Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Januari 13, 2011

Mencari jejak Merong - Perjalanan ke utara pun dibuka...

Assalamualaikum semua. Setelah beberapa lama 'mentapakan' kisah perjalanan ke utara yang dibuat bulan Ramadhan 2010, setelah lebih 4 bulan pula membuat teaser atau memberi 'bunga-bunga' melalui artikel Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai? baru kini siri tentang perjalanan tersebut dapat dimulakan. Adapun hari ini 13 Januari 2011 yang ada faktor 131 ini(kerana tarikh boleh ditulis begini... 13/1/11) anak kecil saya Muhammad Al-Aminul Rasyid genap umur 1 tahun 3 bulan. Maka ini membuat saya lebih bertekad untuk memulakan siri yang sudah lama tertunda ini.


OK. Salah satu sebab kenapa saya selalu liat hendak membuat artikel perjalanan baru adalah beberapa artikel sokongan di blogspots saya yang lain perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum cerita dapat dibuat di sini. Biar diberitahu untuk artikel pembukaan ini sahaja saya harus menyediakan 6 artikel sokongon di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
 

Di atas adalah gambar isteri menunggu anak diperiksa di klinik kerajaan Batu Arang, Selangor petang Khamis 26 Ogos 2010. Saya sertakannya kerana ia adalah gambar pertama diambil setelah isi kad memory kamera digital dikosongkan untuk perjalanan ke utara yang bakal dibuat selepas itu, apalagi perjalanan boleh dimulakan sebaik sahaja tamat pemeriksaan.


Memang saya terfikir untuk berlepas petang Khamis jika boleh. Tetapi saya rasa harus menyiapkan dahulu artikel-artikel terbaru untuk 2 siri yang sedang berlangsung secara bergilir-gilir ketika itu, siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" dan siri "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar". Untuk siri pertama, saya perlu menyediakan 7 artikel sokongan. Seterusnya, selepas memilih gambar-gambar yang sesuai lalu mengubah saiz setiap file barulah artikel terbaru Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Melihat warisan Tun Sri Lanang dapat dimulakan jam 9.17 malam sebelum siap hampir jam 10.

Artikel untuk siri lagi satu pula memerlukan cuma 3 artikel sokongan sebelum dapat dimulakan jam 11.37. Tetapi ditambah penyediaan peta-peta simulasi keadaan silam dan pengumpulan links yang patut untuk melancarkan cerita artikel bertajuk Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar? itu cuma dapat disiapkan sekitar jam 4 pagi! Bagaimana saya tahu dan boleh ingat ini? Kerana pada maklumat untuk gambar jalan di atas, gambar yang diambil selepas beberapa minit memasuki lebuhraya ke utara ada tertera masa ia diambil iaitu 4. 23 pagi. Bayangkan... setelah berhempas-pulas cuba menyiapkan artikel dari petang Khamis hingga ke awal pagi Jumaat terus-menerus, saya tidak tidur langsung sebaliknya mengejutkan anak dan isteri agar memulakan perjalanan kerana tidak mahu membuang masa.


Kalau saya tidak keluar ketika itu dan memilih untuk berehat dahulu kemungkinan besar saya cuma akan dapat bangun Subuh sebentar sahaja sebelum 'tumbang' sehingga ke tengahari. Kan dah membazir satu hari? Lebih baik saya memandu sejauh mana yang larat. Lagipun ketika itu bulan Ramadhan. Kan lebih elok berjaga sehingga sahur?


Kami berhenti rehat dan makan di perhentian Tapah kalau tak salah ingatan. Gambar ini diambil jam 5:13.


Selepas makan perjalanan pun disambung. Gambar ketika memasuki terowong selepas Ipoh.


Perjalanan mahu diteruskan hingga ke Seberang Perai jika tidak kerana menyedari minyak kereta hampir kehabisan. Oleh kerana takut tidak sempat sampai ke perhentian seterusnya yang ada stesyen minyak (bukan semua perhentian ada stesyen dan lagi letaknya jauh antara satu sama lain) kami pun keluar dari lebuhraya di pinggir Taiping. Nasib baik ada stesyen minyak tidak jauh dari situ...


