Puas berjalan-jalan di Cyberjaya, kami mencari jalan untuk masuk ke Putrajaya. Terlihat jejantas yang agak menarik ini. Kelihatan ada bentuk seperti lidah tergantung yang biasa kelihatan pada rumah tradisional di Perak. Lihat artikel Bentuk lidah terjulur di Cyberjaya/Putrajaya (Hanging tounge shape at Cyberjaya/Putrajaya) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Dipendekkan cerita kami masuk ke bandaraya pusat pentadbiran negara itu.
Berhenti sebentar mengambil gambar apalagi kami belum pernah sampai ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai 'Masjid Besi' yang kelihatan di tengah.
Di jambatan ini saya turun lagi mengambil gambar. Lihat Putrajaya from one of its bridges ...
Setelah makan di satu tempat kami kembali ke Boulevard.
Bangunan Istana Kehakiman yang ada 3 buah kubah terserlah mengingatkan pada satu mimpi lebih 10 tahun lalu. Dalam mimpi itu saya berdiri seorang diri dalam kegelapan lalu timbul rasa untuk bertakbir. Entah kenapa saya terasa nikmat yang amat sangat semasa bertakbir lalu jasad saya mula terapung naik ke udara. Kelihatanlah sebuah bandar terbentang di bawah dengan bangunannya banyak berkubah. Bangunan paling dekat betul-betul bawah saya rupanya saling tak tumpah seperti Istana Kehakiman!
Dari Boulevard kami pergi melihat sebuah bukit yang pernah disebut dalam ruangan berita TV3 sebagai pusat sebuah kerajaan ghaib. Lihat Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman? yang dibuat setahun lalu.
Kemudian baru ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi melalui jalan ke tebing tasik. Kelihatan sebuah bangunan tidak kurang menarik di satu sisi.
Selepas melihat masjid dari beberapa sudut, baru saya sedar laluan utama masuk ke masjid bersambung dengan Boulevard betul-betul di hadapan Istana Kehakiman. Apakah ada makna tersirat di sebalik pemilihan kedudukan? Lihat Masjid (Mosque of Tuanku Mizan Zainal Abidin), Putrajaya.
Kedudukan Istana Kehakiman di hadapan Masjid Besi (hmm... saya deja vu semasa menulis ayat ini) membuat saya terfikir kembali apa yang berlaku ketika mula-mula sampai masjid lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Entah kenapa selepas mengangkat takbir timbul satu bayangan masjid besar batu berwarna putih dengan banyak kubah biru sesetengahnya berlainan saiz. Setiap kubah berhias motif seperti awan larat berwarna emas dan bayangan ini melekap di hati sehingga habis solat. Apakah maknanya ini?
Entah kenapa, timbul pula telahan... inilah masjid lama yang pernah wujud di tapak Masjid Besi suatu zaman yang lampau. Kalau ikut logik akal dan pengetahuan sejarah seperti diketahui ramai, mustahil masjid sebegitu pernah wujud di sini. Putrajaya dahulu cuma estet kelapa sawit... mana pula datang tamadun lama Melayu yang mampu membina masjid sebegitu? Bukankah orang Melayu cuma mampu membina masjid kayu? (Ikut kata sejarah rasmi le...).
Tapi mungkin juga kita terlupa mengikut kajian pihak lain pula pernah wujud tamadun dahulukala yang lebih hebat di mukabumi berbanding apa yang ada sekarang. Walaupun tidak diiktiraf mereka yang memegang kurikulum pelajaran dan sejarah dunia seperti puak Yahudi Zionis yang ada agenda mahu 'melembukan' setiap manusia, hasil kajian terpinggir tidak harus ditolak begitu sahaja apalagi jika dibuat oleh mereka yang terang matahati bersuluhkan Nur amalan Tasawuf suci. Mungkin masjid dalam bayangan itu dibina satu tamadun lama hebat yang pernah bertapak di Tanah Melayu? Mungkin juga ia masih ada tetapi dalam dimensi yang kini ghaib dari penglihatan kita!
