Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 04, 2013

Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Dari asal membawa ke usul

Salam hari Jumaat. Bersambung dari Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH. Hmm... saya rasa elok juga penulisan dibuat lagi sehari dua, mungkin Isnin nanti. Biar gambar sahaja menghiasi ruangan buat suatu masa. Ini kerana di Facebook saya sedang mewar-warkan idea tentang penubuhan Universiti Ketamadunan Melayu Antarabangsa atau singkatannya UTAMA, dari Perkara 9 Pernyataan HIKMAH Melaka. Apabila siap penceritaan artikel ini tumpuan harus beralih pada Perkara 8 yang menyebut tentang minggu Sambutan Umat Melayu Sedunia juga cuti Hari Melayu pula. Lihat artikel Penerangan ringkas tentang Pernyataan HIKMAH Melaka di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Nota : Entah kenapa sungguh berat hendak menyambung penulisan. Khamis 10 Oktober, setelah 6 hari perenggan atas dibuat, baru ia dapat dimulakan sekitar 3 petang.


Hampir jam 10 baru acara dimulakan. Setelah tetamu-tetamu terhormat mengambil tempat lagu Negaraku dinyanyikan diikuti lagu negeri Melaka.


Tetamu terhormat memberi ucapan. Ikut rancangan asal sepatutnya Ketua Menteri Melaka yang baru Datuk Idris Haron yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-13, Mei lalu hadir merasmikan majlis apalagi ia diadakan di Seri Negeri yang merupakan pejabat Ketua Menteri.


Entah kenapa beliau tak tunjuk muka. Maka tetamu paling utama hari itu adalah Ketua Menteri sebelumnya Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Kebetulan beliau masih memegang jawatan sebagai presiden DMDI (Dunia Melayu Dunia Islam). Badan ketamadunan antara Melayu yang berpusat di Melaka itu merupakan salah satu penganjur majlis.


Lama kemudian baru saya diberitahu Datuk Idris harus menghadiri mesyuarat ADUN. Sesi pembentangan dimulakan 10.30.


Ia dipengerusikan Profesor Emeritus Datuk Wira Dr Yusoff Hashim, naib canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), satu lagi penganjur. Beliau yang juga merupakan pengerusi biro pendidikan DMDI memberi ucapan pengenalan.


Dari ucapan beliau baru saya tahu pembentang utama, Puan Zaharah Sulaiman adalah seorang pakar IT. Seingat saya, biodata pembentang tiada menyebut kelulusan dalam bidang yang mahu dibentangkan iaitu asal-usul Melayu yang disokong kajian DNA dan arkeologi. Sedangkan sebulan sebelum itu beliau telah diperkenalkan kepada saya sebagai penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia. Untuk pengetahuan Zaharah pernah membentang pada HIKMAH VI di Shah Alam 7 Sept. Lihat artikel Acara keenam HIKMAH di Shah Alam 7 Sept 2013.


Namun orang yang bijak pandai seperti beliau harus mampu untuk menggapai apa-apa bidang walau tanpa kelulusan dan latihan formal. Melalui penglibatan kehadiran cendekiawan yang terlibat dalam majlis ini saya dapat melihat kajian Zaharah diakui atau sekurang-kurangnya diberi perhatian serius oleh mereka yang cukup arif dalam bidang sejarah dan arkeologi (saya tak sedar jika ada pakar DNA hadir sama). Difahamkan kepakaran beliau dalam bidang IT memberi peluang untuk beliau meneliti kajian DNA oleh saintis Barat yang membuka pengetahuan tentang asal-usul Melayu. Ini digunakan untuk menjawab tuduhan-tuduhan sumbang pihak tertentu yang mendakwa orang Melayu adalah pendatang, tuduhan yang bertujuan mahu mengikis hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan.


