Ini adalah gambar sebuah tempat tertentu di Kuala Berang... Di bahagian akhir cerita Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... , saya ada menyebut... ( Copy n paste balik ya!)...
---------------
Sebagai satu hint untuk cerita yang akan datang, biar saya paparkan kembali komen seorang pembaca yang dibuat di bawah artikel Sedikit kata-kata aluan sempena Maulud Nabi... hampir sebulan lalu. Hmm... Biar dipaparkan sekali jawaban saya kepada komen itu ya... Ini dia...
salam...abang radzi klu pegi pantai timur nanti,tlg lah pantau kump tasawuf sesat spt yang abg radzi cterkan dlam buku BKA tu.sebab pengaruh ustaz makin mnjadi di kedah.di a.setar n jitra.dulu da kena tangkap.terlepas g2 jer.smpai sy pun hampir jd pengikut.lgu dendang yg mereka bawakan memang merdu.tp syg,ternyata mereka sesat.ader ke plak malaikat2 dtg jauh dr mesir nun,msuk dalam jasad manusia,pas 2 marah2.fyi,putri gunung ledang da dapat kt org len.yg lama da insaf kot.
Thursday, March 20, 2008 8:42:00 PM
Radzi Sapiee said...
Wassalam. Insyaallah tentang kumpulan tersebut nanti saya lihat.Susah jugak sebab ramai yang percaya kat diaorang ni termasuk pihak keselamatan Malaysia sendiri. Takpa... Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini. Apabila sampai masanya, yang haq tetap akan muncul dan yang bathil akan gugur dengan sendirinya... Ada masanya, dengan hikmah Allah, dibenarkan dahulu kumpulan sebegini bertapak dan membina pengaruh. Sekurang-kurangnya dapat juga mengembleng dan menyatukan ramai anak Melayu bermasalah di bawah satu bendera walaupun ketuanya sebenarnya mahu menggunakan mereka. Apabila anak-anak muda ini sudah biasa dengan adab Melayu lama yang tahu menjunjung tinggi hakikat sebenar seorang Sultan sebagai wakil Allah yang mengatur kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini, barulah kepala sebenar muncul untuk mengembalikan arah. Insyaallah! :]
Saturday, March 22, 2008 5:49:00 PM
Pengembaraan saya ke Kuala Berang akan melibatkan diri ini masuk jauh ke dalam markas sebuah kumpulan yang katanya mendukung perjuangan Islam akhir zaman, kumpulan yang mana orang-orang kanannya tidak menyenangi saya atas sebab-sebab tertentu... Ingat tidak di akhbar harian Metro (ataupun Kosmos? Antara dua tu le), pernah beberapa kali keluar cerita tentang Ustaz Zul yang dikatakan membawa ajaran sesat lalu merogol beberapa orang perempuan? Ini adalah markas kumpulannya... Dan biar saya berterus-terang, seorang teman wanita yang dahulu amat saya sayangi pernah dibawa lari mereka... Kononnya untuk diisi dengan sesuatu lalu menjadi Puteri Balqis (isteri Nabi Sulaiman) yang boleh mendokong misi kumpulan ini!
Cerita tentang kumpulan ini ada saya nyatakan dalam buku kedua saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II. Nanti saya akan cerita sedikit pula di sini apabila tiba gerak dan sampai masanya ya...
-----------------------
Itu adalah apa yang saya sebut 10 hari lalu... Sekarang sampailah masanya untuk mengenengahkan apa yang berlaku...
Tempat yang dimaksudkan terletak di tepian Sungai Terengganu di bahagian hulu. Biar cerita ini disambung dengan sedutan-sedutan berkenaan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II... Daripada bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak kegemilangan Aceh".
-----------------
Rasyid termenung keseorangan memikirkan apakah yang patut dibuat. Jiwanya terasa begitu sesak sedangkan penulisannya kebelakangan ini asyik tersangkut dihambat penyakit writer’s block… Entah kenapa, anak muda itu juga sering diserang penyakit demam dan sakit-sakit badan. Perutnya selalu memulas, terasa kembung seperti masuk angin, kadang-kala menyucuk-nyucuk bisanya ke dalam... Kepala pula selalu pening diserang migraine!
Pada mulanya, anak kelahiran Muar, Johor ini ingin mengajak Nasri, Nizam dan Azlan berbual-bual serta berbincang mengenai sejarah kegemilangan bumi Serambi Mekah sambil mencari bahan tulisan baru untuk siri buku “Berpetualang ke Aceh” yang sedang diusahakannya. Malangnya, masing-masing sibuk dengan tugas, juga hal-hal keluarga.
Rakan-rakan lain juga tidak dapat meluangkan masa. Maklumlah, masing-masing memegang jawatan penting yang memerlukan mereka sentiasa di tempat kerja, ada anak isteri dan keluarga... Ada rumahtangga yang memerlukan perhatian, bukan seperti Rasyid yang tidak punya apa-apa. Nasib baik ada Nur sebagai tempat mengadu… Tetapi kali ini, wanita kesayangannya pula sibuk dengan kerjaya dan masalah peribadinya...
