Salam petang Isnin 13 Mei 2024. Pada tarikh ini genaplah setahun buku ke-14 saya yang suka disebut sebagai buku ke-13+1 iaitu "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai" dilancarkan. Tarikh tersebut dipilih kerana menurut kajian saya, pada 13 Mei 1875 berlaku pernikahan antara moyang saya (lebih tepat datuk kepada datuk saya) Arshad, yang merupakan anak lelaki utama Laksamana Muhammad Amin, dengan isterinya Hajah Halijah binti Muhammad Yassin. Lihat artikel-artikel berikut :-
1. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan
2. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan
3. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Open house hingga lewat malam.
Tarikh 13 Mei tahun ini pula dipilih untuk dibuat artikel ini kerana ada berita gembira ingin dikongsikan.
Hampir 2 bulan lalu iaitu pada 17 Mac saya ada membuat artikel bertajuk Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya... untuk memberitahu sedang membuat kerja-kerja bagi menerbitkan buku baru. Ini adalah setelah mendapat persetujuan daripada satu syarikat untuk menerbitkannya. Persetujuan berlaku pada 1 Mac. Untuk pengetahuan buku, dalam bahasa Inggeris, dibuat berdasarkan tesis Master atau Sarjana saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur.
Ia adalah buku kedua saya dalam bahasa Inggeris. Pertama kali adalah apabila membuat adaptasi bagi buku "Ahlu Bait dan Raja-raja Melayu". Lihat artikel lama
Buku Inggeris Ahlul Bait Raja-raja Melayu dan faktor 131 juga 313. Walaupun kulit buku menyatakan "
translated by Radzi Sapiee" iaitu terjemahan dibuat oleh saya, sebenarnya memang boleh disebut sebagai adaptasi. Ini kerana selain membuat terjemahan saya ada menambah sejumlah cerita. Ada perkara yang sedia difahami oleh pembaca berbangsa Melayu dengan 2-3 perkataan perlu diberi penerangan hingga seperenggan dua bagi pemahaman pembaca bukan Melayu dan antarabangsa.
Atas sebab itu buku yang diterbitkan awal tahun 2010 itu dipanggil sebagai buku ke-5 saya walaupun naskah asalnya adalah tulisan orang lain. Kini tahun 2024, iaitu 14 tahun kemudian baru timbul satu lagi buku berbahasa Inggeris untuk menjadi yang ke-15 daripada saya. Yang dikongsikan di atas ini adalah senarai isi buku baru itu.
Artikel
Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya lebih 2 bulan lalu ada menyatakan beberapa perkembangan untuk menyiapkannya ketika itu. Antaranya penerbit sudah memohon nombor pendaftaran buku ISBN juga PDP (data pengkatalogan) daripada Perpustakaan Negara (pada 11 Mac). Senarai isi buku seperti dipaparkan ini sudah lama ada seperti mana halnya dalam tesis. Yang berbeza cuma letak duduk dalam muka surat juga nombor muka surat bagi suatu perkara dalam buku.
Itu memerlukan suntingan yang cukup menyeluruh baru nampak kedudukan. Adapun ISBN diperolehi pada 14 Mac. PDP masih perlu menunggu. Seminggu lebih kemudian baru dapat iaitu pada 22 Mac. Sambil itu diteruskan kerja-kerja suntingan. Pusingan pertama adalah bagi memuatkan tesis ke dalam reka letak buku. Pusingan kedua semak dan sunting ayat-ayat supaya terletak cantik dalam setiap muka surat.
Ada diberitahu juga dalam
Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya... bahawa selepas mendapat persetujuan untuk buku diterbitkan (pada 1 Mac) petangnya terus memberitahu guru saya di ISTAC Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar tentang perkara. Beliau merupakan penyelia tesis. Saya pun meminta agar memberikan kata-kata aluan. Beliau bersetuju.
Cuma katanya ada isi dalam tesis tidak sesuai disampaikan kepada umum. Beliau perlu masa untuk menelaah kembali bagi mengingatkan apakah itu. Sabtu malam Ahad 9 Mac baru mendapat maklum balas. Terus bertindak mengubah apa yang patut sambil menyunting lagi buku.
