Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Oktober 13, 2015

Reunion kecil Sains Johor sambil meraikan buku baru "Mencari Diri dan Erti"

Salam 13 Oktober 2015. Masih ada sejam lebih sebelum tarikh berubah menjadi 14 Oktober. Adapun pada jam 3.30 awal pagi tadi genaplah umur anak saya Muhammad al-Aminul Rasyid 6 tahun. Ini adalah anak yang namanya digunakan untuk mewakili diri dan watak saya dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Kini siri ini sedang diterbitkan dalam bentuk yang lebih menarik untuk bacaan lebih ramai orang. Hasilnya terbitlah buku "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" sebagai pembuka siri baru yang dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu" sebulan lalu. Lihat Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar!.

Tadi selepas Maghrib masuk pula tarikh 1 Muharram 1437 menurut kiraan Hijriah iaitu tahun baru Islam. Mengambil kira 2 faktor ini iaitu anak genap 6 tahun dan malamnya masuk tahun baru Islam atau Maal Hijrah yang penuh berkat, dipersembahkan artikel ini sebagai kesinambungan dan penutup gerak penulisan 3 hari kebelakangan.




Adapun pada artikel Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1 yang dibuat 3 minggu lalu saya ada menyebut telah diwawancara secara langsung dalam televisyen pada pagi Sabtu 19 September itu. Cuma terlupa hendak membawa bateri kamera lalu tidak dapat merekodkan apa yang berlaku. Apabila isteri cuba merakam menggunakan handphone kawan pula dia tersilap tekan butang lalu video tidak dirakam. Nasib baik kemudian saya dapati ada bapa saudara merekodkan sedikit video dan kawan-kawan mengambil gambar. Itulah yang dipaparkan dalam artikel tersebut.

Antara mereka yang merakamkan gambar sekitar wawancara yang dilihat dalam televisyen lalu memaparkannya di Facebook dan Whatsapp adalah kawan-kawan lama daripada zaman saya belajar di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang 1983-1986. Oh. Sepatutnya saya bersama mereka sehingga tahun 1987 mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tapi atas sebab tertentu, saya dibuang daripada sekolah penghujung tahun 1986 lalu menamatkan pelajaran sekolah menengah di Sekolah Tinggi Muar.

Melihat bagaimana beberapa orang kawan Sains Johor teruja melihat saya keluar televisyen dengan buku baru dan penampilan bergaya busana penuh tradisional Melayu bersampin, bertanjak dan berkeris saya pun tergerak untuk berkongsi kepada umum cerita dalam buku berkenaan zaman belajar di sekolah itu. Lihat Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti".  Oleh kerana ada beberapa orang kawan memberitahu mahu membeli buku siap dengan tanda tangan saya, satu perjumpaan pun diatur merangkap reunion kecil sambil meraikan terbitnya buku itu.

Di atas adalah rakaman penuh wawancara yang dimuatnaik RTM ke Youtube. Ahad lalu iaitu pada 11 Oktober baru saya sedar ia wujud di situ. Walhal video telah dimuatnaik pada hari sama wawancara berlaku 19 September. Dah takdir agaknya. Setelah menghadiri reunion yang berlaku untuk meraikan buku, baru terjumpa video lalu dapat memaparkannya kepada umum. Maka bersambunglah cerita daripada artikel Diwawancara di rumah untuk satu projek dokumentari tentang Melaka yang dipersembahkan 21 jam lalu.


Petang Jumaat 9 September 2015 saya tidur sejam dua untuk melepaskan penat lelah selepas sehari suntuk diwawancara di rumah. Jam 6 lebih saya pun bersiap untuk ke acara seterusnya. Berlepaslah menyusuri Lebuh Raya PLUS menghala ke selatan untuk ke rumah seorang kawan lama di Putrajaya, kawan yang seingat saya kali terakhir ditemui tahun 1986, hampir 30 tahun lalu.


Dekat jam 8 baru sampai, setelah meredah traffic jam teruk yang bermula selepas restoran jejantas Sungai Buloh dan berpanjangan sehingga ke simpang USJ. Gambar di atas diambil jam 9 malam. Ketika itu sudah cukup ramai kawan lama muncul untuk memeriahkan acara.


Semua yang datang adalah daripada batch SPM 1987 kecuali dua orang, seorang senior setahun dan seorang junior dua tahun.


Dua orang kawan sama batch pula datang jauh daripada Johor Bahru. Seorang menyatakan dapat datang kerana acara diadakan Jumaat malam Sabtu. Kalau Sabtu malam Ahad dia tak dapat kerana esoknya hari bekerja di negeri Johor. Seorang pula tidak memberitahu akan datang sebelum ini. Cuma kebetulan beliau naik ke Lembah Klang untuk mengambil seorang anak yang belajar di institusi pengajian tinggi kembali bercuti. Alang-alang dah ada berdekatan dia pun datang ke majlis ini.