Nur setakat boleh memasang telinga memberikan sedikit perhatian. Dan dia belum cukup faham untuk dibawa berbincang. Wanita ini cuma mampu menolong dengan sedikit sokongan moral serta wang ringgit kemudian menyuruh lelaki yang bertakhta di hatinya itu berehat seketika.
“Awak tukarlah angin dahulu,” Nur memujuknya. “Pergi mengembara ke mana sahaja awak suka. Kesihan tengok awak. Nampak sangat penat... Kurus, muka cengkung macam tak cukup makan. Pergilah jalan-jalan!”
Pemuda itu tersenyum memandang wajah gadis manis itu. Memanglah elok keluar berjalan menenangkan fikiran tetapi bagaimana pula dengan kerjanya? Lalu dia menolak cadangan itu dengan alasan masih banyak penulisan yang perlu dibuat, banyak lagi perkara yang belum selesai.
“Saya mesti siapkan siri buku ini secepat mungkin,” kata Rasyid. “Masa hadapan saya, masa hadapan awak juga serta peluang kita untuk betul-betul bersama banyak bergantung kepada kejayaan buku ini. Sekurang-kurangnya, saya dapat membina kembali kehidupan yang sudah hancur. Biar keluarga saya, juga keluarga awak hormat sedikit... Lagipun saya sudah letih merantau, mengembara ke sana-ke mari. Sampai bila mesti begini? Orang lain tak faham. Saya letih tau, penat. Merana...” anak muda itu merintih...
Memang dia terasa penat, sangatlah penat… Walaupun sudah beberapa bulan tidak merantau lama, paling jauh pun sekadar ke kampung ibu di Muar dua minggu lepas dan singgah di Seremban dan Melaka, pemuda itu belum mendapat rasa istirehat... Punggung yang sering terasa panas menyebabkanya sentiasa sahaja mahu merayap walau dalam jarak dekat.
Pada awalnya, Rasyid ingin menetap lama di Janda Baik, di rumah ayah angkatnya Pak Syed sambil menyiapkan kerja. Mungkin pintu ilham untuknya akan terbuka lebih luas... Tetapi di tempat sebegitu indah dengan taman mengandungi berbagai jenis pohon bunga harum lagi berwarni-warni pun dia resah. Sungai-sungai berjeram mengalir jernih di celah lembah-lembah Banjaran Titiwangsa serta pemandangan gunung-ganang yang menghijau pun tidak dapat memberikan ketenangan yang diharapkan...
Sesekali pemuda itu turun ke Kuala Lumpur untuk bertukar angin, sekejap di rumah saudara, sekejap rumah kawan... Ada masanya di Ampang, hari lain di Bukit Damansara, Taman Tun, Cheras, Kajang kemudian naik balik ke Janda Baik. Begitulah keadaannya beberapa bulan kebelakangan... Walaupun tempat-tempat ini tidaklah begitu jauh antara satu sama lain, kalau dicampur jarak perjalanan kesemuanya sekali datang angin mengembara, mungkin sudah boleh sampai ke Perlis. Manalah tak penat?
Rasyid belum dapat mengekang nalurinya untuk sentiasa berkelana. Nasib baik ada komputer riba miliknya yang boleh diusung ke sana ke mari untuk membuat kerja. Kalau tak, satu benda pun tak menjadi agaknya!
“Saya faham keadaan awak,” kata Nur. “Saya tahu awak letih berjalan. Tapi bagaimana hendak siapkan buku kalau kepala asyik jam, badan sakit-sakit, demam, bisa-bisa? Apa guna jalan dekat-dekat kalau awak tak dapat berehat? Sudahlah. Pergilah jalan jauh sedikit dan lupakan kerja buat sementara. Saya kesian tengok awak tahu... Bagilah diri awak segar...”
Pemuda itu senyap merenung muka gadis kesayangannya kemudian mengalihkan pandangan ke arah hutan yang menghijau di hadapan.
“Look!” Nur menegur. “Kalau awak tak kesihan diri sendiri, sekurang-kurangnya kesihanilah saya yang sedih tengok awak begini. Please, just do it for me please... Do it for us... Do it for our love...” katanya dengan muka sayu.
Rasyid masih mendiamkan diri... Sedih pula melihat keadaan wanita itu. Sepertinya, muka Nur juga sudah jadi cengkung dan dia juga selalu sakit-sakit. Kedua-duanya sedang merana walaupun mereka sering berlagak sihat walafiat. Anak muda itu tahu kasih-sayang mereka sering diuji. Hubungan mereka telah beberapa kali terputus kerana halangan yang menimpa tetapi kasih tetap bertaut kembali apabila rindu tidak tertanggung lagi.
