Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Jun 27, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sampai ke Makassar setelah 2 tahun menyimpan hajat

Subhanallah. Hampir sebulan setengah lalu saya ada membuat sebuah artikel bertajuk Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat, menceritakan secara ringkas satu perjalanan ke wilayah itu yang dibuat 3-12 Mei. Ketika itu saya masih dalam proses membuat penceritaan perjalanan ke Tanah Arab untuk ziarah dan umrah 1-12 April. Maka cadangnya selepas tamat penceritaan tersebut baru saya akan memulakan cerita lebih mendalam tentang perjalanan ke Tanah Bugis.

Lebih kurang 3 minggu lalu cerita perjalanan Tanah Arab itu pun berjaya diselesaikan. Lihat Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Namun selepas itu saya terasa begitu malas hendak membuat cerita baru. Selain itu saya rasa wajib menyelesaikan beberapa perkara sebelum dapat menulis tentang Tanah Bugis. 

Hari ini, setelah begitu lama menangguhkannya baru saya mendapat gerak dan kekuatan untuk membuka siri baru. Mungkin ini gerak selepas Nisfu Syaaban yang akan berlanjutan sehingga ke penghujung Ramadhan? Saya rasa ada hikmah tertentu yang saya tak pasti apa. Kena tulis dahulu baru ia akan menjelma...


Jumaat 3 Mei 2013, saya dan isteri bersedia untuk ke luar negara lagi selepas baru 3 minggu kembali dari  ziarah dan umrah di Tanah Arab.


Kali ini kami membawa bersama dua anak kecil kami, Rasyid (kiri) dan Johan yang kami tinggalkan di rumah ibu saudara mereka sepanjang kami berada di Tanah Arab. Nampak tak kerusi roda di belakang?


Tidak seperti biasa, isteri harus memandu kerana saya mengalami kecederaan kaki yang agak serius. Rujuk artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot  yang ditulis pada hari berlaku kecederaan iaitu 23 April 2013. Sebelum kecederaan saya tidak pernah membenarkan isteri memandu kalau saya ada sama. Tapi bila dah cedera apa boleh buat?


Perjalanan dibuat dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri lebih kurang 90 km ke rumah abang sulung isteri di Bukit Changgang. Semenjak setahun dua kebelakangan kami selalu menyimpan kereta di rumah beliau apabila ke luar negara. Dari rumah beliau cuma 16 km ke terminal utama KLIA, 20 km ke terminal tambang murah di LCCT. Abang sulung menghantar kemudian mengambil kami apabila kembali. 


Kami pergi meninggalkan hiruk-pikuk sekitar pilihanraya atau PRU-13 yang hari pembuangan undinya jatuh Ahad 5 Mei. Ketika itu pihak-pihak yang berlawanan sudah lama berkempen untuk memenangkan parti atau sekutu masing-masing, adakalanya hingga menjaja fitnah yang sangat jijik lagi menggusarkan mereka yang berfikiran sihat dan mahukan keamanan. Sungguh ini satu kebetulan yang menepati pendirian kami tidak mahu terlibat dengan sistem demokrasi yang pada kami adalah alat ciptaan Yahudi untuk memecah-belahkan umat. Mana kami tahu  akan berada di luar negara ketika ramai orang berpusu-pusu mahu menentukan siapa yang bakal memerintah negara? 

Mana kami tahu akan berada di Tanah Bugis untuk menjalankan misi tersendiri di kala ramai berebut-rebut untuk menjadi orang berkuasa? Oh. Lupa pula. Selain menyebut nama Tanah Bugis pada  perenggan pertama artikel ini saya harus memberitahu destinasi kami kali ini adalah kota Makassar, pintu masuk ke Tanah Bugis, bandar raya utama di Sulawesi malah kota terbesar di timur Indonesia. Tiket untuk ke situ sudah kami beli sejak awal tahun lagi. Ketika itu tiada siapa pun tahu bilakah PRU-13 akan diadakan.

Jangankan itu. Semasa awal tahun orang masih lagi tertunggu-tunggu dan berteka-teki bilakah pembubaran parlimen akan diumumkan. Bila ini akhirnya berlaku 3 April, saya dan isteri baru sahaja sejam dua sampai di Madinah lalu pergi ke Masjid Nabawi untuk menziarahi makam junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Tempahan untuk ziarah dan umrah telah kami buat lebih awal sebelum mendapatkan tiket ke Makassar. Maka memang telah ditentukan oleh Yang Maha Kuasa kami tidak harus terlibat langsung dalam proses demokrasi yang penuh penipuan ini.

