Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, November 11, 2022

Misi keluarga Laksamana part VI

Salam petang Jumaat. Kompilasi bagi cerita-cerita perjalanan Perak 1-3 November...



Seperti rata-rata siri perjalanan atas nama "Misi keluarga Laksamana" perjalanan ini juga berlaku atas asbab mahu menghadiri perbicaraan melibatkan hal harta pusaka Laksamana Muhammad Amin di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh. Kali ini pada 2 November 2022. Seperti biasa diambil peluang untuk ke beberapa tempat bagi melihat dan mengkaji sejarah berkenaan. Kali ini di Kampung Kepayang, Ipoh kemudian mencari tapak kota lama bernama Kota Lumut jauh ke selatan Pasir Salak kemudian kota lama Belanda tahun 1748 berdekatan Batak Rabit.



























Khamis, November 10, 2022

Misi keluarga Laksamana part VI - Mencari Kota Belanda berdekatan Batak Rabit

Salam malam Jumaat. Pergi pada hari ke-3 dan terakhir perjalanan di Perak. Bersambung daripada Misi keluarga Laksamana part VI - Harta pusaka di Mekah dan hal kebenaran salasilah.




Pagi Khamis 3 November 2022. Suasana ketika hendak menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid tempat saya menginap.




Ikutkan rasa ingin saya bermalam di masjid lama di Bandar seperti ditunjukkan dalam artikel Misi keluarga Laksamana part VI - Harta pusaka di Mekah dan hal kebenaran salasilah. Saya sempat bersolat Maghrib dan Isyak di sana kemudian membaca beberapa muka surat Al Quran. Tetapi disebabkan masjid tersebut tiada bekalan air dan tidak ada kedai makan berdekatan, sedangkan kali terakhir saya makan adalah pada waktu tengah hari di Ipoh saya harus keluar menuju ke tempat lain lalu bermalam di masjid yang kelihatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sungai Jejawi, Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Saya mengambil peluang untuk berehat lama di masjid. Selepas jam 10 baru bersedia untuk menyambung perjalanan...






Masuk ke jalan Teluk Intan-Lumut...




Sebaik sahaja ternampak kedai makan terus singgah untuk menghilangkan lapar.




Saya perlu memastikan perut cukup berisi dan badan cukup bertenaga.




Ini kerana mahu mencari tapak sebuah kota lama Belanda yang katanya siap dibina tahun 1748.




Kedudukannya ada ditandakan dalam Google Map. Sedangkan saya pernah ditunjukkan kedudukan ketika menyusur Sungai Perak dari Batak Rabit ke jambatan di hilir dengan bot lebih 4 tahun lalu. Lihat artikel lama Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440.




Kali ini saya mencari melalui jalan darat. Dapatlah sampai ke sekitar 60 meter dari kedudukan kota. Nak pergi lebih dekat kena redah parit, paya dan semak tebal. Lihat artikel Looking for the old Dutch fort of 1748 dan Looking for the old Dutch fort of 1748 part 2 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Tapak kota Belanda 1748 (Site of the Dutch fort of 1748).




Oh. Satu perkara menarik. Dari kawasan sekitar tapak kota Belanda itu dapat dilihat masjid lama warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit...



Selesai mencari kota Belanda saya pun ke masjid keluarga lalu beriktikaf buat satu tempoh.




Sekitar jam 12.48 baru menyambung kembali perjalanan. Ada le singgah di sebuah kedai makan ke luar bandar Teluk Intan kerana ada kenalan mengajak berjumpa lalu berbual panjang.




Selepas itu terasa hendak balik terus ke rumah. Singgah di sebuah masjid di Slim River pun sekadar untuk menunaikan solat kemudian berehat kerana hujan lebat. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Idris Shah II, Slim River.




Selepas hujan reda baru terasa hendak makan angin sedikit dengan mengambil jalan ke Ulu Slim.






Berhenti sebentar membaca beberapa muka surat Al Quran.




Kemudian tergerak untuk singgah di sebuah lagi masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Slim. Tengok-tengok talian Internet di sana bagus. Saya pun membuat beberapa artikel sokongan sebelum mempersembahkan artikel Perjalanan Terengganu 2022 - Jejak legasi keluarga Al-Hassani iaitu artikel kedua bagi perjalanan Terengganu 27-31 Oktober. Hampir jam 8 malam baru selesai.




