OK. Ini ada perkongsian daripada majlis ilmu terbaru di tempat saya belajar iaitu ISTAC. Bersama perkongsian ini ada pengumuman tentang polisi-polisi baru yang nampaknya akan menetapkan arah tuju ISTAC.
Jumaat 18 Januari saya menerima poster atas melalui WhatsApp daripada penyelia tesis saya Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Melihat tarikh dan masa acara saya pun menjawab insyaallah akan hadir pagi Isnin 28 Januari. Memang pun kebiasaan sejak awal tahun 2019 ini saya ke ISTAC pagi Isnin untuk berbincang tentang perjalanan tesis bersama beliau.
Pagi Sabtu 26 Januari beliau mengingatkan lagi dengan menghantar poster yang sama. Kali ini disertai sekali poster butiran atur acara seperti yang kelihatan. Memang menarik pengisian majlis. Ada pelancaran bagi perkara-perkara berikut :-
1. Buku "Shyakh Ahmadou Bamba : A Peacemaker for Our Time" tulisan Michelle Kimball
2. Unit Perbandingan Agama dan Dialog Antara Kebudayaan (terjemahan saya)
3. Forum bulanan diskusi atau perbincangan buku
Pelancaran 3 perkara ini akan dibuat sekali gus oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dato Dzulkifli Abdul Razak. Selepas itu akan diadakan diskusi buku "Shyakh Ahmadou Bamba" (menepati perkara 1 dan 3). Ini diikuti perbualan (terjemahan saya untuk conversation) penganut Muslim-Buddha menepati perkara 2.
Sampai masanya saya pun bergegas ke ISTAC untuk majlis.
Masuk bilik majlis ia sudah dipenuhi hadirin yang kebanyakannya adalah orang akademik.
Osman pula sedang memberikan ucapan pembukaan. Untuk makluman beliau yang menyertai ISTAC September tahun lalu menjadi Sheikhul Kulliyah iaitu orang yang bertanggungjawab membentuk segala macam polisi dan pengisian ilmu di institut. Kecendekiawan Osman diakui ramai sehingga tersenarai antara 500 orang tokoh Islam paling berpengaruh di dunia. Selain itu beliau adalah pemegang kedua Kerusi Al-Ghazzali, satu kedudukan kecendiakawanan tertinggi di ISTAC.
Sejak menyertai ISTAC Osman mula merangka pengisian keilmuan daripada semua segi termasuk membentuk komponen-komponen pengajian baru institut. Saya berpeluang mendengar buah fikiran beliau dalam beberapa pertemuan di pejabat. Namun sering kali saya terpaksa menunggu lama sebelum dapat berbincang kerana kesibukan beliau menangani pelbagai hal selain selalu sahaja datang cendekiawan dari berbagai institusi pengajian tinggi untuk bersua muka.
Pada majlis terbaru ini hadirin diberitahu bagaimana ia asalnya dirancang untuk melancarkan buku tulisan Kimball (saya menggunakan kebiasaan penulisan surat khabar menyebut nama keluarga atau last name untuk orang Barat) lalu dibuat diskusi tentangnya. Osman mengenalinya sebagai seorang yang aktif dalam Peace Studies atau pengajian keamanan dunia. Kebetulan beliau sedang mengstrukturkan ISTAC lalu mendapati buku itu bagus untuk membentuk pengajian keamanan juga kajian tentang konflik. Jadi biarlah majlis digunakan untuk melancarkan satu unit baru yang berkenaan iaitu Comparative Religion and Intercultural Dialogue. Saya terjemahkan ini sebagai Unit Perbandingan Agama dan Dialog Antara Kebudayaan.
Di bawah unit dan tajuk tersebut akan dibuat kajian tentang keamanan, konflik, keganasan, ekstrimisma, radikalisma dan banyak lagi perkara yang berkaitan. Isu-isu ekologi, alam persekitaran, kekeluargaan dan sebagainya pun boleh diliputi dalam tajuk sama. Yang penting adalah pendekatan perbandingan dalam menangani isu-isu.
