Subhanallah! Tadi saya tergerak masuk ke Forum CVT yang kadang-kadang OK kadang-kadang sangkut... Boleh pula masuk. Memandangkan topik "Berpetualang ke Aceh" di situ dah masuk mukasurat 303, tergerak pula untuk menyertakan sedutan daripada mukasurat 303 buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III.
Tetapi cerita akan jadi sangat tergantung jikalau cuma mukasurat 303 sahaja yang diketengahkan. Maka itu saya telah meletakkan isi daripada mukasurat 302 hingga 305 supaya lebih senang difahami. Lalu kini saya rasa elok juga dikongsi di sini. Sila! :]
----------------------------------
Rasyid tidak tahu berapa lama dia ‘hilang’ tadi. Rasanya ada ketika ruang dan masa terbuka seluas-luasnya sehingga kelihatan semua wujud makhluk yang ada. Ada ketikanya pula, terasa sempit sesempitnya sehingga tidak wujud apa-apa walau setitik noktah! Sedar-sedar sahaja, dia sudah kembali berada di sisi Nenek yang tersenyum memandang, berlatar-belakangkan sebuah alam baru yang terasa nyaman menenangkan. Suasananya senantiasa berubah-rubah dengan warna-warna lembut, pastel colours menari-nari seperti bayangan cahaya dikilas riak air kolam ke dinding.
“Kamu sudah faham segalanya?” Nenek membuka suara.
Pemuda itu masih terpinga-pinga untuk mencerna pengalaman tadi. Bagaimana hendak menjawabnya? Apakah yang telah difahami? Dia pun belum pasti apa yang berlaku. Cuma hati kecilnya sahaja berkata, apa yang ingin dicarinya selama ini, segala persoalan yang pernah menghantui diri sudah pun terjawab lalu tersimpan dalam kalbu. Langkah seterusnya adalah mengatur-kembali segalanya supaya boleh diterima minda dan akal logik mengikut turutan ruang dan masa serta pemahaman manusia biasa…
Rasyid mengangguk-anggukkan kepala walaupun masih tidak pasti apa yang difahaminya. Kalau disuruh menerangkan sudah tentu mulutnya akan terlopong sehingga boleh dibuat teropong... Apapun anak muda ini tetap bersyukur kerana masih berfikiran waras. Lebih penting lagi, dia masih ada tubuh-badan yang menunjukkan wujud diri sebagai seorang manusia.
“Baguslah kalau begitu!” kata Nenek mengusap-usap kepalanya. “Sekarang, sampailah masanya untuk kamu kembali ke alam nyata.”
Terus Rasyid terperanjat. Hah? Kembali ke alam nyata? Apa salahnya di sini? Hatinya membentak, belum bersedia menghadapi dunia biasa.
Anak muda itu mula terasa sebak. Dia sebenarnya tidak mahu meninggalkan sisi Nenek, juga alam warna-warni ini yang entah di mana letaknya, Yang pasti ia terasa begitu aman dan menenangkan... Bukan seperti dunia nyata yang dikenalinya, penuh dengan hiruk-pikuk ragam manusia materialistik yang selalu membuat kepalanya runsing, pening...
Dahulu pun Rasyid selalu berangan-angan untuk meninggalkan alam nyata biasa kerana sejak kecil lagi dia selalu terasa sunyi-sepi seorang diri walaupun zahirnya dikelilingi ramai ahli keluarga, saudara-mara dan juga kenalan... Amat susah untuknya menemui orang yang dapat memahami jiwanya yang sebenar sehingga kadang-kala pemuda ini terasa dirinya adalah sejenis alien, satu makhluk asing yang berasal daripada planet lain!
“Tidak Nek, saya tak mahu balik!” Rasyid membantah. “Saya tidak ingin kembali ke dunia nyata yang penuh pancaroba, penuh segala macam tipu-daya. Ramai manusia hipokrit bertopengkan agama dan akhlak mulia tetapi sebenarnya berhati busuk, suka menipu dan menganiaya... Sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa, harta dan nama.”
Muka Nenek sedikit berubah. Kesal mendengar jawaban ini…
“Habis itu, kamu tidak ingat tanggungjawab kamu? Tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara yang terkandung di dalam zat dan darah yang mengalir di dalam tubuh? Tidak ingatkah pesanan Nenek dahulu mengenai amanah keluarga yang harus dipikul?” dia memberi peringatan.
“Bukan begitu Nek,” pemuda itu menjawab. “Saya tidak pernah lupa tanggungjawab tersebut. Cuma dunia sahaja yang tidak memerlukan orang seperti saya... Orang yang dianggap gila, sanggup kehilangan segalanya demi menegakkan perkara yang benar. Bodoh, lurus, bendul tidak berguna, sampai keluarga sendiri pun boleh pandang rendah kerana tidak menurut keadaan semasa. Saya mahu terus duduk dengan Nenek,” katanya hiba. “Saya sudah lama merana Nek, hidup dalam dunia penuh pura-pura…”
Nenek terdiam lalu memicit-micit bahu Rasyid. Secara spontan, pemuda itu memeluknya erat lalu menangis lagi sehingga terhenjut-henjut bahu. Orang tua itu mengusap-usap kepala cucunya untuk menolong perasaannya reda. Setelah anak muda itu sedikit tenang, baru Nenek bertanya lembut: “Kamu pasti tidak mahu kembali ke dunia biasa lagi?”
Rasyid memandang nendanya lalu mengangguk-anggukkan kepala.
“Kalau begitu bagaimana dengan Nur?” Nenek mengingatkan tentang wanita kesayangannya pula. “Apakah kamu rela membiarkan dia sengsara seorang diri? Sampai hatikah kamu melihatnya merana?”