Sampai ke rumah jam 9.50 malam meter kereta bawah menunjuk 393 km jarak telah diliputi sedangkan ini tidak tepat. Ini kerana dalam perjalanan dari Ipoh ke Kampung Gajah melalui Tanjung Tualang saya ada tertekan punat. Perjalanan sebenar diliputi sejak meninggalkan rumah harus ada lebih 80 km lagi iaitu 473 km. Sekian cerita perjalanan Perak kali ini. Insyaallah saya akan mengulangi lagi laluan ke selatan Pasir Salak membawa lebih jauh ke selatan Kampung Perbayan dalam perjalanan akan datang.


Rabu, November 09, 2022

Misi keluarga Laksamana part VI - Harta pusaka di Mekah dan hal kebenaran salasilah

Salam hari Rabu malam Khamis 15 Rabiulakhir 1444 Hijriah. Ketika menulis ini baru tersedar sudah masuk tarikh Islam tersebut. Allah. Terlupa langsung bahawa saya sepatutnya berpuasa putih siang Selasa dan Rabu. Nampaknya kerana penat akibat perjalanan-perjalanan yang dibuat sejak 27 Oktober. Apapun bersambung cerita daripada Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh.



Awal pagi Rabu 2 November 2022. Keadaan ketika hendak menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid tempat saya menginap di Kampung Gunung Mensah Hilir, Gopeng.




Selepas solat terus menuju ke bandar raya Ipoh 21 km ke utara.






Bersarapan mee kari dekat Medan Kidd...



Kemudian ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh untuk urusan melibatkan keluarga Laksamana. Urusan berlanjutan sehingga tengah hari kerana kes menjadi sedikit rumit. Dengan ini biar diberikan sedikit butiran berkenaan.




Adapun kes kami ini bermula 2-3 tahun lalu apabila kami iaitu keluarga besar keturunan Laksamana Muhammad Amin daripada belah saya memohon masuk untuk tuntutan terhadap pampasan bagi harta Laksamana di Mekah. Kami masuk menuntut setelah mendapat tahu ada cabang keluarga yang lain telah memulakan proses tuntutan tanpa memberitahu kami. Apabila diminta untuk bersama mereka menolak atas alasan belah kami (kononnya) tidak layak mendapat faraid kerana moyang-moyang kami yang merupakan anak-anak Laksamana didakwa meninggal dunia lebih awal berbanding Laksamana. Sedangkan menurut pengetahuan kami tidak begitu. Hal inilah yang membawa kepada kes mahkamah yang berjalan hingga kini.




Pada mulanya pihak kami bergerak menggunakan satu peguam bagi mewakili tiga jalur utama yang dikatakan anak-anak Laksamana Muhammad Amin iaitu Orang Kaya Arshad (datuk kepada datuk saya), adik seibu sebapanya Aminah dan seorang bernama Ahmad Sharif. Tetapi setelah beberapa lama didapati ada sesuatu yang tidak kena tentang perjalanan kes lalu keluarga belah Aminah memilih untuk mendapatkan peguam lain bagi mencelah, begitu juga halnya keluarga Arshad selepas itu. Disebabkan beberapa perkembangan berkaitan kami semakin lama semakin sangsi apakah hubungan sebenar Ahmad Sharif dengan keluarga (rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh). Kemuncak kesangsian ini terzahir dengan kami meninggalkan langsung peguam lama lalu mendapatkan peguam baru bagi sesi perbicaraan terkini. Hal inilah yang menyebabkan kes jadi sedikit rumit lalu memenuhi sebahagian besar tempoh masa perbicaraan pada hari Rabu 2 November sebelum kes diputuskan agar disambung lagi pada 30 November.




Di sini saya tidak ingin memanjangkan lagi apa yang berlaku kecuali menyatakan sudah sampai masanya pihak-pihak berkenaan seperti istana dan orang-orang besar Perak mengambil cakna apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes harta Laksamana ini. Siasatlah perkara sebenar, kenapa kami sanggup mendapatkan peguam-peguam baru bagi meneruskan kes. Kami ini tidak pandai membawa mulut mencipta cerita-cerita muluk bagi membela diri sendiri sehingga sanggup melaga-lagakan adik beradik dan keluarga orang lain seperti sudah berlaku sejak sekian lama. Semoga Allah SWT jua menunjukkan duduk letak perkara.



Apapun selesai sesi di mahkamah saya singgah beriktikaf di Masjid Kampung Paloh kemudian pekena Nasi Ganja di tengah bandar raya. Kembali sahaja ke kereta mula hujan lebat.



