Angkatan tentera laut dan para hadirin memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah dimasukkan ke dalam liang-lahat yang tersedia di hadapan. Di belakang adalah sebahagian kawasan Masjid Ubudiyah di Bukit Chandan.
Semalam ketika berjalan-jalan di sekitar Masjid India, saya terjumpa seorang kenalan yang berniaga di situ. Kenalan itu dahulunya ada berniaga senjata-senjata lama Melayu seperti keris pusaka. Di sanalah saya terjumpa sebuah keris lok 13 bersarung warna hitam gelap yang diikat dengan kain kuning (menandakan kaitan dengan raja-raja) yang saya rasakan ada kena-mengena dengan Nakhoda Hitam, seorang watak legenda Perak yang hidup abad ke 18 Masihi.
Memang hati saya terasa berkenan dengan keris itu. Malangnya ketika itu, saya tidak memiliki wang RM2,000 yang diperlukan sebagai mahar untuk membelinya. Tidak lama kemudian keris itu tiada lagi di sana. Saya diberitahu bahawa pemilik keris yang dahulunya mahu menjual senjata itu telah mengambilnya kembali, tak tahulah kenapa.
Sekarang, kenalan ini tidak lagi berniaga keris sebaliknya dia berniaga beg. Yang janggalnya, semua beg yang dijual berwarna pink atau merah jambu dan kebanyakannya ada gambar patung mainan Barbie doll dengan tajuk-tajuk seperti "Princess" dan sebagainya. Hehe! Bayangkan, dahulu berniaga alat-alat senjata yang nampak macho, sekarang concentrate dengan alatan perempuan yang kekanak-kanakan, hehe!
Sebenarnya beg-beg itu telah diniagakan sejak saya mula mengenali kenalan ini hampir 2 tahun lalu... Tetapi ketika itu, semua ini adalah di bawah jagaan isterinya sedangkan dia pula berniaga keris yang diletakkan di atas meja di sebelah. Nasib baik, ada seorang kenalan lain yang masih berniaga batu-batu cincin, tasbih dan alatan sepertinya di situ... Kira balance balik le, takda le tempat itu terlihat begitu "keperempuanan", hehe!
Apapun, saya sebenarnya hendak bercerita tentang hal lain tetapi terkeluar pula mukadimah di atas. Ini adalah kerana kenalan itu menegur: "Tak pergi ke tengok Raja Nazrin kahwin?". Saya jawab tak. Katanya, "Ingatkan pergi ke sana, kan kamu ada kena-mengena..."
Hmm... Memang orang semua tengah sibuk dengan cerita Raja Muda Perak Raja Nazrin berkahwin dengan Sara Davidson Salim dan daripada satu segi saya memang ada kena-mengena dengan keluarga diraja Perak walaupun keluarga kami telah lama meninggalkan lingkungan istana. Mungkin kenalan itu bertanya kerana dia tahu saya pernah menghadiri majlis pengkebumian kembali Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006. Sehari sebelum itu, saya telah singgah di gerainya selepas membeli sepasang baju Melayu hitam siap songkok dan samping di supermarket Mydin berdekatan.
Oh... Saya dah berceloteh panjang pula di sini sedangkan tujuan saya membuat artikel ini adalah untuk menaikkan kembali beberapa buah artikel yang ditulis di bawah nama "Laksamana pulang ke Perak" di mana 5 daripadanya pernah menghiasi akhbar tabloid Kencana kelolaan seorang rakan. Adapun artikel-artikel ini di letakkan di sini dengan jarak masa yang agak lama antara satu sama lain lalu tenggelamlah ia di bawah koleksi archives menjadikannya susah hendak dicari kembali.
Di sini, saya tergerak untuk mengumpulkan sedutan artikel-artikel ini dengan link nya sekali supaya lebih senang ditatap pembaca terutama mereka yang baru mengenali blog ini. Tanpa membuang masa lagi, inilah sedutan-sedutannya... Saksikanlah... "Laksamana pulang ke Perak"....