Kalau ikutkan kami juga harus ada saham dalam PRU-13 ini. Seorang daripada ramai abang isteri saya adalah salah seorang calon ADUN atau Ahli Dewan Undangan Negeri di Selangor. Namun saya beritahu isteri, selain mendoakan kejayaan abangnya biarlah kita mengambil sikap berkecuali. Kami tidak ada kepentingan kepartian. Yang kami mahu adalah penyatuan orang-orang Melayu demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara apalagi saya telah menerajui badan longgar tapi agak berpengaruh yang dipanggil HIKMAH, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman, sejak mengasaskan ia 12 Oktober 2012. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Sebaik sahaja selesai menghimpun barangan iaitu selepas turun dari kereta di LCCT kami berposing sebentar. Kesian isteri, dalam keadaan saya cedera begini beliaulah yang harus mengatur dan mengangkat segala barangan. Ya lah, nak angkat bagaimana sedangkan untuk berdiri pun saya perlu bertongkat kiri dan kanan? Nasib baik ada kerusi roda peninggalan almarhum nenek saudara yang diambil dari rumah seorang makcik di Ampang beberapa hari sebelum membuat perjalanan. Kalau tak lagilah susah hendak bergerak ke mana-mana. 


Kalau ikutkan saya dan isteri masih penat, sangatlah penat. Bayangkan. Sejak mengasaskan HIKMAH kami berturut-turut mengatur acara. Tiga minggu selepas ia diasaskan kami mengadakan acara pertama di Shah Alam 4 November. Tiga minggu kemudian ada acara susulan di Melaka 25 November. Ini diikuti acara ketiga di Lumut, Perak 27 Januari. Awal bulan Mac saya bermotosikal besar seorang diri dalam keadaan demam meredah musim tengkujuh untuk ke Kelantan mengatur penganjuran acara ke-4.

Pada 16 Mac acara tersebut pun diadakan di Kandis, Bachok. Walaupun masih baru acara kami bukan calang-calang. Selain disertai masyarakat awam dari pelbagai peringkat dan taraf hidup kami menghimpunkan cendekiawan bertaraf profesor dan para VIP dari seluruh pelusuk Malaysia malah negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Dua minggu selepas acara keempat pula kami ke Tanah Arab 1-12 April.


Di Tanah Arab kami bukan sekadar berjalan kaki dari hotel ke masjid malah ke merata tempat yang bukannya terletak dekat. Lihat sahaja cerita-cerita yang sudah dikumpulkan pada artikel Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Pada hari pertama di Madinah sahaja saya sudah berjalan kaki lebih 11 km, isteri pula cuma mengikut perjalanan sejauh itu hari kemudiannya. Kalau dicampur berjalan kaki dari hari ke hari campur proses membuat umrah di Mekah itu sendiri selain panjat bukit tinggi yang dipanggil Jabal Nur, entah berapa jauh kami sudah berjalan. Tu yang agaknya menyebabkan kami susah nak baik dari demam yang melanda di Madinah apabila sudah kembali ke tanah air, demam yang sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya kecederaan kaki yang berlaku 23 April, 11 hari setelah kembali ke tanah air.

OK. Kalau ikutkan pada kecederaan tentu tidak elok untuk saya berjalan lagi. Bayangkan 10 hari selepas retak tulang kaki, kecederaan yang kemudian saya dapat tahu ditambah koyak ligamen, saya mahu ke Tanah Bugis menjejak sejumlah tempat yang ada kaitan tersendiri dengan keluarga. Tempat yang mahu dijejaki bukan dekat. Naik penerbangan sahaja 3 jam. Itu dari KLIA ke Makassar. Kemudian ada kampung halaman tertentu yang saya perlu jejaki dan letaknya 6 jam berkereta dari Makassar.

Namun saya rasa tetap mahu meneruskan perjalanan. Itu adalah antara sebab sebenar saya tidak mahu kaki dibedah masuk besi apabila doktor mencadangkan berbuat begitu, selepas kaki diimbas x-ray 24 April. Kalau mahu dibedah pun mungkin paling cepat 3 hari selepas itu baru dapat dibuat kerana keadaan kaki yang sedang teruk bengkak, perlu menunggu masa untuk surut. Selepas pembedahan pula saya harus menunggu 3 hari lagi sebelum dapat keluar hospital, itupun kalau tiada apa-apa masalah. Kalau ada masalah bagaimana? Sempat ke saya menaiki kapal terbang 3 Mei?


