Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, October 29, 2013

Hari pertama Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin di DBP - Mencari bahan dan 'rasa' untuk filem epik Melayu

Salam. Adapun gambar-gambar di bawah telah dimasukkan Selasa malam Rabu. Petang Khamis iaitu 2 hari selepas acara baru saya ada kelapangan untuk bercerita. Mari...


Selasa 29 Oktober saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghadiri satu seminar keMelayuan...


Ia adalah Seminar 400 Tahun Sulalatus Salatin. Acara berlangsung dua hari dan Selasa adalah hari pertama. Untuk pengetahuan Sulalatus Salatin adalah kitab lama yang banyak menceritakan asal-usul raja-raja Melayu dan kerajaan-kerajaan berkaitan. Ia juga dikenali sebagai kitab "Sejarah Melayu".


Acara ini telah diberitahu kepada saya oleh seorang rakan melalui Facebook sejak sebulan lalu kalau tak salah ingatan. Apabila hampir sampai tarikhnya saya pun mengulang kembali pengumuman sambil menambah rencah mengajak kawan-kawan datang sama memakai busana tradisional Melayu.




Kami sampai ketika Profesor Emeritus Datuk Wira Dr. Muhammad Yusoff Hashim sedang memberikan ucaptama bertajuk "Magnum Opus Melayu, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Yang Tak Lapuk Dek Hujan dan Yang Tak Lekang Dek Panas." Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) ini memang selalu membuka majlis-majlis sebegini. Kali terakhir saya berjumpa beliau adalah semasa majlis di pejabat Ketua Menteri Melaka awal bulan. Lihat artikel Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH dan Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Dari asal membawa ke usul.


Selepas itu adalah rehat sarapan pagi. Kami yang berbusana diminta oleh jurugambar dan pemberita agar tampil ke hadapan bergambar bersama para tetamu terhormat dan pembuka majlis. Kelihatan suasana selepas bergambar...


Rata-rata nama yang tersenarai untuk membentang sepanjang acara adalah nama-nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi sekurang-kurangnya di kalangan mereka yang terlibat dalam dunia akademik. Majlis diteruskan selepas sarapan dengan sesi pembentangan pagi. Senarai pembentang dan tajuk adalah seperti berikut :-


1) SN (Sasterawan Negara) Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh - "Raut Halus Genius  Sulalat Al-Salatin"

2) Puan Halimah Hassan - "Undang-undang Melayu Tradisional dalam Sulalatus Salatin"

3) Profesor Madya Arbak Othman - "Deskripsi Historiografi yang Indah dalam Sulalatus Salatin"

4) Profesor Madya Dr. Arba'ie Sujud - "Seni Berbahasa dalam Sulalatus Salatin"



Namun atas sebab tertentu, pembentang kedua iaitu Puan Halimah menangguhkan kertas kerja kepada hari esok. Maka sesi pagi secara rata lebih berbentuk perbincangan tentang sastera dan keindahan penggunaan bahasa. Kelihatan Prof. Muhammad Salleh (kanan) membentang dengan pengerusi sesi Dr Haji Harun Mat Piah di kiri.


Bergambar ketika rehat makan tengah hari. Kelihatan 3 dari kiri adalah pengarah filem Mamat Khalid yang cukup terkenal dengan filem-filem seperti "Lang Buana", "Hantu Kak Limah Balik Rumah" dan "Zombi Kampung Pisang". Beliau rupanya telah lama menyimpan hajat untuk membuat satu filem epik yang mengenengahkan kehebatan sebenar tamadun Melayu. Lalu beliau telah menghubungi saya untuk berbincang tentangnya.


Kami telah mengadakan satu pertemuan sebelum cuti Hari Raya Haji. Ketika itulah saya memberitahu bahawa DBP akan mengadakan seminar kitab Sulalatus Salatin lalu mengajak beliau turut serta.


Namun ketika itu saya belum pasti apakah beliau betul-betul serius untuk melakukannya. Dua hari sebelum acara beliau menghubungi saya untuk mengingatkan tentang pertemuan di sana. Lalu saya dapati beliau sudah ada bersama peserta lebih awal dari saya yang sampai semasa ucaptama.