Hmm... Baru dapat gerak... Biarlah dimulakan dahulu dengan sebuah artikel lama yang mengandungi gambar-gambar peristiwa bersejarah pengembalian kembali Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke Bukit Chandan yang dibuat untuk blogspot ini (bukan untuk tabloid Kencana sebaliknya asalnya dibuat untuk tatapan kawan-kawan di sebuah forum kegemaran saya). Ini dia...
Posting dibuat 7 Disember 2006
Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam Diraja Perak
Subhanallah... Dalam kesibukan (dan keasyikan?) melayari dunia Internet serta melihat balik blogspot-blogspot saya sambil memikirkan apakah tambahan artikel yang perlu dibuat, timbul gerak untuk memaparkan kembali sebuah peristiwa bersejarah yang julungkali diadakan di Malaysia malah mana-mana jua di dunia. Peristiwa itu ialah pengembalian kembali jenazah dua orang pejuang lama Perak iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin serta Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim ke negeri tanah-tumpah darah asal mereka, berlangsung 9 September 2006.
Kedua pejuang ini telah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan Afrika pada tahun 1877 akibat dituduh terlibat dalam komplot pembunuhan Residen British pertama ke Perak J.W.W. Birch (mati tahun 1875 di Pasir Salak). Turut dibuang sama adalah Sultan Abdullah (Sultan Perak ke 26, memerintah 1874-1877) dan Syahbandar Uda Ma'amor. Untuk makluman mereka semua bersaudara. Syahbandar dan Menteri Paduka Tuan juga merupakan menantu Laksamana.
Sultan Abdullah telah "diampunkan" British lalu sempat kembali ke Perak dan meninggal di negerinya tahun 1922 sedangkan yang lain-lain dipaksa menghabiskan sisa umur mereka masih dalam buangan tetapi di Singapura pula. Maka di sinilah timbul sedikit kekhilafan apabila ada pihak mendakwa Ngah Ibrahim sempat melarikan diri balik ke Perak dan meninggal dunia di Beruas... Lalu mereka menambah jenazah yang dibawa kembali dalam upacara ini bukanlah jenazahnya yang sebenar.
Apapun, di sini saya cuma mengenengahkan proses pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin demi menjunjung rasa kasih dan hormat sebagai keturunan ke-5 almarhum. Gambar-gambar ini saya ambil sendiri ketika mengikuti rombongan membawa jenazah daripada Lumut di mana kapal Tentera Laut Diraja Malaysia KD Laksamana Muhammad Amin mendarat setelah lebih sehari belayar membawa jenazah ke luar Singapura. Setelah selesai adat-istiadat penyambutan jenazah di Lumut, barulah jenazah dibawa melalui jalan lama untuk ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar di mana Laksamana akhirnya disemadikan kembali.
Oh... Minta maaf jika gambar kurang terang. Ini disebabkan saya telah menggunakan format GIF semasa memasukkan gambar-gambar ini on-line untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan di sebuah forum kegemaran. Malah inilah gambar yang sama, dengan komen yang sama di bawah seperti dipaparkan di forum itu lebih 2 bulan lalu... Elok juga diletakkan di blogspot ini pula supaya lebih ramai orang dapat melihatnya, Insyaallah!
Konvoi membawa jenazah Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim dalam perjalanan dari Lumut ke Kuala Kangsar melalui jalan lama, setelah selesai adat-istiadat sambutan oleh pihak tentera di Markas TLDM Lumut. Ketika ini, konvoi sepanjang 1.5 km itu baru berada di sekitar Sitiawan, dalam jam 10.15 pagi gitu.
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan...
OK... Sekarang baru boleh dipaparkan siri artikel "Laksamana pulang ke Perak". Perlu diingatkan, pada awalnya ia menceritakan peristiwa berkaitan zaman kehidupan Laksamana Raja Mahkota Muhammad sekitar Perjanjian Pangkor 1874 kemudian mula mencapah untuk meliputi hal-hal lain berkaitan Perak sebelum pergi jauh ke zaman dan tempat lain untuk menyentuh cerita-cerita lama seperti Hikayat Malim Deman serta kewujudan kubu Portugis di Muar. Iqra'. Bacalah dengan nama Allah...
