Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, October 03, 2007

Akal logik biasa kebanggaan Sains vs. Akal tinggi berdasarkan wahyu


Dan posting terakhir sekali malam ini, daripada bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah"... Anggaplah ini sebagai satu bentuk paradigm shift atau anjakan paradigma untuk menyediakan mereka yang sudah terbiasa bergantung pada akal logik untuk memasuki satu wilayah pemikiran tinggi yang melangkaui adat, ruang dan masa... Perkara-perkara mencarik adat seperti yang kita selalu dengar berlaku pada para Wali.
Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhan mu yang mencipta dan mengajarmu dengan Qalam. Wassalam! :]

--------------------------

Memang Tuhan menyuruh kita menggunakan akal.... Bukankah akal itu disebut sebagai punca ketinggian martabat manusia sehingga melebihi malaikat yang terpelihara kesuciannya? Cuma ramai lupa terdapat dua jenis akal iaitu akal aqli dan akal naqli. Akal yang selalu kita gunakan dalam kehidupan harian adalah akal aqli, akal yang boleh menggapai maklumat melalui lima pancaindera zahir disertai kebolehan untuk memproses maklumat serta memahami konsep abstrak menggunakan urutan logik.
Misalnya kita boleh memahami peristiwa lampau yang tidak pernah disaksikan dengan mata-kepala sendiri melalui berbagai sumber seperti runtuhan kota dan batu nesan purba. Dengan cara ini, para pengkaji dapat mengenali sejarah manusia menggunakan cebisan-cebisan maklumat yang diperolehi dari pelbagai arah lalu diatur menjadi rumusan yang menepati konsep ruang dan masa. Masalahnya, melalui akal juga Saintis menyimpulkan manusia berasal daripada beruk! Penjelasan kitab suci seperti Al-Quran mengatakan manusia berasal dari Nabi Adam AS pula ditolak kerana kononnya tak selari dengan pemahaman akal yang ilmiah...
Melalui cara ilmiah juga terbitlah teori besar yang mengatakan alam ini dan segala isinya tercipta melalui Big Bang, satu letupan besar yang menerbitkan jirim-jirim bersama ruang dan masa lalu mengembang untuk membentuk alam ataupun universe. Daripada jirim-jirim tadi terbentuk pula bintang-bintang yang panas membara dengan suhu berbillion darjah Celsius sementara jirim yang terkumpul lalu menyejuk menjadi planet-planet serta bulan dan asteroid. Apabila sesuatu planet sudah cukup sejuk dan mengandungi elemen-elemen tertentu seperti karbon dan oksigen untuk menampung kehidupan, maka tecetuslah beberapa proses kimia sehingga terbentuknya kehidupan pertama dalam bentuk sel. Sel-sel ini pula akan bercantum menjadi kehidupan yang lebih kompleks dan besar.
Kehidupan lebih kompleks terus tercipta sehingga muncul binatang seperti ikan berjuta tahun kemudian. Menurut prinsip evolusi yang dipelopori Charles Darwin di mana spesis kehidupan boleh berubah bentuk dan fungsi untuk menyesuaikan diri mengikut keadaan semasa, ikan yang ‘tergerak’ untuk naik ke darat pula bertukar menjadi reptilia awal lalu membawa kepada kewujudan dinosaur. Seterusnya terciptalah mamalia seperti beruk... Daripadanya terbit kehidupan paling kompleks iaitu manusia atau homo sapiens dan itulah pegangan mereka yang bertuhankan akal. Maka jangan hairan jika manusia sekarang serupa dengan beruk!
Sekarang, tanyalah mereka yang mempunyai latarbelakang Sains peringkat tinggi, apakah asas sebenar di sebalik Teori Big Bang yang sering diagung-agungkan sebagai teori penciptaan alam. Tahukah anda ia cuma wujud selepas 1920an, selepas teori General Relativity ciptaan Albert Einstein, saintis German keturunan Yahudi diterima sebagai sahih? Teori yang dicipta menggunakan Matematik peringkat tinggi yang agak rumit iaitu konsep tensor calculus itu menyatakan alam ini sedang berkembang. Ini dibuktikan secara praktikal apabila seorang ahli astronomi yang menggunakan alatan tercanggih zaman itu mendapati fenomena red shift sedang berlaku di mana bintang-bintang di langit ternyata bergerak menjauhi satu sama lain.
Fenomena red shift ini ibarat fenomena Doppler Effect di mana kita boleh tahu samada sesuatu benda itu bergerak menjauhi kita atau semakin dekat berdasarkan bunyi yang kedengaran di telinga. Sepertimana bunyi siren ambulan akan menjadi semakin lantang dan tinggi apabila ambulan itu bergerak menghampiri lalu menjadi semakin sayup apabila melepasi kita... Kajian ahli astronomi ataupun ahli falak berdasarkan fenomena red shift menunjukkan alam ini semakin mengembang mengikut peredaran zaman. Lalu menurut logiknya, mestilah suatu masa dahulu ia dan segala objek di dalamnya seperti planet dan bintang-bintang pernah lebih rapat daripada sekarang. Makin diputar masa ke belakang makin rapat... Kesimpulannya, satu ketika iaitu berbilllion tahun dahulu, semua isi alam ini begitu rapat lalu membentuk satu titik yang tidak terbayang kepadatannya. Titik itulah yang meletup menjadi Big Bang lalu menerbitkan alam yang dikenali sekarang.
