Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, April 10, 2015

Melihat keris berdiri di Kompleks Kraftangan



Selepas solat Zohor di Masjid Negara saya ke Kompleks Kraftangan di Jalan Conlay untuk melihat satu pameran yang dibuat kawan-kawan aktivis budaya Melayu. Sebetulnya saya tidak tahu bahawa pameran itu adalah sebahagian daripada aktiviti Hari Kraf Kebangsaan 2015 yang akan tamat malam itu. Patutlah bila bertanya pada seorang kawan di Facebook dia memberitahu pameran kumpulannya akan tamat hari Selasa.


Seperti hal majlis gambus di Muzium Negara pagi itu saya ke sini juga untuk menunjukkan sokongan kepada kawan-kawan. Oleh kerana saya menetap lebih 40 km ke utara Kuala Lumpur saya takkan masuk meredah kesesakan ibu kota jika tidak ada sebab yang kuat, apalagi dalam keadaan begitu penat setelah menganjurkan acara ke-13 HIKMAH Seri Menanti hari Sabtu kemudian ke Pulau Pinang hari Isnin.


Selalu bila akan melakukan beberapa perkara apabila keluar. Dalam hal ini ke acara gambus diikuti pameran kawan.


Saya tidak berapa mengendahkan pameran lain yang ada walaupun banyak. Saya sekadar mahu mencari pameran kawan-kawan lalu mula bertanyakan orang.


Soalan saya, ada nampak tak satu kumpulan berbusana Melayu tradisional bertanjak, bersampin. Ketika itu saya sendiri berpakaian begitu tapi jalan berseorangan.


Setelah beberapa lama baru terjumpa orang yang dapat memberitahu. Rupa-rupanya kawan-kawan membuat pameran di dalam Muzium Kraf. Walaupun sudah beberapa kali ke Kompleks Kraftangan baru kali itu saya tahu ada muzim. Saya pun melihat apa yang ada. Lihat artikel Muzium Kraf (Craft Museum), Jalan Conlay di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Tu dia pameran kawan-kawan dalam satu sudut muzium yang agak samar-samar. Rupa-rupanya mereka telah diminta mengendalikan demonstrasi cara-cara mendirikan keris. Ini bukanlah menggunakan apa-apa cara mistik. pakai jin, penunggu. khadam keris atau apa-apa yang sejenisnya. Sebaliknya ia adalah tentang mencari keseimbangan dan keris yang buatannya baik harus seimbang. Apabila kita dapat mencari titik keseimbangan itu maka keris dapat didirikan...

Oh. Sebagai peringatan untuk saya yang ada gila-gila nombor. Kamera yang dipakai untuk mengambil gambar-gambar ini, kamera pinjam kerana kamera saya sendiri hilang sekitar seminggu lalu ketika masuk hutan berdekatan di kawasan rumah menyatakan nama fail gambar sebagai DSC08888.JPG. Cukup.


Gambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir

Salam Jumaat. Ini ada cerita daripada 3 hari lalu...


Selasa 7 April 2015. Saya pergi ke Muzium Negara untuk satu acara...





Lalu di kawasan ini kelihatan satu pameran yang saya fikir sudah tamat sebulan lalu tapi dipanjangkan lagi tempoh.


Tapi saya bukan mahu ke situ.


Ada acara lain di auditorium bawah.



Sambil berjalan ke auditorium teringat saya pernah membuat pembentangan tertutup untuk kaki tangan muzium dalam bangunan utama pejabat hampir 3 tahun lalu. Lihat artikel lama Ceramah "Batu Nesan Aceh" di Muzium Negara.


Acara yang saya pergi ini dipanggil Bicara Gambus II. Topiknya adalah "Gambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir". Dipengerusikan oleh sahabat lama saya semasa zaman bersekolah rendah juga menengah di Muar, Raja Zulkarnain bin Raja Yusof yang sedang menerajui persatuan gambus tanah air, ia menonjolkan 3 orang panelis. Mereka ialah Mohd, Nizam Attan daripada Universiti Malaysia Kelantan (berbicara tentang "Tradisi Persembahan Kumpulan Gambus di Johor"), Abd Aziz bin Abdul Rashid daripada Muzium Seni Asia Universiti Malaya ("Proses Pembuatan Gambus Masyarakat Brunei Sabah") dan Saat bin Awang Damit ("Gambus dan Masyarakat Brunei : Instrumen Perpaduan").