Antara tuduhan jahat dibuat pihak berkepentingan adalah bangsa Melayu kononnya tidak pernah wujud kecuali sebagai satu entiti ciptaan politik yang dihasilkan pada zaman moden. Zaharah secara khusus menunjuk pada buku bertajuk "Contesting Malayness: Malay Identity Across Boundaries" oleh Timothy P. Barnad terbitan NUS (National University of Singapore) tahun 2004 sebagai salah satu usaha serius untuk menjatuhkan kepentingan orang Melayu.


Melalui kajian DNA dan arkeologi (juga antropologi nampaknya) beliau pun menyorot sejarah pergerakan manusia. Kata Zaharah (saya sebut seingatnya tanpa membuat catatan ya, kalau salah sila beri teguran), kelompok manusia seperti yang kita kenali sekarang berdiri tegak berjalan atas dua kaki, manusia yang disebut dalam ilmu antropologi sebagai homo sapiens dikesan mula hidup di Afrika sekitar 150,000 tahun lalu. Untuk pengetahuan sebelum itu sudah wujud makhluk seperti manusia lebih awal tetapi kurang bertamadun. Ciri-ciri tubuh badan dan perawakan mereka menghampiri beruk, misalnya satu kelompok yang dipanggil Australopithecus (dipercayai wujud antara 2.9 hingga 3.9 juta tahun lalu!).

Dari Afrika ada kelompok besar yang bergerak ke timur tengah lalu menetap di Semenanjung Arab. Dari Arab ada yang bergerak beramai-ramai mengikut jalan pesisiran pantai masuk ke benua Hindi sebelum sampai ke Asia Tenggara atau Alam Melayu yang ketika itu merupakan satu daratan luas yang dipanggil Benua Sunda. Ini dipercayai berlaku sekitar 75,000 tahun lalu (atau lebih awal, saya lupa). Ketika itu Laut Cina Selatan dan perairan sekitar merupakan daratan membolehkan manusia berjalan kaki antara Semenanjung, Pulau Sumatera, Jawa dan Kalimantan, kalau dipisahkan pun cuma oleh sungai-sungai yang tak sebesar mana. Cuma kepulauan Filipina dan Sulawesi sahaja terpisah dari benua besar kerana perairan sekitarnya dalam. Pendek kata Benua Sunda memang sebuah tanah yang sangat besar. Dan ia dikatakan sangat subur sehingga kelompok manusia yang bergerak jauh tadi memilih untuk menetap lama lalu muncullah masyarakat yang meluas.

Kalau tak salah ingatan Zaharah menggunakan terma cradle of civilisation (secara harfiah bermaksud buaian atau tempat awal ketamadunan) juga incubator of civilisation (saya lihat terjemahan Melayunya adalah inkubator, seakan tempat menyemai) untuk menerangkan keadaan. Perkataan cradle mungkin boleh dicabar kerana seingat saya ada yang menganggap Afrika adalah tempat permulaan ketamadunan manusia. Tapi mungkin juga Zaharah bermaksud apabila sampai di Benua Sunda baru manusia dapat mencapai taraf ketamadunan yang boleh dibanggakan. Apapun perkataan incubator terasa lebih kena kerana memang tamadun kelihatan disemai di benua ini.

Menurut Zaharah sekitar 73,000 tahun lalu berlakulah letupan gunung berapi gergasi atau super volcano yang membentuk Danau Toba yang sangat terkenal di Sumatera, tasik besar pada ketinggian 3,000 kaki di atas paras laut meliputi pulau seluas Singapura (rujuk cerita lawatan saya dan keluarga ke sana penghujung 2011, pada artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Berastagi ke Danau Toba,  Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Cabaran pusing pulau dan  Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Keluar pulau untuk ke Medan). Kata beliau ini menyebabkan separuh atau lebih populasi penduduk di Benua Sunda terkorban. Saya sudah lupa apakah disebabkan itu atau sebelumnya lagi ada penduduk yang berhijrah pula ke utara untuk menghuni benua Cina dan lain-lain tempat.