Sekarang fikirkan. Dari sudut lain, kita boleh menyoal, bagaimana para saintis boleh pasti tentang ini sedangkan mereka tidak pernah menyaksikan sendiri Big Bang berlaku. Begitu juga mereka tidak pernah melihat dinosaur hidup atau beruk bertukar menjadi manusia. Tetapi kalau kita menyuruh mereka percaya orang yang mati akan dibangkitkan kembali, mereka tidak mahu percaya atas alasan tiada siapa pun pernah bertemu orang yang mati hidup semula. Itulah jadinya apabila berharap pada akal semata.
Apapun alasan yang diberi, Allah Subhanahuwata’ala tetap menyaksikan segala sesuatu lalu mengajar manusia melalui lisan para Rasul dan Nabi serta petunjuk yang diberi kepada insan pilihan seperti para wali. Inilah contoh akal naqli yang mengatasi segala rumusan akal aqli.... Cuma kita perlu beriman dan meyakini apa yang diberi. Malangnya, rata-rata saintis tidak mahu menerima ini tetapi kita disuruh mempercayai segala kata mereka!
Menurut satu cabang pemikiran Sains, segala ilmu berkenaan hayat, hidup mati dan sebagainya boleh diungkap melalui ilmu Biologi. Maka ada yang berkata perasaan cinta yang terasa dalam hati manusia tidak lebih daripada permainan hormon tubuh yang menimbulkan satu rasa tertentu lalu dipanggil perasaan jatuh cinta. Menurut pemikiran ini lagi, ilmu Biologi boleh diungkap melalui ilmu Kimia. Seterusnya, gerakan biologi seperti hormon dalam badan yang kononnya menerbitkan rasa cinta tidak lebih daripada satu siri tindakbalas kimia molekul-molekul tertentu.
Tindakbalas kimia boleh dirungkai melalui hukum Fizik. Hukum Fizik pula boleh diterangkan dengan hukum dan bahasa Matematik. Maka itu terbitlah pendapat bersifat deteministic atau ketentuan yang menyatakan jika kita berjaya mencari satu equation atau formula berdasarkan hukum Matematik yang dapat merumuskan kaitan semua kuasa semulajadi dalam ilmu Fizik, maka kita boleh menjangka dan meramalkan segala sesuatu yang telah, sedang malah akan berlaku dan wujud dalam alam ini!
Mengikut hukum Fizik, semua fenomena boleh dikaitkan dengan satu atau beberapa daripada empat kuasa atau forces iaitu strong nuclear force (kuasa yang mengikat neutron dengan proton dalam atom), weak nuclear force (kuasa yang mengikat atom dengan atom untuk mewujudkan molekul), electromagnetisma (elektrik dan medan magnet yang saling berkait) dan graviti. Maka jika satu formula dapat dibentuk untuk mengaitkan kesemua kuasa ini, kita mampu mendapatkan jawapan bagi semua persoalan. Oleh kerana apa sahaja yang kita fikirkan adalah hasil tindakbalas kimia dalam otak yang boleh dirumuskan kepada hukum Fizik seterusnya Matematik, kita juga boleh meramalkan pemikiran manusia! Masalahnya, saintis masih belum menemui formula yang sesuai. Maka timbullah usaha pelbagai pihak untuk mencari apa yang dipanggil sebagai Grand Unified Field Theory...
Saya pernah turut terjerumus sama dalam arus pemikiran ini lalu cuba memahami teori-teori yang kononnya dapat memenuhi kriteria Grand Unified Field Theory. Antaranya adalah Superstring Theory yang cuba menerangkan hakikat alam melalui perkiraan Matematik banyak dimensi yang lebih bersifat akademik. Hakikatnya, teori-teori ini tidak lebih daripada andaian orang-orang yang terlalu mengagungkan akal sehingga lupa tentang kewujudan Tuhan. Akhirnya setelah begitu lama percaya bulat-bulat kepada Sains dan mencari jawaban kepada segala persoalan yang melanda jiwa melalui logik, saya pun ditunjukkan sedikit kebenaran yang haq.
Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, saya dapat mengenal sedikit dan merasai kebenaran aqal naqli yang percaya kepada perkara-perkara ghaib. Dari situ, timbul kesedaran bahawa teori yang dapat mengaitkan semua fenomana alam bukan terletak pada kekuatan logik bersandarkan hukum-hukum Fizik dan Matematik tetapi pada kefahaman berserta keyakinan jitu tentang keberadaan Allah SWT. Bukankah Dia yang menyatukan segala-galanya? Tuhan yang Maha Esa punca segala sesuatu, zahir dan batin?
Sebab itu Surah al Ikhlas yang nilainya satu pertiga Al-Quran menyebut: Katakanlah, Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak atau diperanakkan. Dan tiada apapun setara dengannya. Nampak pendek tapi huraiannya, masyallah zaman berzaman takkan habis!