Sesungguhnya saya sudah lama menunggu peluang dan kelapangan untuk Tanah Bugis. Semenjak kembali dari perjalanan ke-5 saya ke Aceh Nov 2011, saya sudah terfikir untuk menurut jejak leluhur di Tanah Bugis. Perjalanan itu adalah yang ke-4 buat isteri, ke-3 buat Rasyid di Aceh. Rujuk artikel Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Selama lebih 10 tahun saya lebih taksub untuk menjejak leluhur dari belah Aceh. Inilah yang membuat saya kali pertama masuk sana melalui laluan darat dari Medan Januari 2004, ketika ia masih lagi dilanda darurat akibat peperangan antara TNI (Tentera Nasional Indonesia) dan puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka).

Perjalanan tersebut kemudian dijadikan latar belakang cerita trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Perjalanan-perjalanan seterusnya lebih banyak abadikan di blogspot. Biar disenaraikan begini :-

a) Perjalanan Jun 2009, kali pertama dibuat bersama isteri dan ketika itu Aceh sudah aman, selepas ia dibuka untuk pertolongan dari luar demi menangani masalah selepas Tsunami 26 Disember 2004. Ketika itu isteri sedang 6 bulan mengandungkan Rasyid.  Ia adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki di Aceh. Lihat artikel Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur.....

b) Perjalanan penghujung Januari 2010, kali kedua bersama isteri, pertama kali bersama Rasyid yang sudah berumur lebih 3 bulan. Lihat Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh. Turut ikut sama adalah seorang kawan kami yang merupakan seorang pelakon wanita. Sambil berjalan kami ada membuat rakaman dengan tujuan mahu menerbitkan satu siri rencana sejarah kedatangan Islam.  Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...

c) Perjalanan yang dibuat sebulan selepas perjalanan b). Ini atas tajaan kawan untuk menyambut Maulidur Rasul di sebuah masjid yang dibina beliau. Lihat Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat....

Hampir 2 tahun selepas itu berlakulah perjalanan Nov 2011 seperti disebut di atas. Dalam perjalanan itu kami telah menziarahi maka seorang leluhur yang bernama Daeng Mansur. Baginda adalah orang yang menurunkan Raja-raja Aceh abad ke 18 hinggalah kesultanan Aceh ditamatkan Belanda 1903. Mereka ini disebut sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis kerana Daeng Mansur dikatakan berasal dari Tanah Bugis.


Selepas perjalanan Aceh Nov 2011 itu saya ada memberitahu isteri akan ke Aceh lagi cuma SELEPAS menjejakkan kaki sekurang-kurangnya sekali di Tanah Bugis. Biar diberitahu selain Daeng Mansur yang merupakan leluhur saya sebelah ayah, leluhur yang turut memiliki darah Sultan Aceh, Melaka dan Pasai, kami ada seorang moyang yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam juga dari Tanah Bugis. Daeng Mansur hidup abad ke 16 Masihi sedangkan Nakhoda Hitam lebih dekat kepada kami kerana muncul di Perak abad ke 18. Dalam salasilah keluarga, hubungan dengan Nakhoda Hitam juga lebih nyata kerana direkodkan sebagai pemegang pertama jawatan Laksamana Raja Mahkota, jawatan yang masih wujud di istana Perak hingga kini tetapi tidaklah sekuat kuasanya seperti dahulu.

Selain itu ayah kepada ibu memang diketahui berdarah Bugis. Rujuk artikel Jejak Bugis di Pontian - Dari Parit Raja ke Parit Betak yang dibuat 4 hari lalu untuk butiran lanjut. Maka ikrar untuk ke Tanah Bugis itu boleh dikira satu "Aku Janji". Selagi tak jejak Tanah Bugis, selagi itu kami tidak boleh ke Aceh lagi. 

Seperti biasa kami pun menunggu peluang tambang murah pesawat muncul di Internet pada harga terendah. Tapi selepas beberapa lama ia tak juga muncul-muncul. Sebaliknya kami terlihat tawaran sangat menarik ke Surabaya. Itu yang membawa kami anak-beranak untuk ke Pulau Jawa Mei 2012, ketika anak kecil kami Johan baru berumur 2 bulan setengah. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa". Kiranya kami terbawa untuk menjejak leluhur belah ibu kepada ibu yang berdarah Jawa.