Saya pun menuju ke Masjid Panglima Kinta untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar. Letaknya kurang 500 meter dari kedai Nasi Ganja.




Namun hujan lebat menyebabkan saya masuk ke bangunan utama makam terlebih dahulu. Ini kerana ia terletak lebih dekat dengan bahagian tempat letak kereta yang ada bumbung. Terjumpalah sesuatu yang selama ini terlepas pandang...




Cuma sekitar beberapa kaki sahaja dari makam Laksamana Hussain (yang bersemenda dengan keluarga Panglima Kinta) terdapat makam seorang anaknya bernama Che Taba Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 19 Mac 1917. Ini cuma sebulan lebih sahaja selepas ayahnya Hussain meninggal dunia 13 Februari 1917. Ah. Maka betullah Hussain memiliki anak-anak lelaki yang dikenali sebagai Che Taba diikuti Che Tambah. Disebabkan Che Taba meninggal begitu awal maka Che Tambah menjadi waris utama harta Hussain (yang disebut sudah bertaraf jutawan pada zaman itu) selepas itu.

Sesungguhnya ini ada kaitan tersendiri dengan hal datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad yang menurut sesetengah pihak sempat menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak ke-13 iaitu bagi menggantikan Hussain. Di kawasan tanah perkuburan keluarga kami di Batak Rabit terdapat makam  Che Tambah yang meninggal dunia pada bulan Disember tahun 1918. Ada sebab tertentu kenapa makam beliau boleh berada di situ, bukan di Ipoh seperti halnya Hussain dan Che Taba. Itu yang disebut dalam artikel Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh bahawa terdapat makam yang tertulis perkataan Inche' Hussain Laksamana di Batak Rabit tetapi dibaca sebagai Haji Ahmad Amin Laksamana oleh pihak lain. 




Yang tidak atau belum disebut adalah bagaimana itu dijadikan asas hujah oleh suatu pihak sehingga saudara mara kami jadi berpecah belah. Oh. Ini adalah gambar saya beriktikaf di Masjid Panglima Kinta. Tunggu hujan reda baru hendak menyambung perjalanan.




Semasa di masjid saya mengambil peluang untuk menyemak kembali sejumlah maklumat yang diletakkan dalam galeri sana.




Maklumat berkenaan membuat saya pertama kali ingin ke Kampung Kepayang di Ipoh. Tujuannya boleh disimpulkan melalui hantaran ke Facebook sejurus sebelum menyeberangi Sungai Kinta di kampung tersebut...


SEMOGA KEBENARAN TERSERLAH. JANGAN MUDAH ANGGAP SEMUA YANG KELUAR DI INTERNET WAIMA WALAU DAPAT MASUK KE ISTANA SEKALIPUN ADALAH BENAR...

Ke Kampung Kepayang untuk menyiasat dakwaan2 melibatkan Panglima Kinta ke-7, Dato' Ngah Jabor. Pertama. Betulkah beliau orang sama dengan Ngah Jabor yang terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875? Kedua. Beliau dikatakan memiliki anak lelaki bernama Kanda Jahid. Betulkah isteri Jahid iaitu Ngah Teresah adalah anak Laksamana Muhammad Amin? Atau anak kepada Haji Muhammad Amin yang lain? Dengan itu juga betulkah adik (atau kakak?) Ngah Teresah bernama Puteh Menjera adalah anak Laksamana Muhammad Amin? Kalau ada bukti yang kukuh kami anak cucu sahih Laksamana Muhammad Amin tiada masalah menerima. Tapi kalau main tebuk2 aje bagi masuk dalam salasilah sebab ada nama sama Muhammad Amin? Takkan kami nak terus buat bodoh main terima sahaja?




Di sini cukuplah ditambah bahawa ada pihak mendakwa Laksamana Muhammad Amin memiliki anak-anak perempuan bernama Ngah Teresah dan Puteh Menjera sedangkan ia tiada dalam rekod keluarga kami. Sebaliknya yang dapat ditemui dalam rekod-rekod British adalah orang-orang tersebut merupakan anak kepada orang bernama Haji Muhammad Amin. Tidak ada disebut sebagai Laksamana kecuali oleh pihak yang mendakwa begitu.