Apabila hal ini disuarakan kepada Rektor beliau pun mencadangkan agar selain melancarkan Unit Perbandingan Agama dan Dialog Antara Kebudayaan biar diadakan sekali satu sesi dialog berkenaan. Maka itu dimasukkan sekali Muslim-Buddhist Conversation sebagai komponen akhir majlis. Ini boleh diterjemahkan sebagai Perbualan Penganut Islam-Buddha.
Oleh kerana diskusi buku mahu dijadikan acara bulanan maka diadakan sekali pelancaran ISTAC Monthly Book Discussion Forum atau forum diskusi/perbincangan bulanan buku ISTAC. Maka jadilah ini majlis pelancaran "3 dalam 1". Diskusi buku dan perbualan antara penganut agama adalah hasil daripada pelancaran tersebut.
Hampir jam 10 sampai masa untuk Dzulkifli memberikan ucapan pelancaran. Beliau dilantik sebagai Rektor ke-6 UIAM tidak lama selepas Pakatan Harapan mengambil-alih teraju kepimpinan kerajaan Malaysia daripada Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Kata beliau inilah kali pertama terlibat dalam majlis rasmi di ISTAC sejak menjadi Rektor. Kalau tidak beliau sekadar ada bertandang turun naik kawasan.
Untuk makluman ISTAC bermula sebagai satu badan otonomi di bawah UIAM. Kemudian ia diturunkan ke taraf Kulliyah iaitu satu fakulti di bawah pentadbiran keseluruhan universiti. Dalam majlis ini beliau memberitahu ISTAC akan diberikan kembali otonomi untuk menentukan hala tuju sendiri seperti mana keadaan ketika berada di bawah kepimpinan pengasas iaitu Syed Naguib. Sebelum memberitahu ini Dzulkifli telah memanjangkan penghargaan terhadap tokoh besar itu dengan menyatakan bagaimana Naquib yang merupakan seorang intelektual/cendekiawan besar Islam peringkat dunia itu bertanggungjawab membina ISTAC daripada sekecil-kecil perkara sehingga meliputi semua benda untuk menjadikan ia satu institusi antarabangsa yang dikagumi ramai.
Hinggakan bangunan ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur itu sendiri dapat memancarkan aura unik hebat yang harus dapat dirasai oleh semua. Dzulkifli menyebut ini sebagai hasil labour of love (pekerjaan cinta?) Syed Naquib lalu menyatakan penghargaan kepada majlis. Kata beliau pada bangunan ini pengasas telah meninggalkan satu legasi untuk menyumbang ilmu pengetahuan juga membuat kebaikan kepada manusia sejagat.
Dzulkifli mengingatkan betapa bangunan ISTAC ini begitu bermakna dan apa yang patut diperjuangkan. Beliau seterusnya mengumumkan pihak jawatankuasa UIAM telah bersetuju untuk mengembalikan nama asal ISTAC iaitu International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam). Untuk pengetahuan itulah nama yang diperkenalkan oleh Naquib lalu membawa kepada singkatan ISTAC. Tetapi ia diubah menjadi International Institute of Islamic Civilisation and Malay World bermula Oktober 2017. Hal ini menyebabkan ramai bekas pelajar ISTAC menganggap ia sudah lari daripada landasan dan gagasan yang diperkenalkan oleh pengasas. Tentang hal ini akan saya beri ulasan pada akhir artikel nanti.
Inilah kali pertama saya mendengar Dzulkifli berucap. Saya dapati beliau memang memiliki daya keintelektualan yang tinggi serta gagasan dan wawasan yang memandang jauh ke hadapan. Dzulkifli memberitahu ISTAC harus menjadi wadah kesedaran masyarakat juga umat manusia sejagat. Kita perlu menjadi suara yang memberitahu dunia apa yang sudah lari daripada landasan (what has gone wrong) dan apa yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu memberitahu dunia apakah yang bathil apakah yang benar. Dengan itu kita tidak akan berkompromi untuk menegakkan keadilan.
Kita mesti memastikan ISTAC berdiri untuk semua orang baik Islam dan bukan Islam. Banyak isu tertunggak perlu diangkat kembali untuk kebaikan jutaan, mungkin berbillion umat manusia. Untuk itu tindakan perlu dilakukan agar pandangan umat Islam tidak diketepikan dalam perbincangan dunia. Seringkali umat Islam disudutkan daripada memberikan buah fikiran berguna dalam forum-forum besar. Sudah sampai masanya kita bertindak berani (beliau menggunakan ungkapan take the bull by its horn - menguasai lembu dengan memulas tanduknya) agar suara Muslim didengari dalam majlis-majlis global.