Selepas mengisi minyak kami mengambil jalan biasa ke Kamunting. Singgah solat Subuh di masjid ini (lihat Masjid (Main mosque of) Kamunting, Perak). Ketika itulah saya mendapat ilham bagaimana perjalanan ke utara harus diteruskan.


Biar diberitahu dahulu bagaimanakah perjalanan ini boleh tercetus. Sambil melihat gambar dengan sedikit penerangan biar diimbau kembali kronologi peristiwa ya...


Pada penghujung April saya tergerak untuk mengumpulkan links untuk setiap artikel tentang masjid/tempat-tempat yang pernah dilawati lalu dijadikan cerita dalam blogspot dwi-bahasa SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Links ini mahu dikumpulkan menurut negara/negeri lalu diletakkan di sidebar atau bahagian bawah agar senang dirujuk kembali. Ketika itulah saya mendapati tidak pernah membuat artikel tentang makam Sultan Muzaffar Shah I Kedah di situ. Walhal saya sudah sampai ke sana sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali dan ada menceritakkannya di blogspots yang lain.


Perjalanan menghala ke utara yang dibuat melalui jalan belakang ke Selama berselisih dengan landasan keretapi di beberapa bahagian. Ini mengingatkan pada perjalanan menaiki keretapi pertengahan tahun 2010 yang dibuat untuk satu projek buku, buku yang kini sudah siap menunggu untuk menemui pembaca di kedai-kedai Insyaallah penghujung bulan. Lihat kompilasi pada artikel Projek buku keretapi atau masuk terus ke Projek buku keretapi : Kembali dari Hatyai daaa....


Berbalik pada makam Sultan Muzaffar Shah I Kedah. Saya ada membuat artikel bertajuk Sultan Muzaffar Shah, the first king of Kedah? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih 3 tahun lalu tetapi tidak ada yang sepertinya di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Saya boleh menggunakan gambar lama yang ada untuk membuat artikel baru tetapi merasakannya kurang lengkap, mungkin kerana dahulu kurang berminat tentang Sultan itu.


Sejak setahun kebelakangan ini pula timbul minat baru untuk menyelami siapakah sebenarnya Sultan Muzaffar Shah I Kedah (Perak juga ada Sultan Muzaffar Shah I, begitu juga Melaka dan mereka hidup pada zaman berlainan). Ini disebabkan ada dakwaan pihak tertentu bahawa baginda sebenarnya adalah Merong Mahawangsa, satu watak legenda yang ceritanya disebut dalam teks lama Melayu terkenal, Hikayat Merong Mahawangsa. Saya pun bertekad akan ke makam itu lagi untuk mengambil gambar-gambar baru yang lebih teliti. Alang-alang dah ke sana kan elok juga dijadikan satu perjalanan ke utara yang meliputi banyak perkara dan tempat?


Namun muncul hal-hal dan perjalanan lain yang melewatkan usaha. Antaranya adalah perjalanan menaiki keretapi ke Pantai Timur dan Utara (lihat Projek buku keretapi), perjalanan ke bahagian barat Perak (lihat Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat) dan paling tak disangka, perjalanan ke Brunei yang dibuat sejurus sebelum masuk bulan Ramadhan (lihat Tribute untuk lawatan tak dijangka ke Brunei bulan Ogos). Menariknya perjalanan Brunei itu turut membawa ke Labuan di mana terdapat makam seorang ulamak yang dikenali sebagai Sharif Kedah. Seolah-olah berkait pula dengan hajat terpendam untuk ke utara terutama ke Kedah demi melawat kembali makam Sultan Muzaffar Shah I. Lihat Lawatan tak dijangka ke Brunei - Ke Labuan dan makam Syarif Kedah.


Masa yang sesuai cuma timbul pertengahan bulan puasa. Kebetulan Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan jatuh pada hari Jumaat 27 Ogos 2010 sedangkan Selasa 31 Ogos pula tarikh kemerdekaan negara kita yang tercinta. Maka jatuhlah cuti pada hari-hari tersebut dengan Sabtu dan Ahad memang bukan hari bekerja di kebanyakan tempat. Kita cuma perlu meminta cuti hari Isnin dari majikan agar ia bersambung menjadi cuti panjang 5 hari. Peluang inipun digunakan untuk membuat perjalanan ke utara...