Penelitian terhadap rekod-rekod lama juga menunjukkan terdapat beberapa orang bernama Muhammad Amin hidup di Perak sezaman dengan Laksamana Muhammad Amin. Seorang bahkan pernah menjadi penghulu di Batak Rabit yang merupakan kawasan asal keluarga belah saya. Apa yang mahu dikatakan di sini adalah sama ada disengajakan atau tidak ada orang mendakwa mereka adalah anak cucu Laksamana disebabkan memiliki moyang bernama Muhammad Amin. Pihak berkenaan bahkan pernah menuntut kepada saudara mara saya agar dimasukkan keluarga sebagai mereka yang berhak untuk bersama mendapatkan faraid harta Laksamana di Mekah tetapi kami menolak.

Fakta bahawa telah berlaku percubaan untuk masuk ke dalam salasilah kami secara sebegitu rupa sedangkan pihak berkenaan tidak  dapat mengemukakan apa-apa bukti kecuali ada memiliki moyang bernama Muhammad Amin menunjukkan bahawa perkara serupa mungkin telah berlaku pada masa silam. Pada kami kalau sungguh ahli keluarga sekurang-kurangnya boleh bersoreh dengan orang-orang lama dalam kalangan kami sehingga dapat ditemui dan dibuktikan bagaimanakah perhubungan persaudaraan itu. Kalau sungguh ada moyang bernama itu ini sebagai anak Laksamana Muhammad Amin harus ada ahli keluarga kami mengetahui lalu dapat mengesahkannya. Berdasarkan hal ini kami mendapati bahawa kedudukan orang bernama Ahmad Sharif dalam keluarga boleh dipersoalkan. Rujuk balik Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh

Semoga pihak istana dan orang-orang besar juga menyiasat sama. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Kerana ia melibatkan hak untuk mewarisi gelaran warisan keluarga juga harta yang sudah sahih dinilaikan berbillion RM, bukan cerita dongeng.




Oh. Semasa di Kampung Kepayang saya sempat singgah di beberapa tempat. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-






Keluar dari Ipoh singgah pula ke Pengkalan Pegoh lalu ke masjid berkenaan. Lihat Masjid (Mosque of) Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh. Tempat ini memiliki sejarah tersendiri sebagai satu pengkalan utama bagi mengeluarkan hasil bijih timah dari persekitaran Ipoh dan Lembah Kinta ke luar Perak abad ke-19.




Perjalanan diteruskan dengan menghala ke Kampung Gajah melalui jalan ke Tanjung Tualang.




Sejak 2-3 bulan kebelakangan, sejak rajin mengkaji banyak dokumen lama British dalam membentuk keadaan di bumi Perak bermula daripada Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 diikuti pembunuhan Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch pada 2 November 1875 diikuti Perang British-Perak yang berlanjutan sehingga tahun 1876 sebelum ramai pembesar ditangkap dan dihukum, moyang saya sendiri Laksamana Muhammad Amin dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah II pada tahun 1877, saya lebih peka tentang keadaan bentuk muka bumi sepanjang perjalanan dan apa yang pernah berlaku di sekitar itu...




Misalnya laluan Tanjung Tualang ke Kampung Gajah. Lihat sahaja dalam Google Map sambil berjalan. Jelas ditunjukkan betapa banyak bekas lombong wujud di sekitar, lombong-lombong yang dahulunya adalah milik para pembesar Melayu kemudian dirampas oleh British lalu diberikan kepada orang lain termasuk para pengusaha Cina.




Oh. Ini adalah gambar lama masjid di Changkat Tin. Lihat Masjid (Mosque of) Al-Falahiah, Changkat Tin.




Satu perkara menarik dapat dilihat. Ketika membuat perjalanan ke Terengganu dan kembali 27-31 Oktober didapati bendera-bendera parti untuk Piliharan Raya Umum ke-15 terkibar di kebanyakan laluan. Lihat Kompilasi cerita perjalanan Terengganu 2022. Tetapi dalam perjalanan di Perak ini dah sampai Kampung Gajah baru ada kelihatan.



Perjalanan diteruskan ke Pasir Salak kemudian lebih jauh ke selatan menghilir Sungai Perak.










Cukuplah dikatakan bahawa saya pergi ke paling hujung selatan jalan yang boleh dilalui kereta untuk mencari tapak suatu tempat bernama Kota Lumut. Bukan Lumut di kuala Sungai Dinding yang boleh membawa ke Pulau Pangkor itu tetapi sebuah kota lama di mana Sultan pertama Selangor iaitu Sultan Salehuddin @  Raja Lumu ibni Daeng Chelak ditabalkan menggunakan nobat kerajaan Perak pada tahun 1766 Masihi. Lalu singgahlah ke beberapa tempat seperti berikut :-









Lihat juga siaran langsung berkenaan melalui Facebook yang diabadikan di sini dan sini.


