Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, July 02, 2019

Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru

Salam siang Selasa 28 Syawal. Merujuk kepada artikel Memulakan kembara buku sempena keluarnya buku ke-13 yang dipersembahkan tepat seminggu lalu. Hari ini biarlah dimulakan perkongsian cerita tentang kembara buku itu...


Kembara secara rasminya bermula apabila saya meninggalkan rumah di Sungai Buaya, Rawang sebelum jam 8 pagi Selasa 25 Jun 2019 bersamaan 21 Syawal 1440 Hijriah.


Dibawa sekali sejumlah buku lama, tanjak dari rumah 2 pasang (yang biasa menghiasi satu ruang berkenaan) tak campur sepasang tanjak boleh lipat yang sentiasa dibawa ke sana ke mari waima masuk hutan dan mendaki gunung pun dalam beg sandang kesayangan...


Dibawa juga 2 pasang baju songket yang telah digosok isteri untuk dipakai dalam tempoh 2 hari kembara dijadualkan. Sebetulnya saya minta baju Melayu yang lebih ringkas, tak perlu bercorak-corak. Tetapi isteri kata dah alang-alang keluar berjumpa orang atas nama buku biarlah lebih cantik dan gah. 

Saya pun akur dengan cadangan isteri. Kalau dah pakai baju begini harus dipakai sampin songket  cantik sekali lalu saya pun bawa 2 pasang. Tanjak pun bawa 2 pasang yang elok. Kalau tak cukup dengan kain seperti pelikat dijadikan sampin berserta tanjak lasak...


Persinggahan pertama adalah satu kedai ekzos di Rawang kerana mahu membetulkan kedudukan ekzos yang dikhuatiri menimbulkan bunyi 'gek-gek' kurang enak di belakang kereta. Bila didapati kedai yang kata isteri biasa dibuka jam 8.30 pagi belum dibuka pada waktu itu sedangkan banyak lagi perkara hendak dikejar saya pun bergegas terus ke Kuala Lumpur.


Antara yang mahu dikejar adalah wacana yang tertera ini di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku.


Sebelum itu ke kilang cetak di satu kawasan taman perindustrian dekat Batu Caves jam 9 pagi. Selepas selesai membayar baki kos cetak saya pun pergi untuk mengambil buku. Pada mulanya tunggu sahaja di luar gudang. Bila tengok orang masih tak datang menghantar saya pun masuk lalu melihat buku-buku baru sedang dibungkus rupanya...


Malah masih begitu banyak belum dipotong apa lagi dibungkus. Orang yang faham proses cetak buku tahulah kenapa perlu dipotong. Saya mahu mengambil 400 naskah. Nak siap potong kena tunggu lebih sejam...


Begini rupa buku yang belum dipotong. Ada lebihan bahagian berwarna putih kelihatan pada kulit luar. Dalam tu ada kertas-kertas yang dilipat selepas dicetak secara pukal (32 muka surat pada setiap keping kertas besar) tetapi belum 'dipisahkan' melalui potongan untuk membentuk muka-muka surat yang boleh diselak dan dibaca satu persatu seperti halnya buku yang sudah betul-betul siap. Padahal saya diberitahu hari sebelumnya iaitu Isnin 24 Jun sudah siap. 

Tu yang confident pagi Selasa boleh ambil buku di Batu Caves sekitar jam 9, hantar sejumlah kepada pengedar untuk dimasukkan ke kedai buku apabila pejabatnya dan gudang dibuka sejurus sebelum jam 10 kemudian berkejar ke ISTAC untuk wacana ilmu. Kalau begini lari bajet masa nampaknya. Namun apa boleh dibuat? Nak tak nak kena selesaikan dahulu urusan baru boleh hadapi yang lain...


Beginilah rupa buku yang sudah siap dipotong. Ambil sejumlah untuk diposkan kepada sebahagian penempah awal yang sudah membayar harga buku iaitu RM55 senaskah campur kos Poslaju (RM7.90 di Semenanjung, RM12.50 untuk Sabah/Sarawak) sementara yang lain sedang dipotong. Nasib baik ada kedai Poslaju tidak jauh dari kilang. Urusan mengepos di mana setiap buku memerlukan borang lengkap diisi sebelum dimasukkan ke dalam sampul Poslaju dan setiap buku harus ditulis nama pemilik dengan ucapan "Selamat Hari Raya" sebelum ditandatangani dan ditulis tarikh itu sendiri pun memakan masa.


