Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Oktober 26, 2013

Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama'



Subhanallah. Nampaknya keputusan untuk memulakan siri artikel tentang zaman di UK (lihat Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144) tengah malam tadi mula membuahkan hasil. Ia membawa pada satu gerak kerja menggunakan ilmu matematik yang sudah amat lama ditinggalkan, ilmu yang ditinggalkan semasa zaman belajar di UK lebih 18 tahun lalu! Terlihat kenyataan di Facebook seseorang tentang fosil manusia ditemui di Lenggong beberapa tahun lalu didapati berumur 1.83 juta tahun saya terpanggil untuk membuat kira-kira. 

Adapun hal berkenaan penemuan fosil-fosil atau tulang/tinggalan manusia dikatakan berumur jutaan tahun di beberapa tempat termasuk di Lenggong berdasarkan perkiraan melalui carbon dating sudah lama saya tahu. Semasa zaman kanak-kanak hinggalah tahun awal masuk universiti saya meminati kajian sains berkenaan makhluk-makhluk yang dikatakan pernah wujud jutaan tahun lalu terutama binatang-binatang gergasi dinosaur. Saya menghafal jenis-jenisnya, zaman kemunculan suatu jenis binatang dan boleh melukis rupa bentuknya. Kiraan ilmu sains kelihatan berlawanan sungguh dengan kenyataan melalui kitab bahawa manusia pertama, Nabi Adam AS diturunkan ke bumi paling awal pun sekitar 10,000 tahun sebelum Masih. 

Namun sejak 10 tahun lalu saya telah memikirkan jawabannya. Pada saya perbezaan kira-kira antara ilmu sains berbanding maklumat dari kitab yang bersumberkan wahyu adalah disebabkan dua perkara utama. Satu adalah bahawa sebelum turun Nabi Adam yang kita kenali sebagai manusia pertama sudah ada ramai lagi Adam yang mewujudkan kitaran hidup manusia-manusia terdahulu. Perkara ini saya mula dapat tahu ketika masih menuntut di UK 1991-1995. Ia ditemui dalam sebuah kitab karangan wali besar zaman kegemilangan Andalusia iaitu Ibnul Arabi (saya baca terjemahan bahasa Inggeris) yang saya dah lupa nama kitabnya, mungkin Fusus al Hikam, mungkin Futuhat al Makiyah. Ia menyebut bagaimana Ibnul Arabi terjumpa seorang yang penampilannya agak luar biasa di hadapan Ka'abah lalu beliau bertanya : "Apakah engkau Adam?". Orang itu menjawab : "Adam yang mana satu? Ada 124,000 Adam..."

Dalil tentang wujudnya Adam sebelum Adam yang kita kenali sekarang (Adam kita juga dikenali sebagai Adam Safiullah) tersirat dalam Surah Baqarah ayat 30...

A030

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".

Bagaimana malaikat tahu manusia itu akan membuat bencana dan menumpahkan darah? Apakah disebabkan mereka pernah melihat contoh manusia-manusia terdahulu, manusia dari Adam-Adam awal yang pernah memenuhi muka bumi lebih dahulu tetapi pada zaman-zaman di mana makhluk jin memiliki kedudukan lebih utama, bila sampai masa Adam terakhir turun barulah mahu dijadikan khalifah sehingga menimbulkan rasa dengki makhluk jin termasuk Iblis. Ingat, ia dahulu bernama Azazil ketika menjadi ketua para malaikat, asalnya adalah jin yang sangat alim sehingga dikatakan tidak ada tempat di muka bumi tidak pernah dicecahkan dahinya untuk bersujud!


Perkara kedua tentang menyelaraskan masa antara tempoh wujud manusia dalam ilmu sains berbanding kitab terletak pada perbezaan panjang pendek masa. Sesungguhnya sudah disebut bahawa semakin hampir ke akhir zaman semakin pendek hari-hari iaitu masa berlalu semakin cepat. Ini sudah saya pelajari sejak sekolah rendah lagi lebih 30 tahun lalu. Tapi implikasinya baru saya dapat tahu ketika zaman saya selalu keluar mengembara dari masjid ke masjid atau menginap di rumah bapa angkat di Janda Baik 2003-2005.