Adapun semasa berhubung 2 hari sebelum acara saya sempat membuat satu cadangan. Saya mahu menggunakan sesi berkumpulan semasa acara ke-7 HIKMAH yang akan dilangsungkan di Mini Malaysia, Melaka 30 Nov untuk mencari pengisian filem. Lihat artikel Acara ke-7 HIKMAH dan "To The Point"di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Cuma syaratnya Mamat Khalid harus memberikan komitmen untuk hadir.

Beliau bersetuju lalu saya pun membuat pengumuman berkaitan di FB, pengumuman yang beliau ulangi di wall sendiri. Saya menyebut Mamat Khalid akan ke HIKMAH-7 di mana acara berkumpulan akan diadakan untuk mendapat pengisian yang patut untuk filem. Niat saya adalah untuk mendapatkan penyertaan seramai mungkin pejuang kedaulatan Melayu agar dapat membentuk isi yang dapat menggambarkan ketinggian sebenar hati budi/peradaban/ketamadunan Melayu, isi yang patut diangkat hingga ke peringkat dunia.

Dengan itu juga saya mengumumkan agar sama-sama kita berjumpa lebih awal di seminar Sulalatus Salatin agar dapat berkenal-kenalan dan saya sendiri akan datang berbusana. Hasilnya seperti kelihatan dalam gambar dan akan saya ulas lebih lanjut kemudian.


Beberapa teks berkaitan yang dipamerkan. Pada saya tidak lengkap bercerita tentang tamadun Melayu jika tidak pernah membaca dan cuba memahami isi yang terdapat di dalam kitab Sulalatus Salatin.


Sebetulnya untuk hari pertama ini saya lebih berminat dengan pembentangan waktu petang iaitu selepas rehat tengah hari. Ia merupakan sesi kedua untuk keseluruhan acara. Senarainya :-


1) Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali - "Sulalatus Salatin : Menelaah Kearifan Sejarah Seorang Pujangga Melayu"

2) Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam - "Menyorot Teks Sulalatus Salatin Tahun 1798: Tersilapkah Kita Membaca Sejarah Melayu Selama Ini?"

3) Profesor Dr. Nor Hashimah Haji Jalaludin - "Perihal Keintelektualan Melayu Menerusi Korpus Sulalatus Salatin"

4) Dr. Awang Azman Awang Pawi - "Sumptuary dan Pembentukan Karya Agung Melayu"



Prof. Abdullah Zakaria membentang tanpa menggunakan slaid. Beliau adalah antara ahli akademik yang paling rapat dengan saya, sering dijadikan rujukan untuk memastikan kesahihan suatu penemuan sejarah sekurang-kurangnya dari sudut yang boleh diterima oleh para sarjana. Prof. Abdullah membuka dengan sedikit pujian-pujian tentang kearifan dalam teks tanpa menyatakan siapakah pujangga yang dimaksudkan pada tajuk. Selepas itu barulah beliau membina hujah untuk menekankan bahawa pujangga itu haruslah Bendahara Johor Tun Sri Lanang, untuk menyanggah beberapa pendapat yang menyatakan pengarang kitab Sulalatus Salatin adalah orang lain, antaranya seorang pembesar yang lebih bawah kedudukan bernama Tun Bambang.


Prof Ahmad Adam pula mahu menonjolkan satu versi SS yang agak baru ditemui, tentunya lebih baru dari versi-versi yang dikenali ramai seperti versi Shellabear, Raffles 18 @ Raja Bongsu dan A. Samad. Ahmad. Saya sebenarnya pernah mengikuti pembentangan beliau tentang versi tersebut, dipanggil versi Krusenstern di Universiti Malaya 2 tahun lalu. Secara peribadi banyak perkara yang saya tidak setuju berkenaan versi tersebut lalu berpendapat, walaupun ia harus diterima sebagai khazanah penambahan sejarah, tidaklah ia harus diangkat sebegitu tinggi untuk menolak sejarah sedia ada. Lihat Sepetang di Universiti Malaya.