Ramai yang tidak menyenangi perhubungan ini termasuk beberapa orang lelaki yang menaruh hati terhadap Nur. Mereka cuba memburuk-burukkan peribadi Rasyid lebih-lebih lagi dalam keadaannya sedang “gila”, suka menziarahi makam-makam lama dan tidak henti bercerita tentang para wali dan raja-raja. Lelaki-lelaki ini juga sanggup “membeli” keluarga si gadis dengan kata-kata manis berserta hadiah mewah di kala Rasyid tidak mampu membuat apa-apa persembahan. Lebih dasyat lagi, ada yang sanggup menggunakan sihir, guna-guna dan ilmu pemujaan semangat untuk mendapatkan wanita cantik idaman ramai ini di samping menghantar pukulan secara batin untuk menamatkan riwayat lelaki kesayangannya!
Kali pertama saya masuk ke kawasan ini adalah pada hampir penghujung tahun 2003. Selepas itu iaitu pada awal tahun 2004 ada membuat pengembaraan masuk ke Aceh walaupun wilayah itu sedang darurat akibat perang berterusan antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan golongan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Kembali dari Aceh saya masuk lagi. Untuk makluman kawasan ini adalah pintu masuk ke markas sebuah kumpulan tertentu yang terletak jauh ke dalam hutan. Saya masuk untuk melihat aktiviti dalam usaha menyelamatkan seorang teman tersayang daripada terus-menerus "dicucuk-hidung" oleh orang-orang yang berkepentingan.
Kali terakhir saya sampai ke sini pula adalah penghujung tahun 2006 tetapi tidak masuk ke markas. Kedudukannya di tempat yang sukar memerlukan seseorang itu masuk melalui Sungai Terengganu sedangkan keadaan laluan sungai di jeti pada masa itu sedikit bermasalah akibat longgokan tanah-tanah yang mencetekkan sebahagian sungai serta menyekat laluan biasa... Kalau tak salah ingatan, bot yang biasa digunakan juga sedang rosak ketika itu... Kalau mahu juga masuk kemungkinan besar harus menunggu beberapa hari sedangkan saya perlu bergegas di ke tempat lain lagi...
Alhamdulillah, dalam perjalanan terbaru ke Kuala Berang ini (ketika itu 29 Mac 2008), dapat juga masuk ke sini lagi dengan menaiki bot kumpulan... Biar cerita disambung dengan sedutan seterusnya daripada BKA II...
------------------------------
Rasyid masih ingat bagaimana seorang pemuda yang disokong sebuah kumpulan pengamal ilmu kebatinan Tasawuf sesat berjaya membuatkan mereka selalu bergaduh sehingga putus hubungan. Kumpulan itu berlindung di sebalik gerakan agama berbentuk Tabhliq yang kononnya ingin memulihkan anak Melayu bermasalah. Mereka juga mendakwa diri mereka sebagai pejuang akhir zaman yang akan menyokong kebangkitan Imam Mahdi. Ketua kumpulan ini telah berjaya menarik beribu orang pengikut. Mengikut ceritanya, dia pernah mengikuti gerakan Tabhliq serta Tariqat Naqsyabandiah sebelum menerima ijazah amalan kebatinan tertentu lalu “diangkat menjadi Sultan” yang kononnya akan menyatukan seluruh ummah di Nusantara ini untuk kebangkitan Islam akhir zaman.
Ramai pengikut kumpulan adalah bekas penagih dadah yang berjaya “dipulihkan” melalui “pengisian” kebatinan, berkat naungan sang “Sultan”. Tetapi mereka yang cuba meninggalkannya akan datang rasa ketagih dan terjebak semula dengan najis dadah... Lalu perlu dibawa kembali ke pangkuan ketua kumpulan yang juga dikenali sebagai seorang ustaz untuk “dipulihkan”. Dengan cara ini, sang “Sultan” berjaya membina sebuah “empayar” yang terdiri daripada beribu anak Melayu bermasalah, disokong para pembantu sealiran. Para ibu-bapa pula merasa senang hati melihat anak-anak mereka mula bersolat dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW, pandai pula menghormati orang tua dan sangat beradab. Ini kerana kumpulan ini mengambil pendekatan yang zahirnya menyerupai gerakan Tabligh... Dengan menekankan cara kehidupan mengikuti Sunnah seperti memakai celak dan minyak wangi, bersugi, sentiasa bersolat jemaah, mendengar tazkirah serta memperbanyakkan zikir dan amalan sunat.
Apa yang ibu-bapa ini tidak tahu, anak-anak muda itu telah digunakan untuk memajukan rangkaian perniagaan “Sultan”. Mereka juga terlibat dalam sebuah rangka-kerja besar berunsur militan untuk menerbitkan sebuah Daulah Islamiah tersendiri yang disokong “kerajaan langit”. Ahli kumpulan yang telah lama mengikuti program lalu dikira layak untuk memasuki peringkat seterusnya pula akan disuruh bertapa di dalam gua atau mana-mana tempat sunyi yang dikira sesuai. Di sanalah mereka menerima ujian seperti diganggu hantu pocong, harimau jadian ataupun perempuan jelmaan yang ingin menggoda “keimanan” mereka. Ahli yang lebih maju akan di bawa berjumpa “para wali dan Nabi-nabi” malah ada yang mendakwa telah naik “Mikhraj” lalu “bertemu” Allah Subhanahuwata’ala!