Subhanallah. Sesungguhnya saya terasa begitu tenang duduk bersolat juga berzikir di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin alias Masjid Besi. Sudah lama saya tidak terasa begitu tenang di mana-mana masjid. Mungkin kerana lokasinya memang terletak di atas tapak masjid lama atau masjid ghaib yang memiliki aura kewalian yang tinggi? Apapun, apa yang berlaku telah mengubah citarasa...
Selama ini setiap kali ke Putrajaya saya mesti singgah bersolat di Masjid Putra yang telah dibuka sejak tahun 1999 gitu. Selama itu saya menganggap ia masjid terbaik sekitar ini. Sekarang saya merasakan Masjid Besi lebih unggul keberadaannya. Saya turut merasakan Masjid Tuanku Mizan adalah masjid raja, Masjid Putra cuma masjid bendahara...
Berbalik pada jejantas antara Cyberjaya dan Putrajaya yang memiliki bentuk lidah tergantung itu. Apakah ia satu petanda kaitan kawasan ini dengan Perak atau ia sebenarnya ada kaitan dengan satu kerajaan lama yang jauh lebih luas dan berkuasa? Lihat artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu? yang dibuat 5 bulan lalu.
Namun ada satu lagi faktor yang nampaknya saya terlepas pandang. Isteri saya mengingatkan bahawa pada menara jejantas ada satu bentuk yang mungkin boleh dikaitkan dengan Hikayat Malim Dewa yang dikatakan datang dari Aceh membuka kerajaan di kuala Sungai Muar.
Faktor itu adalah bentuk seperti kepala burung pada hujung bumbung. Lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar... dan teliti balik kata-kata ilham yang terkeluar lebih 2 tahun lalu, kata-kata yang turut mengaitkan bentuk tersebut dengan Hikayat Merong Mahawangsa. Setakat ini saya belum pernah melihat bentuk ini di lain-lain masjid. Mungkin saya terlepas pandang walaupun telah menziarahi beratus mungkin beribu masjid? Walaupun saya juga pernah bermalam di berpuluh masjid, bukan semua benda saya boleh sedar sepertimana saya terlepas pandang bentuk seperti burung mendongak pada jejantas di Cyberjaya/Putrayajaya. Kalau saya terlepas pandang sila ambil galah tolong jolokkan... errr... silap peribahasa ini...
Syukur kepada Allah kerana menganugerahkan seorang isteri yang amat memahami lagi dapat membantu dalam perjalanan hidup ini. Di kala saya terlepas pandang dia sering mengingatkan, ketika saya hilang sabar, dia yang menyejukkan. Subuh semalam (ketika menulis ayat ini sudah masuk jam 5:47 hari Sabtu), isteri saya bermimpi terdengar perkataan "Balai Gambang" lalu bertanya kepada saya tentangnya. Dia belum pernah terdengar perkataan itu. Saya pula tahu tetapi sudah lama tidak memikirkan...
Allah! Tidak saya terfikir pun mimpi tersebut berlaku awal pagi Jumaat, satu tempoh masa yang ada maknanya yang tersendiri. Cuma saya menjawab Balai Gambang itu adalah rakit besar yang digunakan semasa pertabalan diraja Perak. Isteri saya kemudian membuat research di Internet lalu terjumpa artikel lama saya tentang Masjid Kampung Gombang di Muar. Dia mengingatkan tentang cerita Malim Dewa yang turut dipanggil Tuanku Gombang Malim Dewa seperti tertulis dalam artikel itu lalu terkait pula dengan bentuk burung yang serupa dengan di Cyberjaya/Putrajaya. Sekali lagi, sila teliti Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar....