Walaupun apa yang dikongsikan agak menarik dengan paparan-paparan slaid yang penuh maklumat saya tidak tergerak untuk mengambil gambar. Sebaliknya saya memilih untuk duduk diam dan mendengar. Selesai bicara dan soal jawab ada sedikit persembahan. Teringat acara-acara terdahulu berkenaan gambus yang turut diselenggarakan Raja Zulkarnain Lihat Layan festival gambus.dan Filem di UKM, gambus di UM dan kamera yang berkabus - Sedikit aktiviti untuk rakan aktivis Aceh.


Sebetulnya saya datang dalam keadaan malas hendak berfikir kerana sudah begitu kepenatan menganjurkan acara sendiri hujung minggu sebelumnya diikuti perjalanan ke Pulau Pinang hari Isnin untuk mengikuti acara lain. Lihat Sekitar HIKMAH Seri Menanti diikuti Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer, Raja Zulkarnain memberitahu, ketika membuka sesi soal jawab dia mengharapkan saya akan bertanyakan sesuatu kerana tahu selalunya saya akan bertanya pada mana-mana majlis yang ada perkongsian ilmu. Saya cuma tersenyum sahaja. Kalau tidak kerana menyokong kawan kemungkinan besar saya tidak akan datang kerana amat kepenatan.

Walaupun masih mampu mencerna ilmu, sebetulnya saya lebih mengharapkan hiburan petikan gambus yang memiliki irama yang kadangkala seperti boleh mengangkat kesedaran dalam dunia keSufian. Saya mengikuti pembentangan dalam keadaan mamai, kadangkala terlelap tetapi masih dapat mencerna hampir keseluruhan yang didengar. Bila selesai bicara dan soal jawab, persembahan yang dibuat pula terlalu singkat. Nasib baik ada lagi persembahan ketika makan tengah hari di luar auditorium...


Sebetulnya juga, walaupun kemungkinan besar saya tidak akan datang kalau tidak kerana mahu menyokong acara kawan, saya sedang mencari elemen yang sesuai dalam persembahan gambus yang mungkin boleh diselitkan dalam projek dokumentari "Daulah Melayu" di mana saya terlibat sebagai penyelidik dan hos. Macam tahu-tahu je, persembahan dimulakan dengan gurindam yang bersifat Sufi atau Tasawuf, ada bab mengenal diri. Meremang bulu roma saya, terus merasakan ini elemen yang sangat sesuai untuk dimasukkan ke dalam dokumentari. Fikir saya ketika itu ia harus daripada koleksi syair Hamzah Fansuri, wali besar dan pujangga Aceh, Rupa-rupanya gurindam daripada Raja Ali Haji, penulis kitab Tuhfat al-Nafis, cucu kepada pejuang besar berdarah Bugis, Raja Haji Fi Sabilillah ibni Daeng Chelak. Ini diikuti oleh satu lagu Melayu asli yang terus dapat saya 'tangkap' kerana irama yang begitu terasa keMelayuannya. Nah. Dua elemen ini, bab Sufi diikuti jiwa keMelayuan sudah cukup rencah jika mahu memasukkan persembahan gambus dalam dokumentari nanti...


Rabu, April 08, 2015

Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer

Pada penghujung artikel Sekitar HIKMAH Seri Menanti yang dipersembahkan tengah malam tadi ada disebut bahawa  tengah hari Ahad saya meninggalkan Seri Menanti, tidak boleh lebih lama di sana kerana perlu berehat sebelum berkejar ke utara untuk satu majlis lain. Saya dan keluarga sampai ke rumah sekitar jam 5. Malam itu, selepas mendapat sedikit tidur bermulalah cerita seterusnya...


Awal pagi Isnin 6 April 2015, sekitar jam 3.40 pagi saya berlepas ke Pulau Pinang selepas diambil 2 orang rakan yang datang dari Kota Damansara, Kuala Lumpur. Mereka ialah direktor atau pengarah berserta produser atau penerbit bagi siri dokumentari "Daulah Melayu" yang mana saya terlibat sebagai penyelidik dan hos. Kami ke pulau kerana seorang cendekiawan terkenal Barat akan berkongsi ilmu dan beliau adalah antara orang yang kami perlukan untuk mengisi siri dokumentari 13 episod sepanjang sejam setiap satu itu.