Yang pasti Benua Sunda memiliki kedudukan yang sangat istimewa dalam menerbitkan ketamadunan sejagat. Kemudian berlaku 3 kali banjir besar yang bukan sahaja memecah-belahkan populasi manusia malah menyebabkan sebahagian besar Benua Sunda tenggelam sehingga menjadi bentuk muka bumi yang dikenali sekarang. Kata Zaharah banjir besar berlaku 15,000 tahun lalu, kemudian 12,000 tahun lalu seterusnya 8,000 tahun lalu. Beliau menyebut cerita tentang Nabi Nuh dan bahteranya di mana selepas banjir besar, 3 orang anak baginda, Sam, Ham dan Yafith membentuk 3 kelompok utama manusia selepas banjir.


Saya rasa cukuplah memperincikan cerita. Banyak lagi yang saya ingat dan boleh diceritakan tanpa catatan dan rujukan, antaranya adalah jawaban kepada 3 soalan yang saya lontarkan ketika pembentangan direhatkan setelah 1 jam. Antara sebab saya mengambil masa begitu lama, 9 hari setelah acara untuk bercerita tentang pengisian majlis adalah kerana timbul rasa wajib untuk menerangkan panjang lebar sedangkan proses ini agak memenatkan. Kalau terpaksa bercerita begitu setiap kali artikel keluar maka jawabnya makin berat dan malas le saya nak menulis. Sebab bila menulis je perlu mengambil begitu banyak masa dan harus begitu teliti. Mereka yang pernah menulis artikel yang cukup bererti tanpa memplagiat hasil kerja orang lain sahaja tahu susah payahnya.

Cukuplah dikatakan selepas itu pembentangan Zaharah masuk pada kerajaan Funan abad pertama Masihi membawa ke Srivijaya abad ketujuh dan seterusnya. Beliau kemudian menerangkan ada usaha jahat puak-puak tertentu dari selatan Cina seperti Dai Viet dan kaum Tai (atau Thai) untuk melenyapkan ketamadunan Melayu di tanah besar Asia Tenggara. Dan usaha ini diteruskan sesetengah kaum Cina hingga kini, dengan bantuan penjajah seperti Inggeris yang tidak mahu Melayu maju, antaranya akibat bencikan Islam.


Zaharah lalu sempat bercerita tentang keagungan sebenar tamadun Melayu yang telah digelapkan begitu lama. Antaranya adalah berkenaan teknologi perkapalan Melayu tradisional, sehingga dikatakan sebuah jong Melayu boleh dibuat begitu besar mengatasi 20 kapal Cina!


Secara rata beliau mengulangi apa yang telah diceritakan pada HIKMAH VI. Sila lihat penerangan pada artikel Video sekitar HIKMAH VI - Sambutan Merdeka Raya. Cuma kali ini Zaharah diberi lebih banyak masa untuk memanjangkan perkara. Secara asas dan umum beliau berpendapat orang Melayu berasal dari apa yang dipanggil Orang Asli, juga dipanggil Melayu Proto dari sudut antropologi. Pada beliau tidak pernah wujud apa yang dipanggil Melayu Deutro atau golongan yang dianggap datang kemudian dari luar, lebih pandai dan bertamadun. Menurut Zaharah orang Melayu memang berasal dari Benua Sunda. Yang membezakan tahap pencapaian tamadun lalu membentuk kelompok moden dan asli seperti dikenali kini lebih bergantung pada faktor geografi perbezaan pendudukan di persisiran pantai berbanding pendalaman yang mempengaruhi kekerapan perhubungan dengan dunia luar.


Pembentangan ditamatkan hampir jam 1 diikuti sesi soal jawab. Beberapa orang hadirin melontarkan soalan termasuk saya lagi.


Bergambar ketika rehat untuk makan tengah hari dan solat Zuhur.