Membuka majlis adalah kawan yang kami panggil Sam. Beliau adalah orang pertama menawarkan tempat iaitu stesyen minyak miliknya untuk reunion kecil merangkap majlis meraikan buku. Pada mulanya tarikh yang dicadangkan adalah 3 Oktober Sabtu malam Ahad. Seterusnya ia ditukar kepada 2 Okt Jumaat malam Sabtu agar kawan dari JB dapat bersama. Kemudian seorang kawan yang paling mula menyatakan mahu membeli buku menyatakan tidak dapat bersama pada tarikh itu. Ini kerana dia harus ke Pulau Jawa untuk melaksanakan tugasan hingga hujung minggu.


Setelah perkara dibincangkan lagi mengambil kira pendapat lain-lain kawan, tarikh 9 Okt iaitu seminggu kemudian pun dipilih. Kelihatan Sam memperkenalkan buku "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang". Beliau telah memiliki ketujuh-tujuh buku saya sebelum ini iaitu 3 buku asal siri trilogi "Berpetualang ke Aceh", "Rumah Azan" (terbit 2009), "Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW and Malay Sultanates" (2010), "Kereta Api Menuju Destinasi" (awal 2011) dan "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" (penghujung 2011). Sam adalah orang kedua menyatakan mahu membeli buku terbaru...



Lima hari sebelum acara iaitu pada 4 Oktober seorang kawan lain menawarkan rumahnya di Putrajaya pula sebagai tempat acara. Kawan inilah yang disebut tadi tak pernah berjumpa sejak saya keluar Sekolah Sains tahun 1986, kalau tak salah ingatan le. Beliau yang kami panggil sebagai Topoi sudah beberapa tahun bekerja di Jeddah, Saudi Arabia namun katanya 3-4 kali juga kembali ke Malaysia setiap tahun. Cuma untuk tahun ini beliau baru pertama kali balik bercuti. Kebetulan kena dengan tarikh acara dan beliau sampai hari sebelumnya... pagi Sabtu hendak kembali ke kampung di Rengit, Batu Pahat pula.


Yang kelihatan berdiri dalam gambar inilah saudara Topoi kita. Duduk di sebelah ketika itu adalah Adrian, orang pertama menyatakan mahu membeli buku terbaru saya. Seperti Sam yang mula-mula menawarkan tempat untuk meraikan terbitnya buku, Adrian juga memiliki ketujuh-tujuh buku saya sebelum ini. Beliau antara kawan lama yang paling kuat menyokong penulisan-penulisan saya.


Selepas itu sampailah masa untuk saya bercerita tentang buku dan isinya. Saya pun mengambil peluang untuk menyatakan beberapa perkara yang berlaku kepada saya lebih 30 tahun lalu tetapi tidak semua kawan lama menyedarinya. Turut diterangkan adalah bagaimana saya yang kawan-kawan lama semua kenali sebagai genius matematik boleh berubah arah menjadi penulis yang meminati sejarah pula. Secara rata apa yang diceritakan sudah diluahkan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" tetapi mahu dijelaskan kembali dengan lebih nyata dalam siri baru "Pengembaraan Si Merah Silu". Lihat artikel Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti" sebagai contoh.


Selepas memberi penerangan sampai tak tahu nak sambung lagi apa selain tidak mahu mengambil terlalu banyak masa seorang kawan mencadangkan agar penerangan diteruskan dalam bentuk soal jawab. Ketika inilah Adrian membuat pengakuan mewakili diri dan sekumpulan kawan yang sama-sama nakal. Katanya ketika saya digantung sekolah dahulu (ini pernah berlaku sebelum saya dibuang), mereka telah menyorokkan beberapa kotak rokok dalam beg kegemaran saya.

"Aku ingat lagi beg tulis Yaboom gambar koboi tembak pistol keluar asap dengan tulisan itu," Adrian membuka kenangan lama. Masyaallah, saya sendiri dah lama lupa pasal beg ini. Lama sangat.

"Masa tu engko tengah kena gantung," katanya. "Warden buat spot check (di asrama), kami tak tahu nak sorokkan rokok kat mana, nampak beg Yaboom engko terus longgokkan kesemuanya dalam beg itu."

Kemudian dia bertanya. Apakah ini menerbitkan apa-apa masalah kepada saya kemudian? Ini kerana menurutnya warden dapat menemui rokok dalam beg itu. Seingat saya perkara ini tak pernah kena batang hidung saya. Saya dibuang sekolah kemudian pun sebab masalah disiplin lain.


Selesai bersoal jawab Sam memulakan persembahan menyanyi lagu-lagu lama sambil bermain gitar. Hampir setiap kali kami reunion dia mesti bawak gitar dan alat pembesar suara. Masa sekolah dahulu takda pula dia sibuk main. Yang kaki adalah saya dan beberapa kawan lain. Lihat artikel-artikel lama reunion kami :-






Al-Rasyid berhari-raya : Bertemu kawan lama dan lepasan dari sekolah sains...