Kami sampai ke pulau sekitar 7.15 pagi. Pembentangan pula bermula jam 10, ada masa untuk berjalan-jalan sedikit.


Kami pun ke Kampung Melayu, Air Itam.


Boleh agak apakah 'misi' kami di sini? Hehe...


Apa lagi? Biar gambar yang bercerita...


Selesai sarapan baru ke lokasi acara iaitu Universiti Sains Malaysia atau USM di Bayan Lepas.


Sempat singgah di masjid universiti melepaskan hajat, mandi dan bersiap (saya pakai busana penuh Melayu berkeris bertanjak, lupa pula nak ambil gambar) sebelum ke dewan tempat acara. Lihat artikel Masjid (Mosque of) USM, Pulau Pinang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Nampak tak apa nama acara dan siapa pembentangnya? Sat. Saya cari poster yang telah diwar-warkan di Internet.



Nah. Ini harus cukup terang. Yang bercakap adalah Profesor (ikut ejaan Melayu cuma satu huruf 's') Dr. Stephen Oppenheimer. Beliau terkenal kerana menulis buku bertajuk "Eden of the East" (terbit 1998) menceritakan Asia Tenggara sebagai tempat asal usul pelbagai bangsa, dahulunya tanah besar dengan saiz dua kali ganda negara India tetapi kebanyakan tanahnya ditenggelami air akibat banjir besar sehingga terbentuk muka bumi yang kelihatan sekarang. Rujuk penerangan berkaitan dalam artikel Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Melacak kesan tanah tua di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Adapun hal tanah besar Asia Tenggara yang pernah wujud beribu tahun dahulu merupakan antara perkara yang mahu kami tonjolkan dalam dokumentari "Darah Melayu". Maka Oppenheimer termasuk dalam senarai orang-orang yang mahu diwawancara. Skop penyelidikan dan penggambaran akan meliputi beberapa negara, antaranya United Kingdom yang juga dikenali sebagai Great Britain. Fikir kami setelah beberapa hari di ibu kotanya iaitu London mahu ke Oxford, sekitar sejam perjalanan untuk bertemu Oppenheimer yang mengajar di sana. Siapa sangka tiba-tiba dapat berita beliau datang ke Pulau Pinang untuk membentang?


Rupa-rupanya beliau selalu ke Pulau Pinang, sekurang-kurangnya setahun sekali kerana isterinya yang berbangsa Cina berasal daripada sana. Sebelum syarahan atau perkongsian ilmu dimulakan kami sempat memperkenalkan diri  lalu memberitahu tujuan kami.


Beliau memulakan syarahan dengan bercerita tentang tanah besar yang dikenali pengkaji sebagai Sundaland... disebabkan semuanya terletak di atas plet bumi yang dipanggil Pentas Sunda.


Beliau seterusnya menyebut tentang penemuan satu bentuk kapak batu di Bukit Bunuh, Lenggong. Perak. Kapak itu telah didapati berusia 1.83 juta tahun.


Turut ditunjukkan adalah timbunan tanah yang dipercayai muncul akibat letupan gunung berapi gergasi di utara Sumatera, letupan yang membawa pada pembentukan Danau Toba lebih 70,000 tahun lalu. Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin daripada PPAG (Pusat Penyelidikan Arkeologi Global), USM kelihatan dalam gambar. PPAG adalah penganjur majlis ini dan Mokhtar hadir sama. Untuk pengetahuan beliau terlibat dalam kajian di Bukit Bunuh (lihat artikel lama Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011) dan pernah membentang pada acara ke-12 HIKMAH juga berkongsi ilmu di tapak penyelidikan. Lihat artikel HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9 diikuti Dari rumah ibadah 110SM ke kompleks pentadbiran 487SM dan Tapak peleburan besi di Sungai Batu - Bukti Kedah sudah mengeksport besi sejak lebih 2000 tahun lalu!


Seterusnya Oppenheimer menerangkan bagaimana kenaikan paras air akibat pencairan ais di Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan membawa kepada perubahan muka bumi yang membentuk Asia Tenggara kini.


Kalau tak salah ingatan gambarajah-gambarajah sama atau serupa telah saya lihat dalam buku "Eden of East". Saya pernah memiliki versi PDF, diperolehi daripada seorang pengkaji amatur.