Untuk sebahagian lagi penempah awal (kecuali mereka yang sudah menyatakan mahu mengambil sendiri daripada saya di mana-mana lalu tidak membayar kos pos) saya membuat keputusan untuk menghantar sendiri buku. Ini adalah untuk para pembeli awal yang beralamat di Lembah Klang dan Selangor. Sebetulnya lebih mudah untuk mengepos buku apa lagi kos Poslaju sudah dibayar. Tetapi muncul ilham beberapa hari sebelum itu agar dibuat kembara untuk menghantar buku. Sambil berjalan, sambil bertemu pembaca, sambil merapatkan silaturrahim dan berhari raya.

Selepas mengepos saya kembali ke kilang cetak untuk mengambil jumlah yang dipinta. Daripada itu separuh dihantar ke gudang pengedar yang terletak di kawasan lain dekat Batu Caves juga. Apabila sampai di halaman ISTAC sudah jam 11.58. Sedangkan wacana ilmu dijadualkan bermula jam 10 pagi sebelum tamat 12.30 tengah hari.


Dalam perjalanan menuju ke bilik persidangan di mana wacana sedang berlangsung terserempak pula dengan Prof Madya Dr Muhammad Pauzi Abd Latif. Beliau yang diberi tanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di ISTAC selain pakar yang mampu membuka dan mendirikan kembali rumah-rumah kayu tradisional merupakan salah seorang pensyarah saya pada semester tahun lepas. Pauzi ada menyatakan mahu membeli buku lalu mengambil senaskah dan membayar. Jadilah beliau pemilik pertama buku "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995".


Selepas itu baru masuk ke bilik wacana. Semasa turun tadi saya ada membawa 5 naskah buku. Sekarang tinggal 4. Ketika masuk bilik sudah jam 12.05. Pembentangan tentang "Antisemitism" oleh pengkaji dari Amerika Syarikat, Dr Kevin Barret sudah pun tamat. Yang tinggal adalah sesi soal jawab.


Antisemitism adalah terma yang biasa digunakan oleh orang Yahudi dan Israel untuk menyelar mereka yang tidak bersetuju atau mengutuk tindakan kejam mereka terhadap orang lain seperti sering dilakukan terhadap penduduk bangsa Arab di Palestin. Kononnya kita semua ini anti atau bencikan bangsa semite merujuk kepada mereka. Sedangkan terma semite itu sebenarnya turut meliputi orang Arab malah semua anak cucu Nabi Ibrahim AS. 

Walaupun masuk sangat lewat saya bersyukur masih dapat mengikuti sesi soal jawab. Rasa tak sia-sia mengejar wacana apabila mendapat tahu Barret sudah masuk Islam. Beliau dapat berkongsi perspektif alim ulamak Yahudi yang sendiri tidak bersetuju ke atas penindasan yang dibuat kaum mereka terhadap bangsa Arab.


Sebetulnya ada baiknya saya sampai lewat. Kalau tidak tentu terasa wajib menulis satu artikel untuk berkongsi isi dan ulasan tentang acara. Apapun, selain mahu mengikuti wacana saya mahu menyampaikan senaskah kepada seorang kawan lama, Taufiq Khalid. Ini adalah kawan yang pernah duduk sebilik semasa zaman kolej membuat A Level di Damansara Utama tahun 1988-1990. Semasa belajar di London tahun 1991-1995 saya pernah tumpang menginap di rumahnya selama beberapa bulan.


Beliau menjadi orang ke-2 memiliki buku baru saya. Oh. Sepatutnya saya sudah memakai salah satu baju songket yang disediakan isteri tapi tak sempat tukar. Sebaliknya saya masih memakai t-shirt hitam tertera perkataan "Haul Tok Pulau Manis" yang dibeli pada majlis berkenaan lebih 2 bulan lalu, bersama tanjak lasak. Lihat artikel-artikel berikut  di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-







Ini adalah update berkenaan yang dimasukkan ke dalam grup atau kumpulan WhatsApp "Kelab Buku Merah Silu" tidak lama selepas kawan tersebut menerima buku. Kelab ini baru diwujudkan pada hari Isnin 24 Jun. Ia sebenarnya adalah pertukaran nama daripada grup "Nabi Adam dan Benua Tua Melayu" yang diwujudkan awal tahun lalu untuk memudahkan urusan pengeposan buku baru saya ketika itu. Rujuk artikel Buku berkembar Adam Melayu dan Benua Tua mula menemui pembaca - Nostalgia perasaan yang timbul sekitar urusan berkenaan diikuti Bila mereka yang sudah membayar awal mendapat buku....