Selasa, November 08, 2022

Misi keluarga Laksamana part VI - Merenung keadaan sambil bergerak ke Ipoh

Salam. Merujuk pada artikel Perjalanan Terengganu 2022 - Berserah di bawah perlindunganNya yang  dipersembahkan pada tengah hari Selasa 1 November, artikel pertama dan pembukaan bagi siri berkenaan. Pada perenggan pertamanya ada disebut bahawa pada malam sebelumnya saya dan keluarga baru sahaja kembali daripada satu perjalanan di Terengganu yang memakan masa 5 hari 4 malam serta jarak pemanduan tidak kurang 1,100 km. Petang itu pula harus bergerak bersendirian ke Perak kerana satu urusan. Sekarang biar dimulakan cerita tentang perjalanan tersebut.



Adapun perjalanan ke Perak ini merupakan kesinambungan bagi beberapa perjalanan ke negeri kelahiran bapa yang telah dibuat dalam tempoh setengah tahun kebelakangan. Saya perlu berada di Ipoh pada pagi Rabu 2 November 2022 kerana ada lagi sesi perbicaraan mahkamah melibatkan hal harta pusaka waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (yang dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah II kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875).




Sebetulnya pada Selasa 1 November saya masih memikirkan apakah perlu bergerak hari itu juga atau tunggu selepas Subuh hari Rabu 2 November. Ini kerana kepenatan daripada perjalanan Terengganu masih amat terasa. Lewat petang apabila sampai masa untuk mengambil anak kembali dari sekolah agama baru terfikir elok dimulakan perjalanan. Diajak isteri ikut sekali dalam kereta supaya boleh mengambil kereta lagi satu yang baru siap diperbaiki di sebuah bengkel berdekatan Bukit Sentosa.




Selepas isteri menaiki kereta tersebut dengan anak saya pun bergerak ke Bukit Sentosa untuk menyelesaikan sedikit hal.




Tengok-tengok terlajak sehingga selepas Maghrib baru dapat menyambung perjalanan...



Oh. Sebetulnya banyak hal asalnya mahu diluahkan dalam artikel pembukaan ini yang ceritanya sebenarnya adalah kesinambungan daripada apa yang telah dikongsikan dalam artikel-artikel kompilasi berikut :-










Antaranya adalah betapa hampanya melihat perangai ramai manusia begitu pentingkan kebendaan walhal mengaku diri kuat beragama, berzikir, berselawat, berTasawuf lagi. Letih tengok perangai sesetengah orang apabila ke majlis asyik mahu diangkat dan dilayan sebagai VIP. Sedangkan saya sendiri yang sebenarnya VIP di majlis-majlis berkenaan tidak pernah meminta layanan sebegitu. Pada saya bersyukurlah dapat hadir. Kemudian mahu bebas bergerak ke sana ke sini tanpa terikat dengan apa-apa protokol.




Disebabkan hal-hal sebegitulah saya lihat ramai senang terpengaruh dengan orang yang pandai bermuka-muka lagi penipu pandai memainkan ayat-ayat agama lalu perjuangan hendak menonjolkan kebenaran terasa begitu sia-sia. Kerana orang tidak pentingkan kebenaran. Kebenaran cuma penting apabila dapat digunakan untuk mendapatkan kelebihan dan kemenangan.




Kalau dikatakan puak-puak kaki penipu sanggup bermain bomoh untuk mengenakan kita tentu orang-orang sebegitu tidak akan percaya. Padahal banyak kebenaran boleh ditunjukkan dengan terang kalau mata dan jiwa tidak terhijab. Misalnya batu nesan yang sudah cukup jelas tertulis Jawi perkataan "Inche' Hussain Laksamana" pun tetap mahu dibacanya sebagai "Haji Ahmad Amin Laksamana" demi untuk menyokong dakwaan satu pihak yang mendakwa ada batu nesan lain bertulis perkataan "Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad 11.11.36"  sebagai 'bukti' bahawa seorang individu bernama Ahmad Sharif meninggal dunia pada tarikh berkenaan. 