3 comments:

Anonymous said...

Mari kita lihat cara mencari kebenaran berpandukan prinsip dan kaedah falsafah, iaitu kaedah yang dicipta oleh orang akal yang seratus-peratus bergantung kepada kekuatan akal semata-mata. Dalam sesuatu perkara atau permasalahan itu, ditimbulkan berbagai-bagai keraguan terlebih dahulu. Selepas itu barulah akal digunakan untuk mencari hujah dan kepastiannya yang paling masuk akal.

Atas dasar inilah penemuan-penemuan dan teori-teori falsafah dikemukakan. Dalam Islam, ini tidak berlaku. Ilmu kepastian perlu didapatkan terlebih dahulu dari Tuhan. Selepas itu barulah akal digunakan untuk melaksana dan mengembangkannya. Dengan itulah akal akan sentiasa terpimpin dan tidak akan terkeluar dari garisan orbitnya. la tidak perlu mencipta sistem, konsep atau doktrin yang baru tetapi hanya perlu mengembangkan konsep yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Inilah sebenarnya fungsi akal. la menterjemah dan mencari kaedah atau jalan bagaimana hukum dan syariat Tuhan boleh difahami dan dilaksanakan. Akal itu adalah pelaksana bagi sistem dan hukum yang telah ditetapkan oleh Tuhan. la bukan pencipta sistem atau hukum baru. Bila akal digunakan untuk mencipta sistem dan hukum, maka porak-perandalah hidup manusia kerana sistem dan hukum yang dicipta itu akan berlawanan dan bertentangan dengan keperluan dan tuntutan fitrah semula jadi manusia. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui keperluan dan kehendak manusia yang sebenar kerana Dialah yang mencipta manusia. Oleh itu hukum Tuhan sahajalah yang sesuai dan patut diguna pakai untuk manusia.

Radzi Sapiee said...

