Assalamualaikum semua. Agak cantik tarikh hari ini... 11/5/11. Artikel ini sepatutnya dimulakan sekitar jam 1 pagi tadi. Tetapi tiba-tiba talian Internet saya menghadapi masalah dan terus begitu sehingga tak tahan menunggu lalu masuk tidur. Siangnya pula saya perlu keluar untuk beberapa urusan. Gambar-gambar ini dipilih dan disediakan di PWTC sebelum ia dimuatnaik di sebuah kopitiam di Kepong selepas Zuhur. Namun harus berkejar ke Puchong pula seterusnya. Jadi biar disiarkan gambar dahulu ya. Kiranya cerita ini bersambung dari
Ke selatan sempena cuti Hari Buruh - Tarikan Masjid Ba'Alawi dan faktor Shadziliah di makam Habib Nuh.
OK. Sudah masuk jam 8.18 malam ketika ayat ini ditulis. Dah selesai urusan di luar, dah balik rumah, selesaikan lagi sedikit urusan baru tulisan dapat disambung...
Adapun artikel
Ke selatan sempena cuti Hari Buruh - Tarikan Masjid Ba'Alawi dan faktor Shadziliah di makam Habib Nuh telah ditamatkan dengan gambar suasana malam di Mount Faber, Singapura. Jam 2 pagi baru kami keluar dari negara pulau itu. Terus menuju ke rumah seorang bapa saudara di Skudai.
Di atas adalah gambar di sebuah dewan kampus UTM (Universiti Teknologi Malaysia), Skudai. Bapa saudara ini adalah seorang profesor juga dekan di fakulti kejuruteraan. Hari itu Ahad 1 Mei 2011 adalah cuti Hari Buruh. Majlis perkahwinan untuk seorang anak perempuannya iaitu sepupu saya dilangsungkan di dewan itu.
Sebenarnya mereka telah bernikah petang Sabtu. Tetapi saya, isteri dan anak tidak hadir kerana mahu menunaikan hajat melawat beberapa tempat di Singapura terlebih dahulu. Kelihatan di dalam gambar satu pertunjukan silat untuk pengantin. Lihat artikel
Huda's wedding reception at UTM Skudai di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Adapun ada satu lagi hajat kami anak-beranak pergi ke Singapura petang Sabtu hingga awal pagi Ahad tetapi tidak tertunai. Kami mahu berjumpa sekurang-kurangnya seorang saudara tua yang merupakan sepupu ibu saya untuk mendapatkan salasilah keluarga belah mereka tetapi cuma berani menghubungi setelah selesai perkara lain, paling utama lawatan ke Masjid Ba'Alawi dan ziarah makam Habib Nuh. Maklumlah selagi belum selesai kami tidak dapat menyatakan dengan yakin bila boleh datang ke rumah saudara-mara tersebut...
Namun seperti telah dinyatakan dalam artikel sebelum ini, selepas jam 10 malam baru kami agak lega. Apabila saudara-mara itu dihubungi tiada yang mengangkat telefon. Sudah tidur awal agaknya... atau seperti dinyatakan oleh seorang bapa saudara dari keluarga ini yang kini menetap di Pulai, Johor adik-adiknya mungkin berjalan keluar dari Singapura mengambil kesempatan atas cuti Hari Buruh.
Nasib baik sejumlah daripada mereka muncul pada majlis perkahwinan sepupu. Dari ahli keluarga tua mereka yang dipanggil sebagai Uncle Man saya diberitahu sekali lagi bahawa salasilah keluarga mereka berserta sedikit maklumat lain telah pun dikumpulkan oleh seorang anak saudaranya. Sebenarnya saya sudah banyak kali cuba mendapatkan salasilah tersebut melalui Uncle Man yang membuat jaminan anak saudara tersebut akan menyampaikannya kepada saya. Apabila saya menjelaskan masih tak dapat lalu cuba mengumpul sendiri maklumat melalui adik-beradiknya yang hadir Uncle Man pun menghubungi anak saudara itu di hadapan saya untuk mengetahui duduk letak sebenar perkara.