Namun tempoh pembentangan yang terhad (setiap sarjana diberi masa 30 minit sahaja), menyebabkan beliau tidak dapat mengulas lebih dalam tentang versi Krusenstern itu. Sebaliknya masa lebih banyak digunakan untuk membina mukadimah tafsiran kata berdasarkan kajian terbaru beliau tentang ejaan Jawi yang digunakan sambil bersandarkan pengetahuan bahasa purba seperti Sanskrit juga tulisan Kawi. Ternyata ia adalah pembentangan yang sangat menarik lalu memberikan dimensi baru dalam menafsirkan cerita-cerita di dalam SS. Namun secara peribadi saya sedikit sangsi apabila banyak tafsiran beliau membawa pada rujukan kosakata Jawa lama. Banyak kata-kata dalam kitab diberi tafsiran baru yang lebih keJawaan. Apakah kerana beliau berdarah Jawa?


Gambar dari sesi soal jawab selepas tamat sesi petang. Adapun Prof Ahmad Adam dalam pembentangannya banyak menyatakan orang ini tersilap orang itu tersilap menafsirkan SS kerana kurang teliti beberapa perkara. Beliau terus terang menujukan kritikan itu antaranya kepada Prof Muhammad Salleh yang bertanggungjawab membuat transliterasi SS versi Raffles 18 menjadi buku berwarna biru bertajuk "Sulalat al-Salatin ya'ni Perteturan Segala Raja-raja (Sejarah Melayu)" terbitan DBP dan Yayasan Karyawan 2009. Lalu Prof Muhammad yang kalau tak salah saya berdarah Jawa juga bangkit semasa soal jawab untuk menjawab tuduhan.

Keadaan sedikit tegang namun menarik menggambarkan pertembungan hujah golongan cendekiawan yang jarang dapat dilihat oleh awam. Oh, saya terlepas penghujung sesi pembentangan petang kerana sakit perut lalu diberitahu pembentangan terakhir iaitu oleh Dr Awang Azman sangat menarik kerana membandingkan keadaan di istana Melayu seperti dinyatakan pada SS itu sebenarnya serupa dengan keadaan di istana-istana lain di dunia, misalnya semasa zaman Tudor di England. Menariknya, yang memberitahu ini adalah saudara Mamat Khalid, ketika dalam perjalanan menghantar saya kembali ke rumah (saya pergi bersama isteri tetapi beliau harus kembali awal membawa kereta ke pejabat). 

Dalam perjalanan itu saya dapati Mamat adalah seorang yang meminati dan amat menghargai ilmu pengetahuan. Sebelum itu kami sempat berbincang lama bersama beberapa aktivis kedaulatan Melayu yang lain. Sepanjang acara saya sempat mengenalkan beliau kepada beberapa orang cendekiawan yang kemudian menyatakan sudi membantu untuk mensahihkan isi filem epik Melayu yang dicadang. Antara yang berbual lama dengan kami adalah Prof Abdullah Zakaria. Semoga Mamat yang merupakan anak jati Perak, memiliki salasilah keturunan tertentu yang ada juga darah perjuangan Melayu dan Islam dapat membawa filem epik tersebut ke paras yang cukup membanggakan demi mendaulatkan bangsa Melayu di kaca mata orang lain juga hingga ke peringkat dunia. Amin.


3 comments:

Suzairi Latip said...

Terbaik, banyaknya gambar saya.

Anonymous said...

betul tu...ejaan jawi lama ni kadang confuse....macam perkataan dosa sebenarnya adalah dari kata Dua Esa....iaitu menduakan yang Esa...maka barulah kita faham bahawa dosa itu adalah menduakan Yang Esa...kalau bumi pulak dieja sebagai ba dengan mim...

Al Mahadaya said...

Salama,
Bahasa jawi di baca cara ajam manakala bahasa arab di baca cara huruf iaitu makraj. Contoh salalatus salatin adalah bahasa ajam jika di baca cara huruf arab berbunyi salalata al salathoyana. Banyak perkataan melayu sebenarnya meminjam dari bahasa arab tapi tidak dapat di kesan kerana kita membaca bahasa arab kini dgn berbaris walhal bahasa arab tidak pernah berbaris. Nama merah silu setelah di rajakan ialah malaka al shoalaha dan bukan malikus saleh kerana jika di baca malikus kita telah menghilangkan huruf alif lam.