Beliau merujuk secara spesifik kepada World Economic Forum (Forum Ekonomi Dunia) yang baru diadakan beberapa hari lalu. Umum tahu bagaimana majlis yang diadakan setiap tahun di Davos, Switzerland ini dihadiri para pemimpin besar dunia, pakar-pakar ekonomi dan ahli-ahli perniagaan peringkat global. Kata beliau suara negara dan orang Islam begitu kecil dalam forum tersebut. Oleh itu ISTAC harus memainkan peranan untuk mengimbangkan keadaan dengan mengadakan forum tahunan sendiri untuk menyuarakan reaksi ummah terhadap apa sahaja yang dibincangkan di Davos.
Saya dapati ada lagi beberapa perkara menarik diketengahkan Dzulkifli. Antaranya tentang bagaimana kita harus mempelajari model dan institusi wakaf yang menerbitkan universiti tertua di dunia yang masih beroperasi hingga kini iaitu Al Qarawiyyin di Morocco (Maghribi). Untuk pengetahuan ia diasaskan pada tahun 859 Masihi. Cuma satu perkara saya tidak bersetuju iaitu apabila Dzulkifli mempersoalkan penggunaan perkataan universiti untuk institusi pengajian tinggi. Kata beliau ia pertama kali digunakan ketika Universiti Bologna diasaskan di Itali abad ke-11 Masihi, universiti tertua masih beroperasi dalam dunia Barat.
Dzulkfili tidak menggemari perkataan universiti disebabkan salah satu definisi asas yang diberikan mereka adalah universiti mesti menjadi pemegang amanah tradisi kemanusiaan (humanities) Eropah. Tentunya definisi ini bercanggah dengan makna murni kemanusiaan dalam Islam yang mengkehadapan perintah Allah SWT, bukan keinginan manusia untuk melakukan sesuatu mengikut suka hati mereka seperti selalu diwar-warkan para pejuang 'hak asasi' berkiblatkan Barat. Oleh itu beliau mencadangkan penggunaan perkataan Jami'ah adalah lebih baik berbanding universiti.
Pada saya tidak perlu itu. Pada saya persetankan pandangan Barat tentang apa itu universiti. Pada saya tak perlu pergi jauh. Kembali sahaja kepada perkataan asas atau akar universe yang menerbitkan perkataan university itu sendiri. Ia bermaksud alam semesta... tiada kena mengena pun dengan idealisma Barat dan konsep kemanusiaan mereka yang mengenepikan peranan dan perintah Allah SWT.
Malah perkataan university lebih selari dengan konsep universal man - manusia alam sejagat. Inilah terjemahan ke dalam bahasa Inggeris yang sering diberikan oleh para sarjana Barat ketika memperkatakan konsep Insan Al-Kamil, manusia sempurna yang diceritakan kitab-kitab Tasawuf. Pada saya universiti adalah tempat untuk menerbitkan insan-insan sempurna yang tahu pelbagai perkara lalu sangat berguna kepada masyarakat menurut neraca sebenar Islam. Cuma konsep ini nampaknya sudah hilang ditelan zaman akibat universiti lebih dijadikan tempat untuk memenuhi keperluan mengisi pekerjaan, satu natijah besar daripada revolusi industri yang bermula di Eropah pada abad ke-18.
Ah. Dah jauh pula saya melalut. Kembali kepada tujuan utama majlis iaitu pelancaran 3 perkara. Tentunya paling utama kerana menjadi asbab majlis diadakan adalah pelancaran buku...
Selesai ucapan Dzulkifli pun melancarkan ketiga-tiga perkara berikut sekaligus : -
1. Buku "Shyakh Ahmadou Bamba : A Peacemaker for Our Time"
2. Unit Perbandingan Agama dan Dialog Antara Kebudayaan
3. Forum bulanan diskusi atau perbincangan buku
Kelihatan di hadapan beliau bersama penulis buku iaitu Michelle Kimball.