Artikel 1...
Posting dibuat 23 November 2006
PENGEMBALIAN JASAD LAKSAMANA MUHAMMAD AMIN KE PERAK: CATATAN PERJALANAN SEORANG WARIS
Ketika lembaran suratkhabar tempatan hangat memperkatakan akan kembalinya jasad dua orang pahlawan Perak yang dibuang negeri semasa pemerintahan Inggeris, seorang waris muda yang baru mengenali kaitan peribadi dengan kedua-dua pahlawan itu terfikir apakah ada makna tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan di Malaysia malah mana-mana pun di dunia moden ini?
Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim adalah dua nama besar Perak yang dibuang negeri akibat memberontak melawan Inggeris tahun 1870an. Mereka berserta Sultan Perak ke 26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II dan Shahbandar Uda Ma’amor (juga menantu Laksamana) telah diasingkan ke Pulau Seychelles di perairan Afrika (dipanggil Pulau Sisek dalam cerita orang-orang tua Melayu) tahun 1877 untuk memadamkan api pemberontakan orang Melayu Perak yang menyala akibat ketidak-adilan Perjanjian Pangkor 1874.
Perjanjian itu timbul akibat kecelaruan iklim sosio-politik Perak. Tahun-tahun sebelumnya menyaksikan negeri Melayu itu kelam-kabut dilanda Perang Perak yang melibatkan pelombong-pelombong Cina, kumpulan-kumpulan gangster Ghee Hin dan Hai San serta sekutu-sekutu Melayu mereka lalu mengorbankan banyak nyawa. Pada masa yang sama, penggiliran takhta Perak turut celaru apabila Raja Ismail yang berketurunan Siak diangkat menjadi Sultan. Timbul pula sengketa tiga segi bersaudara antara Raja Ismail yang memiliki titisan diraja Perak sebelah ibu dengan Sultan Abdullah yang semasa itu berjawatan Raja Muda serta Raja Yusuf ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah I, seorang lagi waris takhta yang merasakan dirinya tersisih.
Suasana kacau-bilau ini memberi peluang kepada penjajah Inggeris menyucuk jarum demi jarum sehingga terbit Perjanjian Pangkor 1874 yang menyaksikan Raja Abdullah diangkat menjadi Sultan dan Raja Ismail diturunkan menjadi Sultan Muda. Sambil itu, buat pertama kali dalam sejarah tanah-air, sebuah negeri Melayu terpaksa menerima seorang Residen Inggeris sebagai “penasihat” yang ternyata bakal menjadi penentu sebenar hala-tuju pentadbiran negeri. Residen pertama itulah manusia bongkak dan angkuh yang dikenali sebagai J.W.W. Birch, birokrat Inggeris biadap yang melanggar hampir setiap sensitiviti orang Melayu sehingga dia dibunuh orang-orang Datuk Maharajalela tahun 1875.
Susulan peristiwa pembunuhan ini menyaksikan Perak berperang dengan Inggeris sebelum ditundukkan dengan penuh kekerasan. Datuk Maharajela Pandak Lam, bapa mertuanya Pandak Endut, Datuk Sagor (Seri Agar Diraja) Ngah Kamdin, Siputum serta pengikut mereka dihukum gantung sampai mati sedangkan Sultan Abdullah, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim dibuang ke Pulau Seychelles.
Selepas beberapa lama hidup dalam buangan, Sultan Abdullah sempat kembali ke Perak selepas menerima pengampuan Inggeris lalu mangkat dan disemadikan di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar tahun 1922 (check balik ini). Malangnya, Laksamana Muhammad Amin, Syahbandar Uda Ma’amor dan Ngah Ibrahim tidak dibenarkan kembali kerana pengaruh mereka di kalangan orang Melayu masih ditakuti Inggeris. Sebaliknya mereka diasingkan ke Sarawak, kemudian Singapura sebelum meninggal dunia dan dimakamkan di pulau itu.