Perjumpaan bekas pelajar di Masjid Besi dan lain-lain hal

Beraya awal minggu ke-3 ganti shooting Daulah Melayu


Tu dia. Bila dah senaraikan begini nampak macam banyak kali juga saya sudah menghadiri reunion Sekolah Sains termasuk dengan batch-batch lain. Reunion pertama saya dengan kawan-kawan lama itu adalah pada tahun 2008. Ini berlaku setelah saya sudah lebih 20 tahun putus hubungan dengan mereka...



Selepas beberapa lama, Sam mula terasa penat menyanyi lalu mengajak saya masuk membantu meneruskan momentum. Saya sikit-sikit boleh le, cuma ketika itu sakit tekak dan batuk-batuk belum sembuh. Namun seronok jamming dengan kawan punya pasal layan juga walaupun selalu tak dapat sampai high pitch.



Hujung-hujung siap layan gitar sambil menyanyi. Dah dekat setahun rasanya tak sentuh gitar-gitar kat rumah, jadi hiasan aje kat sebelah ruang makan.


Lepas tu kawan-kawan lain pula menunjukkan bakat masing-masing. Dalam artikel ini saya sudah sebut Sam, Topoi dan Adrian. Sekarang biar diucapkan juga terima kasih kepada Amoi, Sobeh, Man Bilal, Faris, Nurul McKay, Arab, Sahlan, Yatie dan Fadhil kerana sudi bersama meraikan penerbitan buku baru saya. Ada aku terlepas mana-mana nama atau panggilannya? Kalau ada harap ingatkan dan bagitau. Terima kasih juga kerana sudi membeli buku. Inilah punca rezeki aku kawan-kawan, takda le banyak hasil materialnya tapi sangat memberikan aku kepuasan selain dapat berdakwah menyampaikan ilmu dengan cara tersendiri. 

Oh. Bila dah semak balik betul-betul semua yang tertulis ternyata memang kenalah artikel ini ditulis pada 13 Oktober walhal acara berlaku pada 9 Okt. Ini kerana jumlah yang datang termasuk saya adalah 13 orang. Macam ada makna ni. Bukan saja-saja pilih nak menulis 13 Oktober. Cuma saya tetapkan mesti ada satu artikel ditulis pada tarikh ini, ketika waktu malam kerana sudah masuk 1 Muharram. Kebetulan artikel tentang reunion ini muncul mengikut giliran sebagai pelengkap kepada gerak penceritaan 3 hari kebelakangan, berdasarkan apa yang berlaku Khamis (lihat artikel Bagaimana penggunaan wang kertas dan sistem perbankan berasas riba' merompak harta kekayaan orang Melayu dan Islam...) hingga Jumaat malam Sabtu. Menurut perkiraan Islam, ini sendiri meliputi 3 hari kerana Jumaat malam (berbeza dengan malam Jumaat)  sudah masuk hari Sabtu. Dan lagi saya masih bersama kawan-kawan sehingga hampir jam 2 pagi, dah masuk pun hari Sabtu kalau ikut perkiraan Barat. Hmm. Bertemu kita di lain waktu dan kelapangan insyaallah. :]



Diwawancara di rumah untuk satu projek dokumentari tentang Melaka



Mereka yang pernah bertandang ke rumah saya di Sungai Buaya mesti tahu rumah batu itu memiliki loteng kayu yang agak unik. Lihat artikel lama Rumahku Baitul Hikmah. Pagi Jumaat 9 Oktober 2015, sekali lagi loteng yang dihasilkan menurut ilham tersendiri ini menjadi lokasi untuk membuat penggambaran video. Gambar ini diambil mendongak ke atas daripada tangga naik ke loteng. Ketika itu rakaman sedang berlangsung dalam keadaan saya duduk menghadap kamera.



Pemandangan ke bawah daripada tangga. Kelihatan makanan yang disediakan untuk krew produksi, antaranya laksa johor dan roti jala. Dahulu penggambaran pernah dibuat  di kawasan loteng tanpa saya perlu bercakap apa-apa, setakat menunjukkan aksi. Lihat Daulah Melayu - Penggambaran untuk crowd funding. Kali ini saya harus bercakap panjang lebar kerana menjadi orang yang diwawancara.



Oh. Ini bukan untuk projek dokumentari Daulah Melayu yang mana sudah diberitahu beberapa kali di blogspot ini saya menjadi seorang penyelidik juga hos ya. Ini adalah untuk projek lain yang hampir serupa tetapi lain penekanannya. Dalam Facebook, saya pernah menyebut terlibat juga dengan projek dokumentari selain Daulah Melayu, kat sini tak ingat ada sebut ke tak. Cuma saya tidak pernah menghuraikan penglibatan bagaimana, baru kali ini terasa mahu bercerita.