Selesai wacana dan soal jawab hadirin berlegar-legar untuk berbual antara satu sama lain. Tiba-tiba seorang bertanya tentang buku lalu saya pun memberikan penerangan ringkas. Disambarnya satu untuk menjadi pemilik ke-3 buku. Bila ditanya apakah nama untuk ditulis dan tanda tangan dia menyebut "Datuk Sulaiman".


Pemilik ke-4 juga membeli dalam bilik persidangan/wacana. Tetapi beliau yang merupakan orang berada daripada keluarga Sayyid as-Shahab Siak tidak mahu diambil gambar. Selepas itu saya ke pejabat Profesor Datuk Dr Awang Sariyan untuk menyerahkan naskah ke-5 yang disampaikan secara terus hari itu. Beliau yang merupakan salah seorang pensyarah saya di ISTAC sudah lama menempah senaskah, cuma tidak membuat bayaran awal. Katanya untuk menyatakan sokongan. 

Bagi saya ini satu penghormatan besar. Ini kerana beliau adalah seorang tokoh pejuang bahasa Melayu yang cukup dikenali dan disegani di Malaysia...


Selesai  berurusan juga berbual dengan bermacam orang saya menyendiri untuk menyiapkan beberapa perkara. Saya harus mencatatkan semua yang telah berlaku tentang buku hari itu sebelum keluar menyambung kembara supaya tidak lupa. Ketika itulah ditulis lalu dipersembahkan artikel bertajuk Memulakan kembara buku sempena keluarnya buku ke-13 jam 2.31 petang.


Selepas itu baru  mandi lalu menukar kepada busana tradisional Melayu penuh. Akibatnya dekat jam 3 baru keluar meninggalkan ISTAC untuk ke destinasi seterusnya iaitu Plaza Damas di Sri Hartamas bagi menyerahkan buku sambil bersilaturrahim dan berhari raya. Ikut rancangan asal saya harus bergerak selepas wacana dijadualkan tamat jam 12.30, paling lewat jam 1.30. Rupa-rupanya ada hikmah jua terlewat.


Kalau sampai awal tentu tidak dapat bertemu dengan pembeli dan pemilik buku yang seterusnya, puan Selma Enolil kerana beliau masih belum selesai urusan di luar pejabat. Harus dinyatakan beliau adalah junior setahun bawah saya semasa zaman A Level. Rasanya dah lebih 20 tahun tidak bertemu, berhubung pun tiada kecuali jadi friend di Facebook, tak ingat bila. Tiba-tiba beliau muncul menjadi penempah awal (pre-order) berbayar yang ke-13 untuk buku baru saya.


Mulai ini biar tajuk buku diringkaskan sebagai "Kenangan Eropah 1995" sahaja ya. Untuk ke destinasi seterusnya saya harus menuju ke Bangsar di selatan pusat bandar raya.


Naik ke tingkat 19 Menara UOA untuk bertemu pembeli pra-bayar seterusnya dalam laluan yang dirancang buat hari itu. Terus terang cakap semasa itu saya masih tertanya-tanya di manakah aku kenal mamat ni sebab dia bertegur sapa mesra macam kawan lama dalam FB. Rupa-rupanya hamba Allah bernama Azrul Shahreen ini diperkenalkan oleh seorang kawan lama A Level. 

Beliau dahulu pernah bersama menyambung pengajian pasca-siswazah di Institut Asia-Eropah,  Universiti Malaya bersama kawan tersebut. Mula-mula saya fikir kami berkenalan apabila saya diminta bersama mengendalikan satu bengkel di Tanjung Malim penghujung tahun 2016. Lihat artikel Melatih bakal guru di UPSI sebelum bersembang melepasi langit ke-7 di Sarang Art Hub. Bila disemak kembali dengan kawan rupa-rupanya ia daripada perkenalan dalam bengkel lebih awal di Shah Alam. Ketika itu saya diminta membantu menyediakan sejumlah pelajar terpilih universiti untuk menghadiri satu kursus kepimpinan di Jakarta...