Ketika dada-dada akbar tempatan sibuk memperkatakan proses pengembalian kembali jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim ke Perak (tempat persemadian akhir Uda Ma’amor di Singapura tidak ditemui), penulis baru sahaja dua bulan mengenali diri sebagai generasi ke-lima keturunan Laksamana itu. Jika empat tahun sebelumnya banyak dihabiskan untuk mengkaji sejarah serta susur-galur keturunan sehingga 1,400 tahun terdahulu, baru kebelakangan itu, penulis tergerak untuk menyusun kembali salasilah keluarga terdekat sehingga nyatalah kaitan peribadi dengan pahlawan tersebut.
Sampai satu ketika, penulis yang pernah menziarahi makam-makam lama berkaitan keluarga hampir seluruh tanah-air telah tergerak untuk mencari di manakah pula Laksamana Muhammad Amin disemadikan. Baru penulis sedar Laksamana dimakamkan di Singapura, lalu timbul pula keluhan bagaimana hendak ke sana dalam keadaan kekurangan belanja dan sudah lebih 20 tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke pulau itu.
Kebetulan hari itu juga muncul artikel tulisan Dr Talib Samat bertajuk “Dua Pahlawan kembali ke Perak” dalam Mingguan Malaysia 27 Ogos 2006 menyatakan jasad Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim akan dikembalikan ke tanah-air penuh istiadat 9 September. Lebih menarik, jasad mereka akan di bawa dari selatan tanah-air menaiki kapal tentera laut Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin! Dan Laksamana akan disemadikan di kawasan permakaman diraja, sekitar 8 meter sahaja daripada makam Sultan Abdullah yang mengikut salasilah rasmi adalah saudara tiga pupu beliau.
Penulis yang sangat teruja terus tergerak menghubungi seorang sepupu kepada bapa yang baru sahaja seminggu dikenali kembali setelah hampir 30 tahun tidak bertemu… Fikirnya, hendak memberitahu akan peristiwa itu tetapi rupanya bapa saudara itu telah lebih dahulu mengetahui. Malah beliau menyatakan waris-waris telah dijemput menghadiri majlis penuh-istiadat lalu mengajak penulis mendaftarkan diri.
“Dua buah bas kerajaan telah disediakan untuk mengangkut keluarga dan kaum kerabat dari Teluk Intan ke Lumut di mana jenazah akan diturunkan dari kapal ke pengkalan tentera laut sebelum dibawa ke Bukit Chandan,” dia memberitahu.
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana kembali ke Perak
Artikel 2...
posting dibuat 8 Januari 2007
LAKSAMANA PULANG KE PERAK: APAKAH YANG TERSIRAT?
Sudah hampir 2 bulan jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, seorang pejuang Melayu abad ke 19 dikembalikan ke Perak… Begitu juga jasad menantunya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim yang turut dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 kerana terlibat dalam pembunuhan Residen British J.W.W Birch. Kedua-duanya sudah selamat disemadikan kembali di tanah-air tercinta, Laksamana di kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Menteri di kota peninggalannya di Matang.
Jika hari-hari sebelum peristiwa bersejarah itu menyaksikan dada-dada akhbar tempatan riuh sensasi dengan berita akan kembalinya jasad dua tokoh pejuang Melayu yang pernah “terkandas” hampir 100 tahun di Singapura akibat dilarang kembali ke tanah-air sendiri oleh British, hari-hari berikutnya pula menyaksikan mereka seolah-olah dilupakan kembali, hilang khabar berita hanyut semula ditelan zaman.
Seperti lazimnya dalam dunia moden hari ini, berita sebegini cuma hangat apabila ia mula-mula keluar sebelum senyap ditiup angin perubahan zaman apabila ia selesai. Tidak ada yang mahu mengulas apakah ada makna yang tersirat di sebaliknya.
Apapun, bagi sesetengah pihak terutama penulis yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Laksamana, proses pengembalian jasad itu meninggalkan erti penuh makna dalam jiwa ini, mungkin juga erti yang lebih besar bagi mereka yang sanggup mengkaji lebih jauh.