Ketika itulah saya mengenali beberapa orang manusia yang disebut pihak lain sebagai orang yang jenis mati hidup balik mati hidup balik. Saya tak tahulah jika perkara ini benar, yang saya tahu ramai yang percayakan hal ini dan sanggup mengikut mereka ke mana sahaja belajar ilmu silat, Tasawuf, kehidupan dan hal-hal lain agama. Semasa itulah saya diberitahu bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW kita boleh menanam kacang pada waktu pagi dan mengambil hasilnya waktu petang. Sedangkan kalau zaman sekarang kita perlu menunggu seminggu baru kacang berbuah.

Bila difikirkan balik hal ini baru saya faham kenapa baginda ada begitu banyak masa untuk melakukan pelbagai perkara. Bayangkan, selepas solat Isyaq sempat beramal selain bermuzakarah bersama para sahabat kemudian boleh bergilir melayan 9 orang isteri. Selepas atau di celah-celah itu masih ada masa untuk bertahajud panjang kemudian beramal lagi sebelum masuk waktu Subuh. Mana datang masa yang begitu panjang untuk melakukan semua benda ini?

Perkara tentang 124,000 Adam dan masa yang dahulunya panjang semakin pendek ini pernah saya nyatakan di hadapan pakar arkeologi terkenal  Profesor Dato' Dr Nik Hassan Suhaimi dan beberapa cendekiawan besar lain lebih setahun setengah lalu. Lihat Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Tapi beberapa jam tadi, selepas membuat artikel Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144 baru timbul gerak untuk melakukan kira-kira berdasarkan apa yang saya tahu. Mungkin kerana usaha membuka cerita lama itu sendiri dapat menimbulkan kembali sedikit bakat kepandaian yang sudah lama terpendam akibat pelbagai hal. Sesungguhnya sejak awal masuk ke universiti saya mengalami masalah mental block teruk apabila melibatkan kira-kira dan matematik. Ini menyebabkan saya tidak dapat memenuhi potensi sebenar diri walaupun masih sempat selamat memperolehi ijazah kepujian dalam bidang tersebut.

Tadi, dengan tiba-tiba muncul gerak untuk menganalisa hal berdasarkan kenyataan masa semakin ke akhir zaman semakin bergerak pantas. Apabila difikirkan balik coraknya saya dapati ia boleh diplot pada graf menurut corak persamaan (equation) y=1/x. Cuma beberapa nombor constant (maaf, saya tidak ingat terjemahan ke dalam bahasa Melayu) perlu dicari, tak boleh y=1/x sahaja kerana kalau y=1/x nilai y akan menghampiri infiniti apabila x menghampiri sifar.

OK. Apa yang disebut selepas ini mungkin agak teknikal tetapi saya rasa tidaklah terlalu tinggi, rasanya ada dalam kurikulum matematik tambahan Tingkatan 3 atau paling tinggi pun Tingkatan 5. Saya perhatikan, untuk mendapat kira-kira atau sebenarnya anggaran yang cukup baik persamaan yang sesuai adalah dalam bentuk y= a/(x+c)  + b di mana a, b, c adalah constant yang perlu dicari berpandukan beberapa fakta dan assumption atau anggapan awal. Anggapan pertama adalah tahun 2000 dianggap tahun piawaian di mana panjangnya 1 hari pada tahun tersebut dijadikan rujukan. Berpandukan cerita orang lama bahawa pada zaman Nabi Muhammad SAW iaitu 1,400 tahun lalu kita boleh menanam kacang waktu pagi dan mengambil hasilnya waktu petang, anggapan kedua adalah 1 hari pada zaman itu bersamaan 7 hari zaman sekarang dengan panjangnya hari pada tahun 2000 sebagai piawai.