Allah! Memang cantik kawasan tersembunyi yang terletak di Hulu Terengganu ini... Indah, Subhanallah... Cukup sesuai untuk mereka yang mahu mendekatkan diri kepada Allah mengasingkan diri daripada hiruk-pikuk orang ramai dan panas dosa kehidupan masyarakat sekarang!
Cuma kadangkala disebabkan kurang ilmu atau terdesak, kita tidak dapat menilai dengan sebenar-benar penilaian akan hakikat sesuatu keadaan ataupun kebenaran satu-satu ajaran... Lalu muncullah pihak-pihak yang sanggup menggunakan mereka yang jujur mahu mencari ketenangan dan kedamaian... Pihak yang jujur inipun dikumpulkan untuk menguatkan cita-cita peribadi orang-orang tertentu untuk berkuasa, orang-orang yang sanggup bersengkongkol dengan kuasa-kuasa alam ghaib seperti jin dan sebagainya demi mendapat kelebihan yang dapat menundukkan manusia lain!
Sedutan cerita BKA II yang seterusnya...
-----------------------------------
Pengaruh “Sultan” begitu kuat sehingga berjaya menarik seorang personaliti terkenal tanah-air untuk “diisi” dengan “roh” Puteri Gunung Ledang, kononnya dialah jelmaan puteri legenda itu! Kebetulan personaliti tersebut adalah kenalan Nur... Melaluinya, gadis kesayangan Rasyid itupun terjebak sama, setelah menghadiri beberapa acara kelolaan mereka. Ketua kumpulan dapat melihat kelebihan tertentu yang ada pada Nur lalu ingin “menjadikannya” sebagai Puteri Balqis. Seorang pengikut kanan kumpulan pula sangat meminati gadis itu... Maka sang “Sultan” pun menggunakan segala ilmu dan kebolehan yang ada untuk “menggandingkan” mereka.
Sejak itu, Nur sering hilang ingatan dan resah tidak tentu pasal. Dia mula berulang-alik ke Pantai Timur untuk menziarahi markas kumpulan di dalam hutan. Rasyid tidak tahu bagaimana hendak menolongnya... Gadis itu sering naik angin tidak tentu pasal apabila dihubungi. Manakan tidak, setiap kali ke sana, dia diberi makan-minum yang “diisi” dengan sesuatu. Semangatnya pula dipuja secara batin supaya terus mengikuti kumpulan!
Nur yang semakin parah kerana tidak sedar diriya telah diremote-control hampir terjebak menghisap dadah. Jiwanya seolah “diseru” supaya mencuba! Nasib baik dia sempat mengadu kepada Rasyid walaupun ketika itu mereka sudah putus hubungan... Jika tidak, sudah tentu gadis itu akan terikat kerana ketagihan yang timbul cuma dapat diubati sang “Sultan”...
Rasyid sudah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke Pantai Timur membawa seorang kawan yang lebih arif tentang ilmu kebatinan berkenaan pemujaan semangat. Kawan itu juga agak mahir dalam ilmu berkaitan Qarin dan jin yang menjadi permainan kumpulan. Dipendekkan cerita, Nur yang sedang dalam keadaan separuh sedar dapat dikeluarkan daripada lingkungan pengaruh mereka sebelum dipulihkan. Tetapi kumpulan itu pula berdendam dengan Rasyid… Sudahlah sebelum itu, sang “Sultan” tidak menyukainya apabila mendapat tahu pemuda itu berasal daripada keturunan tertentu yang boleh menyanggah dakwaannya sebagai “Sultan”, kini “Puteri Balqis”nya pula telah dibawa lari keluar…
Tidak lama kemudian, anak kelahiran Muar, Johor itu mendapat satu “kunjungan mesra”. Ketika sedang berbaring antara tidur dan sedar, tiba-tiba mata-hatinya dapat melihat beribu lelaki bertubuh sasa muncul, masing-masing dengan pedang siap terhunus untuk memenggal kepalanya!
Kelihatan dalam gambar ini sebuah batu yang terbelah dua... Menurut ceritanya, batu ini telah dibelah dengan tangan oleh seorang wali Allah dahulukala bernama Sharif Muhammad Al-Baghdadi, orang yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu!
Kita sambung lagi sedutan daripada BKA II... Beberapa mukasurat ke hadapan setelah menceritakan beberapa pengalaman hidup watak utama Muhammad Al-Aminul Rasyid menangani perkara-perkara ghaib termasuk gangguan-gangguan yang pernah disebut oleh seorang bapa saudara sebagai satu usaha pihak berkepentingan untuk melenyapkan nasab keturunan mereka!
-----------------------------
Beratus, mungkin beribu pemuda bersenjatakan pedang mula mengepung lalu membuka langkah untuk menyerang... Kecuali di sekitar tempat Rasyid berdiri, setiap ruangan dipenuhi mereka, maka susah untuk meneka berapa ramaikah kesemuanya. Sekonyong-konyong itu, mereka bergerak ligat melompat-lompat sambil melibas-libaskan pedang-pedang tajam lagi berkilauan... Semakin lama semakin laju lalu membentuk sebuah puting-beliung besar diselang-selikan gerakan-gerakan liar yang tidak dapat lagi diekori dengan mata kasar... Mahu berpinar mata memandang...
