rehat beliau di Janda Baik. Di celah-celah itu saya sering membuat pengembaraan ke merata Semenanjung Malaysia, pernah masuk ke Aceh Januari 2004 ketika ia masih dilanda darurat.
Daripada Pak Habib juga penolongnya saya belajar cara menulis dan menerbitkan buku. Saya belajar menggunakan peisian Pagemaker untuk membuat lay out atau reka letak buku dan Photoshop untuk membuat kulit buku. Pengalaman masuk ke Aceh menerbitkan ilham untuk menulis siri trilogi novel bertajuk "Berpetualang ke Aceh". Beliau menunjukkan cara membuat syarikat penerbitan sendiri lalu muncullah Wasilah Merah Silu Enterprise.
2006 -2007 : Hidupnya Wasilah Merah Silu
Pun begitu asalnya saya tidak yakin untuk menerbitkan buku sendiri. Pak Habib pula cuma akan menerbitkan buku beliau sendiri sahaja lalu saya berusaha untuk mencari penerbit bagi siri buku yang mula ditulis pertengahan tahun 2004 dan selesai hujung tahun itu. Saya dapat menemui beberapa orang penerbit yang berminat tetapi mereka rata-rata meminta saya mengubah jalan cerita dan menokok tambah. Sedangkan cerita dibuat berdasarkan pengalaman sebenar hidup. Saya tidak suka ia menjadi fiksyen walaupun saya sendiri mengambil pendekatan menulis seperti fiksyen travelog.
Pertengahan tahun 2005 saya meninggalkan rumah Pak Habib atas sebab tertentu Selepas tulisan dibaca oleh seorang ibu saudara di Raub, Pahang lalu beliau menyatakan buku ini boleh 'pergi' baru saya memberanikan diri untuk mencari modal lalu menerbitkan sendiri. Terbitlah buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" Jun 2006 diikuti buku kedua "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" Mei 2007 dan buku ketiga "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang" November 2007. Walaupun dalam tempoh masa itu saya sering keluar mengembara merata hampir semua kerja dilakukan daripada rumah seorang ibu saudara lain di Ampang, Kuala Lumpur.
Sekarang sudah ada 9 buah buku diterbitkan atas nama saya sebagai penulis, 4 daripadanya bawah Wasilah Merah Silu, 5 dengan syarikat-syarikat lain. Ikut rancangan asal untuk perkongsian mengenai sejarah penulisan ini saya mahu menceritakan apa yang berlaku sehingga tahun 2017. Tetapi bila dah menulis panjang lebar begini terasa malas pula. Sebaliknya biar dikongsikan perkara-perkara penting yang telah diangkat atau diketengahkan melalui trilogi novel "Berpetualang ke Aceh".
1. Jangan terlalu berpegang pada sejarah versi Barat. Perlu diketengahkan sejarah versi orang kita sendiri
Ini adalah perkara pokok dalam siri. Sesungguhnya perjalanan dalam cerita asalnya dibuat semata-mata untuk mencari jejak dan nasab keturunan nenek moyang. Namun dalam pencarian itu terjumpa atau terkeluar cerita-cerita tentang sejarah Melayu dan Islam yang sebelum itu tidak pernah ditonjolkan atau tidak diketahui orang. Tahun 2006 ketika siri "Berpetualang ke Aceh" baru keluar agak-agak berapa buah bukukah sudah ada di pasaran negara kita membawa visi dan misi yang sama?
2. Wujudnya ramai keturunan Saidina Hassan yang digelapkan nasab
Sebelum tempoh masa tersebut penulisan tentang Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW sering tertumpu kepada keturunan melalui cucu lelaki kedua baginda iaitu Saidina Hussein terutama melalui nasab Alawiyin yang berkembang di Hadramaut. Tetapi pencarian yang diketengahkan dalam "Berpetualang ke Aceh" membawa pada penemuan beberapa cabang keturunan Saidina Hassan iaitu kekanda kepada Saidina Hussein yang seperti sudah hilang dalam salasilah rasmi. Selepas itu ramai pihak menyusul bercakap tentang keturunan cucu sulung Rasulullah SAW yang mastur iaitu tidak terkenal, tidak masyhur atau kurang diketahui orang. Walau tidak terkenal ia tetap mahu dicari oleh musuh-musuh Islam kerana Imam al-Mahdi yang diberitakan akan memenangkan umat Islam akhir zaman berasal daripada salah satu keturunan lelaki bin lelaki yang sampai kepada Saidina Hassan. Boleh jadi baginda berasal daripada jalur keturunan yang tidak diketahui.
3. Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis tahun 1511 akibat pengkhianatan bukan kerana senjata orang Melayu ketinggalan
Hal ini sebenarnya timbul sebagai ilham dalam penulisan lalu diulas panjang lebar dalam buku. Sebelum itu orang selalu bercakap Melaka kalah kerana orang Melayu cuma tahu menggunakan lembing, keris dan pedang sedangkan orang Portugis memakai pistol, senapang dan meriam. Selepas itu ramai orang mengambil sedutan berkenaan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: lalu mengembangkan penulisan sehingga timbul pelbagai kajian tentang senjata api orang Melayu. Bertahun kemudian baru saya sedari bahawa hal senjata api Melayu yang digunakan orang Melaka 500 tahun lalu ada disebut dalam catatan-catatan Portugis sendiri.
Malah ia diceritakan panjang lebar dalam satu buku terbitan Universiti Malaysa tahun 1995 yang merupakan terjemahan ke Bahasa Melayu catatan pemimpin perang Portugis Afonso Albuqueque dan anaknya. Pun begitu tidak ramai menyedari kewujudan buku tersebut lalu masyarakat umum masih menyangkakan Melaka kalah kerana ketinggalan teknologi perang... sehinggalah hal sebenar mula dibangkitkan oleh buku "Berpetualang ke Aceh" tahun 2006.
4. Menziarahi makam-makam lama dalam mencari jejak nenek moyang
Saya diilhamkan juga kemudian disarankan oleh orang-orang tertentu agar selalu menziarahi makam-makam yang dipercayai terkait dengan darah keturunan. Insyaallah akan terbit ilham seterusnya termasuk bayangan, deja vu dan mimpi untuk menjawab pelbagai persoalan dan mengisi kelompongan dalam pencarian. Hal pencarian dan ziarah makam berserta pencerahan yang timbul ada disebut banyak kali dalam buku. Sekarang ramai orang melakukan perkara sama sedangkan dahulu ziarah makam-makam lama boleh dikatakan cuma dilakukan oleh tiga golongan sahaja. Satu adalah ahli akademik yang sedang membuat kajian. Kedua ahli mistik yang melawat makam-makam tertentu untuk mendapatkan kelebihan berupa ilmu kebatinana. Ketiga, orang cari nombor ekor...
5. Batu nesan Aceh sebagai satu bukti sejarah peradaban orang Melayu
Jenis batu nesan berhias berukir/berpahat cantik yang dikenali sebagai batu nesan Aceh ini mula saya kenali apabila terbaca satu buku bertajuk "Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia" oleh (Profesor Dato') Dr Othman Mohd. Yatim. Asalnya buku digunakan untuk mencari lokasi makam-makam tertentu yang dirasakan terkait dengan keluarga. Akhirnya saya dapat menghargai seni tulisan khat dan pahatan batu-batu nesan Aceh yang katanya cuma digunakan oleh golongan bangsawan, raja, pembesar, panglima dan ulamak terkemuka itu.
Hal batu nesan Aceh ditekankan dalam buku "Berpetualang ke Aceh" kemudian selalu diketengahkan melalui
blogspots tulisan saya terutama
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sehingga menyebabkan muncul generasi kemudian yang berminat menziarahi makam-makam dan meneliti batu-batu nesan Aceh. Kalau tidak ia cuma menarik minat golongan akademik sahaja, itupun dalam bidang tertentu... tak sampai minat dan pengetahuan kepada umum...