Lebih setengah tahun lalu saya telah dihubungi pihak produksi meminta saya memberikan buah fikiran dan sedikit tulang belakang penulisan yang boleh dikembangkan untuk dijadikan dokumentari beberapa episod tentang Kesultanan Melayu Melaka.  Cukuplah disebut syarikat cukup ternama dan telah menghasilkan banyak karya yang diminati ramai di kaca televisyen Malaysia. Kebetulan saya sudah memiliki sejumlah bahan yang berguna, sebahagian daripada isi satu projek buku yang dimulakan awal tahun 2012. Itulah projek yang sudah beberapa kali tergendala kerana terganggu rentak penulisannya. Lalu HIKMAH diterbitkan sebagai satu cara untuk mendapatkan kembali aliran pencoretan cerita. Lihat Mengabadikan HIKMAH dan perjuangannya

Antara isi yang sudah disusun cukup kemas untuk buku adalah 50 muka surat maklumat membandingkan perkembangan sejarah di beberapa wilayah utama dunia termasuk Alam Melayu dengan apa yang diceritakan dalam kitab Sulalatus Salatin. Perbandingan dibuat bermula daripada zaman Cyrus the Great memerintah Empayar Achaemenid di Parsi sekitar 550 tahun Sebelum Masihi membawa kepada zaman Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang mati dibunuh Laksamana Bentan di Kota Tinggi, dalam Empayar Johor-Riau-Lingga tahun 1699 Masihi. Maklumat ini telah dikumpulkan seawal pertengahan 2012 lalu siap sebelum hujung tahun. Selepas itu saya cuma membetulkan apa-apa kesilapan yang dapat dikesan selain menambah beberapa maklumat baru, antaranya hasil perkembangan penyelidikan arkeologi oleh USM, Universiti Sains Malaysia di bawah Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin di Sungai Batu.

Maklumat yang sudah 3 tahun dikumpulkan ini dikongsikankan kepada produksi setelah mereka berjanji bahawa saya tetap memegang hak ke atasnya. Bukan sebab lokek ilmu atau hendakkan copyright, saya harus menjaga kepentingan sendiri kerana maklumat adalah  hasil kajian untuk kegunaan projek buku. Kesefahaman harus diperolehi supaya jika buku yang tergendala lama itu akhirnya keluar selepas dokumentari disiarkan, orang tidak boleh menuduh saya mencedok hasil kerja pihak lain. Sebaliknya kita boleh bekerjasama untuk saling mempromosi dan membantu kerja masing-masing. Apa-apa kajian terbaru mereka melibatkan dokumentari boleh dikongsikan kepada saya dan begitulah sebaliknya. Yang penting tidak melanggar perjanjian dengan pihak lain misalnya, apa yang saya buat untuk Daulah Melayu tidak boleh didedahkan kepada mereka.



Setelah beberapa lama mengkaji maklumat yang diberikan lalu menggunakannya untuk menggali maklumat tambahan selain mendapat arah tuju penerbitan, pihak produksi pun bersedia untuk memulakan penggambaran. Saya dimaklumkan dalam tempoh 2 minggu sebelum bertandang ke rumah saya pagi Jumaat itu mereka telah mewawancara 11 tokoh berwibawa di Malaysia juga di Singapura. Cuma tokoh-tokoh ini rata-rata orang akademik, saya yang sedikit lain. Pada ketika para akademik bercakap berdasarkan sejarah yang diiktiraf logik, saya boleh malah diharapkan dapat membawa sekali unsur-unsur yang dianggap dongeng juga bersumberkan perkhabaran alam ghaib. 



Saya diminta bercakap panjang lebar tentang sejarah pengasasan Kesultananan Melayu Melaka, makna keMelayuan dan sebagainya. Sejumlah buku berkaitan termasuk 3 versi kitab Sulalatus Salatin dalam koleksi peribadi dilonggokkan di hadapan untuk menunjukkan sumber. Nasib baik saya ada semacam lesen untuk 'merapu' memasukkan perkara-perkara yang tidak masuk akal biasa, misalnya hakikat kewalian. Ini kerana sebagai seorang yang memiliki ijazah dalam bidang Matematik daripada University College of London, salah sebuah universiti terkemuka di dunia, susah untuk orang menafikan bahawa saya memiliki kelayakan akademik tinggi untuk bercakap berdasarkan logik. 