Rasyid sedar mustahil dia boleh melawan… Pemuda itu cuma bertangan kosong sedangkan lawan yang dihadapi terlalu ramai dan tidak dapat lagi dihidu pergerakan - terlalu laju bertari perang lagi bersimpang-siur hingga menutup setiap sudut walaupun sekadar untuk lari melepaskan diri. Nasib baik belum ada lagi serangan yang dapat melekat ke tubuhnya, tidak tahulah kenapa… Mungkin kerana penyerang-penyerang ini masih mengacah-acah? Sebab itu tidak ada satu libasan pun yang mengena? Apapun, bukankah segalanya berlaku dengan Qudrat dan Iradat serta izin Allah jua? Hmm... Mungkin Tuhan belum mahu mengizinkannya cedera...
Pemuda berhati kering yang sudah hilang rasa takut mati kerana mempunyai pegangan Tasawuf yang amat kental terutama dalam bab tawakal inipun memejamkan mata. Kalau dibuka pun tiada gunanya... Bukannya dapat menduga serangan yang begitu laju menderu-deru. Dia menenangkan jiwa-raga lalu melangkah ke dalam hakikat kalimah Lahaulawaquwataillah billahil aliyil azim – Tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah. “Kalau hendak matipun matilah. Aku bukannya punya apa-apa lagi…” bisik hatinya redha menerima segala yang bakal terjadi.
Seketika kemudian baru Rasyid membuka mata... Terus dia mendapati dirinya berada di tengah putaran serangan musuh tetapi cukup jauh dan selamat untuk disentuh. Walaupun putaran itu masih liar dan ligat, pemuda itu dapat merasakan dirinya begitu tenang, seolah sedang berada di tengah-tengah mata puting beliung, the eye of the storm di mana tidak ada pergerakan angin walau sedikit pun. Tiba-tiba gerakan laju di sekeliling itu hilang... Seketika itu juga kelihatan, seorang lelaki berambut panjang jatuh melutut di hadapan, ahli kanan kumpulan ajaran Tasawuf sesat yang menaruh minat terhadap gadis kesayangannya Nur. Di tangan kanan Rasyid pula tergenggam sebilah pedang, rasanya milik hamba Allah itu yang mengetuai serangan... Entah bagaimana pula boleh beralih ke tangannya pula!
Beberapa ketika kemudian, sampailah saya ke markas kumpulan yang dimaksudkan... Markas yang diketahui penduduk tempatan sebagai sebuah pusat pemulihan para remaja juga orang dewasa bermasalah terutama akibat penggunaan najis dadah. Tetapi berapa ramai yang tahu tentang kaedah pemulihan yang digunakan, bagaimana mereka yang mencari pengubatan akan diisi dengan "sesuatu"?
Sambung lagi sedutan daripada BKA II, sedutan terakhir yang sesuai dengan penceritaan...
----------------------
Rasyid mengangkat pedang itu tinggi-tinggi untuk memancung kepala lelaki durjana yang hampir berjaya menyesatkan gadis pujaannya. Timbul rasa geram mengenangkan betapa dia dan Nur telah dianiaya permainan batin lelaki ini serta konco-konconya - maka memang dia ada hak untuk membalas dan membunuhnya. Nasib baik anak kelahiran Muar, Johor itu lembut jiwa... Hati kecilnya sempat menahan sehingga dirinya tersentak.
“Astaghfirullah! Apa sudah jadi pada aku?” terpacul kalimah istighfar berserta kesedaran yang mendalam. “Nenek-moyangku begitu pemaaf sehingga sanggup mendoakan kebahagian manusia-manusia yang telah menganiaya, meracuni dan membunuh mereka. Kenapa pula aku mesti bersikap kejam dan memancung kepala lelaki di hadapanku ini?”