Sayangnya PDF itu hilang apabila komputer laptop lama saya rosak. Terlupa nak back up...


Masuk bab kebudayaan juga sedikit teknologi lama tempatan di beberapa tempat.


Sesungguhnya kaitan antara semua ini termasuk cerita-cerita rakyat yang menyebut tentang berlakunya banjir besar membawa kepada penemuan bahawa pelbagai suku bangsa yang menghuni Alam Melayu pernah menetap di satu tanah sama yang luas.








Banjir besar tersebut (Oppenheimer menyebut ia berlaku 3 kali berdasarkan penemuan ahli arkeologi dan ini telah ditunjukkan pada 3 slaid awal) menyebabkan bangsa yang asalnya duduk di atas sekeping tanah menyebar luas berhijrah ke pulau-pulau sejauh Madagascar di Afrika dan Hawaii di Lautan Pasifik.


Secara rata isi pembentangan sampai ke tahap ini telah dikongsikan dalam buku "Eden of the East" 17 tahun lalu. Selepas itu baru Oppenheimer berkongsi beberapa penemuan baru dan ini melibatkan banyak perkara teknikal tentang DNA yang mungkin susah dicerna pembaca awam.


Oleh itu kita pergi terus pada kesimpulan...


Secara rata ia menunjukkan bahawa Asia Tenggara semasa ia masih tanah besar dahulukala adalah pusat peranakan jika bukan pun peradaban untuk manusia. Bahawa manusia Melayu itu sudah lama, sedia wujud di sini, bukan datang daripada Taiwan atau selatan Cina seperti disebut sesetengah orang. Bahkan orang Cina itu yang asalnya datang dari Asia Tenggara!


Selesai pembentangan, soal jawab pun dibuka. Saya terus menerpa ke mikrofon. Ini kerana mahu meminta Oppenheimer berpatah balik menunjukkan slaid kedua kesimpulan yang ada tajuk "Conclusions contd." itu... kerana saya tak sempat mengambil gambar semasa ia dipaparkan. Selepas itu baru bertanyakan beberapa soalan malah mula berdialog dengan Oppenheimer.

Tak perlulah dipanjangkan apa yang diperkatakan ya. Semasa makan tengah hari kami sempat berbual lagi, begitu juga halnya apabila melawat muzium berdekatan... tak rancang pun, tengok-tengok beliau pergi sama. Lihat artikel Galeri Arkeologi (Archaeology Gallery of) USM, Pulau Pinang. Cukuplah dinyatakan di sini bahawa apabila diminta menunjukkan kembali slaid kedua kesimpulan lalu menyatakan saya mahu meletakkannya dalam blogspot Oppenheimer meminta agar pembentangannya tidak disebarkan. Katanya ia adalah untuk hadirin dalam dewan sahaja kerana ada banyak penemuan baru yang belum disebarkan lagi, cuma menunggu masa yang sesuai. Namun saya boleh memilih sedikit yang boleh dikongsikan, perkara-perkara yang pernah disebarkan sebelum ini terutama melalui buku "Eden of the East". Iulah yang dikongsikan dalam artikel ini. Dengan ini cukuplah penerangan...

Sekitar HIKMAH Seri Menanti

Salam semua. Saya rasa pembaca setia blogspot ini juga mereka yang rajin mengikuti aktiviti-aktiviti saya tentu sedar pihak saya dengan kerjasama beberapa pihak telah berjaya menganjurkan acara ke-13 HIKMAH di Seri Menanti hujung minggu baru ini. Hari ini saya mahu berkongsi cerita sekitar acara.


Adapun acara itu sendiri berlangsung pada Sabtu 4 April. Tetapi disebabkan ia bertindan dengan satu program belia yang bermula malam sebelumnya saya harus bergerak ke lokasi petang Jumaat itu. Ini adalah gambar di rumah seorang kawan di Shah Alam yang disinggahi dalam perjalanan. Saya ambil gambar ini untuk menguji kamera digital yang dipinjam daripada kawan itu. Ini kerana beberapa hari sebelumnya saya hilang kamera milik sendiri setelah berjalan keluar masuk hutan berdekatan rumah. Nak beli kamera baru yang sesuai perlukan masa untuk memilih dengan bijak. Dan saya pun tiada bajet untuk membeli buat masa ini.