Namun saya tetap memilih untuk sesekali bercakap tentang perkara-perkara tidak logik kerana ada keyakinan yang kukuh tentang kesahihan perkara-perkara tersebut. Setelah bertahun pernah menjadi wartawan di sebuah akhbar terkemuka berbahasa Inggeris tanah air, pernah mengembara merata meliputi tempat jin bertendang dan sebagainya kemudian menulis beberapa buah buku juga beribu artikel berdasarkan pengalaman sebenar, bukan sekadar mengutip ilmu daripada penulisan orang lain terutama di Internet, saya sudah memiliki cukup kredibiliti untuk menghuraikan pelbagai hal di luar kotak pemikiran biasa. Antara perkara yang dibangkitkan adalah bagaimana seorang raja sebenar adalah wali Allah yang diberikan amanah untuk menjalankan pemerintahan memakmurkan suatu wilayah dan rakyatnya. Hal ini diterangkan panjang lebar ketika menyentuh soal daulat raja-raja, apakah ia sekadar mitos atau ada asas walaupun kedengaran luar biasa dan tidak logik,



Penerangan yang diberikan adalah lebih kurang seperti ditulis dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007). Sila lihat dalam artikel-artikel lama ini :-


Helah Yahudi Zionis memerintah dunia I



Penggambaran turut dibuat di ruang tamu rumah. Saya diminta untuk menunjukkan koleksi tanjak kemudian berkongsi cerita ringkas tentangnya.





Selain itu ada penggambaran saya membelek koleksi buku. Cuma isteri tak ambil gambar. Yang ini tak perlukan dialog. Namun saya tetap mengambil peluang untuk membuat penerangan ringkas.


Setengah hari juga krew produksi bertandang ke rumah kami untuk melaksanakan kerja. Bermula jam 10 pagi, break untuk solat Jumaat dan makan tengah hari kemudian sambung sampai jam 4 petang. Setelah beberapa lama baru mereka terasa puas, baru boleh wrap up atau 'tutup kedai'. Ketika itulah baru saya sendiri boleh berehat. Malam itu saya harus berada di Putrajaya untuk satu acara melibatkan buku dan kawan-kawan. Nanti akan diceritakan...


Isnin, Oktober 12, 2015

Bagaimana penggunaan wang kertas dan sistem perbankan berasas riba' merompak harta kekayaan orang Melayu dan Islam...

Salam. Menurut gerak terbaru melepaskan beberapa cerita...

Awal petang Khamis 8 Oktober 2015 saya ke bangunan Kuliyyah (Fakulti) of Economics, Universiti Islam Antarabangsa di Gombak untuk satu majlis ilmu.


Kali terakhir menghadiri majlis ilmu di UIA adalah pada tahun lepas, di fakulti undang-undang. Ketika itu seorang cendekiawan peringkat dunia yang berasal dari Norway bercakap tentang pertembungan tamadunan dunia. Lihat artikel Talking about clash of civilisations - Words of wisdom from a 84-year old mathematician di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Kali ini, sesuai dengan kedudukan di fakulti ekonomi, tentu perkara berkenaan ilmu ini menjadi tumpuan.


Yang bercakap adalah Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, mantan profesor dan dekan Institut Kewangan dan Perbankan Islam UIA. Berasal daripada Pulau Pinang beliau kini seorang consultant atau jururunding bebas ekonomi dan kewangan Islam.


Tajuk syarahan atau pembentangan pernah dipersembahkan dalam blogspot ini lebih 2 tahun lalu. Ketika itu saya telah menerima satu salinan kertas kerja dengan tajuk seperti yang kelihatan oleh orang ini juga lalu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu Lihat Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu.  

Secara rata ia menceritakan bagaimana harta kekayaan orang Melayu telah dirompak selama lebih 100 tahun oleh Barat dan pihak-pihak yang dibantu mereka. Ada konsep-konsep penting ekonomi dan perbankan seperti fractional reserve banking harus difahami sebelum kita boleh nampak bagaimana perompakan berlaku disokong undang-undang ciptaan Barat. Dalam artikel yang dipautkan saya sudah memudahkan selagi boleh apa yang diceritakan. 


Seperti biasa di UIA syarahan diadakan dalam bahasa Inggeris. Tetapi kerana perkara sangat penting untuk difahami anak-anak Melayu dipersembahkan cerita ini dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris seperti pernah dibuat walaupun ringkas untuk artikel Talking about clash of civilisations - Words of wisdom from a 84-year old mathematician.

Syarahan bermula dengan memperkenalkan bagaimana wang fiat boleh menyebabkan inflasi, jurang perbezaan pendapatan dan kekayaan yang besar, kemelesetan ekonomi, hilang pekerjaan, konflik dan peperangan malah perubahan cuaca! Ia juga memberi kesan kepada sejarah dan politik, boleh membawa pada kejadian banjir yang berleluasa, mengancam persekitaran, membawa pencemaran air, tanah dan utara, merosakkan ekosistem dan meningkatkan jenayah. Nampak macam tak masuk akal semua ini boleh berlaku akibat wang fiat bukan?

Oh. Sebelum itu anda harus faham apakah itu wang fiat. Secara rata ia merujuk pada semua wang kertas yang digunakan di merata dunia zaman sekarang. Ini kerana wang kertas zaman dahulu ada yang bersandar pada emas. Maka setiap RM1 yang diterbitkan ada sandaran emas dengan nilai itu disimpan di suatu tempat. Sedangkan wang fiat tidak memiliki apa-apa sandaran kecuali perkiraan atas kertas berdasarkan prinsip-prinsip tertentu yang boleh dibuat-buat oleh mereka yang berkuasa. Ini memberikan peluang untuk mereka mencetak wang sesuka hati mereka sehingga jauh melangkaui nilai harta sebenar.