Seketika itu juga Rasyid terkeluar daripada keadaan antara sedar dan tidur di mana semua ini berlaku lalu kembali ke alam dunia nyata. Tidak tahulah apa yang akan terjadi jika dia betul-betul menghayunkan pedang di tangannya lalu menceraikan kepala lelaki itu daripada badan walaupun sekadar di dalam mimpi… Lama kemudian, baru dia tahu apakah akibatnya jika dia meneruskan niat memancung kepala. Kata seorang tua yang amat arif tentang hal-hal kebatinan, besar kemungkinan lelaki itu akan meracau-racau di alam nyata... Kemudian menggelupur lari tidak tentu arah, langgar dinding, langgar segala benda di sekeliling kerana tidak dapat lagi melihat, seolah-olah sudah tidak ada lagi kepala di badannya…
“Nasib baiklah kamu tidak pancung,” dia memberitahu. “Kalau tidak kamu juga yang teruk nanti, rugi serugi-ruginya!”“Kenapa pula begitu?” Rasyid hairan. “Bukankah lelaki ini yang mencari bala?” Masih ada sedikit rasa tidak puas-hati terhadap apa yang berlaku...Orang tua itu memandang serius. Katanya ini adalah ujian Allah untuk pemuda itu. “Walaupun kamu ada hak untuk membunuh lelaki tersebut kerana dia lebih dahulu cuba menganiaya kamu, kamu akan dikira gagal kerana tidak berjaya menahan nafsu amarah. Akibatnya perjalanan kerohanian kamu akan tersekat dan hidup kamu akan semakin celaru. Maka berpusing-pusinglah kamu kerana terhalang daripada rahmatNya…”
Bagaimana pula kalau penyerang ini berjaya membunuh Rasyid dalam keadaan mimpi separuh sedar itu? Orang tua ini menggelengkan kepala. Katanya, ada kemungkinan pemuda itu akan putus nafas dalam tidur!
Di sini biar dimaklumkan, tujuan saya ke tempat ini lagi tahun 2008 bukanlah untuk melihat sangat kumpulan itu atau mahu menyelamatkan sesiapa... Tujuan saya ke tempat ini adalah untuk menziarahi sebuah makam yang menurut beberapa orang tua ada kena-mengena dengan susur-galur salasilah keluarga saya, juga wasilah penyampaian ilmu dan amalan Tasawuf...
Mungkin ada yang akan melihat cerita-cerita sedutan daripada buku BKA II yang dipaparkan di sini sebagai satu cerita dongeng... Mungkin ada yang menganggapnya mustahil... Tetapi percayalah, ia benar-benar telah berlaku... Cuma cara penyampaian cerita itu sahaja yang diolah sedikit lain...
Tuan-tuan dan puan-puan... Disebabkan sedutan cerita itulah seorang pembaca telah membuat komen yang dipaparkan pada permulaan artikel ini... Biar saya copy n paste kembali komen itu...
salam...abang radzi klu pegi pantai timur nanti,tlg lah pantau kump tasawuf sesat spt yang abg radzi cterkan dlam buku BKA tu.sebab pengaruh ustaz makin mnjadi di kedah.di a.setar n jitra.dulu da kena tangkap.terlepas g2 jer.smpai sy pun hampir jd pengikut.lgu dendang yg mereka bawakan memang merdu.tp syg,ternyata mereka sesat.ader ke plak malaikat2 dtg jauh dr mesir nun,msuk dalam jasad manusia,pas 2 marah2.fyi,putri gunung ledang da dapat kt org len.yg lama da insaf kot.
Thursday, March 20, 2008 8:42:00 PM
Komen ini membuat saya terasa bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu... Tetapi apa yang boleh dilakukan dengan kudrat yang tak seberapa ini seorang diri? Terhadap sebuah kumpulan yang sudah lama bergerak lancar yang saya percaya memiliki ribuan pengikut termasuk orang-orang yang berkuasa?
Apa yang mampu dibuat adalah sekadar berdoa di hadapan makam ini... Ya Allah ya Tuhanku, dengan berkat seorang wali mu yang besar yang bersemadi di sini, dengan salasilah serta wasilah keturunan yang ada dalam diriku, dengan kemuliaan serta syafaat kekasih Mu, junjungan besar kami Muhammad SAW, dengan pemuka para Ahlul Bait nya Saidina Ali, Saiditina Fatimah, Saidina Hassan dan Saidina Hussein dan segala keturunan mereka yang baik-baik, aku mohon engkau perbaikilah orang-orang ini... Keluarkan mereka, juga diri aku sendiri daripada apa-apa bentuk kesesatan dengan penuh kasih sayang Mu ya Allah...
Jika beberapa tahun dahulu, saya mungkin akan meminta supaya Allah melaknat kumpulan ini terutama ketua-ketua mereka yang saya lihat telah begitu jauh menyeleweng dalam pemahaman akidah dan pembawakan Tasawuf, kini saya terasa lebih tenang dan memahami dalam melihat keadaan ini. Dulu, saya begitu marah kerana mereka-mereka inilah saya anggap perosak jiwa teman wanita kesayangan sehingga kami selalu bergaduh lalu berpisah... Tapi itu dahulu, ketika keadaan jiwa saya terasa begitu sempit akibat banyak perkara yang tidak dapat dilepaskan dari dalam sanubari... Kini saya telah berjaya meluahkan banyak perkara yang selama ini terkunci melalui siri buku "Berpetualang ke Aceh". Sejak itu, terasa lebih ringan dan Insyaallah semakin ringan walaupun beban yang digalas masih belum hilang 100 peratus...