Destinasi seterusnya Menara TM tiada dalam rancangan awal. Tetapi saya ke sana apabila mendapati letaknya tidak jauh daripada laluan...


Adapun ketika mengumumkan akan membuat kembara buku ini pada malam sebelumnya melalui FB saya ada memberitahu sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan buku boleh beritahu di ruangan komen FB atau WA nombor telefon saya. Ketika kembara sedang berlangsung isteri memberitahu seorang pembaca bernama Rafie Yunos telah membuat bayaran pada waktu sekian-sekian. Nasib baik ia dilakukan sebelum saya sampai Bangsar. Jadi bolehlah diatur serahan terus buku.



Nama Rafie sedia wujud dalam WA grup kerana merupakan salah seorang pembeli pra-bayar buku "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" awal tahun lalu. Oleh kerana beliau telah membayar sebelum menerima buku "Kenangan Eropah 1995" sedangkan kembara baru sahaja bermula selepas beberapa jam buku siap sepenuhnya beliau layak untuk dimasukkan ke dalam senarai penempah awal berbayar. Sebagai menghargai kepercayaan mereka yang mana wang diterima membantu membentuk sebahagian daripada kos percetakan senarai nama akan diabadikan dalam satu posting khas untuk buku. Sementara itu isteri saya yang berhubung dengan anak muda ini melalui WA grup. Isteri sendiri belum berkesempatan melihat buku lalu meminta Rafie berkongsi sedikit gambar di WA...








Destinasi seterusnya adalah di NU Sentral dalam kawasan KL Sentral di Brickfields. Pembeli dan pembayar awal adalah saudara Syed Fareed, kawan lama di Sekolah Menengah Sains Johor dahulu (SPM tahun 1987). Ini diikuti Syed Zambri di Menara Chulan, Jalan Conlay. Beliau adalah kawan lama satu batch A Level yang seingat saya tidak pernah ditemui atau dihubungi sejak meninggalkan kolej. Tiba-tiba muncul menjadi salah seorang penempah dan pembayar awal, alhamdulillah.


Saya tidak ada gambar dua orang Syed tadi bersama buku. Sebetulnya sepanjang siang itu tak sempat dan terlupa hendak mengambil gambar bersama pembeli/pemilik buku kerana terkejar-kejar masa. Ini kerana alamat-alamat yang diberikan adalah tempat kerja. Saya harus memastikan dapat menemui mereka pada waktu pejabat sedangkan dari satu pejabat ke satu pejabat bukanlah dekat, harus pula melepasi kesesakan jalan raya. 

Bila dapat menyampaikan buku kepada Syed Zambri sekitar jam 5.30 petang baru terasa lega. Ini kerana alamat-alamat seterusnya adalah di rumah kediaman termasuk lokasi seorang kawan lama, saudara Rosli Mohd Sah (gambar atas) yang juga adalah seorang penulis dan blogger. Beliau yang mula dikenali melalui satu forum di Internet tahun 2006 tidak masuk dalam senarai penempah awal. Apabila mengetahui saya akan menyampaikan buku ke satu alamat di Ampang menghampiri jalan belakang (naik turun bukit) ke Hulu Langat beliau mengajak singgah berhari raya sambil membeli buku di rumahnya di Pandan Indah. 

Ketika berada di rumah beliau sekitar waktu Maghrib baru dapat tahu penempah seterusnya sudah bergerak masuk ke lebuh raya KESAS. Rupa-rupanya alamat yang diberikan di sekitar Ampang itu alamat tempat kerja sahaja. Tempat duduknya jauh di Klang. Inilah salah satu cabaran yang dihadapi dalam kembara ini. Saya cuba seboleh dan sebaik mungkin untuk menyampaikan buku dengan tangan sendiri kepada para pembeli dan pembaca seraya datang berhari raya dan bersilaturrahim. Tapi mustahil untuk menetapkan masa tepat dapat berjumpa kecuali dah dekat kawasan disebabkan pelbagai cabaran seperti jarak dari tempat ke tempat, kesesakan lalu lintas juga masa yang harus diluangkan bagi setiap pembeli/pembaca.