Namun untuk mencari semua nilai a, b, c kita perlukan satu lagi anggapan. Ketika itulah saya pening mana nak cari rujukan dan perbandingan kerana tidak pernah diberikan perumpamaan bagaimana lamanya masa pada zaman Nabi Nuh AS atau Nabi Ibrahim AS misalnya. Kemudian saya teringat bahawa fakta Nabi Adam AS turun dari syurga ke bumi boleh dijadikan rujukan dalam membentuk anggapan. Saya tidak tahu dengan tepat berapa panjangnya satu hari pada zaman Nabi Adam tetapi berdasarkan cerita juga rujukan dari Al-Quran saya tahu 1 hari di akhirat yang mana ia juga terpakai di syurga bersamaan 1,000 tahun di dunia. Maka ada satu detik di mana tempoh masa ini masih terpakai sebelum baginda betul-betul turun 100 peratus ke permukaan bumi. Ini dipadankan pula dengan kata-kata setengah pengkaji bahawa Nabi Adam AS turun ke bumi 10,000 tahun sebelum Masihi.

Tempoh 10,000 tahun sebelum Masihi itu kalau tak salah diambil dari kitab Bible orang Kristian dan kisah-kisah Israiliyat orang Yahudi. Namun begitu janganlah ia terus ditolak kerana ada juga kisah benar boleh diambil dari pihak mereka, sekurang-kurangnya untuk membentuk anggaran berguna. Untuk rujukan tahun yang diletak pada paksi x, saya gunakan kiraan Masihi. Namun untuk kira-kira 1 hari di akhirat bersamaan 1000 tahun di bumi, saya mengambil tahun menurut kalender Islam yang mana satu tahun secara purata bersamaan 354 hari. Lalu satu hari pada detik Nabi Adam AS turun ke bumi dianggap bersamaan 354,000 hari sekarang.

Tiga anggapan ini digunakan untuk membuat plot seperti pada graf. Tahun 2000 dengan hari sepanjang 1 hari piawai membentuk titik koordinat (2000,1), tahun 600 (zaman Nabi Muhammad SAW 1,400 tahun lalu) dengan satu harinya bersamaan 7 hari sekarang menjadi titik (600,7) diikuti 1 hari ketika Nabi Adam AS turun ke bumi 10,000 tahun sebelum Masihi bersamaan 354,000 hari sekarang menjadi (-10,000 , 354,000). Dengan memasukkan data-data ini ke dalam persamaan y = a/(x+c) + b, kita pun mendapat 3 persamaan berikut :-

        
1 = a/(2000+c)  + b

7 = a/(600+c)    + b

354,000 = a/(-10,000+c) + b        


Selesaikan 3 persamaan ini dan hasil yang saya dapat adalah :-


a = 545,292.0447  

b  = -44.43517 

 c = 10,001.540178


Ini membentuk persamaan  y =      545,292.0447        - 44.43517
                                               x + 10,001.540178


Menggunakan persamaan ini kita boleh membuat anggaran kira-kira berapa panjangkah hari pada sesuatu zaman, dengan memasukkan tahun berapa Masihi sebagai x lalu dapatlah hasilnya y sebagai panjang hari berbanding hari piawaian tahun 2000. Namun untuk mengira berapa tahun sebenar sudah berlalu sehingga kini, misalnya sejak zaman Nabi Muhammad SAW kita harus menggunakan proses pengkamilan ataupun integration... kerana jumlah sebenar tahun yang berlalu adalah bersamaan luas kawasan seperti diwarnakan dalam graf.


Pengkamilan pada persamaan y di atas menghasilkan fungsi berikut...

          f(x) = 545,292 ln (x+10,001.540178) - 44.43517 x    (ln adalah natural logarithm)


Jarak sebenar tahun dari zaman Nabi Muhammad SAW hingga ke tahun 2000 boleh dikira sebagai f(2000) - f(600). Hasil yang saya dapat adalah berbanding pendeknya tahun-tahun sekarang, Nabi Muhammad SAW sebenarnya hidup 5,426 tahun lalu!

