Salam malam Jumaat. Ada sedikit perkongsian mahu dibuat.
Gambar hiasan di hadapan makam Rasulullah SAW. Daripada artikel Ziarah dan umrah 2013 - Masjid Nabawi, Raudhah dan tempat-tempat menarik di sekeliling...
Malam ini 27 Ramadhan 1443 Hijriah genaplah usia saya menjadi 53 tahun menurut kalendar Hijriah. Kalau menurut kalendar Barat atau Gregorian kena tunggu 26 November tahun 2022 ini baru menjadi 53 tahun. Sekadar mengingatkan satu tahun Hijriah yang berdasarkan peredaran bulan memakan masa 354 hari. Ia adalah 11 hari lebih pendek daripada satu tahun Barat yang berdasarkan peredaran bumi mengelilingi matahari iaitu 365.25 hari. Sebab itu ada satu tahun lompat bagi setiap 4 tahun barat. Ini supaya tiga tahun pertama boleh digenapkan menjadi 365 hari, pada tahun keempat jadilah tahun lompat yang mengandungi 366 hari.
Satu perkara menarik tentang tarikh 27 Ramadhan 1443 adalah ia jatuh pada hari Jumaat. Sekadar memaklumkan. Saya dilahirkan pada 27 Ramadhan 1390 Hijriah bersamaan 26 November 1970 pada malam Jumaat. Walaupun lahir jam 11.04 pada waktu malam hari Khamis, menurut kiraan Islam yang mana setiap hari baru bermula dengan masuknya waktu Maghrib maka malam itu sudah masuk hari Jumaat. Oh. Hampir setahun setengah lalu saya pernah membuat satu jadual bagi melihat pada tahun-tahun Barat manakah yang tarikh 26 November jatuh pada hari Khamis lalu malamnya adalah malam Jumaat. Lihat Apabila ulang tahun kelahiran yang ke-50 juga jatuh pada malam Jumaat.
Sekarang biar dibuat satu untuk 27 Ramadhan dari tahun 1390 Hijriah hingga kini. Kira-kira sendiri boleh dibuat berdasarkan satu tahun Hijriah mengandungi 354 hari. Bahagi dengan 7 (kerana seminggu terdapat 7 hari) didapati menjadi 50 x 7 + 4. Ada anjakan 4 hari bagi setiap tahun Hijriah. Saya sudah tahu dengan jelas bahawa 27 Ramadhan 1390 Hijriah jatuh pada hari Jumaat. Tepat setahun selepas itu ia harus jatuh pada hari Selasa (4 hari selepas hari Jumaat). Kalau begitu perlu dicari berapa darab 4 boleh dibahagikan tepat dengan 7 tanpa memberikan baki. Berdasarkan ini setiap kali tepat 7 tahun Hijriah selepas tarikh 27 Ramadhan 1390 Hijriah harus jatuh pada hari Jumaat. Mudah bukan? Rupanya tidak.
Berdasarkan itu, 50 tahun Hijriah selepas itu iaitu tarikh 27 Ramadhan 1440 Hijriah harus jatuh pada hari Jumaat. Selepas itu kena 7 tahun Hijriah kemudian iaitu pada 27 Ramadhan 1447 baru jatuh lagi pada hari Jumaat. Bermakna 27 Ramadhan 1443 iaitu hari ini tidak patut jatuh pada hari Jumaat. Kenapa boleh jadi begini?
Saya pun menyemak kembali perkara lalu mendapati memang benar satu tahun Hijriah adalah sepanjang 354 hari. Tetapi bukan bagi setiap tahun. Dalam tempoh setiap 30 tahun, 11 tahun daripada itu menyaksikan bulan Zulhijjah adalah sepanjang 29 hari, pada 19 tahun lagi adalah sepanjang 30 hari. Ini bermakna ada lebih banyak tahun yang panjangnya adalah 355 hari.
Ah. Bukan mudah nampaknya untuk menentukan bilakah jatuh lagi hari Jumaat bagi tarikh 27 Ramadhan. Tak mengapalah. Buat dahulu anggaran begini berdasarkan anjakan 4 hari seperti disebut tadi. Kemudian anjakan 5 hari bagi tahun berikutnya lalu berselang-seli. Itu bagi 22 tahun terawal (kerana 11 tahun dari 30 tahun adalah sepanjang 354 hari). Lapan tahun seterusnya ada anjakan 5 hari (kerana setahun adalah sepanjang 355 hari). Selepas itu kitaran berulang.