Penghantaran seterusnya mahu dibuat ke rumah penempah awal, saudara Zaini Mohd Zin   di Taman Sutera, Bukit Angkat, Kajang. Ini diikuti puan Niza Lee di alamat rumah di Bukit Mewah, Kajang. Bila dihubungi Zaini harus bekerja di kilang sementara Niza menyatakan mahu bergerak untuk berhari raya di Kuala Lumpur. Berdasarkan ekonomi laluan pertemuan pun diatur agar buku dapat diserahkan terlebih dahulu kepada Niza di hadapan Masjid Sungai Sekamat (gambar atas). Selepas itu baru ke rumah Zaini lalu buku disambut oleh isterinya.


Ikut rancangan asal selepas itu mahu ke Seksyen 7 di Bandar Baru Bangi diikuti Kampung Sungai Tangkas menghampiri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tetapi ada pembeli yang meletakkan alamat pos rumah di Seremban memberitahu beliau bertugas di UKM lalu meminta agar buku dihantar ke tempat kerja pula. Saya pun mengatur agar 3 lokasi tersebut diliputi dalam kembara keesokan siang hari Rabu. Dengan itu destinasi seterusnya bagi hari Selasa yang sudah masuk malam Rabu adalah Suria Grande, Taman Bukit Semenyih. 



Namun ada juga terfikir untuk membatalkan perjalanan ke sana kerana sudah lewat malam dan penat sedangkan pembeli pra-bayar tidak dapat dihubungi melalui telefon. Mungkin lebih baik diposkan sahaja. Tetapi apabila memikirkan sudah berada di Kajang biar dipanjangkan sahaja sedikit lagi perjalanan ke lokasi. Bila dah sampai timbul pula kemusykilan betulkah alamat rumah ini? Ada banyak kereta mewah dan motosikal, pintu pagar tidak berkunci tapi bila dipanggil tiada orang. Alamat yang diberikan kelihatan dah betul. Call tuan rumah tetap tak dapat-dapat.

Setelah beberapa lama saya WA gambar hadapan rumah yang kelihatan satu nombor kereta. Selepas menunggu lagi buat suatu waktu saya nekad masukkan buku ke dalam kotak pos. Kalau tersilap alamat tak mengapalah, nanti saya pos pula senaskah buku. Tiba-tiba dapat jawaban memang betul itu rumahnya. Cuma tuan rumah masih berada jauh di Kuwait sedangkan ahli rumah yang lain sedang berada di luar kawasan. Lega sangat rasa kerana sudah menyampaikan di rumah yang betul. Selepas ini baru boleh berehat...


Dari Bukit Semenyih saya bergerak ke destinasi seterusnya di Bandar Seri Putera antara Bangi lama dengan sempadan Negeri Sembilan. Saya dah boleh mula berehat kerana pembeli pra-bayar yang hendak ditemui kali ini adalah seorang kawan baik lama yang rumahnya akan menjadi tempat penginapan saya malam itu. Kami bertemu di sebuah restoran dalam kawasan perumahannya di mana saya akhirnya dapat makan malam walaupun lewat. Jika siangnya saya cuma sempat makan 'tengah hari' selepas jam 6 petang iaitu selepas selesai segala urusan penghantaran di alamat-alamat pejabat malamnya pula dekat jam 11.15 baru boleh makan... 

Kawan bernama Zaidi Badron ini telah dikenali dekat 20 tahun atas asbab sama-sama suka mengembara dan ada menghadiri majlis-majlis zikir dan tariqat. Kali terakhir bertemu hampir penghujung 2017 kami keluar pusing naik motosikal besar sambil sempat mendaki gunung lebih 7,000 kaki tinggi di Banjaran Titiwangsa. Lihat Antara kenangan pengembaraan bermotosikal dan naik gunung dengan pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa.


'
Kali terakhir bertandang ke rumahnya pula adalah sekitar tahun 2013 ke 2015 gitu. Apapun sampai sahaja ke rumah meter kereta menunjukkan kembara buku hari pertama telah meliputi jarak hampir 150 km. Esok dijangka sambung lagi 150 km...