Nak tahu apa pula kiraan yang saya dapat untuk zaman turunnya Nabi Adam AS? Kiraan yang saya dapat, baginda mula muncul di bumi 4,353,080 tahun lalu, lebih 4 juta tahun dulu tu! Jadi apalah nak dihairankan kalau boleh terjumpa fosil manusia di Lenggong berumur 1.83 juta tahun? Itu belum masuk lagi bab 124,000 Adam. Nampaknya dengan Adam terakhir ini pun sudah cukup untuk menjawab pelbagai soalan saintifik asalkan kita berpegang pada kenyataan bahawa masa semakin pendek semakin kita menghampiri akhir zaman. Cukup.


Nota pembetulan : Sebenarnya yang ditemui lalu didapati berusia 1.83 juta tahun itu bukanlah fosil manusia tetapi kapak batu. Oleh kerana kapak itu didapati memiliki ciri-ciri buatan manusia, bukan akibat hakisan alam dan sebagainya maka ia dianggap bukti bahawa manusia sudah wujud di Lenggong seawal itu.




Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144


Salam sejahtera wahai para pembaca yang dimuliakan. Semenjak dua menjak ini saya sering teringatkan zaman muda semasa belajar di London juga berjalan-jalan di sekitar United Kingdom diikuti beberapa buah negara di Eropah 1991-1995. Timbul rasa untuk pergi ke sana membawa keluarga namun belum ada rezeki dan kelapangan. Sambil itu kaki saya yang patah tebu akibat terjatuh penghujung April belum 100% pulih. Tulang yang patah dah baik tapi otot dan urat masih terasa keras dan tersangkut... sudah beberapa lama tidak dapat menurut kehendak suka berjalan termasuk ke hutan mendaki bukit atau gunung malah hendak mengembara dengan motosikal besar pun lama tak buat, motosikal pun baru nak siap repair masalah brek setelah hampir setengah tahun tidak dihidupkan.

Keadaan ini sedikit sebanyak mengganggu proses pemikiran saya. Ia juga menganggu kelancaran menulis sehingga buat beberapa lama saya tidak aktif mengenengahkan cerita baru di blogspots yang dimiliki. Saya juga sudah dua bulan tersangkut penulisan buku baru, penulisan yang asalnya dimulakan awal tahun lepas tetapi tersangkut beberapa kali. Untuk mengatasi masalah ini saya rasa harus menggali sesuatu daripada masa lalu.

Zaman saya belajar di UK merupakan satu titik penting dalam hidup. Disebabkan keadaan tertentu seperti diluahkan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) bermulalah peralihan besar perhatian diri yang asalnya bercita-cita mahu menjadi seorang saintis bertukar arah menjadi orang yang lebih meminati ilmu Tasawuf dan berkaitan sehingga boleh menjadi seorang penulis. Dengan itu saya mahu memulakan siri baru yang dipanggil "Kenangan zaman UK". Saya mahu menggunakan penulisan ini untuk mengingatkan kembali perkara-perkara yang sudah terlupa berlaku lama dahulu, perkara-perkara yang mungkin perlu diatasi untuk saya bergerak ke hadapan memasuki fasa baru juga menyiapkan penulisan buku.

Untuk pengetahuan pembaca rata-rata penulisan saya dalam blogspots menghuraikan pengembaraan demi pengembaraan yang dibuat daripada penghujung 2006 sehingga ke hari ini. Ini disebabkan bermula tempoh itu baru saya memiliki kamera digital lalu dapat merekodkan perjalanan sebanyak mungkin. Sedangkan begitu banyak pengembaraan telah dilakukan sebelum itu termasuk di UK yang tidak pernah direkodkan dengan gambar. Perjalanan sebulan di Eropah musim panas 1995 yang merangkumi 11 buah negara pula cuma diambil kurang 100 keping gambar kerana zaman itu masih pakai rol filem, nak beli rol banyak duit tak cukup... dan selalu terjadi gambar rosak cuma disedari selepas dicuci. Itupun banyak dah hilang, tinggal kira-kira 30 sahaja dalam simpanan. 