Pemuda itu termenung jauh. Begitu banyak perkara, manusia dan peristiwa cuba memisahkan mereka berdua. Hendak mencari wanita lain pula hatinya belum terbuka. Bukan tidak mampu tetapi tidak ada selera dan tidak terlintas pun lagi. Kalau begitu bukankah lebih senang mati?
Rasyid mengeluh panjang. Pemuda itu seperti sudah putus harapan, letih dengan segala dugaan. “Bagaimana Nenek?” dia menjawab. “Kami sering sangat dipisahkan keadaan. Saya rasa Nenek pun tahu bukan, walaupun tidak sempat bertemu dengannya. Apakah kami ada jodoh? Apakah ada peluang untuk bersama atau kami cuma dipermain-mainkan keadaan, terus menyimpan harapan walaupun keadaan terus menghalang?”
Nenek menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat cucunya...
“Mengapa pula tidak ada peluang?” dia membentak.“Sudah berapa kali kamu bersolat istikharah lalu mendapat jawaban yang serupa? Bukankah itu juga jawaban yang kamu dapati ketika di Mekah dan di Madinah?”
Anak muda itu terdiam... Tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Betul kata Nenek. Sudah berpuluh kali dia memohon petunjuk Ilahi tentang jodohnya dengan Nur dan setiap kali juga dia diberikan jawaban yang terang ataupun isyarat dan tanda tersirat bahawa gadis ini memang diTakdirkan akan menjadi miliknya nanti. Malah hakikatnya hati mereka sudah lama bertaut, mungkin zaman berzaman sejak di alam roh lagi! Cuma belum sampai masanya sahaja ia hendak dizahirkan di dunia nyata…
Tahun 2005 sahaja ada dua orang gadis cantik mengaku mahu menjadi isteri Rasyid, seorang dikenali di Mekah seorang di Janda Baik. Hampir sahaja dia ‘tersangkut’ tetapi wajah Nur kembali mengisi ruang hati...
“Rasyid, dengar sini,” Nenek menegur lagi. “Bukankah kamu pernah mendapat bayangan akan kembali ke tapak kerajaan Samudera Pasai bersama dengan Nur? Bukankah kamu sudah lama sedar dialah isteri kamu yang sejati? Siapakah yang betul-betul dapat membahagiakannya? Siapakah yang boleh membawanya kembali ke Aceh kalau bukan kamu?”
Rasyid masih lagi terdiam tidak terkata. Kelu rasa lidahnya…
“Sanggupkah kamu melihat lelaki-lelaki buruk yang pandai menyamar sebagai orang berakhlak mulia menabur duit dan mempamirkan kebaikan cuba mengambil kesempatan di atas kesepiannya jika kamu tiada?” orang tua itu menyambung. “Sanggupkah kamu melihatnya disihir atau cuba diguna-gunakan para lelaki durjana? Bukankah kamu pernah berikrar di makam Nenek akan menjaga Nur selagi hayat dikandung badan?”
Anak muda itu tersentak mendengar ini. Teringat bagaimana dia dibawa keluar dari Aceh ketika hendak melangkah lebih jauh dengan tersemat sedikit niat untuk mendapatkan jodoh lain. Akhirnya Rasyid dipaksa keadaan untuk kembali ke Malaysia... Rupa-rupanya untuk menyelamatkan gadis pujaannya itu daripada cengkaman beberapa pihak berniat serong yang sanggup bermain sihir! Teringat juga zaman ketika menuntut di London dahulu dengan niat tidak mahu kembali lagi ke tanahair, ingin menetap di England ataupun Eropah. Tetapi dia ‘dipanggil’ untuk kembali ke Malaysia apabila timbul semula rasa keMelayuan yang menebal akibat terdengar lagu-lagu gubahan M.Nasir nyanyian Hattan.
Ah… Rasyid teringat Lagu Cenderawasih yang pertama-kali didengarnya di sebuah restoran Melayu di tengah kesibukan kotaraya terbesar kebanggaan rakyat Inggeris itu. Apabila diamati kembali liriknya (setelah bertahun mengenali Nur), baru dia sedar ia seolah-olah bercerita tentang cinta ‘sakti’ mereka yang terasa telah bertaut zaman-berzaman!
Sesungguh ku dambakan,
Pasangan dua dunia,
Benar hingga melangkaui adat dan masa…
Sesungguh ku dambakan,
Pasangan dua dunia,
Benar hingga menyinarkan bukti yang nyata…
Rasyid juga teringat sudah berapa kali mereka berpisah atas berbagai sebab dan alasan. Tetapi akhirnya pasangan dua sejoli ini tetap akan keluar mencari kembali diri masing-masing, sekurang-kurangnya untuk berkongsi citarasa, pemikiran dan pengalaman hidup yang kebanyakannya tidak dapat diterima atau tidak mampu difahami orang lain.
“Ah… Aku tidak boleh membiarkan Nur bersendirian,” hatinya berbisik. “Rasanya seperti sudah berkurun-kurun lamanya kami pernah terpisah, sudah cukup lama, amat lama! Sampai masing-masing hampir jadi gila! Ah... Aku tidak mahu, tidak sanggup berpisah dengannya lagi. Nur adalah belahan jiwaku, tiada dia, tiada juga aku... Kami mesti kembali bersama!”
Agaknya inilah yang pernah disebut pantun Melayu lama:
Batang selasih permainan budak,
Daun sehelai dimakan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.
Rasyid menoleh untuk memberitahu Nenek. Ternyata almarhum nenda sudah tiada. Anak muda itu pula sudah kembali ke alam nyata... Berada di atas sejadah di rumah usang Perak yang dialihkan ke Janda Baik...