Sekitar itu atau selepasnya kalau tak salah ingatan baru kami mendapat jemputan seorang rakan, seorang profesor dari Makassar agar datang bertandang ke rumahnya. Di sana kami boleh menginap secara percuma dan menggunakan kereta juga pemandunya. Namun kami tetap menunggu jika ada harga terendah seperti biasa kami dapat untuk ke Aceh. Kami terlupa perjalanan ke Makassar adalah hampir atau sekitar tiga kali ganda jauh berbanding ke Aceh, setengah jam lebih lama berbanding perjalanan ke Surabaya. Akhirnya kami harus akur bahawa harga terendah untuk Makassar memang mahal sedikit. Namun kami sekurang-kurangnya sudah ada jaminan tempat penginapan dan kenderaan. 


Maka itulah tiket kami beli awal tahun tidak lama selepas membuat tempahan untuk ziarah dan umrah di Tanah Arab. Sebab itu saya tidak sanggup membatalkan perjalanan walaupun kaki cedera teruk. Kami bukan orang kaya, nak menunggu peluang muncul pun memakan masa tiba-tiba nak batalkan sahaja lalu rugi sejumlah duit yang telah dibayar untuk penerbangan pergi balik. Lagipun selain berjanji dengan kawan di Makassar untuk datang, kawan yang bekerja di Malaysia tapi sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menyambut kami sekeluarga, saya telah berjanji dengan anak-anak mahu membawa mereka berjalan menaiki kapal terbang. Semasa kami di Tanah Arab, hampir 2 minggu mereka ditinggalkan. Perjalanan ke Tanah Bugis ini boleh dikira sebagai penebus masa bersama yang hilang. 

Sekarang hal-hal yang membawa kepada perjalanan telah diluahkan agak panjang lebar bolehlah saya memberikan penerangan tentang beberapa gambar. Pertama, gambar di ruang menunggu. Setelah beberapa lama menunggu tiba-tiba muncul seorang gadis duduk 2-3 kerusi dari saya. Ketika itu isteri sedang berada di bilik air bersama anak. Apabila isteri kembali gadis itu pun menegurnya lalu memulakan perbualan.

Saya pula terfikir apakah dia ini orang Sulawesi Selatan lalu bertanya. Jawabnya tidak, dia orang Malaysia tetapi pernah belajar di Universiti Hasanuddin (UnHas) di Makassar selama beberapa tahun. Cerita punya cerita baru kami tahu gadis bertudung ini seorang doktor muda yang baru 2 tahun tamat pengajian lalu mula bertugas di sebuah hospital di Selangor untuk housemanship atau tempoh pengenalan. Menariknya bidang pengkhususan beliau adalah sakit-sakit berkenaan tulang atau orthopedik. Memang pun masalah kaki saya adalah di bawah pakar orthopedik. Kata beliau UnHas memiliki fakulti perubatan yang baik di mana terdapat ramai juga pelajar dari Malaysia. Salah seorang pensyarahnya adalah antara pakar orthopedik terbaik di dunia.


Itulah gadis yang bergambar bersama kami di luar pesawat. Oleh kerana kami perlu menaiki tangga beliau  menolong membawa tongkat-tongkat saya ke atas. Kerusi roda yang digunakan untuk saya bergerak sendiri dari luar terminal hingga ke tempat menunggu dan bawah pesawat harus diserahkan kepada kaki tangan untuk dibawa masuk melalui jalan lain.  Saya tiada pilihan kecuali meloncat-loncat sebelah kaki sambil tangan memegang railing atau landasan tangga untuk masuk ke pesawat. 

Inilah yang memberikan ilham untuk saya memakai tajuk besar "Terhencot-hencot ke Tanah Bugis" untuk siri ini. Kerana perbuatan serupa terloncat-loncat juga jalan terhencot-hencot harus saya ulangi beberapa kali terutama ketika melawat tempat-tempat. Oh. Saya sebenarnya bernasib baik kerana pesawat cuma separuh penuh. Lalu saya boleh mendapat satu barisan kosong membolehkan saya meletakkan kaki dengan selesa di atas tempat duduk. 