Jam10.30 komponen seterusnya majlis dimulakan dengan pengenalan oleh Timbalan Dekan Kajian dan Akademik ISTAC, Profesor Madya Dr Danial Mohd Yusuf. Beliau yang bertindak sebagai pengerusi sesi turut memperkenalkan dua orang responden yang akan mengulas buku - Profesor Dr Kamar Oniah Kamaruzaman dan Penolong (Assistant) Profesor Dr Imtiyaz Yusuf, kedua-duanya dari ISTAC.
Sebelum ulasan tentunya kita harus menghadam ringkasan isi buku oleh penulisnya, Michelle Kimball.
Beliau memulakan dengan memperkenalkan subjek buku - Shyakh Ahmadou Bamba, seorang tokoh Islam yang lahir di Senegal tahun 1853. Beliau yang hidup sehingga tahun 1927 terkenal sebagai seorang guru Sufi (Tasawuf) yang dianggap keramat. Nama beliau terus mekar di Afrika sehingga gambar-gambarnya boleh ditemui terpampang di merata tempat.
Shyakh Ahmadou hidup ketika Peranchis sedang menjajah Senegal dan hampir sepertiga benua Afrika. Walaupun beliau seorang yang menjunjung tinggi keamanan sehingga pernah mengisytiharkan tidak akan sekali-kali mengangkat senjata untuk menyelesaikan apa jua pun bentuk perbalahan kewujudan beliau sangat dikhuatiri dan dicurigai oleh Peranchis. Ini disebabkan pengaruh luar biasa terhadap masyarakat. Seringkali orang ramai datang berkumpul untuk bertemu sehingga ditakuti beliau akan melancarkan perang bagi menentang penjajah.
Menurut Kimball, Shyakh Ahmadou Bamba menjunjung tinggi konsep Ihsan dalam amalan dan ajarannya. Beliau menyatakan ia sebagai usaha untuk mencantikkan atau memperindahkan roh seseorang. Saya berpegang kepada makna Ihsan yang difahami telah disebut baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW sebagai begini :-
Ihsan adalah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya dia sedang melihat kamu.
- Hadis diriwayatkan Abu Hurairah RA.
Pada suatu hari Shyakh Ahmadou mendapat alamat agar mencari satu pokok besar untuk dibina penempatan baru penuh keamanan. Ini adalah berdasarkan pohon bernama Touba yang disebut dalam Al-Quran wujud di dalam syurga. Beliau pun mengembara jauh ke dalam hutan sehingga dapat hidup bersama binatang-binatang buas. Setelah beberapa lama pokok yang sesuai pun ditemui lalu dibinalah satu penempatan.
Penempatan baru ini menarik ramai untuk menyertai. Peranchis yang sudah lama curiga bertindak menangkap lalu membicarakan.
Tentunya beliau dituduh bersalah, kononnya mahu mengadakan pemberontakan bersenjata terhadap kekuasaan Peranchis. Shyakh Ahmadou pun diasingkan jauh untuk menghilangkan pengaruhnya.
Dari Senegal di pantai barat utara Afrika beliau diasingkan ke Gabon di pantai barat tengah benua. Pun begitu pengaruh beliau tidak berkurangan malah semakin bertambah-tambah. Cuma Shyakh Ahmadou tetap tidak mahu mengangkat senjata tetapi terus bertindak dalam keamanan. Beliau yang datang daripada keluarga sarjana, ilmuwan dan cendekiawan yang sayangkan ilmu melebihkan dakwah dan pelajaran sebagai jalan untuk memperkasakan ummah. Disebabkan tidak mendatangkan ancaman beliau akhirnya dibenarkan kembali ke Senegal.
Dipendekkan cerita penempatan Touba yang dibina beliau di sebuah pokok dalam hutan berkembang sehingga menjadi sebuah bandar besar. Kelihatan dalam slaid masjid besar yang wujud sekarang. Di kawasan masjid inilah Shyakh Ahmadou dimakamkan tahun 1927 Oh, beliau adalah pengasas satu tariqat Sufi yang dikenali sebagai Muridiyya. Masjid dan makam menjadi tempat ziarah tahunan ribuan pengikut sehinggalah sekarang.