Sebelum itu seorang tetamu terhormat, pegawai dari PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka) kalau tak salah ada menegur kenapa gerai buku Zam (rujuk cerita pada Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH) terletak agak tersorok di satu sudut lalu meminta kami mengalihkan ke tempat yang lebih mudah dilihat. Saya pun mengambil peluang mengalihkan sekali banner HIKMAH ke kiri kanan pintu masuk dewan.


Banner HIKMAH diletakkan bersebelah banner simposium...


Gerai buku Zam. Ramai berminat dengan buku-buku yang ditawarkan, buku-buku yang susah hendak ditemukan di kedai-kedai biasa.


Sekitar jam 2.30 baru majlis disambung dengan apa yang dinyatakan sebagai sesi forum melibatkan beberapa orang tokoh. Namun saya sendiri baru masuk kembali ke dewan sekitar 3.20.






Ketika saya masuk Haji Yusuf Liu, seorang penulis dari Cina berbangsa Hui yang beragama Islam (duduk dua dari kanan, lihat koleksi buku beliau pada Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH) baru hendak menghabiskan ucapan. Bila saya duduk wakil dari Singapura (saya sudah lupa namanya, Tuan Haji Jamil Tukimin kalau tak salah) pula mengambil tempat. Beliau bercakap tentang semangat orang Melayu Singapura melestarikan budaya sambil mengaitkan dengan Pulau Jawa, tempat asal usul keturunannya sendiri.


Kemudian naik Prof. Emeritus Dato’ Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, orang lama dunia arkeologi di Malaysia. Saya dapati ucapan dan pembentangan beliau lebih kurang sama seperti pernah didengar di Universiti Malaya lebih setahun lalu. Lihat artikel Forum Identiti Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.


OK. Menurut rancangan asal seorang budayawan terkenal dari Riau, Indonesia iaitu Pak Tenas Effendy akan turut memberi buah fikiran. Namun beliau tidak hadir. Seorang lagi ahli panel, cendekiawan tempatan terkenal iatu Prof Dato’ Dr Wan Hashim Wan Teh (kini dengan UPNM, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia kalau tak salah) telah membentang sebelum saya masuk ke dewan petang. Ahli panel forum telah bersetuju untuk membuat sejumlah resolusi. Pengerusi forum Datuk Dr. Hj. Mohd Jamil bin Mukmin dari DMDI (naib presiden kalau tak salah) mengumumkan.

Antara yang saya ingat majlis bersetuju agar kajian tentang asal usul manusia dibuat untuk diselarikan dengan maklumat yang termaktub di dalam kitab suci Al-Quran. Majlis juga mengsyorkan agar replika kapal lama Melayu yang dikatakan bersaiz sangat besar didirikan. Kemudian sesi dibuka untuk hadirin memberikan pandangan juga resolusi tambahan. Saya pun mengambil peluang untuk mengemukakan syor...


Saya meminta agar satu minggu sambutan Umat Melayu diadakan diakhiri dengan cuti umum pada hari Jumaat yang dipanggil hari Melayu. Ia sebenarnya adalah Perkara 8 dalam Pernyataan HIKMAH Melaka (lihat Penerangan ringkas tentang Pernyataan HIKMAH Melaka). Tetapi saya tidak menyebut apa-apa tentang HIKMAH ketika itu. Entah kenapa itulah satu-satunya dari 10 perkara dalam Pernyataan yang timbul dalam fikiran untuk diangkat ketika diberi peluang memberikan resolusi tambahan.

Kelihatannya Datuk Jamil yang baru saya tahu turut memakai gelaran Profesor Adjung (pertama kali saya dengar gelaran itu, maksudnya seorang profesional bukan akademik yang diberi tempat mengajar sebagai profesor di universiti) tidak berapa bersetuju. Katanya cukuplah dengan hari raya Aidilfitri sebagai sambutan seumpama itu. Kata saya ia haruslah sambutan khas untuk orang Melayu. Saya tak ingat pada ayat apa menerangkannya, tiba-tiba sejumlah hadirin muda bersuara kuat memberikan sokongan lalu resolusi pun diterima

Beberapa hari setelah kembali ke rumah baru saya menyedari satu perkara. Adapun selama beberapa hari 2 minggu sebelum itu saya ada meletakkan satu demi satu perkara dari Pernyataan setiap hari ke Facebook. Fikir saya telah meletakkan semua 10 perkara. Tetapi apabila disemak kembali baru  saya sedar sampai pada  Perkara 8 sahaja. . Cukuplah cerita... :]


Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Antara buku dan HIKMAH

Salam semua. Malam Jumaat ini eloklah dibuka satu cerita...