Kalau tak tentu menjadi masalah buat saya kerana tidak cukup ruang. Rasanya ramai sudah tahu bukan bahawa tempat duduk ekonomi dalam penerbangan murah adalah rapat-rapat. Kaki saya sedang disimen separuh (maksudnya simen bahagian bawah, bahagian atas kaki cuma ditutup dengan balutan) sampai ke paras peha. Mana boleh dibengkok-bengkokkan? Kalau dapat satu tempat duduk sahaja, tidak mungkin kaki dapat dimuatkan kerana berlaga dengan tempat duduk hadapan. Apapun kaki seeloknya diletakkan ke atas agar darah dan apa-apa cecair dalaman yang timbul akibat kecederaan tidak tertumpu turun ke bawah lalu menambah bengkak.

Kalau ikut saranan syarikat seperti ditunjukkan di Internet, orang dengan kaki bersimen seperti saya harus membeli satu lagi tempat duduk untuk memuatkan kaki. Manalah saya mampu apalagi tempahan saat akhir  harus dibuat pada harga penuh yang berkali-kali ganda lebih mahal dari harga tawaran murah yang cuma boleh ditempah 2-3 bulan lebih awal? Di atas adalah gambar ketika pesawat mendarat hampir jam 5.50 waktu tempatan. Sebaik sahaja melihat gunung-ganang di luar timbul rasa sayu yang amat sangat sepertimana halnya ketika kali pertama mendarat di Banda Aceh tahun 2009 (perjalanan pertama saya ke Aceh Januari 2004 adalah melalui jalan darat dari Medan). Lihat Flight to Makassar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya bukan sekadar harus terhencot-hencot menaiki pesawat, masa turun di Bandara (lapangan terbang) Sultan Hasanuddin di Makassar pun kena ulang lagi malah lebih teruk. Apa yang berlaku adalah kami telah turun  tangga dari pintu belakang bersama sejumlah penumpang lain. Selepas itu baru kami tahu sebenarnya ada 'belalai' yang menyambungkan pesawat dengan bangunan tetapi melalui pintu hadapan.

Ah. Sebelum mendarat saya ada bertanya petugas apakah di Makassar ada 'belalai'? Mereka kata tak tahu. Kebetulan tempat duduk sebaris kosong yang saya dapat untuk memudahkan letak kaki adalah paling belakang dalam pesawat. Itu yang saya terus ikut penumpang keluar dari belakang apatah lagi isteri, anak-anak dan kenalan baru kami juga keluar dari situ.

Bila dah sampai ke bawah baru kami terlihat 'belalai' di hadapan. Kemudian apabila ditanya pasal kerusi roda kata petugas ia ada menunggu saya dalam 'belalai'! Allah. Laluan untuk penumpang memerlukan kami masuk ke tingkat atas bangunan. Lalu saya tiada pilihan. Harus berjalan bertongkat ke tangga yang kelihatan di kanan gambar kemudian terhencot-hencot terlompat-lompat sebelah kaki naik ke atas. Aduh! Allah sahaja yang tahu bagaimanakah keadaan sakit bercampur penat...


Apapun kami telah selamat sampai ke Makassar. Alhamdulillah pemandu kepada rakan kami sudah siap menunggu begitu juga kawan kepada kenalan baru kami, doktor muda yang menegur di LCCT. Kami pun berpisah arah. Ni posing sebentar sementara menunggu pemandu membawa kereta ke tempat menunggu luar.


Oh. Apabila kami keluar lapangan terbang hari sudah senja. Kelihatan patung gergasi berupa sosok badan dan wajah yang katanya milik  Sultan Hassanuddin, raja dan pahlawan kebanggaan tempatan. Gambar ini diambil jam 6.14 petang waktu Sulawesi Selatan. Untuk pengetahuan waktu di wilayah ini sama dengan di Malaysia sedangkan kedudukan kota Makassar adalah hampir atau sekitar 1,800 km ke timur Kuala Lumpur. Maka itu ia lebih cepat menerima matahari naik juga turun, sejam lebih cepat.


Isnin, Jun 24, 2013

Sekitar perjalanan untuk HIKMAH V di Kuala Terengganu

Salam Nisfu Syaaban. Adapun malam tadi saya telah membuka sebuah event page baru di Facebook untuk acara ke-6 HIKMAH yang dijadualkan akan berlangsung Sabtu 31 Ogos 2013 (31/8/13), dikira bersamaan 24 Syawal 1434. Klik sini untuk melihatnya. Hari ini saya tergerak untuk membuat cerita ringkas tentang perjalanan yang dibuat sekitar acara HIKMAH sebelumnya iaitu HIKMAH V yang telah berlangsung di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Mari...