Alhamdulillah, sedikit cerita mengenainya sudah diabadikan dalam Kencana edisi lepas. Maka dalam edisi ini pula biar disuratkan sedikit pula makna yang mungkin tersirat di sebalik peristiwa yang julung-kali diadakan dalam sejarah mana-mana negara moden, hasil pengamatan dan perjalanan peribadi penulis.
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Apakah yang tersirat?
Artikel 3...
posting dibuat 3 Februari 2007
Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang
Kelmarin kita telah menyentuh mengenai kemungkinan akan adanya makna tersirat di sebalik pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September 2006. Makna tersirat yang dimaksudkan adalah mungkin telah sampai masanya sejarah Tanah Melayu patut diselidik, dirombak dan ditulis kembali demi mengembalikan kekuatan sebenar bangsa yang semakin luput ditelan arus kemodenan zaman.
Sekadar mengimbas kembali, Laksamana Muhammad Amin adalah salah seorang pejuang Melayu Perak yang disabitkan terlibat dalam peristiwa pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Di kala beberapa pejuang lain seperti Datuk Maharajalela Pandak Lam, Datuk Sagor Ngah Kamdin, Pandak Endut dan Si Putum dihukum gantung 1877, beliau, Sultan Abdullah, Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma’amor pula dibuang negeri jauh ke Pulau Seychelles di perairan Afrika.
Sultan Abdullah mendapat “pengampuan” British lalu sempat kembali ke negeri asalnya sebelum menghembuskan nafas terakhir di sana 1922 sementara yang lain dilaporkan meninggal dunia di Singapura. Dalam konteks ini, pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak ternyata amat bermakna. Ia dilakukan penuh istiadat, dan kebetulan jenazah dibawa kembali menaiki kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia bernama KD Laksamana Muhammad Amin!
Jenazah Ngah Ibrahim turut dibawa kembali bersama tetapi ada pihak mempertikaikannya. Menurut mereka, menantu Laksamana itu sempat kembali ke Perak secara senyap dalam tahun 1920an lalu identitinya dirahsiakan untuk mengelak dari dikesan pihak penjajah. Nasib baik tidak ada pertikaian tentang identiti jenazah Laksamana kerana pada tahun 1980an, ia pernah dialih daripada Jurong, Singapura yang sedang dimajukan, ke Pusara Abadi dengan disaksikan waris terdekat. Maka biarlah cerita ini diteruskan lagi mengikut perspektif penulis, seorang anak Melayu generasi ke-5 keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Apapun, negeri Perak seterusnya seluruh Tanah Melayu banyak dibentuk mengikut acuan Barat setelah hilangnya para peneraju perjuangan bangsa seperti almarhum. Maka apakah pengembalian jenazah Laksamana ke negeri asalnya itu setelah hampir 100 tahun “ditahan” di Singapura, pusat pentadbiran penjajah Inggeris di Nusantara menandakan permulaan beberapa cerita lama yang selama ini terpendam akan dibuka kembali untuk menyedarkan generasi kini dan akan datang?
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!
Artikel 4...
posting dibuat 23 Februari 2007
Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar
Assalamualaikum pembaca sekalian. Di sini ingin diumumkan arah tujuan baru dalam proses penceritaan. Jika keluaran lepas segmen “Laksamana pulang ke Perak” lebih merupakan kisah-kisah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa pengembalian jenazah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke kawasan permakaman diraja Perak di Bukit Chandan 9 September 2006, bermula keluaran ini pula kita akan meneroka sedikit sejarah dan cerita-cerita lama berkaitan lokasi terpilih dalam pengembaraan peribadi penulis kebelakangan ini.
Boleh kata hampir seumur hidup penulis rajin mengembara dengan pelbagai cara termasuk hitchiking – menumpang kereta, lori dan apa-apa kenderaan orang yang ditahan di tengah jalan. Ada masanya, perkelanaan diteruskan dengan berjalan kaki berpuluh batu, sampai masuk dan sesat ke dalam hutan dan kawasan pergunungan pun ada. Maka itu banyak juga pengalaman berharga yang boleh dikongsi bersama, sesetengahnya mungkin boleh membuka mata mereka yang dahagakan kisah pengembaraan mencabar seperti sering dilihat dalam kaca TV… Cuma kali ini ia bukan fantasi tetapi realiti!