Pagi Selasa 1 Oktober 2013, selepas bermalam di sebuah rumah rehat di sekitar pusat bandar raya Melaka (lihat artikel First Melaka city centre walk in 5 months...di blogspot BERPETUALANG KE ACEH), saya dan seorang sahabat, saudara Zam bersarapan di warung berdekatan.


Warung ini terletak di hadapan Sekolah Tinggi Melaka. Baru saya tahu sekolah ini telah diasaskan 1826, dua tahun setelah berlakunya Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang secara efektifnya membelah dua dunia Melayu di Asia Tenggara menjadi bahagian-bahagian yang akan membentuk negara Malaysia dan Indonesia.


Selepas itu kami bergegas ke Seri Negeri, pejabat pentadbiran Ketua Menteri Melaka yang terletak di Ayer Keroh.


Kami mahu menghadiri acara yang dipanggil Simposium Serantau Asal Usul Melayu.


Sambil melangkah masuk ke dewan, teringat kali pertama saya menghadiri acara di sini. Lihat artikel Seminar Antarabangsa Hang Tuah di Seri Negeri - Menjana kebangkitan jati diri Melayu sejati? yang dibuat lebih setahun setengah lalu.


Kami sampai sekitar 8.40 pagi. Acara dijadualkan bermula 9.30.


Suasana dalam dewan...




Di ruang legar ada sejumlah gerai buku.


Gerai IKSEP (Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia). Kelihatan sebuah buku terbaru, "Hubungan Sejarah Melaka-Makassar).


Gerai PERZIM (Perbadanan Muzium Melaka). Walaupun seperti IKSEP mereka juga menerbitkan banyak buku, gerai yang ada setakat mempamerkan maklumat tentang muzium-muzium yang diselenggarakan mereka (lebih 20 kalau tak salah) dan aktiviti berkaitan.


Ini pula gerai Tuan Haji Yusuf Liu, seorang Muslim dari Cina yang berbangsa Hui, satu bangsa etnik Cina yang diketahui beragama Islam sejak zaman-berzaman.


Beliau ada menulis sejumlah buku tentang orang Islam di Cina juga Cina Muslim di Malaysia.


Di satu sudut kelihatan dua buah banner memaparkan apa yang dipanggil Pernyataan HIKMAH Melaka. Rujuk artikel Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman? di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Saudara Zam ada membuka gerai lalu saya mengambil peluang untuk menonjolkan pernyataan menggunakan banner yang dibuat istimewa untuk acara keenam HIKMAH di Shah Alam 7 September lalu. Lihat Acara keenam HIKMAH di Shah Alam 7 Sept 2013.


Zam yang merupakan salah seorang penggiat kuat HIKMAH mula berniaga buku pada acara pertama HIKMAH yang juga diadakan di Shah Alam tetapi pada 4 November 2012. Berniaga atas nama Taman Pustaka (klik sini), beliau kini memiliki lebih 300 tajuk buku-buku yang sukar ditemui di kedai biasa, buku-buku yang selalunya cuma boleh didapati di kedai universiti, muzium dan badan-badan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. 


Masuk ke dewan jam 9 ia nampak sudah dipenuhi.






Tinggal menunggu tetamu-tetamu terhormat sahaja mengambil tempat duduk sebelum acara dimulakan sekitar setengah jam lagi. Cerita akan disambung insyaallah siang Jumaat...