Rupa-rupanya anak saudara yang dipanggil Ogy ini pernah cuba menghubungi saya melalui Facebook. Tetapi ketika itu tidak sedar dan tidak tahu siapakah itu kerana saya selalu juga dihubungi oleh orang yang tak dikenali, selalunya untuk bertanya sesuatu tentang buku dan penulisan saya. Pada majlis perkahwinan ini baru dapat bercakap sendiri dengannya. Kami pun bertukar alamat e-mail masing-masing agar lebih senang berhubung untuk menyelesaikan perkara yang tertunda...
OK. Beberapa bulan lalu gitu saya ada dihubungi seorang pembaca bernama Zairil yang menyatakan dia berasal dari keluarga seorang bangsawan Bugis bernama Daeng Betak yang membuka satu penempatan bernama Parit Betak di Pontian (atau selatan Batu Pahat?) sekitar 1910. Saya pernah memberitahu dalam 2-3 artikel terdahulu kalau tak salah ingatan bahawa ibu saya bernama Rahimah binti Ismail bin Hussin. Saya cuma dapat tahun Hussin ini bapanya bernama Betak kira-kira 2 tahun lalu. Tidak lama kemudian, dalam perjalanan keliling Johor dan Singapura yang dibuat sejurus selepas isteri saya selesai pantang melahirkan anak penghujung 2009, terlihat papantanda menunjukkan arah masuk ke Parit Betak lalu terbetik di hati, apakah Betak ini moyang saya? Lihat artikel lama
Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Perjalanan ke Pontian dan sebab-musabab pengembaraan....
Sekembalinya dari perjalanan pusing Johor dan Singapura itu saya mendapat kepastian dari seorang datuk saudara bahawa Daeng Betak yang membuka Parit Betak itu memang bapa kepada Hussin, datuk ibu saya. Perkara ini pernah ditimbulkan dalam 1-2 artikel selepas itu dan saya juga ada membuat pertanyaan terbuka di Facebook lalu mendapat tahu Daeng Betak adalah anak kepada La Makuaseng atau Daeng Makuaseng dari kerajaan Wajo, Sulawesi yang membuka Parit Makuaseng lebih selatan di Pontian. Seterusnya saya mahu mencari siapakah bapa, datuk dan nenek-moyang Daeng Makuaseng. Dari keturunan Bugis manakah beliau sebenarnya berasal. Ketika itulah saya dihubungi saudara Zairil melalui ruang komen di dalam salah satu artikel
blogspot ini lalu beliau menjemput saya bertemu ahli keluarganya di Parit Betak nanti.
Pertemuan pun dirancang mahu dibuat semasa cuti panjang Hari Buruh 10 hari lalu. Rancangan saya adalah selepas menghadiri majlis perkahwinan sepupu di Skudai kami anak-beranak akan ke Parit Betak. Dan memang ia pun sejalan. Untuk ke Skudai dari Johor Bahru dan sekitar kita perlu mengambil jalan ke Pontian. Dari Skudai kita cuma perlu menyambung perjalanan ke Pontian sebelum naik utara menghala ke Batu Pahat untuk ke Parit Betak. Tetapi selagi belum selesai majlis perkahwinan itu saya tidak dapat berjanji akan sampai bila.
Sejurus sebelum melangkah ke majlis baru menghubungi Zairil untuk mengatakan kami berada di Johor Bahru dan akan bertandang ke Parit Betak petang nanti iaitu apabila majlis selesai. Sayangnya dia sedang berada di Kuantan, Pahang. Namun Zairil terus menghubungi ibu bapanya dan mereka sedia menerima kedatangan kami. Cuma kemudian saya mendapat panggilan dari bapa Zairil mengatakan mereka sedang berada di rumah saudara lain di Masai, tiada orang di rumah Parit Betak. Allah! Masai ni kira patah balik 40 km ke Johor Bahru sedangkan saya sudah berkira-kira dari Parit Betak akan ke Air Hitam naik ke Yong Peng seterusnya Segamat dan Gemas untuk pergi ke rumah kakak ipar di Jelai, Negeri Sembilan. Bagaimana ini?