Pengembaraan sebelum 2006 kalau pernah diceritakan pun hanya dalam bentuk ringkas antaranya dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Cuma pengalaman pertama umrah 2005 dan satu siri berkaitan sahaja ada diceritakan kemudian panjang lebar iaitu pada pertengahan 2009. Lihat Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya.... Kiranya ini adalah usaha untuk menceritakan lebih terperinci zaman belajar di UK sambil cuba mengingati banyak perkara. Selepas siap siri ini saya mahu mengingati kembali pula perjalanan sebulan di Eropah.

Untuk artikel pertama siri UK ini biar disenaraikan isi-isi penting yang mungkin akan dihuraikan untuk membentuk cerita-cerita seterusnya. Senarai ini dibuat sambil saya cuba mengingati banyak perkara yang sudah dilupakan atau kalau ingat pun samar-samar. Pada peta atas dibulatkan sejumlah kota di UK yang pernah diziarahi, baru beberapa jam tadi saya dapat mengingatinya dengan pasti. Ada kota yang sudah lupa pernah dijejaki, ada pula harus pernah dijejaki dalam perjalanan ke kota-kota yang dibulatkan. Kiranya ini adalah mukadimah, membentuk artikel ke 1,144 di blogspot ini...


1. Perasaan awal ketika sampai ke London - Yang ini mungkin mudah sedikit sebab pernah diceritakan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (Nov 2007).

2. Keadaan di tempat saya belajar, University College of London, salah satu  pusat pengajian terulung di dunia dan universiti pertama membentuk konsortium University of London.

3. Tempat-tempat kegemaran - misalnya kedai buku Dillon's, Foyle's melepak di Trocadero, kedai-kedai komik, kedai-kedai gitar, Covent Garden, Camden Town. Tu dia. Sambil saya menulis ni baru ingat nama Trocadero, sebuah pusat membeli-belah berdekatan Piccadilly Circus di mana saya suka bermain video game.

4. Beberapa peristiwa menunjukkan keadaan hidup di sana - Ada juga pernah diceritakan dalam "Berpetualang ke Aceh" lalu saya boleh copy paste mana yang patut.

5. Pertama kali keluar dari lingkungan Greater London atau London Besar, satu kawasan meliputi pembangunan kota London dan sekitar, kawasan sebesar negeri Melaka - Seingat saya untuk ke pekan Hatfield melihat tempat kawan penghujung 1991. Letaknya sekitar 33 km dari pusat bandar London.

6. Kota pertama jauh sedikit dari London pernah diziarahi iaitu di Canterbury, sebuah kota lama yang dikelilingi tembok tinggi awal 1992 kalau tak salah. Letaknya 100 km dari pusat London.

7. Melepak hampir 3 bulan di Sheffield 250 km ke utara London musim panas 1993. Ketika itu saya merasakan baru betul-betul keluar dari lingkungan terdekat London.

8. Perjalanan ke Bristol dan Exeter di sebelah barat, lupa masa bila, mungkin 1994.

9. Perjalanan ke Cambridge, tempat universiti terkenal dan antara paling terkemuka di dunia.

10. Perjalanan ke Lake District, kawasan banyak tasik cantik. Hah... inilah satu lagi contoh bagaimana penulisan sebegini berguna untuk membuka ruang ingatan. Kerana saya dah lupa langsung pernah sampai ke tempat ini  sehinggalah menyebut tentang Cambridge tadi.

11. Sewa kereta naik utara sampai ke Leeds, Blackpool, Manchester, Birmingham dan beberapa tempat - Saya memandu lebih 720 km untuk perjalanan ini (tadi semak menggunakan Google Map) sedangkan ketika itu saya sebenarnya tiada lagi lesen memandu!