Bagus... Tambah lagi komen.
Teringat dulu-dulu cara orang falsafah dan logik nak sangkal kewujudan Tuhan. Dia tanya cam ni... Kita mengaku Tuhan tu Maha Kuasa kan, dan Dia mampu buat apa saja kan? Kalau begitu cuba tanya, boleh tak Tuhan cipta satu batu yang begitu berat sampai Dia pun tak boleh pikul. Kalau Dia boleh cipta, ertinya Dia tak boleh pikul batu tu. Maka Tuhan tak betul-betul Maha Kuasa. Kalau tak boleh cipta plak, automatik le kata Dia takda kuasa...
Ini kira macam teka-teki budak le... SUSU kalau terbalikkan jadi apa? Kalau kita jawab susu tu tumpah, orang yang tanya akan kata salah... Jawabannya adalah susu tu tumpah le sebab kena terbalikkan. Tapi kalau kita jawab susu tu tumpah, dia kata pulak susu kalau terbalikkan jadi USUS... Sebab tu le spelling SUSU bila diterbalikkan.
Pendek kata apa ajae kita jawab musti salah punya...
Kita dah tahu Yahudi Zionis dan setan Dajjal yang sokong depa memang tak mahu kita percaya dengan Tuhan... Maka mereka gunakan le segala ilmu logik akal, mantiq dan sebagainya untuk menyoal kewujudan Tuhan.
Sebab tu dalam perkara keTuhanan ni kita perlu YAKIN dan BERIMAN... Sebab tu le kita kena cari ulamak pewaris Nabi yang dapat huraikan semua ni...
Masalahnya sekarang ni banyak ulamak suk mengaku sebagai pewaris Nabi. Maka ya Allah, tunjukkan kami jalan yang benar. Berilah kami Furqan agar dapat membezakan antara haq dan bathil yang menjadi semakin samar akibat fitnah akhir zaman. Amin!

Zam said...

Sophis = loyar buruk.

Aqal mencari hakikat-hakikat kewujudan alam dan ketuhanan memang lemah dan terbatas. Adapun penemuan-penemuan akal dalam sains tabi'e bersifat nisbi. Benar ketika ia ditemui dalam konteks zaman dan ruanglingkup semasa itu. Kemungkinan pada masa akan datang akan ada penemuan lain yang mungkin menafikan penemuan sains yang terdahulu.

Tapi zaman sekarang ni yang lebih parah adalah percubaan akal dalam mencari hakikat kemanusiaan. Bagaimana menawarkan panduan hidup, cara berekonomi, berpolitik bersosial dan berbudaya. Itulah lahirnya ideologi-ideologi di Barat yang natijahnya menggantikan panduan agama iaitu Kristian yang telah ditolak oleh masyarakat Barat itu. Ambil contoh Kapitalisme, Komunisme, Sosialisme dan sebagainya adalah produk akal yang telah terbukti gagal mengotakan janji-janji kebahagiaan kepada manusia.

Kemuncak pencarian akal dalam mencari hakikat ketuhanan menemukan Komunisme yang menafikan terus kewujudan Tuhan. Kemuncak akal mencari hakikat kemanusiaan menemukan Pragmatisme yang menafikan nilai mutlak nilai. Lebih parah lagi sekarang ni berserabut dengan falsafah-falsafah Pasca-Moden yang mahu merombak dan merekonstruksi segala-galanya termasuk agama dan syariat.

Manusia tertipu dengan angka-angka dan statistik yang kononnya 'saintifik' dan ilmiah. Itulah sandaran utama ilmu-ilmu sains sosial yang ada hari ini. Sangkaan mereka ia adalah hakikat padahal ia sebenarnya sangat jauh dari kebenaran. Dapatan hasil kajian mereka tentang masalah masyarakat dan manusia seterusnya digunakan sebagai asas membentuk polisi dan jalan penyelesaian. Langsung manafikan panduan dan penyelesaian syariat yang telah diwahyukan. Maka selama itulah masyarakat terus menjadi ekseprimen kepada jalan penyelesaian yang tidak diketahui benar atau tidak ini. Contoh amat jelas. Lihat sahaja bagaimana jalan penyelesaian yang diambil dalam menangani masalah sosial seperti zina, rogol, dadah, bunuh dan sebagainya...

Kalau Barat menolak Kristian dan menganut falsafah kerana kebobrokan dan ketempangan Kristian dalam memandu manusia. Apa kena mengena umat Islam menganut ideologi dan falsafah sedangkan sejarah membuktikan Islam tidak pernah menindas akal dan fitrah manusia.

Semoga umat Islam menghargai akal mereka yang dianugerahkan dengan mencerahkannya dengan panduan Allah dan Rasul. Amin...