Setelah beberapa lama sampailah masa untuk responden memberikan ulasan. Kelihatan Kamar Oniah yang juga adalah ketua unit baru ISTAC iaitu Unit Perbandingan Agama dan Dialog Antara Kebudayaan memulakan kata-kata. Beliau lari dahulu daripada topik apabila mengucapkan terima kasih kepada Rektor kerana mengembalikan nama ISTAC yang asal. Menurut Kamar beliau adalah murid pertama Syed Naquib iaitu ketika ISTAC dimulakan. Ini berlaku setelah cendekiawan terkenal Profesor Ismail al-Faruqi yang berbangsa Palestin-Amerika dibunuh di kediamannya di Pennsylvania tahun 1986.
Sepatutnya Kamar menyambung PhD di bawah selian Faruqi tetapi kehilangan arah akibat pembunuhan. Apabila mendapat tahu hal ini Syed Naquib menyuruh menyambung belajar dengan beliau. Maka masuklah Kamar ke ISTAC apabila ia diasaskan tahun 1987. Di sini tak perlu dipanjangkan lagi ulasan mahupun soal jawab tentang buku. Pergi kita kepada komponen atau sesi majlis yang seterusnya iaitu Muslim-Buddhist Conversation atau Perbualan Penganut Islam-Buddha.
Osman mempengerusikan sesi lalu memperkenalkan kenapa ia harus dilakukan sambil Dzulkfili terus mendengar.
Empat orang panelis kemudian diminta memberikan hujah ringkas, setiap seorang dalam 5 minit tentang kenapa dialog mesti diadakan. Mereka adalah Kamar diikuti Encik Benny Liow dari Persatuan Buddha Malaysia, Imtiyaz dan Encik Vijaya Samarawickrama daripada Buddhist Gem Fellowship. Saya sudah sebut nama Imtiyaz sebagai seorang responden atau pengulas buku. Kini biar ditambah beliau adalah koordinator program Islam-Buddha di ISTAC.
Kamar memulakan dengan merujuk kepada situasi sebenar di Malaysia. Secara rata dialog antara penganut agama Islam dan Buddha penting kerana mereka membentuk komposisi terbesar penduduk negara. Maka itu ia perlu untuk memastikan keharmonian.
Dalam gambar ini kelihatan Liow (saya gunakan format akhbar menyebut nama keluarga bagi bangsa Cina) memberikan hujah. Pada beliau dialog perlu diadakan supaya penganut agama faham pegangan masing-masing lalu boleh hidup bersama dengan lebih bertoleransi. Ini sangat penting dalam keadaan sekarang di mana Barat selalu mewarnakan Islam sebagai agama keganasan lalu penganut agama lain pun bertindak balas menurut persepsi itu.
Imtiyaz yang memiliki paspot British pula bercakap berdasarkan pengalaman pernah menetap belasan tahun mengajar di Thailand. Cuma saya tidak bersetuju percubaan beliau untuk mengaitkan Nabi Zulkifli AS dengan pengasas agama Buddha iaitu Siddharta Gautama Buddha. Imtiyaz berhujah berdasarkan ada sarjana Islam menyebut nama Kifli pada Zulkifli itu merujuk kepada Kapilavastu, kota kelahiran dan tempat Siddharta membesar di utara benua Hindi. Selain itu ada menambah cerita mereka serupa kerana kedua-duanya adalah raja.
Faham saya cerita mereka berlainan walaupun sama-sama melibatkan takhta dan kerajaan. Siddhartha adalah putera raja yang meninggalkan kerajaan demi mencari kebenaran hakiki. Zulkifli adalah orang salih yang diangkat menjadi raja setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh raja terdahulu.
Dan lagi zaman kehidupan mereka sangat jauh berbeza. Berdasarkan bacaan saya Nabi Zulkifli AS diperkirakan hidup 1500 hingga 1425 tahun Sebelum Masihi. Sedangkan Siddharta Gautama Buddha pula muncul hampir 1000 tahun selepas itu! Beliau diperkirakan hidup sama ada pada tahun 563-483 SM atau 480-400 SM. Kalau tahun kehidupan Zulkifli dipersoalkan sekali pun kita boleh merujuk pada kedudukan baginda di dalam senarai 25 orang nabi yang patut diketahui.