12. Perjalanan ke Scotland - Glasgow, tasik Loch Lomond, Ediburgh, puncak Adam's Peak

13. Pengalaman 3 bulan jadi orang homeless atau gelandangan di tengah kota London musim panas 1995 - Satu langkah mencari pengalaman dan menyediakan diri untuk perjalanan pusing Eropah


Bila perkara-perkara ini dihuraikan ada kemungkinan banyak lagi yang akan terbuka. Tiba-tiba teringat Hyde Park, Regent's Park, British Museum dan sebagainya. OK. Saya adalah seorang yang sangat jujur dan terbuka ketika bercerita sehingga kadangkala boleh menghiris perasaan orang lain tanpa disedari. Maka itu untuk penceritaan kali ini saya telah berjanji dengan isteri tidak akan menyebut lagi tentang teman-teman wanita lama kecuali sedikit supaya tak lari cerita. Misalnya sewa kereta naik utara itu saya boleh menyebut berlaku dengan buah hati lama supaya berbeza dengan keadaan di mana saya keluar mengembara bersendirian. Selain itu ada juga perkara yang tidak boleh diceritakan lagi secara jujur, maklumlah ketika itu zaman saya agak jahiliah, tidak menurut syariat. 

Siri ini akan memberi lebih penekanan pada pengalaman menjejak dari tempat ke tempat dan sedikit perasaan serta luahan sebagai anak muda ketika itu. Huraian tentang tempat-tempat berserta gambar insyaallah akan dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Saya akan bercerita pada bila-bila masa sahaja yang perlu terutama kalau rasa buntu tak dapat membuat hal lain ya. Sekian buat masa ini. Wassalam.


Khamis, Oktober 24, 2013

Sekitar cuti Aidil Adha 1434


Petang jam 5.30 petang setelah agak lama juga berborak dengan pengarah filem yang dimaksudkan juga beberapa orang anak muda pengkaji sejarah baru kami meninggalkan Lembah Klang untuk ke selatan.


Kami sampai di Melaka selepas Isyaq. Singgah di rumah seorang kawan sebelum menjamakkan solat di masjid negeri.


Selepas itu kami berpusing di Bandar Hilir kemudian makan di dataran tepian Jalan Hang Tuah. Kami berehat di situ sehingga tengah malam masuk 13 haribulan Oktober lalu genaplah umur anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid 4 tahun.


Lewat malam itu kami sempat singgah di Masjid Kampung Hulu dan pusing lagi di Bandar Hilir sebelum kembali ke rumah ibu bapa di Muar.


Siang hari Ahad. Anak-anak bermain dengan sepupu-sepupu mereka. Tengah hari itu kami keluar ke taman bunga berdekatan kuala Sungai Muar. Lihat artikel Picnic at the Tanjung of Muar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ketika itulah saya sedar satu perubahan memberangsangkan tentang sebuah kepala kereta api lama di taman. Biar dikongsikan coretan berkenaan yang telah diletakkan di Facebook 8 hari lalu...

HIDUP NEGERI MUAR!


OK. Mereka yang pernah bertandang ke Tanjung Emas, Muar mungkin pernah melihat sebuah kepala kereta api lama yang dijadikan hiasan taman. Ia pernah digunakan ketika Muar masih memiliki rangkaian kereta api sendiri hingga ke Parit Jawa bermula tahun 1889, rangkaian kereta api kedua di Semenanjung iaitu selepas rangkaian kereta api di Port Weld @ Kuala Sepetang, Perak 1885. Rangkaian itu dibina atas nama Muar State Railway kerana ketika itu Muar masih sebuah negeri yang berdiri sendiri. Ia kemudian diserapkan ke dalam pemerintahan Johor sekitar 1920an. Tidak lama kemudian perkhidmatan kereta api Muar ditamatkan dan landasan ditanggalkan.


