--------------
Salam semua. Selama ini saya asyik bercakap tentang acara "Suai Kenal HIKMAH" yang telah diadakan di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov lalu membuat artikel-artikel susulan tentangnya. Sekarang baru hendak bercakap tentang acara utama HIKMAH yang akan datang tidak lama lagi... pada Ahad 25 Nov iaitu 3 hari sahaja lagi!
Sebenarnya pembatalan penggunaan dewan pada saat-saat akhir ini sebahagiannya disebabkan pihak bermasalah tersebut yang kuat bermain politik, sebahagiannya pula adalah akibat reaksi puak politik lain dari arah yang bertentangan. Ketika saya sedang terpinga-pinga bagaimana hendak meneruskan acara ada pihak dari Melaka menawarkan tempat jika perlu lalu saya memutuskan acara akan diadakan di sana 25 Nov. Saya pun mula berhubung dengan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka). Melalui kerjasama PERZIM, badan muzium Melaka acara yang secara rasmi akan dilaksanakan HIKMAH (MAGMA Melaka dan PERZIM sebagai penganjur bersama) pun diputuskan mahu diadakan di Muzium Rakyat yang terletak bersebelahan dengan pintu gerbang A Famosa di Bandar Hilir Melaka.
Dengan kuasa Allah juga penat-lelah pihak MAGMA Melaka terutama pengasas bersamanya (co-founder) saudara Huzaifah, acara yang diberi nama "Wacana Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu" kemudian mendapat sokongan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Ali Rustam. Mereka memutuskan Muzium Rakyat yang sebenarnya sedang dibaik-pulih sebahagian bangunannya tidak cukup besar untuk menampung kedatangan peserta yang dijangka tidak kurang 350 orang. Oh, sebelum itu saya ada dihubungi oleh pelakon veteran terkenal, Puan Maimon Muttalib yang menjadi moderator budaya untuk sesi berkumpulan "Suai Kenal HIKMAH" 4 Nov. Beliau memberitahu sahabatnya Dato' Razak seorang pengusaha restoran dan catering mahu menaja makan pagi dan tengah hari untuk acara 25 Nov.
Dato' Razak sendiri memberitahu saya, pihak beliau atas nama Restoran Razak Beriyani, Taman Tasek Utama, Air Keroh, Melaka sudi menyumbang hidangan nasi lemak dan minuman untuk 500 orang bersarapan pagi dan set nasi beriyani berserta minuman untuk 500 orang makan tengah hari. Ini adalah petanda baik sokongan pada ketika HIKMAH dan MAGMA Melaka boleh dikatakan hanya mampu bergerak sendiri, sokongan dari pihak lain cuma datang dalam bentuk kebenaran untuk menggunakan premis secara percuma. Apabila DMDI masuk dan kemudian kerajaan negeri Melaka juga mengambil bahagian atas arahan Dato' Ali Rustam, laluan menjadi semakin terang. Malah acara HIKMAH ini dimasukkan ke dalam kalendar tahunan program negeri! Menariknya saya mendapat berita ini beberapa minit setelah masuk Maghrib, Khamis malam Jumaat minggu lepas iaitu bermulanya tahun baru Islam, 1 Muharam 1434 Hijrah.
Acara pun dialihkan ke premis yang lebih besar dan luas iaitu di Kolej Yayasan Melaka (KYM, juga dikenali sebagai Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka) di Bukit Sebukor. Jika auditorium di Muzium Rakyat memiliki sekitar 80 kerusi dan boleh menampung paling ramai pun sekitar 200 orang campur mereka yang berdiri dan bersila, melalui gambar-gambar yang dikongsikan oleh saudara Huzaifah ini saya dapat melihat auditorium di KYM memiliki lebih 200 kerusi dan boleh 'disumbat' lagi 300 orang.
Selain itu kami diperuntukkan 10 buah bilik kelas untuk mengadakan sesi berkumpulan yang dijadualkan selepas Asar. Pendek kata KYM atas aturan yang dibuat DMDI memberikan ruang yang jauh lebih luas dan selesa. Dan saya percaya mereka yang mahu membuat pameran dan perniagaan juga boleh datang secara walk-in seperti halnya semasa "Suai Kenal HIKMAH" 4 Nov, tidak seperti di Muzium Rakyat di mana PERZIM meminta kami lebih awal menyenaraikan pembuat pameran dan peniaga kerana katanya perlu mendapatkan lesen perniagaan sementara.