Pagi Rabu 5 Jun. Saya dan isteri pun berlepas meninggalkan rumah untuk ke Kuala Terengganu. Acara dijadualkan bermula selepas Maghrib, masuk 27 Rejab, bersamaan malam Isra' dan Mi'raj. Acara HIKMAH kali ini diberi nama "HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu".



Saya duduk di belakang untuk meminimakan kesan gegaran dan hentakan pada kereta dalam perjalanan jauh sekitar 460 km yang harus memakan masa tidak kurang 6 jam kalau tanpa henti. Biar diberitahu ketika itu kaki saya baru sahaja dibedah masuk besi akibat kecederaan yang dialami sebulan sebelumnya. Rujuk artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot . Sekitar jam 11 gitu kami bertemu dengan seorang kawan yang mahu ikut sama ke KT. Beliau yang membawa sebuah kereta dengan seorang anak bertemu kami selepas tol Gombak.


Sebelum ke Kuala Terengganu kami mahu singgah dahulu ke makam Tok Pulau Manis, ulamak besar bertaraf wali abad ke 17 Masihi. Letaknya dalam 15 km sebelum KT. Dipendekkan cerita, selepas singgah makan tengah hari ikan patin bunga di RnR Temerloh, selepas meninggalkan Lebuh Raya Timur di Jabor mengambil jalan biasa tengah sampai ke Bukit Besi kemudian masuk ke satu bahagian lain Lebuh Raya Timur yang sudah siap hingga ke persimpangan Telemong, kami sampai di makam 6 petang.


Kami mengambil sedikit masa kerana sudah lama tidak menziarahi makam Tok Pulau Manis. Kali terakhir saya sampai adalah ketika keluar mengembara menaiki motosikal besar bersama seorang kawan September tahun lepas. Lihat Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Jumaat di Ulu Terengganu, tapak kebangkitan Islam akhir zaman? Isteri pula kali terakhir sampai membawa anak kami Rasyid setahun sebelumnya kalau tak salah ingatan. Ketika itu anak bongsu kami Johan belum lahir.

Maka ziarah kali ini bukan sekadar menjenguk setelah lama tak pergi tetapi juga kali pertama Johan menjejakkan kaki. Kawan dan anaknya pun pertama kali sampai ke sini. Malah sebelum ini mereka tidak pernah menziarahi makam sebegini.


Selepas setengah jam kami sedia untuk berlepas. Tiba-tiba muncul satu masalah yang menyebabkan saya harus menangguh perjalanan sehingga selepas 7 malam. Saya rasa tak perlulah dipanjangkan di sini kerana ada menerangkannya pada artikel HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Keadaan acara sepanjang Rabu malam Khamis iaitu malam Isra' dan Mi'raj itu juga diterangkan sama.


Esoknya pagi Khamis 6 Jun saya memulakan hari dengan ditemuramah secara langsung di radio FM Terengganu. Lihat artikel HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Tok Pulau Manis, Syarif Muhammad al-Baghdadi dan pengembalian sistem khalifah  di mana diceritakan perjalanan acara hingga ke petang...


Malam itu, malam Jumaat saya dan isteri memenuhi jemputan menghadiri majlis alunan qasidah memuji-muji Nabi Muhammad SAW di Madrasah Al-Hidayah, Batu Burok. Kumpulan qasidah mereka inilah yang membuka majlis HIKMAH siang Jumaat 7 Jun. Lihat HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari khilafah Uthmaniyah ke Tokku Paloh dan mushaf quran Terengganu.


Petang Jumaat itu baru kami ada masa untuk berjalan-jalan melihat sekitar KT. Saya, isteri dan anak-anak naik satu kereta, kawan dari Kuala Lumpur dan anaknya menaiki kereta lagi satu ditemani seorang rakan dari KT. Kami pusing dahulu di Pulau Wan Man di mana terdapat Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal kerana simpang ke sana sangat dekat dengan Masjid Makmur di mana HIKMAH V diadakan.


Selepas itu kami masuk ke Kampung Paloh lalu menziarahi makam wali besar Terengganu abad ke 19 Masihi iaitu Tokku Paloh.


Ini adalah gambar yang diambil oleh rakan kami dari KT ketika menaiki tangga untuk sampai ke makam di atas bukit. Bila dah tengok gambar baru tersedar tinggi juga saya naik terhencot-hencot bertongkat dengan kaki yang baru seminggu dibedah.