Perkara ini boleh dilihat begini : 4 + 5 (selepas 2 tahun) menjadi 2 (baki selepas dibahagi 7). Pada tahun kempat menjadi 2 + 4 + 5 = 11 menjadi 4 (baki selepas dibahagi 7). Pada tahun kelima menjadi 1 balik, Tahun keenam menjadi 5. Tahun ketujuh jadi 3. Tahun kelapan jadi 7. Ertinya lapan tahun selepas 1390 iaitu pada tahun 1398, 27 Ramadhan harus jatuh pada hari Jumaat.
Saya pun menyemak menggunakan program Gregorian to Hijriah Converter (lihat sini) lalu mendapati ia adalah benar. Kalau begitu 8 tahun kemudian iaitu pada tahun 1406, 27 Ramadhan harus juga jatuh pada hari Jumaat. Tengok-tengok program menyatakan ia jatuh pada hari Khamis. Tetapi ia juga menyatakan boleh jadi ralat sehari.
Jadi kalau kita menjangkakan 27 Ramadhan bagi satu tahun itu jatuh pada hari Jumaat tetapi program menyatakan ia jatuh pada hari Khamis atau Sabtu kiranya masih boleh diterima disebabkan ralat. Malah program sebenarnya menyatakan 27 Ramadhan 1443 Hijriah jatuh 28 April 2022 hari Khamis. Sedangkan menurut kalendar fizikal yang menjadi rujukan di rumah ia jatuh pada hari Jumaat dan begitulah yang dilihat, sekurang-kurangnya di Malaysia pada hari ini. Ingat. Tarikh jatuhnya 1 Ramadhan dan kemudiannya 1 Syawal boleh jadi berbeza antara negara berdasarkan bagaimana mereka dapat melihat anak bulan. Pendek kata memang susah hendak menyemak ke belakang dengan tepat pada tahun Hijriah berapakah 27 Ramadhan jatuh pada hari Jumaat.
Yang jelas 27 Ramadhan kali ini iaitu bagi tahun 1443 Hijriah di Malaysia jatuh pada hari Jumaat. Lalu ia menjadi ulang tahun saya yang ke-53 menurut tahun Hijriah. Apa yang menarik tentang nombor 53 ini adalah apabila dikaitkan dengan Rasulullah SAW. Baginda dikatakan lahir pada 12 Rabiulawal (tetapi ada lain-lain pendapat) yang menurut sesetengah pihak adalah bersamaan 20 April tahun 571. Masihi. Ketika berumur 40 tahun (tapi tak pasti tepat 40 tahun atau sekitar itu) menerima wahyu pertama. Selepas 13 tahun di Mekah berhijrah ke Madinah. Ketika itu baginda harus sudah berumur 53 tahun (menurut kiraan Hijriah tetapi tak pasti tepat 53 tahun atau bagaimana).
Ada pihak meletakkan tarikh tepat peristiwa Hijrah itu sendiri berlaku adalah pada 16 Julai tahun 622 Masihi. Untuk pengetahuan kalendar Hijriah pula mula dipakai pada zaman Khalifah kedua Islam iaitu Saidina Umar (634 – 644). Baginda naik memimpin ummah selepas 12 tahun Nabi Muhammad SAW wafat lalu menerbitkan kalendar baru Hijriah tanpa panduan nyata daripada Rasulullah SAW. Dan ia dibuat dalam konteks perkiraan bulan-bulan yang sudah digunapakai masyarakat Arab sejak sekian lama. Lalu perkiraannya dikatakan bermula pada tarikh yang bersamaan 19 April.
Menurut perkiraan ini peristiwa Hijrah berlaku pada 8 Rabiuawal iaitu 66 hari selepas masuk bulan Muharram. Berdasarkan Rasulullah dikatakan lahir pada 20 April 571 baginda harus berumur 51 tahun 2 bulan 27 hari menurut kiraan Barat ketika berhijrah ke Madinah pada 16 Julai 622. Kira-kira saya menunjukkan baginda berumur 52 tahun 9 bulan 11 hari ketika itu. Belumlah tepat 53 tahun. Ertinya selepas 2 bulan 19 hari gitu berhijrah baru baginda berumur 53 tahun.
Apapun ini semua anggaran berdasarkan tarikh-tarikh yang boleh dicari Internet. Yang signifikan bagi saya adalah selepas mendapat wahyu ketika berumur 40 tahun baginda berdakwah selama 13 tahun di Mekah. Yang itu lebih pada ilmu ketauhidan. Selepas itu iaitu pada umur sekitar 53 tahun baginda berhijrah ke Madinah lalu mula mendapat wahyu yang melibatkan kemasyarakatan juga kenegaraan.
Sekadar menambah. Kebetulan ini adalah artikel ke-2,253 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Macam ada kena mengena pula dengan umur 53 tahun itu. Cukup. :]