Saya hampir-hampir membatalkan rancangan untuk berjumpa keluarga Zairil jika tidak kerana ibunya menyebut seorang saudara mereka ada memberitahu, lama dahulu seorang anak Daeng Betak bernama Hussin ada berjumpa keluarga sebelah mereka. Apakah Hussin ini datuk kepada ibu saya? Persoalan ini tidak boleh dibiarkan tergantung begitu sahaja. Kalau tak jumpa sekarang entah bila lagi. Dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri dan turun selatan ke Parit Betak bukannya dekat, ada juga 400 km. Jadi apa susah sangat nak pergi 40 km ke Masai? Kami pun ke sana. Itulah yang terpapar dalam gambar-gambar selepas majlis perkahwinan di atas Perjalanan ke Masai diikuti pertemuan dengan bapa Zairil yang memperkenalkan dirinya sebagai Bachok, ibunya Nor dan abang sulungnya Zainal...
Dipendekkan cerita kami berbual lama lalu 'terjebak' sehingga masuk Isyaq. Malah seorang bapa saudara Zairil yang bernama Mansor turut dibawa datang untuk melengkapkan cerita. Beliaulah yang membawa salasilah yang menunjukkan Daeng Betak yang menjadi faktor pengikat keluarga kami berasal dari keturunan Daeng Parani. Menurut mereka salasilah itu telah disahkan oleh Istana Johor. Lihat artikel
Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu yang dibuat tepat seminggu lalu.
Di atas adalah gambar yang diambil ketika memandu dari rumah ibu bapa di Muar menghala ke Pagoh. Jika sebelum pertemuan di Masai saya merancang untuk ke Parit Betak kemudian Air Hitam naik ke Yong Peng, Segamat dan seterusnya, apabila membuat keputusan bertemu keluarga Zairil di Masai pula saya berkira-kira samada akan ke Kota Tinggi sebelum ke Air Hitam atau terus sahaja ke Air Hitam sebelum naik ke Yong Peng. Namun penemuan menarik tentang salasilah keluarga membuat saya terasa mesti berkongsi dengan adik-beradik ibu dan sepupu-sepupu saya yang masih berada di rumah bapa saudara di Skudai (berehat selepas majlis kahwin sebelum kembali ke rumah masing-masing). Kemudian keluarga Zairil mengajak kami menunggu sehingga makan malam maka kami sampai ke Skudai agak lewat. Disebabkan itu rancangan perjalanan pun bertukar lagi. Kembalilah kami untuk bermalam di rumah ibu bapa di Muar sebelum perjalanan diteruskan melalui jalan ke Pagoh dengan niat untuk melalui Bukit Kepong.
Sampai di satu simpang selepas Pagoh kami tergerak untuk mengambil jalan terdekat menyusuri Sungai Muar iaitu melalui Rencong.
Ini membuat saya teringat kata-kata seorang kenalan dari Segamat yang kini bekerja di Lembah Klang. Katanya ada orang memberitahu terdapat makam Malim Deman di satu tempat sekitar ini. Siapa itu Malim Deman? Lihat bahagian-bahagian akhir artikel
Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa? yang ditulis tahun lepas. Kenalan itu sendiri belum sampai ke makam yang dimaksudkan. Tapi beliau ada diberi petunjuk siapakah yang perlu dicari untuk mendapatkan kedudukannya...
Orang yang namanya disebut rupa-rupanya agak terkenal di sekitar itu. Seorang warga tempatan sanggup membawa kami ke sana. Cuma tuan punya nama rupanya telah meninggal dunia, anaknya yang menyambut kami. Apabila ditanya tentang makam Malim Deman, katanya ia tidak ada. Namun kata-katanya banyak berkias lalu saya cuba meneka. "Mungkin yang dimaksudkan adalah Malim Deman yang telah bertukar 'sarung'?". Siapa yang faham fahamlah maksud saya... :]
Orang itu cuma tersenyum penuh makna. "Cerita sudah ditutup, tak payahlah dikorek-korek lagi," tambahnya. Apapun saya dapat melihat sebuah makam yang amat terserlah. Itulah yang gambarnya diletakkan sebelum ini. Lihat artikel
Makam (Tomb of) Busu Isim di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Di atas pula adalah gambar Masjid Gombang yang sentiasa membuat saya terasa beginilah agaknya rupa Balai Gambang yang pernah dinaiki Malim Deman ketika menyusuri Sungai Muar...