Bila wang boleh dicetak sesuka hati lalu bercambah pada kadar yang tak masuk akal maka hilanglah rasa tanggungjawab. Ketamakan menjadi kegilaan dan itulah yang boleh membawa pada perubahan cuaca, banjir dan sebagainya... disebabkan ketamakan yang dipacu banyaknya wang membuat orang tidak peduli pada persekitaran dalam membina bangunan dan sebagainya sehingga menganggu keseimbangan kitaran alam. Nampak kan sekarang apa kena mengenanya? 

Gambar di atas menunjukkan Ahamed menerangkan apa yang dilihat sebagai prinsip asas dalam perkembangan ekonomi melibatkan wang fiat. Konsep paling penting di sini adalah financial inclusion, saya terjemahkan sebagai 'keterlibatan kewangan'. Ia merujuk pada siapakah yang terlibat dalam suatu sistem kewangan. Contoh paling senang keterlibatan kewangan adalah orang bermain kutu. Cuma mereka yang sama-sama main kutu mendapat faedah kewangan daripadanya.

Dalam hal ini Ahamed merujuk pada sistem perbankan. Sistem dibina sebegitu rupa sehingga mereka yang paling awal terlibat mendapat banyak faedah menyebabkan mereka di luar tertinggal jauh ke belakang. Melalui sistem perbankan mereka yang mendapat faedah boleh membuat pinjaman untuk membeli banyak hartanah, Mereka yang tidak berpeluang pula boleh jadi tercicir dan itulah yang berlaku pada orang Melayu dan Islam.



Satu perkara tentang wang atau duit adalah siapa yang tak suka duit ya tak? Bukan senang hendak menghalang diri daripada dikaburkan mata oleh duit. Prinsip seterusnya yang harus difahami ialah seigniorage. Ia bermaksud perbezaan nilai antara apa yang dinyatakan pada wang berbanding zat wang itu sendiri.

Contohnya duit RM50. Berapakah wang yang diperlukan untuk mencetak duit RM50 itu? Rasanya cuma berapa sen sahaja. Tetapi nilai yang diberi, nilai yang sah diperlakukan menurut undang-undang (ciptaan Barat) adalah jauh berapa kali ganda. Perbezaan antara nilai yang sah diperlakukan berbanding nilai membuat cetakan wang itulah yang dipanggil seigniorage. Pada Ahamed, sseigniorage yang diterbitkan oleh wang fiat adalah tidak adil, zalim.


Sistem perbankan menyebabkan bukan sahaja wang boleh dicetak hampir sesuka hati. Wang juga diterbitkan atas kertas atau on paper, tanpa perlu wujud secara fizikal, setakat catatan dalam buku akaun atau sistem komputer. Ini diperolehi melalui kira-kira akaun yang terhasil akibat penerbitan hutang. Di sinilah kita kena betul-betul hadamkan apakah itu fractional reserve banking. Ia adalah satu sistem yang membolehkan bank mengeluarkan pinjaman berkali-kali ganda berbanding wang dalam simpanan.

Mereka yang tak faham mungkin berfikir begini - Katakan jumlah wang yang didepositkan atau disimpan oleh orang ramai dalam sebuah bank adalah RM10 juta. Menggunakan wang itu bank boleh meminjamkan sebanyak itu kepada orang lain. Pinjaman diberikan dengan misalnya kadar bunga 6% lalu sedikit keuntungan dikembalikan kepada penyimpan pada kadar 2%. Maka bank mendapat 4%, iaitu perbezaan antara 6% dengan 2%.

Salah. Bukan begitu kira-kiranya. Fractional reserve banking yang disokong undang-undang berkaitan ciptaan Barat memberikan mereka hak untuk meminjamkan wang jauh lebih banyak daripada itu. Dahulu, kadar biasa adalah 10 kali ganda, sekarang ni entah berapa banyak kali ganda. Kalau kita ambik 10 kali ganda pun, maka contoh di atas memberikan bank hak untuk meminjamkan wang sebanyak RM100 juta. Sedangkan yang wujud dalam simpanan cuma RM10 juta. Mana datang lagi RM90 juta? Ia adalah kira-kira atas kertas yang diterbitkan melalui fractional reserve banking. 

Kalau bank meminjamkan RM100 juta pada kadar bunga 6% setahun kira-kira mudah memberikan keuntungan RM6 juta setahun. Tolak 2% yang harus dikembalikan sebagai faedah untuk RM10 juta wang sebenar penyimpan (iaitu bersamaan RM200,000), bank mendapat untuk RM5.8 juta setahun. Itu adalah menurut kira-kira mudah, Sedangkan hakikatnya bunga hutang jadi bercambah atau beranak-pinak daripada tahun ke tahun malah bulan ke bulan (kalau lambat bayar mengikut jadual) lalu menjadi berkali-kali ganda lagi, Inilah yang dipanggil sebagai compounded interest, bunga berganda.