Destinasi seterusnya adalah Masjid Tokku Paloh yang sedang direnovasi. Ketika kali terakhir sampai  iaitu ketika menaiki motosikal besar seorang diri, selepas mengatur butiran penganjuran untuk acara ke-4 HIKMAH di Kandis, Bachok, Kelantan saya merasakan masjid ini sesuai untuk dibuat acara HIKMAH nanti. Lihat bahagian akhir artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Mesyuarat di Kandis sebelum meredah hujan dan banjir ke Kuala Terengganu.


Maka itu acara ke-5 HIKMAH asalnya dirancang mahu diadakan di Masjid Tokku Paloh. Mana saya tahu selepas itu proses renovasi diteruskan dengan memecahkan bahagian dalam masjid tempat saya pernah beberapa kali bermalam (termasuk bersama keluarga) dalam tempoh 2-3 tahun kebelakangan?


Sesi santai petang diteruskan dengan pergi ke pusat bandar raya KT. Berehat minum air dan makan keropok di water front sebelum ke Pantai Batu Burok, sempatlah saya makan telur penyu di Pasar Payang sebelum kembali ke tempat penginapan di halaman Masjid Makmur.


OK. Setakat ini saya belum menunjukkan bagaimana rupa Masjid Makmur tempat HIKMAH V diadakan bukan? Gambar ini diambil pada hari Sabtu 8 Jun, hari terakhir acara. Lihat gambar-gambar lain pada artikel  Masjid (Mosque of) Makmur Losong Dato' Amar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Pakaian saya untuk hari yang dikira kemuncak acara. Sesungguhnya pada saya acara HIKMAH V ini memiliki pengisian terbaik setakat ini berbanding acara HIKMAH sebelumnya. Sayangnya perkara ini tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka yang sudah terserong pandangan akibat taksub politik. Baca apa yang sudah diluahkan pada artikel HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Batu Bersurat Terengganu dan pelestarian adat Melayu.


Pagi Ahad 9 Jun. Setelah puas berehat satu malam, setelah HIKMAH V berjaya diadakan hingga selesai kami pun bersedia untuk kembali ke Lembah Klang. Menariknya keluar sahaja dari kawasan masjid terlihat orang riadah berkuda.


Perjalanan kembali terasa begitu ringan kerana satu, kami tidak perlu mengejar lagi acara seperti halnya ketika pergi. Dan kedua lega sungguh jiwa apabila sudah menyelesaikan satu tanggungjawab untuk agama, bangsa dan negara.


Malam di rumah kami melihat buku-buku dan buah tangan yang diterima semasa di Terengganu.


Alhamdulillah. Tidak seperti jangkaan sesetengah orang kami tidak menerima bayaran apa-apa untuk mengadakan acara HIKMAH. Kalau ada sedikit wang pun diterima itu adalah dari jualan buku yang saya tulis selain sumbangan dari penyokong HIKMAH. Itupun sekadar cukup untuk menampung belanja pergi balik, makan, beberapa hal penganjuran dan sebagainya.

Tidak. Kami tidak membuat duit dari HIKMAH. Tetapi kami mendapat kepuasan menjalankan tanggungjawab yang saya rasa ada kena-mengena dengan amanah keturunan. Dan kami rasa sangat gembira kerana HIKMAH telah menemukan ramai orang yang sealiran lalu kami menjadi seperti sebuah keluarga besar yang sama-sama prihatin akan nasib orang Melayu dan Islam. Cukuplah... :]


Ahad, Jun 23, 2013

Jejak Bugis di Pontian - Muzium Bugis dan Tanjung Piai



Ahad 16 Jun 2013. Pemandangan dalam rumah selepas bermalam di sebuah homestay di pinggir bandar Pontian atau Pontian Kechil. Adapun selepas meninggalkan rumah saudara di Parit Betak petang Sabtu kami terus menuju ke sini. Menariknya, Pontian Kechil adalah bandar terbesar dalam daerah Pontian sedangkan berdekatannya ada pekan Pontian Besar yang jauh lebih kecil. Rupa-rupanya nama Pontian Kechil itu merujuk kepada sungai yang terdapat di bandar, Pontian Besar pula nama sungai di pekan. Memang Sungai Pontian Kechil lebih kecil dari Sungai Pontian Besar...