Tidak lama kemudian sampailah kami ke Bukit Kepong.
Kelihatan bangunan batu balai polis yang dibina 1960an untuk menggantikan bangunan kayu yang musnah akibat serangan pengganas komunis dalam Peristiwa Bukit Kepong. Bangunan ini telah dijadikan muzium...
Setentang balai/muzium kelihatan pula bukit yang diberi nama Bukit Kepong.
Kenalan dari Segamat yang memberitahu tentang 'makam Malim Deman' turut menyebut tentang sebuah makam berbatu nesan Aceh di satu kawasan bernama Gemereh. Ah! Saya pernah ke masjid sana. Tempatnya tidak begitu jauh dari bandar Segamat. Kami pun menuju ke situ. Singgah sebentar di masjid. Lihat
Masjid (Mosque of) Gemereh, Segamat.
Dari Gemereh saya dapati ada jalan terus ke Buloh Kasap, tak perlu berpatah balik ke bandar Segamat. Ini adalah pemandangan Gunung Ledang yang kelihatan selepas melepasi Buloh Kasap seterusnya Batu Anam kalau tak salah ingatan.
Perjalanan diteruskan ke Gemas...
Berhenti sebentar mengisi minyak.
Tidak lama kemudian sampailah ke rumah akak ipar di Jelai. Kelihatan Al-Rasyid ingin memanjat sendiri jalan curam di hadapan rumah.
Perjalanan disambung menghala ke Bahau. Kelihatan Sungai Muar berdekatan satu tempat yang dipanggil Pasir Besar.
Kira-kira 20 km ke utara sampailah ke Bahau.
Bila melihat bukit-bukit di belakang pekan ini saya mesti teringat sebuah mimpi yang dialami beberapa tahun lalu. Mimpi itu menggambarkan suatu zaman yang silam di mana seluruh Bahau adalah sebuah tasik luas dengan banyak kapal lama sedang berlabuh...
Kira-kira 8 km dari Bahau menghala ke Kuala Pilah terdapat bahagian Sungai Muar ini.
Kami meninggalkan pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol selepas azan Maghrib berkumandang. Selepas Kuala Pilah kami mendapati jalan menuju ke Seremban mengalami kesesakan teruk. Rasanya kereta yang berderet-deret memenuhi jalan sehingga 2-3 baris di satu arah cuma dapat bergerak pada kadar 10 kaki 1 minit!
Menurut khabar yang kami dapat ada lori panjang tergelincir jatuh sehingga menghadang jalan sejak jam 4 petang sedangkan kami telah menyimpan niat untuk menziarahi makam Tuan Tulis di Tanjung Ipoh sebelum pulang. Dalam keadaan inilah terbetik di fikiran... kalau begini lebih baik ambil laluan ke Tampin, tak perlu bersusah-susah begini apalagi saya sudah amat kepenatan kerana sejak meninggalkan rumah Sabtu malam Ahad saya telah memandu lebih 1,000 km. Namun kami telah berjanji akan ke makam Tuan Tulis dan untuk itu kami tiada pilihan kecuali mengikut laluan ini. Saya pun menyatakan tekad kepada isteri... walau apapun yang terjadi kami harus ke makam...
Dengan takdir Allah muncul sebuah lori besar membawa kren dengan motosikal besar polis di hadapan membuka jalan. Nampaknya ia adalah kren tambahan untuk mengalihkan lori panjang yang menghadang. Kami pun mengikut lori dari belakang melepasi kenderaan lain yang terus berderet-deret sangat perlahan sehingga menghampiri simpang ke makam. Sebelum simpang tersebut jalan ditutup dengan semua kenderaan diarahkan mengambil susur kiri yang nampaknya mengarah ke Seri Menanti. Saya pun membuka tingkap untuk memberitahu polis penjaga trafik bahawa kami ingin ke makam Tuan Tulis. Katanya kalau ke makam boleh masuk jalan tertutup lalu sampailah kami ke situ.