OK. Merujuk pada nama Sharif Kedah yang disebut tadi ada pembaca yang terperanjat kerana menyangkakan ia merujuk kepada satu keluarga pemerintah yang didakwa satu pihak kononnya menguasai kerajaan Kedah lama malah lebih meluas pemerintahannya untuk meliputi seluruh Nusantara hingga ke Australia, India dan Eropah. Oh tidak. Sharif Kedah cuma bermakna seorang keturunan terhormat Nabi Muhammad SAW (Al-Sharif = Yang Mulia) yang berasal dari Kedah. Ia tidak ada kena-mengena dengan dakwa-dakwi liar mana-mana pihak yang menyatakan kononnya wujud keluarga Sharif berketurunan campuran Maharaja China dengan Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW merajai Nusantara, India, Australia dan Eropah.


Apabila keluar artikel Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai? ada pula pihak memandai-mandai menyatakan saya telah bertukaran fikiran sehingga percaya dengan dakwa-dakwi pihak tersebut. Kata mereka ini disebabkan saya menggunakan perkataan Merong selain menyebut kemungkinan bahawa candi yang ada di Lembah Bujang, Merbok adalah milik Islam. Tidak, sesekali tidak wahai para pembaca yang dimuliakan. Perkataan Merong bukan milik mereka, bukan juga diperkenalkan oleh mereka malah telah saya kenali sejak membaca kitab Hikayat Merong Mahawangsa ketika berumur sekitar 7-9 tahun.

Saya tak ingat dengan tepat bila. Yang pasti ini berlaku lebih 30 tahun lalu sedangkan blogspot dakwa-dakwi pihak tersebut cuma muncul April 2007. Beberapa bulan kemudian kalau tak salah ingatan baru mereka menyebut tentang kemungkinan candi di Lembah Bujang adalah milik orang Islam. Saya pula mendapat pengetahuan ini tanpa membaca apa yang dikemukakan mereka tetapi melalui isyarat yang diterima ketika pertama kali sampai ke Lembah Bujang Julai 2007.


Biar disebut di sini. Tidak mustahil pihak yang membuat dakwa-dakwi lalu berjaya mengelirukan begitu ramai orang itu tergerak untuk membuat blogspot setelah tahu akan kewujudan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dan membaca blogspot "Catatan Si Merah Silu" ini. Saya berkata begini kerana pernah diberitahu beberapa kali oleh seorang pembaca yang meminati buku saya bahawa dia ada menunjukkan kepada pensyarahnya siri buku juga blogspot saya. Untuk pengetahuan buku pertama siri terbit Jun 2006. Blogspot "Catatan..." pula dimulakan November 2006.

Kata pembaca tersebut pensyarahnya sering memberitahu bagaimana sejarah sebenar telah diubah oleh Barat dan musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan kita semua. Cuma saya tak tahu apakan sejarah 'sebenar' menurut kacamatanya. Kemudian keluarlah blogspot dari pihak yang suka membuat dakwa-dakwi April 2007. Ternyata ia memang diterajui seorang pensyarah dengan ciri-ciri serupa diceritakan pembaca itu.

Blogspot itu mengenengahkan begitu banyak perkara yang belum pernah disebut orang secara terbuka ketika itu sehingga ia menjadi begitu popular. Malah saya sendiri teruja dan terasa mahu bekerjasama. Pada awalnya ia memang kelihatan jujur mahu membela sejarah lalu saya ada mengemukakan teori alternatif kepada mereka tentang satu watak silam yang dikenali sebagai Merah Syahir Nuwi untuk dikaitkan dengan sejarah 'kebesaran' Siam yang sering dilaung-laungkan mereka. Namun apabila berjaya mendapat ramai pembaca dan pengikut ternyata kenyataan mereka semakin lama semakin menyimpang kerana mahu mengangkat keluarga dan keturunan sendiri sebagai raja segala raja konon.