Individu ini didakwa sebagai salah seorang anak Laksamana Muhammad Amin yang layak menerima bahagian pusaka faraid Laksamana. Walhal setelah meneliti lebih 11,000 dokumen asli zaman British daripada tempoh masa berkenaan iaitu penghujung abad ke-19 membawa ke awal abad ke-20 dan lebih 2,000 muka surat lagi secara atas talian selain beribu muka surat buku-buku sejarah tidak dapat ditemui apa-apa rekod atau kenyataan untuk menunjukkan bahawa Laksamana memiliki anak bernama Ahmad Sharif kecuali satu sahaja. Ia adalah satu dokumen tanah British di Singapura bertarikh 27 Jun 1925. Dinyatakan hal tanah melibatkan seorang bernama "Ahmad Shariff bin Dato' Muhammad Amin Laksamana"..




Nama Ahmad Shariff ini disebut dalam dokumen tersebut banyak kali diikuti dengan perkataan deceased yang membawa makna beliau telah meninggal dunia ketika dokumen dibuat.




Malah pada pertengahan muka surat kedua dokumen disebut dengan jelas "Ahmad Shariff died on the 29th day of December 1897" iaitu beliau meninggal dunia pada 29 Disember 1897.




Kalau begitu siapa pula Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad yang dikatakan meninggal dunia pada 11.11.36, yang tulisan begitu tertera pada satu batu nesan di Perak? Sama ke dengan Ahmad Sharif yang jelas tertulis dalam dokumen British telah meninggal dunia pada tahun 1897? Ke nak kata dia ni macam Mat Kilau yang diisytiharkan mati oleh British 1895 tetapi sebenarnya masih hidup lagi? Cuma dalam penyamaran sehinggalah mengisytiharkan diri lalu meninggal tahun 1970? 

Mat Kilau itu semua orang tahu ceritanya sebagai pahlawan hebat Melayu Pahang yang menentang penjajahan British di negerinya. Disebabkan diburu selepas menentang maka wujud keperluan untuk British mengisytiharkan beliau mati demi meredamkan semangat perjuangan orang Melayu sementara beliau sendiri harus meneruskan kehidupan dalam penyamaran. Tetapi Ahmad Sharif? Pernahkah ke dengar ada pejuang Melayu bernama demikian pada mana-mana zaman? Apatah lagi Ayub Sharif?




Yang pasti, tidak seperti Mat Kilau tidak ada lain-lain rekod menunjukkan wujudnya individu bernama Ahmad Sharif sebagai anak Laksamana Muhammad Amin pada waktu berkenaan iaitu penghujung abad ke-19 Masihi selain dokumen tanah yang diceritakan. Kalau ada sila tunjukkan kepada kami sebagai bukti. Jangan alih topik dengan melaga-lagakan orang lain atau mengatakan mak orang sekian sekian adalah anak angkat dan sebagainya. Tapi kalau nama Muhammad Amin memang ada beberapa orang dengan nama sama di Perak, pada zaman yang sama. Itu boleh ditemui dalam rekod. Kelihatan, besar kemungkinan Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad itu adalah anak kepada Muhammad Amin lain, bukan anak Laksamana.

Walaupun British ada menyatakan terdapat Ahmad Sharif bin Muhammad Amin Laksamana kami masih boleh persoalkan apakah benar anak kandung atau sebenarnya anak angkat? Ini kerana pada zaman itu tidak ada pihak bertanggungjawab untuk menapis hal-hal berkenaan seperti sekarang. Lalu seorang anak angkat boleh diisytiharkan sebagai anak kandung berbinkan Laksamana ketika mendaftar dan membuat surat mati tanpa disoal kesahihannya oleh British. Lalu ini pula kemudian boleh diselitkan oleh pihak-pihak berkepentingan dalam salasilah besar keluarga Laksamana sedangkan ia sepatutnya ditapis dan disiasat. Kerana walaupun dianggap sebagai anak kandung sekalipun seorang anak angkat tidak layak menerima bahagian faraid harta Laksamana dan anak cucunya tidak sepatutnya mewarisi apatah lagi mahu mendapatkan gelaran keturunan.


Oh. Saya berjalan malam itu dalam keadaan main ikut sahaja mana nak sampai. Ini kerana tidak seperti perjalanan-perjalanan ke Perak sebelum itu belum lagi jelas apakah tempat-tempat yang mahu disinggahi. Yang tahu mesti berada di mahkamah syariah di Ipoh pada pagi Rabu. Apabila sampai ke masjid ini dekat jam 10.30 sekitar 21 km sebelum Ipoh lalu mendapati ia cukup selesa saya pun memilih untuk berehat. Lihat Masjid (Mosque of) Ar-Rahman, Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,332 di CATATAN SI MERAH SILU.