Kami sampai selepas masuk waktu Isyaq. Menariknya bangunan makam yang biasanya terkunci selepas jam 5 petang sedia menunggu untuk kami masuk. Selepas menunaikan solat dan membaca Surah Yassin kami membuat keputusan untuk berehat. Kalau keluar ketika itu pun belum tentu masalah kesesakan jalanraya sudah selesai. Sedar tak sedar jam 9.30 malam saya sudah terlelap.
Tengah malam gitu saya dikejutkan dengan ketukan pada pintu makam. Terbetik dalam fikiran mungkin orang pejabat agama datang memeriksa kerana di luar pintu makam ada sepasang kasut laki-laki dan perempuan. Saya sudah bersedia untuk menjelaskan apabila membuka pintu. Kelihatan dua orang lelaki berpakaian seperti jubah pendek putih, berserban, berkain pelekat dengan kain tambahan seperti serban tidak berlipat kemas berdiri di hadapan.
Terus mereka kata mereka datang untuk beriktikaf. Saya pula memberitahu sudah terlalu penat dan ingin berehat di makam. Kata mereka teruskanlah lalu masuk ke sebelah makam dan mula berzikir juga membaca ayat-ayat Al-Quran. Saya menyambung tidur. Tak tahu bilakah mereka keluar, agak-agaknya jam 2 pagi. Rasanya le...
Gambar di atas diambil pada 4 pagi ketika kami sedang bersiap untuk meninggalkan makam. Hari itu Selasa isteri saya perlu masuk kerja di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur lalu saya pun menghantarnya. Ketika memandu itulah baru terfikir. Betul ke dua orang yang datang tengah malam itu manusia biasa? Entah-entah dari alam lain. Apapun itulah kali pertama kami tidur di makam Tuan Tulis. Ternyata ia terasa begitu selesa walaupun semasa masuk tadi kami dapati sebahagian lantai asyik dihurungi semut banyak.
Turut disebut, saya sebenarnya mahu menyiapkan buku tentang keluarga untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 tetapi tidak sempat kerana sebab tertentu. Antaranya, belum mendapat salasilah lengkap saudara-mara di Singapura. Pada awal artikel ini ada disebut saya akhirnya dapat bercakap dengan seorang saudara (adik dua pupu) yang dipanggil Ogy, orang yang diamanahkan untuk mengumpulkan maklumat salasilah keluarga belahnya. Sukacita dimaklumkan sekembalinya ke rumah didapati salasilah tersebut sudah sedia berada di dalam kotak
e-mail. Cuma saya menghadapi sedikit masalah menukar format yang boleh dibaca oleh program di dalam komputer.
Syukur, syukur, syukur. Salasilah yang diberi dalam bentuk
spreadsheet telah saya gubal menjadi gambarajah yang terang sepertimana dibuat untuk cabang-cabang besar keluarga lain sebelah ibu. Namun itu cerita isi buku keluarga yang sebenarnya merujuk pada keluarga ibu kepada ibu (atuk perempuan saya) yang berdarah Jawa. Siapa sangka perjalanan ke selatan sempena Hari Buruh ini dapat menghurai terus asal-usul keturunan bapa kepada ibu (atuk lelaki saya) sekali.
Siapa sangka persoalan yang mula tercetus apabila terlihat papantanda ke Parit Betak, dalam perjalanan ke selatan penghujung 2009 yang dibuat untuk mendapat isi buku tentang keluarga belah Jawa dapat menjawab begitu lengkap siapakah moyang utama Bugis dalam keluarga ibu (moyang utama Bugis sebelah bapa berpangkat lebih besar).
Tiga gambar terakhir adalah dari kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji yang telah dirumikan. Saya ambil gambarnya untuk dibuat perkongsian di Facebook agar saudara-mara dari Parit Betak yang baru dikenali dapat melihat sendiri bagaimana kitab yang menjadi rujukan ramai dalam memperkatakan peranan orang Bugis di Tanah Melayu itu menyenaraikan beberapa nama anak-anak Daeng Parani. Sekarang biar ia turut dikongsi di sini. Untuk makluman artikel ini siap ditulis hampir jam 1:30 pagi. Cukup ya. Selamat malam! :]