Tengah hari baru kami keluar untuk berjalan-jalan. Lalu di hadapan pejabat pos mengingatkan bahawa datuk saya sebelah ibu, Ismail bin Hussin bin Daeng Betak pernah bertugas di sini tahun 1960an kalau tak salah. Semasa itu ada beberapa orang adik-beradik ibu, 4 orang yang paling bongsu kalau tak salah pernah duduk bersama di sebuah kuarters kerajaan sepanjang datuk berkhidmat di sana 2 tahun gitu.


Pergi pula berehat di tepian pantai tidak jauh dari pejabat pos...




Angin sepoi-sepoi bahasa dan keredupan di bawah pokok menghadap pantai membuat adik-beradik ibu seronok dan leka berbual-bual mengenangkan hal-hal lama. Kalau tidak kerana ada tempat lagi mahu dijejaki mahu sahaja mereka terus leka.


Perjalanan diteruskan jam 1.


Destinasi kami adalah Muzium Bugis di Pantai Rambah, satu tempat yang saya sendiri baru pertama kali sampai.


Sebelum ini saya pernah sampai ke Muzium Bugis yang lebih lama di Teluk Kerang, tidak berapa jauh dari sini.

Keluarga ibu yang sudah amat lama lebih mengaitkan diri dengan darah Jawa belah ibu kepada ibu pun mula mendapatkan 'feel' seterusnya tentang Bugis, kiranya kesinambungan dari usaha silaturrahim di Parit Betak hari Sabtu. Lihat artikel Muzium Bugis (Bugis Museum), Pantai Rambah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Pemandangan Pantai Rambah di luar muzium. Kami berada di sini dekat sejam juga.


Perjalanan diteruskan lebih jauh ke selatan.


Singgah makan tengah hari di sebuah kedai Melayu di pekan kecil Serkat.


Kemudian solat di masjid berdekatan. Saya solat atas kerusi di halaman pun boleh...




Selepas itu baru masuk ke destinasi seterusnya...


Tanjung Piai, bahagian paling hujung tanah besar benua Asia!


Teringat ketika pertama kali sampai penghujung 2009. Ketika itu isteri baru 39 hari gitu melahirkan anak lelaki kami Muhammad Al-Aminul Rasyid lalu saya tergerak untuk membuat perjalanan jauh pusing tanah air belah selatan. Ketika itulah saya baru dapat tahu tentang kewujudan Parit Betak, satu perkara yang akan membawa saya untuk menjejak saudara-mara di sana suatu hari nanti. Lihat artikel lama Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Perjalanan ke Pontian dan sebab-musabab pengembaraan.... Ah... bila membaca balik artikel itu baru saya tersedar. Sebenarnya saya pernah sampai ke Tanjung Piai sekali tahun 1996. Ketika itu saya dalam perjalanan bermotosikal besar solo pusing seluruh Semenanjung, memakan masa lebih sebulan.
 
Apapun saya sampai bersama keluarga tahun 2009 waktu malam lalu menginap di pusat peranginan atas laut ini. Lihat artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pontian di siang hari.... Siangnya saya terus berjalan kaki pusing merata pusat peranginan sampai ke bahagian paling hujung atas laut. Kali ini, disebabkan kecederaan kaki, cukuplah saya sekadar duduk menikmati pemandangan dari ruang legar ataupun lobi.
 


Selepas puas melihat Tanjung Piau satu kereta dari kumpulan kami berpecah untuk mengambil lebuh raya PLUS dari Simpang Renggam lalu terus meluncur ke Lembah Klang. Tinggal 3 buah kereta kembali ke homestay untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan naik ke utara melalui jalan lama ke Batu Pahat kemudian Muar. Di Parit Jawa kami sempat makan malam asam pedas istimewa sebelum berehat di rumah ibu bapa di Kampung Temiang. Hampir 1 pagi baru saya dan isteri membawa anak-anak meninggalkan Muar untuk kembali ke rumah kami di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.

Sekian bab Bugis buat kali ini. Selepas ini saya akan membuat satu cerita kecil tentang perjalanan pergi ke Terengganu untuk menganjurkan HIKMAH V 5-8 Jun (lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) dan kembali. Selesai itu insyaallah akan dimulakan satu siri baru tentang perjalanan ke Tanah Bugis 3-12 Mei, perjalanan yang sudah diperkatakan secara ringkas melalui artikel pendek Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat. Selamat malam. :]