Keluar daripada kawasan rumah kawan di Shah Alam saya test lagi. Nampak ok kamera ini. Cuma ada sedikit masalah. Segala tulisan yang muncul pada skrin adalah tulisan Jepun, nak ubah tak boleh. Ini kerana kamera adalah hadiah yang diterima suami kawan semasa menghadiri satu majlis di sana. Maka nak ubah apa-apa setting, picture resolution dan sebagainya tak dapatlah kita. Kedua, ia model lama. Tidak ada butang terus untuk merakam video, kena ambil sedikit masa pakai dial untuk mengubah fungsi. Ketiga, setelah tangkap gambar ada pause sesaat dua tanpa ditunjukkan bagaimana rupa gambar yang diambil seperti boleh dilihat pada kamera-kamera digital sejak lebih 5 tahun kebelakangan kalau tak salah. Terpaksa masuk playback mode dan itu pun ambil masa untuk access, baru kita tahu gambar elok ke tak. Bila masuk playback pula kalau kita ada zoom sebelumnya ia akan kembali pada posisi asal. Dah satu kerja pulak nak kena zoom balik selepas itu. Apapun, alhamdulillah ada juga kamera kawan untuk membantu saya yang rajin merakamkan keadaan. Cuma rentak kebiasaan merakam sedikit terganggu akibat masalah-masalah ini.


Kami meninggalkan Shah Alam selepas jam 5 lalu bertembung dengan trafik orang balik kerja. Masuk Lebuhraya PLUS terus kena, sampai belakang Sunway (saya tak ingat nama tempat) baru reda. Itu pun kena balik kesesakan apabila menghampiri Seremban, masuk jalan ke Kuala Pilah kena lagi dan ini semua memakan masa. Sebaik sahaja kelihatan masjid ini di Ulu Bendol kami pun masuk untuk menunaikan solat Asar. Ketika kami sampai sudah hampir jam 7. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ulu Bendol, Negeri Sembilan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Solat Maghrib dan Isyaq pula dijamakkan di tempat lain iaitu Masjid Tuan Tulis. Di sana kami melepak lama sambil menziarahi makam Tuan Tulis kemudian makan malam. Sekitar jam 9.30 malam baru kami masuk ke tempat lokasi acara HIKMAH Seri Menanti iaitu Ladang Alam Warisan. Kelihatan dalam gambar filem "Queen of Langkasuka" sedang dimainkan.


Ikut atur cara dalam program belia tayangan dibuat untuk para pelajar universiti yang menyertai program yang datang dengan 3 buah bas dari Lembah Klang. Cuma disebabkan kesesakan lalu lintas yang mengganggu laluan banyak tempat mereka sampai tengah malam. Ketika itu tayangan sudah tamat. Memandangkan malam sudah lewat, tidaklah dibuat tayangan lagi tetapi diteruskan dengan pengenalan juga taklimat yang mengambil banyak masa juga.


Selepas itu mereka disuruh membuat apa yang patut seperti membersihkan dan menyediakan tempat. Sepanduk HIKMAH pun dipasang bersama sepanduk program belia yang dipanggil Konvensyen Anak Melayu di bawah. Ketika gambar ini diambil sudah hampir jam 1.30. Sekitar jam 2 pagi baru saya masuk tidur. Saya difahamkan para pelajar terus membuat kerja. Jam 3 baru dapat masuk tidur...


Seawal jam 6 pagi, selepas solat Subuh para pelajar bergotong-royong lagi membersihkan kawasan ladang yang kalau tak salah meliputi tanah seluas 20 ekar. Saya pula keluar bersenam mengambil angin segar, selepas itu baru mengajak dua orang pelajar keluar untuk memasang satu lagi sepanduk HIKMAH iaitu di tepi jalan sebelah simpang masuk ke ladang.


Jam 10 pagi baru HIKMAH Seri Menanti dimulakan. Ketika itu semua sudah dapat sedikit rehat, sudah mandi-manda lalu datang berpakaian cantik.


Kata-kata aluan dan pengenalan pun diberikan. Lihat artikel HIKMAH Seri Menanti - Antara hamba dan tuan hamba di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Sekitar jam 10.40 pula baru dimulakan sesi pembentangan pagi/tengah hari.