Adapun Zulkifli diletakkan pada nombor 16 iaitu antara Nabi Musa AS (nombor 15) dengan Nabi Daud (nombor 17). Senarai tersebut adalah mengikut turutan zaman kehidupan nabi-nabi. Setahu saya tiada khilaf tentang tahun kewujudan Musa (1527-1407 SM) mahupun Daud (1041-971 SM). Yang pasti Zulkifi hidup antara zaman kedua nabi tersebut dan tempoh masa itu jauh terlalu awal untuk dipadankan dengan Buddha.
Pada saya adalah lebih bijak dan boleh membuka penemuan baru apabila kita sedar bahawa antara nabi ke-21 dalam senarai (Yunus AS, diperkirakan lahir 820 SM) dengan nabi ke-22 (Zakaria AS, diperkirakan lahir 100 SM) terdapat 'lompong kenabian' besar selama lebih 7 abad! Dalam tempoh waktu 'kelompongan' inilah wujud Buddha juga tokoh agama Jainism iaitu Mahavira di Hindi abad ke-6 SM. Sekitar waktu itu juga hidup Lao Tze dan Confucius di benua China juga Plato dan Aristotle di Yunani. Berdasarkan firman Allah SWT bahawa setiap kaum dihantar nabi untuk diberikan peringatan lalu ulamak menyebut terdapat 124,000 orang nabi kesemuanya, 313 bertaraf Rasul, bukan sekadar 25 orang yang biasa diketahui kajian boleh dibuat untuk memadankan Buddha juga tokoh-tokoh tersebut dengan nabi-nabi yang harus wujud antara zaman Yunus dengan Zakaria.
Apapun di atas adalah gambar seorang cendekiawan daripada Iran memberikan pandangan tentang betapa bagus dialog antara agama ini diadakan. Sebelum itu panelis ke-empat Vijaya (seingat saya format akhbar menggunakan nama pertama bagi orang India yang bukan Kristian) dan terakhir telah memberikan hujah bahawa dialog antara agama perlu untuk menimbulkan hikmah (majlis dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, perkataan yang beliau gunakan adalah wisdom). Katanya wisdom menerbitkan compassion, sifat kasih sayang. Sedangkan lawannya adalah ignorance (kejahilan) lalu ini menerbitkan fear (rasa takut atau curiga). Dialog berterusan akan menghilangkan kejahilan yang menyebabkan rasa curiga antara agama. Lalu akan timbul hikmah yang mempertautkan kasih sayang.
Saya sangat tertarik dengan hujah ringkas yang diberikan oleh Vijaya tentang perlunya mengadakan dialog antara agama. Saya juga gembira ada usaha agar mereka yang berlainan agama dapat lebih memahami antara satu sama lain. Namun itu adalah idealismanya. Kenyataan sebenar dunia, terdapat kepentingan-kepentingan tertentu yang memiliki niat serong.
Kita sendiri mungkin jujur mahu memahami dan berkasih-sayang. Tetapi syaitan itu adalah musuh yang nyata. Ia akan terus menerus cuba menjerumuskan kita ke dalam lembah kebinasaan, antaranya melalui ajen-ajen berupa manusia pelbagai agama atau kefahaman. Maka itu dalam kita hendak bersikap terbuka, dalam pada ada antara kita merasakan suluhan kecendekiawan dan keintelektualan boleh menyelesaikan semua perkara jangan kita lupa ada ayat Quran menyebut ada perkara yang kita sebagai manusia tidak akan dapat menyelesaikan sampai bila-bila. Kerana begitulah takdir alam yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta.