Hmm... mungkin perkataan "Balai Gambang" ini timbul akibat beberapa persoalan yang sedang bermain dalam kepala kami suami isteri. Sejak kebelakangan ini kami seperti dihantui nama-nama seperti Dinasti Al-Kamil yang dikatakan pernah memerintah Nusantara dari belah Aceh serta Abdullah Al-Kamil yang merupakan anakanda kepada Hassan Al-Muthanna ibni Saidina Hassan, dari perkahwinannya dengan seorang puteri kepada Saidina Hussein. Turut bermain dalam fikiran adalah nama Muhammad bin Abdullah Al-Kamil, juga dikenali sebagai Muhammad Nafs Zakiyah yang namanya pernah digunakan untuk menjatuhkan pemerintahan Dinasti Umaiyah dari keKhalifahan seluruh umat Islam. Tidak susah untuk mengaitkan Muhammad Abdullah dengan Nakhoda Khalifah yang muncul di Perlak sekitar tahun 804 Masihi. Tetapi mengaitkannya dengan Sharif Muhammad al-Baghdadi yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu tahun 1303 Masihi... itu melanggar hukum pengetahuan rasional berdasarkan logik akal.
Dalam pada itu timbul persoalan siapakah Sultan Muhammad Al-Kamil yang berhijrah dari Bandar Khalifah di Perlak lalu membuka kerajaan di Muar. Namanya sama seperti Muhammad bin Abdullah yang mungkin memang Nakhoda Khalifah apalagi baginda berhijrah dari Bandar Khalifah. Katanya Sultan Muhammad Al-Kamil ini meninggalkan Bandar Khalifah apabila Sultan Malikus Salih yang membuka kerajaan Samudera dan Pasai mengembangkan kuasa. Namun cerita hijrah dari Bandar Khalifah yang kini dalam Aceh itu seperti ada kesamaan dengan cerita Malim Dewa yang turut berhijrah dari Aceh ke Muar.
Turut disebut pewaris Sultan Malikus Salih iaitu Sultan Malikul Mansur telah berkahwin dengan seorang puteri kepada Sultan Muhammad Al-Kamil lalu membuka kerajaan Haru di selatan Samudera Pasai. Sedangkan saya lebih biasa dengan cerita Malikul Mansur mengambil dayang dari istana Pasai lalu dibuang negeri dan ketika itulah baginda membuka kerajaan Beruas, kini dalam Perak. Apapun, ini boleh digunakan untuk meletakkan zaman hidup Sultan Muhammad Al-Kamil pada sekitar abad ke 13 dan abad ke 14 Masihi. Tetapi ada tanda-tanda pula baginda juga adalah Muhammad bin Abdullah Al-Kamil yang muncul di Perlak tahun 500 tahun lebih awal!
Baru ini ada kenalan mendapat mimpi bahawa Sultan Muhammad Al-Kamil itu sama orangnya dengan Sharif Muhammad Al-Baghdadi. Oh, lihat juga artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... yang dibuat lebih 2 tahun lalu. Cukuplah kalau ditambah rencah... turut masuk dalam persoalan adalah nama-nama seperti Saidina Salman Al-Farisi juga Merong Mahawangsa. Kalau nak panjangkan cerita kita buat di hari dan waktu yang lain ya...
Cukuplah apa yang diluahkan boleh dibuat renungan sehingga masuk bulan Ramadhan. Masuk bulan suci itu nanti Insyaallah saya akan memulakan siri baru berdasarkan perjalanan ke Aceh yang dibuat penghujung Januari, satu penceritaan yang sudah lama tertunda... sehingga perjalanan ke Aceh sempena sambutan Maulud Nabi sebulan kemudian pula sudah berjaya dilepaskan terlebih dahulu. Untuk beberapa hari ini saya harus pergi ke satu lokasi di luar negara. Berkat kerajaannya yang dipimpin Ahlul Bait keturunan Saidina Hassan, mungkin akan dapat lebih banyak petunjuk nanti? :]