Kini blogspot itu sudah lama ditinggalkan orang kerana tembelang mereka sudah pecah. Tak payahlah disebut atau diulang apa yang berlaku. Ternyata mereka cuma keturunan seorang raja bawahan bertaraf gabenor yang pernah menjadi wakil sebuah kerajaan Buddha untuk menekan kerajaan-kerajaan Melayu di utara Semenanjung. Yang tinggal masih percaya dengan dakwaan 'mutlak' mereka sebagai layak berkuasa atas semua konon adalah puak-puak sendiri yang masih berharap dapat menjadi raja atau wakil raja dan mereka yang betul-betul bodoh atau dungu tentang sejarah. Namun masih ada perkara yang dikemukakan mereka harus dikupas tetapi biarlah mengikut acuan lain. Misalnya dakwaan bahawa Sultan Muzaffar Shah I dan Merong Mahawangsa adalah orang yang sama.

Di atas adalah gambar ketika menyeberangi Sungai Kerian. Biar dimaklumkan sungai ini merupakan sempadan semulajadi antara negeri Perak dan Kedah. Lihat Sungai Kerian, the natural border between Perak and Kedah...


Sejarah rasmi seperti tercatat pada batu maklumat di sebelah makam Sultan Muzaffar Shah I menyebut baginda sebagai raja Kedah yang pertama memeluk Islam. Baginda yang dikatakan memerintah 1136-1179 Masihi ada disebut di buku-buku sebagai keturunan ke 8 atau 9 gitu kepada Merong Mahawangsa, seorang raja silam yang dipercayai beragama Hindu. Sekali lagi biar diberitahu pihak yang membuat dakwa-dakwi pula menyebut keduanya adalah orang yang sama. Menurut mereka lagi Merong Mahawangsa yang menjadi Sultan Muzaffar Shah I datang ke Kedah sekitar 770 Masihi.


Setelah membuat kajian sendiri serta mendapat alamat tertentu saya juga cenderung untuk percaya bahawa memang Merong Mahawangsa itu adalah Sultan Muzaffar Shah I dan muncul sekitar 770 Masihi. Tetapi saya tidak percaya dakwaan mereka kononnya Merong Mahawangsa adalah berketurunan Maharaja Cina dari pihak laki-laki kemudian berkahwin dengan seorang Sharifah dari keluarga Al-Jefri. Saya ada teori sendiri tentang siapa itu Merong Mahawangsa yang dimaksudkan. Saya sebut "yang dimaksudkan" kerana percaya ada lebih dari satu watak Merong Mahawangsa dan mereka hidup berlainan zaman, seperti juga saya percaya watak Iskandar Zulkarnain dalam Al-Quran ada pada sekurang-kurangnya 3 orang manusia dari 3 zaman berbeza, setiap watak melalui peristiwa yang serupa dalam keadaan sedikit berlainan...


Sebab itu saya menggunakan perkataan Merong untuk perjalanan ini. Sebab itu dibuat artikel teaser (bahasa Inggeris untuk usik-usik) atau 'bunga-bunga' cerita bertajuk Misi menjejak sang Merong hingga ke Hatyai? untuk menyatakan bahawa satu, ketika itu saya baru sahaja menamatkan perjalanan jauh ke utara... dua cerita tentangnya akan dibuat satu hari nanti. Dalam siri ini saya akan sesekali cuba mengupas dari sudut sendiri siapakah itu Merong Mahawangsa dan perkara-perkara berkaitan dengannya. Kiranya ia tidak akan lari dari isi artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? yang telah dibuat hampir setahun lalu.


Motif awal atau asal cerita serta tujuan perjalanan dibuat telah disebut dan dihuraikan agak panjang lebar. Sekarang biar diceritakan apakah arah perjalanan... laluan mana yang mahu digunakan.


Sudah disebut bahawa perjalanan dibuat dengan mengambil kesempatan atas cuti panjang kerana Nuzul Quran hari Jumaat dan perayaan kemerdekaan hari Selasa disambung dengan cuti permintaan hari Isnin untuk menjadi 5 hari berterusan tidak bekerja. Demi memenuhi motif asal, perjalanan harus dibuat paling pendek pun sehingga ke satu kawasan di kaki Gunung Jerai. Di situlah letaknya makam Sultan Muzaffar Shah I Kedah, tidak begitu jauh dari bandar Sungai Petani.