Tuan-tuan dan puan-puan... Mereka-mereka ini semuanya pernah terjebak dalam permasalahan hidup yang menyebabkan sesetengahnya jadi penagih dadah, ada jadi mat rempit, minah bohsia, mat bohjan, gangster jalanan dan sebagainya... Jika dilihat dari satu segi sahaja, mereka boleh dianggap sebagai para penjahat yang perlu dihukum, apalagi jika terlibat dalam usaha melarikan orang yang anda sayang... Cuba pula melihat daripada segi kemanusiaan dan hubungan sesama insan... Nescaya anda akan nampak bahawa mereka-mereka ini sekadar manusia biasa yang kehilangan arah dan amat memerlukan kasih-sayang dan simpati masyarakat umum... Fikirkan... Bagaimana jika anda pula berada di tempat mereka? Mahukah dihukum orang atau anda mengharapkan talian bantuan daripada mereka yang simpati juga?
Bot milik kumpulan sedang disediakan untuk membawa saya keluar dari markas... Kalau tak salah ingatan, semasa ini cuma terdapat paling banyak pun 30-40 orang di tempat ini sedangkan ia mampu menampung ratusan orang dengan bekalan makanan dan keperluan yang dibawa masuk dari Kuala Berang...
Pada awal artikel ini, dalam copy n paste daripada cerita Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... saya ada menyebut tentang nama Ustaz Zul yang dikehendaki polis atas beberapa kes cabul dan rogol... Untuk makluman, Ustaz Zul adalah ketua kumpulan ini... Beliau juga bertanggungjawab ke atas beberapa buah markas yang terletak di seluruh Malaysia termasuk beberapa yang saya diberitahu terletak jauh di dalam hutan...
Saya pernah beberapa kali berjumpa dengan Ustaz Zul sekitar tahun 2004 dan 2005... Ketika itu, beliau memberitahu mahu membela para remaja Melayu yang tersesat jalan untuk ditarbiyah kembali dan dibina menjadi insan-insan yang berguna terutama dalam perjuangan akhir zaman... Saya faham sangatlah tentang perjuangan akhir zaman ini kerana saya sendiri beriya-iya mahu menyediakan diri untuk masa hadapan yang akan datang seperti termaktub dalam hadis-hadis Nabi mengenai kemunculan watak jahat Dajjal melawan watak penyelamat Al-Imam Mahdi dan Nabi Isa nanti... Lalu Ustaz Zul menyebut anak-anak didiknya ini akan dilatih kembali menjadi seperti orang Melayu lama yang penuh beradab seperti dahulukala demi menyokong perjuangan akhir zaman... Katanya, untuk melakukan itu, dia harus menampilkan diri sebagai seorang Sultan... Kemudian dia berjanji akan menyerahkan "pemerintahan" itu kembali kepada seorang Sultan sebenarnya yang akan muncul nanti!
Sebelum meninggalkan markas, saya sempat duduk sebentar dengan Amir atau ketua yang menjaga kawasan ini serta beberapa penghuni lain... Cerita punya cerita rupa-rupanya mereka masih ingat lagi tentang saya yang pernah masuk ke sini 2 kali sekitar tahun 2004... Pertama kali seorang diri dan bermalam di masjidnya, kali kedua dengan seorang ahli kerabat diraja tua Terengganu bernama Engku Sayyid Mokhsin...
Rupa-rupanya mereka juga masih ingat bahawa saya ini seorang bekas wartawan... Lalu saya hadiahkan sebuah poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Jika sahaja mereka tahu beberapa isi yang telah diterapkan di dalam siri buku ini seperti yang disedut lalu dipaparkan di sini... Entah mereka akan membenarkan saya masuk ataupun tidak? Atau mungkin sahaja saya akan dipancung mereka?
Apapun, saya bukan marah pada mereka lagi... Apalah salah mereka kecuali menurut apa yang dibawa ketua? Itupun bukan apa... Mereka menurut segalanya kerana tidak tahu lagi arah hidup sendiri. Sedangkan apa yang sangat mereka perlukan adalah pemulihan berserta kasih-sayang... Kalau masuk pusat Serenti dan sebagainya, jangan hairanlah jika mereka-mereka ini teruk dipukul warden dan sebagainya... Itu yang biasa saya dengar le... Seorang sepupu saya pernah bekerja menjaga pusat Serenti dan dia sendiri mengaku dahulu dia suka memukul para penagih dadah sebegini...
Mereka-mereka ini bila keluar pusat pemulihan biasa pun belum tentu akan diterima baik oleh masyarakat mahupun keluarga... Itulah hakikat dunia kita ini... Tetapi di sini, di bawah program penjagaan Ustaz Zul termasuk di markas Hulu Terengganu ini, mereka terasa diri mereka seperti amat dihargai dan disayangi, tak kiralah jika orang yang menaungi itu setakat menggunakan mereka untuk kepentingan diri sendiri... Tak kiralah jika Ustaz Zul betul-betul pernah mencabul dan merogol ramai wanita dan anak gadis...
Pada mereka ini, mustahil orang seperti Ustaz Zul yang berjaya memberikan mereka harapan baru dalam kehidupan sanggup membuat kerja-kerja keji sebegitu... Begitu juga orang ramai selalu tertipu dengan tokoh-tokoh politik yang pandai memainkan sentimen dan perasaan!
Apapun, sampailah masanya untuk meninggalkan tempat ini...