Ini siap pada pagi Rabu 13 Mac lalu terus dihantar untuk semakan. Itu kiranya pusingan ketiga suntingan buku. Tapi tu le, Prof Osman sangat sangat sibuk orangnya. Ada sahaja yang mencari untuk meminta buah fikiran selain banyak komitmen seperti membentang dalam majlis, mengatur perjalanan institusi, memberikan syarahan dalam kelas juga menyelia tesis entah berapa orang lagi. Sampai sempat membuat satu lagi pusingan suntingan.
Sebenarnya ketika memberikan maklum balas pada 9 Mac beliau masih belum sempat menelaah kembali tesis. Cuma teringat apakah yang patut diubah. Apabila beliau menyatakan sudah ada cukup kelapangan untuk membaca kembali tesis saya sudah memberikan suntingan keempat itu. Ini dinyatakan apabila beraya di rumahnya 21 April. Ketika itu sudah hampir penghujung minggu kedua raya
Malam Jumaat baru ini 9 Mei baru menerima kata-kata aluan yang ditunggu-tunggu. Ia dihantar melalui WhatsApp jam 11.11. Dekat tengah malam baru menyedari lalu mengucapkan terima kasih. Tentunya saya sangat gembira setelah begitu lama menunggu, apa lagi buku disasarkan mahu dikeluarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 yang bermula 24 Mei.
Beberapa hari sebelum itu beliau telah meluluskan suntingan keempat buku. Pagi Jumaat 10 Mei Osman menghantar pesanan WhatsApp untuk menyatakan beliau dalam perjalanan ke PWTC (sekarang World Trade Centre di Kuala Lumpur) kerana ada program. Tetapi selepas jam 12 tengah malam baru menyedari. Ini kerana beberapa hari kebelakangan itu saya sangat sibuk menulis tesis cadangan bagi PhD (walaupun belum mendaftar lagi). Kadangkala sahaja ada menyemak pesanan dalam telefon pintar dan sebagainya.
Selepas itu baru dapat tahu daripada hantaran orang lain di WhatsApp bahawa Osman menerima lantikan sebagai Distinguished Adjuct Professor. Apapun sebaik sahaja mendapat kata-kata aluan tengah malam itu terus dimasukkan ke dalam buku. Lalu dimulakan pusingan kelima suntingan pula.
Selepas jam 1 pagi Sabtu 11 Mei baru dapat tahu bahawa majlis yang dihadiri Osman itu adalah pelancaran Fakulti AI atau Kecerdasan Buatan yang pertama di Malaysia iaitu di bawah UTM, Universiti Teknologi Malaysia. Terasa sangat menarik timing. Kata-kata aluan yang ditunggu sejak lebih 2 bulan lalu diterima setengah hari sebelum guru saya itu mendapat satu lantikan yang sangat bermakna, ketika sudah masuk tarikh Hijriah 1 Zulkaedah 1445.
Turut disunting reka bentuk kulit buku. Alhamdulillah semuanya siap sebelum masuk waktu Zuhur siang tadi Ahad 12 Mei. Terus dihantar kepada pihak penerbit. Sejam kemudian menerima maklum balas memberitahu ia akan dihantar ke kilang percetakan esoknya hari Isnin (hari ini 13 Mei 2024 le tu). Menariknya mereka mahu mencetak lebih 3 kali ganda banyak berbanding apa yang dibincangkan 1 Mac lalu. Nampaknya mereka yakin ia boleh "pergi".
Pada ketika ini tinggal 11 hari sahaja lagi sebelum Pesta Buku KL bermula. Semoga dapat mengejar sasaran. Dengan itu biar dikongsikan sejumlah artikel lama yang terkait dengan penerbitan buku, sejak tahun 2013 lagi. Ini adalah perkara-perkara yang membawa kepada penulisan tesis. Diletakkan sekali artikel hampir 2 bulan lalu yang mana baru diisytiharkan hendak dibuat buku berdasarkan tesis itu :-
1. Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama
2. Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru
3. Nabi Adam AS dan orang Melayu 60,000 tahun lalu - Bagaimanakah hubungan sebenarnya?
4. Ulasan ringkas buku berkembar Nabi Adam dan Orang Melayu serta Benua Tua Melayu dalam akhbar dan perkongsian pembaca awal...
5. Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC
6. Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia
7. Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan
8. Resensi buku berkembar "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" di Kota Buku
9. Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat
10. Buku ke-15 dalam pembikinan untuk terbitan lepas raya...
Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,500 di CATATAN SI MERAH SILU.