Gambar jalan belakang yang digunakan untuk ke Kulim selepas melepasi Selama. Itu adalah kali pertama saya berada di sekitar ini lalu agak terperanjat dengan kecantikan semulajadi hutan dan bukit yang ada. Lihat artikel The south-east rural road to Kulim.



Gambar ini pula diambil ketika berhenti sebentar untuk membeli sesuatu di pinggir bandar Kulim. Kelihatan meter menunjukkan nombor 333. Dah 333 km saya memandu rupanya, dah dekat 9.30 pagi Jumaat tu, belum lagi tidur sejak pagi Khamis...



OK. Kalau dah merancang berjalan jauh sampai ke Sungai Petani tu takkan pergi satu tempat je ya tak? Sudah tentu nak pergi banyak tempat, antaranya naik Gunung Jerai yang terkenal dengan legendanya yang tersendiri, gunung tertinggi di Kedah. Malah setelah menaiki keretapi hingga ke Hatyai di selatan Thailand (lihat Projek buku keretapi) saya berazam ingin membawa anak dan isteri ke sana menaiki kereta dan inilah peluangnya. Soalnya apakah laluan terbaik untuk mencapai banyak tempat, paling ekonomikal, tidak mengeluarkan banyak belanja dan dapat diselesaikan dalam tempoh 5 hari atau kurang.


Kulim yang merupakan bandar besar pertama Kedah dari sempadan Perak terkenal sebagai bandar perindustrian yang dikatakan berteknologi tinggi. Kelihatan arca atau monumen untuk kawasan yang dipanggil Kulim Hi-tech Park.


Namun kami sekadar melalui pinggir pusat bandar Kulim sebelum naik lebih jauh ke utara. Kiranya ini masih lagi dalam rangka perancangan asal yang berbunyi lebih kurang berikut... naik sahaja utara ke Kedah dan teruskan hingga Bukit Kayu Hitam untuk masuk ke Hatyai. Kemudian turun melalui Perlis ke selatan dan apabila sampai Gunung Jerai naiklah ke atas. Selepas itu baru singgah ke makam Sultan Muzaffar Shah I Kedah yang terletak sedikit ke selatan gunung.


Sebuah masjid yang agak menarik dilihat dalam perjalanan. Lihat artikel Sebuah masjid di mukim Naga Lilit (A mosque at the sub-district of Naga Lilit) .

Berbalik pada rentetan peristiwa sejak hari Khamis. Itu adalah hari bekerja tetapi isteri dapat keluar tengahari untuk membawa anak ke klinik kerajaan untuk pemeriksaan berjadual anak, kalau tak salah ingatan ada suntikan perubatan sekali. Ini dapat diselesaikan sekitar jam 4. Kalau ikutkan kami sudah boleh memulakan perjalanan. Tetapi demi menyelesaikan artikel-artikel terbaru untuk siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" dan siri "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar" yang sedang berlangsung ketika itu saya harus duduk di rumah lagi 12 jam.


Sebelum itu saya ada terfikir kalau bergerak siang mahu menggunakan jalan lama agar dapat menyerap pemandangan sekeliling kampung dan bandar-bandar sekerap mungkin. Kalau saya berlepas petang Khamis ini dapat dilakukan tapi disebabkan artikel yang dibuat siap jam 4 pagi, saya perlu menunggu sehingga lagi 3 jam jika mahu berbuat begitu. Sebaliknya seperti disebut pada permulaan cerita timbul rasa untuk bergerak awal pagi itu juga. Satu agar tidak terlena hingga ke tengahari lalu merugikan masa dan kedua kerana waktu afdhal bersahur pun sudah dekat.

Oleh kerana tiada pemandangan boleh dilihat waktu itu, saya pun memilih untuk menggunakan lebuhraya. Tanpa dirancang kami keluar di Taiping lalu bersolat di Kamunting. Kerana apa? Semata-mata kerana mendapati kereta kekurangan minyak...