Dalam pada itu, terbuka juga cerita-cerita menarik tentang tempat-tempat yang dilawati lebih-lebih lagi 5 tahun kebelakangan. Sejak itulah, penulis mula berkelana untuk mendapatkan petunjuk berkaitan sejarah lama Melayu dan Islam di Nusantara termasuk cerita-cerita yang disembunyikan pihak berkepentingan.
Kalau dahulu, perjalanan dilakukan ke sana ke mari sehingga sanggup tidur bersepah di tepian jalanan Eropah demi memuaskan naluri adventure, sekarang ia dibuat dalam rangka-kerja yang lebih bermakna dalam mengenali salasilah dan wasilah keluarga. Maka itu tajuk “Laksamana pulang ke Perak” masih lagi relevan walaupun lokasi pengembaraan akan melangkau jauh ke luar Perak… Kerana apabila diteliti lebih mendalam, rupa-rupanya kisah-kisah yang dapat dirungkai di luar sana juga masih berkaitan, disebabkan sejarah keluarga turun-temurun menjarah jauh untuk meliputi seluruh pelusuk Nusantara malah sampai ke Timur Tengah, Mekah dan Madinah.
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar
Artikel 5...
posting dibuat 15 Mac 2007
Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar
Kitab Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor abad ke 17, Tun Sri Lanang ada menyebut, sebelum Raja Iskandar (dikenali Barat sebagai Parameswara) membuka kerajaan Melaka yang berpusat di Sungai Bertam (sekarang dikenali sebagai Sungai Melaka), baginda telah cuba membuka negeri di Muar terlebih dahulu. Menurut ceritanya, ini berlaku sejurus selepas kerajaan Singapura pimpinan baginda jatuh diserang Majapahit. Lalu larilah raja ini menghala ke utara dengan para pengikutnya untuk mencari tempat baru yang boleh dijadikan negeri.
Sampai ke suatu tempat di pinggir Sungai Muar, Raja Iskandar pun berhenti berjalan lalu cuba membina penempatan baru. Malangnya tempat itu selalu dinaiki biawak, bukan seekor dua tapi berpuluh sehingga beratus ekor! Mula-mula binatang-binatang ini dapat dibunuh tapi keesokannya datang sekawan besar biawak baru lalu dibunuh lagi. Ini berlaku beberapa hari seterusnya sehingga jadi bertimbun-timbun bangkai biawak yang membusuk. Baginda dan para pengikutnya tidak tahan lagi lalu meninggalkan tempat itu. Sebab itu kawasan ini dikenali sebagai Biawak Busuk.
Sang raja pun mudik lebih jauh menyusuri Sungai Muar sehingga terjumpa tempat baru yang dirasakan sesuai untuk dibuat negeri. Setelah berpenat-lelah membuka hutan sekitar, rakyat baginda berjaya membina sebuah kota. Nampaknya lokasi ini lebih baik daripada tempat sebelumnya, rupa-rupa tak juga… Mereka cuma sempat bermalam satu hari sahaja. Keesokannya, kota yang dibina bertukar menjadi buruk , tidak tahulah kenapa. Maka tempat itupun dikenali sebagai Kota Buruk sementara Raja Iskandar pula terpaksa mengembara lagi untuk mencari negeri.
Setelah berjalan lama, sampailah mereka ke tepi Sungai Bertam. Di situlah berlaku peristiwa yang terkenal dalam cerita pembukaan negeri Melaka iaitu anjing pemburu baginda ditendang seekor pelanduk yang berani sehingga anjing itu terjatuh ke dalam sungai! Kebetulan ini berlaku ketika sang raja sedang berehat di bawah pokok Melaka. Mengikut ceritanya, sempena peristiwa itulah, Raja Iskandar terasa tempat itu elok dibuat negeri, maka diberi nama Melaka.