Pada kepala kereta api ada tertulis perkataan M.S.R. dengan cat putih yang bermakna Muar State Railway. Namun saya dapati perkataan ini dipadamkan sejak awal 2011 dengan cat hitam yang digunakan untuk mewarnai kembali seluruh kereta api. Begitulah keadaan buat beberapa lama sehingga saya beranggapan ada pihak sengaja menghilangkan nama M.S.R. kerana takut sejarah sebenar Muar sebagai sebuah negeri berdaulat terbongkar. Alhamdulillah ketika kembali ke kampung untuk cuti raya Aidil Adha baru ini saya dapati nama M.S.R. ini telah dicat emas dan di beberapa tempat di Muar berkibar bendera lama negeri sebelum diserap ke dalam Johor. Alhamdulillah... 



Esoknya petang Isnin 14 Oktober kami anak-beranak pergi menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh.




Kali terakhir saya menziarahi makam ini adalah pada bulan Februari. Ketika meninggalkan persekitaran makam terlihat pula sebuah masjid yang menarik perhatian, masjid yang selama ini saya tak perasan. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Olak Sepam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Pagi Selasa 15 Oktober yang bersamaan 10 Zulhijjah 1434 Hijrah umat Islam pun menyambut Hari Raya Haji atau Aidil Adha.


Saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk bersolat sunat berjemaah Aidil Adha.


Selepas tahlil di masjid kemudian jamuan di rumah berdekatan kami menziarahi makam kaum keluarga di sebelah masjid...




Balik ke rumah, anak-anak seronok bermain dengan arnab.


Namun esoknya Rabu isteri harus bekerja dan anak sulung pula bersekolah. Anak harus dihantar kembali ke asrama sebelum 6 petang lalu selepas Zuhur kami pun bergegas ke Lembah Klang.

Oh. Adapun sehari sebelum keluar untuk kembali bercuti iaitu pada siang Jumaat saya telah ditemubual untuk sebuah rancangan televisyen di mana saya diminta bercakap tentang kempen membeli barangan buatan orang Melayu dan Islam. Temubual ini telah ditayangkan pada Selasa malam Rabu iaitu selepas sambutan Aidil Adha. Lihat artikel Acara ke-7 HIKMAH dan "To The Point" di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Konvensyen Inspirasi Usahawan

Salam semua. Rasanya saya sedang menghadapi masalah malas menulis yang agak parah. Jadi biar ditulis apa yang terkeluar tanpa perlu memikirkan aturan ya.


Pagi Sabtu 12 Oktober. Saya dan keluarga singgah di bangunan IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia) di Jalan Duta, Kuala Lumpur.




Saya mahu menjenguk sebentar Konvensyen Inspirasi Usahawan yang sedang diadakan.


Terus terang saya bukanlah kaki bisnes. Saya datang kerana hendak menunjukkan sokongan terhadap seorang rakan yang aktif bergiat dalam satu gerakan yang dipanggil Rakan Jihad Bisnes. Selain itu saya mahu melihat sendiri sejauh mana gerakan ini telah berfungsi.





Saya masuk ketika satu aktiviti mengeratkan hubungan dan networking sedang diadakan. Nampaknya saya sudah terlepas ucaptama oleh tokoh korporat negara, Tan Sri Ali Hashim.




Selepas itu diadakan taklimat tentang perkembangan Rakan Jihad Bisnes.




Ini diikuti perkongsian pengalaman dari beberapa orang usahawan muda yang telah mendapat faedah sejak bersama gerakan.


Pengarah urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir kemudian memberi ucapan seraya berkongsi pengalaman peribadi beliau meningkat dalam dunia korporat.


Beliau banyak menyarankan agar peserta meluaskan networking terutama melalui media seperti Facebook di Internet.


Ternyata ucapan Syed Zainal amat menarik. Kalaulah tidak kerana saya ada temu janji dengan seorang pengarah filem di tengah ibu kota selepas Zuhur tentu saya akan duduk lebih lama di IKIM. Apapun petang itu saya dan keluarga harus kembali ke kampung untuk bercuti Aidil Adha...