Tuan-tuan dan puan-puan, membuat cerita sebegini ada risikonya, mungkin risiko nyawa! Mungkin ada yang tidak akan senang dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat di sini lalu akan cuba mencari jalan agar saya jadi "senyap" buat selama-lamanya... Apapun, saya tetap ceritakan di sini untuk difikirkan juga dijadikan iktibar untuk semua orang... Lagipun seperti yang disebut awal tadi, saya rasa bertanggungjawab untuk berbuat sesuatu apabila melihat komen seorang pembaca yang meminta saya memantau aktiviti serta pergerakan kumpulan ini...
Lihat balik jawaban saya pada komen tersebut...
Radzi Sapiee said...
Wassalam. Insyaallah tentang kumpulan tersebut nanti saya lihat. Susah jugak sebab ramai yang percaya kat diaorang ni termasuk pihak keselamatan Malaysia sendiri. Takpa... Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini. Apabila sampai masanya, yang haq tetap akan muncul dan yang bathil akan gugur dengan sendirinya... Ada masanya, dengan hikmah Allah, dibenarkan dahulu kumpulan sebegini bertapak dan membina pengaruh. Sekurang-kurangnya dapat juga mengembleng dan menyatukan ramai anak Melayu bermasalah di bawah satu bendera walaupun ketuanya sebenarnya mahu menggunakan mereka. Apabila anak-anak muda ini sudah biasa dengan adab Melayu lama yang tahu menjunjung tinggi hakikat sebenar seorang Sultan sebagai wakil Allah yang mengatur kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini, barulah kepala sebenar muncul untuk mengembalikan arah. Insyaallah! :]
Saturday, March 22, 2008 5:49:00 PM
Seperti ada disebut tadi, kalau dahulu mungkin saya akan meminta laknat ke atas mereka, kini saya cuma berdoa agar mereka ditunjukkan jalan yang benar... Mereka-mereka ini perlukan petunjuk dan pembelaan, bukannya hukuman yang terus membawa penderitaan... Kalau Ustaz Zul ditangkap pihak berkuasa dan kumpulan ini dihancurkan, ke mana pula mereka-mereka ini hendak lari? Kembali kepada keluarga dan masyarakat serta keluarga yang belum tentu dapat menerima mereka dengan senang? Kembali ke luar sana tanpa pengawasan ghaib kumpulan (tak kiralah guna jin ke Qarin ke) lalu terjebak balik dengan masalah-masalah sosial atau gian dadah kembali? Fikirkan... Apakah anda sanggup menawarkan diri ke hadapan untuk menjaga mereka-mereka yang akan jadi seperti anak yatim piatu nanti?
Terus-terang cakap sesungguhnya saya tidak ada apa-apa kemampuan untuk menjaga mereka semua... Yang mampu menjaga mereka sebenar-sebenarnya cuma Allah sahaja sebenarnya... Buat masa ini, penjagaan itu datang dalam bentuk program anjuran seorang insan bernama Ustaz Zul walaupun dia dikatakan telah mencabul dan merogol ramai orang... Maka mungkin sebab itu pihak berkuasa tidak betul-betul mahu menangkapnya?
Saya tidak hairan jika ini benar kerana saya kenal sungguh dengan beberapa orang individu yang pernah rapat dengannya... Adapun saya juga tahu tentang bilik kuning di Lembah Klang di mana cuma Ustaz Zul sebagai "baginda Sultan" serta seorang personaliti tanahair terkenal perempuan sahaja boleh masuk di dalamnya... Ini cerita 3-4 tahun dahulu le, tak tahu le apakah perkembangan seterusnya... Soalnya, bagaimana mereka boleh masuk bersama ke dalam satu bilik tanpa ada orang lain bersama, apalagi atas nama sebuah pergerakan yang memperjuangkan Islam akhir zaman sedangkan personaliti yang dimaksudkan adalah isteri orang?
Apapun, mari kita doakan kebaikan untuk mereka semua demi kebangkitan umat Islam akhir zaman. Sesungguhnya kita memerlukan lebih ramai orang yang sanggup berjuang untuk kebenaran... Mungkin mereka-mereka ini tersilap arah lagi akibat terlalu bergantung kepada seorang manusia biasa yang masih mempunyai nafsu rendah untuk berkuasa dan sebagainya... Tetapi siapa tahu, apabila berlaku musibah besar yang mengancam keselamatan negara, mereka-mereka ini juga yang akan bangkit berjuang di barisan hadapan kita nanti? Sekian! :]
p/s: Biasanya saya akan membuat cerita rumusan perjalanan di sesuatu tempat untuk dipaparkan di blogspot ini, setelah berjaya mengagih-agihkan gambar-gambar yang berkenaan untuk dipakai sama-rata di ketiga-tiga blogspot saya.... Tetapi kali ini, memandangkan ada cerita tentang markas kumpulan Ustaz Zul ini, maka cerita rumusan perjalan Kuala Berang telah saya buat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , dengan tajuk Visiting old tombs in Kuala Berang... . Harap maklum...