DMDI juga memperuntukkan 10 buah bilik dengan 2 katil setiap satu di Hang Tuah City Hotel (dahulunya Straits Meridian) di Bukit Baru, sekitar 2.5 km perjalanan ke KYM. Bilik-bilik ini akan digunakan untuk penginapan para pembentang dan moderator acara.
Selain itu mereka memperuntukkan 4 buah pangsapuri yang setiap satunya memiliki 3 buah bilik di pusat peranginan baru Casa Lago, berdekatan Pulau Melaka iaitu tidak jauh dari kawasan A Famosa dan persekitarannya. Sebuah pangsapuri akan digunakan oleh urusetia HIKMAH sementara 3 buah lagi untuk para tetamu dari luar negara. Oh. Sebelum mendapat tawaran-tawaran menarik ini saya ada dihubungi seorang hamba Allah dari Melaka yang memberitahu pernah berjumpa saya di rumah seorang kenalan lebih 4 tahun lalu. Beliau memiliki sebuah rumah penginapan kecil tidak jauh dari kawasan-kawasan tersebut dan namanya adalah Apa Kaba Guest House. Hamba Allah ini menawarkan penginapan percuma untuk sejumlah mereka yang akan bersama saya 25 Nov ini lalu saya menyebut akan menumpangkan beberapa orang wakil dari Aceh juga seorang pembentang yang rapat dengan mereka, bersama keluarganya.
Walaupun wakil-wakil dari Aceh juga pembentang tersebut layak mendapatkan penginapan lebih besar dan glamour di Hang Tuah City Hotel juga di Casa Lago saya tetap mahu meletakkan mereka di Apa Kaba Guest House demi memegang pada janji. Sesungguhnya acara-acara HIKMAH berlangsung dan dapat berlangsung semuanya kerana tekad memegang janji kepada orang lain. Pada saya hamba Allah tersebut sudah memberikan tawaran yang ikhlas lagi jujur pada ketika kami masih lagi terpinga-pinga mengatur pengisian acara. Adalah kurang sopan dan tidak mengenal budi jika saya kemudian menolak tawarannya semata-mata kerana DMDI dan kerajaan negeri sudah masuk memberikan tawaran yang secara fizikalnya lebih selesa dan lumayan.
Sebut pasal memegang janji... semasa mula membuat HIKMAH dahulu saya ada mewar-warkan akan menawarkan 313 naskah buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" pada harga RM10 berbanding harga sebenar RM27.90 untuk para peserta yang mendaftar awal. Apabila berlaku perubahan yang menyebabkan acara dapat diadakan 4 Nov tetapi secara
downscale, tawaran disusutkan menjadi 131 buku. Kini gendang acara utama bergema kembali. Maka itu biar diumumkan pada
"Wacana Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu" 25 Nov ini saya mahu melunaskan janji awal tersebut dengan menawarkan kembali 313 buku pada harga RM10 untuk para peserta awal. Selain itu saya bercadang untuk menghadiahkan buku terbaru dan paling mahal dari saya untuk para pembentang dan moderator. Lihat Siaran
langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah
di Selamat Pagi Malaysia.
OK. Saya sendiri tidak pernah sampai ke KYM, Hang Tuah City Hotel dan Casa Lago juga Apa Kaba Guest House. Maka itu saya rasa harus melihat tempat-tempat ini lebih awal seraya mengatur penginapan hari Sabtu. Saya dan keluarga sendiri akan bermalam di rumah adik saya di Bukit Katil, sekitar 5 km dari KYM. Pagi Sabtu kami akan bertolak bersama beberapa orang lagi dari Lembah Klang ke Melaka. Biar saya copy and paste rancangan yang sudah diletakkan di Face Book beberapa hari lalu...
Saya dan keluarga akan bertolak dari rumah jam 9 lebih gitu bersama wakil2 dari Aceh kemudian ke Taman Tun 10am kerana krew Pesona Pictures nak join sebelum mengambil dua orang gadis dari Terengganu di KL Sentral. Ketika itu harus sudah ada 3 buah kereta bersama dan pada jam 11 gitu kami akan disertai sebuah kereta 4WD yang akan membawa sejumlah buku2 saya dari arah Puchong, bertemu di perhentian selepas tol Sungai Besi. Selepas itu kami mungkin berhenti di R&R Seremban, jika seorang kawan kami dari Putrajaya dapat bersama untuk acara ini. Kawan2 dan kenalan lain terutama para pembentang dan moderator dijemput bersama ikut konvoi. Sila beri maklum balas dan di manakah anda ingin menyertai konvoi. Perhatikan kereta Kenari hitam saya dengan plet nombor WNG 7997.