Cerita mengenai pembukaan negeri Melaka ini boleh dikatakan sangat terkenal sehingga diketahui kebanyakan rakyat Malaysia yang sedikit peka terhadap sejarah negara. Berapa ramai yang sedar, sebelum itu baginda telah dua kali cuba membuka negeri di Muar tetapi gagal?
Dari satu segi, memang Raja Iskandar telah ditakdirkan untuk membuka negeri di Melaka, sebab itu baginda menghadapi masalah biawak busuk dan kota buruk terlebih dahulu. Tetapi daripada segi lain, kenapa pula seorang raja yang dikatakan berdaulat tinggi, keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang boleh kecundang di Muar? Apakah ada yang tersirat di sebalik ini?
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar
Artikel 6...
Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar
Semua orang tahu akan kewujudan kota A Famosa di Melaka. Walaupun kebanyakan bahagian kota Portugis berumur sekitar 500 tahun itu telah hancur ditelan zaman, beberapa bekas peninggalannya seperti bangunan besar di atas Bukit St. Paul berserta pintu gerbang utama yang sering menghiasi poskad daripada Melaka masih utuh untuk tatapan ramai.
Melaka mungkin telah beberapa kali bertukar pemerintahan daripada Portugis pergi ke tangan Belanda kemudian Inggeris kemudian baru kembali ke dalam genggaman orang Melayu terutama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 tetapi nama A Famosa yang bermaksud kota yang terkenal masih mekar sampai ke hari ini. Manakan tidak, suatu masa dahulu ia adalah satu daripada tiga kota utama di rantau Asia yang digunakan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan Timur ke Barat… Dua kota lagi ialah Hormuz di Timur Tengah dan Goa di benua Hindi. Lalu ramai yang tidak sedar bahawa di Semenanjung Tanah Melayu ini pernah wujud sebuah lagi kota Portugis, dalam banyak-banyak tempat di Muar, Johor. Walaupun kesannya telah lama hilang, tidak seperti tinggalan A Famosa yang boleh disaksikan sehingga kini, kewujudannya boleh dibuktikan melalui catatan-catatan Portugis terutama sebuah lakaran peta lama oleh Eredia yang dilukis tahun 1604.
Pada segmen “Laksamana pulang ke Perak” kali ini, biar kita bincangkan sedikit mengenai kota yang kemungkinan besar pernah meliputi pusat bandar Muar sekarang. Penulis ada sebab untuk percaya bahawa kota itu telah didirikan di atas runtuhan Kubu Bentayan yang tercatit sebagai tempat pertahanan terakhir kerajaan Melaka melawan Portugis sebelum kalah tahun 1511.
Selain itu, elok juga kita bercerita sedikit tentang Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5km daripada pusat bandar Muar. Mengikut cerita setempat, di sinilah berlaku peristiwa Si Tanggang, anak derhaka yang disumpah berserta seisi kapalnya menjadi batu kerana tidak mahu mengakui pertalian darah dengan ibu-bapanya.
Untuk melengkapkan segmen ini, penulis juga ingin bercerita sedikit tentang Raja Temenggung Muar, satu jawatan bangsawan bagi pemerintah daerah Muar (dahulunya negeri!) yang pernah meliputi wilayah Segamat. Untuk makluman, segmen kali ini adalah penutup cerita-cerita tentang Muar yang dibuat setelah beberapa kawasan di Johor dilandar banjir luar-biasa penghujung tahun lepas. Insyaallah selepas ini kita akan mula menerokai cerita-cerita lama dalam perjalanan penulis ke Pantai Timur yang dibuat sejurus sebelum itu. Ayuh… Teruskan membaca!
Untuk bacaan lanjut, sila masuk ke sini... Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar
Baiklah. Cukup sampai di sini. Kalau diizinkan Allah, insyaallah cerita-cerita di bawah siri "Laksamana pulang ke Perak" akan muncul kembali di mana-mana akhbar (Kencana sedang menghadapi sedikit masalah), paling tidak pun di sini. Doakan kejayaan saya ya para pembaca sekalian. Wassalam! :]