Begitulah yang sering berlaku apabila tidak pasti apakah laluan terbaik yang patut digunakan untuk sesuatu perjalanan. Saya cuma membuat rancangan kerangka asas atau skeletal plan yang dalam kes ini adalah berjalan sahaja ke utara hingga ke Hatyai melalui Alor Setar dan Bukit Kayu Hitam sebelum kembali ke selatan melalui Perlis, naik Gunung Jerai dan ziarah makam Sultan Muzaffar Shah I Kedah. Selain dari itu saya sering dipandu keadaan yang sebenarnya adalah Takdir dan Qada' dan Qadar dari Allah belaka. Kehabisan minyak adalah satu contoh di mana kita dipaksa merubah perancangan apabila perlu keluar dari lebuhraya lebih awal lalu terjumpa laluan lain...


Solat di Kamunting membuat saya terfikir harus ada laluan belakang masuk ke Kedah melalui Selama hingga ke Kulim lalu merujuk pada peta. Ternyata ia memang ada dan saya pun mengambilnya. Rasanya itulah kali pertama saya menggunakan laluan ini seumur hidup. Paling dekat saya pernah lalu sekitar ini adalah ketika ke Kulim menaiki bas dari Sungai Petani melalui Kuala Ketil. Lihat artikel Kuala Ketil, Mastura dan Char Koew Teow... yang dibuat lebih 3 tahun lalu.


Laluan ini boleh membawa kita dari Perak ke Kedah dengan menyeberangi Sungai Kerian yang menjadi sempadan negeri tanpa perlu melalui Seberang Perai, sebahagian dari Pulau Pinang. Kalau tak salah ingatan itulah kali pertama seumur hidup saya pergi ke utara hingga ke Kedah tanpa melalui Pulau Pinang, dahulunya sebahagian dari Kedah.


Dengan laluan ini juga kita boleh sampai terus ke Sidam Kiri satu tempat yang sebelum ini pernah saya capai cuma dari Sungai Petani. Ada masjid yang menarik di sini. Lihat The unique mosque at Sidam Kiri revisited.


Di Sidam Kiri juga terdapat makam pahlawan Bugis yang tersohor iaitu Daeng Parani, orang yang dikatakan abang sulung dari 5 beradik Daeng yang terkenal. Saya pun membawa anak dan isteri berziarah. Lihat Tomb of Daeng Parani revisited.


Dalam perjalanan ke Sungai Petani pula terdapat Kampung Tok Soh.



Ada makam lama untuk diziarahi, makam yang menurut pihak yang suka membuat dakwa-dakwi adalah milik isteri Merong Mahawangsa. Lihat Revisiting the tomb of Tok Soh. Lihat juga artikel lama Makam Tok Soh di Kedah dan kaitannya dengan Merong Mahawangsa (The tomb of Tok Soh in Kedah and its relation to Merong Mahawangsa)....




Seterusnya kami masuk ke pusat bandar Sungai Petani. Memang saya mahu ke sini walaupun sejenak. Untuk pengetahuan ia terletak 400 km ke utara Kuala Lumpur. Lihat Going through Sungai Petani.



Perjalanan lebih jauh ke utara diteruskan. Gunung Jerai yang penuh lagenda mula memenuhi pandangan.
 

Tu dia. Dalam tempoh kurang 9 jam meninggalkan rumah saya telah menziarahi beberapa buah tempat yang memang ingin dilawati tapi tak pasti harus mengikut laluan mana dan bagaimana, dapat juga menikmati segala pemandangan segar yang ada. Rupa-rupanya Allah juga akan memberi petunjuk agar satu lagi hajat besar yang belum disebut setakat ini dapat dicapai. Untuk pengetahuan artikel ini mula ditulis jam 6:13 petang. Tetapi ia cuma selesai 12:27 tengah malam. Bersambung nanti. :]

9 ulasan:

awanbadai berkata...

Salam bro MS,

Usaha yang keras. Mudah2an selamat dan diberkati hendaknya. Saya pun tak sempat baca abis lagi artikel ni ... nanti sambung lagi.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. OK... :]

Skudal berkata...

salam....sekarang mencari merong mahawangsa...semoga berhasil....

Tanpa Nama berkata...

bro saya pun seperti anda...suka menjelajah berkereta bersama keluarga... semoga dirahmati Allah sekeluarga..