6. Muncul minat terhadap tempat-tempat terpinggir seperti Masjid Brunei dan Danau Tok Uban
Dahulu sedikit sangat orang yang tahu tentang cerita tempat-tempat tersebut. Selepas ia keluar dalam buku diikuti blogspots ramai yang tergerak untuk mencari lalu menjejaknya sendiri. Kemudian mereka membuat tulisan sendiri lalu diulas peringkat demi peringkat sehingga sudah tidak diketahui lagi siapa yang memulakannya. Sekarang cuba cari dengan jujur pada bila masakah cerita tentang Masjid Brunei dan Danau Tok Uban pertama kali tersebar kepada ramai terutama melalui Internet...
7. Semua agama termasuk Hindu dan Buddha berasal daripada agama Tauhid lalu boleh dikira Islam - Cuma syariat sahaja yang berlainan menurut nabi dan zaman
Baru teringat satu perkara yang mungkin antara paling besar telah diangkat oleh siri "Berpetualang ke Aceh". Hal tersebut menyebabkan seorang bekas pensyarah menerbitkan sendiri beberapa buah buku bercakap tentang ketauhidan dalam agama Hindu dan Buddha. Dan beliau sedia mengaku mendapat cetusan setelah membaca buku-buku saya. Hamba Allah tersebut juga mengaku menulis buku tentang fahaman Tasawuf Wahdatul Wujud setelah membaca ulasan melibatkan tokoh-tokoh tertentu seperti Hamzah Fansuri dinyatakan dalam tulisan saya.
Sebenarnya banyak lagi perkara boleh diangkat tetapi cukuplah tujuh ini. Tujuan saya menyatakan perkara-perkara tersebut bukan semata-mata untuk mengungkit sumbangan ilmu dan pemikiran kepada masyarakat. Saya perlu menulis begini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan muncul ramai kaki ciplak yang pandai mengulas hasil bacaan dan kajian orang lalu mengubah sedikit penulisan kemudian mengaku semuanya sebagai hasil pemikiran dan kajian sendiri. Sumbangan orang terdahulu cuba dinafikan sampai ke peringkat memperkecilkan malah menfitnah supaya orang yang tidak cukup peka untuk mengikuti perkembangan kesedaran baru sejarah oleh anak-anak Melayu tidak menyedari hal sebenar lalu mengangkat orang-orang kemudian sebagai pencetus dan paling berwibawa konon.
Ini selalu dilakukan oleh keyboard warriors atau pahlawan kekunci yang sering kelihatan hebat dalam talian (on-line) tetapi tiada atau tidak cukup pengalaman lapangan namun tetap berdegil tidak mahu mengaku kekurangan. Mereka malah sanggup memperlekehkan orang yang turun ke lapangan atas alasan buat apa bersusah-payah sedangkan semua maklumat boleh didapati di hujung jari konon. Kurang mereka sedari bahawa maklumat yang senang diperolehi melalui Google dan sebagainya juga seringkali silap kerana ada proses disinformation oleh pihak tertentu yang sengaja mahu mengelirukan umum selain maklumat salah tetapi diwar-warkan sebagai benar oleh pihak berkepentingan yang mahu mengangkat sejarah atau cerita versi sendiri demi memenangkan pihak mereka. Sekadar jaguh di blogspot dan Facebook sahaja tidak cukup untuk dapat membezakan antara hak dan bathil. Perlukan banyak pengalaman hidup termasuk selalu mengambil risiko menyelidik di lapangan.
Analogi atau perumpamaan yang saya sering berikan tentang pentingnya kajian lapangan dan peranan orang terdahulu yang memungkinkan terkumpulnya data atau maklumat yang boleh dinikmati oleh generasi kemudian melalui atas talian adalah begini - Mereka-mereka yang betul-betul berjuang di lapangan itu ibarat para perintis yang membuka jalan hutan, penat-penat menebang pokok menghalau binatang buas, hantu, jin, syaitan dan sebagainya sehingga ada yang terkorban. Antara mereka ada yang sempat menanam benih pohon kebangkitan. Bertahun kemudian pokok sudah besar dan berbuah, generasi sekarang cuma perlu petik buah dan agih-agihkan. Maka itu janganlah mendakwa segala perkara sampai naik pokok dan dapat buah itu adalah hasil usaha diri kamu sahaja. Jangan tak nampak atau saja-saja buat tak nampak, tidak mahu mengiktiraf malah memperlekehkan usaha orang-orang awal di medan juang sebenar...