Walaupun ia bermula 40 minit lewat daripada jadual asal ini tiada masalah kerana kami sudah biasa dengan perubahan yang boleh tiba-tiba muncul pada hari acara. Masa asal yang diperuntukkan hingga jam 12.30 pun sebenarnya sudah cukup untuk menampung kelewatan kerana aturan yang kami buat telah mengambil kira pelbagai faktor. Malah kami diminta meneruskan hingga jam 1 sementara menunggu hidangan makan tengah hari siap. Lihat HIKMAH Seri Menanti - Dinar dirham, pedang Zulfiqar dan fitnah Dajjal.


Sesi pembentangan petang yang sepatutnya dimulakan jam 2.30 pula dilewatkan sekitar 20 minit. Saya yang menjadi pembentang terakhir sempat berhenti sejenak untuk mendengar azan Asar berkumandang sebelum menyambung kembali dalam 10 minit. Kelihatan di atas pembentang kedua sesi, datang daripada Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Alhamdulillah, walaupun muncul kelewatan-kelewatan yang disebut disebabkan beberapa hal, misalnya menunggu semua pelajar siap, memberi laluan kepada satu rakaman televisyen dengan tuan punya ladang juga menunggu lebih ramai hadirin luar (selain pelajar) datang, semua dapat dilaksanakan dalam tempoh yang munasabah. Lihat HIKMAH Seri Menanti - Teknologi Melayu, sejarah orang Minang dan pembukaan laluan lama.


Sekitar jam 5.30 iaitu selepas rehat Asar sesi berkumpulan pun dimulakan. Ini adalah sesi di mana peserta/hadirin dibahagikan kepada 10 kumpulan menurut minat seperti Perkerisan dan Persilatan. Ia menjadi bengkel untuk belajar berkongsi ilmu sambil untuk menggalakan peserta berinteraksi sesama sendiri. Untuk pengetahuan setiap kumpulan dipandu seorang moderator yang cukup arif dalam bidang.


Sesi kali ini terlebih istimewa kerana ia dibuat untuk membantu pengisian satu siri dokumentari 13 episod sepanjang sejam setiap satu. Diberi tajuk "Daulah Melayu", saya terlibat sebagai penyelidik dan hos. Ia juga terlebih istimewa kerana melibatkan ramai pelajar, lebih 100 orang. Oleh itu mereka pun diminta untuk merumuskan maklum balas setiap kumpulan. Lihat HIKMAH Seri Menanti - Mengisi "Daulah Melayu" sambil mengalakkan anak muda berani bersuara.


Selepas masuk waktu Maghrib masih ramai berlegar-legar walaupun acara secara rasminya sudah tamat.


Ketika itu, ketika sebahagian besar peserta luar sudah meninggalkan tempat baru teringat untuk bergambar beramai-ramai.


Walaupun HIKMAH Seri Menanti sudah tamat, Konvensyen Anak Melayu masih berjalan. Selepas jam 9, selepas semua sudah dapat sedikit rehat, mandi dan bersalin pakaian acara disambung dengan pembentangan khas daripada saya untuk pelajar. Sebelum itu seorang sahabat kami daripada Aceh sempat mendendangkan 2 lagu nasyid. Lihat HIKMAH Seri Menanti - Malam yang istimewa untuk pelajar. Pembentangan saya disusuli sesi soal jawab yang berlangsung sehingga tengah malam.


Awal pagi Ahad saya keluar lagi bersenam sambil berjalan-jalan melihat persekitaran kampung.


Lihat sejenak sepanduk HIKMAH di luar sebelum menurunkan ia bersendirian. Nak turun senang, nak pasang yang perlu 2-3 orang.


Jalan menuju ke tempat saya dan keluarga menginap, sebuah rumah tradisional warisan keluarga pemilik ladang.


Di ladang kelihatan para pelajar sedang berbaris setelah melakukan gotong-royong membersihkan kawasan. Selepas itu mereka meneruskan program untuk hari itu iaitu menunggang kuda dan memanah diikuti ceramah oleh pemilik ladang tentang faedah aktiviti-aktiviti tersebut termasuk daripada sudut agama dan sunnah.


Saya pula bersama isteri, anak-anak juga sahabat dari Aceh dan keluarganya mandi sungai yang mengalir dalam ladang. Tengah hari baru meninggalkan Seri Menanti. Saya perlu berehat sebelum berkejar ke utara untuk satu majlis lain. Sekian.