Mahu mengikut konvoi kami? Marilah. Ini jemputan terbuka. Cari sahaja kami di tempat-tempat tersebut pada waktunya. Cuma ada sedikit perubahan. Kami bercadang mahu bertolak dari kawasan rehat tol Sungai Besi jam 10.30 dan berada di R&R Seremban jam 11.
Oh. Hampir lupa. Ini adalah atur cara terbaru wacana. Cukup... :]
8.30- 9 : Pendaftaran peserta
9 : Pembukaan –
Selawat dan tahlil ringkas dipimpin Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar dari Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah (cabang Naqsyabandiah al Khalidiah az Zainiah al-Malaise)
Ucapan pengenalan oleh presiden dan pengasas HIKMAH, Radzi Sapiee
9.40 : Pembentangan kertas kerja sesi pagi -
1. Mata wang syariah dan Melayu : Penipuan dalam kewangan dan perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI.
2. Tujuh wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail.
3. Faktor Sultan kepada bangsa Melayu - Mesej untuk umat Melayu di akhir zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tareqat Naqsyabandiah.
Moderator : Taufiq Tan Sri Khalid Sahan, peguam bela dan peguam cara. Rakan kongsi di Ariffin Shahzad.
Soal jawab diikuti sedikit cetusan rasa tentang nasib orang Melayu di Singapura oleh Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein, wakil Singapura.
11. 25 Pembentangan kertas kerja sesi tengah hari -
4. Busana tradisional Melayu sebagai lambang jiwa merdeka – Tun Muhammad Farul, Aktivis Busana Tradisi dan Silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu
5. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Puan Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan
6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu pengalaman mencari jati diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”
Moderator : Profesor Madya Dr. Zaidi Isa, Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Kebangsaan Malaysia
Sesi soal jawab diikuti perkongsian mengenai keadaan orang Melayu di kepulauan Riau-Lingga oleh Tuan Haji Huzrin Hood, Pemangku Adat Bentan atau oleh Raja Syukri, waris Raja Haji Fi Sabilillah.
1.15 : Makan, solat Zuhur
2. 30 : Pembentangan kertas kerja sesi petang
7. Kepentingan salasilah dalam mencari jati diri Melayu - Megat Iskandar, setiausaha Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia
8. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu
9. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu akhir zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”
Moderator : Puan Rien Nasution, pemilik Nurin Travel, Medan & Banda Aceh.
Sesi soal jawab diikuti Perkongsian rasa tentang sejarah dan keadaan semasa Aceh oleh wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)
4. 20 : Solat Asar, rehat
4.55 : Sesi berkumpulan mengikut 10 kategori : -
1. Perkerisan – Harizan Termuji, Timbalan Yang Dipertua Pusaka KL. Ketua keselamatan dan hal ehwal pelajar Help University
2. Perubatan – Hanaruddin Baharuddin (Tok Belagak)
3. Persilatan – Dr. Mohd Fazzli bin Dato' Ali Bagas, Pengerusi Persatuan Pencak Silat Daerah Manjung (PESADA) pengerusi Pertubuhan Pembangunan dan kemajuan Negeri Perak.
4. Busana tradisional – Prof Dr Siti Zainon Ismail, pensyarah dan aktivis budaya terkenal.
5. Kebudayaan/tarian – Puan Maimon Muttalib, pelakon dan aktivis budaya.
6. Seni ukiran/khat – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu
7. Kitab/buku/sastera – Teungku Amal Muhibbuddin Waly, anakanda almarhum Prof Dr Teungku Muhibbuddin Muda Waly, ulamak besar Aceh.
8. Keagamaan – Sheikh Raja Aman Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah
9. Keluarga dan salasilah – Megat Iskandar At-Terawis, setiausaha Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia, pengkaji salasilah raja-raja dan bangsawan.
10. Ketamadunan dan kerajaan - Puan Lily Hashim, ahli Gagasan Aku Melayu Islam Tanah Air (GAMIT) dan Muafakat Malaysia, Pengarah urusan DHI Services (M) Sdn Bhd
5.30pm : Upacara Perasmian
1. Ketibaan Y.B. Exco
2. Pembentangan rumusan wacana ilmu
3. Ucapan perasmian penutup oleh Y.B. Exco
4. Persembahan silat khas oleh MAGMA Melaka
5. Penyampaian cenderahati kepada Y.B. Exco dan VIP