Di atas adalah ayat dengan terjemahannya berbunyi begini (saya ambil daripada
sini) : -
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Kembali kepada satu hal. Merujuk kepada perenggan berbunyi begini pada awal artikel :-
Dzulkifli mengingatkan betapa bangunan ISTAC ini begitu bermakna dan apa yang patut diperjuangkan. Beliau seterusnya mengumumkan pihak jawatankuasa UIAM telah bersetuju untuk mengembalikan nama asal ISTAC iaitu International Institute of Islamic Thought and Civilisation (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam). Untuk pengetahuan itulah nama yang diperkenalkan oleh Syed Naquib lalu membawa kepada singkatan ISTAC. Tetapi ini diubah kepada International Institute of Islamic Civilisation and Malay World bermula Oktober 2017. Hal ini menyebabkan ramai bekas pelajar ISTAC menganggap ia sudah lari daripada landasan dan gagasan yang diperkenalkan oleh pengasas. Tentang hal ini akan saya beri ulasan pada akhir artikel nanti.
Saya mendapat tahu ramai juga kecewa istilah "Malay World" dikeluarkan daripada makna ISTAC. Ini kerana mereka gigih berusaha untuk mengangkat keMelayuan ke persada yang lebih tinggi, bukan sekadar sub-topik di bawah tajuk besar pemikiran dan tamadun Islam. Saya sendiri terpanggil untuk menyambung pelajaran di institut pasca-,siswazah ini kerana mahu menjunjung tinggi ilmu-ilmu keMelayuan. Rujuk perkongsian saya selepas mendaftar masuk kr ISTAC 5 bulan lalu dalam artikel
Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia.
.
Sesungguhnya saya menyambung belajar ini untuk mengangkat ilmu bukan diri sendiri. Kalau kelulusanlah menjadi matlamat saya sudahpun diberikan peluang untuk menyambung ketika masih berada di London 24 tahun lalu. Harapan saya kini selain mengangkat ilmu adalah dapat memartabatkan ummah bersama ISTAC. Semoga ia tidak dicemari unsur-unsur liberal atau kita mengikut telunjuk definisi Barat tentang apa itu Islam moderat atau sederhana.
Dialog antara agama amat dialu-alukan asalkan kita sentiasa sedar bahawa dalam dunia nyata musuh sentiasa mengintai peluang untuk melemahkan Islam. Kalau berlaku ia rosak kerana kita terlalai lalu membuka peluang kepada musuh saya tiada masalah meninggalkan institusi dalam sekelip mata. Sudah banyak kali dalam kehidupan saya meninggalkan suatu tempat dan situasi malah boleh melupakan sehingga membatalkan segala macam ilmu yang pernah ditimba termasuk persilatan dan kebatinan apabila dirasakan ia merosakkan perjalanan hakiki diri.
Sejak umur 15 tahun saya sudah biasa lari rumah dan tidur secara gelandangan. Di London tahun 1995 saya pernah menjadi gelandangan selama 3 bulan di pusat kota kemudian mengembara pusing 11 negara di tanah besar Eropah tidur dalam sleeping bag dan menumpang kenderaan orang selama 33 hari. Selepas dikeluarkan dari akhbar The New Straits Times tahun 2001 kerana masalah politik dalaman saya berpisah dengan keluarga lalu selalu keluar mengembara tidur di masjid-masjid malah makam-makam lama sehinggalah kembali berumahtangga penghujung 2008. Sejak itu pula saya selalu membawa keluarga termasuk anak kecil seawal umur 2 bulan setengah mengembara lasak. Mereka pun boleh tidur di masjid malah stesyen kereta api pun ok.
Pada umur 49 inipun insyaallah saya masih boleh bertahan hidup sebegitu meninggalkan segala macam keselesaan jika perlu. Adapun setiap tahun saya memastikan sekurang-kurangnya ada 3 malam saya menginap dan beriktikaf di masjid-masjid terutama pada bulan Ramadhan. Pada saya jika menyambung pelajaran di ISTAC boleh membawa lebih banyak kebaikan insyaallah saya akan terus bertahan walau apa yang berlaku. Tetapi jika ada petanda ia akan menjadi lubuk bagi mereka yang merosakkan Islam sedangkan saya dihalang daripada berusaha membuat pembetulan, hmm... tepuk dada tanyalah selera. Kita ini bukan jenis yang sekadar tahu membaca dan bercerita tentang orang-orang Sufi seperti Shyakh Ahmadou. Kita sudah melalui perjalanan yang serupa zahir dan batin lalu sudi untuk menempuhnya lagi kalau itulah yang telah ditetapkan oleh Ilahi.