Sebagai nota, penerangan ini dan beberapa yang lain saya buat sendiri ya, bukan disebut dalam syarahan. Ahamed cuma menyebut secara ringkas kerana beliau sedang bercakap pada khalayak yang rata-rata merupakan para pelajar ekonomi. Maka mereka harus sudah sedia faham beberapa konsep lalu tidak perlu dikupas.

Oleh kerana definisi besar wang (broad money) memasukkan sekali jumlah hutang yang dikeluarkan bank maka penerbitan wang bercambah secara eksponential (ni saya tak tahu bahasa mudah, kalau dalam graf ini digambarkan dengan lengkung yang semakin naik ke berbanding garis lurus). Hal ini menyebabkan jurang perbezaan yang tinggi antara jumlah wang yang diterbitkan berbanding kekayaan sebenar (real wealth).


Ini adalah graf yang menunjukkan percambahan wang di Malaysia. Data diperolehi daripada Bank Negara...


Sekarang, setelah dapat dihadamkan beberapa konsep tentang penghasilan wang fiat yang digunakan merata zaman sekarang, Ahamed membawa hadirin untuk melihat perkembangan Islam di rantau kita. Ini ditekankan kerana rata-rata pendakwah juga adalah peniaga. Mereka kemudian membentuk komuniti peniaga yang menguasai kewangan di tempat kita.


Peniaga-peniaga ini datang membawa wang dinar dan dirham, emas dan perak. Selain itu timah juga digunakan sebagai matawang. Apapun, setiap barangan ini memiliki nilai pada 'ain atau zat. Tidak seperti wang kertas yang nilai kertasnya tidak sama langsung malah terlalu kecil berbanding nilai yang dinyatakan sah diperlakukan.








Selama beberapa ratus tahun ekonomi orang Melayu yang ketika itu tergambar pada kehebatan empayar Melaka dipacu oleh para peniaga Islam menggunakan matawang yang memiliki nilai sebenar pada zat. Walaupun kemudian Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis tahun 1511 konsep sama diteruskan di merata Alam Melayu termasuk dalam kawasan yang ditakluki kuasa Barat. Kedatangan Inggeris yang bertapak di Pulau Pinang tahun 1786 mula mengubah keadaan. Di pulau itulah ditubuhkan bank-bank terawal (acuan Barat malah Yahudi laknat) tahun 1860an. Boleh lihat juga penerangan dalam artikel Wang Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu.  


Saya dah penat bercerita panjang lebar, Harap terima jika penerangan selepas ini terlalu ringkas dan mudah. Kemunculan bank menyebabkan duit-duit kertas mula dikeluarkan. Peranan ini kemudian diselaraskan atau dikawal selia oleh badan bernama Board of Commissionars of Currency, Malaya yang diasaskan tahun 1938. 

Ahamed menunjukkan ini, contoh wang 10,000 Dolar yang dikeluarkan badan tersebut. Menurutnya kos mencetak wang harus tidak lebih 1 sen. 1 sen zaman itu katanya cukup untuk seorang membeli makan tengah hari. Maka itu tambahnya, wang kertas 10,000 Dolar ini memiliki nilai serupa RM1 juta zaman ini. Hmm. Kalau dah boleh beli makan tengah hari, saya  rasa lebih tepat 1 sen zaman itu disebut bersamaan RM5 sekarang iaitu daripada segi kuasa beli. Maka  10,000 Dolar dah jadi RM5 juta nilainya!


Dengan wang-wang seperti ini, wang fiat awal, Barat dan pihak-pihak yang disokong mereka (orang bukan Melayu yang sengaja didatangkan beramai-ramai untuk meminggirkan kita) dapat membeli hartanah secara berleluasa. Ini adalah perompakan besar-besaran yang tidak ramai orang sedar menyebabkan kuasa ekonomi bertukar tangan untuk membentuk keadaan kini yang merugikan anak watan, 

Di atas adalah gambar wang 10,000 Dolar terbitan tahun 1953. Dah 25 tahun tu sejak Board of Commissionars of Currency, Malaya ditubuhkan lalu wang-wang sebegini digunakan untuk membeli harta dan tanah orang Melayu. Agak-agak ajelah berapa banyak sudah dirompak? Tahu-tahu aje kita dah jatuh miskin. Lalu muncul mitos yang dipercayai sekian lama bahawa bangsa lain yang menjana ekonomi kita, kita harus bergantung kepada mereka. Walhal orang Melayu, orang Islam, para pedagang seagama kalau tidak pun sebangsa kita pernah menguasai secara besar-besaran hartanah dan perniagaan di pusat-pusat utama seperti Pulau Pinang dan Singapura...


