Petang Jumaat sehari sebelum masuk bulan puasa atau Ramadhan baru-baru ini, saya dan isteri yang ketika itu sedang mengandung 8 bulan meninggalkan Kuala Lumpur untuk kembali ke rumah ibu bapa saya di Muar, Johor. Dalam perjalanan, teringat pesanan seorang pembaca di blogspot ini lalu tergerak untuk menghala ke Masjid Qariah Linggi...
Dalam kandang di hadapan masjid ini terdapat makam beberapa orang penting Linggi, ada yang memberitahu ia makam-makam Datuk Muda Linggi juga, ada pula menyebut terdapat juga makam ayah kepada Sheikh Jamaluddin. Apapun, saya difahamkan mereka semua datang daripada satu rumpun keluarga...
Adapun saya sampai ke Masjid Qariah Linggi itu hampir waktu Maghrib. Seterusnya singgah sebentar ke makam lama dengan batu-batu hidup ataupun megaliths di Pengkalan Kempas sebelum sampai ke Kuala Linggi yang terletak di dalam negeri Melaka. Untuk pengetahuan, Sungai Linggi membentuk sebahagian sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan. Pekan Linggi di mana terdapat Masjid Qariah tadi terletak lebih 25 km dari Kuala Linggi. Saya sampai di Kuala Linggi masuk waktu Isyaq dengan niat untuk memanjat Bukit Supai di mana terletaknya Kota Kuala Linggi yang dibina lebih 200 tahun lalu...
Saya ke sini menurut pesanan pembaca yang ditinggalkan di dalam blogspot. Cuma pesanan itu menyebut saya harus ke Bukit Supai dahulu sebelum ke makam Sheikh Jamaluddin sedangkan perjalanan yang dibuat ini mengikut turutan yang terbalik. Apapun, memandangkan kami suami isteri sudah agak lapar, kami pun singgah di restoran terapung yang nampaknya baru sebulan dua dibuka di kuala sungai. Seingat saya, dalam lawatan saya ke Bukit Supai sebelum itu iaitu awal tahun 2009, kalau tak pun hujung tahun 2008 belum kelihatan lagi restoran ini. Atau saya yang terlepas pandang ketika ia dalam pembinaan?
Sementara menunggu makanan yang dipesan siap dimasak, kami bertanya tentang kewujudan makam di Bukit Supai. Kata seorang makcik yang membuat perniagaan sampingan, dia tidak pasti jika wujud apa-apa makam di sekitar bukit. Tetapi dia tahu tentang kewujudan satu makam yang dianggap keramat di tempat lain tidak jauh dari situ... apakah itu makam yang perlu dicari?
Saya pula rasa tak senang duduk. Rasa mesti cuba mencari makam di Bukit Supai dahulu walaupun dalam keadaan gelap-gelita, walaupun tidak membawa lampu picit atau apa-apa benda yang mampu menolong melihat...
Ini adalah gambar restoran terapung dilihat dari lereng bukit. Dapatkah berjumpa makam yang dicari? Nanti kita sambung cerita ya. Untuk melihat pemandangan Bukit Supai juga sekitar Kuala Linggi waktu siang, sila lihat artikel lama bertajuk Interlude: A visit to Kuala Linggi... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selamat malam! :]