Tanpa Nama berkata...

Bro! Saya cadangkan agar sasaran umum anda meliputi penjelajahan ke seluruh kepulauan Melayu...

nadz berkata...

Assallamualaikum,
Masjid itu terletak di Kampung Permatang Tok Dik, Mukim Naga Lilit., Padang Serai, Kedah..

Kampung mama ..masjidnya memberi nostalgia sebab arwah bapa pernah jadi imam pada tahun 80 an.. memang cantik di hati mama...
w/salam

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Witchunter dan Anon 9:56 am Jan 14, terimakasih atas sokongan.

Anon 8:59 am Jan 15. Cadangan memang menarik. Tapi sapa nak tanggung belanja itu semua?

Kak Nadz. Kampung akak ya? Memang cantik masjid tu. Masa nak buat posting kat http://artmelayu.blogspot.com/ baru saya perasan nama masjid dan kampung tak berapa terang di gambar, ingat Naga Lilit je.

Memang saya ada terjumpa rujukan lain di Internet menyebut ia Masjid Kampung Tok Dik. Tapi oleh kerana nama Naga Lilit lebih terpahat di fikiran, saya nyatakan ia sebagai sebuah masjid di Naga Lilit pada blogspot itu...

Tanpa Nama berkata...

Bro.... semoga sihat sejahtera bersama keluarga...

1)Bila nak terbitkan sambungan mencari Jejak Merong? Tak tahan nk baca nie... lepas tu saya dan keluarga nk pergi pulak...

2)Tentang perbelanjaan untuk perjalanan ke seluruh kepulauan Melayu tu... u buat la bahagian per bahagian... i. Utara Kepulauan Melayu (Siam). ii. Timur Laut (Laos & Kampochea). iii.Tenggara (Sulu & Mindanau). iv.Barat Laut (Burma). v.Selatan ( Kepulauan Indonesia - jika terlalu besar,u boleh bahagikan lagi supaya lebih kecik...

3)Buat buku macam Siri buku
"Berpetualang ke Aceh" tu. Saya insyaAllah beli punya.

4)Saya berharap u akan jadi penulis sejarah dan perjalanan cam cerita astro 707 (Travel and living tu)..

5)Bulan lepas (Dis 2010) saya telah jelajah hampir semua daerah di Kedah & Perlis dan perbelanjaan sekitar Rm 800 sahaja.Kesimpulan perjalan saya ini ... Bangsa Melayu ini adalah satu bangsa yang kuat cuma sekian lama kita telah ditipu oleh...

Semoga berjaya.

Radzi Sapiee berkata...

Saudara...

1) Insyaallah saya cuba siapkan sambungan hari ini.

2) Saya tahu itu. Tapi kos bukan murah. Masa kami sekeluarga ke Pantai Timur baru2 ini 11 hari lebih RM1,000 burn. Walhal 3 malam tidur di tempat murah, 3 di rumah orang dan 4 di masjid! Pengembaraan dahulu pun sebenarnya memakan duit belanja beribu RM walaupun dah banyak penjimatan dibuat. Memang dibuat bahagian ke bahagian pun tapi bila dah tanggung sendiri bukan setiap masa kita ada belanja. Lain le kalau ada sponsor ke hapa...

3) Insyaallah. Tapi sekali lagi kos menjadi masalah. Membuat buku ni makan belanja berpuluh ribu RM satu tajuk saudara. Siapa nak bagi duit? Itu sebab banyak penulis menulis buku cinta dan lain2 yang komersial. Tulis buku politik pun sebab ada orang suap. Cerita serius sejarah ni golongan pembacanya sedikit. Kecuali yang marketing dia dasyat, penerbit takut nak terbit sebab selalunya tak pulang modal...

4) Amin

5) Perjalanan mencari Merong juga meliputi Kedah dan Perlis selain beberapa tempat di Perak dan sepanjang jalan di Hatyai. Masa tu saya tak sedar berapa kos yang mengalir sebab finance tengah lega, bukan lebat ya. Tapi beratus ringgit tetap habis walaupun 3 malam darinya kami anak-beranak tidur di serambi surau tepian kubur...