Masuk tahun 1959 Bank Negara Malaysia diterbitkan. Asasnya adalah fractional reserve banking yang sudah diterangkan mekanisma kerjanya. Cuma saya terlupa menyebut satu perkara bahawa asas bunga dalam kira-kira perbankan itu tidak lain tidak bukan adalah riba' yang diharamkan malah sangat dikutuk Islam. Apabila bank pusat pun dah pakai sistem ini maka berkembanglah lagi industri penciptaan duit atas angin oleh bank-bank komersial. Ketika itu orang Melayu dan Islam rata-rata masih tidak mahu terlibat dengan sistem perbankan kerana tahu ia melibatkan riba'. Tapi sistem ini pula melonjakkan penguasaan ekonomi orang bukan Islam sehingga mengecilkan kek ekonomi anak tempatan.


Tu dia. Nampak perkataan "All Along" terus teringat Along peminjam duit. Apa yang diceritakan di sini adalah berkenaan financial inclusion (yang saya terjemahkan sebagai keterlibatan kewangan tadi). Orang Melayu, Arab dan India Muslim dahulu tidak mahu terlibat dengan perbankan kerana tahu dengan nyata ia melibatkan riba'.. Tetapi apabila wang kertas menjadi biasa, nenek moyang kita pun mula terlibat dengan sistem ini. Tidak ramai sedar bahawa sistem wang fiat atau wang kertas juga sebenarnya melibatkan riba' lalu kita pun terpalit sama kerana menggunakannya. Tidak ramai yang faham bagaimana penerbitan wang kertas sangat terkait dengan perbankan dan sistem fractional reserve banking yang mengganda-gandakan riba untuk menerbitkan keuntungan luar biasa buat pihak tertentu...


Pada ketika itu kita sudah lama kerugian kerana tidak mahu memanfaatkan sistem perbankan yang membolehkan penggunaan wang berkali ganda berbanding apa yang sebenarnya dimiliki. Sebaliknya kita menjadi penerima dan pengguna wang kertas disebabkan keadaan dan undang-undang lalu kehilangan harta atau kekayaan sebenar (real wealth) kepada puak yang tak pedulikan halal haram. Kepincangan ini disedari oleh seorang pemikir Melayu, Maarof Zakariah, orang yang namanya diabadikan pada Jalan Maarof di Bangsar, Kuala Lumpur. Untuk mengejar kembali peluang ekonomi dalam sistem riba' yang susah hendak dielakkan atau ditepis lagi, beliau mengasakan sebuah bank nasional untuk orang Melayu,.. tetapi didapati terbunuh dalam keadaan yang mencurigakan tidak lama kemudian.


Maarof ini adalah ayahanda kepada pelakon veteran terkenal Mustafa Maarof. Sampai kini kematian beliau menjadi misteri. Peliknya tiada siapa mahu menyiasat apakah yang sebenarnya berlaku untuk memberikan keluarga mereka keadilan. Nampaknya ada tangan-tangan ghaib para pemilik tertinggi perbankan dapat menutup segala usaha untuk mencari kebenaran...


Orang Melayu secara rata mula menggunakan bank pada awal 1970an, itupun untuk memudahkan mereka menerima gaji pekerjaan, Kalau tidak, perlu beratur panjang setiap hujung bulan untuk menerima gaji. Pada ketika itu orang Melayu sudah tertinggal lebih 100 tahun dalam penggunaan sistem ini. Fikirkan dalam konteks wang 10,000 Dolar yang nilainya setiap satu bernilai lebih RM1 juta duit sekarang malah boleh mencapai RM5 juta telah digunakan secara meluas oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam sebelum kita mengenali perbankan. Dah berapa banyak harta kita dirompak dan hilang ke tangan orang lain?


Itulah yang membawa kepada situasi kita sekarang. Kek ekonomi untuk menjalankan kerja-kerja pembetulan seperti DEB (Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan tahun 1971) pun sudah jauh mengecut. Kerajaan perlu berhutang untuk membuat belanjawan. Semakin ramai orang Melayu mengalami keruntuhan ekonomi sedangkan orang politik dan peniaga kaya pula mementingkan diri sendiri. Tidak banyak peluang untuk anak-anak muda Melayu, rasuah dan korupsi pula berleluasa.


Akibatnya orang Melayu semakin tertolak keluar daripada kawasan bandar dan kemajuan. Harga hartanah meningkat, Banyak lagi mahu diterangkan oleh Ahamed tetapi masa terhad menyebabkan beliau harus mengenepikan beberapa slaid. Saya pula sudah penat bercerita. Masuk ayat ini dah lepas tengah malam, dah 3 jam juga menaip sambil mengatur cerita, sebelum itu beberapa jam termangu-mangu kerana belum mendapat gerak ilham yang sesuai untuk memulakan ayat. Selepas syarahan ada sesi soal jawab lalu beberapa perkara lagi terbuka. Cukuplah apa yang disajikan untuk difikir-fikirkan, dijadikan iktibar lalu kita mencari jalan untuk mengatasinya. Selamat malam... :]